28 October 2010

Lelaki 30an ditahan terbabit skim cepat kaya

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki berusia 30-an ditahan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) cawangan Putrajaya bagi membantu siasatan ke atas sebuah syarikat skim cepat kaya di Taman Equine Park di Seri Kembangan dekat sini, awal pagi tadi.

Pengarah Kanannya, Shahrudin Hamzah, berkata dalam serbuan ke atas premis itu pada jam 10.30 malam tadi, 30 ahli syarikat turut diperiksa dan diambil keterangan, sebelum mereka dibebaskan.

"Serbuan tersebut dibuat atas hasil maklumat dan aduan dari orang ramai. Lelaki yang ditahan itu dipercayai orang kuat skim tersebut. Kita turut menyita beberapa komputer mudah alih dan pulhan kepingan risalah mengenai skim ini yang dipercayai untuk diedarkan kepada orang ramai," katanya di lokasi kejadian awal pagi tadi selepas menamatkan operasi tersebut. Beliau berkata, skim itu dipercayai aktif sejak setahun lalu dengan menjanjikan pulangan hampir mencecah RM100,000 dalam tempoh sebulan kepada pelabur yang membuat pelaburan minimum RM3,000 seorang.

Sebelum mengajak ahli melabur, syarikat itu menarik orang ramai dengan menjual pelbagai produk, termasuk produk kosmetik dan kesihatan, dan selepas itu memujuk mereka melabur dalam skim cepat kayanya, kata Shahrudin.

Shahrudin berkata, ahli skim itu turut ke negeri lain termasuk Melaka dan Negeri Sembilan bagi menarik lebih ramai penyertaan.

Katanya, siasatan awal mendapati skim yang berasaskan sistem piramid itu beroperasi menggunakan lesen sebuah syarikat lain.
"Kita akan siasat perkara ini dan jika itu berlaku, kami tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap syarikat berlesen itu," katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan perniagaan yang menawarkan pulangan pelaburan tinggi dalam tempoh masa yang singkat.

Katanya, individu yang menjalankan perniagaan jualan langsung tanpa lesen boleh dikenakan denda sehingga RM250,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali di bawah Akta Jualan Langsung 1993. - BERNAMA

* Apa salah mereka?

No comments:

Post a Comment