31 May 2011

Media: Pendidikan, kerjaya antara punca orang Melayu hijrah ke Australia

MELBOURNE, 31 Mei – Pendidikan lebih baik, peluang kerjaya cerah dan prospek perniagaan luas menjadi antara tarikan orang Melayu berhijrah dan menetap di Australia, kata seorang ahli akademik Malaysia yang berpejabat di sini.

Dr Ahmad Zaharuddin Sani, dari Universiti Malaya, yang kini merupakan Felo Kehormat di Institut Asia, University of Melbourne, memberitahu Bernama bahawa orang Melayu di sini adalah golongan profesional, yang meliputi kumpulan pengamal perubatan dan ramai juga terdiri daripada kerani, jurujual dan pekerja industri perkhidmatan.

Laporan Bernama Online menyebut, selain pelajar, kata beliau negeri Victoria sahaja mempunyai kira-kira 5,000 orang Melayu, dengan 75 peratus mereka adalah sama ada penduduk tetap atau warganegara Australia.

“Kumpulan terbesar orang Melayu berhijrah ke Australia adalah selepas 1981, sama ada di bawah program penyatuan semula keluarga atau menjadi penghijrah dalam bidang kemahiran atau perniagaan,” kata Dr Ahmad.

“Keadaan ini (penghijrahan orang Melayu) ekoran perubahan dasar yang membenarkan pelajar asing dengan sijil kemahiran dan kelayakan Australia memohon untuk lanjutan menetap di Australia.

“Ia mengizinkan lebih ramai orang Melayu mengambil peluang yang diberikan kerajaan Australia untuk melanjutkan masa menetap di sini sebelum memutuskan masa depan mereka.

“Terdapat juga beberapa orang Melayu yang niat asalnya untuk menyambung pelajaran dan kemahiran akhirnya terus menetap di sini,” katanya.

Dr Ahmad berkata ramai orang Melayu di sini terdiri daripada sebilangan jurutera dan sebahagian besarnya doktor dan pengamal perubatan yang datang ke Australia untuk melanjutkan pengajian.

Tertarik dengan bilangan orang Melayu berhijrah keluar Malaysia, Dr Ahmad melakukan penyelidikan untuk mencari punca penghijrahan itu.

Hasilnya lahirlah sebuah buku “Malays in Victoria” (Orang Melayu di Vitoria) yang pada asalnya dicadangkan oleh Zulkifli Ahmad, presiden Persatuan Orang Melayu di Victoria.

“Saudara Zul berkata saya sepatutnya menulis buku mengenai orang Melayu di Australia, terutamanya di Victoria.”

Buku itu yang diterbitkan minggu lepas oleh Dr Hass Dellal, Pengarah Eksekutif Australian Multicultural Foundation di satu seminar yang diadakan di University of Melbourne.

Dr Ahmad, yang memperoleh ijazah doktor falsafah dari Universiti Malaya dan Master of Theology dari University of Nottingham berkata, terdapat beberapa alasan mengapa orang Melayu meninggalkan tanah tumpah darah mereka lalu berhijrah ke negara lain seperti Australia.

Alasan itu, antara lain termasuklah dasar tidak adil yang hanya dinikmati sebilangan rakyat di negara asal, khususnya di Singapura; peluang pendidikan tinggi lebih baik bagi anak-anak mereka selain percuma dan pendidikan berkualiti; lebih banyak peluang pekerjaan dengan gaji dan suasana kerja lebih baik; faedah penjagaan kesihatan dan manfaat hospital kelas pertama serta jaminan masa depan untuk keluarga mereka di sebalik keturunan kaum mereka.

Namun, terdapat isu lain yang merunsingkan Dr Ahmad iaitu sebahagian orang Melayu di luar negara yang enggan menganggap diri mereka orang Melayu.

“Saya mempunyai seorang rakan Melayu yang memberitahu saya bahawa di Asia Tenggara mereka menganggap diri mereka Melayu tetapi di Australia dia adalah seorang Australia.

“Saya bersetuju bahawa istilah ‘Melayu’ ini mengelirukan sebilangan orang Melayu yang tidak mengetahui tentang kaum ini. Saya sendiri tidak tahu bagaimana hendak menjelaskan tentang kategori perkauman atau identiti ini kepada mereka,” kata Dr Ahmad.

Tetapi sebenarnya, menjadi orang Melayu tidak langsung merendahkan martabat mereka, kata beliau.

“Kita seharusnya bangga dengan siapa kita ini... itulah yang menjadikan kita istimewa,” katanya.

Dr Ahmad berkata agama “tanpa mengira baik buruknya, adalah satu perkara utama orang Melayu”.

“Dalam politik Malaysia, ia menjadi satu keutamaan nasional. Oleh kerana masyarakat Melayu sering dikaitkan dengan hubungan langsung dengan Islam, ini bermakna Islam berada dekat di hati dalam banyak konflik politik dalam negara,” katanya. - TMI

* Meninggal nanti kebumi di mana?

Demo anti-Lynas: Rakyat diugut, kereta dipecah


Anggota jawatankuasa 'Selamatkan Malaysia' memutuskan tidak berjumpa dengan panel pakar Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) yang dijadualkan hari ini kerana bimbang terhadap ancaman dan ugutan daripada kumpulan yang mendakwa diri mereka sebagai pro-Lynas sejak semalam.

Pengerusi jawatankuasanya Tan Bun Teet berkata situasai sekarang menjadi tidak lagi terkawal dengan ugutan fizikal daripada kumpulan pro-Lynas yang memecahkan kereta kepunyaan penunjuk perasaan anti-Lynas.

“Kami menelefon panel itu pada jam 2.30 bagi memaklumkan bahawa kami tidak lagi akan menghadiri mesyuarat kerana bimbang dengan keganasan yang dipamerkan,” katanya ketika dihubungi.

Perhimpunan aman membantah pembinaan kilang memproses nadir bumi di Gebeng, Kuantan hari ini hampir bertukar menjadi pergaduhan apabila diganggu oleh kumpulan yang tidak dikenali itu.

Tindakan kira-kira 120 orang yang menyertai kumpulan itu tidak disenangi kira-kira 20 lagi yang kononnya berkelah di pantai itu.

Mereka, yang mengaku penduduk tempatan, meminta aktivis 'Save Malaysia' beredar kerana didakwa mencemarkan pantai.

Dalam kenyataan medianya kemudian, Tan berkata: "Kumpulan penceroboh itu di hadapan kehadiran polis mengeluarkan kata-kata kesat ke atas mereka yang berhimpun dengan aman dan cuba mengasari mereka.

"Ketua kumpulan kami ditendang dari belakang dan malah seorang daripada mereka cuba mencekik ketua kami... Jika tidak kerana tindakan pantas oleh polis sisinya, beliau mungkin menghadapi kecederaan parah,” kata Tan.

"Tindakan tidak bertamadun di hadapan polis secara terangan membelakangkan hak asas seseorang rakyat.

"Sama ada dirancang ataupun kebetulan, ia menjadi proses di mana panel IAEA cuba mendengar pandangan mereka yang terbabit satu bahan jenaka.

"Kami sebuah NGO dan kami ingin meluahkan pandangan kami berhubung isu Lynas. Tetapi mendedahkan diri kami dengan risiko yang mungkin mengancam keselamatan kami, kami memutuskan tidak mahu terbabit dengan sesi hari ini.” - Malaysiakini

* Umno...

Indonesia tarik balik pembekuan amah

BANDUNG 30 Mei - Selepas dua tahun membekukan penghantaran pembantu rumah ke Malaysia, kerajaan Indonesia hari ini menarik semula pembekuan tersebut.

Ia dimuktamadkan dalam memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara Kementerian Sumber Manusia kedua-dua negara di sini hari ini.

Malaysia dan Indonesia diwakili oleh menteri masing-masing iaitu Datuk Dr. S. Subramaniam dan rakan sejawatannya di sini, Muhaimin Iskandar.

Muhaimin pada sidang akhbar selepas majlis menandatangani MoU itu memberitahu, Indonesia memerlukan tempoh dua minggu untuk memastikan urusan penghantaran pembantu rumah ke Malaysia kelak memenuhi standard yang dikehendaki.

"Kami (Indonesia) memerlukan masa dua minggu untuk menyiapkan segala urusan dokumentasi, penempatan serta persediaan pembantu rumah yang akan bekerja di Malaysia," kata beliau.

Selain menarik balik pembekuan itu, MoU berkenaan turut menetapkan gaji yang perlu dibayar kepada pembantu rumah dari Indonesia pada masa depan bukan lagi RM600 seperti yang dituntut sebelum ini.

Sebaliknya, kerajaan Indonesia bersetuju dengan pandangan Malaysia bahawa gaji pembantu rumah tertakluk pada tuntutan pasaran semasa.

Namun pihak Indonesia akan menentukan bahawa gaji yang bakal ditawarkan majikan Malaysia tidak kurang daripada gaji minimum di Indonesia.

Gaji minimum di Indonesia berbeza mengikut kawasan dan yang paling tinggi ialah di Jakarta iaitu Rp1.2 juta (RM420) tetapi masih ada pembantu rumah di Jakarta yang dibayar gaji lebih rendah daripada kadar itu.

Menerusi MoU itu juga, majikan Malaysia dijamin mendapat pembantu rumah ganti atau ganti rugi wang pendahuluannya daripada agensi pekerjaan berkaitan jika pembantu rumah mereka melarikan diri, tidak cekap atau tidak lulus pemeriksaan kesihatan dalam tempoh enam bulan.

Sementara itu, Subramaniam berkata, ketetapan baru dalam MoU juga menyaksikan persetujuan untuk mengurangkan kos pembayaran kepada ejen-ejen yang membekalkan pembantu rumah kepada RM4,511.

Sebelum ini, majikan Malaysia perlu membayar kepada ejen pekerjaan sehingga RM8,000 jika ingin mendapatkan pembantu rumah dari Indonesia.

Subramaniam turut memberitahu, pembantu rumah Indonesia juga akan diberikan hak memegang pasport, kelayakan satu hari rehat serta perlindungan yang sewajarnya ketika bekerja di Malaysia.

Berhubung aspek perlindungan pembantu rumah, beliau berkata, kesemua pekerja asing akan diberikan taraf perlindungan yang sebaik-baiknya berlandaskan lunas undang-undang Malaysia.

"Aspek perlindungan merupakan usaha berterusan kerajaan Malaysia sama seperti yang dinikmati oleh pekerja tempatan.

"Bagaimanapun, pekerja asing yang layak menerima perlindungan hanya diberikan kepada mereka yang memasuki Malaysia secara sah," tegas Subramaniam.

Pada masa sama, beliau berkata, untuk memastikan ketetapan dalam MoU berkenaan dicapai, kedua-dua kerajaan juga bersetuju untuk menubuhkan sebuah Jawatankuasa Kerja Bersama dalam usaha menangani isu pembantu rumah berkenaan.

"Jawatankuasa itu akan memantau segala persepakatan yang dicapai dalam MoU yang berkuat kuasa hari ini," katanya.

Jawatankuasa Kerja Bersama tersebut terdiri daripada pegawai-pegawai kanan dari kedua-dua Kementerian Sumber Manusia serta wakil pelbagai agensi lain dan kedutaan Malaysia dan Indonesia. - UTUSAN

30 May 2011

Elektrik naik 7%, gas asli akan diapungkan

Kerajaan persekutuan menaikkan tarif elektrik dengan purata 7.12 peratus bermula 1 Jun ini sebagai sebahagian daripada pengurangan subsidi.

Sementara gas asli pula dinaikkan RM3 setiap mmBtu setiap enam bulan sehingga mencecah harga pasaran pada 2016, apabila harganya diapung sepenuhnya.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Peter Chin Fah Kui berkata, seramai 44.4 juta atau 75 peratus dariapada keseluruhan 5.94 juta isi rumah tidak akan terjejas dengan tarif baru ini.

Bagi yang menggunakan 301kW hingga 1000kW, tarif dinaikkan daripada 0.1 peratus hingga 10 peratus, atau RM0.07 kepada RM30.30.

Pelepasan bil elektrik untuk pengguna yang menggunakan kurang daripada RM20 sebulan akan tamat pada Disember 2011.

Sementara itu, Bernama melaporkan, dalam pengumuman bersama Peter dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, mereka berkata kenaikan itu disebabkan oleh peningkatan harga gas asli untuk sektor tenaga.

