31 January 2011

Wartawan Al-Jazeera Dihalang Bertugas, Pihak Berkuasa Mesir Arah Pejabat Ditutup

DUBAI, Emiriah Arab Bersatu: Stesen televisyen berpengaruh Arab, Al-Jazeera pada Isnin menjelaskan bahawa enam wartawannya dihalang daripada meninggalkan hotel masing-masing selepas kerajaan Mesir mengarahkan pejabat stesen itu di Kaherah ditutup.

Rangkaian televisyen yang berpangkalan di Qatar itu pada laporan awalnya menyatakan kakitangan terbabit ditahan.

Bagaimanapun jurucakap Al-Jazeera memberitahu, kesemua wartawan tersebut terpaksa berdepan dengan pihak berkuasa yang kemudiannya tidak membenarkan mereka meninggalkan hotel.

Katanya, namun beitu mereka tidak diarahkan meninggalkan negara yang sedang bergolak itu.

Wartawan-wartawan terbabit merupakan petugas bagi saluran bahasa Inggeris yang merupakan rangkaian utama dalam perkhidmatan Al-Jazeera.

Larangan berkenaan berlaku selepas sehari pihak berkuasa Mesir mengarahkan pejabat stesen televisyen itu ditutup kerana didakwa menyebelahi penunjuk perasaan yang mahukan Presiden Hosni Mubarak berundur selain menggalakkan kacau-bilau.

Al-Jazeera mendakwa tindakan berkenaan adalah bagi menghalang laporan sebenar keadaan di Mesir, namun berjaya meneruskan laporan-laporan terkini mereka melalui kamera pegun dan telefon. - mstar

Maut angkara suara ghaib

GEORGE TOWN - Seorang lelaki yang didakwa mendengar namanya dipanggil oleh suara ghaib, maut setelah dia terjatuh dari tingkat lima sebuah flat di Bukit Gedung di sini kelmarin.

Dalam kejadian pada pukul 10 malam itu, mangsa, Shamsul Kamal Mohd. Shafeeuddeen, 24, cedera parah di kepala dan mati dalam perjalanan ke Hospital Pulau Pinang (HPP).

Sebelum kejadian, mangsa yang merupakan anak bongsu daripada lima beradik didakwa terdengar panggilan misteri memanggil namanya.

Dia kemudian keluar dari rumahnya yang terletak di tingkat dua di flat berkenaan.

Seorang abang mangsa yang melihat tindakan Shamsul, cuba memujuknya supaya tidak terpengaruh dengan suara ghaib itu namun, tidak diendahkannya.

Selepas gagal dipujuk, seorang saksi yang dikenali sebagai Harun, 30-an bercerita, Shamsul berlari ke tingkat lima sambil dikejar oleh abang mangsa.

"Melihat si abang mengejarnya, mangsa tiba-tiba terjatuh dari beranda flat di tingkat lima yang berketinggian 25 meter," kata Harun lagi.

Dalam pada itu, seorang jurucakap polis berkata, mangsa yang bujang dan bekas pekerja kilang itu didakwa pernah mengikuti ajaran satu kumpulan agama yang berpangkalan di negeri ini beberapa tahun lalu.

Bagaimanapun, menurut jurucakap itu, selepas dipujuk keluarganya, mangsa mengambil keputusan untuk keluar daripada kumpulan agama itu dua tahun yang lalu.

"Sejak itu, mangsa didakwa mengalami gangguan emosi dan perlu menjalani proses pemulihan termasuk mendapatkan rawatan psikiatri di HPP," katanya di sini semalam. - Kosmo

Opposition parties, NGOs protest Mubarak regime

Dr M: Islam Nik Aziz lebih teruk dari Islam nasionalis

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan kepercayaan agama Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat - yang disebutnya sebagai 'Islam Nik Aziz' - lebih teruk daripada 'Islam nasionalis'.

"Sesungguhnya Islam Nik Aziz lebih teruk dari Islam nasionalis," kata Dr Mahathir.

Beliau rela mempertahankan (menteri mentor Singapura) Lee Kuan Yew dengan menganggap cadangan Lee Kuan Yew supaya orang Islam Singapura tidak terlalu kuat berpegang kepada ajaran Islam adalah tidak seburuk dari Islam nasionalis Melayu."

Sehubungan itu, Dr Mahathir berkata, bayangkan sahaja pendekatan Islam bawah pemerintahan Nik Aziz ketika beliau duduk sebaris dengan pemimpin lain dalam Pakatan Rakyat seperti Lim Guan Eng (setiausaha agung), Karpal Singh (pengerusi) dan Lim Kit Siang (penasihat).

"Jika pendapat rakan bukan Islam Nik Aziz menuntut supaya amalan ajaran Islam dilonggarkan, Nik Aziz mungkin bersetuju kerana Islam nasionalis lebih teruk daripada Lee Kuan Yew," sindir Dr Mahathir.

Pada 27 Januari lalu, Utusan Malaysia juga melaporkan Nik Aziz mengeluarkan kenyataan itu dengan membandingkan dengan sikap segelintir orang Melayu di negara ini yang membuang sama sekali Islam dan mengambil pendekatan nasionalisme.

Melayu pecah tiga

Menulis di blognya hari ini, Dr Mahathir berkata, hasil perjuangan nasionalisme Melayulah banyak nilai Islam diterapkan dalam pemerintahan jika dibanding dengan pengamalan di zaman British yang mana ramai pembesar Melayu minum arak, pekerja Melayu minum todi dan ramai yang tidak sembahyang.

"Teruk sangatkah orang nasionalis ini dalam mengamal ajaran Islam?" soal Dr Mahathir lagi.

Beliau juga sebaliknya membidas menteri besar Kelantan itu dan PAS yang hasil terbesarnya didakwa memecahbelahkan orang Islam di negara ini, termasuk melalui penubuhan parti Islam itu sendiri.

Sokongan kepada parti Melayu Semangat 46 suatu masa dulu, juga menyebabkan orang Melayu berpecah menjadi tiga.

"Tidak cukup dengan ini Nik Aziz sanggup bekerja keras dengan DAP untuk menubuh Pakatan. Bahawa dahulu PAS mendakwa kerjasama Umno dengan orang bukan Islam menjadikan mereka kafir dilupakan sahaja kerana ingin menjadikan Pakatan musuh Umnoyang kuat.

"Dengan cara ini Nik Aziz menentukan kali ini perpecahan orang Melayu Islam kepada tiga pasukan yang lemah menjadi kekal," coret Dr Mahathir sambil menambah ajaran bahawa orang Islam itu bersaudara tidak dihiraukan oleh Nik Aziz. - Malaysiakini

* Tua dah Mahathir tu tapi...

RON97 naik 10 sen lagi

Harga petrol RON97 akan dinaikkan 10 sen berkuatkuasa tengah malam ini menurut satu sumber industri.

Dengan kenaikan itu, harga petrol RON97 akan meningkat menjadi RM2.50 seliter (RM2.40 sebelumnya).

Ini merupakan kenaikan harga yang keempat berturut-turut bagi petrol RON97.

Kenaikan harga ini juga dilakukan sehari selepas pilihan raya kecil DUN Tenang yang berlangsung semalam.

Semenjak tahun lalu, harga RON97 mula dinaikkan kepada RM2.15 pada 2 November, RM2.30 pada 1 Disember dan terus meningkat kepada RM2.50 pada 4 Januari tahun ini.

Harga bagi petrol RON97 yang banyak digunakan oleh kenderaan berkuasa tinggi, tidak ditetapkan kerajaan kerana ia diapung mengikut pasaran minyak dunia semasa.

Apungan itu diperkenalkan tahun lalu dan satu gred baru petrol RON95 turut diperkenalkan.

Harga bagi RON95 kini ditetapkan pada kadar RM1.80 seliter.

Pengurangan subsidi bagi bahan keperluan seperti petrol telahpun mula diperkenalkan melalui Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) sejak awal tahun lalu.

Badan berkenaan ditubuhkan bagi mengurangkan beban subsidi negara. - Malaysiakini

* Bila rakyat kurang cerdik, pemimpin yang zalim pun gemuk...

Pindah Segera Pelajar Malaysia Di Mesir - Khairy

PETALING JAYA: Kerajaan digesa supaya melaksanakan pelan kontigensi untuk memindahkan pelajar Malaysia di Mesir ke negara terdekat seperti Jordan, Arab Saudi dan Libya dalam masa 24 jam bagi mengelakan risiko yang lebih buruk berlaku.

Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN), Khairy Jamaluddin berkata, langkah berkenaan perlu dilaksanakan dengan segera berdasarkan situasi terkini apabila pihak tentera mula memasuki kawasan strategik yang sebelum ini dijadikan lokasi perhimpunan.

"Pemuda BN mendesak agar pelan kontingensi yang telah dirancang dapat dilaksanakan dengan segera bagi mengelakkan risiko yang lebih buruk.

"Kami melihat keperluan untuk tindakan segera ini amat penting lanjutan daripada kemaraan pihak tentera di beberapa lokasi strategik dan risiko sekiranya lokasi perhimpunan tidak lagi selamat," katanya di sini, Isnin.

Selain itu, Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, pihaknya bimbang sekiranya Wisma Putera lambat mengambil tindakan segera, ia akan menyebabkan kegagalan terhadap pelaksanaan pelan kontigensi yang dirancang.

"Kami juga mendesak agar Wisma Putra dapat segera menghubungi dan memaklumkan kesemua para pelajar kita di Mesir tentang pelan tersebut dan seterusnya memindahkan mereka dalam jangka masa 24 jam dari sekarang," katanya.

Tambahnya lagi, penyediaan pengangkutan bagi memindahkan pelajar Malaysia di Mesir penting memandangkan ada diantara mereka yang terkandas akibat penerbangan pulang ditangguhkan.

"Pada masa yang sama kita juga harus mengakui bahawa kebanyakan pelajar tidak mempunyai kemampuan kewangan mahupun kenderaan peribadi untuk bergerak sendiri sekiranya situasi semakin meruncing," katanya.

Semalam, Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, kerajaan bersetuju untuk membawa keluar sementara rakyat Malaysia di Mesir ke tiga negara jiran iaitu Jordan, Arab Saudi dan Libya jika keselamatan mereka terancam susulan keadaan yang semakin tegang di negara itu.

Menurut Anifah, kakitangan kedutaan di tiga negara berkenaan sudah dimaklumkan mengenai keputusan itu dan bersedia membantu pergerakan keluar rakyat Malaysia kira-kira 11,000 rakyat Malaysia di Mesir dengan sebahagian besarnya pelajar.

Keadaan di Mesir bergolak sejak minggu hari lalu berikutan ribuan penunjuk perasaan menuntut Mubarak berundur.

Menurut laporan agensi berita antarabangsa, bantahan besar-besaran yang bermula sejak Selasa lalu di Kaherah, Iskandariah, Suez, Dumiyat, Tanta dan Mansoura menyebabkan lebih 1,000 penunjuk perasaan ditahan polis, mengorbankan hampir 100 nyawa dan lebih 1,000 lagi cedera.

http://mstar.com.my

Tenang: Persoalan sukar DAP kepada MCA

Walaupun pedih dengan kekalaham calon PAS Normala Sudirman dalam pilihan raya kecil tenang, pemimpin popular DAP Lim Kit Siang berkata, terdapat persoalan yang sukar harus dijawab oleh Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

"Adakah Chua mempunyai keberanian politik untuk memberitahu Umno bahawa pertambahan sokongan masyarakat Cina (kepada Pakatan Rakyat) bukan kerana hudud atau negara Islam tetapi dasar Pakatan untuk perubahan, keadilan, demokrasi dan kemajuan?

"Atau beliau akan terus menyalahtafsrikan dan meyimpangkan kehendak politik dan harapan pengundi Tenang dengan terus menipu dengan dakwaan palsu bahawa peningkatan 65 peratus pengundi Cina kepada calon Pakatan sebagai menyokong hudud dan negara Islam? soal Lim.

Dalam satu kenyataan hari ini, anggota parlimen Ipoh Timur itu menambah, ketika MCA bermegah dengan kemenangan di tiga daripada empat kawasan majoriti Cina, Dr Chua gagal menyedari bahawa hanya 35 peratus memilih BN walaupun tempat itu dianggap taman permainannya sendiri.

Chua merupakan bekas ahli parlimen Labis - tempat letaknya Tenang - sebelum memberikan kerusi itu kepada anaknya Chua Tee Yong.

http://malaysiakini.com/news/155003

Video lucah: Ariel Peterpan dipenjara 3 tahun

Suspek kes video lucah Najriel Irham atau lebih dikenali Ariel Peterpan dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun setengah (ditolak masa tahanan) beserta denda Rp250 juta (RM85,000).

