28 February 2010

Jurulatih Maut Dilemaskan Paus

ORLANDO (Florida): Seekor paus pembunuh di taman marin Sea World Adventure Park, menyambar seorang jurulatih dari platform di tepi kolam semalam dengan mulutnya, melibas wanita malang itu di dalam air dan membunuhnya sambil disaksikan pengunjung-pengunjung yang ketakutan.

(Gambar : Dawn Brancheau merupakan antara jurulatih paling berpengalaman di taman tersebut.)

Ini merupakan kali ketiga haiwan itu mengakibatkan kematian manusia.

Berikutan insiden itu, para pengunjung yang cemas segera diarahkan keluar daripada kawasan kejadian dan taman marin itu ditutup.

Mangsa, Dawn Brancheau, 40, merupakan antara jurulatih paling berpengalaman di taman tersebut.

Adiknya berkata, Brancheau sudah tentu tidak mahu paus yang membunuhnya diapa-apakan kerana dia sayangkan haiwan itu sama seperti kanak-kanak.

Ketua jurulatih haiwan Sea World, Chuck Tompkins berkata, Brancheau sedang menggosok-gosok badan paus yang dinamakan Tilikum selepas satu pertunjukan tengah hari semalam apabila haiwan seberat 5,500 kilogram itu secara tiba-tiba menyambar dan menariknya ke dalam air.

Tidak jelas sama ada wanita malang itu maut akibat dilibas paus tersebut atau lemas.

Disebabkan saiz besar paus berkenaan dan kematian-kematian sebelum ini, jurulatih lain tidak dibenarkan masuk ke dalam air bersama-sama Tilikum dan hanya 12 daripada 29 jurulatih di taman itu dibenarkan melatih mamalia tersebut.

Brancheau merupakan jurulatih paling berpengalaman dengan Tilikum yang berusia 30 tahun berbanding jurulatih lain.

"Kami sedar yang Tilikum ada menunjukkan perubahan," kata Tompkins.

Dia bagaimanapun berkata, belum ada sebarang keputusan dibuat tentang apa yang akan dilakukan kepada Tilikum seperti kemungkinan untuk memindahkannya ke fasiliti lain. - AP

Tiada pilihan raya mengejut di Perak

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah hari ini menafikan desas-desus bahawa satu pilihan raya negeri mengejut akan diadakan di Perak menjelang September ini.
Beliau berkata, parti komponen BN di Perak juga tidak menerima sebarang arahan untuk mengemukakan senarai calon parti masing-masing sebagai persediaan menghadapi pilihan raya mengejut itu.

Ahmad Husni berkata, selaku Bendahari BN dan UMNO serta memegang jawatan Timbalan Pengerusi UMNO Perak, beliau pastinya telah mempunyai maklumat jika benar satu pilihan raya mengejut akan diadakan di Perak.

"BN Pusat bermesyuarat kira-kira dua minggu lepas, UMNO Pusat bermesyuarat pada minggu lepas dan BN Perak juga telah bermesyuarat baru-baru ini, tidak ada dibincangkan langsung mengenai soal pilihan raya mengejut.

"Sebaliknya mesyuarat berkenaan hanya mengingatkan bahawa semua parti komponen BN perlu bersedia menghadapi pilihan raya umum akan datang bagi memastikan kerajaan BN mendapat mandat besar bagi terus mentadbir negara,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Bersama Pemimpin di Dewan Merdeka di Tapah hari ini sempena lawatan kerja beliau ke Parlimen Tapah.

Desas-desas pilihan raya mengejut di Perak timbul selepas seorang Timbalan Presiden sebuah parti komponen BN dikatakan menyerahkan senarai nama calon daripada parti itu kepada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir dalam satu perjumpaan tertutup di kediaman rasmi Menteri Besar pada petang semalam.

Sumber daripada parti komponen BN itu turut mendakwa bahawa pilihan raya mengejut berkenaan akan berlangsung pada September ini mengikut perancangan awal Zambry. - Bernama

* Tidak masuk akal di zaman demokrasi, perintah negeri tanpa dapat undi majoriti rakyat dan disokong pula oleh mahkamah yang sepatutnya menjaga hak rakyat daripada dicabuli. 1Malaysia dapat malu gara-gara UmnoBN ini.

Ibu Syafia nafi mengandung, ada anak dengan teman lelaki

KUALA LUMPUR 28 Feb. – Nurhanim Aziz, 25, ibu mangsa dera Syafia Humairah Sahari, 3, hari ini menafikan laporan akhbar bahawa beliau sedang mengandung empat bulan hasil hubungan dengan suspek yang membunuh anak perempuannya itu.

Beliau berkata, laporan akhbar itu mengaibkan dirinya dan menyebabkan beliau bertambah sedih dan tertekan.

"Saya tidak mengandung seperti yang dilaporkan... sudahlah saya kehilangan anak, ditambah pula dengan dakwaan tersebut membuatkan saya bertambah sedih,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Jalan Sungai Plong, Kuang, di Sungai Buloh, dekat sini.

Laporan akhbar hari ini juga menyebut beliau dan suspek berusia 28 tahun itu turut memiliki seorang anak lelaki berusia setahun enam bulan.

Nurhanim mendakwa anak bongsunya itu, Shakimi Iqbal Sahari, adalah anak bersama-sama suaminya, Sahari Usol, 33, yang kini ditahan reman tanpa jaminan di Penjara Sungai Buloh atas kesalahan jenayah sejak 2006.

Menceritakan kejadian itu, Nurhanim berkata beberapa hari sebelum kejadian, berlaku pergaduhan antara beliau dan suspek menyebabkan suspek tertekan kerana perlu menjaga kedua-dua anaknya semasa beliau keluar bekerja.

"Kami bergaduh mulut saja tetapi tidak sehingga dipukul dan suspek juga tidak pernah marah anak-anak saya di depan saya.

"Kali terakhir saya jumpa Syafia Humairah ialah pada Rabu lepas dan dia gembira sangat nak keluar dengan Abang Mat (panggilan mangsa kepada suspek) sebab dah lama tak jumpa dengan suspek sejak beberapa minggu lalu,” katanya.

Nurhanim berkata, beliau menerima panggilan daripada suspek kira-kira 8.30 malam pada hari kejadian yang memberitahunya, Syafia Humairah telah meninggal dunia akibat jatuh motosikal.

"Masa dia hubungi saya, dia menangis-nangis beritahu kejadian yang menimpa anak saya dan saya amat terkejut,” katanya.

Beliau tidak menyangka suspek yang berperwatakan baik dan sering bergurau dengan anak-anaknya merupakan seorang yang kejam dan beliau tidak akan memaafkan perbuatan suspek.

