31 August 2011

Pejuang bahasa Hassan Ahmad meninggal dunia


Pengerusi Yayasan Karyawan dan bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Datuk Dr Hassan Ahmad meninggal dunia pada jam 2 petang ini di kediamannya di Petaling Jaya.

Anak keduanya, Hasmirawati, 33, berkata bapanya meninggal dunia sebelum sempat dibawa ke hospital berhampiran selepas mengadu sakit perut sejak awal pagi tadi.

Hassan, 74, meninggalkan seorang balu Datin Hamimi Mohamad Shariff, 68, dan dua anak perempuan.

Jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kota Damansara, dekat Kuala Lumpur, pagi esok sebelum Zohor.

Hassan meninggal dunia hari ini adalah tokoh berpengalaman luas dalam pelbagai aspek penerbitan buku, penyelidikan, pengurusan, serta perancangan bahasa dan sastera.

Ini bermakna negara hari ini kehilangan seorang tokoh bahasa yang disegani dalam membina dan mengembangkan bahasa dan sastera selepas dilantik sebagai ketua pentadbir institusi itu.

Berkat kesungguhan dan kegigihannya, serta pengalaman luas dalam lapangan penyelidikan, Allahyarham muncul sebagai pentadbir yang cukup berkemampuan dalam pengembangan dan perancangan bahasa serta sastera.

Naik setakuk

Allahyarham Hassan, yang meninggal dunia selepas mengadu sakit perut pada pukul 2 petang ini di kediamannya di Petaling Jaya, meninggalkan balu Datin Hamimi Mohamad Shariff, 68, serta dua anak perempuan Aida dan Hasmirawati.

Hassan memulakan kerjaya dalam perkhidmatan awam sebagai Penolong Pegawai Daerah di Pontian, Johor pada 1962, namun meninggalkan bidang itu dan menyertai DBP sebagai Pegawai Penyelidik pada 1963.

Sepanjang 13 tahun di DBP, beliau naik setakuk demi setakuk iaitu dari pengawai penyelidik kepada ketua bahagian penyelidikan, pemangku pengarah, pengarah dan akhirnya ketua pengarah.

Sepanjang tempoh itu, Allahyarham berjaya memperkemas dan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa yang moden dan saintifik serta berupaya menerbitkan bahan-bahan bacaan dalam bahasa Melayu.

Bidang terjemahan

Beliau bukan sahaja menumpukan terhadap lapangan perancangan bahasa dan sastera, penerbitan dan kemajuan serta pengurusan dan pemasaran buku, malah juga dalam bidang terjemahan.

Anak sulung daripada lapan beradik yang dilahirkan dalam keluarga bekas pegawai polis itu menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Mersing (1942-1943) dan Sekolah Melayu Muar (1945-1948).

Selepas itu, anak kelahiran Muar, Johor tersebut melanjutkan pelajaran di Sekolah Tinggi Muar sehingga lulus peperiksaan Sijil Persekolahan pada 1955.

Beliau kemudian diterima belajar di Maktab Melayu Kuala Kangsar dan lulus Sijil Tinggi Pelajaran (1957) sebelum melanjutkan pengajian di Universiti Malaya dan memperoleh ijazah Sarjana Muda Sastera pada 1959.

Selepas menamatkan pengajiannya di universiti, beliau menjadi Penolong Pegawai Daerah Pontian pada 1962. - Bernama

* Namanya akan diingati sebagai pejuang bahasa.

Muhyiddin seru Mat Sabu berpegang kepada taqwa


Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini berkata Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu perlu balik ke landasan yang betul dan berpegang kepada prinsip taqwa.

Sebagai seorang pemimpin Islam, beliau berkata Mohamad Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu patut selalu berfikir terlebih dahulu sebelum membuat kenyataan dan sentiasa bercakap benar.

Bernama memetik Timbalan Perdana Menteri berkata tindakan Mat Sabu memutarbelitkan kenyataan adalah satu dosa.

"Kalau dah tersasul dia kena mohon ampun pada Tuhan dan bertaubat supaya tak melakukan sesuatu seperti itu lagi," katanya kepada pemberita semasa rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri beliau di Kompleks Seri Pekembar di Pagoh hari ini.

Muhyiddin berkata demikian semasa diminta mengulas tindakan Mat Sabu menafikan mengeluarkan kenyataan berhubung tragedi Bukit Kepong yang mendakwa penyerang anggota keselamatan dan keluarga tragedi itu adalah hero sebenar dalam perjuangan kemerdekaan negara.

Psikologi politik

Muhyiddin kesal dengan kenyataan Mat Sabu dan menyifatkan pemimpin PAS itu lebih berpolitik dan tindakan Mat Sabu menafikan membuat kenyataan itu dan berhasrat menyaman akhbar Utusan Malaysia hanyalah psikologi politik bagi memperbetulkan keterlanjurannya.

"Bagi saya, saya tak tahu ini gambaran PAS yang sebenarnya atau perlakuan peribadi Mat Sabu tetapi yang pastinya apabila seseorang seperti beliau berucap, beliau bercakap dalam kapasiti sebagai Timbalan Presiden (PAS)," katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata kalau itu menjadi trend PAS pada masa akan datang, ia telah lari daripada asas perjuangan parti berkenaan.

Mohamad Sabu pada sidang akhbarnya Isnin lalu berkata laporan Utusan pada 27 Ogos lalu mengenai ceramahnya di di Padang Menora, Tasek Gelugor, Pulau Pinang, 21 Ogos lalu adalah "satu putar belit dan tokok tambah cerita untuk memfitnahnya dan PAS".

"Setelah mendengar kembali ucapan saya dan dibandingkan dengan laporan muka depan dan muka lima Utusan (27 Ogos) dan kecaman berterusan akhbar (itu) bertarikh 28 Ogos, saya dapati Utusan telah memutar belit (dan) menambah cerita yang menimbulkan fitnah terhadap saya dan PAS," katanya.

"Saya agak lambat menjawab isu ini kerana saya mahu melihat dan mendengar balik apa yang saya katakan di ceramah itu. Pagi ini saya melihat balik videonya dan mendapati apa yang dilaporkan oleh Utusan itu tidak benar sama sekali," katanya.

Akhbar itu pula, kata Mohamad, hanya menyiarkan laporan mengenai ceramahnya di Pulau Pinang itu selepas semingggu.

"Saya ceramah 21 Ogos, Utusan siar 27 Ogos...jadi saya lupa apa yang tepatnya saya cakap, jadi saya tunggu rakaman itu dan mendengarnya," kata Mohamad. - Malaysiakini

* Sudah seru anak dara dia supaya taqwa?

Pakai purdah sembunyi syabu


SHAH ALAM – Sindiket yang terlibat dalam kegiatan penyeludupan syabu antarabangsa semakin kreatif dengan taktik-taktik terbaharu untuk mengelirukan pihak berkuasa bagi membawa masuk barang haram itu ke negara ini.

Selain menggunakan taktik kreatif seperti menjadikan syabu sebagai replika kepala harimau, memasukkan dadah dalam omboh enjin kereta, mi segera, ubi kayu atau pencuci rambut, kini ada dalam kalangan kurier dadah terbabit berlagak seperti seorang alim dengan wanita berpakaian purdah manakala lelaki memakai jubah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor, Asisten Komisioner Nordin Kadir berkata, taktik pemakaian purdah dan jubah bagi membawa syabu dikesan ekoran penahanan beberapa orang kurier dadah yang kemudian didapati menyembunyikan dadah dalam bengkung yang dipakai di badan.

“Ada warga Iran dikesan menyimpan syabu dalam bengkung di sebalik penampilan memakai jubah manakala bagi wanita memakai purdah menyembunyikan dadah di badan mereka,” kata beliau ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Pada awal tahun ini, menurut beliau, polis menahan tiga wanita Iran berpurdah yang kemudian dikesan menyembunyikan sejumlah dadah syabu di badannya di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT), Sepang.

Sepanjang tahun lepas dan tahun ini, polis mencatatkan sebanyak 23 kes dadah disembunyikan dalam bagasi, menelan dadah (5), menyimpan di dalam silinder besi (2), menyimpan di dalam sabun mandi (1), menyembunyikan di dalam peket mi segera (2) dan menyimpan di dalam ubi kayu (20).

Semua rampasan itu dilakukan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan LCCT.

Mengulas mengenai tangkapan di KLIA, Nordin memberitahu, jumlah tangkapan warga asing membawa dadah meningkat secara mendadak pada setiap tahun.

“Pada tahun lalu sebanyak 164 orang ditahan termasuk 27 wanita dan tujuh kanak-kanak.

“Daripada jumlah tangkapan itu, rakyat Iran paling ramai ditahan dengan 114 orang lelaki dan 16 orang wanita,” kata beliau.

Baki tangkapan itu membabitkan rakyat India, Pakistan, Turki, Bulgaria, Thailand, Nigeria, Kenya, Togo dan Indonesia.

Bersama-sama dengan tangkapan itu, polis merampas sebanyak 154.21 kilogram syabu yang kesemuanya bernilai RM37 juta.

Sehingga Jun tahun ini, Nordin berkata, polis berjaya mengesan sebanyak 56 kes penyeludupan dadah jenis syabu di KLIA dengan 43 tangkapan.

“Jumlah terbesar warga asing yang ditangkap ialah 32 rakyat Iran termasuk 16 wanita,” kata beliau. - Kosmo

Faizal Hussein Beraya Sebagai Yatim Piatu


KUALA LUMPUR: Pelakon Faizal Hussein, 43, menyatakan sambutan lebaran tahun ini agak memilukan kerana pertama kali dia bersama adik beradiknya Dilla, 47, dan Fairuz, 45, beraya sebagai anak yatim piatu.

Kata Faizal, kerana itu, Aidilfitri kali ini disambut ala kadar sahaja selain mengadakan majlis tahlil untuk ibunya, Mahyon Ismail, yang meninggal dunia pada 22 Mei lalu dan bapa, Hussein Abu Hassan (26 November 2007).

"Mungkin inilah kenangan raya yang paling pahit buat kami lebih-lebih lagi tidak dapat merasa air tangan ibu yang menjadi makanan kegemaran kami iaitu ayam masak “klio” (masakan Minang).

"Justeru itu, Hari Raya kami lebih beri fokus dengan majlis tahlil yang akan diuruskan oleh ahli keluarga kami," katanya.

Tambah Faizal, walaupun beraya tanpa ibu dan ayah di sisi, menjadi perkara wajib buat dia dan adik beradiknya membahagikan kerja di mana Faizal bertanggungjawab dalam menjaga kebersihan rumah.

"Biasanya kami akan beraya di Kuala Lumpur (KL) dahulu dan kemudian barulah pulang ke kampung di Johor Bahru, jadi mungkin kami akan balik ke kampung selepas Hari Raya kedua.

"Dan mungkin juga kakak saya yang akan mengambil alih tempat ibu untuk acara memasak," ujarnya.

Bagaimanapun, kata Faizal, dia tidak boleh cuti lama kerana selepas Hari Raya kelima, pelakon itu perlu ke set penggambaran bagi filem menjayakan lakonan terbarunya iaitu Khon Malay, arahan Abuya terbitan syarikat produksi NorthStar Acres. - Mstar

17 Kematian Dicatatkan Pada Hari Ketujuh Ops Sikap

KUALA LUMPUR: Sebanyak 17 kematian dicatatkan pada hari ketujuh Ops Sikap-24 semalam dengan penunggang motosikal terus menjadi penyumbang utama kepada statistik berkenaan, menjadikan jumlah angka kematian 134 orang.

Menurut Polis Bukit Aman dalam laman webnya, statistik menunjukkan terdapat 10 kematian membabitkan penunggang motosikal, enam kematian membabitkan motokar dan satu kematian membabitkan pejalan kaki.

Menurut kenyataan itu, 17 kematian itu dicatatkan dalam lima kemalangan maut di jalan persekutuan, satu kemalangan maut di jalan bandaran dan sepuluh kemalangan maut di jalan negeri dan lain-lain jalan.

Sementara itu, sebanyak 1,060 saman dikeluarkan kepada pesalah trafik dalam operasi semalam menjadikan jumlah keseluruhan saman kepada 10,154.

Ops Sikap yang dilancarkan oleh Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Khalid Abu Bakar pada Isnin minggu lepas bertujuan menyedarkan orang ramai mengenai pemanduan berhemah dalam usaha mengurangkan kadar kematian akibat nahas jalan raya pada musim perayaan yang akan berakhir 6 September ini. - BERNAMA

Jurukamera RTM meninggal selepas koma

KUALA LUMPUR – Seorang jurukamera RTM meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dekat sini semalam selepas berada dalam koma hampir seminggu selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya 24 Ogos lalu.