Sebelum ini, agensi berita nasional itu melaporkan, Urus niaga saham Tenaga Nasional Bhd (TNB) digantung berkuat kuasa pukul 2.30 petang sehingga 5 petang ini.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata penggantungan itu berhubung dengan satu pengumuman penting. - Malaysiakini

* BN = Barang Naik

Noh Omar: Bagus ke video seks itu?

Timbalan pengerusi perhubungan Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar mengelak daripada memberikan jawapan jelas berhubung pengedaran cakera video lucah yang menampilkan individu didakwa mirip Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Noh berkata demikian ketika ditanya hari ini berhubung dakwaan berkenaan yang ditimbulkan ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad minggu lalu.

"Saya pun tidak tahu. Saya tidak tengok. MP Shah Alam dah tengok ke belum?

"Dia sendiri dah tengok ke? Bagus ke (video itu)?... Kalau dia sudah tengok, baru saya jawab," katanya ketika ditanya sama ada Umno merupakan merupakan pihak yang bertanggungjawab mengedarkan cakera video berkenaan kepada ketua-ketua kampung di Selangor.

Setelah diasak berkali-kali, barulah Noh berkata bahawa cakera video berkenaan bukannya disebarkan oleh Umno.

"Jangan salahkan Umno, bukan Umno yang sebarkan," katanya yang menambah, tuduhan berkenaan sengaja ditimbulkan oleh pemimpin Pakatan yang didakwa mula "berasa bahang" akibat penyebaran video berkenaan.
Katanya lagi, pemimpin Pakatan Rakyat sepatutnya berasa gembira sekiranya penyebaran video berkenaan akan menyebabkan rakyat berasa marah terhadap Umno.

"Kalau bagi kesan negatif sebab video rakyat rasa marah, sepatutnya pembangkang rasa lebih seronok.

"Pembangkang patut sokong video disebarkan lebih luas. Kenapa pembangkang risau?," soalnya.

Selain Khalid, beberapa pemimpin Pakatan di Selangor, termasuk exco kerajaan negeri Ean Yong Hian Wah, mendakwa Umno dan BN merupakan pihak di belakang usaha itu.

Khalid turut menggesa polis supaya konsisten ketika menyiasat kes itu, sama seperti yang dilakukan dalam siasatan ke atas kes penyebaran video seks presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek sebelum in. - Malaysiakini

* Umno = rasuah = lucah

Rakyat Perlu Bersedia Tanggung Sebahagian Kos Subsidi - Muhyiddin

GERIK: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata rakyat perlu bersedia menanggung sebahagian kos subsidi yang kini ditanggung kerajaan sekiranya jumlah yang sedia ada meningkat ke paras yang lebih tinggi dan melampaui kemampuan kerajaan.

Beliau berkata kerajaan mempunyai tahap keupayaan untuk menanggung jumlah subsidi yang meningkat, bagaimanapun jika meningkatan harga minyak dunia melonjak ke paras yang lebih tinggi, berkemungkinan kerajaan tidak mampu lagi menanggung jumlah subsidi yang begitu besar dan rakyat perlu bersedia untuk menanggung sebahagian kos itu.

"Alhamdulillah, saya mendapat banyak respon menyatakan kerajaan prihatin kerana jika (harga bahan api) dinaikkan maka bebannya ditanggung rakyat, tetapi dengan sebab itu (mengekalkan harga sedia ada) juga kerajaan terbeban dengan jumlah subsidi yang ditanggung iaitu daripada RM10 bilion naik sampai RM18 bilion dan mungkin menjangkau sehingga sampai RM20 bilion," katanya ketikaberucap merasmikan Mesyuarat Agung Perwakilan Umno Bahagian Gerik di DewanSerbaguna di sini Ahad.

Beliau berkata langkah kerajaan untuk mengekalkan harga diesel, LPG dan petrol RON95 pada harga sedia ada ternyata menunjukkan kerajaan pimpinan BarisanNasional (BN) sangat prihatin dengan beban rakyat namun keputusan itu juga menyebabkan jumlah subsidi yang ditanggung kerajaan juga bertambah.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Bekalan dan Harga berkata isu kenaikan harga minyak dan barangan menjadi isu utama di kalangan rakyat berbanding beberapa isu lain, sedangkan penjelasan bahawa fenomena itu turut dialami oleh negara lain seperti di Eropah, Jepun, China dan Singapura sukar diterima rakyat.

Beliau berkata bagaimanapun kerajaan akan menangani masalah itu dengan cara terbaik dan meminta kerjasama semua pemimpin parti komponen BN di setiap peringkat secara bersama-sama menangani isu berkenaan yang turut dimanipulasikan pembangkang.

Pada 25 Mei lepas, kerajaan mengumumkan harga petrol RON95, diesel dan Petroleum Gas Cecair (LPG) kekal buat masa ini selepas Kabinet memutuskan untuk tidak menaikkan harga produk berkenaan setelah rasionalisasi subsidi dibincangkan secara mendalam dan teliti dengan mengambil kira kepentingan rakyat.

Dalam perkembangan lain, Muhyiddin turut meminta semua pimpinan Umno dan BN di setiap peringkat memberi perhatian dan meneliti semua masalah yang dihadapi oleh rakyat walaupun ia merupakan isu yang kecil.

Beliau berkata ini kerana bukan semua masalah dan isu yang dihadapi rakyat seperti kebajikan dan bantuan memerlukan peruntukan yang besar untuk diselesaikan.

"Saya sebutkan ini kerana apabila sampai pilihan raya, isu dan masalah sebegini akan timbul apabila kita (BN) tidak berikan perhatian dan kita dilihat mengabaikan tanggungjawab... jadi saya meminta supaya isu dan masalah walau sekecil manapun, setiap peringkat tempatan, bahagian dan cawangan perlu diambil langkah yang perlu oleh pimpinan wakil rakyat, Pergerakan Wanita dan Pemuda serta Puteri," katanya. Katanya sekiranya semua isu dan masalah telah diambil tindakan maka apabila tiba pilihan raya, Umno dan BN sudah yakin dan bersedia untuk menghadapinya.

Muhyiddin juga berkata pilihan raya umum akan datang merupakan pilihan raya yang paling getir dan sengit, oleh yang demikian semua anggota dan pimpinan Umno serta BN perlu berfikiran strategik untuk memenangi pilihan raya itu.

Ini kerana pihak pembangkang pasti akan 'bermati-matian" serta tidak akanmenyerah kalah untuk mengekalkan kuasa politik mereka di negeri-negeri yangtelah dikuasai, katanya.

"Bila saya berkata sedemikian, ada yang berkata kepada saya, ini menunjukkanseolah-olah Umno lemah dan tidak kuat.

"Saya nak beritahu awal-awal lebih baik kita berfikiran bahawa kita akan berhadapan dengan senario yang sukar dan mencabar, dan oleh sebab itu kita perlu berfikiran strategik, menggunakan pendekatan berkesan dan hasilnya dilihat dengan memenangi pilihan raya yang dicapai di peringkat nasional dan negeri," katanya.- BERNAMA

* Malaysia pengeluar minyak. Kenaikan harga minyak memberi keuntungan yang besar buat Malaysia. Adakah Umno tidak tahu memerintah? Jika begitu rakyat perlu memberi peluang kepada Pakatan Rakyat...

29 May 2011

Saya reda hukum sebat


KLUANG: Ketika ditemui, baru 12 hari Ameng Spring menjalani hukuman di Penjara Kluang, namun dia mulai terasa betapa sepinya hari-hari dilalui di sebalik tirai besi. Debarnya kian dirasai menanti detik hukuman sebat 10 kali yang dikenakan ke atasnya.

Ameng sugul memikirkan hukuman itu.

“Saya terima hukuman sebat itu. Belum lagi dikenakan, tetapi saya reda,” katanya ketika ditemui di Penjara Kluang bersama rakan artis rock.

Biarpun ada artis tempatan lain terjebak dengan dadah, Ameng menjadi artis tempatan pertama dijatuhi hukuman sebat.

Ketika ditangkap polis pada 1 Februari lalu, wajahnya selamba tetapi sewaktu dikunjungi rakan artis rock di Penjara Kluang, Ameng sebak hingga menitiskan air mata.

Bukan mudah untuk Ameng menangis, tetapi Isnin lalu penyanyi lagu Bourgenvilla dan Sampai Hati ini sukar membendung rasa sedihnya, terasa hiba hatinya sebaik terpandang wajah lapan artis rock daripada lapan kumpulan rock membuat kejutan melawatnya di penjara.

Sejak dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Melaka kerana memiliki dan memasukkan dadah dalam badan pada 12 April lalu, inilah julung kali Ameng atau nama sebenarnya Wan Aminuddin Wan Ismail, 43, dikunjungi rakan seperjuangan dalam bidang nyanyian.

Lebih membuat hatinya terusik apabila melihat anak kecilnya, Wan Amar Haikal, 3, yang turut bersama rombongan artis rock itu, teresak-esak kerana terlalu rindukan ayahnya.

Isterinya, Sabariah Zakariah, 41, dengan nada sebak memberitahu, memang sukar menjelaskan kepada anaknya apa yang menimpa Ameng.

“Hampir setiap hari anak saya bertanya sambil merengek ke mana papa pergi. Anak kami menghidap asma, apa yang boleh saya jelaskan setiap kali dia bertanya, saya jawab papa work (kerja), papa work. Ini kali kedua saya membawa anak saya melawat ayahnya di penjara.

“Tidak seperti sebelum ini, Ameng biasa saja ketika mula masuk penjara, tetapi kali ini nampak dia sungguh sedih. Bukan saja dia terperanjat melihat rakan artis rock datang mengejut tetapi mengenangkan anaknya yang menghidap asma teresak-esak sebaik memandang wajah ayahnya,” katanya.

Melalui sahabat baiknya, Baggio vokalis kumpulan Damasutra, Ameng berkata, dia belum dapat sesuaikan diri menjalani kehidupan di penjara.

“Berkali-kali dia meluahkan rasa kesal dan belum menerima hakikat yang dirinya dipenjara. Selama berkawan dengannya sejak kami bujang, tidak pernah saya lihat Ameng sesedih begini, tetapi di Penjara Kluang ketika memandang kami, dia menangis membuatkan saya pun turut sebak,” katanya.

Vokalis kumpulan Mega, Rahmat Tohak, yang memandu dari Johor Bahru semata-mata mahu melawat Ameng, bersimpati apa yang menimpa sahabatnya.

Baginya, dipenjara satu hal tetapi hukuman sebat yang harus dijalani menjadikan Ameng artis tempatan pertama dihukum sebat.

“Saya tidak dapat bayangkan bagaimana sahabat saya akan disebat nanti. Soal Ameng bersalah atau tidak, hukuman sudah dikenakan dan saya hadir di sini untuk memberi semangat padanya supaya berani menerima hakikat.

“Ketika saya bertanya hal sebat, Ameng tenang dan reda menerimanya nanti,” katanya.

Selain Baggio atau Bahagia Daharun dan Rahmat, rombongan artis rock itu membabitkan Rusli Mohd Sharif (kumpulan Gamma), Yazid Alias (Sejati), Mustafa Kamal Ahmad (Satira), Nizam Pechok (Laksamana), Mohd Radzuan Yasin (Olan) dan Mohd Safee Soefjan (Utopia) serta wakil Metro Ahad.

Pihak penjara memberi masa 35 minit untuk rombongan artis rock diketuai Blank bertemu Ameng. Mereka dipecahkan kepada dua kumpulan iaitu lima orang setiap kumpulan.

Mereka tidak dibenarkan mengambil gambar, malah Nizam yang baru menunai umrah dan mahu mengirim tasbih juga tidak diizinkan.

Kepada wakil Metro Ahad, Ameng memberitahu betapa dirinya kini benar-benar insaf serta menasihatkan remaja supaya tidak terjebak dengan dadah.

“Saya benar-benar insaf. Kalau boleh saya nasihat, jangan ambil dadah,” katanya.

Rutin aktiviti di penjara, Ameng berkata, ada hikmah diperoleh di Penjara Kluang kerana setiap malam dia melakukan solat taubat.

“Jika sebelah pagi saya menjalani riadah, kemudian mentelaah bacaan selain menghadiri kelas agama, malam pula saya buat solat taubat.

“Saya kini membaca muqadam semula sebelum ke al-Quran untuk memperbetulkan bacaan saya. Apa saya buat ini untuk mengisi jiwa saya supaya tidak sunyi.