Hakim Gedung Pengadilan Negeri Bandung, Indonesia, Singgih Budi Prakoso menjatuhkan hukuman itu selepas penyanyi terkenal itu terbukti secara sah dan menyakinkan terlibat menyebarkan dan membuat pornografi.

Hukuman itu jauh lebih rendah daripada pihak pendakwaan yang mahukan Najriel dikenakan hukuman lima tahun dan tiga bulan penjara, lapor agensa berita Indonesia ANTARA.

Mahkamah membuat keputusan itu setelah menimbangkan bahawa tertuduh masih muda dan tidak pernah terlibat melanggar undang-undang sebelum ini.

Najriel diberikan tujuh hari untuk mengemukakan rayuannya.

http://malaysiakini.com/news/154977

Mahkamah kekal hukum penjara ustaz cabul

Seorang guru agama kelu apabila Mahkamah Tinggi Alor Setar mengekalkan hukuman penjara 18 bulan dan denda RM3,000 kerana mencabul seorang kanak-kanak di sebuah rumah yang dijadikan pusat Qiraati lima tahun lepas.

Hakim Datuk Mohd Azman Husin menolak rayuan Nasruddin Niamat, 36, bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Majistret pada 13 Oktober 2009.

Mohd Azman berkata keputusan Majistret Najwa Che Mat menjatuhkan hukuman penjara 18 bulan dan denda RM3,000 adalah mematuhi prosedur mahkamah.

Guru agama itu dituduh mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat.

"Walaupun rayuan awak ditolak, ini bukan keputusan akhir kerana awak masih ada peluang. Awak boleh buat rayuan di Mahkamah Rayuan," kata Mohd Azman.

Menurut kertas pertuduhan, Nasruddin dituduh mencabul kehormatan seorang kanak-kanak berusia 11 tahun di sebuah bilik yang dijadikan kelas mengaji al-Quran di sebuah rumah di Lorong Teratai 1, Taman Berjaya, Jalan Pegawai pada 9.45 pagi, 8 Jun 2006.

Dalam rayuannya, tertuduh yang mempunyai seorang isteri dan empat anak, memberi alasan kanak-kanak itu masih di bawah umur dan tidak dapat memberi keterangan selain tidak memahami kepentingan mengangkat sumpah.

Timbalan Pendakwa Raya Norhayati Ibrahim mengendalikan kes itu manakala tertuduh diwakili peguam Rahmatullah Baharuddeen.

--Bernama

Persatuan pendidik bantah istilah dalam KSSR

Persatuan Pendidik Bahasa Melayu (PPBMM) meminta Kementerian Pelajaran menggantikan istilah "didik hibur" dalam pengajian bahasa bagi Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR).

Presidennya Profesor Madya Dr Hashim Othman berkata istilah itu lebih sesuai dan tepat jika digantikan dengan "pembelajaran yang memikat".

"Penggunaan istilah pembelajaran yang memikat adalah bagi mengambarkan konsep sebenar pembelajaran yang berkaitan aspek afektif khususnya motivasi intrinsik dalam pembelajaran yang mampu menyokong aspek kognitif dalam pembelajaran bagi meningkatkan kesan dan penghayatan.

"Sekiranya pembelajaran secara didik hibur itu sendiri merupakan terjemahan kepada 'fun learning', ia jelas tidak relevan bagi mengambarkan konsep sebenar pembelajaran," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

--Bernama

30 January 2011

Terkejut terima saman menunggang laju

KANGAR – Seorang warga emas, Bakar Ismail, 85, tidak pernah memiliki motosikal berkuasa 500cc tetapi beliau menerima saman kerana menunggang motosikal berkuasa besar itu melebihi had laju di lebuh raya Kuala Lumpur-Seremban pada 30 Julai lepas.

Petani yang hanya memiliki motosikal jenama Honda berkuasa 70cc itu dan telah lama tidak ke Kuala Lumpur bimbang namanya akan disenarai hitam oleh pihak berkuasa jika tidak membayar saman itu.

Bakar yang menetap di Kampung Sungai Padang, Simpang Empat, dekat sini, berkata, beliau dikehendaki membayar saman itu secepat mungkin atau sebelum 28 Februari ini sebelum dikenakan tindakan senarai hitam.

Beliau berkata, selepas menerima saman itu, anaknya, Mohd Noor, 47 telah mengemukakan masalah itu kepada cawangan Trafik Perlis yang kemudian memintanya merayu kepada Ibu Pejabat Trafik Bukit Aman dengan bukti kukuh bagi membatalkan saman itu. – Bernama

Merlimau: Pakatan bincang sama ada letak calon PAS atau PKR

Pakatan Rakyat akan mengadakan perbincangan sama ada akan meletakkan calon PAS atau Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau 6 Mac ini.

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata perbincangan di peringkat pusat mengenai calon dari parti mana akan diketengahkan pada pilihan raya kecil itu akan diadakan dalam waktu terdekat.

Abdul Hadi yang ditemui pemberita selepas menyampaikan ceramah di Wacana Memperkasa Fikrah rakyat di sini hari ini berkata demikian ketika ditanya mengenai minat PKR untuk meletakkan calonnya bertanding di kawasan itu yang sebelum ini diwakili calon PAS. Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Shamsul Iskandar Mohd Akin baru-baru ini dilaporkan berkata meskipun secara tradisi pakatan pembangkang mengekalkan status quo, namun terdapat beberapa faktor yang menyokong PKR meletakkan calonnya untuk bertanding.

Ketika ditanya sama ada PAS telah mempunyai bayang-bayang siapakah bakal dicalonkan di Merlimau, Abdul Hadi berkata: “Merlimau, kita ada orang bukan bayang-bayang, kita ada ramai situ.”

Kerusi DUN Merlimau kosong berikutan kematian penyandangnya Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan, 54, pada Khamis lepas akibat serangan jantung.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 26 Februari sebagai tarikh penamaan calon dan sekiranya ada pertandingan, pengundian pada 6 Mac.

Pada pilihan raya umum 2008, Mohamad Hidhir menewaskan calon PAS, Jasme Tompang dengan majoriti 2,154 undi. — Bernama

Kaki kiri Hairuman dipotong

KUALA LUMPUR – Kaki kiri mangsa renjatan kabel elektrik bervoltan tinggi, Muhamad Hairuman Miskon telah dipotong dalam satu pembedahan lebih tujuh jam di Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini semalam.

Dia yang memasuki dewan bedah HKL tepat pukul 9.30 pagi itu terpaksa menjalani pemotongan kaki tersebut atas faktor perubatan.

Menurut kakaknya, Maryuni Miskon (gambar), 32, pembedahan yang dijalankan memakan masa lebih daripada tujuh jam.

“Setelah kaki Hairuman dipotong, pembedahan plastik pula dilakukan bagi menutup bahagian luka di kaki kanan dengan kulit yang masih elok.

“Faktor itu menyebabkan pembedahan yang dilakukan mengambil masa yang lama dan sepanjang pembedahan kami sekeluarga sentiasa berdebar-debar,” katanya ketika dihubungi semalam.

kredit : kosmo.com.my

Tak rasmi: BN berjaya kekal DUN Tenang

7.15pm Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar dalam laman Twitter mengucapkan tahniah kepada BN kerana berjaya mempertahankan kerusi tersebut.

Keputusan tidak rasmi menunjukkan BN mendapat sekitar 6,698 undi manakala PAS mendapat 2,963 undi. - Malaysiakini

Tenang: Pusat pengundian ditutup

5.00pm: Kesemua 12 pusat pembuangan undi di Tenang ditutup pada jam 5 petang.

4.30pm: PAS mendesak SPR menangguhkan pengundian bagi pilihan raya kecil Tenang hari ini ekoran kebanyakan kawasan terputus hubungan akibat banjir.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, berkata, ada juga di kalangan pengundi takut meninggalkan rumah untuk keluar mengundi ekoran kejadian itu, lapor Harakahdaily.

4.29pm: Sehingga jam 4 petang, peratusan keluar mengundi sebanyak 68.68% atau 10,133.

4.00pm: Bot dan trak lima tan milik tentera dan bomba digunakan untuk membawa pengundi ke SMK Kamarul Ariffin selepas hujan di tempat itu kembali lebat.

4.02pm: Laluan dari Labis ke kg Paya Merah terputus apabila paras air naik sehingga 1 meter.

Trak tentera kini digunakan untuk membawa orang ramai ke pusat pembuangan undi, lapor SMS berita theSun. - Malaysiakini

Pakatan dakwa bantuan angkut pengundi tidak adil

Hujan lebat sepanjang hari Tenang telah mengakibatkan banyak kawasan di luar bandar ditenggelami banjir dan beberapa pusat pengundian terputus hubungan.

Keadaan itu menyebabkan ramai pengundi Cina - yang menjadi bank
undi Pakatan - tidak dapat keluar mengundi.

Walaupun pasukan polis, tentera, jabatan pertahanan awam dan berbagai agensi kerajaan telah dikerah membantu membawa penduduk ke pusat pengundian, tetapi pemimpin Pakatan mengadnu ia tidak dilakukan secara adil.

Mereka mendakwa lebih banyak kemudahan pengangkutan dikerah ke kawasan Felda - yang merupakan penyokong kuat BN.

"Mengapa tidak ada bot untuk membawa majoriti pengundi di bandar Labis yang ditenggelami banjir tetapi Felda mendapat semua bot polis dan bomba?" soal ketua publisiti DAP, Tony Pua dalam twitternya.

Menurutnya, kegagalan untuk menyediakan bot dan lori yang cukup, dan diagihkan secara adil di semua daerah pengundian, akan menjejaskan keputusan pilihan raya kecil ini.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Tony berkata pihak polis dan tentera seharusnya tidak hanya memberi bantuan ke tempat-tempat tertentu sahaja kerana banjir berlaku di semua kawasan pilihanraya.

Sekurang-kurangnya dua pusat pengundian - SMK Kamarul Ariffin dan dewan serbaguna Kampung Paya Merah di bandar Labis - terputus hubungan kerana teruk dilanda banjir sekitar jam 2.30 petang tadi.

Kedua-duanya masing-masing merupakan pusat pengundian bagi Bandar labis Tengah dan Bandar Labis Timur yang didominasikan pengundi Cina dan dimenangi PAS dalam dalam pilihan raya umum.

Daripada 12 daerah mengundi, PAS hanya memenangi di tiga daerah majoriti pengundi Cina pada 2008.

Menurut ahli parlimen Serdang, Teo Nie Ching, kadar pengundian tersebut hanya mencecah 20 peratus pada jam 1 tengaharai tadi,
berbanding dengan 50 peratus pengundian di kawasan majoriti Melayu di Felda.

BN memperolehi 80 peratus undi di tiga penempatan Felda dalam pilihanraya umum lalu.

Dalam twitternya, Teoh memberi beberapa nombor telefon dan meminta pengundi Cina untuk menghubungi mereka untuk dibawa ke pusat pengundian.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Yusof dilaporkan berkata tempoh pengundian tidak akan dilanjut.

Walaupun beberapa jalan ke pusat pengundian terputus kerana banjir, pelbagai agensi kerajaan dikerah membantu menghantar pengundi ke pusat-pusat tersebut, kata Abdul Aziz.

Di bawah undang-undang sekarang, tempoh pengundian tidak boleh dilanjutkan, kata timbalan pengerusi SPR, Datuk Wan Wan Ahmad Omar. - Malaysiakini

Tenang: 65.19% mengundi hingga 3 petang

3.40pm: Sehingga jam 4 petang tadi, sejumlah 9,618 orang pengundi atau 65.19 peratus telah keluar mengundi.

2.55pm: Walaupun hujan rengai-renyai di SMK Kamarul Ariffin, tetapi belum ada tanda-tanda trafik akan bergerak.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin masih kekal di Kompleks Institusi Pendidikan Tenang, tempat beliau mengadakan sidang media sebelum ini.

Sekolah berkenaan hanya di sebelah SMK Kamarul Ariffin.

Petugas BN cuba membawa trak ke institut itu bagi membawa Muhyiddin beredar. - Malaysiakini

(Video) Suasana hari pengundian di Tenang 1

Anwar: Kami memang sudah jangka Gobala akan keluar PKR

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keputusan N. Gobalakrishnan meninggalkan PKR berkuat kuasa semalam sudah lama dijangkakan sambil menolak ia akan membawa kesan jangka panjang ke atas parti itu.

Gobalakrishnan merupakan ahli Parlimen keenam meninggalkan PKR sejak setahun lalu dengan memberikan alasan beliau tidak berpuas hati dengan kepimpinan parti khususnya Anwar, yang merupakan Ketua Umum Pakatan Rakyat.