Seorang jurucakap polis trafik Selangor ketika dihubungi semalam mengesahkan Mohd Hanif Ngiring, 29, mengalami kecederaan parah di kepala dalam kejadian yang berlaku di sebuah kawasan di Subang.

"Allahyarham ketika kejadian sedang menunggang motosikalnya dan terbabas di satu selekoh pada petang 24 Ogos itu. Akibat kejadian itu, mangsa ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) sebelum disahkan meninggal dunia kira-kira 4.20 pagi semalam,” katanya.

Tinjauan di laman sosialnya mendapati, terdapat ratusan ucapan takziah di atas pemergiannya dan difahamkan jenazah telah selamat dikebumikan petang semalam di Tanah Perkuburan Islam Datuk Keramat di sini.

Turut ditemui, komen yang menyebut Allahyarham telah menimang cahaya mata sulung (perempuan) pada 27 Ogos ketika Allahyarham tidak sedarkan diri. – Bernama

30 August 2011

Keluarga Gaddafi lari ke Algeria, anak lelaki terbunuh


TRIPOLI, 30 Ogos — Keluarga Muammar Gaddafi dilaporkan telah ‘melarikan’ diri ke Algeria tetapi lokasi pemimpin itu masih belum diketahui, demikian menurut laporan media asing.
Dalam pada itu, pejuang pemberontak mendakwa telah membunuh salah seorang anak lelakinya — Khamis Gaddafi dalam serangan udara kira-kira 60 kilometer ke selatan Tripoli.

Kementerian Luar Algeria berkata isteri Muammar, Safia, anak perempuannya Aisha dan dua anak lelaki Hannibal dan Mohammed telah melangkah ke negara jiran di sebelah barat itu pagi semalam.
Laporan Reuters menyebut perkembangan itu dijangka mencetuskan masalah hubungan diplomatik ketika Majlis Peralihan Kebangsaan sedang berusaha untuk mewujudkan sebuah kerajaan yang baru.

Aligeria tidak mengiktiraf majlis tersebut, yang sehingga kini lebih 40 negara telah memberikan pengiktirafan.

Jurucakap majlis itu berkata, tindakan Aligeria adalah satu perbuatan menceroboh dan akan meminta agar mereka dihantar pulang.

Bagaimanapun lokasi di mana Muammar berada sekarang masih belum diketahui sejak Tripoli jatuh ke tangan pemberontak, sekali gus menamatkan pemerintahan 42 tahun beliau.

Libya berhadapan dengan kebangkitan rakyat sejak enam bulan lalu.

“Kami telah berjanji untuk menyediakan perbicaraan yang adil kepada kesemua penjenayah dan oleh itu kami menganggap ini tindakan pencerobohan,” kata kata jurucakap Mahmoud Shamman kepada Reuters.

“Kami memberi amaran, sesiapa yang memberi perlindungan kepada Muammar Gaddafi dan anak-anak lelakinya, kami akan mencari dan menahan mereka,” katanya. - TMI

Bapa empat anak mengaku perkosa gadis 14 tahun

MELAKA: Seorang bapa empat anak didakwa di Mahkamah Majistret di sini, semalam terhadap tuduhan merogol seorang gadis bawah umur di rumahnya di Kampung Bandar Kaba, di sini, 21 Ogos lalu.

Muhammad Ridzuan Omar, 21, didakwa merogol mangsa yang berusia 14 tahun di sebuah rumah di Kampung Banda Kaba, kira-kira jam 5.30 pagi.

Tertuduh mengangguk faham dan mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan di depan Pendaftar Kanan Mahkamah Majistret, V Kanasan.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 20 tahun serta sebatan.

Pegawai Pendakwa, Inspektor Muhather Mohd Kudus yang menyebut bagi Timbalan Pendakwa Raya mencadangkan jaminan RM12,000 dengan seorang penjamin dan memohon tarikh baru bagi membacakan fakta kes.

Tertuduh merayu jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan mempunyai tanggungan empat anak dan tiada pendapatan tetap.

Mahkamah menetapkan 7 September ini sebagai tarikh menjatuhkan hukuman. - Mymetro

Penjenayah ganas makan tak bayar


KUALA LUMPUR: Empat lelaki berusia 30-an yang dipercayai aktif menjalankan kegiatan curi, samun, rogol dan pengedaran dadah sejak awal tahun ini ditahan polis di Jalan Maarof, di sini.

Tangkapan dilakukan pada jam kira-kira 11.30 malam, Jumaat lalu, selepas polis menerima aduan seorang pelayan restoran berusia 26 tahun yang diancam dengan pisau oleh seorang daripada suspek, sejam sebelum itu.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid, berkata sebelum itu pengadu mengejar dua daripada suspek yang makan di restoran berkenaan selepas mereka meninggalkan pelayan premis itu tanpa membuat bayaran.

Bagaimanapun, ketika dihampiri, seorang daripada suspek mengeluarkan pisau sambil mengugut pengadu sebelum menyerahkan telefon bimbit kepadanya.

“Selepas mendapat aduan, polis membuat rondaan di sekitar Jalan Maarof di sini dan menangkap semua suspek.

“Pemeriksaan polis mendapati tiga suspek berasal dari Kangar, Perlis, serta seorang lagi beralamat di Ampang. Masing-masing mempunyai rekod jenayah bersabit pelbagai kesalahan termasuk curi, rogol dan dadah,” katanya pada sidang media di pejabatnya semalam.

Selain itu, ujian air kencing terhadap suspek mendapati semua mereka positif dadah dan akan direman sehingga hari ini.

Menurut Wan Abdul Bari, berikutan tangkapan itu, polis juga menemui sebuah Proton Waja, peralatan menghisap dadah, satu set kunci kereta serta sepucuk pistol tiruan.

Katanya, semua suspek dipercayai terbabit 15 kes jenayah di Brickfields sejak awal tahun ini dan siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 36 (1) Akta Senjata 1960.

Sementara itu, dalam kes berasingan, seorang lelaki warga Nigeria berusia 29 tahun yang menetap di negara ini sejak empat bulan lalu, ditahan selepas polis menemui dadah jenis kanabis seberat 8355 gram bernilai kira-kira RM15,000 di sebuah kondominium di Sri Petaling, di sini, Sabtu lalu.

Wan Abdul Bari berkata, polis yang mendapat maklumat orang ramai membuat serbuan pada jam kira-kira 12.15 tengah malam ke rumah suspek sebelum menemui dadah berkenaan dalam satu bagasi dan sebuah beg.

“Suspek yang mempunyai dokumen sah untuk masuk ke negara ini kini direman sehingga 2 September,” katanya. - Mymetro

Pandu uji kereta Nissan, bawa pulang Grand Livina


KUALA LUMPUR – Seorang pegawai perubatan, Dr. Aida Adlina Anuar, 27, membawa peluang sebuah kenderaan pelbagai guna Nissan Grand Livina bernilai RM86,738 menerusi kempen Pandu Uji dan Menang Nissan pusingan pertama anjuran Edaran Tan Chong Motor Sdn. Bhd. (ETCM) baru-baru ini.

Aida yang kini bertugas di Kuala Lipis, Pahang menyifatkan kemenangan tersebut sebagai tuahnya bersesuaian dengan sambutan hari raya pada tahun ini.

“Kenderaan baharu ini akan digunakan oleh ahli keluarga saya di kampung yang terletak di Seremban, Negeri Sembilan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan ETCM di sini baru-baru ini.

Mengulas mengenai kempen berkenaan, Pengarah Eksekutif ETCM, Datuk Dr. Ang Bon Beng berkata, pihaknya sangat berbesar hati di atas sokongan yang diberikan rakyat Malaysia terhadap kempen tersebut.

“Kempen Pandu Uji dan Menang Nissan diteruskan dengan pusingan kedua yang bermula pada 1 Ogos hingga 30 November ini yang menawarkan hadiah utamanya iaitu sebuah Nissan Sylphy,” katanya. - Kosmo

Lelaki Nigeria tipu cikgu sekolah


KUALA LUMPUR – Gara-gara terlalu percaya dengan teman baru di Internet, seorang guru kerugian RM140,000 gara-gara diperdaya dua lelaki Nigeria daripada sindiket sama menerusi penipuan bungkusan dan Black Money.

Lebih malang lagi, mangsa yang berusia 36 tahun dan bujang itu sanggup membuat pinjaman bank sebanyak RM90,000 bagi memenuhi hasrat kedua-dua lelaki kulit hitam yang dikenali sebagai James dan Charles.

Perkenalan antara mangsa dari Melaka dengan suspek pertama James, 28, bermula pada Januari lalu menerusi laman sosial Facebook.

Selepas tiga bulan berkenalan, James yang kononnya menetap di Washington, Amerika Syarikat menawarkan untuk menghantar cenderamata berupa sepasang kasut kepada mangsa kononnya sebagai tanda persahabatan.

Pada Mac lalu, seorang wanita yang mendakwa dirinya dari sebuah syarikat penghantaran di negara ini menghubungi mangsa memaklumkan bungkusan atas nama wanita itu tersangkut di syarikat berkenaan.

Wanita itu diminta memasukkan sejumlah wang ke dalam satu akaun kononnya sebagai bayaran cukai bagi menuntut bungkusan tersebut.

Mangsa yang teruja untuk mendapat hadiah tersebut memasukkan wang yang semuanya berjumlah RM20,000 ke dalam satu akaun yang didaftarkan atas nama sebuah syarikat. Kesemua wang tersebut dibuat dalam beberapa transaksi.

Selepas membuat bayaran itu, mangsa kemudian dihubungi pula seorang lelaki yang mendakwa sebagai pemilik syarikat penghantaran dan menawarkan untuk berjumpa dengan mangsa kononnya bagi menyelesaikan urusan berhubung bungkusan tersebut.

Mangsa kemudian bertemu dengan pemilik syarikat penghantaran yang memperkenalkan diri sebagai Charles, 30-an, di sebuah hotel di ibu negara pada April lalu.

Dalam pertemuan itu, Charles memperdaya mangsa untuk melabur modal membeli sejenis cecair untuk melunturkan kertas hitam (black money) yang kononnya mampu menggandakan wang. - Kosmo

* Kalau cikgu sekolah pun kena tipu, bayangkan yang kerja bawah dari itu...

29 August 2011

Umat Islam sambut Aidilfitri esok


KUALA LUMPUR: Umat Islam di Malaysia akan menyambut Hari Raya Aidilfitri esok, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Datuk Syed Danial Syed Ahmad mengumumkan malam ini.

Pengumuman itu disiarkan menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM). "Bagi menyempurnakan titah perintah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, dengan ini saya mengisytiharkan tarikh Hari Raya Puasa bagi negeri-negeri seluruh Malaysia ditetapkan pada hari Selasa, 30 Ogos 2011," katanya. Tarikh Hari Raya Aidilfitri ditetapkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja berdasarkan rukyah dan hisab menerusi 30 tempat pencerapan di seluruh negara. -- BERNAMA

* Teropong kalender kuda senang...

Timbalan IGP: Mat Sabu disiasat ikut Seksyen 505


Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar hari ini berkata, kertas siasatan telah dibuka berhubung laporan Utusan Malaysia yang mendakwa kenyataan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, menghina pasukan polis baru-baru ini.

Menurut Bernama, Khalid berkata, kertas siasatan itu telah dibuka di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan iaitu kesalahan yang melibatkan kenyataan-kenyataan yang mendatangkan khianat awam.

"Kenyataan itu menggemparkan masyarakat. Kita telah menerima sebanyak 49 laporan polis setakat ini dan ini akan disiasat secara menyeluruh.

"Ia telah menyakitkan hati ahli-ahli pasukan keselamatan negara dan juga ahli keluarga mereka yang terkorban semasa tragedi Bukit Kepong," katanya kepada pemberita selepas melawat Kanopi Ops Sikap di Jalan Sungai Buloh menghala Kuala Selangor hari ini.

"Saya rasa dia kurang buka buku sejarah atau bertanya pada mereka yang tahu mengenai sejarah tragedi itu. Dia patut pergi melawat kawasan itu dan tengok dengan mata dan kepalanya sendiri," katanya.

Mohamad Sabu, atau lebih dikenali sebagai 'Mat Sabu' dalam ceramahnya di Tasek Gelugor, Pulau Pinang pada 21 Ogos lalu, dilaporkan oleh Utusan sebagai berkata, pengganas dalam Kompeni Pasukan Ke-4 Parti Komunis Malaya (PKM) yang menyerang dan membunuh anggota keselamatan dan keluarga mereka dalam tragedi Bukit Kepong adalah sebagai hero sebenar.