“Ia juga sebagai persediaan untuk saya memasuki pertandingan musabaqah anjuran penjara, yang saya difahamkan pada Ramadan nanti,” katanya.

Secara kebetulan pada hari Ameng dikunjungi rakan artis rock, pada sebelah pagi dia bersama banduan lain terbabit menjayakan teater melalui program Mesej Dari Penjara Zon Selatan. Dalam teater itu, Ameng menyanyikan lagu Mati Hidup Semula yang dipopularkan Jamal Abdillah.

Bila diusik apakah bila bebas nanti dia akan menceburi bidang lakonan bagi memberi saingan pada Remy Ishak, Ameng cuma tersenyum.

“Tidaklah, belum terfikir ke arah itu,” katanya.

Cuma dengan statusnya sebagai banduan kelak, Ameng risau apakah masyarakat, terutama peminat, dapat menerimanya kembali.

“Ini yang saya risau, cuma saya boleh berjanji untuk mencurah kasih sayang pada keluarga sebaik bebas nanti,” katanya. - Mymetro

* Ramai artis terlibat dadah tetapi Ameng seorang disebat. Golongan artis perlu undi Pakatan Rakyat untuk mengubah ketidakadilan ini...

Jangan minum bir didakwa halal, Jamil Khir nasihat Muslim

PADANG SERAI, 29 Mei — Umat Islam di negara ini diingatkan supaya tidak meminum sejenis bir yang didakwa halal oleh syarikat pengedarnya kerana didapati mengandungi alkohol melebihi had yang dibenarkan syarak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Seri Jamil Khir Baharom (gambar) berkata dakwaan syarikat itu bahawa kandungan alkohol cuma 0.01 peratus adalah tidak benar selepas ujian makmal mendapati kandungannya sebanyak 0.5 peratus.

Dipetik Bernama Online, Jamil berkata, Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) bersama Majlis-Majlis Agama Islam Negeri akan bertindak menyekat penjualan minuman itu kepada umat Islam.

“Kita akan merujuk kepada Jabatan Kastam diRaja Malaysia untuk mendapatkan maklumat lebih jelas,” kata Jamil Khir kepada pemberita selepas menutup program Juara Rakyat anjuran Umno Padang Serai di Padang Awam Pekan Sungai Karangan dekat sini.

Akhbar semalam melaporkan mengenai penjualan ‘bir halal’ di pasaran yang semakin popular di kalangan umat Islam dan dikesan Jabatan Agama Islam Johor baru-baru ini.

Jabatan Agama Islam Johor mengambil contoh minuman itu untuk diuji di makmal dan hasilnya mendapati bir tersebut dihasilkan dari pelbagai perisa buah-buahan mengandungi 0.5 peratus alkohol.

Akhbar itu turut memetik Mufti Johor Datuk Mohd Tahrir Samsuddin sebagai berkata bahawa Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan kandungan alkohol dalam makanan serta minuman yang dibenarkan syariat Islam ialah tidak melebihi 0.01 peratus.

Katanya ulama bersepakat menetapkan jumlah alkohol dengan kuantiti itu kerana ia boleh terhasil dalam makanan dan minuman secara semula jadi.

Laporan itu menyebut bahawa minuman yang diimport dari sebuah negara Islam di Timur Tengah itu banyak terdapat di kafe-kafe di negara ini yang dijual antara RM3 hingga RM5 sebotol.

“Dalam keadaan tidak pasti, saya ingin menasihatkan umat Islam berhenti meminum minuman itu supaya tidak terperangkap dalam situasi yang mengelirukan,” kata Jamil Khir. - TMI

28 May 2011

Pernikahan Nurul (AF2) Di Narathiwat Sah

KAJANG: Penyanyi Nurul, yang merupakan bekas pelajar Akademi Fantasia musim kedua (AF2) telah berkahwin dengan seorang pensyarah, Mohd Munzil Muhamad di Narathiwat, Thailand.

Menurut Nurul, pernikahan itu berlangsung pada 23 Mei lalu. Dia menerima mas kahwin sebanyak RM1,000 pada majlis yang dilakukan dengan berwalikan seorang lelaki Thailand, Wan Husin Wan Ab Rahman.

Katanya lagi, dia, suami dan ibu bapa mertuanya masuk ke Narathiwat menerusi Kota Bharu, Kelantan pada hari tersebut dengan menaiki kereta dan terus ke pejabat agama itu untuk mengisi borang pernikahan.

"Bagaimanapun, akad nikah dilakukan di rumah Wan Husin kerana semasa itu adalah hari cuti, iaitu Sabtu. Wan Husin adalah seorang wali bertauliah yang disyorkan oleh majlis agama," katanya.

Nurul atau nama sebenarnya Nurullah Abdul Hamid, 29, berkata demikian semasa memberi keterangan pada permohonan Mohd Munzil, 28, untuk mengesahkan pernikahan mereka di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, di sini pada Khamis.

Permohonan tersebut didengar di hadapan Hakim Syarie Abdul Halim Abdullah dan mereka diwakili oleh peguam-peguam syarie, Mohamad Azlin Mohamad Razali dan Mohammad Fauzi Abdullah.

Pada keterangan lain, Nurul berkata, pernikahan itu diadakan di Thailand kerana timbul masalah wali ekoran keengganan bapa kandungnya, Zawawi untuk menjadi wali.

"Saya ada cuba berjumpa dengan bapa kandung saya, tapi dia tidak mahu menjadi wali. Ini kerana masalah yang berlaku antara bapa dengan keluarga angkat saya sewaktu saya masih kecil," tambahnya.

Nurul juga menambah, dia dan suami ada mencuba untuk mendapatkan wali hakim daripada Majlis Agama Islam Sarawak, tetapi ia akan mengambil masa yang lama, sedangkan tarikh majlis pernikahan telah ditetapkan berlangsung pada Sabtu ini.

"Selepas perkahwinan itu, jika orang tanya siapa Mohd Munzil, saya akan jawab dia sebagai tunang saya, sebab tidak ramai yang tahu (berkahwin), hanya orang terdekat sahaja.

"Tetapi, dia sebenarnya suami saya. Selepas berkahwin saya tinggal dengan dia,” katanya.Selepas mendengar keterangan itu, Abdul Halim memutuskan pernikahan tersebut sah di sisi hukum syarak kerana telah memenuhi hukum nikah, walaupun tidak menggunakan wali sebenar ekoran bapa kandung Nurul berada jauh di Kuching, Sarawak.

Beliau seterusnya mengarahkan pasangan tersebut untuk mendaftarkan pernikahan tersebut di Pejabat Majlis Agama Islam.

Sementara itu, Nurul yang ditemui di luar mahkamah berkata, dia berasa lega kerana masalah pernikahannya telah selesai.

"Saya rasa lebih berdebar dengan kes mahkamah berbanding dengan majlis persandingan Sabtu ini," katanya yang mengenakan baju kurung merah jambu dan selendang kelabu.

Selain itu, dia yang mengenali Mohd Munzil sejak Julai tahun lepas sebelum mengikat tali pertunangan pada 4 Februari lalu juga memberitahu akan berlepas ke Kuching pada malam Khamis untuk menyiapkan persiapan majlis perkahwinan.

Pasangan tersebut dijangkakan akan mengadakan majlis resepsi sebelah lelaki di De Palma Hotel Ampang, dekat sini pada 3 Jun depan.

Ditanya mengenai lokasi berbulan madu, Nurul memberitahu mereka mungkin ke Bali, Indonesia sebelum berlepas ke New Zealand seminggu selepas raya kerana Mohd Munzil akan menyambung pelajaran ke peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) selama tiga tahun. - Mstar

Buta sebelah mata dicucuk pensil

TELUK INTAN 27 Mei - Seorang murid tahun empat bukan sahaja sering dibuli malah kini buta sebelah penglihatan setelah mata kanannya didakwa dicucuk dengan pensil oleh tiga rakan kelasnya, kelmarin.

Mohd. Saiful Nizam, 10, dari Sekolah Kebangsaan Pekan Rabu Sungai Lampam, dekat sini mendakwa, dia dipegang kaki dan tangannya sebelum salah seorang rakannya itu mencucuk matanya.

Katanya, dia yang kesakitan kemudian dibawa ke hospital oleh guru sekolah berkenaan.

“Semasa saya sedang berjalan ke kelas selepas rehat, kumpulan murid itu menahan dan meminta saya melakukan sesuatu tetapi saya tidak mahu.

“Selepas berada dalam kelas, mereka melepaskan kemarahan dengan membuli saya,” katanya ketika ditemui di Hospital Teluk Intan hari ini.

Tambahnya, dia kerap dibuli kumpulan murid berkenaan tetapi terpaksa berdiam diri kerana takut dibelasah lebih teruk.

Mohd. Saiful berkata, kejadian tersebut benar-benar membuatkannya takut untuk ke sekolah.

Sementara itu ibunya, Salasiah Matrai, 28, berkata, doktor yang merawat anaknya memaklumkan mata Mohd. Saiful sudah tidak boleh berfungsi kerana kanta mata rosak.

“Saya kasihan sangat, dia masih kecil, kenapa diperlakukan sebegitu rupa,” katanya.

Bapa tiri mangsa, Rosli Nordin, 24, mendakwa, dia sudah membuat aduan kepada guru sekolah berhubung perbuatan murid berkenaan yang kerap mengganggu anaknya itu tetapi tidak diendahkan.

“Saya berharap pihak sekolah dapat menyelesaikan masalah ini bagi mengelak anak orang lain menjadi mangsa perbuatan jahat itu,” katanya.

Pegawai Pendidikan Hilir Perak, Mohd. Rawi Mohd. Isa ketika dihubungi hari ini memberi jaminan akan menyiasat kes tersebut. - Utusan

* Bapa berhak untuk menyaman pihak sekolah...

Kerajaan luluskan kenaikan tarif elektrik

Majlis Ekonomi Negara (NEC) hari ini meluluskan kenaikan dalam tarif elektrik tetapi butirannya hanya akan diumumkan Isnin depan.

NEC yang bermesyuarat di Putrajaya hari ini dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan dihadiri oleh beberapa anggota jemaah menteri.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Peter Chin dijadualkan mengadakan sidang media pada jam 4 petang Isnin bagi membuat pengumuman rasmi.

Menurut kenyataan media ringkas dari kementerian Chin petang tadi, pengumuman mengenainya akan dibuat dalam masa terdekat.

“Semakan harga gas dan tarif elektrik masih diperhalusi dan pengumuman mengenainya akan dibuat dalam masa terdekat,” petik kenyataan itu.

Sejak beberapa minggu lalu, anggota jemaah menteri berulang-kali mengingatkan rakyat supaya bersedia menghadapi kenaikan tarif elektrik dalam usaha kerajaan mengurangkan subsidi negara.

Pada Rabu lalu, kabinet menangguhkan keputusan untuk menaikkan harga bahan api kerana bimbang tindakan itu akan menimbulkan kemarahan rakyat.

Sepanjang 18 bulan lalu, kerajaan telah meningkatkan harga gula lebih 58 peratus dan membenarkan harga petrol RON97 mencatatkan paras tertingginya pada RM2.90 seliter. - Malaysiakini

* Ron95 tidak dinaikkan, Umno kata kerana menjaga kepentingan rakyat. Kalau elektrik dinaikkan bermakna Umno menzalimi rakyat...

27 May 2011

Polis didakwa sekongkol dengan sindiket curi kereta

Beberapa anggota polis didakwa bersekongkol dengan kumpulan mencuri kereta di seluruh negara dakwa ahli parlimen DAP Segambut Lim Lip Eng, sambil menggesa Bukit Aman supaya segera menyelesaikan isu itu.

Lim yang membuat laporan polis di balai Jinjang hari ini mendakwa kereta yang dilaporkan dicuri telah berjaya dijumpai oleh polis tetapi dikitar semula dan diserahkan kepada sindiket yang menjualnya pula kepada pemilik kereta terpakai atau pembeli persendirian.

"Saya menerima lebih 15 aduan sejak Disember tahun lalu daripada peniaga kereta terpakai yang sehingga sekarang belum selesai. 60 kereta dirampas daripada mereka kerana dipercayai kenderaan curi, setakat ini hanya 20 kereta yang telah dipulangkan,” katanya.

Lim berkata laporan polis hanya dibuat hari ini berhubung perkara berkenaan kerana baru-baru beliau menjumpai dalil kukuh bagi membuktikan berlakunya penyelewengan kuasa.

