02 November 2010

Polis tahan 4 lelaki Iran, rampas dadah 2.5 kg

SHAH ALAM: Polis menahan empat lelaki Iran dan merampas 2.85 kilogram dadah disyaki syabu di lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pagi kelmarin.

Ketua Siasatan Jenayah Narkotik Selangor, ACP Nordin Kadir, berkata keempat-empat mereka ditahan sebaik tiba di KLIA dengan pesawat dari Bahrain, selepas dadah itu ditemui diisi dalam rongga-rongga kosong kerangka beg pakaian tiga daripada mereka.

"Apabila beg-beg mereka diimbas, dadah-dadah itu tidak kelihatan, tetapi polis menemui dadah itu hasil pemeriksaan secara manual kemudiannya," katanya pada satu persidangan media di sini hari ini. Beliau berkata, dadah itu ditemui di dalam beg yang dibawa oleh tiga lelaki Iran masing-masing berumur 27, 26 dan 43 tahun, dan siasatan mendapati ini merupakan kali pertama ketiga-tiga mereka menjejakkan kaki di Malaysia.

"Seorang lagi lelaki Iran yang ditahan berumur 26 tahun, biarpun tiada dadah ditemui di dalam begnya, kami menahannya kerana dia dipercayai dalam kumpulan dengan tiga lelaki berkenaan," katanya.

Beliau berkata, lelaki itu didapati memasuki Malaysia lima kali sejak September 2009.

Sementara itu, Nordin berkata polis Selangor semalam menahan seorang lelaki warga India berusia 36 tahun yang didapati cuba membawa masuk dadah dipercayai syabu seberat 2.6 kg yang disembunyikan dalam empat bingkai gambar.
Beliau berkata, lelaki yang bekerja sebagai tukang jahit yang berasal dari Chennai, India, itu ditahan pada kira-kira 1.30 tengah hari dan dia didapati sudah 12 kali memasuki Malaysia sejak Januari lalu.

Nordin berkata, nilai dadah yang dirampas selama dua hari itu menjangkau RM1.3 juta dengan berat keseluruhan 5.45 kg.

Semua suspek yang kini ditahan reman sehingga 7 November ini dan akan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan. - BERNAMA

* Ramai warga Iran ditahan kerana mengedar dadah. Tetapi belum pernah dengar mereka dihukum gantung...

No comments:

Post a Comment