Pasangan itu telah menjalinkan hubungan sejak empat tahun lalu dan bercadang untuk berkahwin tahun ini selepas proses tuntutan fasakh Nurhanim selesai. – Bernama

Kes Syafia: Polis percaya lebih daripada seorang terlibat

KUALA LUMPUR 28 Feb. – Polis percaya terdapat lebih daripada seorang individu yang terlibat dalam kes penderaan hingga mengakibatkan kematian seorang kanak-kanak perempuan, Syafia Humairah Sahari, 3, dalam kejadian di Kampung Batu 30, Ulu Yam Lama, Batang Kali, dekat sini, Khamis lepas.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, DSP Bakhtiar Rashid berkata, siasatan awal mendapati suspek utama, yang kini ditahan reman tujuh hari, tidak melakukan pembunuhan berseorangan tetapi kemungkinan melibatkan sekurang-kurangnya lima individu lain.

"Siasatan awal mendapati terdapat dua kemungkinan iaitu individu-individu itu turut terlibat mendera Syafia atau mereka tidak melakukannya, tetapi mengetahui kanak-kanak terbabit telah didera.

"Bagaimanapun polis sedang mengesan kesemua mereka yang disyaki terlibat termasuk bapa suspek untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata, polis juga akan memanggil ibu kanak-kanak itu, Nurhanim Aziz, dalam tempoh terdekat untuk diambil keterangannya.

Diminta mengulas kebarangkalian mangsa adalah anak kepada suspek, Bakhtiar enggan mengulas lanjut dan berkata, tiada sebarang ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang dilakukan bagi mengesahkan perkara itu.

"Saya tidak boleh kata ya atau tidak kerana belum ada pihak yang meminta ujian DNA dilakukan bagi mendapatkan pengesahan berhubung perkara itu.

“Namun, hal ini akan dipertimbangkan selepas polis merujuk kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengenai laporan yang mendakwa ibu mangsa bersekedudukan dengan teman lelakinya (suspek),” katanya.

Bakhtiar turut kecewa apabila tiada saksi tampil memberikan maklumat sejurus selepas kejadian itu berlaku dan beliau meminta mereka yang mempunyai maklumat supaya berbuat demikian.

Syafia Humairah meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Kuala Kubu Baharu setelah mengalami pendarahan di otak dan pecah pada bahagian abdomen.

Jenazah mangsa telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kuang, Sungai Buloh, petang semalam. – Bernama

Puad Zarkashi: Umno perlu hukum Ku Li

BATU PAHAT, 28 Feb – Dr Mohd Puad Zarkashi, salah seorang aggota Majlis Tertinggi Umno berkata parti itu perlu mengambil tindakan terhadap Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah kerana bersekongkol dengan parti-parti pembangkang dalam isu royalti minyak Kelantan.

Mohd Puad yang juga Timbalan Menteri Pelajaran dan Ketua Umno Bahagian Batu Pahat berkata, walaupun Tengku Razaleigh merupakan bekas “orang besar” dalam Umno, tetapi ia tidak bermakna beliau perlu diberikan sebarang layanan istimewa.

“Umno perlu mengambil tindakan terhadap Tengku Razaleigh. Beliau tidak sepatutnya diberikan sebarang layanan istimewa walaupun beliau pernah menjadi orang besar di dalam Umno suatu ketika dahulu,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Mohd Puad berkata demikian sebagai mengulas tindakan Ahli Parlimen Gua Musang yang bekerjasama serta terlibat di dalam siri ceramah anjuran parti-parti pembangkang di dalam isu royalti minyak Kelantan.

Majlis Tertinggi Umno dalam mesyuaratnya minggu ini menyerahkan kepada anggotanya untuk menentukan bentuk tindakan yang boleh dikenakan terhadap Tengku Razaleigh Hamzah itu.

Menurut Mohd Puad, Tengku Razaleigh sememangnya sengaja menggunakan platform parti pembangkang di dalam isu royalti minyak Kelantan kerana mahu memaksa Umno mengambil tindakan terhadapnya dan seterusnya menjadi hero di dalam isu itu.

“Tujuan beliau (terlibat di dalam siri ceramah pembangkang) itu adalah untuk mencabar parti (Umno) mengambil tindakan terhadap dan membolehkannya menjadi hero,” katanya.

Beliau berkata pandangan Tengku Razaleigh tentang isu royalti minyak Kelantan ketika ini juga adalah tidak konsisten dan berlainan sebagaimana ketika Ahli Parlimen Gua Musang itu memegang jawatan Menteri Kewangan suatu ketikadahulu.

Mengenai tindakan Tengku Razaleigh yang mahu mengadakan siri ceramah tentang isu itu, katanya Umno tidak perlu berasa bimbang kerana Ahli Parlimen Gua Musang itu tidak mempunyai pengaruh yang besar, sebaliknya terpaksa bergantung kepada parti pembangkang. - www.themalaysianinsider.com

77 ahli PKR, Pas masuk UMNO

PERMATANG PAUH 27 Feb. - Seramai 77 ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti menyertai UMNO selepas mengisytiharkan keluar daripada kedua-dua parti berkenaan.

Borang keahlian UMNO diserahkan oleh ketua kumpulan itu, Saiful Hassan kepada Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Pulau Pinang.

Hadir sama menyaksikan majlis itu ialah Naib Pengerusi Perhubungan UMNO negeri, Datuk Zainal Abidin Osman; Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Datuk Abdul Jalil Abdul Majid dan Ketua Pemuda UMNO negeri, Norman Zahalan.

Bekas Timbalan Ketua Angkatan Muda PKR cawangan Guar Jering, Fakhrul Che Umar dalam ucapannya berkata, keputusan itu dibuat kerana tidak lagi yakin dengan kepimpinan PKR.

''Kami sudah bosan dengan pertelingkahan dan percanggahan dalam PKR," katanya pada majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Kampung Guar Jering, di sini hari ini.

Bekas Bendahari PKR cawangan Gaur Jering, Hesabudin Md. Isa pula berkata, kepincangan dalam parti pembangkang disebabkan sikap pemimpinnya yang hanya pandai berjanji.

* Ada daging segar pilih yang busuk...

(Video) UMNO Tiada Isu, Lancar Serangan Peribadi


'Dia pandai simpan rahsia'

HULU SELANGOR - Datuk kepada kanak-kanak berusia tiga tahun yang mati didera, Aziz Shahar, 50, terkilan kerana dia pernah melihat kesan kecederaan pada tubuh cucunya itu tetapi mendiamkan diri kerana tidak menyangka ia kesan dipukul.

Aziz yang tidak akan memaafkan perbuatan kejam suspek mendakwa, kaki dan perut cucunya, Syafiah Humaira Sahari ada kesan luka seperti dicucuh dengan puntung rokok kira-kira dua minggu sebelum kanak-kanak itu mati dipukul lelaki tersebut yang juga kekasih ibunya kelmarin.

"Saya pernah tanya dia (Syafiah) tetapi dia cakap luka terjatuh dalam semak,'' katanya di rumah mayat Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB) di sini semalam.