Beliau juga merujuk kepada satu laporan polis di mana mangsa membuat laporan bahawa kereta Mercedes C200 Compressor miliknya telah dicuri pada 13 Mac, 2009 dan telah membuat tuntutan insuran.

Dalam satu surat yang tidak bertarikh daripada Jabatan Siasatan Jenayah, ibu pejabat polis Ampang yang ditandatangani seorang pegawai yang dikenali sebagai Saiful Irwan Abdul Hamid, ia menyatakan bahawa kereta itu telah dijumpai dan dipulangkan kepada pemiliknya. Namun menurut Lim, pemiliknya tidak pernah mengambil semula keretanya itu.

Sebaliknya, kereta yang sama dengan nombor pendaftaran yang lain didakwa dibeli oleh seorang peniaga kereta terpakai, Pang Koo Tak, dari Setiawan, Perak.

Pang bagaimanapun menurut Lim, terkejut apabila keretanya dirampas pada 19 Januari lalu oleh seorang anggota polis bernama Razlam Ab Hamid dari Jabatan Disiplin Bukit Aman bagi siasatan lanjut kerana nombor chasis kereta itu bersamaan dengan nombor kenderaan yang dicuri itu.

Lim berkata Pang kemudiannya berjumpa dengannya dan meminta bantuan bagi mendapatkan semula keretanya kerana kereta itu dibeli menerusi pinjaman bank dan beliau masih berhutang. - Malaysiakini

Hukuman dua beradik bakar gereja kekal

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengekalkan sabitan dan hukuman lima tahun penjara ke atas dua beradik yang didapati bersalah membakar sebuah gereja di Desa Melawati awal tahun lalu.

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah membuat keputusan itu selepas menolak rayuan dan sabitan Raja Mohamad Faizal Raja Ibrahim, 25, dan adiknya Raja Mohamad Izham, 23.

Mohamad Zabidin berkata keputusan untuk mengekalkan hukuman yang telah dijatuhkan Hakim Mahkamah Sesyen itu dibuat selepas meneliti hujahan, nota keterangan dan alasan penghakiman.

Beliau bagaimanapun membenarkan permohonan kedua beradik itu untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan.

Pada 13 Ogos tahun lepas, Hakim SM Komathy Suppiah menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati Raja Mohamad Faizal dan Raja Mohamad Izham, gagal menimbulkan sebarang keraguan yang munasabah selepas diperintah membela diri.

Raja Mohamad Faizal (kanan), seorang penghantar surat dan Raja Mohamad Izham, pekerja bank, didakwa melakukan khianat dengan membakar gereja Metro Tabernacle di Jalan 4/4C, Jalan Desa Melawati, di sini, pada 11.50 malam, 7 Jan tahun lalu.

Mereka dituduh melakukan perbuatan itu bersama beberapa orang yang masih bebas, mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan. - Bernama

* Penjara 6 bulan dan denda RM10,000 sudahlah...

Buku hukuman bunuh: Singapura penjarakan penulis

Seorang penulis warga Britain berusia 76 tahun gagal dalam rayuan hukuman penjara enam minggu dan denda kerana menghina sistem kehakiman negara itu berhubung pelaksanaan hukuman jenayah.

Alan Shadrake, wartawan bebas dan penulis “Once A Jolly Hangman: Singapore Justice in the Dock” bagaimanapun dibenarkan menjalani rawatan kesihatan sebelum memulakan hukuman penjara, Rabu lalu.

Bukunya itu yang membidas hukuman bunuh di Singapura turut memuatkan wawancara dengan bekas ketua algojo atau tukang bunuh.

Beliau sebelum ini diikat jamin sementara menunggu kes itu dibicarakan di Mahkamah Tinggi Rayuan selepas dijatuhi hukuman penjara dan denda SG$20,000.

"Kami tetap dengan hukuman yang dijatuhkan oleh hakim sebelum ini," kata Hakim Andrew Phang seorang daripada panel hakim Mahkamah Tinggi Rayuan.

Penghakiman itu dikatakan antara yang paling keras dijatuhkan bagi kesalahan menghina mahkamah. Rekod menunjukkan hukuman penjara bagi kesalahan seumpama itu yang paling lama adalah 15 hari.

Shadrake, yang tinggal di Malaysia dan Britain, ditangkap oleh polis Singapura pada Julai selepas majlis perasmian bukunya, 'Once a Jolly Hangman: Singapore Justice in the Dock'.

Buku itu juga memuatkan profail Darshan Singh, bekas ketua algojo di Penjara Changi di Singapura yang menurut penulis itu telah membunuh 1,000 orang daripada 1959 hingga beliau bersara pada 2006.

Ia juga memaparkan wawancara dengan aktivis hak asasi manusia, peguam dan bekas pegawai polis dalam kes-kes yang membabikan hukuman bunuh. - AFP

TV Al-Hijrah mula bersiaran di Astro

Bermula 1 Jun ini, stesen TV berkonsepkan Islam, TV AlHijrah akan bersiaran di Asdtro saluran 114, demikian diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Beliau berkata tujuan kemasukan stesen TV berkenaan ke dalam Astro adalah bagi memberi peluang kepada lebih ramai penonton di negara ini untuk menikmati siaran stesen TV berkenaan.

"Siaran TV AlHijrah (sebelum ini) begitu terhad. Kita menerima permintaan begitu banyak daripada masyarakat supaya mereka dapat menonton TV AlHijrah. Jadi ini kita lakukan (memasukkan siaran TV AlHijrah ke dalam Astro)," katanya kepada pemberita pada sidang media di Pusat Penyiaran Digital TV AlHijrah, Kompleks Pusat Islam, di Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Bukhari Che Muda.

Jamil Khir berkata selaras dengan kemasukan stesen TV berkenaan ke dalam Astro, waktu siaran turut ditingkatkan daripada 72 jam seminggu kepada 100 jam seminggu.

"Hari Isnin sehingga Khamis, TV ini (AlHijrah) akan bersiaran seperti biasa dari pukul 12 tengah hari sehingga 12 tengah malam manakala pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad akan bersiaran dari pukul 7 pagi sehingga 12 tengah malam," katanya sambil menjelaskan pihakya akan memanjangkan waktu siaran sehingga 24 jam sehari sekiranya mendapat permintaan tinggi daripada penonton.

Ditanya mengenai persaingan yang bakal diterima apabila stesen TV berkenaan apabila memasuki Astro kelak, Jamil Khir berkata, pihaknya hanya ingin memenuhi selera penonton di negara ini yang sentiasa mahukan kelainan dari segi kandungan siaran.

"Kita akui persaingan memang ada. Sebab itu kita mempelbagaikan program seperti (rancangan realiti TV) Solehah yang antara lain bertujuan untuk melahirkan lebih ramai pendakwah wanita di negara ini," katanya sambil menjelaskan rancangan-rancangan yang bertemakan wajah-wajah Islam seperti Madrasah AlHijrah, Refleksi dan Khidmat Syariah akan turut disiarkan pada 1 Jun
nanti.

Ditanya adakah stesen TV berkenaan akan memperluaskan siarannya bagi negeri-negeri yang tidak mendapat liputan, Jamil Khir berkata pihaknya sedang mengadakan perbincangan dengan kerajaan negeri dan juga pihak berwajib seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) bagi membolehkan lebih banyak pemancar dipasang di negeri-negeri berkenaan.

"Kita sedang mempercepatkan proses (pemasangan pemancar). Apa yang menjadi halangan kita ialah tentang spektrum atau saluran yang begitu terhad di negeri-negeri yang memerlukan kepada pemancar," katanya.

TV AlHijrah dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 7 Dis lalu.

TV berkenaan yang mula bersiaran sejak 1 Nov lalu boleh ditonton di Lembah Klang melalui saluran UHF CH55 frekuensi MHz 743.25, Terengganu UHF CH41 (631.25 MHz), Johor UHF CH40 (623.25 MHz), Sarawak UHF CH37 (599.25 MHz) dan Sabah UHF CH37 (599.25 MHz).

Walaupun baru mula bersiaran, 60 peratus daripada kandungannya adalah terbitan tempatan manakala 40 peratus adalah kandungan asing. Tiga puluh peratus daripada keseluruhan kandungannya diterbitkan sendiri oleh TV AlHijrah.

Dengan slogan "Segalanya Bermula Di Sini", TV AlHijrah merupakan stesen televisyen milik kerajaan dan diletak di bawah tanggungjawab Jamil Khir. - Bernama

Mahu tukar nama lelaki

KUALA TERENGGANU: Hasrat seorang pemuda, Mohd Ashraf Hafiz Abd Aziz, 25, untuk menukar jantina dan nama kepada Aleesha Farhana Abd Aziz tertangguh lagi apabila Mahkamah Tinggi di sini, semalam, menetapkan 18 Julai depan untuk mendengar keputusan permohonan berkenaan.

Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa menetapkan tarikh itu bagi membolehkannya meneliti hujah dikemukakan peguam Horley Isaacs yang mewakili Mohd Ashraf Hafiz selaku pempetisyen, selain Peguam Kanan Persekutuan, Adhha Abu Bakar bagi pihak Jabatan Pendaftaran Negara selaku responden.

Mohd Ashraf Hafiz, lulusan diploma dalam bidang perubatan dari sebuah institusi pengajian tinggi yang mengenakan pakaian wanita lengkap dengan berbaju kurung berwarna kuning air, bertudung merah jambu dan berkasut tumit tinggi menarik perhatian awam yang menyedari kehadirannya di mahkamah, semalam.

Dia yang menjalani pembedahan menukar jantina di Thailand antara 2008 hingga 2009 kerana mendakwa lebih cenderung kepada perwatakan wanita memfailkan petisyen memohon mahkamah membenarkannya menukar nama Mohd Ashraf Hafiz kepada Aleesha Farhana pada November tahun lalu bagi memudahkannya menguruskan kehidupan seharian selain mahu memasuki universiti untuk melanjutkan pengajian dalam bidang sama.

Horley dalam hujahnya pada prosiding akhir di mahkamah semalam berkata, anak guamnya disahkan pakar perubatan Pusat Perubatan Pantai dan Hospital Putrajaya layak untuk menjalani pembedahan menukar jantina dan melakukan rawatan hormon serta psikologi sebelum membuat pembedahan di negara jiran. lagi berita...

26 May 2011

Harga RON95, diesel, LPG kekal

PUTRAJAYA 25 Mei - Orang ramai kini boleh menarik nafas lega apabila Kabinet hari ini memutuskan untuk tidak menaikkan harga petrol RON95, diesel dan gas petroleum cecair (LPG) buat masa sekarang.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan tersebut dibuat selepas kerajaan mengambil kira kepentingan rakyat.

Bagaimanapun, beliau berkata, kerajaan tetap akan meneruskan kajian rasionalisasi subsidi berikutan peningkatan harga bahan bakar itu di pasaran global.

"Sebelum keputusan ini dibuat, kerajaan telah mengambil kira semua sudut termasuk keluhan rakyat supaya tidak menaikkan harga minyak.

"Namun, jangka masa berapa lama harga ini akan dikekalkan tidak ditetapkan tapi buat masa sekarang keputusan kerajaan ialah mengekalkan pemberian subsidi (sebanyak RM18 bilion) terhadap bahan bakar ini," katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.

Tambah Ismail Sabri, orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak terpengaruh dengan dakyah dan spekulasi daripada pihak pembangkang tentang kenaikan harga minyak hingga mencetuskan suasana panik.

"Pengekalan harga bahan bakar itu tiada kena mengena dengan desakan pembangkang ataupun bagi menarik sokongan rakyat dalam menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13.

"Kerajaan yang ada hari ini ialah kerajaan yang prihatin pada nasib rakyat selaras dengan gagasan 1Malaysia Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan," katanya.

Mengulas mengenai pemansuhan pemberian subsidi diesel super kepada beberapa sektor pengangkutan, beliau menjelaskan, pemberian subsidi seharusnya disalurkan kepada golongan yang memerlukan saja dan bukannya untuk semua pihak.

"Sebelum ini lori pengangkut pun kita bagi, tapi lepas ini kita hanya beri kepada yang memerlukan sahaja seperti kenderaan awam, bot-bot kecil dan teksi.

"Hasil daripada penarikan balik subsidi ini, kita berjaya buat penjimatan sebanyak RM700 juta iaitu untuk lori dan bot," katanya. - Utusan

* Tanda pilihanraya umum tahun ini...