Dalam pada itu, Mohamad Sabu pada sidang akhbarnya hari ini berkata laporan Utusan pada 27 Ogos lalu mengenai ceramahnya di di Padang Menora, Tasek Gelugor, Pulau Pinang, 21 Ogos lalu adalah "satu putar belit dan tokok tambah cerita untuk memfitnahnya dan PAS".

"Setelah mendengar kembali ucapan saya dan dibandingkan dengan laporan muka depan dan muka lima Utusan (27 Ogos) dan kecaman berterusan akhbar (itu) bertarikh 28 Ogos, saya dapati Utusan telah memutar belit (dan) menambah cerita yang menimbulkan fitnah terhadap saya dan PAS," katanya.

"Saya agak lambat menjawab isu ini kerana saya mahu melihat dan mendengar balik apa yang saya katakan di ceramah itu. Pagi ini saya melihat balik videonya dan mendapati apa yang dilaporkan oleh Utusan itu tidak benar sama sekali," katanya.

Akhbar itu pula, kata Mohamad, hanya menyiarkan laporan mengenai ceramahnya di Pulau Pinang itu selepas semingggu.

"Saya ceramah 21 Ogos, Utusan siar 27 Ogos...jadi saya lupa apa yang tepatnya saya cakap, jadi saya tunggu rakaman itu dan pagi ini saya mendengarnya," kata Mohamad.

Sehubungan itu, Mohamad berkata beliau akan berbincang dengan peguamnya bagi mengheret akhbar milik Umno itu ke mahkamah kerana membuat pembohongan terhadapnya.

Sementara itu, Bernama juga melaporkan dua laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang yang mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan Mat Sabu tersebut.

Laporan polis berasingan itu dibuat oleh Ketua Umno Bahagian Ampang, Datuk Ismail Kijo dan Presiden Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia, Datuk Adiwijaya Abdullah kira-kira pukul 4 petang tadi bersama beberapa badan bukan persatuan lain. - Malaysiakini

* Bagaimana rakyat dapat hidup aman dari penjenayah jika polis terlibat dengan politik...

Derita model seluar dalam

NEW YORK: Bagaimana agaknya perasaan dapat memakai pakaian dalam berlian berharga RM13.4 juta?

“Menyakitkan,” itu yang dikatakan model seluar dalam Victoria’s Secret yang pernah memperagakan pakaian dalam itu, Selita Ebanks (gambar).

Selita menjadi model fesyen syarikat berkenaan dari 2005 hingga 2008.

Dia terpilih memperagakan pakaian dalam 'Holiday Fantasy Bra Set' pada 2007. Pakaian itu disifatkan sebagai amat seksi dan dihiasi dengan berlian, permata, delima dan nilam yang berharga AS$4.5 juta (RM13.4 juta).

Bagi sebahagian orang, mereka tentu terfikir betapa beruntungngnya model yang memperagakan seluar dalam itu.

Tapi bagi Selita, saat itu sungguh tidak menyelesakan.

“Sakit. Ya, berlian itu membuat saya sakit,” kata bekas tunang Nick Cannon itu, seperti yang dipetik oleh akhbar Huffington Post.

“Saya merasakan kemaluan saya digores pada setiap langkah. Ia sudah pasti bukan cara yang betul untuk menarik perhatian lelaki. Tidak ada lelaki yang suka dengan wanita yang luka pada kemaluannya,” kata model berusia 28 tahun itu.

Menurutnya, ketika memakai seluar dalam itu, dia tidak merasa dirinya seksi.

“Itu bukan seksi, tapi seksa. Tidak ada orang yang mahu kemaluannya luka,” katanya. -Agensi

Penyokong Gaddafi bunuh tahanan


TRIPOLI: Tentera Muammar Gaddafi mungkin membunuh tahanan dan orang awam ketika pemberontak menawan bandar raya ini minggu lalu.

Jalan raya Tripoli dicemari dengan mayat reput dan sisa peperangan selepas pertempuran sengit meletus antara pemberontak dengan tentera Gaddafi, bertujuan menamatkan pemerintahan 42 tahun pemimpin itu.

“Bukti yang berjaya kami kumpul setakat ini menunjukkan kerajaan Gaddafi terbabit dalam pembunuhan ketika Tripoli jatuh,” kata Pengarah HRW Afrika Utara, Sarah Leah Whitson.

Dalam satu kenyataan, dia berkata, kira-kira 18 mayat penuh dengan peluru, dua dengan tangan terikat, ditemui di tebing sungai berhampiran kompleks kediaman Gaddafi, Bab al-Aziziya.

Sebanyak 29 mayat ditemui dalam satu klinik sementara di perkarangan kompleks itu, dipercayai dibunuh, kata HRW lagi.

Empat mayat ditemui di atas katil lipat dan satu ditemui dengan tangan terikat.

Menurut HRW lagi, tiga mangsa yang terselamat daripada hukuman bunuh oleh kumpulan pro-Gaddafi termasuk seorang lelaki yang terkena tiga das tembakan apabila kumpulan itu menembak secara rambang ke sebuah bilik yang menempatkan 25 tahanan, selepas menerima arahan untuk ‘membunuh mereka semua.’

Menurut saksi, bunyi suara pejuang jelas kedengaran sebelum semua tahanan itu ditembak mati.

“Kejadian ini, mungkin sebahagian daripada kisah bagaimana tentera Gaddafi melakukan keganasan sama ada secara sistematik ataupun dirancang,” kata Whitson.

“Sekiranya kejadian ini terbukti melanggar hukum, maka mereka telah melakukan jenayah perang yang serius dan semua yang bertanggungjawab mesti di bawa ke muka pengadilan.”

Wartawan Reuters di Tripoli sendiri menyaksikan beberapa pembunuhan beramai-ramai dengan tangan mangsa diikat. - AP

Abang Jem jual kopi


SY Trading Entertainment yang diterajui penyampai radio terkenal, Salih Yaacob akan melancarkan produk minuman berkhasiatnya, SY Cafe iaitu kopi putih campuran yang bermutu tinggi dengan cita rasa dan aroma menyegarkan pertengahan September depan.

Salih atau lebih mesra dengan panggilan Abang Jem yang juga bertindak sebagai pengarah urusan syarikat berkata, beliau akan melancarkan produk berkenaan pada 15 September ini dan produknya didatangkan dalam tiga bentuk pembungkusan iaitu 18 peket sekotak, 4 peket sekotak (kotak mini) dan juga papan khas untuk jualan di restoran dan kedai makan.

Beliau berkata, penghasilan SY Cafe adalah untuk berkongsi rahsia kesihatan dan tenaga berpanjangan dalam menjalani kehidupan yang aktif dan produk itu diperkaya dengan herba ekstrak berkualiti seperti Tongkat Ali, Cordyseps, Tribulus dan Maca.

“Bagi kotak 18 peket, ia dijual dengan harga dibawah RM30 manakala bagi kotak mini di bawah harga RM9 dengan sasaran jualan kira-kira 5 juta peket produk ini sepanjang tahun ini sama ada bagi pasaran dalam dan luar negara.

“Keberkesanan kopi ini sangat hebat terutama untuk kecergasan dan kekuatan mental serta fizikal yang mampu menjadikan anda lebih bertenaga, peka serta dan sihat sepanjang masa selain rasanya yang sedap,” katanya.

Menurutnya, pihaknya juga akan mengeluarkan satu lagi produk eksklusif iaitu ‘SY...Cappuccino plus Kolagen’ dalam masa terdekat yang mana produk terbabit mengandungi 100 peratus kolagen asli dengan setiap peket mengandungi 10,000 miligram kolagen. Selain itu, katanya, pihaknya yang mempunyai kilang penghasilan produk di Skudai, Johor itu juga akan mengeluarkan beberapa produk lain seperti kordial, serbuk kari dan teh herba yang ternyata berkhasiat dan sedap.

Orang ramai yang berminat untuk menjadi pengedar atau stokis bolehlah segera menghubungi pihak pengurusan syarikat itu iaitu Nurul (017-6091677), Shah (017-2754900) dan Razak (010-4259975) untuk keterangan lanjut. - Mymetro

Wajar dikenakan tindakan ISA

KUALA LUMPUR 28 Ogos – Anak kepada Ketua Balai Polis Bukit Kepong, Sarjan Jamil Md. Shah yang terbunuh sewaktu mempertahankan balai polis berkenaan menganggap tindakan Mohamad Sabu mengagungkan pengganas komunis menunjukkan pengkhianatan Timbalan Presiden Pas itu terhadap negara.

Ahmad Jamil, 68, berkata, tindakan Mohamad yang memperlekeh pengorbanan pasukan polis dalam mengekang kemaraan Kompeni Pasukan Ke-4 Parti Komunis Malaya (PKM) itu merupakan satu tamparan hebat kepada pengikutnya yang masih belum sedar keperibadian sebenar pemimpin Pas itu.

“Adakah seseorang berbangsa Melayu dan beragama Islam yang seluruh kehidupannya berpegang pada Perlembagaan negara sanggup mengeluarkan tuduhan yang tidak wajar itu? Kenapa cetek benar pemikiran dia?

“Kalau saya jumpa dia (Mohamad), saya mahu menyekolahkan dia kerana saya percaya dia buta sejarah dan hanya berlagak tahu untuk mendapat kepercayaan pengikutnya sahaja. Ini dapat dilihat apabila dia mengiktiraf Muhammad Indera sebagai hero sebenar, bukannya 25 anggota polis dan keluarga mereka yang terkorban mempertahankan diri dalam serangan di balai polis itu.

“Dia masih muda, tidak faham keperitan kehidupan mangsa kekejaman komunis seperti kami. Saya berharap Allah membuka pintu hatinya untuk bertaubat dan bermuhasabah diri,” katanya pada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Jelas Ahmad, tragedi yang meragut nyawa 22 perwira iaitu 18 anggota polis dan empat tanggungan mereka disebabkan kerakusan PKM yang dikepalai Chin Peng untuk menubuhkan negara komunis yang membelakangi agama, bangsa dan negara seharusnya ditentang, bukan diiktiraf.

“Saya sangat sedih dengan sikap pemimpin politik sebegini. Kecenderungannya untuk mengelirukan rakyat semata-mata untuk kepentingannya wajar dikenakan tindakan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA),” ujarnya. - Utusan

* Najis ISA juga yang disanjung. Sudah tua bawakan taubat dan insaf diri...

Mati di riba rakan

BINTULU: “Pilu hati saya apabila melihat sendiri bagaimana dia dirempuh sebuah kereta sebelum digilis pula bas ekspres. Saya sempat memangku dan mengajarnya mengucap kalimah syahadah sebelum dia menghembuskan nafas terakhir.”

Demikian kata Nizam Isyak, 26, ketika menceritakan kemalangan yang meragut nyawa rakan baiknya Mohammad Yusuf Sukarno, 24, dalam kejadian langgar lari di Kilometer 5, Jalan Tatau-Bintulu, di sini, semalam.

Sebelum kejadian, mangsa dan Nizam serta seorang lagi rakan yang menunggang motosikal berasingan dikatakan dalam perjalanan pulang ke Kampung Baru, Spaoh di Saratok, sebelum mangsa dirempuh kereta Toyota Vios dari arah bertentangan, kira-kira jam 11 pagi. Nizam berkata, dia terkejut apabila mendengar dentuman kuat dari arah belakang dan terus memberhentikan motosikal sebelum melihat arwah terbaring di atas jalan raya.

“Saya lihat arwah cuba bangun semula, tetapi tiba-tiba sebuah bas yang datang dari arah belakang gagal mengelak sebelum merempuh dan menggilis tubuhnya.

“Saya segera berpatah balik dan mendapatkannya yang terbaring dalam keadaan berlumuran darah yang keluar dari mulut dan telinga serta terus memangkunya dan mendapati dia sudah ‘tiada’,” katanya ketika ditemui Harian Metro, di tempat kejadian.

Menurutnya, mereka bertiga bekerja sebagai pemasang sistem pendawaian di Bintulu dan sebelum bertolak pulang ke kampung kira-kira jam 9 pagi semalam, arwah ada berpesan supaya mereka tidak menunggang dengan laju atau bersaing bagi mengelak kejadian tidak diingini.

“Malah, arwah juga tidak mahu kami mengikuti dalam jarak dekat antara satu sama lain kerana boleh mendedahkan mereka kepada kemalangan ketika menunggang motosikal.

