
Bekas Pegawai Kewangan itu, Datuk Shkori Mohammad, 57, dituduh melakukan kesalahan itu apabila Yusri Che Noh memberikan dokumen, yang mengandungi butiran palsu, berbentuk invois bernombor 1302, bertarikh 3 Dis 2008, bertajuk “Tuntutan Membekal Bahan dan Kerja-Kerja Membina” bagi menyiapkan Rumah Puyuh di Projek Diraja, Banggol di sini, dengan keluasan 7,656 kaki persegi bernilai RM267,960.
Shkori dituduh bersubahat dalam tuntutan itu kerana ketika dokumen tuntutan diserahkan kepada beliau di pejabat Perbendaharaan Negeri, di sini, pada Disember 2008, projek Rumah Puyuh itu tidak dilaksanakan.
Shkori didakwa mengikut Seksyen 11(C), Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum mengikut seksyen sama dan dibaca bersama Seksyen 109 Kanun Keseksaan (Akta 574), yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda suapan atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Hakim Zainal L. Salleh membenarkan Shkori diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin serta pasportnya dipegang mahkamah dan menetapkan tarikh 2 dan 3 Mac untuk sebutan kes. - Bernama
No comments:
Post a Comment