“Kami sudah lama menjangkakan yang ini, melihat pada trendnya, tidak, tidak ini bukan sesuatu yang mengejutkan,” kata Anwar (gambar) kepada pemberita hari ini. - TheMalaysianInsider

TPM yakin banjir tidak jejas BN kembali kuasai Tenang

LABIS 30 Jan. - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tetap yakin Barisan Nasional (BN) mampu menang pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang meskipun peratusan keluar mengundi mungkin tidak mencapai sasaran ekoran banjir.

Beliau bagaimanapun mengakui, keadaan banjir itu akan menjejaskan peluang BN untuk menang dengan majoriti undi lebih besar kerana ramai pengundi terjejas dan terputus hubungan kerana jalan raya ditengelami air.- Utusan

SPR: Tempoh pengundian tidak dilanjutkan

Walaupun hujan lebat, tempoh pengundian dalam pilihan raya kecil DUN Tenang tidak akan dipanjangkan, kata Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Yusof.

RTM melaporkan beliau berkata, walaupun beberapa pusat pengundian tidak boleh dilalui, pelbagai agensi kerajaan membanti mengangkut pengundi dengan kenderaan berat.

Sementara, SMS Sinar Harian pula melaporkan, SPR meminta pengundi Tenang tidak mempercayai khabar angin kononnya proses pengundian ditangguhkan kerana hujan lebat dan banjir.

Sehingga jam 2 petang tadi, peratusan keluar mengundi sebanyak 61.17 peratus atau 9,025 orang.

SPR menjangka sekitar 80 peratus pemilih berdaftar akan keluar mengundi hari ini.

Seramai 14,753 pengundi akan mengundi hari ini untuk memiliha antara calon BN Azahar Ibrahim, 30, bekas pembantu pegawai daerah dan calon PAS Normala Sudirman, 38, seorang bekas guru. - Malaysiakini

Tenang: 61.17% mengundi hingga 2 petang

2.45pm Di SMK Kamarul Ariffin, Bandar Labis Tengah, walaupun banjir, penyokong kedua-dua calon masih bersemangat menyanyi, bersorak dan mengejek sesama sendiri.

Mereka juga bergilir-gilir mengucapkan "Gong Xi Fa Chai" (Selamat Tahun Baru Cina) dan "kamsia" (terima kasih) kepada pengundi.

2.37pm Sehingga 2 petang, peratus keluar mengundi sebanyak 61.17 peratus atau 9,025 orang.

2.26pm: DAP mendakwa banjir di dua pusat pengundian sudah "serius". Pengundi tidak boleh menghampiri Dewan Orang Ramai Kg Paya Merah di Labis Timor and SMK Kamarul Ariffin di Bandar Labis Tengah.

2.16pm: Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar memberitahu Malaysiakini, pemanjangan masa mengundi "tidak boleh berlaku mengikut undang-undang".

2.12pm: Hujan kembali turun di SMK Kamarul Ariffin. Jalan raya yang ditenggelami air separas paha tadi, kini meningkat ke paras pinggang.

Sementara itu, menurut laporan RTM, Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Yusof, masa pengundian tidak akan dipanjangkan.

Katanya, walaupun beberapa pusat pengundian tidak boleh dilalui, pelbagai agensi kerajaan membanti mengangkut pengundi dengan kenderaan berat.

Sementara, SMS Sinar Harian pula melaporkan, SPR meminta pengundi Tenang tidak mempercayai khabar angin kononnya proses pengudian ditangguhkan kerana hujan lebat dan banjir. - Malaysiakini

Hujan lebat boleh jejas peluang BN menang besar, kata TPM


Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata peluang Barisan Nasional (BN) untuk menang besar dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang hari ini akan terjejas sekiranya peratusan keluar mengundi rendah ekoran cuaca hujan lebat.

Timbalan Perdana Menteri itu bagaimanapun yakin BN yang meletakkan Mohd Azahar Ibrahim sebagai calon akan tetap memenangi pilihan raya kecil itu.

“Kalau peratusan (keluar) mengundi rendah ia boleh jejaskan harapan terutama BN untuk raih sokongan besar.

“Kemenangan itu Insya-Allah, harap seberapa banyak pengundi akan keluar kerana ia akan tentukan majoriti kita.

“SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) juga telah keluarkan arahan kepada pihak berkuasa untuk membawa keluar pengundi (yang terjejas) banjir, jangan bimbang masih ada peluang untuk keluar,” katanya pada sidang media di sini.

Beliau menjelaskan hujan lebat yang berlaku sejak awal pagi tadi akan menjejaskan kelancaran proses pilihan raya bagi memilih wakil rakyat baru di kawasan itu.

BN meletakkan Mohd Azahar, bekas Penolong Pentadbir Tanah Daerah Kecil Rengit manakala PAS-Pakatan Rakyat menurunkan Normala Sudirman, Ketua Muslimat PAS Labis.

“Peratusan mengundi boleh menjejaskan kelancaran, faktor-faktor ini boleh beri kesan.

“Menurut maklumat yang saya terima, pengundi yang sudah keluar hampir 40 peratus . . . boleh tahan walaupun hujan lebat.

“Ada kesedaran pengundi, walau apa pun terjadi mereka tetap keluar mengundi. Kalau yang sokong BN akan tetap keluar,” kata Muhyiddin.

Mengulas kejadian hujan lebat dan banjir yang berlaku di beberapa tempat di DUN Tenang, Menteri Pelajaran itu berkata langkah keselamatan akan diambil untuk membantu penduduk.

“Agar luar biasa, hujan lebat dan banjir. Saya juga saksikan beberapa kampung berpindah dan mereka adalah pengundi.

“Saya juga ada menerima maklumat ada beberapa kawasan yang terputus hubungan, SPR dan pihak berkuasa juga terlibat untuk membantu,” katanya.

Hujan lebat yang berlaku sejak pagi tadi menyebabkan seramai 14,753 menghadapi kesukaran untuk menjalankan tanggungjawab mereka.

Tinjauan The Malaysian Insider mendapati beberapa kawasan petempatan penduduk dinaiki air, malah jalan keluar dilalui penduduk juga tidak dapat digunakan. - TheMalaysianInsider

Cukuplah Hosni! pergi anda!

KAHERAH – Situasi di Mesir semakin getir apabila sekurang-kurangnya 74 orang maut manakala lebih 2,000 lagi cedera selepas puluhan ribu penunjuk perasaan bertempur dengan pasukan keselamatan pada ‘Hari Kemarahan’ kelmarin.

Semalam bantahan rakyat merebak hampir ke semua bandar besar di Mesir.

Di tiga bandar utama negara itu iaitu Kaherah, Iskandariah dan Suez, perintah berkurung waktu malam dikuatkuasakan tetapi gagal meredakan tunjuk perasaan.

Dalam senario huru-hara di sini, kereta-kereta perisai cuba merempuh kumpulan orang ramai dengan anggota-anggota polis menembak gas pemedih mata, peluru getah dan meriam air bagi menyuraikan penunjuk perasaan.

Beberapa sumber perubatan berkata,kebanyakan penunjuk cedera akibat terkena tembakan pasukan keselamatan.

Selain kematian dan kecederaan, banyak bangunan dan kereta turut dibakar dalam kekacauan besar-besaran di ibu kota Mesir berkenaan.

Bantahan rakyat yang masuk hari keempat kelmarin, menyaksikan berpuluh-puluh ribu orang mengepung polis di sini.

Mereka turut berhimpun di sebuah jambatan yang menghubungkan sungai Nil untuk bertempur dengan pasukan keselamatan di sini yang setakat ini menyebabkan puluhan orang maut dan 1,030 cedera.

“Tunjuk perasaan ini bukan mencabar pentadbiran semasa. Tujuannya hanya satu. Ia adalah kerana anda (Hosni), anda patut pergi! Cukuplah apa yang anda lakukan kepada rakyat!” kata seorang penunjuk perasaan di sini.

Di bandar Suez, timur Mesir pula, deretan kereta kebal tiba di lokasi itu kelmarin selepas 13 orang maut dan sebuah balai polis dibakar perusuh.

Sekurang-kurangnya enam lagi turut maut di bandar Iskandariah, dengan sebuah bangunan pemerintah hangus dibakar manakala dua penunjuk perasaan terbunuh di bandar Mansoura.

Menjelang waktu malam semalam, ibu pejabat parti pemerintah, Parti Demokratik Nasional di sini dibakar diikuti kumpulan perusuh menyerbu masuk ke dalam bangunan stesen televisyen pemerintah.

Gelombang kebangkitan di Mesir kali ini menyusul selepas Presiden Tunisia, Zine El Abidine Ben Ali ditumbangkan oleh kuasa rakyat pada 14 Januari lalu.


Di Mesir, bantahan besar-besaran itu diadakan bagi menumbangkan pemerintahan tiga dekad Presiden Hosni Mubarak.

Rata-rata, rakyat memprotes kadar pengangguran dan kemiskinan yang melambung di Mesir selain berleluasanya rasuah.

Dalam usaha menyekat kebangkitan rakyat, pemerintah menggunakan pelbagai taktik termasuk kekerasan. Malah, perkhidmatan telefon bimbit dan Internet turut disekat. Namun, semua itu gagal membendung kemaraan rakyat.

Sehingga semalam, bilangan penunjuk perasaan bertambah hingga mencecah kepada puluhan ribu orang.

Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Hosni, 82, muncul di kaca televisyen buat kali pertama kelmarin dalam empat hari sejak kebangkitan rakyat bermula.

Beliau bagaimanapun, mengumumkan bahawa tidak akan sesekali berundur.

Sebaliknya, Hosni menawarkan untuk melaksanakan langkah-langkah demokrasi, bermula dengan pemecatan Kabinet.

“Saya akan memberi lebih kebebasan sekiranya rakyat patuh pada undang-undang,” katanya.

Menurutnya, Kabinet baru Mesir akan dibentuk pada hari ini.

Sementara itu, bekas ketua Agensi Tenaga Atom Antarabangsa Mohamed El-Baradei, 68 dikenakan tahanan rumah oleh polis kerana menyertai tunjuk perasaan di ibu kota Mesir kelmarin. – Agensi

Tenang: Peratusan mengundi 55.36%, hingga 1pm


1.42pm: Setakat 1 tengah hari, peratusan keluar mengundi sebanyak 55.36 peratus atau 8,167 orang.

1.20pm Jalan kecil antara jalan utama dan SMK Kamarul Ariffin dinaiki air sehingga paras paha, menyebabkan kenderaan ringan tidak dapat memasuki.

Bagaimanapun, terdapat beberapa pacuan roda dan lori yang berjaya mengangkut pengundi masuk dan keluar pusat pengundian.

Hujan sudah berhenti di sekitar sekolah itu tetapi langit masih mendung. - Malaysiakini

Peratusan Cina mengundi rendah, DAP panik

1.12pm: Pemimpin DAP mula panik dengan peratusan rendah keluar mengundi masyarakat Cina, memaksa seruan mengundi dikeluarkan.

"Amaran! Peratusan keluar mengundi di kawasan Cina cuma 20 peratus; Felda sudah 50 peratus. Tolong bantu panggil orang yang kamu kenal di Labis," tulis anggota parlimen Serdang Teo di laman Twitter.

Sementara ketua publisiti Pemuda DAP Selangor pula menulis: "Secara keseluruhan, peratusan keluar mengindi di tiga kawasan majoriti Cina amat rendah! Labis Tengah 300 (orang); Labis Timor 600; Tenang Station 200 sehingga 10.30am.”

12.48pm: Hujan menjadi sumber rezeki di Tenang hari ini di mana seorang peniaga menjaja payung di sepanjang rumah kedai di Jalan Segamat, pada harga RM12 tiap satu.

12.52pm Setakat jam 12.00 tengah hari, menurut pemantauan terhadap kepercayaan politik oleh NGO Zentrum Future Studies, BN kini mendapat 59.5 peratus manakala Pakatan 40.5 peratus.

12.40pm: Menurut SPR, peratusan pengundian sehingga jam 12 tengahari meningkatkan kepada 48.93% atau 7,219 pengundi. Tinggal lima jam lagi sebelum pusat pengundian ditutup jam 5 petang ini.

12.09pm Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Seri Wee Ka Siong berkata hujan lebat di Tenang mengingatkannya kepada peristiwa banjir besar di Johor pada Disember 2006 dan Januari 2007.

"Harap ia tidak berlaku lagi," tulisnya di laman Twitter.

12.08pm: Ahli parlimen Serdang Teo Nie Ching berkata peratus pengundi Cina yang keluar amat rendah di Labis.