“Apa yang paling saya tidak dapat lupakan, arwah mengakui memang tidak sabar hendak pulang ke kampung kerana sudah lama tidak bertemu ibu dan bapanya selain mahu membuat persiapan akhir menyambut Aidilfitri,” katanya sebak.

Difahamkan, motosikal mangsa dirempuh Toyota Vios berwarna perak dan datang dari arah bertentangan cuba memotong sebuah kenderaan lain.

Kenderaan terbabit dipercayai dipandu laju kerana sedang menuruni laluan berbukit ketika memotong menyebabkan secara tiba-tiba memasuki laluan bertentangan dan merempuh motosikal ditunggangi mangsa yang kemudian terpelanting di tengah jalan raya.

Sementara itu, jurucakap dari Balai Polis Tatau mengesahkan kejadian berkenaan sebagai kes langgar lari dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Bintulu untuk bedah siasatan sebelum diserahkan kepada keluarga untuk dikebumikan.

Katanya, orang ramai yang menyaksikan kejadian itu atau kenderaan yang terbabit dalam kemalangan itu tampil membuat laporan polis bagi membantu siasatan lanjut. - Mymetro

* Sokong haramkan motosikal kecil ( pembunuh no1 Malaysia ) dalam masa yang sama turunkan harga kereta dan minyak supaya rakyat mampu menggunakan kenderaan beroda 4 itu...

Benjy masuk ICU


PUTRAJAYA: “Lemah”. Hanya itu perkataan yang keluar dari mulut pelakon, Khairil Benjamin Ibrahim, 33, atau lebih dikenali sebagai Benjy yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Putrajaya, di sini, selepas diserang penyakit asma kronik.

Difahamkan Benjy dimasukkan ke hospital berkenaan sejak tiga hari lalu kerana menjalani pembedahan membuang ketumbuhan di hidungnya yang selama ini menyebabkan dia sukar bernafas.

Bagaimanapun, selepas pembedahan itu dia diserang asma teruk sehingga memerlukannya menggunakan alat bantuan pernafasan.

Anak lelaki tunggal seniwati terkenal Azean Irdawaty itu ketika ditemui di hospital berkenaan, petang semalam kelihatan payah bercakap akibat kesukaran bernafas.

Namun, sewaktu kunjungan wakil Harian Metro, alat bantuan pernafasan sudah dibuka dan dia boleh bernafas sendiri walaupun dalam tersekat-sekat.

Walaupun lemah, keadaannya stabil, tetapi belum mengetahui bila dapat keluar dari wad berkenaan.

“Lemah, tapi lebih baik,” katanya, sambil sesekali memejamkan mata dan sering menarik nafas panjang.

Benjy berkata, sepanjang berada di hospital dia ditemani bapanya, Khairil Anuar Zainal Mukhtar.

Ini kali kedua Benjy dimasukkan ke ICU akibat diserang asma. Pada 20 April lalu, Benjy yang ketika itu dalam perbicaraan membabitkan kes dadah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur dimasukkan Hospital Pakar Damansara kerana mengalami masalah pernafasan dan asma.

Benjy sebelum ini mencetuskan kontroversi apabila ditahan polis di rumahnya Mac tahun lalu, untuk membantu siasatan kes pengedaran dadah.

Selepas lebih setahun kes itu dibicarakan di mahkamah, Benjy dikenakan hukuman denda RM5,000 kerana kesalahan memiliki 0.24 gram syabu.

Hukuman itu dijatuhkan Majistret Hafizza Sauni, 17 Ogos lalu. - Mymetro

Hantar SMS talak diri sendiri


KUALA LUMPUR: Seorang wanita berusia 41 tahun nekad ‘menceraikan dirinya sendiri’ selepas rahsia hubungan sulitnya dengan lelaki lain sejak tiga tahun lalu dikesan suaminya.

Perbuatan itu dilakukan apabila dia mengambil telefon bimbit suaminya dan menghantar SMS ke telefon bimbitnya dengan menjatuhkan talak tiga terhadapnya demi memastikan dia dapat meneruskan hubungan sulit dengan kekasihnya.

Bagaimanapun, perbuatan curang wanita itu sejak hampir dua tahun lalu terbongkar apabila dicekup penguat kuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) ketika bersekedudukan bersama kekasihnya di sebuah rumah di Setapak, di sini, kira-kira jam 1 pagi, kelmarin.

Suami mangsa, ahli perniagaan dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) berusia 48 tahun yang mahu dikenali sebagai Jason, berkata dia dan isterinya mendirikan rumah tangga sejak 1996 dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu dua perempuan serta seorang lelaki berusia 10 hingga 16 tahun.

Jason yang sering pulang ke negara asal untuk menguruskan perniagaannya berkata, dia mula mengesyaki kecurangan isterinya itu selepas terserempak wanita terbabit bersama lelaki lain turun dari sebuah hotel di Ampang pada hujung 2009. - Mymetro

Mat Sabu dicabar debat isu pejuang kemerdekaan, komunis

KUALA LUMPUR, 29 Ogos — Pengerusi Majlis Perundingan Melayu Malaysia, Kolonel Profesor Dato Dr Kamarudin Kachar mencabar Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, yang kini menjadi kontroversi berhubung isu pejuang kemerdekaan dan komunis, agar beliau berdebat dengan pakar-pakar sejarah.

“Dan, jika betul-betul hendak menunjukkan kehandalan dalam bidang sejarah negara, disarankan (supaya) Mat Sabu berdebat dengan satu panel pakar sejarah negara di hadapan 200,000 orang staf PDRM dan ATM termasuk yang telah berjuang dalam zaman komunis dan juga yang telah bersara,” kata beliau yang juga bekas komander Rejimen Askar Wataniah 512 Terengganu dalam satu kenyataan hari ini.

Kamarudin berkata, tuduhan Mohamad sesuatu yang sungguh melulu amat mendukacitakan dan memalukan kaum Melayu yang telah mula bertamadun dan membuktikan kegagahan di dunia khasnya rantau Asia Tenggara lebih 4,000 tahun dulu.

“(Mohamad) Mat Sabu tidak ada maruah sebab itu sanggup jadi budak suruhan,” kata beliau sambil meminta pemimpin itu supaya jangan sekali-kali menukar sejarah negara kerana ia adalah warisan nenek moyang.

“Jika cuba menukarkannya ditakuti tumpahan darah akan berlaku dan jika itu berlaku PAS bertanggungjawab,” katanya lagi.

Kata Kamarudin lagi, Mohamad perlu berhentik jadi “robot dan janganlah lagi memuji pengganas komunis” dan jangan terus menghina jasa bakti para pejuang negara yang telah memerdekakan negara.

“Mat Sabu mesti minta maaf kepada seluruh warga negara Malaysia,” katanya lagi.

Dalam reaksina semalam, Mohamad mengambil pendirian untuk tidak memberi sebarang komen berhubung dakwaan akhbar Utusan mengatakan beliau menghina pejuang kemerdekaan dalam satu ceramah di Tasik Gelugor, Pulau Pinang pada 21 Ogos lalu.

Mohamad menambah, beliau mahu melihat kembali rakaman video berhubung ceramah itu sebelum memberikan sebarang komen.

Akhbar milik Umno terus menyerang Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu sejak beberapa hari lalu kerana menghina perjuang kemerdekaan dengan menganggap pihak komunis yang menyerang pasukan keselamatan dalam tragedi Bukit Kepong pada 1950 adalah hero sebenar.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin melahirkan rasa kesal dengan kenyataan Mohamad itu yang mengangkat pengganas komunis sebagai hero sebenar perjuangan kemerdekaan negara. - TMI

* Kalau berani Kamarudin cabarlah berdebat diri sendiri dengan Mat Sabu. Pangkat punyalah banyak, takkan takut...


Komunis: Utusan bohong, Md Sabu akan saman


KANGAR, 29 Ogos: Timbalan Presiden PAS, Haji Mohamad Sabu (gambar) mendapati apa yang dilaporkan oleh akhbar Umno, Utusan Malaysia berkaitan dengan tragedi Bukit Kepong adalah fitnah terhadap beliau dan PAS.

Sehubungan itu, beliau telah mengarahkan peguamnya untuk menghantar notis saman kepada akhbar itu dan memintanya meminta maaf dan menarik balik laporan palsu itu.

(Mohamad Sabu dalam sidang medianya di Komplek PAS Perlis hari ini)

"Saya agak lambat menjawab isu ini kerana saya mahu melihat dan mendengar balik apa yang saya katakan di ceramah itu. Pagi ini saya melihat balik videonya dan mendapati apa yang dilaporkan oleh Utusan itu tidak benar sama sekali," kata Mohamad Sabu kepada Harakahdaily.

Mohamad Sabu berkata, beliau mengambil masa untuk menjawab isu itu kerana ingin mengenalpasti apa yang beliau katakan dengan tepat dalam ceramah itu.

"Saya tidak katapun Mat Indera itu Komunis, saya tidak sebut pun nama beberapa-beberapa Cina yang dilaporkan dalam akhbar itu bahkan selepas membaca laporan akhbar Umno itu baru saya tahu nama mereka," jelas Mohamad Sabu yang juga membuat sidang media khas di sini hari ini mengenainya.

Akhbar itu pula, kata Mohamad, hanya menyiarkan laporan mengenai ceramahnya di Pulau Pinang itu selepas semingggu.

"Saya ceramah 21 Ogos, Utusan siar 27 Ogos...jadi saya lupa apa yang tepatnya saya cakap, jadi saya tunggu rakaman itu dan pagi ini saya mendengarnya," kata Mohamad.

Utusan dan pemimpin Umno menyerang Mohamad Sabu dengan tuduhan kononnya beliau menghina para polis Bukit Kepong dan membela Komunis yang menyerang balai polis itu.

Peristiwa Bukit Kepong terkenal kerana ia telah difilemkan oleh Datuk Jins Samsudin dengan filem berjodol Bukit Kepong.

Rakaman video Mohamad Sabu ketika berucap di Pusat Pendidikan Islam Padang Menora, Tasek Gelugor baru-baru ini sampai ke tangan wartawan Harakah Pulau Pinang semalam.

Video itu kemudiannya disampaikan terus kepada Mohamad petang semalam dan ia dilihat beliau pagi tadi.

Rakaman yang diperolehi daripada seorang peminat tokoh nombor dua PAS itu dan diberikan kepada Mohamad yang hadir pada majlis berbuka puasa di Surau Al Ghufron, Kuala Bekah, Penaga bersama Ketua Menteri, Lim Guan Eng petang semalam.

Mohamad dalam kenyataannya sebelum ini menegaskan akan meneliti terlebih dahulu ucapannya dalam rakaman berkenaan dan sekiranya didapati Utusan Malaysia sengaja menokoh tambah cerita yang bukan-bukan, maka tindakan undang-undang akan diambil.

Utusan Malaysia dalam laporan muka depannya baru-baru ini menyiarkan Mohamad Sabu sebagai mendakwa Muhammad Indera, lelaki yang bersekongkol dengan Goh Pen Tun dan 200 anggota komunis adalah hero sebenar, bukannya 25 anggota polis dan keluarga mereka yang mempertahankan diri dalam serangan di balai tersebut.

Selain itu, Utusan melaporkan, timbalan presiden PAS itu, dalam ceramahnya di Tasek Gelugor, Pulau Pinang pada 21 Ogos lalu, turut mendakwa Datuk Onn dan Tunku Abdul Rahman tidak layak dianggap sebagai pejuang kemerdekaan kerana menganggap mereka sebagai pegawai British.

Saya seolah sokong Komunis

"Berikutan dengan penyiaran berita itu, Radio dan Televisyen Malaysia serta TV3 terus menyiarkan dan membuat ulasan terhadap berita Utusan Malaysia itu, seolah-olah saya adalah penyokong perjuangan komunis bahkan saya adalah bapa komunis yang sebenar.

"Beberapa akhbar dan laman blog meminta komen saya terhadap kecaman pelbagai pihak terhadap saya dan saya memberitahu mereka bahawa saya akan membuat pendirian apabila saya mendengar kembali ucapan saya tersebut kerana berita Utusan Malaysia tersebut hanya disiarkan seminggu selepas tarikh ceramah.

"Setelah mendengar kembali ucapan saya dan dibandingkan dengan berita muka depan dan muka 5 Utusan Malaysia, serta kecaman-kecaman yang berterusan disiarkan Utusan Malaysia bertarikh 28 Ogos, maka saya dapati Utusan Malaysia telah memutar belit dan menambah cerita yang menimbulkan fitnah terhadap saya dan parti saya (PAS)," jelasnya pada sidang media yang diadakan di Kompleks PAS Perlis hari ini.

