22 October 2010

Bakal doktor mati di Bandung

JAKARTA - Seorang pelajar perubatan dari Malaysia ditemui meninggal dunia di rumahnya di Bandung pagi semalam.

Inani Zalikha Zainal Abidin, 23, ditemui di atas lantai dalam keadaan tidak bernyawa oleh rakan serumahnya pada pukul 5 pagi.

Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia (MSD) Indonesia, Datuk Dr. Junaidy Abu Bakar berkata, Inani merupakan pelajar tahun empat Universitas Padjadjaran (Unpad) Bandung atas tajaan Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan sedang menjalani latihan amali di sebuah hospital di Bandung.

"Sehingga kini, belum dapat ditentukan sebab-sebab kematian pelajar itu," kata beliau.

Menurut beliau, keluarga Inani yang tinggal di Bukit Antarabangsa, Hulu Klang, Selangor telah dimaklumkan mengenai kejadian mengejut itu. Jenazah Inani akan dibawa balik ke Malaysia untuk dikebumikan. - Kosmo

--------------------------------------------------------------------------------

1) Inani meninggal dunia sekitar jam 5 pagi di biliknya. Sebab kematian tidak diketahui secara penuh, cuma berkaitan dengan masalah pernafasan.


2) Autopsi untuk mencari sumber kematian tidak dilakukan atas kehendak keluarga allahyarhamah.


3) Keluarga allahyarhamah telah tiba di Bandung, kira-kira jam 1530 waktu Indonesia Barat.


4) Urusan penghantaran jenazah berjalan lancar Alhamdulillah. Terima kasih kepada pihak Fakulti Kedokteran Unpad, pihak PADMA, Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta dan juga para sahabat seperjuangan yang banyak turun tangan.. Insyaallah jenazah akan dibawa pulang melalui Bandar Udara Soekarno Hatta, Jakarta, pada pagi esok, 22/10/2010.


5) Memandangkan berita kematian ini telah dimasukkan ke dalam Bernama, Berita Harian dan juga Buletin Utama TV3, saya sebagai seorang teman, tidak mengharapkan ada pihak yang akan mengeksploitasi kematiannnya untuk kepentingan peribadi, politik dan sebagainya..Hanya harapan seorang teman..

http://maxchempaka.blogspot.com

--------------------------------------------

KUALA LUMPUR: Seorang pelajar Malaysia jurusan perubatan Universiti Padjadjaran Bandung, Indonesia ditemui mati rakan serumahnya dipercayai kerana mengalami sesak nafas, pagi semalam.

Inani Zalikha Zainal Abidin, 23, pelajar tahun empat yang sedang menjalani latihan amali di Hospital Bandung ditemui di lantai rumah sewanya selepas selesai mengerjakan solat Subuh, kira-kira jam 5 pagi.
Difahamkan, pelajar berperwatakan lembut itu mengadu mengalami kesakitan di perut dan belakang badan menerusi laman sosial, Facebook miliknya, pada sebelah malam sebelum dia ditemui terbaring, pagi semalam.
Abang sulung Inani, Izzudin Zainal Abidin, 24, mendakwa beliau sempat bersembang dengan adik menerusi Facebook, pada jam 11 malam, kelmarin malah anak kedua daripada lima beradik itu tidak menunjukkan sebarang petanda akan meninggal.

“Kami bertanya khabar mengenai kesihatan masing-masing dan dia memberitahu dalam keadaan baik cuma mengalami kesakitan belakang mungkin kerana penat menyiapkan laporan tugasan selain melahirkan rasa rindu kepada keluarga.

“Saya dan ibu menerima berita kematiannya pada jam 7 pagi tadi (semalam) apabila dihubungi rakan serumahnya dan ia sememangnya mengejutkan kami berdua sebelum ibu bergegas ke Bandung bagi menguruskan urusan membawa pulang jenazah,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Bukit Antarabangsa di sini, semalam.

Izzudin berkata, bapanya bekerja di Papua New Guinea sejak dua tahun lalu sebagai Jurutera Telekomunikasi dalam perjalanan pulang ke tanah air sebaik dimaklumkan berhubung kematian anaknya itu.
Jenazah dijangka tiba hari ini dan majlis pengebumiannya akan disempurnakan di Tanah Perkuburan Kampung Pasir, Ampang di sini.

Sementara itu, Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, berkata Wisma Putra melalui kedutaannya di republik itu akan mengambil langkah sewajarnya selain meminta semua pihak tidak membuat spekulasi liar berhubung punca kematian pelajar itu.

http://mforum.cari.com.my/archiver/?tid-509126.html

No comments:

Post a Comment