"Tolong desak anggota keluarga atau kawan-kawan keluar mengundi!" tulisnya di laman Twitter.

11.40am: Banjir yang melanda Jalan Segamat, laluan utama menghubungkan Labis dan Tenang Station, bertambah teruk. Jika hujan berterusan, laluan itu mungkin terputus hubungan tidak lama lagi.

Di Jalan masuk ke Ladang North Labis juga ditenggelami air kira-kira sekali dalamnya.

11.36am: Menurut twitter Loges Mohan - isteri ketua pemuda MIC T Mohan - Jabatan Pertahanan Awam dikerah ke Kampung Tenang untuk memindahkan 62 keluarga yang terperangkap kerana banjir.

Manakala twitter ketua Pemuda MCA yang juga timbalan menteri pelajaran, Datuk Seri Wee Ka Siang pula menyiarkan foto banjir sepanjang Jalan Segamat-Labis. - Malaysiakini

Hujan lebat iringi pengundi Tenang


Nasib calon yang bertanding dalam pilihan raya kecil Tenang akan ditentukan oleh 14,753 pengundi di kawasan itu hari ini.

Pengundi akan memilih antara calon BN Azahar Ibrahim, 30, bekas pembantu pegawai daerah dan calon PAS Normala Sudirman, 38, seorang bekas guru.

Sebanyak 12 pusat mengundi di 12 daerah mengundi telah dibuka pada jam 8.00 pagi tadi dan akan tamat kira-kira jam 5.00 petang ini.

Kawasan berkeluasan 295.20km persegi itu meliputi tigaFelda, lima kampung Melayu, tiga kampung baru Cina, 25 kawasan perumahan moden, sebuah kuaters kerajaan, empat estet dan dua kawasan Orang ASli.

Pengundi Melayu mewakili 47.5 daripada jumpah penduduk diikuti oleh Cina (39 peratus), India (12 peratus) dan lain-lain (1.3 peratus).

Selepas pusat mengundi ditubuh, perjumlahannya akan dibuat di Dewan Serbaguna Labis, seterusnya diumumkan di tempat yang sama, dijangka antara jam 8 hingga 9 malam ini.

Menurut ramalan, cuaca pagi ini akan mendung diikuti hujan lebat di tengah hari. - Malaysiakini

Omar Timbalan Presiden pertama Mesir selepas 30 tahun

KAHERAH 30 Jan. - Ketua perisikan Mesir, Omar Suleiman dilantik sebagai Timbalan Presiden semalam, iaitu jawatan pertama diwujudkan setelah 30 tahun Hosni Mubarak menjadi Presiden Mesir, lapor agensi berita negara itu.

“Omar Suleiman telah dilantik sebagai Timbalan Presiden Hosni Mubarak,” lapor agensi berita MENA.

Tidak lama kemudian televisyen negara itu menyiarkan Omar Suleiman selaku seorang jeneral tentera memberi tabik hormat kepada Mubarak setelah mengangkat sumpah jawatan itu.

Mubarak kini didesak berundur oleh demonstrasi ganas rakyat yang masuk hari kelima, telah menolak untuk mewujudkan jawatan Timbalan Presiden sejak ia mula berkuasa pada tahun 1981. - AFP

Pengundian bermula di Tenang, hujan turun

Nasib calon yang bertanding dalam pilihan raya kecil Tenang akan ditentukan oleh 14,753 pengundi di kawasan itu hari ini.

Pengundi akan memilih antara calon BN Azahar Ibrahim, 30, bekas pembantu pegawai daerah dan calon PAS Normala Sudirman, 38, seorang bekas guru.

Sebanyak 12 pusat mengundi di 12 daerah mengundi telah dibuka pada jam 8.00 pagi tadi dan akan tamat kira-kira jam 5.00 petang ini.

Kawasan berkeluasan 295.20km persegi itu meliputi tigaFelda, lima kampung Melayu, tiga kampung baru Cina, 25 kawasan perumahan moden, sebuah kuaters kerajaan, empat estet dan dua kawasan Orang ASli.

Pengundi Melayu mewakili 47.5 daripada jumpah penduduk diikuti oleh Cina (39 peratus), India (12 peratus) dan lain-lain (1.3 peratus).

Selepas pusat mengundi ditubuh, perjumlahannya akan dibuat di Dewan Serbaguna Labis, seterusnya diumumkan di tempat yang sama, dijangka antara jam 8 hingga 9 malam ini.

Menurut ramalan, cuaca pagi ini akan mendung diikuti hujan lebat di tengah hari.

Kerusi Tenang kosong ekoran kematian penyandangnya Sulaiman Taha (BN) akibat komplikasi kencing manis.

Tenang, sebuah DUN dalam kawasan parlimen Labis, merupakan kubu kuat BN.

Bagaimanapun, pada pilihan raya umum lalu, PAS berjaya mengurangkan majoriti BN daripada 5,517 kepada 2,492 pada tahun 2008.

Kali ini, BN mensasarkan 5,000 undi manakala Pakatan Rakyat pula beranggapan sudah 'berjaya' sekiranya berjaya mengurangkan majoriti sedia ada BN.


LAPORAN LANGSUNG

8.15am Hujan menyebabkan air naik di Kampung Redong. Jika berterusan, kawasan tersebut akan dilimpahi banjir.

Di Kampung Paya, SPR mula melarang payung dibawa ke tempat membuang undi.

8.02am Kelihatan BN dan PAS masing-masing membuka pondok panas mereka sendiri di sekitar pusat mengundi walaupun dilarang oleh Suruhjaya Pilihan Raya (SPR).

Pengundi keluar agak perlahan ekoran hujan renyai-renyai. Banyak payung hijau dan biru mewarnai sekitar kawasan mengundi.

Di Kampung Paya, ahli parlimen Labis Chua Thee Yong antara yang menunggu BN dalam hujan renyai di mana calon itu akan mengundi.

"Kita jangkakan ia akan jatuh kepada 60 peratus atau lebih rendah lagi, bergantung pada keadaan," katanya.

Beliau berpendapat, peratusan keluar mengundi akan rendah ekoran cuaca semasa.

8.00am Peti undi dibuka.

- Malaysiakini

1Malaysia brings the sexy back

Ibu tunggal dihalau suami tinggal dalam stor


KUALA LUMPUR – Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, itulah nasib yang menimpa seorang ibu tunggal Fatimah Abdullah, 42, apabila dihalau daripada rumah selepas diceraikan suaminya kira-kira sebulan lalu.

Malah disebabkan tidak mampu membayar rumah sewa baru, dia kini menumpang sementara di sebuah stor di Pusat Rekreasi, Jalan Kenangan di sini sehingga menanti permohonan mendapatkan rumah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) diluluskan.

Ibu kepada empat orang anak itu berkata, dia tidak dapat membayar sewa rumah kerana pendapatannya sebagai pembuat roti di sebuah pasar raya tidak mencukupi.

Walaupun saya telah dihalau keluar daripada rumah tanpa anak-anak bersama tetapi saya tetap menyara kehidupan mereka yang kesemuanya masih bersekolah.

“Saya terpaksa membantu bekas suami yang kini tidak dapat berkerja lagi selepas dia ditimpa kemalangan sebaik sahaja mereka bercerai,” katanya ketika ditemui Kosmo! semalam.

Kesemua anak Fatimah kini tinggal bersama bekas suami di rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Jalan Peel di sini.

Fatimah yang memeluk Islam sejak 24 tahun yang lalu, berkata, desakan keluarga di Sarawak supaya pulang juga menyebabkan dia semakin susah hati kerana mereka mahu dia kembali ke agama asal.

Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Ibu Tunggal, Warga Emas dan Orang Kurang Upaya Cheras, Hamiddah Sidek berkata, beliau simpati dengan keadaan yang menimpa Fatimah dan mahu membantunya bangun semula membina hidup baru.

kredit : kosmo.com.my

Mesir tutup Internet, telefon bimbit

KAHERAH – Pemerintah Mesir semalam memutuskan talian telefon bimbit dan perkhidmatan Internet selain menghantar puluhan trak polis antirusuhan sebagai percubaan untuk menyekat beribu-ribu aktivis daripada menyertai protes antipemerintah yang diadakan selepas solat Jumaat.

Bekas Ketua Agensi Tenaga Atom Antarabangsa, Mohamed Elbaradei dan Persaudaraan Muslim turut menyertai protes tersebut walaupun terdapat amaran bahawa pihak berkuasa akan mengambil tindakan tegas untuk mematahkan gelombang kebangkitan itu.

Ketiadaan perkhidmatan Internet menghalang akses ke laman rangkaian sosial seperti Facebook dan Twitter yang menjadi alat komunikasi utama para penganjur protes.

Polis Mesir mengalami kesukaran untuk berdepan dengan penunjuk perasaan yang telah bertempur selama tiga hari. Mereka menuntut supaya Presiden Hosni Mubarak meletak jawatan selepas memerintah selama 30 tahun.

Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama memberi amaran bahawa keganasan bukan penyelesaian di Mesir. Obama turut meminta kedua-dua belah pihak mengawal perasaan dan menggesa Hosni agar melakukan perubahan politik.

“Ini adalah waktu kritikal dalam hidup rakyat Mesir. Keinginan untuk berubah mesti dihormati. Rejim tidak boleh menggunakan kekerasan ke atas peserta demonstrasi,” kata Elbaradei yang lantang mengkritik Hosni dan menyatakan kesediaannya untuk mengetuai perubahan di Mesir jika diminta berbuat demikian.

Demonstrasi itu mendapat ilham daripada Revolusi Jasmin yang berlaku di Tunisia baru-baru ini sehingga mengakibatkan Presiden Zine El Abidine Ben Ali meletakkan jawatan.

Setakat ini, lima penunjuk perasaan dan dua anggota polis terbunuh di Mesir manakala 100 yang lain cedera.

Seorang pegawai keselamatan memberitahu kira-kira 1,000 orang telah ditahan sejak tunjuk perasaan bermula pada Selasa lalu.

Para aktivis menyebarkan khidmat pesanan ringkas (SMS) bagi menuntut hak untuk hidup dengan penuh kebebasan dan bermaruah.

Hosni dianggap sebagai presiden yang tidak membawa pembaharuan ekonomi.

Hampir separuh daripada 80 juta penduduk Mesir hidup di bawah paras kemiskinan berdasarkan kadar pendapatan yang ditetapkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) iaitu AS$2 (RM6.11) sehari.

Negara itu mempunyai pendidikan yang berkualiti rendah, kadar pengangguran tinggi telah menyebabkan penduduk gagal memperoleh keperluan hidup yang sempurna. – Agensi

- Kosmo

Tumbuk cikgu

DUNGUN: Seorang guru lelaki tidak menyangka tindakannya menerima pelawaan bapa muridnya ke rumah membawa padah apabila ditumbuk dua kali di muka selain disepak.

Guru berusia 43 tahun itu juga diacukan pisau berikutan bapa terbabit naik angin apabila mengetahui mangsa menampar anaknya.
Dalam kejadian Isnin lalu, guru sekolah rendah di bandar ini ditahan bapa murid tahun dua itu ketika dia dan dua anaknya dalam perjalanan pulang sebaik selesai mengajar.

Mangsa yang enggan dikenali berkata, dia ditahan kira-kira jam 2 petang tidak jauh dari sekolah sebelum diajak ke rumah konon mahu berbincang masalah anaknya.
Katanya, di rumah itu, dia dijemput masuk dan tidak mengesyaki apa-apa sebelum lelaki berkenaan bertanya apa yang dilakukan terhadap anaknya.
Belum sempat menjawab, saya ditumbuk di muka sebelum dia mengeluarkan pisau menyebabkan saya takut, katanya kepada Harian Metro, kelmarin.

Katanya, isteri lelaki itu menghalang perbuatan suaminya dan memintanya bersabar serta berbincang.
Tiba-tiba, bapa saudara murid itu datang dan tanpa saya sedari, lelaki itu turut melepaskan satu tumbukan ke muka saya, katanya.

Katanya, tumbukan itu menyebabkan mata kanan dan dahinya lebam selain bengkak tangan kanan akibat disepak bapa murid terbabit.
Mengulas punca kejadian, mangsa berkata, dia membawa sekumpulan murid tahun enam memasuki makmal sekolah kira-kira jam 12.30 tengah hari, Ahad lalu.
Ketika itu, sekumpulan murid tahun dua termasuk anak lelaki terbabit keluar dari makmal sebelum kanak-kanak itu menunjukkan isyarat lucah kepada seorang murid tahun enam.
Saya memanggilnya dan bertanya kenapa dia menunjukkan isyarat lucah dan saya ada memulas telinga dan menampar pipinya, tetapi dia tidak langsung menangis. Jika tamparan itu kuat, tentu sudah menangis, katanya.
Sementara itu, Ketua Polis daerah, Superintendan Dahlan Mohd Noor, ketika dihubungi semalam mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Sumber : Harian Metro

* Guru tidak boleh menampar muka murid...