Ketika ditanya media tentang ucapannya, Mohamad berkata beliau tidak pernahpun menyebut Mat Indera itu sebagai seorang komunis sepertimana yang telah disiarkan oleh Utusan Malaysia.

"Selepas mendengar balik ucapan saya itu, didapati saya berlaku percanggahan dengan berita yang disiarkan Utusan Malaysia. Malah saya sendiri tak pernah dengarpun nama Goh Pen Tun seperti yang disiarkan.

"Berita itu telah ditokok-tambah sehingga menimbulkan kegelisahan orang ramai dan menyebabkan saya dikecam, diancam dan difitnah di atas penyiaran berita oleh Utusan Malaysia itu," jelasnya.

Mengulas lanjut isu ini, Mohamad berkata penyiaran berita seumpama ini adalah suatu taktik parti pemerintah dengan menggunakan media arus perdana untuk mengalihkan isu sebenar yang lebih besar seperti kepincangan sistem pilihanraya di negara ini.

"Saya tak nampak sangat penyiaran berita ini bertujuan untuk menjatuhkan saya mahupun PAS, tetapi yang lebih besarnya mereka telah digunakan untuk mengalihkan tumpuan rakyat dari isu Suruhanjaya Pilihanraya, isu pendatang asing sebagai pengundi serta pembongkaran PAS dan Bersih tentang kotornya daftar pemilih di negara ini.

"Ini yang mereka cuba alihkan dari pandangan orang ramai khususnnya sokonganorang-orang Melayu. Jadi mereka guna ucapan saya yang telah diselewengkan itu untuk mengalihkan isu yang lebih besar," jelasnya lagi. - Harakahdaily


Anak Sosilawati akhiri zaman bujang


BATU PAHAT: Erni Dekritawati Yuliana Bukhairi, 26, anak sulung kepada pengasas dan jutawan kosmetik, Allahyarham Datuk Sosilawati Lawiya, bakal mengakhiri zaman bujangnya selepas dikatakan memohon restu untuk berkahwin kepada keluarga terdekatnya, di sini, baru-baru ini.

Berita mengenai Erni atau lebih dikenali dengan panggilan Rita yang bakal mendirikan rumah tangga itu mulai hangat diperkatakan masyarakat setempat berikutan bakal suaminya itu adalah pegawai kanan sebuah kementerian serta aktif dalam kancah politik negara, selain turut berasal dari daerah ini. Menurut sumber, pemegang Ijazah Sarjana Perniagaan Antarabangsa Universiti Nottingham, United Kingdom itu menyatakan hasrat berkenaan kepada keluarga terdekatnya sewaktu pulang ke kampung, baru-baru ini. "Beliau (Rita) sudah meminta restu daripada sanak keluarga terdekatnya mengenai perkara berkenaan (perkahwinan) dan menyatakan mungkin ini adalah jodoh terbaiknya serta waktu yang sesuai untuk beliau memulakan hidup berkeluarga.

"Namun, Rita tidak menyatakan pula secara terperinci mengenai perancangan perkahwinannya termasuk tarikhnya...tetapi yang pasti ini adalah berita yang amat menggembirakan keluarga berkenaan selepas apa yang mereka tempoh sejak setahun lalu," katanya.

Perkhabaran terbaru ini sekali gus menutup segala spekulasi berhubung jejaka yang sering dikaitkan dengan Rita sebelum ini, walaupun dia menyangkal perkara itu.

Sementara itu, Rita dan lima adik beradiknya akan pulang menyambut Aidilfitri di kampung arwah ibu mereka di Kampung Sri Menanti, Sri Medan, dekat sini dan meneruskan tradisi dilakukan jutawan kosmetik berkenaan yang akan menganjurkan rumah terbuka kepada penduduk setempat.
Ibu saudaranya, Rosnani Lawiya, 47, berkata rumah terbuka yang akan diadakan di rumah nenek Rita, Yatmah Abdul Rahman, 81, akan dianjurkan secara lebih sederhana termasuk mengadakan tahlil - Berita Harian

Isteri cemburu simbah asid ke muka suami ketika dikejar


KOTA BHARU – Gara-gara mengesyaki suami mempunyai hubungan sulit dengan wanita lain, seorang peniaga di bazar Ramadan Kok Lanas di sini melecur di kanan muka dan sebahagian badan selepas disimbah sejenis cecair berasid oleh isterinya.

Dalam kejadian pada pukul 9.30 pagi, mangsa yang berusia 47 tahun dan enggan dikenali sedang menguli doh martabak di rumahnya di Kok Lanas dekat sini sebelum pasangan itu bergaduh.

Isteri mangsa yang menghidap penyakit kencing manis ketika itu pula sedang mencuci luka pada kakinya menggunakan cecair berasid.

Sejurus selepas berperang mulut, si suami meninggalkan doh martabak diulinya dan bertindak mengejar isterinya. - Kosmo

Mat Sabu pengganas, pengkhianat – Musa Hassan


KUALA LUMPUR 28 Ogos – Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan melabelkan Mohamed Sabu sebagai pengganas dan pengkhianat negara apabila mendakwa Parti Komunis Malaya (PKM) ialah hero sebenar dalam peristiwa Bukit Kepong dan bukannya anggota keselamatan serta ahli keluarga mereka.

Sehubungan itu, katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu memantau tindak-tanduk Timbalan Presiden Pas itu dan mengambil tindakan tegas terhadapnya termasuk dikenakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana kenyataannya itu menunjukkan beliau mempunyai kecenderungan menjadi pengganas.

Menurut Musa, kenyataan Mat Sabu itu jelas menunjukkan beliau menyokong pengganas sedangkan sejarah membuktikan betapa kejamnya komunis terhadap anggota pasukan keselamatan dan rakyat yang menentang perjuangan mereka suatu ketika dahulu.

“Lupakah Mat Sabu betapa ramai anggota pasukan keselamatan dibunuh dengan kejam oleh komunis, berapa banyak rumah penduduk kampung dibakar apabila enggan memberi beras kepada mereka?.

“Ada 6,000 pegawai dan anggota polis dibunuh oleh komunis, tak kan mereka sanggup bergadai nyawa jika bukan mahu mempertahankan negara tetapi malang sekali pengorbanan mereka diperlekehkan oleh seorang pengkhianat seperti Mat Sabu,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Kata Musa lagi, Mohamad Sabu mungkin sengaja mengeluarkan kenyataan tersebut untuk mencari publisiti dan memburukkan polis yang selalu menangkapnya kerana melanggar undang-undang sebelum ini. - Utusan

* Kenyataan Musa yang mengatakan Mat Sabu pengganas sangat biadap kerana seseorang tidak boleh dikatakan bersalah sehingga mahkamah memutuskan ia bersalah...

28 August 2011

Ahli falak Arab yakin raya Rabu


Mahkamah Agung Riyadh arah lihat anak bulan petang 29 Ramadan

JEDDAH: Mahkamah Agung Arab Saudi meminta umat Islam di negara itu untuk melihat anak bulan Syawal pada petang Isnin yang jatuh pada hari ke-29 Ramadan (29 Ogos) dan melaporkan perkara itu kepada mahkamah terdekat jika sesiapa melihat anak bulan sama ada dengan mata kasar atau bantuan teropong. Mahkamah mengarahkan mereka yang mahu melihat anak bulan terbabit menyertai jawatankuasa itu di setiap wilayah. Anak bulan tidak akan dilihat pada malam Isnin, 29 Ramadan, justeru Aidilfitri tidak akan disambut Selasa ini. - Majed Abu Zahra, Pengerusi Persatuan Astronomi Arab Saudi Tamatnya berpuasa dan Hari Raya Aidilfitri diputuskan dengan melihat anak bulan Syawal.

Bagaimanapun, pakar kaji bintang yang berselisih pendapat berhubung permulaan bulan suci Ramadan berdasarkan pengiraan astronomi, berdebat sekali lagi mengenai permulaan Syawal.

Mereka kini berhujah sama ada Aidilfitri, yang menandakan tamatnya bulan Ramadan, jatuh sama ada Selasa atau Rabu. Kontroversi berhubung permulaan Ramadan juga mencetuskan perdebatan.

Persatuan Astronomi Arab Saudi menjangka Ramadan berlanjutan selama 30 hari tahun ini dan dalam kes itu, ia akan berakhir pada Selasa, 30 Ogos, dengan lebaran jatuh pada Rabu, 31 Ogos.
Persatuan itu berkata anak bulan tidak akan dilihat pada malam Isnin, 29 Ramadan, justeru Aidilfitri tidak akan disambut Selasa ini.
Pengerusi persatuan itu, Majed Abu Zahra berkata anak bulan pada Isnin, 29 Ogos, akan kelihatan sebelum matahari terbenam, justeru tiada sesiapa dapat melihatnya.

Beliau menjelaskan pada hari berkenaan, bulan akan bertukar gerhana di semua bahagian pentadbiran kerajaan sebelum matahari terbenam sekurang-kurangnya tiga hingga enam minit justeru menjadikannya mustahil untuk melihat anak bulan terbabit.

Katanya pada malam Selasa, 30 Ogos, bulan dapat dilihat dengan jelas tanpa bantuan teleskop sekali gus memberi petunjuk Aidilfitri akan jatuh pada hari berikutnya, Rabu, 31 Ogos.

Abu Zahra berkata ada dua pilihan yang diambil pihak berkuasa Arab Saudi iaitu pertama menjadikan Selasa, 30 Ogos hari pertama Aidilfitri dengan penduduk berpuasa selama 29 hari menurut kiraan astronomi.

Kedua, menjadikan Rabu, 31 Ogos, hari pertama lebaran ketika bulan dapat dilihat dengan mata kasar pada malam Selasa. – Agensi

Keluarga Norshahirah akan ke Kedutaan Nepal esok

PADANG SERAI: Keluarga Norshahirah Mohd Rasul, gadis yang lari mengikut kekasihnya warga Nepal ke Kathmandu akan ke Kedutaan Nepal di Kuala Lumpur esok bagi mendapatkan bantuan untuk menjejaki gadis itu.

Kakak Norshahira, Nillie Shakira, 23, berkata keluarganya berasa amat lega dengan jaminan Duta Nepal di Malaysia yang bersedia membantu menjejak lelaki tersebut dan Norshahira di Kathmandu. Bapa gadis itu, Mohd Rasul Kassim, 50, pula berkata kesudian Duta Nepal untuk membantu mereka merupakan satu penawar bagi keluarga berkenaan. "Rupanya harapan untuk bertemu semula dengan anak kami itu masih ada dan kami berdoa siang dan malam sejak kehilangannya tempoh hari semoga Allah makbulkan permohonan kami itu," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Semalam Duta Nepal ke Malaysia Dr Rishi Raj Adhikari dilaporkan sebagai berkata Kedutaan Nepal sedia membantu menjejaki Norshahirah jika laporan mengenainya dibuat di kedutaan berkenaan esok.

Norshahira, 21, dilaporkan keluar rumah mereka di Taman Kenangan, Sungai Karangan di sini pada 22 Ogos lalu.

Menurut maklumat polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), Norshahirah dan seorang lelaki Nepal menaiki penerbangan ke Kathmandu di LTABPP pada 23 Ogos. - BERNAMA

Anak hilang sebelum raya

POKOK SENA: “Aidilfitri yang akan disambut Selasa nanti tidak akan bermakna bagi kami sekeluarga selagi anak perempuan saya tidak pulang ke rumah semula,” kata Haironi Abdul Rahman, 43, ibu kepada Siti Noor Atikah, 16, yang hilang sejak 22 Julai lalu.

Katanya, sambutan Aidilfitri tahun ini tidak bermakna kepada mereka seisi keluarga kerana sentiasa memikirkan nasib anak perempuannya.

Haironi berkata pada hari kejadian, Atikah keluar bersama kakaknya, Siti Noor Hasfinas, 17, ke Alor Setar jam 5 petang.

Namun apabila tiba di sebuah pusat beli-belah, Atikah bertemu seorang rakan perempuannya bernama Sheila dan mereka menaiki motosikal ke satu lokasi lain.

Hasfinas kemudian menunggu adiknya di pusat beli-belah berkenaan, tetapi sehingga lewat malam Atikah masih tidak muncul.

Bapanya, Abu Bakar Mat Desa, 44, berkata sehingga hari ini mereka tidak menerima khabar mengenai Atikah, malah terus dirundung kebimbangan dengan nasib anak ketiga daripada lapan beradik itu.

“Anak gadis saya bercita-cita menjadi model selepas tamat persekolahannya dan dia anak yang patuh dan jarang melawan cakap ibu bapa.