Walaupun curiga, Aziz tidak bertanya hal itu kepada ibu mangsa, Siti Nor Hanim Aziz, 25. - Kosmo

Gempa Bumi Terkuat Landa Chile, 214 Terbunuh

TALCA (Chile): Lebih 214 orang terbunuh dalam gempa bumi sekuat 8.8 pada skala Richter menggegarkan bahagian selatan Chile petang semalam (waktu Malaysia) - gegaran lebih kuat berbanding yang dialami Haiti bulan lalu.

Gempa bumi terkuat dirasai Chile ini telah mengorbankan 214 orang setakat ini (pagi waktu Malaysia), kata Menteri Dalam Negerinya Edmundo Perez.

Angka kematian dijangka terus meningkat.

Tinjauan Geologi Amerika Syarikat melaporkan, gempa bumi tersebut berlaku pada pukul 3.34 pagi waktu tempatan (2.43 petang semalam waktu Malaysia), 90 kilometer dari timur laut bandar Conception pada kedalaman 35 kilometer.

Laporan radio dan televisyen menyebut beberapa bangunan runtuh di bandar raya Curico dan terdapat kerosakan pada bangunan bersejarah di tengah ibu negara Santiago, kira-kira 320 km dari utara pusat gempa.

Lapangan terbang antarabangsa di Santiago ditutup dan sebuah jambatan lebuh raya runtuh.

Apartmen-apartmen yang baru dibina juga ranap sama sekali.

Berjuta-juta orang membanjiri jalan raya dalam kegelapan ekoran gangguan bekalan elektrik.

Presiden Michelle Bachelet mengisytiharkan perintah bencana ketika pasukan mencari dan menyelamat meneruskan usaha mengesan mangsa-mangsa yang terselamat.

Pusat Amaran Tsunami Pasifik mengeluarkan amaran bagi negara-negara di Amerika Latin dan juga kepada Jepun, Rusia, Filipina, Indonesia dan French Polynesia.

Tsunami di rantau Asia dan Asia Pasifik dijangka berlaku di antara 12 hingga 15 jam selepas gempa bumi.

Ombak besar melanda pulau Robinson Crusoe, wilayah terbesar di kepulauan Fernández dengan sekurang-kurangnya tiga orang dilaporkan terbunuh.

Penduduk dari Pulau Easter dipindahkan.

Bunyi siren amaran tsunami dikeluarkan di kawasan Hawaii sekitar pukul 6 pagi waktu tempatan (12 tengah malam waktu Malaysia).

Dalam pada itu Bernama melaporkan Wisma Putra masih cuba mewujudkan hubungan komunikasi dengan Kedutaan Malaysia di Santiago bagi mengetahui nasib rakyat Malaysia.

Timbalan Menteri Luar A.Kohilan Pillay memberitahu Bernama laporan awal media menyebut talian telephone dan bekalan elektrik terputus akibat kejadian itu .

Keadaan itu menjejaskan usaha menghubungi pegawai kedutaan bagi mendapatkan perkembangan terbaru mengenai keselamatan rakyat Malaysia serta keadaan menyeluruh di sana, katanya.

"Usaha berterusan sedang dilakukan bagi menghubungi pegawai kedutaan kita di negara itu," katanya.

Bagaimanapun, bilangan rakyat Malaysia di negara, yang penduduknya berjumlah 17 juta, belum dipastikan. -AP

Warga emas maut ditikam dalam kejadian samun

KUALA LUMPUR 28 Feb. – Seorang warga emas maut selepas ditikam dalam satu kejadian samun di Bandar Baru Sungai Buaya, Hulu Selangor dekat sini semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Supretenden Bakhtiar Rashid berkata, kejadian berlaku pada kira-kira pukul 8.10 malam semasa warga emas itu bersama isterinya baru pulang dari surau selepas menunaikan solat maghrib.

Beliau berkata, sebaik tiba di perkarangan rumah, mereka didatangi seorang lelaki dan wanita berumur dalam lingkungan 30-an bersenjatakan pisau, mengugut supaya mereka menyerahkan barang berharga.

Katanya, warga emas itu kemudiannya ditikam dalam pergelutan sebelum pasangan penyamun tersebut melarikan diri dengan menaiki kereta jenis Proton Iswara berwarna kelabu bersama barang berharga yang disamun.

"Warga emas itu kemudiannya dihantar ke sebuah klinik berhampiran oleh jiran mereka dan beliau meninggal dunia sejurus tiba di klinik berkenaan akibat kecederaan parah di perut,” katanya ketika dihubungi di sini.

Bakthiar berkata, polis masih belum dapat mengenal pasti barang berharga milik pasangan warga emas yang berumur dalam lingkungan 70-an yang disamun dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – Bernama

* Siapa kata Malaysia aman?

RTM Sasar Empat Juta Penonton Piala Dunia FIFA 2010

(Gambar : Ketua Pengarah Penyiaran Datuk Ibrahim Yahaya berkata RTM akan menyiarkan 24 perlawanan secara langsung dan 11 lagi siaran tertunda menerusi TV1 dan TV2 sepanjang kejohanan itu nanti)

RADIO Televisyen Malaysia (RTM)mensasarkan empat juta penonton akan mengikuti setiap perlawanan bola sepak Piala Dunia FIFA 2010 yang bakal disiarkan menerusi TV1 dan TV2sepanjang berlangsung kejohanan itu, yang akan bermula 11 Jun ini.

Ketua Pengarah Penyiaran Datuk Ibrahim Yahaya berkata RTM akan menyiarkan 24 perlawanan secara langsung dan 11 lagi siaran tertunda menerusi TV1 dan TV2 sepanjang kejohanan itu nanti.

"Daripada 24 perlawanan siaran langsung, 20 akan disiarkan di TV1 dan empat lagi di TV2, manakala 11 siaran tertunda pula akan disiarkan di TV1," katanya pada sidang media selepas pelancaran Jerayawara (roadshow) Sorakan 1Malaysia 1Dunia: RTM Penyiar Berlesen Piala Dunia 2010 di Stadium Nasional, Kompleks Sukan Bukit Jalil di sini, hari ini.

Beliau berkata hampir semua perlawanan dijadualkan bermula selepas pukul 11 malam (waktu tempatan) dan ia tidak akan menjejaskan siaran waktu prima di TV1 dan TV2 kecuali beberapa perlawanan peringkat awal yang bermula pada pukul 7.30 malam.

Menurutnya sempena demam Piala Dunia FIFA 2010, RTM akan menganjurkan program Jerayawara Sorakan 1Malaysia 1 Dunia ke seluruh negara di sembilan lokasi bagi menyemarakkan lagi bahang kejohanan itu.

