28 October 2010

Lelaki warga Indonesia ditahan ISA terlibat militan

KUALA LUMPUR 27 Okt. - Seorang lelaki warga Indonesia ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 kerana disyaki terlibat dalam kegiatan militan yang boleh memudaratkan keselamatan negara.

Suspek, Taufiq Marzuki @ Sulaiman Tarmizi, 29, ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Shah Alam, Selangor, antara pukul 2.30 dan 4 petang pada 29 September lalu.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Hussin Ismail berkata, Taufiq ditahan mengikut Seksyen 73 (1) di bawah akta itu kerana dipercayai menganggotai sebuah pertubuhan militan.

Katanya, pertubuhan itu dikenali sebagai Kumpulan Mujahiddin Aceh (KMA) yang memperjuangkan penubuhan negara Islam Aceh secara kekerasan.

"Taufiq telah melarikan diri dan bersembunyi di negara ini setelah kem latihan ketenteraan di Aceh, Indonesia, diserbu polis republik itu pada 12 Mac lalu.

"Penangkapan itu dibuat bagi membolehkan siasatan rapi dijalankan kerana kehadirannya di negara ini boleh menjejaskan keselamatan negara," katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.

Tambah Hussin, siasatan dilakukan ke atas Taufiq adalah bertujuan membongkar dan membendung rangkaian militan asing dari terus menjadikan Malaysia sebagai tempat perlindungan yang selamat. - Utusan

No comments:

Post a Comment