Mubarak enggan tunduk, 68 maut Mesir terus gelora


KAHERAH, 29 Jan — Presiden Hosni Mubarak terus berpegang pada tampuk kuasa meskipun desakan rakyat Mesir agar beliau berundur terus meningkat hari ini.

Setakat malam ini (waktu Malaysia) hampir 70 orang dilaporkan terbunuh manakala lebih 2,000 cedera dalam demonstrasi menggesa pemimpin berusia 82 tahun itu berundur daripada memimpin negara itu.

Sumber-sumber hospital dan saksi memberitahu Reuters, 68 orang sudah disahkan terbunuh di Kaherah, Suez dan Iskandariah.

Semalam, Mubarak yang sudah tiga dekad memimpin Mesir, mengarahkan Kabinetnya meletakkan jawatan untuk membentuk kerajaan baru dan membawa pembaharuan.

Hosni turut mengarahkan tentera mengawal ibu negara Kaherah dan beberapa bandar lain sepanjang malam dan mengenakan darurat dalam usaha mengawal demonstrasi negara Arab yang paling padat penduduk dan negara sekutu Amerika Syarikat itu.

Laporan BBC juga menyebut letupan kedengaran di bangunan keselamatan di Rafah.

Sementara itu, stesen televisyen Mesir pula melaporkan Mubarak melantik ketua unit risikan Omar Suleiman sebagai naib presiden — julung kali dalam tempoh yang agak lama. - TheMalaysianInsider

Ceramah Isu Semasa @ Tmn Labis Indah 28.1 ...

29 January 2011

Profil Calon PRK DUN Tenang Cikgu Normala Sudirman

Pusat transit pelajar tahfiz jual barang diarah tutup

PORT DICKSON: Sebuah premis di D’Ambang Kota, Lukut, di sini, dipercayai pusat transit pelajar sebuah tahfiz di Kedah yang melakukan jualan tanpa lesen di negeri ini dan Melaka, sudah diarah tutup oleh Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) sejak kelmarin.

Yang Dipertua MPPD, Abdul Wahab Shamsuddin berkata, pihaknya menjalankan pemantauan berterusan bagi memastikan premis dua tingkat itu tidak dibuka semula.

“Arahan sudah dikeluarkan, namun kita tidak dapat memastikan sama ada pihak terbabit masih beroperasi atau tidak kerana perkara itu bukan di bawah bidang kuasa MPPD.

Baru-baru ini, MPPD bersama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri dan polis menyerbu premis berkenaan yang dipercayai menggunakan kanak-kanak untuk menjual pelbagai barangan. - mymetro

Mubarak minta bantuan tentera, isytihar perintah berkurung

KAHERAH: Presiden Hosni Mubarak hari ini mengerahkan khidmat tentera dan mengisytiharkan perintah berkuruang di seluruh Mesir selepas penunjuk perasaan merusuh di jalanan meminta pengundurannya.

Perintah berkurung yang bermula jam 6 petang sehingga 7 pagi di Kaherah, Alexandria dan Suez sebelum ini, diperluaskan ke seluruh negara, demikian diumumkan stesen televisyen negara itu.

Mubarak memerintahkan angkatan tentera bekerjasama dengan polis bagi melaksanakan peraturan perintah berkurung bagi memelihara keamanan negara serta melindungi penduduk dan harta benda awam. Dua jam selepas perintah berkurung dijalankan, penunjuk perasaan masih berkeliaran di jalan raya di sekitar Kaherah dan Alexandria, dengan penunjuk perasaan meminta tentera turut menyertai mereka.

Di Kaherah, penunjuk perasaan keluar dalam kumpulan yang besar selepas selesai menunaikan sembanyang Jumaat dengan bertindak membaling batu dan dua membakar balai polis.

Polis terpaksa bertindak balas dengan menggunakan belantan, gas pemedih mata, meriam air dan menembak menggunakan peluru getah.

Mubarak yang kini berusia 82 tahun dan dilaporkan kurang sihat, setakat ini belum lagi tampil sejak tunjuk perasaan tercetus empat hari lalu.
Bagaimanapun, Kementerian Kebudayaan berkata, Mubarak dijangka tampil hari ini untuk majlis pembukaan rasmi Pesta Buku Kaherah. - AFP

Zulkifli Noordin Jangka Ramai Lagi Akan Keluar PKR

KUALA LUMPUR: Anggota Parlimen Kulim Bandar Baharu Zulkifli Noordin berkata beliau menjangka beberapa lagi wakil rakyat dan kepimpinan kanan Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan keluar daripada parti itu.

Beliau berkata tindakan Anggota Parlimen Padang Serai N. Gobalakrishnan yang keluar PKR dan melepaskan jawatan sebagai Ketua Cabang PKR Padang Serai pada Sabtu membuktikan bahawa jangkaan beliau sebelum ini adalah tepat.

"Perisytiharan yang dibuat oleh Gobalakrishnan tadi sudah lama teman (saya)jangka, malah teman sudah pun membuat kenyataan sebelum ini bahawa beberapa orang wakil rakyat dan kepimpinan kanan PKR akan mengambil tindakan keluar, cuma masa dan cara sahaja yang berbeza.

"Teman (saya) tahu ada beberapa orang lagi anggota Parlimen (termasuk Anggota Dewan Undangan Negeri), kepimpinan kanan parti yang akan mengambil langkah yang sama tidak lama lagi.

"Masing-masing menunggu masa dan ketika yang sesuai untuk bertindak sedemikian," kata Anggota Parlimen Bebas itu dalam blog beliau www.zul4kulim.blogspot.com di sini, Sabtu.

Zulkifli berkata peletakan jawatan Gobalakrishnan itu merupakan isyarat jelas bahawa PKR sudah hancur lebur dan membuktikan bahawa Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan juak-juaknya (orang suruhan/hamba) sedang berhadapan dengan krisis kepimpinan dan keyakinan yang sangat serius.

"Pada teman (saya), Anwar bukan sahaja menzalimi dirinya sendiri, tetapi beliau juga menzalimi umat, rakyat dan negara. Beliau bukan sahaja merosakkan diri sendiri, tetapi menjadi makhluk perosak kepada umat, rakyat dan negara," katanya.

Justeru, Zulkifli mencabar Anwar supaya meletak jawatan dan berundur daripada politik sebelum negara hancur dek kerana nafsu serakahnya yang terlalu ghairah mahu menjadi Perdana Menteri.

Dalam sidang akhbar di Kulim, Kedah, Gobalakrishnan, 50, mengumumkan melepaskan semua jawatannya dalam parti itu dan kini menjadi Anggota Parlimen Bebas berkuat kuasa serta merta.

Tindakan itu diambil kerana beliau sudah bosan dengan Anwar dan Timbalan Presiden PKR Azmin Ali yang kini telah mengawal 100 peratus pentadbiran PKR.- BERNAMA

* Yang keluar adalah yang tewas dalam pemilihan, Yang berjuang kerana jawatan...

Kabinet Mesir Letak Jawatan, Hosni Mubarak Enggan Beralah

KAHERAH: Stesen televisyen kebangsaan Mesir berkata, Kabinet pimpinan Perdana Menteri, Ahmed Nazif meletakkan jawatan atas arahan Presiden Hosni Mubarak di sini, Sabtu.

Tindakan itu beberapa jam selepas Hosni dalam ucapan di stesen televisyen itu bahawa beliau akan memecat anggota Kabinet ekoran protes besar-besaraan anti-kerajaan sejak beberapa hari lalu di negara itu.

Protes berkenaan adalah yang terbesar sepanjang pemerintahan rejim Hosni selama 30 tahun tetapi beliau tidak menyatakan akan berundur sebagaimana yang didesak oleh rakyat.

Awal pagi tadi Hosni mengumumkan perintah berkurung di seluruh negara ekoran berlaku tunjuk perasaan besar-besaran, semalam.

Beliau pada awalnya hanya mengisytiharkan perintah berkurung di tiga wilayah iaitu di Kaherah, Alexandria dan Suez, tetapi telah memperluaskannya ke seluruh negara.

Perintah berkurung itu berkuat kuasa dari pukul 6 petang hingga 7 pagi (waktu tempatan) sehingga notis pemberhentian diumumkan.

Pasukan tentera telah ditempatkan untuk membantu polis melaksanakan perintah itu dan mengawal keselamatan serta melindungi harta benda awam. - mstar

'Fatwa' Nik Aziz menyeleweng

KOTA BHARU 28 Jan. - Dua tokoh agama di negeri ini menyelar tindakan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menyatakan sesiapa yang tidak mengundi Pas adalah Arab Jahiliyah.

Kedua-dua mereka menegaskan kenyataan tersebut amat cetek dan tidak berlandaskan kepada ajaran Islam yang sebenar.

Bekas Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama Pas Pusat, Mohd. Noor Idris berkata, 'fatwa' terbaru yang dikeluarkan oleh Nik Abdul Aziz jelas menyelewang dan menimbulkan kekeliruan di kalangan umat Islam.

Beliau berkata, sewajarnya Majlis Fatwa Kebangsaan dan Majlis Raja-Raja Melayu sebagai badan tertinggi agama Islam mengambil tindakan tegas terhadap Menteri Besar Kelantan itu bagi mengelakkan umat Islam terus berpecah.

"Saya merasa dukacita di atas 'fatwa' baru yang dikeluarkan oleh seorang Menteri Besar yang bergelar tok guru, beliau tidak ada autoriti daripada Majlis Fatwa Kebangsaan untuk mengeluarkan fatwa.

"Disebabkan itu saya minta Majlis Fatwa Kebangsaan dan Majlis Raja-Raja Melayu mengambil tindakan undang-undang disebabkan setiap kata-katanya dianggap sebagai fatwa oleh orang Pas dan ini akan menimbulkan kekeliruan serta memecah belahkan umat Islam," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan yang dikeluarkan oleh Nik Abdul Aziz iaitu tidak mengundi Pas dianggap jahiliyah ketika berkempen pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang.

Pengasas Pondok Geting, Tumpat, Abdullah Sa'amah pula berkata, Nik Abdul Aziz tidak faham istilah 'jahiliyah' yang jelas merujuk kepada kaum Arab kafir ketika zaman Rasulullah dahulu.

"Jelas Nik Aziz tidak dapat membezakan di antara istilah kafir jahiliyah dan politik semasa sehingga mengeluarkan kenyataan semata-mata untuk menarik undi.

"Pas adalah sebuah parti politik dan bukannya agama. Parti politik bukannya sistem dalam Islam. Kalau sistem parti ini betul dengan Islam betullah, kalau tidak betul, tidak betullah," katanya.

Katanya, jika dikaji secara mendalam kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh Nik Abdul Aziz sejak dari dahulu lagi jelas menunjukkan beliau tidak dapat membezakan di antara politik, agama, siasah dan cara mentadir negara.

Ujarnya, sebuah parti politik seperti Pas tidak dapat menentukan sama ada seorang itu akan masuk syurga atau neraka.

"Sistem parti ini sendiri tidak ada dalam Islam, bagaiamana pula dia mahu tentukan undi Pas masuk syurga, tidak undi Pas jahiliyah.

"Apakah dia yang mengikut telunjuk DAP akan masuk syurga, pemimpin Pas juga harus jelaskan adakah umat Islam yang mengundi DAP yang jelas menolak negara Islam akan masuk syurga," katanya. - Utusan

* Jangan jadi ulama jahat, sokong membabi buta Umno...

Suami Normala'bersembunyi'


LABIS 28 Jan. - Menyedari dirinya menjadi "buruan ramai" khususnya media massa untuk mendapat komen mengenai isu sijil cuti sakit (MC), suami calon Pas, Maarof Abd. Mutalib hari ini memilih untuk 'menyembunyikan' diri.

Jika sebelum ini beliau sentiasa menemani isterinya, Normala Sudirman berkempen dari pagi hingga malam, tetapi kelibatnya tidak kelihatan hari ini dan dipercayai 'kehilangan' Maarof ada kaitan dengan pendedahan mengenai MC selama 21 hari yang diambilnya.

Normala atau lebih dikenali sebagai Cikgu Mala memberitahu, suaminya tidak dapat menemaninya berkempen hari ini kerana mempunyai urusan lain.

