22 October 2010

Umno: ‘Chua, kami tak panggil pendatang, tapi kamu datang ganggu kami’

Pengerusi Tetap Umno Datuk Badruddin Amiruldin mengingatkan Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek supaya tidak lagi mempersoalkan hak keistimewaan orang Melayu termasuk 30 peratus ekuiti Bumiputera yang digariskan dalam Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Bercakap dalam dialek Hokkien, Badruddin berkata, sebagai sebuah pasukan dalam Barisan Nasional (BN), Dr Chua tidak sepatutnya mempersoalkan hak 30 peratus ekuiti Melayu dan Bumiputera itu yang disediakan menerusi tindakan afirmatif ekonomi.

“Soi Lek, kita semua kawan. Saya nak beritahu beliau supaya 30 peratus (ekuiti) jangan ganggu.

“Kami bagi orang Cina, orang Melayu dan orang India kongsi itu 100 peratus,” kata beliau seolah-olah memberi nasihat kepada bekas menteri kesihatan itu.

Dr Chua menghadiri sesi perasmian Perhimpunan Agung Umno 2010 semalam.

Di sebalik persekitaran kontroversi berhubung kenyataan rasis sejak kebelakangan ini membabitkan pengetua-pengetua sekolah dan pemimpin politik dan sektor awam yang menggambarkan masyarakat Cina dan India sebagai pendatang, Badruddin seterusnya berkata: “U (kamu) tau tak Soi Lek, kita hormati kamu.”

“Kita tidak panggil kamu bangsa pendatang tapi kami nak beritahu kamu datang ganggu 30 peratus itu termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.”

“U (kamu) tahu tak Soi Lek?” kata beliau yang mempengerusikan Perhimpunan Agung Umno 2010 hari ini menyusuli perbahasan seorang perwakilan.

Terdahulu perwakilan Negeri Sembilan iaitu Timbalan Ketua Umno Jelebu Datuk Jalaluddin Alias (gambar) membahaskan ucapan dasar presiden.

Badruddin yang terkenal dengan perwatakan yang berupaya mencuit hati para perwakilan menambah, semua parti komponen BN perlu berperanan untuk mendapatkan semula sokongan rakyat, bukannya mencari gaduh.

“Kita ini satu pasukan, jangan gaduh-gaduh. MCA, Umno atau Gerakan, kita satu pasukan. Buat kerjalah.

“Jangan gaduh-gaduh, kita satu pasukan sokong Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak),” kata bekas wakil rakyat ini.

Dua bulan lalu, Dr Chua menjadi perhatian ekoran saranan dalam kongres ekonomi MCA agar kerajaan menyemak semula sasaran 30 peratus ekuiti Bumiputera sejajar dengan Plan Transformasi Ekonomi (ETP).

Malah beliau menambah, ia juga bagi membolehkan kek ekonomi negara terus berkembang dan mencapai sasaran pertumbuhan pendapatan tinggi sebanyak enam peratus setiap tahun.

Dalam komennya semalam, Dr Chua perpendapat soal kontrak sosial tidak harus dibincangkan secara terbuka kerana ia mempunyai sensiviti tertentu.

Jika ia tidak seharusnya dibincangkan walaupun telah termaktub dalam perlembagaan negara, soal itu mungkin menimbulkan sedikit kontroversi kerana generasi muda berpendapat, sebagai rakyat Malaysia mereka seharusnya diberi ruang untuk berbincang dan berbahas mengenainya, kata beliau.

“Tetapi pada pandangan saya, walaupun awak hendak bahas, bincang, dia seharusnya lebih dalam forum tertutup kerana mempunyai sensitiviti tertentu,” katanya.

Dalam ucapan dasarnya semalam, Najib yang juga Perdana Menteri antara lain berkata kedudukan dan hak-hak Melayu dilindungi sepenuhnya serta “terkunci kemas” dalam Perlembagaan Persekutuan tanpa dapat digugat lagi dan kenyataan ini wajar diterima oleh semua kaum negara ini.

Najib berkata asas berkenaan adalah kontrak yang dimuafakat bapa-bapa pengasas yang mewakili semua kaum ketika negara di ambang kemerdekaan.

Dr Chua berkata ucapan Najib itu jelas mengingatkan semua rakyat negara ini supaya hidup bersatu padu bagi menjamin kestabilan politik dan sosial yang dijadikan sebagai asas pembangunan negara. - TheMalaysianInsider

* “U (kamu) tau tak Soi Lek, kalau tak suka, lu (MCA) masuk pakatan dan kasi tumbanglah ini Umno.”

No comments:

Post a Comment