28 October 2010

Dr Rosli Mohamed dilantik KSU Kementerian Pelajaran

KUALA LUMPUR 28 Okt. – Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), Kementerian Pelajaran, Datuk Dr Rosli Mohamed dilantik sebagai Ketua Setiausaha kementerian itu berkuat kuasa esok.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Sidek Hassan dalam satu kenyataan hari ini berkata, Dr Rosli akan menggantikan Tan Sri Dr Zulkurnain Awang yang dilantik sebagai Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) mulai tarikh yang sama.

Sidek berkata, beliau percaya pengalaman, pengetahuan serta kompetensi yang dimiliki Dr Rosli akan membolehkan beliau mengetuai dan menggemblengkan semua penjawat awam di Kementerian Pelajaran khususnya para pendidik dalam menyediakan keperluan sistem pendidikan yang terbaik serta memenuhi matlamat pendidikan negara.

Dr Rosli, 52 tahun, berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Pemasaran Strategik dari University of Hull; Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari University of Leeds, United Kingdom; dan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Perhutanan dari Universiti Putra Malaysia.

Beliau menyertai Perkhidmatan Awam sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada 3 Januari 1983 dan berpengalaman dalam bidang pengurusan ekonomi dan perancangan pembangunan menerusi karier perkhidmatannya di pelbagai kementerian. – Bernama

* Bukan guru, boleh ke faham masalah guru?

No comments:

Post a Comment