25 May 2011

Pengedaran video seks semakin meluas

Semakin ramai pemimpin masyarakat mendakwa menerima video seks yang dikaitkan dengan seorang pemimpin pembangkang.

Terbaru, menurut Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) DUN Hulu Bernam Mohamad Salleh Ri, seramai sepuluh ketua kampung baru dalam DUN Kuala Kubu Bharu membuat laporan polis berasingan berhubung penyebaran video seks itu.

Katanya, sepuluh ketua kampung berkenaan membuat aduan itu selepas menerima video seks yang dikaitkan dengan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang diposkan ke rumah mereka.

Laporan polis itu dibuat di ibu pejabat polis daerah Kuala Kubu Bharu kira-kira jam 4 petang semalam.

Menurutnya, ketua kampung berkenaan terdiri daripada lapan ketua dari perkampungan Cina dan masing-masing satu dari perkampungan Melayu dan India.

Mereka menerima VCD itu di mana kandungannya adalah versi penuh yang telah dimuatnaik ke internet sebelum ini, kata Mohamad Salleh.

"Mereka menerima VCD fitnah seks Datuk Seri Anwar Ibrahim yang diposkan ke rumah mereka. Cop (atas sampul surat) ada dari Shah Alam dan ada dari Melaka.

"Kita minta pihak polis menyiasat siapa (yang bertanggungjawab) menghantar VCD ini," katanya ketika dihubungi Malaysiakini petang ini.

Tidak sepatut berlaku

Menurutnya lagi, semua ketua kampung itu terkejut dengan apa perkembangan berkenaan kerana penyebarannya tidak sepatutnya berlaku dan merupakan kesalahan di sisi undang-undang.

"Adalah lebih malang sekiranya ia diterima oleh anak-anak ketua kampung," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan Mohamad berkata beliau dimaklumkan sebanyak dua lagi ketua kampung Melayu dalam DUN Hulu Bernam menerima VCD yang sama melalui kiriman pos.

Beliau bagaimanapun setakat ini belum menerima VCD tersebut dan pihaknya akan mengumpul jumlah ketua kampung yang menerimanya sebelum membuat laporan polis.

DUN Hulu Bernam mempunyai 18 kampung yang meliputi 14 kampung Melayu, tiga (Cina) dan satu perkampungan India.

Mohamad Salleh yang juga ketua Kampung Gesir Tengah - yang terletak dalam DUN itu - turut dimaklumkan rakannya, bahawa seorang ketua kampung di Kuala Selangor turut menerima VCD tersebut pagi ini.

Dalam satu kenyataaan, exco kerajaan Selangor Ean Yong Hian Wah berkata VCD seks turut diedarkan antaranya di Hulu Langat, Rawang, dan Sekinchan.

Beliau yang memegang portfolio jawatankuasa tetap pembangunan kampung baru dan penyelesaian kilang haram menggesa ketua kampung membuat laporan polis sekiranya menerima VCD tersebut.

Dilaporkan VCD itu turut diedarkan disebuah masjid di Kuala Langat dan di Selayang sewaktu ceramah tokoh ulama Syria, Dr Wahbah Az-Zuhaili. - Malaysiakini

* Kalau video itu pelakonnya Najib, tentu lain cara polis bertindak. Itu sebab jangan salahkan kalau rakyat yakin ini konspirasi semata-mata...

'Tempoh bertindak kereta peronda kurang 12 minit'

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar mahu tempoh bertindak kereta peronda polis dipercepatkan daripada masa yang ditetapkan sekarang iaitu tidak melebihi 12 minit.

Sebagai contoh, katanya, masa bertindak sesebuah kereta peronda yang berada dalam satu kilometer daripada tempat kejadian perlu sampai ke lokasi tidak melebihi empat minit daripada masa laporan diterima.

"Ini adalah satu cabaran yang boleh jadi kenyataan. Ia tidak mustahil untuk dicapai, jika ada kesungguhan dan komitmen anggota-anggota PDRM (Polis Diraja Malaysia) yang diamanahkan untuk menjalankan tugas tersebut,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan 10 kereta Proton Inspira oleh Proton Holdings Bhd kepada polis, di Shah Alam.

Sambil menghargai sumbangan Proton untuk kereta Inspira 1.8 liter manual sebagai kereta peronda (MPV), Ismail berkata, keperluan logistik iaitu kereta peronda adalah penting bagi melaksanakan tugasan harian polis dengan cepat, berkesan dan efisien kerana ia merupakan barisan hadapan PDRM.

Ismail berkata, jumlah MPV yang mencukupi sangat penting kerana faktor ini boleh meningkatkan kehadiran polis di sesuatu tempat bagi meningkatkan keberkesanan mencegah jenayah serta menjaga keselamatan dan ketenteraman awam.

Beliau berkata, Proton telah menjalin kerjasama dengan PDRM sejak 1985 lagi bermula dengan model Proton Saga yang dijadikan kereta peronda dan sehingga kini sebanyak 3,752 model kereta Proton telah digunakan di seluruh negara sebagai kereta peronda.

Proton dan Bahagian Penyelidikan dan Pembangunan PDRM telah bekerjasama di dalam menghasilkan prototaip kereta peronda polis yang diubah suai daripada Proton Inspira, katanya.

"Program ini dijalankan setelah mengambil kira keperluan PDRM untuk menggantikan 3,647 buah kereta peronda yang telah mencapai had usia penggantian yang diperoleh sejak 2006,” katanya. - Bernama

* Semoga menjadi kenyataan...

Tangkap penganut Syiah: Ar-Ridha bidas JAIS

Pengarah sebuah NGO penganut Syiah Ar-Ridha Mohd Kamilzuhairi Abdul Aziz menyifatkan tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menahan empat pengikutnya semalam sebagai tindakan biadap dan suatu bentuk penindasan.

Ini kerana dakwanya, agensi kerajaan itu menahan mereka tanpa waran dan tidak mengikut saluran undang-undang yang betul.

"Tindakan JAIS dalam membuat serbuan dan menahan empat anggota Syiah adalah bercanggah dengan Artikel 11, Perlembagaan Malaysia, yang menyebut agama Islam sebagai agama rasmi dan penganut-penganut agama lain bebas untuk mengamalkan ajaran agama mereka," kata Mohd Kamilzuhairi (atas, berseluar cokelat).

Beliau berkata mereka ditahan kerana didakwa menyebarkan ajaran mazhab Syiah walaupun majlis itu sekadar majlis jamuan makan yang diadakan setiap tahun bagi mengingati kelahiran puteri Rasulullah SAW Fatimah Az-Zahra.

Semalam, beliau bersama tiga lagi rakannya - Radin Ahmad Faizul Radin Mohd Hambali, Mohd Asyraf Ahmad dan Syed Mohd Shafik Syed Hussin – ditangkap ketika mengadakan satu majlis jamuan makan yang berlangsung di Dataran Rakyat, Taman Sri Gombak.

Dalam kenyataannya, beliau berkata semasa serbuan itu, lebih 1,000 tetamu daripada pelbagai bangsa dan agama dalam konteks 1Malaysia sedang menjamu selera dan tindakan menahan mereka adalah sesuatu yang memeranjatkan serta tidak wajar.

"Ini kerana pihak penganjur telah mendapat kelulusan daripada Majlis Perbandaran Selayang, Polis Diraja Malaysia dan Kementerian Dalam Negeri (Rela) untuk menganjurkan majlis tersebut," katanya.

Sehubungan itu, beliau mendesak JAIS menggugurkan segala pertuduhan ke atas mereka kerana mendakwa majlis tersebut telah mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa.

Katanya, mereka juga akan dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat, Kuang, Selangor pada 7 Jun depan.

Sementara itu, kumpulan berkenaan juga membuat laporan polis berhubung dua artikel yang didakwa berunsur fitnah yang disiarkan dalam akhbar Berita Harian pada 23 Mei 2011 bertajuk "Masyarakat mesti disebar luas bahaya Syiah" dan "Tiada sebab terima Syiah di Malaysia" semalam. Kedua-dua artikel itu tulisan Hasliza Hassan

Mohd Kamilzuhairi berkata pihaknya juga akan menganjurkan solat hajat di seluruh negara atas sikap biadap JAIS itu. - Malaysiakini

* Al-Arqam kamu belasah sampai lembik. Syiah kamu berlembut pula...

Minda: Facebook senjata pikat keldai dadah

KEGILAAN melayari laman sosial Facebook digunakan sindiket dadah antarabangsa terutama dari Afrika untuk memikat dan menjerat wanita tempatan dengan kata-kata cinta sebelum direkrut untuk dijadikan keldai dadah.

Di negara ini saja, terdapat 7.5 juta pemilik akaun sosial itu iaitu satu jumlah yang agak besar berbanding keseluruhan penduduk negara ini.

Walaupun sudah banyak laporan mengenai pembabitan sindiket dadah antarabangsa menjadikan wanita tempatan sebagai penyeludup dadah tersiar di media, bilangan mereka yang berjaya diperdaya masih berlaku.

Ini menunjukkan ahli sindiket dadah terbabit begitu licik dan menggunakan apa saja cara untuk menjerat wanita kita. Kata-kata cinta yang sentiasa diucapkan walaupun tidak pernah bertemu muka pada awal perkenalan menjadikan wanita yang dipikat tertarik hingga sanggup bersengkang mata ber‘chatting’ hingga ke pagi.

Keahlian sindiket dadah antarabangsa ini adalah daripada pelbagai negara dan mereka ini memiliki kemahiran berbeza dan sangat licik hingga kegiatan sukar dikesan. Walaupun mereka tahu hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan kerana menyeludup atau memiliki dadah ke negara ini, ia tidak sedikit pun menjadi halangan bagi mereka menjalankan kegiatan itu.

Perniagaan dadah ini adalah satu industri haram yang menguntungkan hingga menyebabkan ahli sindiket dadah terbabit masuk ke negara ini secara sah dengan menyamar sebagai pelancong atau pelajar dan pada masa sama menggunakan kemewahan atau kemahiran berkomunikasi untuk memikat wanita tempatan.

Apabila sudah berjaya dipikat, wanita tempatan ini ditawarkan kerja dengan gaji lumayan, percutian percuma atau segala bentuk kemewahan sebelum dipaksa menyeludup dadah.

Dalam kejadian terbaru, pelajar kejururawatan kolej swasta di Damansara, Marylyne Sandra Sapat, 22, ditahan pihak berkuasa China kerana menyeludup 100 biji dadah jenis heroin dengan menelannya. Pelajar itu dipercayai ditawarkan RM5,000 untuk menyeludup dadah berkenaan oleh rakan Facebooknya iaitu seorang lelaki warga Afrika yang hanya dikenali sebagai Chimezie Michael.

Lelaki itu memujuk mangsa ke China dengan segala perbelanjaan ditanggung. Michael juga berjanji membayar RM5,000 sebelum meminta mangsa menelan 100 biji dadah jenis heroin sebelum berlepas ke China. Pelajar itu ditahan di Lapangan Terbang Shenzen oleh pihak berkuasa sebelum menemui heroin berkenaan dalam perutnya.

Pada 26 April lalu pula, 10 rakyat Malaysia ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Auckland, New Zealand kerana menyeludup dadah bernilai NZ$10 juta (RM24 juta) yang disembunyikan dalam kasut masing-masing. Paling memeranjatkan ada dalam kalangan mereka ini berstatus warga emas.

Mengikut statistik, sejak 2007 hingga tahun lalu, 239 rakyat Malaysia ditangkap kerana kesalahan membawa dadah ke luar negara. Daripada jumlah itu, 120 adalah lelaki manakala 119 wanita berusia di bawah 40 tahun manakala dalam tempoh Januari hingga April lalu, 34 rakyat Malaysia ditahan atas kesalahan sama di luar negara.

Kebanyakan mereka membawa dadah itu dari lapangan terbang di negara ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim mengesahkan laman sosial Facebook adalah taktik terbaru dikenal pasti digunakan sindiket dadah antarabangsa untuk merekrut rakyat negara ini bagi dijadikan keldai dadah.

Apa yang menjadi persoalan dan kemusykilan, bagaimana warga asing ini memperoleh dadah dengan jumlah besar di negara ini sebelum ia dibahagikan kepada wanita tempatan yang dijadikan keldai dadah untuk diseludup semula ke luar negara terutama ke China? Bagaimanapun, ada juga diseludup ke Australia, New Zealand, Afrika Selatan dan Eropah.