“Saya sudah puas menghubungi telefon bimbitnya, tetapi gagal. Saya bimbang dengan keselamatannya memandangkan dia berseorangan tanpa keluarga.

“Jika Atikah ada berkecil hati dengan keluarga ini, saya minta maaf dan merayu dia pulang ke pangkuan kami semula sebelum Syawal tiba tidak lama lagi,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Panchur, di sini.

Selepas Atikah masih tidak pulang ke rumah, keluarganya membuat laporan di Balai Polis Pokok Sena dan sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai gadis terbabit diminta menghubungi keluarga itu di talian 012-4594148. - Mymetro

Pengawal keselamatan maut akibat ditikam

KUALA LUMPUR – Seorang pengawal keselamatan maut akibat ditikam dalam satu kejadian pecah kereta di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Wahyu, Jinjang di sini, awal hari ini.

Ketua Polis Sentul, ACP Zakaria Pagan berkata, kejadian kira-kira 3.15 pagi itu bermula apabila mangsa Shariff Din, 47, menghalang dua lelaki daripada memecah sebuah kereta proton Iswara milik rakan mangsa.

"Sebelum itu, isteri mangsa ternampak dua lelaki dalam keadaan mencurigakan di tempat letak kereta dari tingkat lapan rumah mereka, dan meminta mangsa turun memeriksa keadaan di situ.

"Mangsa turun ke kawasan parkir dan ternampak seorang lelaki cuba mengumpil sebuah kereta sebelum cuba menangkap seorang daripada suspek,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Zakaria berkata, ekoran itu, mangsa ditikam dipercayai menggunakan pisau oleh rakan suspek (suspek kedua).

"Mangsa mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di tulang rusuk kiri dan bahagian belakang badan, manakala kedua-dua suspek lari dan meninggalkan motosikal yang dinaiki mereka di tempat kejadian,” kata Zakaria. – Bernama

Pemberontak Libya kepung bandar kelahiran Gaddafi


TRIPOLI - Pemberontak Libya menawan pos kawalan Ras Jdir di kawasan sempadan dengan Tunisia dalam usaha menutup laluan keluar yang boleh digunakan Muammar Gaddafi untuk meninggalkan negara ini.

Lokasi persembunyian Gaddafi masih menjadi misteri tetapi pemberontak percaya pemimpin berusia 69 tahun itu masih berada di Libya.

Beliau sebelum ini bersumpah akan "berjuang sehingga syahid" dan tidak akan sekali-kali meninggalkan tanah airnya.

Namun, pemberontak yang tidak mahu menanggung risiko Gaddafi meloloskan dirinya dari negara ini bertindak menawan pos sempadan Ras Jdir lewat kelmarin.

Seorang pegawai Tunisia berkata, beberapa askar yang menyokong Gaddafi cabut lari selepas melihat lebih 100 pejuang pemberontak menuju ke pos kawalan itu.

"Tiada pertempuran dalam erti kata sebenar berlaku, askar-askar Gaddafi melarikan diri dan pemberontak menaikkan bendera mereka di pos kawalan tersebut," katanya.

Ketika pemberontak menutup laluan yang berpotensi digunakan oleh Gaddafi, agensi berita rasmi Mesir, MENA pula memetik sumber pemberontak memberitahu satu konvoi mengandungi enam kereta berperisai yang mungkin membawa pemimpin berusia 69 tahun itu telah melintasi sempadan Libya dan memasuki Algeria.

Sumber berkenaan menyatakan, deretan yang terdiri daripada enam kereta Mercedes itu diiringi askar-askar pro-Gaddafi sehingga kenderaan-kenderaan tersebut memasuki bandar Ghadames di Algeria.

Pihak pemberontak tidak dapat mengejar konvoi berkenaan kerana kekurangan peluru dan peralatan.

"Kami fikir kenderaan-kenderaan itu membawa pegawai kanan Libya, mungkin Gaddafi dan anak-anak lelakinya," kata sumber sama.

Algeria kelmarin menegaskan bahawa negara itu tetap tidak mengiktiraf kepimpinan pemberontak iaitu Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) Libya.

Algeria sebaliknya akan terus mengekalkan dasar neutral yang menjadi pegangan negara itu sejak konflik di Libya tercetus pada pertengahan Februari lalu.

Pendirian tersebut senada dengan polisi Kesatuan Afrika (AU) yang turut enggan mengiktiraf NTC.

Sementara itu, tiada tanda-tanda perang di Libya akan tamat dalam masa terdekat.

Menolak rundingan damai dengan Gaddafi, NTC menegaskan bahawa perang di Libya tidak akan berakhir sehingga Gaddafi ditangkap sama ada hidup atau mati.

Pada lewat kelmarin, NTC menghantar pejuang-pejuangnya untuk menggempur bandar kelahiran Gaddafi, Sirte yang terletak sekitar 450 kilometer ke timur ibu kota Libya.

Beberapa pemimpin NTC berkata, Sirte perlu ditawan kerana mereka percaya Gaddafi kini bersembunyi di bandar itu dengan dilindungi oleh ketua-ketua puak bersenjata.

"Namun, kami tidak pasti seratus peratus," kata seorang pegawai pemberontak.

Menjelang kepungan pemberontak ke atas Sirte, jet-jet Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) meningkatkan tekanan terhadap tentera Gaddafi di bandar berkenaan dengan mengebom 15 kenderaan tentera dan empat sasaran darat sejak kelmarin termasuk sebuah kubu bawah tanah.

Pejuang-pejuang pemberontak kini mara ke barat Libya dan bertempur di beberapa buah bandar termasuk Rass Al Jadeer, Regdalen, Aljamil dan Alagelat dalam usaha membebaskan seluruh negara itu daripada cengkaman tentera Gaddafi.

Pada masa yang sama, NTC sedang berusaha untuk mewujudkan sebuah pemerintahan pusat di sini bagi menyeragamkan operasi memburu Gaddafi.

Kepimpinan NTC menyatakan Tripoli kini bebas daripada tentera Gaddafi.

Seorang pegawai NTC, Ali Tarhuni berkata, ketua mereka, Mustafa Abdel Jalil akan tiba di sini selepas keadaan keselamatan bandar raya ini benar-benar terjamin.

Setakat ini sebanyak 57 negara, kebanyakannya negara Barat, telah mengiktiraf NTC sebagai pemerintah Libya yang sah.

Rakyat Libya bangkit menentang kepimpinan Gaddafi pada pertengahan Februari lalu kerana menuntut pembaharuan demokrasi dan ekonomi.

Pada Apri lalu, NATO mula melancarkan serangan udara di Libya bagi menguatkuasakan zon larangan terbang untuk menghalang rakyat biasa daripada menjadi mangsa keganasan tentera Gaddafi. - Agensi

Tiga Lelaki Termasuk Sepasang Adik-beradik Dihukum Gantung

ALOR SETAR: Sepasang adik-beradik dan seorang rakan mereka dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini atas kesalahan membunuh seorang lelaki berusia 25 tahun di Sungai Petani, enam tahun lalu.

Hakim Datuk Zamani A. Rahim membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan J. Ramesh, 29, abangnya Sasivarnam, 32 dan P. Gunasegar, 30, gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan .

Ketiga-tiga lelaki tersebut dan seorang lagi yang masih bebas disabitkan bersalah membunuh B. Venukumar di sebuah taman permainan di Taman Ria Jaya, Sungai Petani antara 9.30 malam dan 10.30 malam, 16 April, 2005.

Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman mati mandatori.

"Mahkamah mendapati keterangan tiga tertuduh itu tidak menyakinkan. Kenyataan mereka adalah tidak konsisten dan bercanggah antara satu sama lain.

"Oleh itu pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan," kata Zamani dalam penghakiman bertulis.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nor Hasnita Wan Daud manakala ketiga-ketiga tertuduh diwakili oleh peguam Jagdeep Singh Deo. - BERNAMA

Dr M: Salahkan pemimpinnya, bukan sistem BN


Konsep kerajaan campuran dengan perwakilan semua kaum di negara ini masih merupakan satu "sistem yang baik", kata mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau menyalahkan masalah dan rasa tidak puas hati, sejak beberapa tahun yang lalu, bukan kerana sistemnya, tetapi dasar-dasar pemimpin yang mentadbir kerajaan.

Katanya, bukan BN yang salah, tetapi dasar-dasar yang diikuti.

Beliau menegaskan demikian di majlis pelancaran autografi beliau dalam versi bahasa Cina di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

"Di bawah sistem kerajaan campuran, kita hidup makmur selama hampir 50 tahun," tambah Dr Mahathir.

Menurutnya, "sistem BN" adalah baik, tetapi apabila berlaku perubahan pucuk pimpinan, dasar-dasar yang dilaksanakan juga bertukar.

Kadang-kadang, tegasnya, perubahan itu adalah untuk kebaikan dan ia memperbaiki keadaan, tetapi Kadang-kadang perubahan itu untuk sebab yang salah dan negara tidak akan makmur.

Menurutnya, apabila beliau bersara, dasar-dasar negara mengalami perubahan 190 darjah, menyebabkan ekonomi, malah hubungan kaum, merosot.

Apabila Tun Abdullah Ahmad Badawi menggantikan Dr Mahathir, beliau terus membatalkan projek-projek mega pentadbiran sebelumnya - jambatan bengkok Malaysia-Singapura dan projek landasan berkembar.

Abdullah juga cuba memperkenalkan beberapa pembaharuan, seperti IPCMC, sebelum berdepan dengan tekanan dari dalam parti tersebut, yang memaksannya berundur dan digantikan oleh timbalannya ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak. - Malaysiakini

Kes samun: Isteri disimbah asid, suami dicampak tepi jalan

ALOR SETAR 28 Ogos – Seorang wanita melecur kira-kira 20 peratus pada bahagian muka, leher, mata dan dada akibat disimbah asid oleh dua lelaki dalam kejadian samun di Guar Chempedak dekat Yan malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Adzaman Mohd Jan berkata, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 11 malam apabila kereta Proton Waja yang dinaiki Rosnani Husin, 53, bersama suaminya dipercayai ditahan oleh dua lelaki yang tidak dikenali di sebuah stesen minyak di Kota Sarang Semut dekat sini.

Katanya, dua lelaki terbabit berpura-pura mahu menumpang kereta mangsa disebabkan kereta mereka kehabisan minyak dan suami mangsa bersetuju menumpangkan kedua-dua suspek menuju ke Jalan Baru melalui Jalan Permatang Buluh, Kota Sarang Semut.

"Ketika dalam perjalanan suspek, dikatakan mengacu pisau kepada kedua-dua mangsa dan mengikat kaki dan tangan suami mangsa sebelum mencampakkannya di tepi jalan di Jalan Baru, Bukit Besar.

"Kira-kira 50 kilometer dari tempat suami mangsa dicampak, suspek memberhentikan kereta (berdekatan Guar Chempedak) lalu menyimbah asid ke muka mangsa sebelum beredar dari tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Suami mangsa dijumpai oleh orang awam dalam keadaan kaki dan tangan berikat, manakala mangsa dan kereta yang ditinggalkan ditemui polis Guar Chempedak. – Bernama

* Umno kata Malaysia aman...

Dipukul tanpa sebab


GEORGETOWN: “Kami dipukul, dipijak dan ditendang seperti haiwan di depan orang ramai, sedangkan kami tidak melakukan apa-apa kesalahan,” dakwa dua sahabat apabila dipukul sekumpulan 15 anggota skim rondaan sukarela (SRS) di Batu Ferringhi, di sini, malam Khamis lalu.

Muhammad Farzuan Romzi, 20, dan Fendi Abdul Latif, 21, masing-masing dari Teluk Bahang berkata, kejadian berlaku jam 11.30 malam ketika mereka mengunjungi rumah seorang rakan di Mutiara Apartment, Batu Ferringhi.

Bagaimanapun, Muhammad Farzuan berkata, rakannya yang menetap di tingkat empat tiada di rumah dan mereka menunggu di tepi tangga sebelum didatangi sekumpulan lelaki yang mendakwa mereka anggota SRS sebelum memukul mereka menggunakan kayu, besi dan topi keledar.

Katanya, dia dan rakannya hampir pengsan selepas dibelasah tanpa belas kasihan dan mengalami lebam di seluruh anggota badan dan muka sebelum dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan lanjut.

“Saya terkejut dengan kejadian itu dan lebih menyedihkan apabila dituduh cuba melakukan jenayah pecah rumah dan menghidu gam selain dibelasah dan diseret dari tingkat tiga hingga tingkat bawah tanpa belas kasihan serta diperlakukan seperti binatang,” katanya.