"Dia (suami) ada tugas lain dan tidak dapat bersama saya hari ini. Dia ada komitmen yang harus diselesaikan," katanya semasa ditemui pemberita di sini hari ini.

Akhbar hari ini melaporkan status kesihatan suami calon Pas tersebut berikutan beliau didapati mengambil cuti sakit sehingga 21 hari sepanjang bulan ini seperti yang dilaporkan di dalam sebuah blog, http://marahku.blogspot.com.

Blog tersebut mendakwa Maarof cuti sakit, tetapi pada masa yang sama dilihat bersama isterinya pada majlis-majlis dan kempen yang dijalankan oleh calon Pas itu.

Ditanya sama ada isu MC suaminya akan memberi kesan kepadanya, Cikgu Mala berkata: "Bagi saya isu ini tidak akan memberi kesan kepada baki perjalanan kempen yang tinggal dua hari lagi."

Normala yang pada mulanya enggan menjawab isu itu meminta pihak media sendiri mendapatkan kesahihan dan kenapa MC itu dikeluarkan oleh doktor tersebut.

Beliau mendakwa MC itu kemungkinan ada kaitan dengan pertukaran suaminya dari Sekolah Menengah (SM) Tenang Station ke SM Pasir Gudang sehingga menyebabkan beliau tertekan.

Katanya, pertukaran sekolah dalam tempoh 24 jam itu memberi kesan kepada suaminya memandangkan pada masa sama beliau telah berhenti menjadi guru.

"Suami saya jarang mengambil cuti (sakit) dan seorang yang komited terhadap kerja. Saya harap agar isu ini tidak dijadikan spekulasi dan disensasikan oleh media.

"Bagaimanapun, setakat ini keadaan dia (suami) baik dan emosinya sudah semakin stabil," katanya.

Normala turut mendakwa suaminya terpaksa mengambil cuti sakit di hospital besar di Segamat kerana tiada hospital besar di Labis.

Sementara itu, usaha Utusan Malaysia untuk mendapatkan penjelasan daripada Maarof gagal kerana panggilan telefon tidak berjawab. - Utusan
* 'Bersembunyi' dari Umno yang zalim...

Jahiliah bukti Pas seleweng agama demi politik

LABIS 28 Jan. - 'Fatwa' terbaru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang melabelkan pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang yang tidak menyokong Pas sebagai jahiliah satu lagi bukti penyelewengan agama Islam oleh Mursyidul Am parti itu.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Pas sanggup melakukan apa sahaja termasuk memperalatkan agama Islam demi kepentingan politik meskipun mereka sedar 'harga' yang terpaksa dibayar daripada perbuatan tersebut iaitu menimbulkan perpecahan dalam kalangan umat Islam.

Sambil menyuarakan perasaan tersinggung dengan kenyataan itu, beliau berkata, Nik Abdul Aziz yang diangkat sebagai 'tok guru' oleh penyokong Pas telah menganggap seluruh pengundi di Tenang sebagai golongan yang bodoh kerana jelas perkataan jahil itu bermaksud bodoh.

Sehubungan itu, beliau menggesa seluruh umat Islam terutamanya pengundi Melayu di Tenang supaya mengambil iktibar daripada tindakan Menteri Besar Kelantan tersebut kerana Pas akan mengeluarkan pelbagai 'fatwa' songsang jika terdesak.

"Ini 'fatwa' yang songsang. Ia satu lagi bukti penyelewengan hukum agama oleh Nik Abdul Aziz dan label jahiliah ini tidak sepatutnya dikeluarkan oleh seorang yang dikatakan Mursyidul Am yang dipanggil sebagai 'tok guru'.

"Sebagai seorang Islam, kita taat pada tuntutan agama, apakah seluruh pengundi yang berada di Tenang ini jahil? Kalau ikut tafsiran Nik Abdul Aziz, kita semua ini hidup dalam zaman jahiliahlah. Kita semua ini golongan manusia yang bodoh kerana jahil itu bermaksud bodoh," katanya.

Beliau diminta mengulas 'fatwa' Mursyidul Am Pas itu yang menyifatkan orang ramai yang tidak mengundi Pas sebagai jahiliah pada sidang akhbar baru-baru ini selepas membantu calon parti itu, Normala Sudirman berkempen di Kampung Radong, di sini.

Timbalan Perdana Menteri ditemui selepas merasmikan Program Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di Sekolah Kebangsaan Kamarul Ariffin di sini hari ini.

Nik Abdul Aziz dipetik sebagai berkata: "Kalau nak kekal jahiliah apa boleh buat. Sekarang ada dua... Ada jahiliah, ada Islam... tolak jahiliah ambil Islam, itu yang betul dunia akhirat."

Ditanya pandangannya sama ada Menteri Besar Kelantan itu wajar mengundurkan diri dengan segera sebelum lebih banyak perpecahan berlaku dalam umat Islam, Muhyiddin berkata, perkara tersebut terserah kepada Nik Abdul Aziz sendiri.

"Kalau dia fikir masih lagi boleh memberi pandangan yang songsang tidak mengapalah. Yang penting kita jangan terpengaruh kerana kenyataan beliau lebih bersifat politik daripada agama," katanya.

Mengenai peluang Barisan Nasional (BN) untuk meraih majoriti 5,000 undi pada Pilihan Raya Kecil DUN Tenang, Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau yakin sasaran tersebut mampu dicapai berdasarkan sokongan rakyat yang semakin meningkat.

Menurutnya, keyakinan itu kini semakin meningkat selepas ramai pemimpin masyarakat di Tenang tampil memberi kenyataan bahawa mereka akan memberi sokongan padu kepada calon BN, Mohd. Azahar Ibrahim pada hari pembuangan undi Ahad ini.

Bagaimanapun, katanya, jentera BN tidak boleh terlalu yakin kerana masih ada masa lagi untuk semua pihak berusaha keras bagi meraih seramai mungkin sokongan rakyat. - Utusan

* Memang betul pun apa yang Tok Guru kata...taubatlah Muhyiddin sebelum terlambat...

MP Padang Serai umum keluar PKR


Bekas naib presiden PKR, N Gobalakrishnan, yang juga ahli parlimen Padang Serai, hari ini mengumumkan melepaskan semua jawatannya di dalam parti itu.

Pengumuman itu dibuatnya menerusi laman sosial twitter.

"Selamat pagi kepada semua rakyat Malaysia. Saya dengan ini letak semua jawatan dalam PKR dan teruskan kerja saya melalui NGO baru," katanya dalam mesej yang diposkannya jam 10.50 pagi tadi.

Namun Gobalakrishnan, tidak menyebut nama badan bukan kerajaan (NGO) baru yang akan disertainya bagi meneruskan kerja-kerjanya.

Di Kulim, Bernama melaporkan Gobalakrishnan, juga mengisytiharkan dirinya keluar daripada PKR dan
kini menjadi ahli parlimen Bebas berkuat kuasa serta merta.

Gobalakrishnan, 50, mengumumkan keputusan itu pada sidang media yang diadakan di pejabatnya di Paya Besar Lunas, dekat Kulim.

Dengan keputusannya itu, katanya beliau turut melepaskan jawatan sebagai Ketua Cabang PKR Padang Serai.

Bagaimanapun, katanya beliau tidak akan mengeluarkan sebarang surat mengenai perkara itu kepada PKR.

Sudah fed up

"Saya sudah fed up (bosan) dengan (Penasihat PKR) (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) serta (Timbalan Presiden PKR) Azmin Ali, yang kini telah mengawal 100 peratus pentadbiran PKR," katanya.

Katanya beliau bersama beberapa orang temannya terdiri daripada peguam, jurutera, doktor dan lain-lain akan menubuhkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk memperjuangkan dan menjaga kepentingan pengundi di kawasan Parlimen Padang Serai.

Beliau juga sempat membidas Anwar yang dakwanya bukan sahaja memperkudakan kaum Melayu dan Cina sahaja dalam mencapaikan cita-citanya tetapi kaum India juga tidak terkecuali.

Katanya beliau yakin hasrat Anwar untuk menakluk Putrajaya akan tersasar sekaligus gagal kerana bagaimana mahu mentadbir negara dengan masalah dalaman parti pun semakin teruk.

"Kerana itulah saya membuat keputusan keluar parti yang saya juga menjadi salah seorang pengasas ketika penubuhannya. Nampaknya parti ini sudah nak runtuh, jadi biarlah saya keluar sebelum “rumah” ini runtuh," katanya.

Gobalakrishnan berkata tindakannya keluar parti adalah tindakan bersendirian dan terpulanglah kepada penyokong-penyokongnya sama ada mahu ikut bersamanya atau kekal sebagai anggota PKR.

Sementara itu, Setiausaha PKR Cabang Padang Serai S Nagalingam yang turut hadir pada sidang media itu berkata timbalan pengerusi cabang berkenaan Johari Ismail akan memangku jawatan ketua cabang yang dilepaskan Gobalakrishnan.

Majoriti 2/3

Empat ahli parlimen telah meninggalkan PKR sejak pilihan raya umum 2008 - Zahrain Mohd Hashim (Bayan Baru), Tan Tee Beng (Nibong Tebal), Mohsin Fadzil Samsuri (Bagan Serai) dan Wee Choo Keong (Wangsa Maju) manakala seorang lagi Zulkifli Nordin (Kulim-Bandar Bahru) dipecat dari parti.

PKR kini mempunyai 23 kerusi di Dewan Rakyat, berbanding 30 yang dimilikinya selepas pilihan raya umum Mac 2008.

Selain yang dipecat dan berpaling tadah, mereka juga gagal mempertahankan kerusi Hulu Selangor berikutan kematian penyandangnya, Datuk Zainal Abidin Ahmad.

DAP mempunyai 29 kerusi dan PAS pula, 23.

BN hanya memerlukan tiga lagi wakil rakyat Pakatan Rakyat untuk berpaling tadah untuk mendapatkan majoriti dua pertiga di Parlimen.

Jumlah yang diperlukan adalah 148 kerusi dan ini boleh dicapai menerusi 138 kerusi yang dimenanginya bersama sokongan tujuh ahli Bebas yang mesra BN (termasuk MP Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali) berserta tiga yang lain.

Sudah diduga

Keputusan yang diambil Gobalakrishnan bukan sesuatu yang memeranjatkan kerana beliau dikatakan enggan menjawap surat tunjuk sebab PKR yang dikemukakan pada 4 Januari lalu.

Sebaliknya dalam jawapan angkuhnya di Twitter pada 21 Januari lalu, Gobalakrishnan berkata, "Kenapa mesti saya jawab surat tunjuk sebab? Ketua umum PKR, Anwar Ibrahim dan parti mesti jawap soalan saya dulu. Saya tak akan berhenti sehingga mereka jawab.”

Kemarahan Gobalakrishnan memuncak apabila beliau tewas pada pemilihan PKR yang didakwanya dicemari penyelewengan.

Beliau semakin berang apabila kepemimpinan parti itu, melantik pendatang baru, N Surendran sebagai naib presiden. Gobalakrishnan mendakwa ahli politik novis itu tidak mampu mewakili kepentingan masyarakat India.

Serangan terakhirnya ke atas PKR apabila dia mengecam pemimpin parti itu kerana terbabit dengan perasmian Kuil Sivan di Petaling Jaya dan mendakwa Awnar secara peribadi mengarahkan kuil itu ditutup menyaksikan beliau diberi amaran.

Namun, Gobalakrishnan enggan menutup mulut tetapi sebaliknya, beliau banyak memuat-naikkan beberapa ulasan di Twitter di mana beliau membidas pemimpin parti, khususnya Anwar dan timbalan presiden, Azmin Ali. - Malaysiakini

Tiada kenaikan tol 5 tahun


PUTRAJAYA 28 Jan. - Kerajaan mengumumkan tidak ada kenaikan tol untuk tempoh lima tahun akan datang bagi Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) Fasa 1.

Khabar gembira itu diumumkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berdasarkan cadangan penstrukturan tol untuk mengurangkan beban rakyat.

Berikutan itu, Perdana Menteri berkata, tempoh konsesi lebuh raya-lebuh raya berkenaan tidak akan dilanjutkan dan kerajaan tidak memberikan pampasan untuk semakan tol yang tertunggak.

"Atas semangat 1Malaysia, yang mana Rakyat Didahulukan dan Pencapaian Diutamakan, saya telah meminta para pemegang konsesi mengkaji semula struktur tol bagi konsesi masing-masing sebagai langkah membantu kerajaan memakmurkan negara dan mengurangkan bebanan rakyat.

"Menyahut seruan kerajaan ini, dua orang ahli korporat yang juga pemegang saham terbesar sebuah syarikat konsesi tol telah tampil mengemukakan satu cadangan penstrukturan tol melalui perolehan aset-aset konsesi yang akan memberi impak yang besar kepada rakyat.