Ibrahim berkata menerusi pendekatan itu, peminat sukan bola sepak dapat mengetahui lebih dekat peranan RTM dalam membuat liputan sepanjang berlangsung Piala Dunia FIFA 2010.

"Perlawanan Piala Dunia FIFA ini juga diharap dapat membantu usaha merapatkan hubungan semua kaum ddalam negara," katanya.

Pelbagai program disusun sepanjang pameran dan promosi Piala Dunia FIFA 2010 itu, antaranya ialah pertandingan timbang bola, kuiz FIFA, perlawanan mini futsal antara selebriti RTM dengan artis, persembahan artis popular tanah air dan persembahan indie band.

Lokasi pertama program jerayawara bermula hari ini hingga esok di perkarangan Stadium Nasional Kompleks Sukan Bukit Jalil disusuli lapan lokasi seterusnya iaitu di Jusco Seremban (13-14 Mac), Plaza Angsana, Johor Bahru (27-28 Mac), Gurney Plaza, Pulau Pinang (10-11 April), Green Town Mall, Ipoh (24-25 April) KB Mall, Kota Bahru (1-2 Mei), East Cost Mall, Kuantan (15-16 Mei), Spring Hill, Kuching (29-30 Mei) dan One Utama, Damansara (5-6 Jun).

Sebagai rekod, RTM menjadi penyiar utama Kejohanan Piala Dunia pada tahun 1974, 1978, 1986, 1990, 1994, 1998, 2002, dan 2006. - BERNAMA

Pemimpin Islam jadi 'balaci'

KUALA LUMPUR 27 Feb. - Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin menyifatkan pemimpin Islam yang bersetuju dengan cubaan pihak tertentu membatalkan sambutan Maulidur Rasul sebagai "bajingan" serta "balaci" yang rela dicucuk hidung seperti lembu.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan pihak mana yang cuba membatalkan sambutan itu dan mereka yang dimaksudkannya sebagai bajingan tersebut.

Katanya, pemimpin Islam seperti itu umpama lalang yang akan mengikut segala rentak yang dimainkan oleh pihak yang cuba membatalkan sambutan yang menjadi syiar bagi umat Islam di negara ini.

"Dan yang paling malang, ada di kalangan kita yang bersedia menjadi bajingan dan balaci mereka, menjadi seperti lembu yang dicucuk hidung.

"Bila kafir ini meniup ke kiri, maka terkinja-kinjalah kita berjoget ke kiri. Bila mereka menghembus ke kanan, maka terkial-kiallah kita berzapin ke kanan," katanya sewaktu membacakan khutbah sembahyang Jumaat, semalam.

Entri bertajuk "Khutbah Maulidur Rasul" itu turut dimasukkan dalam blognya, http://zul4kulim.blogspot.com.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan pendedahan Setiausaha Sekretariat Perhimpunan Melayu Pulau Pinang, Mohd. Nor Suhaili Jamali mengenai pembatalan perarakan sempena Maulidur Rasul oleh kerajaan Pulau Pinang.

Bagaimanapun, selepas dikritik hebat dan bimbang kehilangan sokongan orang Melayu, Ketua Menteri, Lim Guan Eng membuat keputusan untuk mengadakan perarakan tersebut mengikut program asal sebelum ia dibatalkan.

Malah, Guan Eng menafikan perarakan itu dibatalkan dan menuduh Utusan Malaysia berbohong dan membuat fitnah untuk memburuk-burukkan kerajaan negeri.

Tambah Zulkifli, penghinaan itu berlaku kerana penyakit 'wahan' (cintakan dunia dan takutkan mati) apabila pemimpin Islam terbabit terlalu sayangkan kedudukan, jawatan dan habuan.

"Kita mengenepikan semua prinsip dan matlamat perjuangan demi mengejar impian keduniaan dan kerusi empuk kekuasaan.

"Hingga kita sampai mempertuhankan politik dan demokrasi. Kita takut kedudukan, jawatan dan habuan kita itu mati dan hilang.

"Maka hari ini kita menjadi umat yang hina di mana-mana sahaja kita berada. Yang tinggal hanya sejemput janggut dan senipis serban, kita hanya muncul Islam pada nama, tetapi tong kosong di dalam," katanya.

Jelas Zulkifli, kesatuan umat Islam bukannya bersandarkan kepada nasionalisme; assabiyah puak, kumpulan atau pertubuhan tetapi kekuatannya berpunca daripada pegangan kukuh kepada al-Quran. - Utusan

* Kalau sayang kedudukan, jawatan dan habuan tidak duduk dalam Pakatan kita tapi dalam UmnoBN.

ADUN pula dapat AP

Semua ADUN kini masing-masing boleh memohon untuk mendapatkan satu permit AP untuk mengimport kereta ke negara ini.

Dengan itu, mereka kini menyertai ahli parlimen serta peniaga dan pengimport kereta, diplomat dan individu lain yang menikmati kemudahan tersebut untuk memohon AP daripada kementerian perdagangan antarabangsa dan industri (Miti).

Surat dari bahagian import dan eksport Miti itu, dikeluarkan pada bulan Februari dan dialamatkan kepada setiausaha dewan undangan negeri (DUN) Selangor, Mohd Yasin Bidin, menyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah bersetuju dengan keputusan tersebut pada 25 Oktober 2009.

Ia sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan para 'yang berhormat' kepada rakyat dan negara, kata surat tersebut.

Menurutnya lagi, kereta yang diimport itu - mesti berusia lima tahun atau kurang - tidak boleh dipindahkan hakmilik kepada pihak lain.

Bagaimanapun, belum dapat dipastikan sama ada pemberian AP kepada ADUN itu juga memerlukan mereka membayar yuran RM10,000 untuk permit yang diperolehi itu.

Pembayaran yuran tersebut diumumkan oleh Miti pada bulan Oktober ekoran aduan bahawa AP telah disalahgunakan dengan dijual pada pihak ketiga, daripada digunakan untuk memajukan usahawan kereta bumiputera. - Malaysiakini

27 February 2010

Pemandu teksi berdepan kes bunuh, bersekedudukan

KUALA LUMPUR, 27 Feb — Pemandu teksi, yang berdepan dengan tuduhan membunuh kerana dipercayai mendera sehingga mati anak perempuan teman wanitanya, juga bakal dihadapkan ke Mahkamah Syariah kerana bersekedudukan dengan ibu mangsa sehingga melahirkan seorang anak luar nikah.

Timbalan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor DSP Bakhtiar Rashid berkata polis akan merujuk lelaki berumur 28 tahun itu dan ibu mangsa, 25, ke Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) untuk tindakan lanjut setelah didapati tidak berkahwin tetapi hidup bersama sehingga mempunyai seorang anak berusia setahun enam bulan hasil perhubungan selama enam tahun.