Fendi berkata, dia kesal kerana kumpulan lelaki itu mengambil tindakan tanpa usul periksa, selain trauma dengan kejadian terbabit.

Berikutan itu, satu laporan polis dibuat di Balai Polis Batu Ferringghi, jam 11 pagi semalam bagi meminta polis melakukan siasatan. - Mymetro

Dua Wanita Maut Dirempuh Van Di PLUS

IPOH: Dua wanita maut akibat dirempuh van ketika mereka keluar untuk menyelamatkan diri daripada kereta mereka yang terbabas dan merempuh penghadang besi di tengah jalan di Km202, Lebuhraya Utara-Selatan dekat Kerian awal pagi Ahad.

Noorzaihan Ishak, 28, dan adik iparnya Nurhasyimah Halim, 20, meninggal dunia di tempat kejadian dalam kemalangan kira-kira pukul 12.08 pagi itu.

Ketua Polis Daerah Kerian, Supritendan Mat Fauzi Nayan berkata, kejadian berlaku apabila kereta Proton Satria yang dipandu suami Noorzaihan cuba mengelak sebuah kereta yang memotong laju dari arah belakang lalu terbabas dan merempuh penghadang besi di tengah jalan.

Ketiga-tiga mereka kemudian keluar dari kereta untuk menyelamatkan diri bagaimanapun kedua-dua wanita berkenaan telah dirempuh sebuah van menyebabkan mereka tercampak dan mengalami cedera parah, katanya ketika dihubungi.

Fauzi berkata suami Noorzaihan berjaya menyelamatkan diri dengan berlari ke tepi lebuh raya.

Mayat kedua-dua wanita itu dihantar ke Hospital Bagan Serai untuk bedah siasat, katanya.

Ketika kejadian, tiga beranak itu dalam perjalanan dari Kedah ke rumah suami Noorzaihan di Batu Caves, Selangor untuk pulang berhari raya, katanya.

Beliau berkata pemandu van bersama tiga penumpang rakyat Thailand hanya cedera ringan. - BERNAMA

Didakwa hina pejuang, Mat Sabu mahu teliti rakaman ceramah


KUALA LUMPUR, 28 Ogos — Mohamad Sabu mengambil pendirian untuk tidak memberi sebarang komen berhubung dakwaan akhbar Utusan mengatakan beliau menghina pejuang kemerdekaan dalam satu ceramah di Tasik Gelugor, Pulau Pinang pada 21 Ogos lalu.

Sebaliknya, Timbalan Presiden PAS (gambar) menegaskan, beliau mahu melihat kembali rakaman video berhubung ceramah itu sebelum memberikan sebarang komen.

“Saya berucap pada 21 Ogos tapi keluar dalam Utusan Malaysia 27 Ogos, saya tidak mahu beri apa-apa komen lagi... saya nak dengar dan lihat balik rakaman video itu dulu.

“Saya tidak mahu nafi atau apa, saya nak tengok balik... saya tak tahu apa yang dilaporkan (dalam Utusan Malaysia) sama ada ia betul atau tidak,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Akhbar milik Umno itu sejak semalam terus menyerang Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu kerana menghina perjuang kemerdekaan dengan menganggap pihak komunis yang menyerang pasukan keselamatan dalam tragedi Bukit Kepong pada 1950 adalah hero sebenar.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin melahirkan rasa kesal dengan kenyataan Mohamad itu yang mengangkat pengganas komunis sebagai hero sebenar perjuangan kemerdekaan negara.

Malah, Muhyiddin turut menyifatkan kenyataan Mohamad bahawa Datuk Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman tidak layak dianggap pejuang kemerdekaan adalah sesuatu yang biadab.

“Kenyataan Mohamad Sabu ini adalah satu penghinaan dan pengkhianatan terhadap perjuangan bangsa Melayu menuntut kemerdekaan tanah air.

“Sebaliknya beliau dengan angkuhnya telah mengangkat kezaliman pengganas komunis sebagai satu kemuliaan,” katanya.

Muhyiddin menegaskan Mohamad wajar memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia kerana membuat kenyataan yang amat tidak bertanggungjawab itu.

Utusan Malaysia dalam laporan muka depannya semalam menyiarkan kontroversi yang dicetuskan Mohamad apabila mendakwa Muhammad Indera, lelaki Melayu yang bersekongkol dengan Goh Peng Tun dan 200 anggota komunis adalah hero sebenar, bukannya 25 anggota polis dan keluarga mereka yang mempertahankan diri dalam serangan di balai polis itu.

Hari ini akhbar Kumpulan Utusan, Mingguan Malaysia memperuntukan enam halaman termasuk muka depan mengecam Mat Sabu.

Selain itu, dalam ceramahnya di Tasek Gelugor, Pulau Pinang 21 Ogos lalu, Mohamad turut didakwa menggambarkan Datuk Onn dan Tunku Abdul Rahman tidak layak dianggap sebagai pejuang kemerdekaan kerana tokoh tersebut adalah pegawai British.

Bagaimanapun dalam rakaman video ceramah itu, The Malaysian Insider mendapati Mohamad langsung tidak menyebut apa-apa tentang Goh sebaliknya hanya menegaskan Muhhammad Indera adalah pejuang kemerdekaan yang sebenarnya.

“Cerita sejarah kita banyak yang tidak kena, bukan kepung polis itu polis British, askar Bukit Kepong itu pejuang kemerdekaan, ketuanya Mat (Muhammad) Indera, Melayu tetapi semua sejarah ditutup.

“Jins Shamsuddin buat filem, dia tu Umno, cerita Bukit Kepong, askar Bukit Kepong ditahan polis British sebab sebelum kemerdekaan negara diperintah oleh British,” katanya.

Tambah beliau: “Tapi dalam filem askar itu pengganas, padahal Mat Indera ketua balai polis dan akhirnya dia dihukum gantung.”

Jelas Mohamad, peristiwa sama turut berulang kepada Tok Janggut di Kelantan yang dianggap pengganas kerana menentang British.

“Tok Janggut lawan British tapi sebelum British nak bunuh dia, dia (British) hasut Sultan Kelantan untuk isytihar Tok Janggut sebagai penderhaka.

“Bila isytihar Tok Janggut penderhaka barulah Tok Janggut dihukum gantung di Pasir Puteh Kelantan,” katanya.

Dalam ceramahnya itu beliau menyifatkan semua sejarah tentang kemerdekaan negara adalah bohong.

“British dikatakan pejuang kemerdekaan, siapa pegawai British? Datuk Onn dan Tunku Abdul Rahman.

“Yang lawan British jadi pengganas,” katanya. - TMI

Saya tak ingat isi ceramah, kata Mat Sabu


Timbalan presiden PAS, Mohamad Sabu berkata beliau tidak ingat isi ceramahnya berkaitan dakwaan pengganas dalam Kompeni Pasukan Ke-4 Parti Komunis Malaya (PKM) yang menyerang Balai Polis Bukit Kepong pada 23 Februari 1950 adalah wira negara.

"Saya tidak ingat (apa yang diperkatakan) sebab ceramah itu berlangsung minggu lepas (21 Ogos)," katanya kepada akhbar Sinar Harian.

Laporan akhbar itu ini memetik Mohamad Sabu sebagai berkata: "Saya tidak mahu komen mengenai apa yang dilaporkan oleh akhbar arus perdana itu".

Utusan Malaysia dalam laporan muka depannya semalam menyiarkan Mohamad Sabu sebagai mendakwa Muhammad Indera, lelaki yang bersekongkol dengan Goh Pen Tun dan 200 anggota komunis adalah hero sebenar, bukannya 25 anggota polis dan keluarga mereka yang mempertahankan diri dalam serangan di balai tersebut.

Selain itu, Utusan melaporkan, timbalan presiden PAS itu, dalam ceramahnya di Tasek Gelugor, Pulau Pinang pada 21 Ogos lalu, turut mendakwa Datuk Onn dan Tunku Abdul Rahman tidak layak dianggap sebagai pejuang kemerdekaan kerana menganggap mereka sebagai pegawai British.

Sementara itu, Mingguan Malaysia hari ini menyiarkan berita yang memetik reaksi pelbagai pihak mengecam Mat Sabu, termasuk penerima Pingat Gagah Bernani (PGB) dan Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP), bekas pegawai waran 1 Kanang anak Langkau.

Kanang dipetik sebagai berkata Mat Sabu tidak layak mengambil bahagian dalam politik demokrasi di negara ini dan menganggap timbalan presiden PAS itu sebagai "watak penghasut yang sewajarnya dikenakan tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA)".

Utusan juga memetik ketua penerangan Persatuan Veteran Tentera Melayu, Mohd Jurit Ramli menyifatkan kenyataan Mat Sabu itu sebagai biadap dan kurang ajar.

Manakala Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar pula dilapor Utusan sebagai berkata, Mat Sabu perlu memohon maaf kerana kenyataannya akan menyinggung perasaan waris anggota polis yang maut dalam tragedi berdarah itu. - Malaysiakini

* Macam jawapan kurang berkaliber...

Aidilfitri: Pelanggan ‘ikat perut’, peniaga keluh jualan kuih dingin


KUALA LUMPUR, 28 Ogos — Ketika ramai pengguna mengeluh tentang kenaikan harga makanan, peniaga-peniaga kuih raya turut merasai kesannya apabila produk makanan sempena Aidilfitri kali ini kurang mendapat sambutan berbanding tahun lalu.

Tinjauan The Malaysian Insider di beberapa lokasi sekitar ibu negara mendapati banyak kuih raya tidak laku ketika tinggal tiga hari sebelum Syawal.

Rata-rata peniaga yang ditemui juga mengatakan perniagaan mereka tahun ini “terlalu dingin’ sambil mengakui ia kesan daripada kenaikan beberapa barang keperluan termasuk minyak masak, gula dan bahan api.

Malah tinjauan di kalangan peniaga menggunakan kenderaan bergerak di sekitar ibu negara juga melahirkan pandangan yang sama. Mereka juga berpendapat “kuasa membeli” pada tahun ini tidak memberangsangkan kerana ramai pembeli terlalu berhati-hati dalam berbelanja mendapatkan kuih raya.

“Jualan tahun ini perlahan sangat, saya akui memang harga kuih naik, itu sebab pembeli kurang sebab mereka terlalu berhati-hati untuk berbelanja.

“Harga naik sebab kos lain naik. Sebagai contoh minyak masak, gula dan petrol... lagipun bukan tinggi sangat naik, tapi pembeli yang sudah biasa beli bising,” kata Zulkifly Abu Bakar, 53, yang cuba menggambarkan rungutan di kalangan pelanggan setianya.

Dia menambah, sukar untuk mendapat keuntungan sekiranya perniagan yang diusahakan sejak 25 tahun lalu tidak mendapat sambutan.

Zulkifly berkata, dia menghabiskan sehingga RM300,000 untuk mendapatkan bekalan pelbagai jenis kuih raya.

“Kuasa membeli itu kurang. Kalau macam ini susah untuk pastikan untung atau rugi, kos saya sahaja sebanyak RM300,000.

“Banyak sebab mengapa kuasa membeli kurang. Antaranya termasuk pembeli telah menempah kuih raya dan mungkin buat sendiri,” katanya yang mendapatkan produk kuih raya dari Kedah, Kuala Lumpur, Perak dan Johor.

Difahamkan ada juga yang menempah kuih atas talian dan ada membeli terus daripada kenalan masing-masing.

Selain menjalankan perniagaan di bazar Ramadan Jalan Masjid India, Zulkifly turut mengambil lot gerai di bazar Ramadan Jalan Chow Kit.

Saizamani Dollah, 36, yang turut berniaga di bazar Ramadan Jalan Masjid India juga melahirkan pandangan yang sama.

Katanya, kenaikan harga barang keperluan telah menjejaskan perniagaan kuih raya tahun ini.

“Jika hendak dibandingkan dengan tahun-tahun sebelum ini, tahun ini paling perlahan. Peniaga-peniaga terpaksa naikkan harga barang tapi bila kami naikkan (harga) pembeli bising,” katanya yang mengalami nasib yang sama.

Bagaimanapun Saizamani berkata, walaupun harga dinaikkan, namun sekiranya pelanggan membeli dalam jumlah banyak potongan tetap akan diberikan.

“Kalau biasa kita jual tiga bekas (atau bungkusan) RM10, tahun ini kita jual tiga RM12, bukan banyak sangat pun naik. Tapi kalau beli banyak tetap akan ada potongan,” katanya.

Seperti lazimnya peniaga terpaksa melelong kuih-kuih raya menjelang 1 Syawal, dijangka Selasa ini.