"Berdasarkan cadangan ini, saya dengan sukacitanya memaklumkan bahawa tiada kenaikan tol untuk lima tahun akan datang bagi Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 yang dicadangkan bakal dimiliki oleh dua orang ahli korporat tersebut," kata beliau pada sidang akhbar di Bangunan Perdana Putra di sini.

Kumpulan MTD adalah syarikat konsesi kedua-dua lebuh raya berkenaan.

Menurut Najib, adalah menjadi hasrat kerajaan untuk mengkaji semula kos sara hidup termasuk soal belanja pengangkutan sebagai satu cara mengurangkan bebanan rakyat.

Justeru, kata beliau, semakan semula kos pengangkutan perlu dilaksanakan dengan berhemah dan betul demi masa depan negara.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, kerajaan tidak membuat keputusan secara tiba-tiba terhadap setiap cadangan penstrukturan tol sebaliknya ia melalui proses tertentu.

"(Antaranya) kita minta pihak konsesi supaya cuba mengekalkan kadar tol untuk tempoh tertentu, kurangkan atau hapuskan (terus). Dan mereka buat pelbagai cadangan kepada pihak kerajaan dan yang mana kita boleh terima, kita terima dan kita jalankan dulu.

"Bagi isu lain, kita masih dalam pertimbangan dan fikirkan cadangan yang boleh dikemukakan kepada Kabinet," katanya.

Mengulas lanjut, Najib berkata, beliau mempunyai banyak lagi pengumuman yang akan menyusul serta memberi khabar gembira kepada rakyat.

"Satu persatulah, saya ada banyak lagi pengumuman selepas ini, jangan bimbang, ia mengejutkan," jelas Perdana Menteri.

* Pakatan Rakyat boleh umumkan akan menghapuskan tol dalam tempoh 5 bulan sahaja... HAPUSKAN TOL

Sijil Cuti Sakit Suami:Sila Rujuk Doktor, Kata Cikgu Mala

LABIS: Calon PAS, Normala Sudirman mendakwa suaminya, Maarof Abdul Mutalib diberikan cuti sakit sehingga tempoh dua minggu berturut-turut disebabkan oleh masalah kemurungan akibat arahan pertukaran dalam tempoh 24 jam ke sebuah sekolah di Johor Bharu sebelum ini.

Beliau berkata, bagaimanapun jika media berminat menyiasat lebih lanjut mengenai kesahihan sijil cuti sakit kepada suaminya itu, dinasihatkan bertemu terus dengan doktor yang berkenaan.

“Lebih baik media berjumpa dengan doktor yang mengeluarkan cuti sakit tersebut kerana sebagai doktor beliau lebih profesional dan tahu kenapa dan mengapa surat itu dikeluarkan kepada pesakitnya.

“Media kalau nak tahu lebih baik tanya pada doktor itu lebih baik dan ada ketelusan,” katanya kepada pemberita di Dataran Wayang Pacak di sini pada Jumaat.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai tindakan suaminya mendapat cuti sakit selama 21 hari daripada dua pusat kesihatan di Segamat namun pada masa yang sama Maarof sering didapati menemani isterinya sepanjang musim kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang.

Dalam pendedahan yang dibuat oleh sebuah blog http://marahku.blogspot.com/ mendakwa suami calon PAS itu telah mengambil cuti sakit selama dua hari pada 6 dan 7 Januari dari Pusat Perubatan Keluarga di Jalan Segamat-Labis, Johor.

Ia diikuti dengan cuti sakits selama dua minggu bermula 10 hingga 23 Januari yang dikeluarkan oleh Klinik Kesihatan Bandar Putra, Segamat dan tambahan cuti lima hari lagi yang diperoleh daripada pusat kesihatan yang sama.

Dalam salinan surat sakit tersebut, dimaklumkan Maarof yang juga guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Tenang Stesen diberikan cuti sakit selama 2 minggu berturut-turut kerana beliau menghadapi masalah kemurungan yang serius.

Mengulas lanjut mengenai isu berkenaan, Normala yang lebih mesra dengan panggilan Cikgu Mala berkata, suaminya berdepan dengan tekanan yang hebat ketika mendapat tahu mengenai pertukaran yang diputuskan oleh Jabatan Pelajaran Johor sebelum tindakan tersebut ditarik balik dalam tempoh 24 jam selepas itu.

“Ya, hal penukaran itu memberikan kesan di hati suami saya kerana pada hari yang sama juga anak saya dimasukkan ke wad,” katanya.

Ketika ditanya bagaimana dengan keadaan suaminya ketika ini, Cikgu Mala berkata, emosi suaminya sangat stabil dan beliau juga menegaskan dirinya tidak langsung tertekan dengan isu sijil cuti sakit suaminya yang dijadikan bahan kempen dalam pilihan raya kali ini.

“Saya yakin dengan integriti pihak yang mengeluarkan sijil cuti sakit ini. Apa pun tohmahan atau fitnah yang tidak benar akan berbalik kepada orang yang menyebarkan fitnah itu. Insya-Allah, Allah akan memelihara saya daripada sebarang fitnah dan hasad dengki,” katanya.

Jelasnya isu serangan peribadi sudah tidak relevan untuk memancing undi pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang.

“Isu ini telah disensasikan dengan kaitan peristiwa yang tidak berasas. Isu sakit ini perlu tanya kepada doktor,” katanya. - Mstar

* Umno tidak sedar yang mereka sedang menyerang kumpulan guru. Kesan dari itu Umno dijangka akan menaikkan gaji guru sebelum pilihanraya tidak lama lagi bagi memujuk kumpulan ini...

Kementerian akan ambil tindakan

LABIS – Kementerian Pelajaran Malaysia akan mengambil tindakan tatatertib terhadap Maarof Abd. Mutalib yang juga suami calon Pas, Normala Sudirman jika guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tenang Stesen itu dipercayai menipu untuk mendapatkan sijil cuti sakit (MC) selama 21 hari.

Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kementerian akan menyiasat dan mendapatkan laporan daripada pelbagai pihak termasuk pengetua SMK Tenang Stesen sendiri.

“Kementerian akan siasat sama ada cuti yang diberikan itu berasas atau dia telah memberi kenyataan yang tidak betul untuk mendapatkan cuti.

“Dia sebagai seorang guru sepatutnya amanah dan tidak boleh salah guna hak untuk mendapat cuti dan memberi perakuan yang bohong.

“Kami difahamkan jumlah MC yang diambil banyak dan jika benar sakit, dia sepatutnya sudah terlantar tetapi dia dilihat berdiri tegak meredah kawasan Tenang untuk membantu isterinya berkempen,” kata Muhyiddin pada sidang akhbar selepas menghadiri Program Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Kawasan Labis di SMK Kamarul Ariffin di sini semalam. - Kosmo

* Suami dizalimi kerana sokong pembangkang. Zalimnya kerajaan Umno ini.

Peguam dijel 10 tahun

SEREMBAN – Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP, M. Kuppusamy (gambar) dijatuhi hukuman penjara 10 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam selepas dia didapati bersalah atas tuduhan pecah amanah membabitkan wang berjumlah RM66,647.44 enam tahun lalu.

Hakim Zamri Bakar menjatuhkan hukuman yang berkuatkuasa semalam itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan yang dihadapi tertuduh.

Mengikut pertuduhan, Kuppusamy yang juga seorang peguam didakwa menggelapkan wang berjumlah RM66,647.44 milik seorang anak guamnya di bank CIMB di sini antara 29 Oktober 2005 hingga 6 Disember 2005.

* Tidak ada hukuman lainkah? Seperti membayar denda kepada mangsa penipuan...

Pendedahan Sijil Sakit Tidak Beretika

Tidak beretika: PAS kesal dokumen peribadi didedah

LABIS, 28 Jan: PAS kesal dengan tindakan sebuah sekolah menengah di Labis yg mendedahkan dokumen peribadi seorang gurunya berhubung laporan cuti sakit dan dijadikan bahan kempen Umno BN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Tenang.

Bendahari PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Md Ramli berpendapat tindakan tersebut juga boleh menjejaskan imej guru berkenaan dan menghilangkan keyakinan pekerja terhadap majikannya.

Beliau yang juga seorang pengamal perubatan berkata, sijil cuti sakit adalah dokumen rasmi yang sepatutnya hanya di ketahui oleh pesakkit (guru tersebut) dan majikannya.

Ini kerana dokumen tersebut mengandungi maklumat sulit antara doktor dan pesakitnya, termasuk diagnosis pesakit.

"Hanya pesakit atau doktor yang diizinkan oleh pesakit boleh mendedahkan maklumat itu kepada pihak ketiga," katanya.

Kekesalan itu dizahirkan ekoran Umno BN kini didakwa menggunakan sijil sakit, Maarof Abdul Mutalib iaitu suami kepada calon PAS bagi PRK Tenang, Normala Sudirman.

Sijil sakit berkenaan juga turut disiarkan di sebuah blog pro Umno dan laporannya membayangkan Maarof sedang berdepan masalah kesihatan yang serius.

Selain blog, laporan akhbar pro Umno, Utusan Malaysia hari ini juga turut memainkan isu sama dengan memaparkan tajuk 'Suami Normala sakit kritikal?'.

Laporan itu mempersoalkan status kesihatan Maarof kerana mengambil cuti sakit sehingga 21 hari sepanjang bulan ini.

Selain itu, Hatta turut membidas tindakan Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr. Puad Zarkashi yang merestui tindakan sekolah berkenaan dan terus membuat kenyataan seolah-olah guru tersebut telah melakukan kesalahan tanpa usul periksa.

"Tindakan Timbalan Menteri ini sangatlah tidak profesional. Beliau wajar memohon maaf kepada guru berkenaan," katanya lagi.

Selain Puad, PAS juga katanya terkejut dengan tindakan Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abd Rashid Shirlin yang mempertikaikan pegawai perubatan yang merawat dan mengeluarkan sijil cuti sakit kepada guru berkenaan.

Menurutnya, Rosnah tidak berhak campurtangan dalam urusan kerja profesional doktor berkenaan.

"Percubaan mencampuri dan mengganggu tugas seorang doktor untuk tujuan mempengaruhi cara rawatan yang dilakukan oleh doktor sangat tidak bermoral dan amat terkutuk.

"Datuk Rosnah harus tahu batas kuasa beliau di Kementerian Kesihatan.

Timbalan Menteri atau sesiapa juga pegawai atasan ujarnya, harus memberi sokongan dan perlindungan kepada pegawai dan kakitangan dibawah tanggunjawab mereka manakala sebarang perlanggaran tatatertib harus disiasat di peringkat dalaman jabatan dan bukannya dengan mengeluarkan kenyataan yang melulu.

Sehubungan itu PAS tegasnya meminta pihak Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) dan Majlis Perubatan Malaysia (MMC) mengambil tindakan terhadap pihak yang sengaja menjatuhkan maruah pengamal perubatan di bawah kawalan mereka.

"Semoga ini menjadi pengajaran kepada semua pihak agar tidak mengulangi kesilapan yg sama," katanya. -harakahdaily

* Kita boleh lihat pegawai-pegawai tinggi ini mempunyai sifat yang sama iaitu sifat Umno. Adakah mereka dilantik kerana pandai mengampu? Jika benar mereka sedang merosakkan bangsa kita sedikit demi sedikit...

Murid dirotan hingga terkencing

KUALA TERENGGANU - Seorang murid tahun empat trauma untuk pergi ke sekolah selepas mendakwa dia dirotan oleh seorang guru selepas menghantar kertas ujian di sebuah sekolah di Kuala Besut di sini pada Rabu lalu.

Semasa kejadian, Wan Mohd. Faris Wan Zukri, 10, mendakwa dia baru menghantar kertas ujian kertas pendidikan Islam sebelum dikejutkan dengan tindakan guru lelaki itu yang tanpa sebab telah merotan badannya secara tiba-tiba.

Tindakan guru itu menyebabkan dia terkencing di dalam kelas kerana menahan kesakitan.

"Waktu kejadian, cikgu itu bagi kertas ujian dan selepas saya hantar kertas ujian pada cikgu, saya jenguk kawan saya untuk tengok apa yang dia buat.