Kemungkinan sindiket dadah antarabangsa ini menjadikan Malaysia transit kegiatan mereka sebelum dadah yang kebanyakan jenis syabu dan ketamin diseludup semula ke negara lain.

Mereka juga menggunakan pelbagai kaedah untuk menyeludup dadah ini termasuk menelannya, menyembunyikan dalam ruang khas dalam bagasi, tin susu, sabun dan yang terbaru menyembunyikannya dalam ubi kayu. Malah, sindiket terbabit juga semakin berani apabila memproses dadah ini di dalam negara ini dengan mewujudkan makmal di rumah mewah yang disewa mereka bagi mengelak dihidu pihak berkuasa.

Berdasarkan pemantauan Bukit Aman, permintaan tinggi daripada penagih dalam negara menyebabkan trend penyeludupan dadah membabitkan warga asing ini berlaku dan ia pula dilakukan keldai dadah dari negara luar terutama Iran, India, Nigeria, Pakistan dan Afrika Selatan.

Tahun lalu saja, Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya membongkar tiga makmal dadah berskala besar dan 18 makmal dadah berskala kecil yang menghasilkan dadah secara kecil-kecilan di seluruh negara.

Berikutan kejayaan polis menghapuskan makmal itu, bekalan dadah dalam negara tidak mencukupi bagi menampung permintaan penagih dalam negara dan ruang kosong ini memberi peluang kepada pengedar dadah antarabangsa menyeludup masuk bahan haram itu ke dalam negara.

Setakat Januari hingga April lalu, 55 tangkapan warga asing menyeludup dadah berjaya ditahan termasuk 31 dari Iran, Nigeria (13) dan Afrika (11).

Sejumlah 129.8 kilogram dadah syabu yang dianggarkan nilai pasaran melebihi RM25 juta selain 597 gram dadah heroin turut dirampas dalam semua tangkapan itu. Jumlah itu dianggap tinggi kerana rampasan dadah tahun lalu bernilai RM5.89 juta dan RM8.7 juta pada 2009.

Malaysia bukan negara sasaran penyeludupan dadah antarabangsa kerana dimaklumkan negara serantau lain turut menghadapi isu sama.

Bagaimanapun, polis sentiasa membuat kajian mengenai trend kemasukan dadah menggunakan semua pintu masuk negara untuk membendung aktiviti penyeludupan bahan terlarang itu.

Kegiatan penyeludupan dadah membabitkan rakyat Malaysia ini mencemarkan nama dan imej negara, sekali gus menyukarkan rakyat negara ini yang mahu membuat perjalanan atas pelbagai urusan ke luar negara.

Sehubungan itu, Wisma Putra menggariskan lima langkah yang boleh diambil bagi mengelak terpedaya dengan pelbagai tawaran menarik dan menjadi mangsa sindiket jenayah antarabangsa berkenaan yang diterima melalui e-mel atau secara ‘chatting’ iaitu:

Menentukan status dan memeriksa latar belakang majikan.

Berwaspada dengan tawaran ‘wang mudah’ yang tidak diminta.

Berwaspada apabila disuruh membawa barangan yang tidak diketahui.

Berhati-hati dengan jalinan hubungan yang cepat berkembang bersama kenalan baru yang menawarkan pelbagai janji dan manfaat.

Melaporkan kepada pihak berkuasa mengenai sesuatu tawaran kerja yang diragui kesahihannya.

Walaupun ada cadangan laman Facebook disekat di negara ini bagi mengelak wanita tempatan terus dieksploitasi sebagai keldai dadah, langkah itu dilihat sebagai langkah ke belakang dalam mengamalkan dasar langit terbuka yang diamalkan kerajaan.

Apa yang boleh dibuat dan dilakukan wanita kita ialah berhati-hati dan tidak melayan sebarang e-mel atau rakan sosial yang diragui terutama dalam kalangan warga Afrika. - Mymetro

Onar dalam MPV ibu

AMPANG: Seorang pembantu jualan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas tuduhan merogol seorang gadis bawah umur di dalam kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard milik ibunya, dua minggu lalu.

Khairul Ivan Iqmal Khairul Azizan Saw, 22, yang memakai kemeja-T dan berseluar jeans itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Manira Mohd Noor.

Mengikut pertuduhan, Khairil Ivan didakwa merogol remaja berumur 15 tahun itu di dalam kenderaan berwarna putih di tepi Jalan Kosas, di sini, pada jam 11 pagi, 11 Mei lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 376 (2) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Hafizah Rajuni, manakala tertuduh diwakili Roslan Hassan. lagi berita...

24 May 2011

Lepas nafsu tempat awam

Taman Perbandaran Tengku Anis Tanjung Chat jadi medan berahi

KOTA BHARU: Pengunjung Taman Perbandaran Tengku Anis Tanjung Chat di sini, kesal apabila taman awam yang dibina Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) untuk beriadah dan menghabiskan cuti hujung minggu dengan keluarga, dicemari perbuatan segelintir pasangan remaja yang melakukan adegan tidak senonoh.

Malah, remaja itu sanggup bersembunyi di kawasan terpencil taman awam berkenaan sebagai tempat memadu kasih bersama pasangan masing-masing walaupun kemudahan awam itu dikhaskan bagi kegiatan beriadah penduduk bandar Kota Bharu. Tinjauan Berita Harian ke taman itu mendapati ramai pengunjung datang berjoging, selain ibu bapa membawa anak masing-masing bermain papan gelongsor, buaian serta kemudahan kolam renang untuk kanak-kanak dibina MPKB. Namun, segelintir pasangan remaja sengaja mengambil peluang menyalahgunakan tempat awam itu untuk melakukan perbuatan tidak sopan seperti bercumbuan tanpa segan silu dilihat pengunjung lain yang sedang berjoging di sepanjang laluan kira-kira tiga kilometer trek pejalan kaki.

Malah, ada di antara pasangan sedang asyik bercumbu itu tidak menyedari perbuatan mereka dirakamkan anggota penguat kuasa Jabatan Pembangunan Islam (JPI) MPKB yang kerap menjalankan rondaan.

Seorang pelajar Politeknik Kuala Terengganu, Nor Aznie Effatin Azid, 21, berkata dia kerap berkunjung ke taman itu bersama ahli keluarga untuk beriadah terutama pada waktu petang sambil membawa adiknya yang kecil berenang di kolam.

"Namun, amat memalukan apabila segelintir remaja datang memadu asmara dengan pasangan masing-masing dan mereka duduk di tempat tersembunyi berhampiran kandang rusa di belakang taman ini," katanya.
Nor Aznie Edffatin, berkata perbuatan pasangan remaja sengaja melakukan perbuatan tidak sopan itu boleh menjadi ikutan kepada pengunjung remaja lain, selain pengaruh tidak baik kepada kanak-kanak yang mungkin terlihat kelakuan serong itu.

Pendapat itu turut disokong Pakar Pergigian Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Dr Rozita Hassan, 42, yang meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) MPKB lebih kerap memantau persekitaran taman itu.

"Taman Perbandaran Tengku Anis ini satu-satunya tempat beriadah penduduk bandar bersama keluarga kerana mempunyai pelbagai kemudahan lengkap sama ada untuk golongan dewasa atau kanak-kanak.

"Namun, saya kesal kerana masih ramai golongan remaja menyalahgunakan kemudahan awam ini untuk melakukan maksiat seperti berasmara yang pastinya memberi imej negatif kepada pengunjung lain," katanya.

Beliau berkata, orang awam tidak boleh 100 peratus menyalahkan MPKB kerana remaja yang terbabit perbuatan sumbang di tempat awam itu disebabkan kurangnya didikan agama dan kegagalan ibu bapa mendidik mereka.

Sementara itu, Setiausaha MPKB, Mohd Anis Hussein, berkata sejak Januari hingga Mac lalu, pihaknya mengambil tindakan mengkompaun 127 remaja di bandar ini dengan kutipan RM29,490.

Katanya, mereka ditahan di taman awam, pasar raya, lorong gelap sekitar bandar, selain di sepanjang hadapan Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, di sini antara jam 5 petang hingga jam 12 tengah malam menerusi Operasi Bersepadu dengan kerjasama Jabatan hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHAEIK), polis dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kelantan.

Mohd Anis berkata, pihaknya akan melipatgandakan usaha bagi membanteras kegiatan sumbang itu supaya imej MPKB sebagai Bandaraya Islam tidak tercemar kerana tindakan segelintir remaja. - BHarian

* Kalau undi PAS pun begitu juga, payah...

Tian Chua: Saya masih MP sah

PETALING JAYA, 24 Mei — Ahli Parlimen Batu, Chua Tian Chang berkata beliau masih seorang wakil rakyat yang sah walaupun Mahkamah Rayuan telah mengetepikan rayuannya berhubung hukuman dikenakan atas tuduhan menggigit seorang polis empat tahun lalu.
Kata Chua, beliau masih lagi anggota Dewan Rakyat kerana pihaknya dan pendakwa raya tidak pernah membuat sebarang rayuan ke atas keputusan yang telah dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi, sebaliknya hanya membuat rayuan sama ada beliau telah melakukan kesalahan sebagaimana dituduh iaitu menggigit polis.

“Saya dan pihak pendakwa tidak pernah merayu atas keputusan Mahkamah Tinggi mengenai denda dikenakan dan terhadap keputusan hakim sama ada status Ahli Parlimen harus dikekalkan atau tidak,” kata beliau pada sidang media hari ini.

Laporan media semalam menyebut Mahkamah Rayuan mengetepikan rayuan beliau yang mesra dikenali sebagai Tian Chua berhubung hukuman yang dikenakan atas tuduhan menggigit seorang anggota polis.

Chua (gambar) yang juga Naib Presiden PKR memberitahu, mahkamah menolak rayuan ekoran bantahan timbalan pendakwa raya bahawa ia difailkan selepas tempoh 14 hari yang dibenarkan oleh undang-undang.

Dalam pada itu, Chua menjelaskan pihak mahkamah telah mengurangkan denda dari RM3,000 kepada RM2,000 dan membatalkan hukuman penjara enam bulan.

Katanya, melalui penjelasan yang diterima, difahamkan hakim yang membicarakannya iaitu Hakim Datuk Ghazali Cha mengenakan tindakan tersebut bagi mengelakkan pilihan raya kecil.

“Oleh itu, bila kami rayu di Mahkamah Rayuan, kami hanya menyentuh perkara pokok iaitu sama ada saya telah melakukan jenayah atau tidak.

“Kami telah cuba untuk memberi bukti bahawa Mahkamah Majistret telah salah hukum dan telah salah dalam memeriksa semua bukti yang ada, tapi ditolak.

“Saya memang kesal kerana tidak ada peluang bagi saya. Saya tidak bersalah. Bagaimanapun, ini tidak mengganggu tugas saya sebagai Ahli Parlimen,” katanya.

Pertengahan Jun lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Hakim Datuk Ghazali Cha mengetepikan hukuman penjara enam bulan dan denda RM3,000 terhadap Tian Chua, yang dikenakan oleh Mahkamah Majistret berhubung tuduhan mencederakan anggota polis pada 2007 dan mengantikannya denda RM2,000 atau penjara dua bulan.

Mengikut Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan seseorang Ahli Parlimen hilang kelayakan jika beliau disabitkan oleh mahkamah dan dihukum penjara tidak kurang setahun atau denda tidak kurang daripada RM2,000 dan beliau tidak mendapat pengampunan. - TMI

DAP tak akan bubar DUN jika BN panggil PRU 2011

KUALA LUMPUR, 24 Mei — DAP mengumumkan parti itu tidak akan bersetuju untuk mengadakan pilihan raya di negeri-negeri diperintah Pakatan Rakyat jikapun kerajaan pusat pimpinan BN memanggil pilihan raya umum tergempar tahun ini.

Setiausaha Agungnya Lim Guan Eng (gambar) berkata jawatankuasa eksekutif pusat DAP mengambil pendirian itu pada mesyuaratnya semalam.

“Tapi jika pilihan raya diadakan tahun depan, ada kemungkinan kami akan bersetuju untuk mengadakan pilihan raya serentak,” katanya pada sidang media di sini.

Bagaimanapun Lim menegaskan keputusan parti itu akan dibuat berdasarkan perbincangan dalam Pakatan Rakyat.