“Ibu mangsa masih belum bercerai dengan suaminya tetapi berlagak seperti sepasang suami isteri dengan suspek,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Kanak-kanak perempuan, Syafia Humairah Sahari, tiga tahun, mati dipercayai akibat didera oleh teman lelaki ibunya di rumah mereka di Kampung Batu 30, Ulu Yam Lama, Batang Kali dekat ini kelmarin.

Bakhtiar berkata suspek itu kini ditahan reman tujuh hari sehingga 4 Mac ini di lokap Balai Polis Kuala Kubu Baru bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Katanya polis akan memohon untuk melanjutkan reman sehingga 14 hari terhadap suspek bagi menyiasat kes itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Selain itu, katanya, suspek juga positif dadah setelah ujian air kencing diambil semasa dalam tahanan.

Bakhtiar berkata polis juga akan menahan enam individu termasuk ibu mangsa dan saksi di tempat kejadian yang mempunyai kaitan dengan kes kematian kanak-kanak perempuan itu.

“Kita akan membuat tangkapan secara menyeluruh termasuk kemungkinan menahan emak (ibu mangsa) yang melakukan perbuatan sama mendera anaknya itu. Saksi akan turut diambil keterangan berikutan ada beberapa orang yang melihat kejadian berlaku tetapi tidak melaporkan kepada polis,” katanya.

Selain itu, katanya, polis akan mengambil keterangan bapa mangsa yang kini ditahan reman tanpa boleh dijamin di Penjara Sungai Buloh sejak 2006.

Bakhtiar berkata hasil bedah siasat ke atas mayat Syafia Humairah di Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB) pada 10.30 pagi ini mendapati kematian kanak-kanak itu adalah akibat kecederaan serius berikutan terdapat pendarahan di otak dan pecah pada bahagian abdomen.

“Hasil bedah siasat yang dijalankan juga mendapati terdapat penderaan berterusan pada badan mangsa. Ada kesan-kesan kecederaan luaran yang baru dan lama dilakukan dipercayai dipukul oleh benda keras.

“Pada bahagian belakang tubuh badan mangsa pula terdapat lebam selain leher, pipi dan bahunya,” katanya.

Menurutnya keluarga ibu mangsa telah menuntut mayat kanak-kanak itu dari Bilik Mayat HKKB pada kira-kira 1.30 petang tadi dan jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kuang, Sungai Buloh petang ini. - www.themalaysianinsider.com

* Penagih membawa teksi?

Nik Aziz tonton filem buat julung kali?

KOTA BARU, 27 Feb — Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (gambar) akan menonton filem “Ketika Cinta Bertasbih” yang akan ditayangkan di Balai Islam Lundang esok, yang menurut pegawainya ini kali pertama beliau berbuat demikian di khalayak ramai dalam hidupnya.

Setiausaha Politik kepada Nik Aziz, Wan Nik Wan Yusuf mengesahkan perkara itu ketika dihubungi The Malaysian Insider hari ini.

“Setakat ini disahkan tok guru akan hadir,” katanya.

“Jika Tok Guru Nik Aziz hadir menonton filem itu, maknanya ini adalah kali pertama beliau menonton filem dalam hidupnya.

“Sebelum ini beliau memang tak pernah menonton wayang.

“Tok Guru rasa minat nak tengok filem itu kerana mesejnya yang berunsur kerohanian dan keagamaan,” kata beliau.

Tayangan filem tersebut diadakan sempena Hari Hiburan Islam selaras dengan usaha kerajaan negeri yang tidak pernah menyekat persembahan hiburan, yang sebahagiannya menjadi aspirasi rakyat Kelantan khususnya di kalangan remaja.

Sementara itu Timbalan Ketua Pemuda PAS negeri Ahmad Baihaqi Atiqullah yang juga selaku pengarah program berkata tayangan filem berkenaan dijangka bermula pukul 9 malam.

Pensyarah Jabatan Pengajian Media Universiti Malaya, Prof Madya Dr Abu Hassan Hasbullah dijemput mengupas filem tersebut.

“Saya menjemput orang ramai hadir bersama-sama menonton filem bercorak kerohanian itu selain untuk berhibur, ia juga dapat menambah ilmu pengetahuan,” katanya.

“Ketika Cinta Bertasbih” sebuah filem yang diadaptasikan daripada novel karya penulis Indonesia, Habiburrahman El-Syirazi dan merupakan filem “box-office” di Indonesia tahun lalu.

Pada 14 Feb lalu, lebih 1,000 penonton menyaksikan tayangan filem “Ketika Cinta Bertasbih” bahagian pertama yang diadakan di Kelantan Trade Centre (KTC).

Sempena program tersebut Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan telah meraikan kunjungan selebriti TV3, Wardina Safiyyah dan Habiburrahman yang juga selaku pengarah filem tersebut.

Nik Aziz menghargai kehadiran mereka ke negeri ini sebagai ikon kepada persembahan hiburan Islam. - Utusan

Tsunami ancam kepulauan Hawaii

WASHINGTON 27 Feb. - Tsunami yang berlaku hari ini dijangka akan menyebabkan berlaku kemusnahan di sepanjang pantai di semua pulau di kepulauan Hawaii, kata Pusat Amaran Tsunami Pasifik.

"Tindakan segera perlu dilakukan untuk melindungi penduduk dan harta benda," kata pusat itu dalam satu buletin. "Semua pantai berhadapan risiko ini tanpa mengira arah mana mereka berdepan."

Sebelum agensi itu mengeluarkan amaran berlaku tsunami di lautan luas Pasifik termasuk Hawaii dan merebak merentasi lautan dari Amerika Selatan hingga ke lingkaran Pasifik.

Dijangkakan tsunami pertama akan membadai Hawaii pada pukul 11.19 pagi ini waktu tempatan (4.19 pagi Ahad waktu Malaysia). - Reuters

Pakatan: Satu lawan satu di Sarawak

Pakatan Rakyat telah bersetuju agar semua pertandingan dalam pilihanraya negeri Sarawak yang akan datang adalah pertembungan satu lawan satu antara Pakatan dengan BN.

Setiausaha agung PKR, Saifuddin Nasution berkata, Pakatan telah mula membuat persiapan untuk menghadapi pilihanraya negeri itu yang dijangka diadakan beberapa bulan akan datang, kemungkinan antara bulan Jun dan Julai ini.

Pilihan raya negeri Sarawak - yang terakhir berlangsung pada 2006 - mesti diadakan dalam tempoh 16 bulan ini. Sarawak merupakan satu-satunya negeri di Malaysia yang tidak mengadakan pilihanraya negeri serentak dengan pilihanraya Parlimen.

Saifuddin berkata, strategi satu lawan satu itu - yang telah menghasilkan kemenangan besar kepada pembangkang dalam pilihanraya umum 2008 - akan digunakan dalam pilihan raya negeri Sarawak kali ini.

"PKR, DAP dan PAS pada prinsipnya telah bersetuju dengan pertandingan satu lawan satu dengan BN. Kita pastinya berharap ia akan memberi impak yang besar kali ini," katanya kepada Malaysiakini.