Walaupun kurang memberangsangkan namun Ahmad Ariffin Ibrahim sabar melayan pelanggannya. — Foto oleh Choo Choy May
Sementara itu, seorang lagi penjual Musliadi Mohamad, 31, berkata sambutan daripada pembeli tahun ini masih rendah.

“Jika tahun lepas, 15 hari sebelum hari raya kuih dah separuh habis, tapi tahun ini banyak lagi yang ada.

“Boleh dikatakan tahun ini sambutan macam tidak ada, lagi beberapa hari nak raya tapi kuih banyak lagi yang tak laku,” katanya.

Namun Ahmad Ariffin Ibrahim, 40, masih yakin sambutan kuih raya lebih laku menjelang Syawal.

“Kalau nak dibandingkan dengan tahun lepas memang tahun ini tak berapa dapat sambutan, tapi kebiasaannya bila betul-betul dekat nak raya baru orang mula beli.

“Kadang-kadang pada malam raya memang kami tak menang tangan sebab pembeli memang suka datang sasat-sat akhir,” katanya.

Ahmad Ariffin yang sudah hampir 15 tahun berniaga di bazar Ramadan Jalan Chow Kit juga mengakui “kuasa membeli” tahun ini begitu rendah.

Seorang peniaga kuih raya secara bergerak menggunakan lori kecil, yang dikenali sebagai Zulkifli juga berkongsi masalah yang sama.

“Ini sudah tiga minggu, saya mengambil stok kira-kira RM20,000 tetapi setakat ini hasil jualan saya dalam tangan cuma ada RM1,000 lebih... kalau tahun lepas, setakat ini (tiga minggu Ramadan), saya sudah habis jual semua stok,” katanya yang ditemui di kawasan Lembah Pantai. - TMI

Pemberontak Libya buntu kesan lokasi Gaddafi


BENGHAZI, 28 Ogos ─ Kumpulan pemberontak Libya masih belum ada maklumat yang konkrit mengenai keuddukan pemimpin negara itu atau anak lelakinya, kata ketua Majlis Peralihan Kebangsaan Mustafa Abdel Jalil semalam.

Pemberontak memperluaskan serangan mereka ke atas ibu negara Libya, Tripoli sejak seminggu lalu tetapi sehingga kini tidak dapat kesan di mana Muammar berada sekarang.

Bercakap pada sidang media di sini, beliau berkata, majlis tersebut kemungkinan mempelawa pegawai-pegawai polis dari negara Arab atau Islam untuk membantu Libya dari segi menyediakan keselamatan.

Bagaimanapun beliau tidak mahu kehadiran polis dari mana-mana negara-negara lain.

Katanya, pemberontak sedang berunding dengan pelobi-pelobi Muammar untuk memujuk beliau menyerahkan penguasaan ke atas bandar Sirte, kampung halaman Muammar. ─ Reuters

No 2 Al-Qaeda terbunuh di Pakistan


WASHINGTON, 28 Ogos — Pemimpin nombor dua Al-Qaeda, Atiyah Abd Al-Rahman terbunuh di Pakistan pada 22 Ogos lalu, kata seorang pegawai kanan Amerika Syarikat semalam.

Rahman, seorang rakyat Libya, mengambil alih tempat nombor dua apabila Ayman al-Zawahri mengetuai Al-Qaeda ekoran kematian Osama bin Laden di Pakistan, Mei lalu.

Pegawai-pegawai Amerika Syarikat tidak tahu bagaimana Rahman terbunuh tetapi kematiannya dilaporkan di Waziristan, barat laut Pakistan.

“Kematian (Rahman) Atiyah kehilangan besar bagi Al-Qaeda, sebab (Ayman) sangat bergantung padanya untuk membantu memberi panduan dan menguruskan pertubuhan khususnya selepas kematian Osama,” kata pegawai itu. — Reuters

Yusry mengaku rancang kahwin Lisa Surihani 2013


KUALA LUMPUR 27 Ogos - Setelah hampir dua minggu membisu mengenai desas-desus perkahwinannya, aktor duda yang tampan, Yusry Abdul Halim akhirnya mengaku merancang berkahwin dengan buah hatinya Lisa Surihani.

"Insya-Allah jika semua berjalan lancar dan tidak ada apa-apa halangan dari segi kerja, saya akan melamar Lisa dan mengahwininya pada 2013.

"Kalau tanya pada hati, memanglah saya mahu cepat tetapi apa-apa pun kami harus menghormati keluarga mengenai hasrat kami itu.

"Apa yang pasti, kami tidak mungkin berkahwin tahun depan kerana Lisa akan berlakon dalam filem arahan saya, Ular," akui Yusry, 37, ketika ditemui pada majlis berbuka puasa KRU di Hotel JW Marriot, baru-baru ini.

Ular yang dijangka memulakan penggambaran pada awal tahun depan dengan kos penerbitan RM1.7 juta akan menampilkan Lisa sebagai wartawan yang membantu menyelesaikan tragedi ular sebagai pembunuh manusia.

"Disebabkan kesibukan saya dan Lisa, kami tidak akan berkahwin tahun depan dan mudah-mudahan niat murni kami akan dapat dilaksanakan pada tahun berikutnya," kata Yusry.

Yusry yang mula intim dengan Lisa sejak lapan bulan lalu mengakui walaupun tempoh perkenalan mereka agak singkat namun banyak keistimewaan Lisa yang memikat hatinya.

Selepas bercerai dengan Erra Fazira, dia pernah berkawan dengan beberapa gadis namun hubungan itu hanya bertahan dua bulan.

"Namun Lisa amat berbeza. Dua bulan pertama mengenalinya, Lisa berjaya memikat hati saya dengan sifatnya yang lemah lembut dan begitu pandai menarik hati keluarga saya," kata Yusry.

Ditanya apa keistimewaan Lisa yang benar-benar menambat hatinya, tanpa teragak-agak Yusry berkata;

"Saya suka memandang wajah Lisa yang manis dan ayu. Setiap kali menatap wajahnya hati saya sejuk dan jiwa menjadi tenang. Itulah yang membuatkan saya menyenanginya." - Utusan

Lokasi maut: Perak paling bahaya


KUALA LUMPUR 27 Ogos – Perak merupakan negeri paling berbahaya kepada pengguna jalan raya di Malaysia apabila mencatatkan jumlah lokasi maut atau kawasan berisiko berlaku terbanyak iaitu 35 atau 37.6 peratus daripada 93 laluan yang dikenal pasti di seluruh negara.

Ini diikuti Negeri Sembilan yang mempunyai 23 lokasi (24.7 peratus), Johor 15 lokasi (16.1 peratus), Kelantan sembilan lokasi (9.7 peratus), Kedah dan Selangor masing-masing tiga lokasi (3.2 peratus) serta Pahang, dua lokasi (2.3 peratus).

Terengganu, Pulau Pinang dan Perlis masing-masing mencatatkan satu lokasi (1.1 peratus).

Berbanding jumlah 93 lokasi maut tersebut yang dikenal pasti oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM) pula mengenal pasti lebih banyak daripada itu, iaitu 160 lokasi.

Perbezaan ini berikutan polis trafik mengenal pasti lokasi secara lebih terperinci, termasuk berdasarkan jumlah kemalangan yang berlaku di satu-satu kawasan setiap kali Ops Sikap diadakan.

Jika diperincikan mengikut jumlah kematian akibat kemalangan, Johor mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 992 kes sepanjang tahun lalu dan diikuti oleh Selangor dengan 990 kes.

Berdasarkan statistik, 2,584 kematian telah dicatatkan dalam Ops Sikap dari tahun 2006 sehingga Februari lalu dengan penunggang motosikal paling ramai iaitu 1,563 kematian atau 60.5 peratus.

Kajian pihak berkuasa mendapati, jumlah kemalangan bukan disebabkan oleh faktor keadaan jalan raya semata-mata, tetapi jumlah penduduk serta kenderaan turut mempengaruhi.

Antara faktor lain yang turut menyumbang kepada berlakunya kemalangan di lokasi ‘blackspot’ atau lokasi maut ini ialah tiada penghadang jalan, garisan jalan pudar, kawasan gelap dan ketiadaan lampu isyarat di persimpangan utama.

Kajian juga menunjukkan penggunaan pengangkutan awam 70 peratus lebih selamat berbanding kenderaan persendirian.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak, Datuk Dr. Safry Kamal Ahmad memberitahu Mingguan Malaysia, kemalangan sering berlaku di negeri itu disebabkan jaringan jalan rayanya telah mencapai tahap ‘tepu’.

“Ini disebabkan ia tidak lagi mampu menampung jumlah penduduk dan kenderaan yang meningkat,” katanya yang dihubungi, baru-baru ini.

Sementara itu, Ketua Trafik Pasukan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Abdul Aziz Yusof pula berkata, jumlah 160 lokasi maut dalam senarai pihaknya itu telah dikenal pasti sempena Ops Sikap ke-24.

“Perbezaan dengan jumlah lokasi dikeluarkan oleh JPJ berlaku kerana polis mengambil langkah lebih terperinci dalam menentukan lokasi-lokasi maut di seluruh negara.

“Ketika musim perayaan, rondaan lebih kerap dilakukan di semua 160 lokasi selain pusat-pusat maklumat di kawasan strategik,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Tambah beliau, pendekatan menyeluruh dan ‘menyentuh kalbu’ dalam memberi kesedaran kepada pengguna jalan raya agar memandu secara berhemah juga akan dititikberatkan. - Utusan

* Bukti Umno gagal urus takbir negara dengan baik...

(Video) Anwar on Selangor gov't's 'Unit Selamat Aqidah'



Koleksi Video Lagu Hari Raya Puasa / Aidilfitri


Pulang Di Hari Raya - Norkumalasari
Selamat Hari Raya - Datuk Ahmad Jais
Fazidah Joned - Selamat Hari Raya
Rahimah Rahim - Selamat Berhari Raya
Saloma - Selamat Hari Raya

Mamat Exist - Ku Pohon Restu Ayah Bonda
Aishah - Pulanglah
Siti Nurhaliza - Sesuci Lebaran
Sharifah Aini - Suasana Hari Raya
Anuar Zain & Ellina - Suasana Hari Raya

DJ Dave - Menjelang Hari Raya
Awie : Raya Yang Sempurna
A To Z : Takbir Di Rantauan
Awie & Ziana Zain : Sensasi Hari Raya
Elite : Di Pagi Aidilfitri

Erra Fazira : Mulia
Amir Ukay's : Bermaafan Di Aidilfitri
Amy Mastura : Bersama Di Hari Raya
Amy Mastura : Setahun Sekali
Handy Black : Cahaya Aidilfitri

Amy Search : Manusia Miskin Kaya
Kristal : Mensyukuri Aidilfitri
Hattan : Selamat Datang Sayang
Jalil Hamid : Dendang Hari Raya
Jalil Hamid : Raya

Jamal Abdillah : Dari Jauh Ku Pohon Maaf
Liza Hanim : Hening Pagi Raya
Liza Hanim : Ku Pohon Doa Di Hari Raya
Jeffrydin : Musafir Di Hari Raya
Liza Hanim : Zapin Aidilfitri

Kristal : Bondaku Yang Jauh Di Mata
M. Nasir : Musafir Di Hari Raya
Kristal : Cahaya Aidilfitri
M. Shariff : Lagu Hari Raya
Siti Nurhaliza : Aidilfitri Di Alaf Baru

Amy Search Sentuhan Di Hari Raya
Wings : Keroncong Hari Raya
Senario : Puasa Dan Raya
Siti Nurhaliza & Noraniza Idris : Nikmat Hari Raya
Siti Nurhaliza : Anugerah Aidilfitri

Raihan & Now See Heart & Rem & Ajai : Lebaran Ini
Siti Nurhaliza : Bila Raya Menjelma
Siti Nurhaliza : Air Mata Syawal
Ning Baizura : Joget Aidilfitri
ND Lala : Bersederhanalah Di Hari Raya

Sudirman - Dari Jauh Ku Pohon Maaf
Uji Rashid & Hail Amir - Seloka Hari Raya
S. Jibeng - Musafir Di Aidilfitri
Aidilfitri - Sanisah Huri
Azlina Aziz : Indahnya Beraya Di Desa

Bersabarlah Sayang - Sanisah Huri
Black Dog Bone : Cahaya Aidilfitri
Sharifah Aini - Nostalgia Aidilfitri
Dayang Ku Intan : Senandung Hari Raya Untukmu
P. Ramlee - Suara Takbir

Sanisah Huri - Selamat Hari Raya

www.laguraya.blogspot.com