Pada pilihan raya umum 2008 Pakatan Rakyat berjaya merampas Pulau Pinang, Selangor dan Kedah selain mempertahankan Kelantan di bawah pentadbiran PAS.

Pada Julai tahun lalu, Pakatan Rakyat mengumumkan untuk mengadakan pilihan raya setelah mandat lima tahun dicapai.

“Dalam soal keyakinan, ia juga mesti berdasarkan soal kepentingan awam. Juga, kami mahu menang... bukan sendirian tetapi bersama.

“Saya rasa ia adalah kritikal. Ia bukan kemenangan DAP... ia juga kemenangan Pakatan Rakyat,” kata Lim bila ditanya mengenai keyakinan parti itu dalam menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Ditanya sama ada keputusan itu akan menyebabkan PKR kehilangan sokongan, Lim berkata populariti BN juga semakin lemah disebabkan kenaikan harga barang.

“Jika anda melihat pihak satu lagi... semua kenaikan harga barang ini tidak akan mendatangkan keuntungan kepada BN,” katanya.

Beliau berkata tujuan untuk mengadakan pilihan raya adalah semata-mata mahu memperkukuhkan kedudukan “seorang pemimpin.”

Lim dilihat merujuk kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang mengambil alih jawatan itu daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi yang berundur selepas pilihan raya umum 2008.

Tambah beliau, jika pilihan raya diadakan lewat ia akan membantu Pakatan Rakyat untuk menawan semula Perak, yang dipimpin parti perikatan itu selepas 2008 namun jatuh semula ke tangan BN setahun kemudian. - TMI

Penyelaras pemantau p'raya ditahan di Kuching

Penyelaras Rangkaian Pemantau Pilihan Raya Malaysia (MEO-Net) Ong Boon Keong dibawa ke pejabat Imigresen Kuching hari ini, selepas dia ditahan ketika mengunjungi sebuah kampung dekat bandar tersebut.

Ong, juga dikenali sebagai Organic Ong, yang masih berada di
pejabat Imigresen Kuching, memberitahu Malaysiakini bahawa dia ke Sarawak Sabtu lepas untuk ker-kerja pemantauan selepas pilihan raya Sarawak.

Pagi ini, Ong (kiri) dan dua rakannya pergi Ampangan Bengoh - kira-kira setengah jam pemanduan dari Kuching - untuk menemui beberapa penduduk kampung di situ.

Bagaimanapun, pada sekitar jam 11 pagi, kira-kira 10 pegawai Imigresen tiba dengan lima kenderaan dan membawanya pergi dari situ. Mereka membawanya seorang sahaja ke pejabat Imigresen Kuching.

Ketika dihubungi, Ong berkata dia tidak tahu mengapa pihak berkuasa membawanya ke situ.

“Mungkin mereka tidak suka apa saya lakukan pada masa lalu.”

Penyelaras badan pemantau pilihan raya Sibu, Wong Meng Chuo mendakwa Ong berdepan dengan kemungkinan diusir dari Sarawak.

Juga difahamkan bahawa Ong akan disoalsiasat oleh pihak berkuasa pada jam 2 petang. - Malaysiakini

Empat anggota Syiah ditahan JAIS

Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akhirnya menangkap empat anggota ajaran Syiah di Gombak, termasuk ketuanya Mohd Kamil Zuhairi dalam sambutan ulangtahun kelahiran puteri Nabi Muhammad di Gombak sebentar tadi.

Jurucakap majlis Radin Ahmad Faizul berkata, selain Mohd Kamil, beliau sendiri ditahan dan dibawa ke ibu pejabat polis daerah (IPD) Gombak.

Dua lagi, menurutnya hanya dikenali sebagai Syed Syafiq dan Ashraf. Nama penuh mereka belum diperoleh setakat ini.

Sebelum itu, jurucakap majlis Radin Ahmad Faizul berkata, lebih 20 anggota JAIS kelihatan hadir di majlis itu selepas berlangsung 20 minit bermula jam 12 tengah hari.

Ketika itu, JAIS cuma mengambil kad pengenalan beberapa tokoh penting penganjur, termasuk Mohd Kamil.

"Lagi pun majlis itu cuma majlis makan-makan sahaja," kata Radin sambil mendakwa mereka mendapat permit polis untuk menganjurkan acara itu.

JAIS: Langgar fatwa

Kira-kira 500 orang hadir dalam program sambutan ulangtahun Fatimah Az-Zahrah yang diadakan di perkarangan hauzah atau markaz mereka di Gombak.

Ketua penolong pengarah bahagian pengurusan penguatkuasaan JAIS Mohamad Rais Rasid (kiri) ketika dihubungi mengesahkan tanggkapan empat orang itu.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung perkara itu kerana pihaknya merancang mengadakan sidang media khusus tentang perkara itu esok pagi.

"Mereka ditangkap kerana melanggar fatwa (dengan menyebarkan fahaman Syiah)," katanya ringkas.

Pada Disember tahun lalu, JAIS telah menahan seramai 128 pengikut Syiah -- aliran yang diharamkan negeri itu pada tahun 1989.

Bagaimanapun, dianggarkan terdapat kira-kira 40,000 mengikuti ajarannya di negara ini secara senyap-senyap. - Malaysiakini

* Harap JAIS bertegas terhadap mereka...

23 May 2011

DNA Babi Dalam Tepung Kek Jenama Terkenal

PETALING JAYA: Mesyuarat Panel Pengesahan Halal Malaysia mendedahkan penemuan mengejutkan iaitu asid deoksiribonukleik (DNA) babi di dalam bahan ramuan Whole Egg Powder dan Whole Milk Powder yang digunakan syarikat Puratos Malaysia Sdn. Bhd.

Lebih memeranjatkan, blog Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), http://persatuanpenggunaislammalaysia.blogspot.com turut mendakwa bahawa bahan-bahan berkenaan kini dikatakan digunakan oleh rangkaian kedai pembuat kek terkenal dalam produk mereka yang sebahagian besar pelanggan adalah masyarakat Islam.

Laman web www.halal.gov.my milik Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyebut, mesyuarat yang diadakan pada 12 Mei lalu memutuskan permohonan Puratos Malaysia Sdn Bhd adalah tidak berjaya berikutan penemuan DNA babi berkenaan.

Jakim turut menyenaraikan bahan makanan itu digunakan rangkaian kedai kek berkenaan.

"Sehubungan itu, semua pemegang atau pemohon baru Sijil Pengesahan Halal Malaysia yang menggunakan produk keluaran Puratos Malaysia Sdn. Bhd. dikehendaki menukar produk tersebut kepada produk lain yang memiliki sijil halal yang diiktiraf dan mengemukakan resit pembelian produk baru daripada pembekal yang memiliki sijil halal yang diiktiraf.

"Selain itu, mereka perlu melakukan proses samak dan mengemukakan bukti surat akuan samak daripada pihak Jabatan Agama Islam Negeri," menurut laman web itu, Isnin.

Khamis lalu, tiga pengarah syarikat didakwa di Mahkamah Majistret di Kluang atas dua tuduhan menjual kopi mengandungi DNA babi di kedai minuman, Kluang Rail Coffee tanpa meletakkan pernyataan kewujudannya pada label pembungkusan kopi itu.

Ketiga-tiga pengarah syarikat Rail Passion Sdn. Bhd. (Rail Passion) tersebut iaitu Lim Jit Chiang, 37, dan abangnya, Lim Jit Tong, 42, serta sepupu mereka, Lim Jit Chen, 58, mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan.

Syarikat pengilang Cheng Hiong Coffee Powder Trading pula menghadapi tuduhan menyedia dan membungkus kopi campuran dalam bungkusan yang belum dibuka dan tidak berlabel untuk jualan kepada syarikat Rail Passion. - Mstar

Tanah runtuh: Polis siasat tragedi, nafi madrasah amal ajaran sesat


KUALA LUMPUR, 23 Mei – Polis telah mengambil keterangan beberapa saksi dan pemilik Rumah Anak-anak Yatim dan Madrasah Hidayah Al-Taqwa, Hulu Langat dekat sini berhubung tragedi tanah runtuh kelmarin yang mengorbankan 16 nyawa.

Keterangan diambil daripada pelbagai pihak bagi membantu siasatan dan mengenal pasti punca tragedi.

“Kita akan lihat sekiranya wujud kecuaian dan kelalaian dari mana-mana pihak sehingga berlakunya kejadian ini,” kata Ketua Polis Selangor Datuk Tun Hisan Tun Hamzah selepas melawat mangsa terselamat di Hospital Ampang hari ini.

Enam mangsa yang terselamat dalam insiden itu kini ditempatkan di wad khas hospital itu manakala tiga lagi di Unit Rawatan Rapi.

Dipetik laporan Bernama Online, Tun Hisan berkata, fokus siasatan akan tertumpu kepada status tanah berkenaan yang dikatakan tanah pertanian dan untuk mengesahkan sama ada pembinaan rumah di tanah itu mendapat kebenaran ataupun tidak.

Beliau berkata, polis sedang berbincang dengan Jabatan Mineral dan Geosains dan agensi-agensi lain bagi mencari punca yang mengakibatkan tanah runtuh itu.

Rumah itu telah dibina lebih 10 tahun lepas dan ia merupakan tapak pertanian dan bendang.

Mengenai khabar angin kononnya rumah anak yatim itu (gambar) ada mengamalkan ajaran sesat, Tun Hisan berkata khabar angin itu tidak betul.

Satu lagi laporan Bernama Online menyebut bahawa Jabatan Kerja Raya (JKR) percaya hujan lebat luar biasa selama tiga hari mengakibatkan stuktur tanah menjadi lemah hingga membawa kepada berlakunya kejadian tanah runtuh.

Pengarah Kanan Kejuruteraan Cerun Datuk Ir Ashaari Mohamad berkata, berdasarkan data taburan hujan yang diperoleh untuk tiga hari, sejumlah 29 milimeter (mm) hujan turun di kawasan itu pada Khamis lalu, diikuti 41mm pada hari berikutnya dan meningkat mendadak kepada 80mm pada hari kejadian.

“Jumlah hujan yang turun pada hari kejadian adalah luar biasa sebab jumlah normal adalah sekitar 20 milimeter. Apabila hujan turun dan meresap ke dalam tanah ia telah menyebabkan struktur tanah menjadi lemah dan boleh runtuh pada bila-bila masa,” katanya.

Ashaari berkata berdasarkan tinjauan pihaknya ke kawasan dan puncak cerun berhampiran tanah runtuh itu, terdapat lurah laluan air yang menuju ke kawasan runtuhan.

Selain itu, pokok-pokok yang ditebang di sekitar kawasan itu juga menyebabkan kawasan berkenaan menjadi laluan air apabila hujan.

“Tanah-tanah masih bergerak dan kalau ada hujan boleh menyebabkan tanah runtuh dan kita kategorikan kawasan ini sebagai tidak selamat,” katanya.

Berdasarkan maklumat diterima, beliau berkata, kedudukan antara cerun yang berketinggian 25 hingga 30 meter dengan bangunan rumah anak yatim itu juga terlalu hampir iaitu sekitar tujuh meter atau 25 kaki.

“Kita menganggarkan sejumlah 3,500 isipadu tanah atau bersamaan 600 buah lori, tanah yang runtuh dan menimpa rumah anak yatim berkenaan dengan ketinggian runtuhan empat meter dan lebar 54 meter,” katanya.

Ashaari berkata, cerun di kawasan rumah anak-anak yatim juga telah dipotong dan itu menyebabkan berlaku ketidakstabilan pada keadaan tanah.

“Jadi hari ini kami nak teliti balik keadaan tanah dan melihat bagaimana kami boleh baiki semula struktur tanah ini. Kami juga meminta Pihak Berkuasa Tempatan mengawasi keadaan sekitar kawasan perumahan di kawasan ini kerana mereka juga terdedah kepada risiko sama,” katanya.

Dalam pada itu, RM217,000 sumbangan disalurkan Majlis Agama Islam Selangor dan Lembaga Zakat Selangor kepada 53 waris dan mangsa tragedi tanah runtuh itu dan rumah kebajikan berkenaan.

Setiap waris kepada 16 mangsa yang terkorban menerima RM5,000 setiap seorang manakala mangsa yang terselamat menerima sumbangan berjumlah RM1,000, sementara rumah anak yatim itu mendapat sumbangan RM100,000.