Tsunami politik pada 2008 menyaksikan lima negeri di Semenanjung jatuh ke tangan pembangkang serta menafikan BN penguasaan majoriti dua pertiga di Parlimen.

Sarawak mempunyai 71 kerusi negeri, dengan 62 daripadanya dikuasai oleh BN. Manakala DAp, Parti Cinta Malaysia yang baru ditubuhkan dan Bebas, menang sembilan kerusi.

Pilihan raya umum 2008 telah menyaksikan berlakunya beberapa pertandingan tiga penjuru yang membabitkan parti-parti Pakatan di Sabah dan Sarawak.

Saifuddin yang juga ahli parlimen Machang berkata, perkara itu telah dibincangkan oleh majlis presiden Pakatan pada hari Isnin.

Majlis itu, kata beliau, seterusnya akan menumpukan kepada perbincangan mengenai pilihan raya negeri Sarawak, khususnya mengenai strategi pertandingan satu lawan satu, serta memanfaatkan jentera pilihan raya bersama. - Malaysiakini

* Sebab ini, Najib umumkan ekonomi Malaysia sudah pulih daripada kemelesetan. Anehnya akan kata Malaysia masih belum pulih jika kakitangan awam meminta sedikit bonus untuk mengurangkan beban kesan daripada kenaikan harga barang.

Didera sampai mati

Syafia Humairah Sahari, 3, ditampar, disepak teman lelaki ibu

KUALA LUMPUR: Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun mati dengan kesan luka pada muka dan perut, dipercayai didera oleh teman lelaki ibunya di kediaman mereka, di Kampung Batu 30, Ulu Yam Lama, dekat Batang Kali, malam kelmarin.

Syafia Humairah Sahari dipercayai ditampar dan disepak di perutnya beberapa kali sehingga mengalami kecederaan parah pada tubuh selain luka muka, dagu, telinga serta lebam kaki dan tangan.

Mangsa dipercayai meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Kuala Kubu Bahru (HKKB) ketika dibawa oleh teman lelaki ibunya dan ditinggalkan di wad kecemasan selepas mendakwa kanak-kanak itu mati akibat kemalangan jalan raya.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Affandi Yahya, berkata lelaki berusia 28 tahun bersama rakannya melarikan diri sejurus jururawat bertanya maklumat terperinci mengenai kanak-kanak berkenaan.

(Gambar : IBU mangsa, Siti Nurhanim Aziz dan datuknya, Aziz Sahar menunggu jenazah kanak-kanak itu di Hospital Kuala Kubu Bahru, semalam.)

"Ketika dihampiri jururawat, dia mendakwa perlu bergegas ke balai polis untuk membuat laporan kemalangan itu.

"Kira-kira jam 11 malam, polis dimaklumkan oleh pihak hospital dan meminta menyiasat secara terperinci kerana mengesyaki berlaku penderaan selepas melihat kanak-kanak berkenaan mempunyai banyak kesan luka dan lebam.

"Polis menjalankan siasatan berhubung kemalangan seperti yang dimaklumkan, namun tiada sebarang laporan mengenai kemalangan membabitkan kanak-kanak berusia tiga tahun," katanya semalam.

Norel Azmi berkata, pemeriksaan awal hospital mendapati ada tanda-tanda kecederaan dipercayai dipukul menggunakan objek tajam.

"Berdasarkan kecederaan, penderaan dipercayai baru dilakukan dan mangsa mengalami pendarahan dalaman sehingga menyebabkan kematian.

"Kira-kira jam 3 pagi, polis menahan teman lelaki ibu mangsa yang bekerja sebagai pemandu teksi untuk siasatan. Hasil soal siasat, suspek mengaku mencederakan kanak-kanak itu dengan menampar dan menyepak mangsa," katanya.

Beliau berkata, polis turut menahan untuk soal siasat ibu mangsa, seorang ibu tunggal berusia 20-an selepas suspek mendakwa ia dilakukan bersama teman wanitanya.

Sementara itu, Bernama melaporkan, bapa suspek enggan mengulas mengenai kejadian itu dan akan memberi keterangannya kepada polis apabila diperlukan.

Menurut saksi yang enggan dikenali, sebelum kejadian, suspek ke padang berdekatan untuk bermain bola dengan membawa mangsa bersamanya.

Ketika sedang bermain bola, kanak-kanak itu menangis dan suspek pergi ke arahnya lalu menyerang kanak-kanak itu.

Orang ramai meleraikannya sebelum mengangkat kanak-kanak itu ke dalam teksi milik suspek dan membawanya ke hospital. - Bharian

Geng penyamun sama huru-hara Kota Damansara

PETALING JAYA: Kumpulan samun sama dipercayai terbabit dalam beberapa kes rompak di Kota Damansara di sini sejak beberapa minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed, berkata kumpulan itu yang didalangi rakyat tempatan dan warga asing menggunakan taktik yang hampir sama ketika menyamun mangsa, termasuk kanak-kanak di waktu malam dan awal pagi.

Beliau berkata, bagi kawasan Seksyen 8, Kota Damansara, polis menerima empat laporan kes untuk bulan ini dan pihak polis sedang menjejaki mereka yang terbabit serta mengambil tindakan bagi mengurangkan jenayah di kawasan itu.

“Kami jangkakan mereka tinggal di kawasan berhampiran ini,” katanya selepas mengadakan sesi dialog dengan penduduk Seksyen 8, Kota Damansara, semalam.

Kes samun bersenjata yang terbaru berlaku di kawasan berkenaan adalah pada Rabu lalu yang mana seorang penulis, Ghozali Abd Rashid kerugian RM40,000 apabila tiga lelaki melarikan kunci kereta, barangan kemas, wang tunai dan dua komputer riba miliknya dan keluarganya selepas memasuki rumahnya ketika dia dan rakannya berbual di laman rumah.

Pada majlis dialog itu, Arjunaidi menasihatkan penduduk untuk segera menghubungi polis jika terlihat mana-mana individu yang mencurigakan.

Katanya, kerjasama masyarakat setempat penting bagi membantu pihak polis mengurangkan jenayah di kawasan mereka. - Bernama

* Cuba cari jalan macamana 'setan' itu tidak menambah beban negara sehingga terpaksa membina lebih banyak penjara.

Lori tak sedar seret mayat

BUKIT BERUNTUNG: Hajat seorang anggota tentera, Isnin Sharif, 22, untuk pulang bercuti sempena Maulidur Rasul bersama keluarga di Muar, Johor tidak kesampaian apabila dia maut dalam kemalangan di Kilometer 433, Lebuhraya Utara-Selatan arah Selatan di sini, semalam.

