29 October 2010

Pemuda dihukum mati bunuh peruncit dalam kejadian rompakan

SEREMBAN: Perayaan Deepavali yang bakal disambut minggu depan tidak membawa apa-apa makna bagi seorang pemuda apabila dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Seremban hari ini selepas didapati bersalah menikam seorang peruncit di hadapan anaknya dalam kejadian rompakan dua tahun lalu.

R Thamorharan, bekas mekanik, 20, mengalirkan air mata dan menggeleng-gelengkan kepala ketika hukuman itu dibacakan oleh Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ahmad Nafsy Yasin.

Bagaimanapun rakannya, tertuduh kedua, G Chandramogan, 23, dibebaskan oleh mahkamah dari tuduhan membunuh Mohamad Jabrullah Abd Wahab, 62.

Mereka didakwa dengan niat bersama membunuh warga emas itu di Pasaraya Jayamas di Nilai dengan niat mahu merompak Mohamad Jabrullah pada 10.45 malam, 31 Julai 2008.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Dalam penghakimannya, Ahmad Nafsy berkata, tindakan Thamorharan jelas menunjukkan tertuduh mempunyai niat untuk membunuh mangsa.

"Pihak pembelaan gagal membuktikan bahawa tertuduh tidak mempunyai niat untuk membunuh dan mahkamah tidak mempunyai pilihan lain kecuali menjatuhkan hukuman mati," katanya.

Bagaimanapun katanya, mahkamah membebaskan tertuduh kedua selepas meragui sama ada dia mempunyai pengetahuan bahawa tertuduh pertama ada membawa pisau dan menggunakan pisau tersebut untuk menikam simati kerana perancangan awal mereka hanya untuk merompak sahaja. Tambahan pula katanya, ketika tertuduh pertama menikam simati, tertuduh kedua tidak mengetahuinya dan tidak melihat kejadian itu.

Dalam kejadian itu, mangsa dan anak lelakinya berusia 21 tahun hendak menutup kedai apabila mereka disamun oleh kedua-dua tertuduh.

Mangsa ditikam oleh tertuduh pertama menggunakan sebilah pisau ala "rambo", manakala tertuduh kedua pula, memukul anak mangsa dengan topi keledar sebelum mereka melarikan diri bersama wang kutipan jualan pasar raya itu.

Thamorharan diwakili peguam S Puspa Nathan, manakala Chandramogan diwakili peguam Ramzani Idris dan pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwaraya Wan Shaharuddin Wan Ladin.- Bernama

* Ada tajuk berita sebelum ini, "Tiada sesalan diwajah pembunuh"...

No comments:

Post a Comment