"Tiba-tiba cikgu datang terus rotan belakang badan saya. Selepas itu cikgu tanya sakit tak. Belum sempat saya jawab dia rotan saya sekali lagi," katanya ketika dihubungi di sini semalam. - Kosmo

* Guru di sekolah bertugas dalam keadaan tertekan dengan beban tugas yang banyak. Menteri Pelajaran jangan pandang sebelah mata. Kesannya amat dahsyat kerana tugas guru mendidik murid. Keruntuhan akhlak masyarakat kita sekarang antara sebabnya adalah kerajaan gagal mengurus kumpulan guru ini dengan baik. Kementerian Pelajaran dicabar membuat lawatan mengejut ke sekolah-sekolah di Malaysia dan lihat sendiri beban tugas guru. Jangan syok sendiri di atas sana...

28 January 2011

Guru dipenjara 11 tahun, 10 sebatan


MELAKA – Sepatutnya seorang guru perlu memberi contoh teladan yang baik kepada masyarakat terutama bab penyalahgunaan dadah yang menjadi musuh nombor satu negara.

Namun semalam, seorang guru Bahasa Melayu sekolah rendah di Tengkera dihukum penjara 11 tahun dan 10 kali sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini atas dua pertuduhan memiliki dadah tahun lalu.

Hakim Datuk Ahmadi Asnawi menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd. Sallehin Abu Samah, 29, yang mengaku salah dan selepas meneliti semua fakta kes yang dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Salwa Mhd. Asrar.

Pada pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memiliki dadah jenis kanabis seberat 270.86 gram di tempat letak kereta Jalan Melaka Raya 3, Taman Melaka Raya, Bandar Hilir pada 11 Mac 2010 pukul 7 petang. - Kosmo

* Semau-maunya hukum orang, hasilnya tidak berkurang juga. Negara seperti US dan UK yang menjadi ikon rakyat Malaysia tidak pula menyebat orang. Anehnya bila penzina atau peminum arak dihukum sebat, heboh 1 dunia. Bila kita boleh menjadi bangsa yang bermaruah?

Laporan CNN: Anwar kecam Najib dakwa Saudi biaya PRU

Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa laporan Cable News Network (CNN) semalam menyerlahkan “ketakutan dan rekayasa” Datuk Seri Najib Razak untuk menyekat kemaraan Pakatan Rakyat khususnya menjelang pilihan raya umum ke-13.

Dalam pendiriannya yang tegas, Anwar berkata beliau tidak terkejut sekiranya Perdana Menteri yang juga presiden Umno sanggup ke luar negara, bukan demi menarik pelaburan tapi semata-mata untuk menyekat dan mentohmahnya.

Laporan CNN itu muncul ketika tinggal tiga hari sebelum hari pengundian pilihan raya kecil kerusi DUN Tenang dan di tengah-tengah spekulasi negara bakal menyaksikan pilihan raya umum ke-13.

Dakwaan itu dilihat sebagai yang paling keras daripada Najib ke atas Anwar sejak menjadi perdana menteri keenam pada April 2009.

Satu laporan risikan Saudi berkata tiada bukti mana-mana pegawai negara itu membiayai Anwar yang mengetuai Pakatan Rakyat, tetapi mengesan sebuah pertubuhan fundamentalis Islam yang ada hubungan dengan pemimpin pembangkang telah memanfaatkan rangkaian al Qaeda menerusi sokongan ahli-ahli politik negara-negara Islam.

CNN juga menamakan satu siasatan sulit telah dijalankan ekoran aduan Najib bahawa Saudi membiayai Anwar menjelang pilihan raya umum ke-13.

Malah rangkaian itu juga mendakwa pihak berkuasa Malaysia telah mengesyaki dua pegawai kanan kerabat diraja Saudi terlibat dalam pembiayaan kepada Anwar dan ini menyebabkan Riyadh memulakan siasatan sulit.

Laporan siasatan itu memutuskan bahawa tiada bukti menunjukkan pegawai-pegawai Saudi terlibat menyokong Anwar, yang bulan lalu digantung daripada menghadiri sidang Parlimen selama enam bulan.

Sebelum ini Anwar dilabelkan oleh Umno sebagai ejen Yahudi.

“Dakwaan sokongan daripada keluarga raja Saudi yang dinamakan dalam laporan awal didapati tidak berasas,” kata laporan CNN lagi.

Justeru dalam satu kenyataan dikeluarkan pagi ini Anwar memberitahu, kepimpinan Najib sudah mula merasai kesan yang dibawa oleh gerakan politik Pakatan Rakyat sehingga memaksa kerajaan membuat tuduhan sedemikian.

“Mereka sebenarnya sudah mula merasai angin perubahan yang bakal melanda. Mereka sedar rakyat Malaysia sudah mulai mual dengan segala macam kebobrokan.

“Kepimpinan Umno-BN sebenarnya fobia dengan kemaraan rakyat,” kata beliau lagi.

Kata Anwar, laporan CNN di bawah tajuk “Saudis discover new funding channels for Taliban, al Qaeda” memperlihatkan ketakutan Najib untuk berhadapan Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum yang akan datang.

“Laporan CNN yang baru sahaja beredar beberapa jam lalu menyebut antara lainnya, Presiden Umno itu menyatakan rasa tidak puas hatinya kepada kerajaan Arab Saudi kerana terdapat dua Putera Arab Saudi yang menyokong dan membiyai saya untuk pilihan raya umum yang akan datang,” kata Anwar lagi.

Anwar menambah gerakan politik Pakatan Rakyat setiap hari berusaha membina dokongan rakyat terhadap usaha kami demi menyelamatkan Malaysia dari segala kepincangan yang disebabkan oleh kelemahan mentadbir pimpinan negara serta ketirisan akibat dari rasuah yang semakin membarah.

“Kehadiran Buku Jingga, sebuah dokumen yang mengandungi hasrat serta saranan Pakatan Rakyat demi menyelamatkan Malaysia dari terus parah akibat kerakusan dan ketidakcekapan pimpinan Umno-BN, memunculkan rasa takut Datuk Seri Najib.

“Beliau sedar dokumen tersebut mendobrak ilusi upaya pemulihan yang didendangkan Umno-BN kepada rakyat,” kata beliau.

Ketua Pembangkang itu berkata Najib yang juga pengerusi BN pastinya tahu rakyat tidak akan menerima bulat-bulat pengumuman demi pengumuman yang digarap semata-mata memenuhi maksud iklan.

“Ketakutan ini malah membuat beliau enggan berdebat secara terbuka berkenaan kedudukan ekonomi negara dengan saya.

“Malah, Perdana Menteri tidak segan silu menyerang saya secara peribadi sedangkan hasrat debat terbuka itu semata-mata mahu menyampaikan maklumat yang tepat kepada rakyat Malaysia,” katanya. - TheMalaysianInsider

* Kalau Pakatan Rakyat dapat dana pilihanraya berjuta-juta, lingkuplah Umno nanti...

Polis diarah siasat hubungan Anwar - pengganas

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata arahan telah dikeluarkan kepada pihak polis bagi menyiasat dakwaan yang mengaitkan ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan kumpulan pengganas antarabangsa.

Dakwanya laporan CNN telah mengaitkan Anwar tetapi Hishamuddin mengakui beliau belum membaca laporan tersebut.

"Ia tidak kena mengena dengan (Perdana Menteri Datuk Seri) Najib (Abdul Razak). Ia hanya laporan CNN yang mengaitkannya (Anwar) dengan sebuah pertubuhan pengganas.

"Saya telah mengarahkan unit anti-pengganas dan juga Cawangan Khas dan mereka sedang berhubungan dengan perisikan Saudi untuk mengetahui sejauh mana Anwar Ibrahim mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas ini.

"Ini bukan isu politik. Ini isu keselamatan...suka atau tidak, kita mesti menanganinya dengan serius,” kata Hishamuddin.

Bercakap kepada pemberita di Felda Chemplak selepas solat Jumaat, Hishammuddin juga ditanya jika Anwar akan dipanggil untuk siasatan.

"Saya tidak tahu. Awak perlu tanya kepada polis,” jawabnya.

Menurut CNN, ia telah menemui laporan mengenai siasatan rahsia Arab Saudi berhubung aduan oleh Najib kononnya ada tokoh-tokoh diraja negara itu yang membiayai Anwar.

Menurut laporan CNN, siasatan berkenaan mendapati tiada bukti seumpama itu.

Menurut CNN, sebaliknya siasatan yang dijalankan kerajaan Arab Saudi menjumpai "sesuatu yang sangat berbeza - dan lebih membimbangkan".

Mereka menemui ratusan dolar wang Saudi yang telah disalurkan kepada ahli politik Islam yang terkemuka dan aktivis politik luar negeri, kata CNN.

Antara lain, laporan itu mendakwa pergerakan politik Persaudaraan Muslim atau Muslim Brotherhood adalah instrumental membuat pembiayaan seumpama itu “ada kalanya” membekalkan dana kepada kumpulan pengganas yang digeruni, al-Qaeda. - Malaysiakini

* Gagal fitnah, Umno cari cara lain pula. Mereka (Umno) akan melakukan apa sahaja untuk terus berkuasa dan menyalahguna kuasa...

Suami Normala disiasat atas dakwaan salahguna MC

Kementerian Pelajaran akan menyiasat dakwaan bahawa Ma'arof Abd Talib - suami calon PAS dalam pilihan raya kecil DUN Tenang - telah menyalahgunakan sijil sakit (MC) untuk 'berkempen' membantu isterinya.

Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang juga menteri pelajaran, berkata, Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Johor Markom Giran diberi tanggungjawab untuk melakukan siasatan itu.

"Pengarah (Jabatan Pelajaran Negeri Johor) boleh siasat, sama ada ada asas cuti sakit itu diberi, walaupun boleh diberi adakah terdapat asas yang benar yang dia sakit.

"Kalau dia dapat cuti sakit, dia terlantar, 21 hari (jumlah cuti sakit yang diberikan kepada Makrof) terlantar, tetapi turun redah dengan calon PAS, yang juga isteri dia," katanya kepada sidang media di Sekolah Menengah Kebangsaan Kamarul Ariffin di Labis, hari ini.

Beliau juga mengesahkan siasatan akan dijalankan oleh bahagian pentadbiran Jabatan Pelajaran Johor.

Bukan sasar Ma'arof

Bagaimanapun, katanya, siasatan tersebut tidak bermaksud pihaknya mensasarkan Ma'arof kerana isterinya - Normala Sudirman - menjadi calon PAS di Tenang.

Jika Ma'arof - juga seorang guru - mahu menemani isterinya, ia adalah haknya untuk berbuat demikian, tegas Muhyiddin.

Bagaimanapun, katanya, isunya adalah mengenai dakwaan menyalahgunakan sijil sakitnya.

Timbalan Perdana Menteri berkata, siasatan terhadap Ma'arof itu bukan disebabkan kerana beliau menyokong isterinya, tetapi berkemungkinan terdapatnya elemen penyalahgunaan hak untuk mendapatkan cuti sakit.

"Pada zahirnya sudah ada petanda penyalahgunaan," kata beliau sambil menambah, Pengarah JPN Johor akan mendapatkan laporan daripada pengetua atau guru besar di mana Ma'arof bertugas.

"Dari segi pentadbiran, kita siasat sama ada dia salahgunakan peruntukan dalam Pekeliling Kerajaan, Peraturan Perkhidmatan, Perintah Am Bab B," kata beliau.

Sebelum ini, jabatan pelajaran negeri mengeluarkan notis menukarnya ke sebuah sekolah di Johor Bahru, selepas tercetus spekulasi yang isterinya bakal dipilih sebagai calon PAS dalam pilihan raya kecil DUN Tenang.

Bohong

Ma'arof bertugas sebagai guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Tenang Station.

Ditanya kemungkinan suami calon PAS itu boleh dikenakan tindakan, Muhyiddin berkata, Kementerian Pelajaran mempunyai peruntukan untuk mengambil tindakan tatatertib terhadap kakitangannya yang melanggar peraturan.

Muhyiddin meminta pengundi di DUN Tenang, supaya membuat penilaian mereka sendiri terhadap perbuatan Ma'arof memberikan perakuan yang disifatkannya sebagai bohong untuk mendapatkan cuti sakit.

"Adakah sifat sebegini sesuatu yang kita hormati atau tidak," katanya.

Pilihan raya kecil DUN Tenang akan diadakan pada Ahad ini, berikutan kematian penyandang kerusinya daripada BN, Datuk Sulaiman Taha pada 17 Dis tahun lalu akibat jangkitan kuman dalam darah dan kencing manis.

Pilihan raya kecil itu akan menyaksikan pertandingan dua penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Mohd Azahar Ibrahim dan Normala, yang juga merupakan seorang bekas guru. - Malaysiakini

* Umno menekan guru supaya menjadi seorang yang penakut. Bayangkan bangsa yang dilahirkan oleh guru ini hasil pentadbiran Umno dan kita lihat kerosakan akhlak di sana sini...