Kejadian jam 1 pagi itu berlaku apabila mangsa melanggar belakang sebuah lori sebelum motosikalnya terbabas lalu terbalik. Ketua Polis Trafik dan Ketenteraman Awam Selangor, Superintendan Che Hussin Omar, berkata berikutan itu mangsa diseret beberapa meter apabila pemandu lori berkenaan meneruskan perjalanan tanpa menyedari kejadian itu. Katanya, sebuah lori di belakang kenderaan itu terpaksa mengejarnya kira-kira 500 meter bagi memaklumkan kejadian itu kepada pemandu berkenaan.

“Mangsa dipercayai bekerja sebagai anggota tentera di sebuah kem di Taiping, Perak meninggal di tempat kejadian. Dia menunggang motosikal bersendirian untuk pulang ke kampungnya. “Pasukan penyelamat Projek Lebuhraya Utara-Selatan yang dimaklumkan mengenai kejadian itu tiba di lokasi kejadian beberapa minit selepas kejadian bagi membantu mengawal kesesakan lalu lintas. Mereka menutup satu laluan di situ,” katanya. Husin berkata, mangsa dipercayai menunggang terlalu laju menyebabkan berlaku rempuhan kuat sebelum terjatuh atas jalan. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk dibedah siasat. - Mymetro

Awang Adek Ikrar Salur Wang Ihsan Secara Telus

KOTA BAHARU: Timbalan Menteri Kewangan, Senator Datuk Dr Awang Adek Hussein berikrar untuk melaksanakan amanah sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengagihan Wang Ihsan sebaik mungkin dan memastikan pengagihan secara telus.

Awang Adek yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri berkata beliau juga akan memastikan wang berjumlah RM20 juta itu disalur kepada golongan yang berhak menerimanya.

"Saya menyambut baik pelantikan itu dan akan cuba menyelesaikan segera pengagihan wang ihsan dengan setelusnya supaya tiada lagi isu yang berbangkit.

"Kita akan mengumpul dan memanggil semua anggota jawatankuasa dalam masa terdekat ini untuk mengagihkan dan menjalankan tugas masing-masing. Kita mahu rakyat mendapat hak mereka yang sepatutnya dan mereka tidak akan bising lagi selepas ini," katanya ketika dihubungi, di sini kelmarin.

Beliau diminta mengulas pengumuman Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed semalam yang menyatakan Awang Adek dilantik menguruskan agihan wang ihsan itu di atas kapasitinya sebagai Timbalan Menteri Kewangan.

Sementara itu, mengulas mengenai Exco kanan kerajaan negeri Datuk Husam Musa yang mempertikaikan tindakan pemimpin Umno Kelantan memberi penerangan berhubung isu royalti minyak, Awang Adek berkata maklumat yang disebarkan kepada rakyat Kelantan adalah mengikut penjelasan Petronas.

"Bukan Umno yang membuat keputusan terhadap wang ihsan di Kelantan, sebaliknya semuanya ditentukan oleh Kerajaan Pusat. Mereka (Kerajaan Negeri) perlu ingat, Datuk (Seri) Mustapa bercakap atas kapasiti Menteri dan saya Timbalan Menteri. Bukan Umno yang cakap.

"Jadi, tak ada sebab saya dan beliau (Mustapa) tidak boleh bercakap mengenai wang royalti memandangkan kami memegang jawatan dalam Kerajaan Pusat," katanya.

Kerajaan Kelantan yang diteraju PAS bertegas mahukan Kerajaan Pusat membayar royalti minyak dan bukan wang ihsan walaupun mengikut peraturan, negeri tersebut tidak layak menerima royalti kerana dua telaga minyak yang didakwa milik Kelantan terletak lebih tiga batu nautika dari pesisiran pantai negeri itu.

Dua telaga minyak berkenaan terletak 150 batu nautika dari perairan Kelantan dan Kerajaan pusat bersetuju memberi RM20 juta wang ihsan kepada penduduk Kelantan, yang merupakan bayaran pertama sebanyak lima peratus daripada hasil dua telaga minyak pada 2008.

Perkara itu adalah seperti yang termaktub dalam perjanjian Akta Petroleum 1974, iaitu bayaran lima peratus daripada hasil keuntungan minyak dan gas kepada kerajaan negeri. - BERNAMA

* Jika mengikut perjanjian Akta Petroleum 1974, bayaran kepada kerajaan negeri. Patutlah pelabur takut melabur di Malaysia. Kerajaan UmnoBN jika berjanji dia suka mungkir...

Isu royalti: Kelantan siar iklan penjelasan balas

KUALA LUMPUR, 27 Feb — Kerajaan negeri Kelantan pula menyiarkan iklan penjelasan balas satu halaman lapan perkara berhubung pertikaian royalti minyak menjawab penerangan dibuat oleh kerajaan pusat di akhbar-akhbar Bahasa Malaysia Ahad lalu.

Iklan itu disiarkan dalam akhbar PAS Harakah dalam edisi terbarunya yang berada di pasaran sejak semalam.

Sebagaimana iklan penjelasan kerajaan pusat, penerangan kerajaan negeri Kelantan juga menjawab dengan menyentuh lapan perkara.

Iklan penjelasan kerajaan negeri Kelantan ini memulakan penerangannya dengan berkata “asas tuntutan bayaran tunai bagi pengeluaran petroleum di luar pantai Kelantan”.

Ia menambah, “Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA), yang mula berkuat kuasa pada 1 Okt 1974, membawa kepada tertubuhnya Petronas dan diserah hak petroleum yang didapati dan diperoleh di daratan atau luar pantai Malaysia kepada Petronas.

“Di bawah Akta Pembangunan Petroleum 1974, setiap daripada 13 negeri di Malaysia telah menandatangani perjanjian yang sama dan Geran Penyerah Hakkan pada tarikh yang berbeza dalam tahun 1975/1976 dengan Petronas bagi menyerah hak pemilikan masing-masing terhadap petroleum kepada Petronas dengan pertimbangan Petronas membayar kepada setiap negeri di mana petroleum dihasilkan samada di daratan dan lautan dengan bayaran tunai dalam bentuk jumlah tahunan setara dengan lima peratus daripada nilai petroleum yang dihasilkan di mana-mana negeri yang berkenaan.

“Kami tidak bersetuju dengan jawapan yang diberikan dalam iklan dibuat atas nama kerajaan persekutuan baru-baru ini,” katanya.

Oleh itu kata iklan penjelasan itu, kerajaan negeri Kelantan memutuskan untuk menjawab lapan soalan iaitu “Menurut Akta Pembangunan Petroleum1974, apakah istilah yang digunakan untuk pembayaran yang dibuat untuk pengeluaran minyak dan gas?”, “Mengikut Perjanjian di antara Petronas dan kerajaan negeri dalam tahun 1975/1976, apakah syarat untuk mendapatkan hak lima peratus bayaran tunai kepada kerajaan negeri?”, “Apakah kedudukan di Sabah dan Sarawak mengenai isu pembayaran royalti?” dan “Apa yang dimaksudkan dengan bayaran “Wang Ehsan”?”.