Selain itu kerajaan Selangor turut menyalurkan sumbangan RM5,000 kepada setiap waris. - Mymetro

‘Saya tarik tangan adik’

KUALA LUMPUR: “Saya tarik tangan adik ketika kami lari menyelamatkan diri, tapi kaki adik tersangkut pada besi khemah dan dia jatuh. Saya tarik lagi tangannya tapi runtuhan batu mula menuju ke arah kami dan menimpa kepala adik.

“Saya mahu mengorek tanah mencari adik, namun orang ramai menghalang. Saya terus menangis kerana hanya mampu melihat adik tertimbus di depan mata.”

Demikian luahan Mohd Awie Abdul Latif, 11, menceritakan detik kematian adiknya, Mohd Riezman, 9, dalam tragedi tanah runtuh yang meragut 16 nyawa dan mencederakan sembilan penghuni Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa, Hulu Langat dekat sini, kelmarin.

Mohd Awie yang ditemui di luar Bilik Mayat Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini, semalam berkata, sebelum kejadian pada jam 2.30 petang itu dia, Mohd Riezman dan kebanyakan penghuni lain berada di dalam khemah untuk melakukan persiapan bagi majlis serahan bantuan oleh seorang pegawai Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas).

“Ketika itu, Riezman berada dekat dengan saya. Kemudian, ada orang menjerit supaya menyelamatkan diri kerana ada tanah runtuh lalu kami semua segera lari. Saya sungguh terkilan kerana tak sempat menyelamatkan adik,” katanya. - Mymetro

Ibu trauma diganggu ah long


JOHOR BAHRU – Seorang ibu tunggal kini hidup dalam ketakutan selepas rumahnya di Taman Ungku Tun Aminah, Skudai di sini disimbah cat dipercayai dilakukan oleh sekumpulan ah long kelmarin.

Mangsa, Dieh Hua Ing, 54, mengaku sejak insiden tersebut dia trauma dan bimbang akan terus menjadi mangsa ah long meskipun dia tidak pernah meminjam wang dengan mana-mana pihak sebelum ini.

Menurutnya, kejadian tersebut disedari jirannya yang melihat dua lelaki menaiki kereta melempar cat merah ke rumah mangsa kira-kira pukul 1 petang kelmarin. Ketika kejadian, mangsa bersama anak perempuannya yang berusia 16 tahun tiada di rumah.

“Saya memang tidak pernah berhutang dengan mana-mana pihak terutama ah long tetapi saya tidak tahu mengapa rumah saya menjadi sasaran mereka.

“Mungkin mereka tersalah rumah tetapi saya tetap bimbang memandangkan saya hanya tinggal berdua bersama anak perempuan yang masih bersekolah,” katanya kepada pemberita di rumahnya semalam. - Kosmo

Sengaja mahu ke tali gantung

KUALA TERENGGANU – Seorang penganggur, Azman Mohamad, 42, tidak serik walaupun sudah lima kali ditangkap atas kesalahan berkaitan dadah sejak 1998 apabila dia sekali lagi ditahan buat kali keenam, 12 Mei lalu.

Bezanya, kali ini dia berdepan dengan kesalahan lebih besar yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan kerana didakwa mengedar dadah jenis metemphatamine seberat 111.10 gram.

Azman mengaku faham atas tuduhan yang dilakukan di bawah Seksyen 39B (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 itu ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Faraziana Zainuddin.

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Lelaki yang masih bujang itu turut dituduh memiliki sejumlah 15.92 gram dadah sama ketika serbuan dilakukan di rumahnya bernombor 5562, Jalan Batu Rakit dekat sini kira-kira pukul 6 petang.

Mengikut pertuduhan kedua itu, Azman didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 12(2) ADB 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun atau tidak lebih lima tahun berserta sebatan.

Azman juga mengaku faham atas pertuduhan tersebut.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Zulfazliah Mahmud.

Siti Faraziana kemudiannya menetapkan 3 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula. - Kosmo

Nik Aziz bertopeng imej warak

KUALA LUMPUR 22 Mei - Tindakan memperalat pelajar sekolah agama dan maahad tahfiz di Kelantan dalam program politik Pas membuktikan Mursyidul Amnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai pemimpin yang tidak bermaruah.

Yang Dipertua Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Azwanddin Hamzah berkata, tindakan itu juga membuktikan Nik Abdul Aziz sebagai pemimpin yang tidak mempunyai prinsip dan bertopengkan imej warak untuk memperdaya pelajar sekolah agama di Kelantan.

"Ucapan Nik Abdul Aziz pada Himpunan 10 Ribu Jentera Pemuda Pas Kelantan di Padang Perdana, Kota Bharu semalam membuktikan apa yang JMM kata mengenai Menteri Besar Kelantan itu benar." katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Tohmahan tidak berasas Pas terhadap UMNO selama ini akhirnya memakan diri apabila Himpunan 10 Ribu Jentera Pemuda Pas Kelantan di Padang Perdana semalam menjadi bukti bagaimana parti itu memperalatkan pelajar sekolah agama dan maahad tahfiz di seluruh Kelantan dalam program politik mereka.

Lebih mengejutkan apabila ucapan beberapa pimpinan Pas termasuk Nik Abdul Aziz dalam program tersebut turut meniupkan kebencian dan penentangan di kalangan pelajar terbabit terhadap UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Azwanddin berkata, Nik Abdul Aziz merupakan seorang pengecut kerana hanya berani berpidato dan berbohong di hadapan budak-budak kecil yang baru belajar agama.

"Mengapa beliau (Nik Abdul Aziz) tidak berani untuk berpidato dengan tokoh seperti bekas pensyarah Akademi Islam Universiti Malaya, Mohd. Nor Deris," katanya.

Beliau berkata, tidak hairan sekiranya Mursyidul Am Pas itu menjadi tali barut DAP seperti Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Mohamad Sabu.

"DAP mahu Nik Abdul Aziz dan Mohamad mengunakan Pas sebagai alat memecahbelahkan undi Melayu dengan mengunakan faktor dan sentimen agama bagi mewujudkan kebencian di kalangan orang Melayu.

"Saya setuju bila orang kata undi Pas sama seperti undi DAP," katanya. - Utusan

* Bawa mengucap Azwanddin...

22 May 2011

Beri saya masa untuk bertenang, kata YDP rumah anak yatim

HULU LANGAT, 22 Mei — “Saya tidak mahu cakap apa-apa... anak-anak saya baru sahaja pergi (meninggal dunia).”

Itulah ayat yang mampu dikatakan oleh Yang Dipertua Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa Batu 14 dekat ini berhubung tragedi tanah runtuh yang mengejutkan seluruh negara, semalam.

Justeru kata Idris Musa, beliau memerlukan sedikit masa untuk bertenang sebelum memberikan sebarang kenyataan media.

“Tolonglah... tolonglah... berikan saya masa, saya masih tidak boleh nak cakap apa-apa lagi.

“Keadaan saya belum tenang lagi, saya perlu ambil sikit masa,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas insiden yang menimpa rumah anak-anak yatim itu, menyebabkan kematian 16 orang manakala sembilan yang lain cedera.

Seramai tujuh mangsa yang terbunuh telah selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburun Islam Dusun Nanding di sini kira-kira pukul 3.20 petang tadi.

Mereka ialah Dzahir Haziq M. Muin, 17; Mohd Hazim Sapri, Mohd Azrel Azahari, 8; Wan Ahmad Hasril Hazim, 19; Mohd Mustakim Mamat, 12; Mohd Zaim Azahawi, 14, dan Mohd Imal Fahad, 9.

Sementara itu, seorang sukaralewan rumah anak-anak yatim tersebut, Roslan Osman, 69, berkata, ketika kejadian beliau tidak berada bersama kesemua mangsa kerana dalam perjalanan ke Muar atas urusan kerja.

Namun jelas Roslan, dalam perjalanannya beliau mengambil keputusan untuk patah balik kerana rasa tidak sedap hati.

“Ketika itu saya masih belum tahu kejadian itu sudah berlaku, tetapi dalam perjalanan balik saya dimaklumkan oleh kawan-kawan berlaku tanah runtuh di rumah itu.

“Saya berusaha mendapatkan bantuan kawan-kawan lain yang berada di kawasan berhampiran untuk menghulurkan bantuan,” katanya.

Beliau dimaklumkan kejadian itu kira-kira pukul 2 petang sebelum tiba di kawasan itu pada pukul 5.30 petang.

Roslan juga berkata, ini adalah kejadian tanah runtuh pertama berlaku di kawasan itu dan menyifatkannya sebagai “sangat teruk.”

“Sebelum ini ada tanah-tanah jatuh bergolek ke kawasan ini tapi ia tidak apa-apa dan kami di sini buang semula tanah-tanah yang bertaburan.

“Tapi kali ini adalah kejadian yang sangat teruk, ia pertama kali berlaku di sini,” katanya yang sudah menjadi sukarelawan sejak 10 tahun lalu.

Beliau juga berkata, amat terkejut apabila dimaklumkan mengenai kejadian itu.

“Saya amat terkejut, saya tidak menyangka kejadian ini akan berlaku di sini,” katanya.

Dalam kejadian itu, seramai 25 orang yang terdiri daripada penghuni, warden dan kakitangan rumah anak yatim tertimbus.

Laporan semalam menyebut ada 49 orang di lokasi kejadian.

Pasukan mencari dan menyelamat mengambil masa kira-kira 15 jam untuk mengeluarkan semua 25 mangsa yang tertimbus.

Operasi yang bermula pukul 2.45 petang semalam, berakhir kira-kira 5.30 pagi tadi.

Sementara itu, ibu saudara Haziq, Zaiton Abdullah yang tiba dari Terengganu menangis teresak-esak apabila tiba di tanah perkuburan sambil berkata, “saya tidak sempat untuk jumpa dengan (Haziq).”

“Dia (Haziq) anak yang baik, kakak tidak sempat untuk jumpa.

“Kakak dah anggap dia macam anak sendiri, kakak jaga dia sejak dia kecil lagi,” katanya sambil ditenangkan ahli keluarga lain.

Zaiton berkata dia dimaklumkan kejadian yang menimpa Haziq malam tadi dan bergegas ke Kajang awal pagi tadi. - TMI

Sham Kamikaze insaf

KUALA LUMPUR: “Alhamdulillah, akhirnya saya dikurniakan hidayah daripada Yang Maha Berkuasa. Syukur, kini saya kembali ke pangkal jalan dan menginsafi apa yang pernah saya lakukan sebelum ini,” kata artis terkenal, Shamril Mohd Salleh, 36, atau lebih dikenali sebagai Sham Kamikaze.

Sham mengejutkan ramai pihak apabila mengeluarkan kenyataan dan video menerusi laman sosial facebook miliknya serta menjelaskan ingin menarik diri daripada dunia hiburan jika dikurniakan rezeki dalam bidang berbeza.

“Saya sudah berbincang dengan ulama dan ustaz berkaitan pekerjaan dalam bidang ini. Selagi tidak menyalahi hukum syarak, tidak mengapa.

“Namun, saya turut merancang untuk meninggalkan dunia hiburan jika mempunyai peluang lain. Insya-Allah, semuanya bergantung kepada rezeki Allah,” katanya kepada Metro Ahad.

Bekas pemain gitar kumpulan rock yang pernah popular pada era 1990-an ini turut menjelaskan, perubahan dialaminya kini kerana petunjuk dan hidayah pemberian Allah.

“Hati saya mula terbuka apabila Allah menemukan saya dengan Imam Satu, Masjidil Haram, Sheikh Abdul Rahman As Sudais ketika saya merayau-rayau di utara.

“Orang kata, memang susah untuk orang biasa berjumpa imam besar itu. Sejak itulah, saya percaya ada hikmah tersembunyi yang ingin Allah berikan.

“Syukur, saya akhirnya mendapat petunjuk daripada Allah. Sekurang-kurangnya, saya tidak lagi hanyut dengan pelbagai perkara yang melalaikan,” katanya.

“Saya akui, dulu saya jahil. Dengan penampilan memakai subang dan pakaian tidak sopan serta melakukan pelbagai perkara yang menyalahi agama.

“Bagaimanapun, kini saya mula tersedar daripada lamunan. Saya memanjatkan kesyukuran dan berterima kasih kepada Tuhan kerana memberikan hidayah yang nyata adalah milik-Nya,” katanya.

Sham artis terbaru yang ‘berhijrah’ dan mengikuti jejak langkah Azmil Mustapha, Bob Loqman, Cico dan Ashraf Muslim. - HMetro