Empat persoalan lain ialah “Adakah Kerajaan Negeri Kelantan atau kerajaan negeri lain di Semenanjung Malaysia mempunyai hak untuk menuntut bayaran tunai tersebut daripada Petronas?”, “Mengapa Wang Ehsan yang ditawarkan oleh kerajaan persekutuan untuk Kelantan hanya dalam jumlah RM20 juta?”, “Apa kedudukan kenyataan yang dibuat oleh bekas Pengerusi Petronas, YB Tengku Razaleigh Hamzah bahawa royalti yang harus dibayar untuk Kelantan berdasarkan pengeluaran petroleum diperolehi daripada di luar perairan negeri serta mempersoalkan pemberian Wang Ehsan?” dan “Adakah Ketua Pembangkang mengetahui mengenai kedudukan hak-hak kerajaan negeri dalam masalah ini?”

Iklan penjelasan kerajaan pusat pada 21 Feb lalu juga menggariskan lapan persoalan, yang menurut Tengku Razaleigh sebelum ini sebenarnya ia menimbulkan implikasi baru dan mengelirukan.

Penjelasan kerajaan negeri Kelantan ini telah diumumkan oleh Exconya Datuk Husam Musa selaku pengerusi jawatankuasa khas pertikaian bayaran royalti dibentuk oleh Kota Baru, 23 Feb lalu. - www.themalaysianinsider.com
* Nak ajak berdebat, UmnoBN takut...

Kementerian Pelajaran komited tingkat martabat bola sepak negara

SHAH ALAM 27 Feb. - Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Kementerian Pelajaran komited dan akan meneruskan usaha bagi meningkatkan mutu bola sepak negara menerusi penganjuran liga bola sepak.

Timbalan Perdana Menteri berkata, bagi memperkukuhkan program sukan bola sepak di sekolah, liga bola sepak Kementerian Pelajaran dianjurkan sejak 2008 lagi.

"Sekolah sudah tentu mempunyai peranan dalam usaha membentuk pasukan bola sepak negara yang pada masa dahulu digeruni di peringkat Asia serta layak bertanding dalam dua Sukan Olimpik iaitu pada 1972 di Munich dan di Sukan Olimpik 1980 di Moscow, Rusia,” kata Muhyiddin semasa berucap pada majlis pelancaran dan Sepak Mula Liga Bola Sepak KPM 2010 di Sekolah Kebangsaan Seksyen 9 di sini hari ini.

Malaysia juga pernah memenangi pingat gangsa di Sukan Asia 1962 di Jakarta dan 1974 di Tehran, katanya.

Selaras dengan itu, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, kementerian telah melaksanakan program sukan berprestasi tinggi di sekolah-sekolah, di mana bola sepak merupakan salah satu daripada tujuh sukan yang dimajukan mulai tahun 2008. - Bernama

* Mana pembantu guru, Muhyiddin?

Isu royalti: Anggota MT persoal mengapa Ku Li ‘bebas’

KUALA LUMPUR, 27 Feb — Jika Umno pernah mengambil tindakan tegas ke atas ahli-ahlinya yang membelakangkan semangat parti masa-masa lalu, mengapa tidak ke atas ahli seumur hidup Tengku Razaleigh Hamzah (gambar), yang memperlihatkan pendirian yang bercanggah dengan kerajaan pusat pimpinan Umno-BN, khususnya dalam isu tuntutan royalti minyak Kelantan.

The Malaysian Insider difahamkan itu sebahagian pendirian anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno yang menghadiri mesyuarat lebih tiga jam malam Khamis.

Malah, difahamkan ini juga kali pertama MT kembali kepada ahli-ahlinya memberikan pandangan atas kapasiti Tengku Razaleigh bukannya ahli biasa tetapi dilihat sebagai seorang pemimpin veteran parti.

“Ada syor agar tindakan dikenakan ke atas Tengku Razaleigh... tetapi bukan saranan agar diambil tindakan yang tegas,” kata seorang anggota MT yang enggan namanya disiarkan.

“Ada pandangan mengapa parti tidak mengenakan tindakan ke atas Tengku Razaleigh sedangkan parti pernah bertindak tegas ke atas ahli-ahli parti yang bertindak bertentangan dengan dasar parti,” kata seorang lagi anggota MT yang enggan namanya didedahkan kepada The Malaysian Insider.

Bagaimanapun isu berkaitan dengan Ahli Parlimen Gua Musang itu bukan agenda utama mesyuarat malam tadi.

“Ia ada disentuh tetapi bukan isu utama perbincangan,” katanya lagi.

“Ada juga ahli yang berpendapat isu ini perlu ditangani dengan cermat,” kata sumber itu dengan mengambil kira situasi semasa dan juga kedudukan Tengku Razaleigh yang merupakan bukan ahli biasa dalam Umno.

Malam tadi, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata bentuk tindakan terhadap Tengku Razaleigh akan ditentukan selepas menerima pandangan daripada ahli-ahli parti.

“(Kami) nak dengar pendapat ahli-ahli dulu,” kata Najib yang juga Presiden Umno.

Beberapa jam sebelum mesyuarat MT semalam, Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin mengulangi pendiriannya bahawa beliau hairan dengan tindakan dan kenyataan Tengku Razaleigh yang masih tidak sehaluan dengan keputusan kerajaan persekutuan mengenai isu royalty minyak Kelantan sedangkan pelbagai langkah penjelasan sudah diberikan.

Muhyiddin pernah menyatakan bahawa Tengku Razaleigh perlu menyatakan pendiriannya dalam isu tersebut.

Selain Muhyiddin, segelintir ahli dan pemimpin khususnya dari Kelantan pernah menggesa agar Tengku Razaleigh melepaskan kerusi Parlimen Gua Musang selain dikenakan tindakan disiplin.

The Malaysian Insider difahamkan jawatankuasa pengurusan Umno belum membincangkan isu tersebut secara menyeluruh.

Dalam pada itu, Setiausaha Kerja Umno Datuk Abdul Rauf Yusoh ketika dihubugi The Malaysian Insider menjelaskan pihaknya tidak menetapkan sebarang tempoh bagi ahli-ahli Umno untuk memberikan pandangan mengenai isu Tengku Razaleigh.

“Mana-mana ahli ataupun cawangan boleh memberikan pandangan mereka... kami tidak menetapkan sebarang tempoh (untuk mengemukakan pandangan mereka).

“Cawangan boleh hantar kepada bahagian, bahagian boleh hantar ke Badan Perhubungan Negeri dan seterusnya kepada ibu pejabat,” kata beliau sambil menambah, belum ada petanda jelas tentang pandangan akar umbi berhubung pendirian Tengku Razaleigh.

Sehubungan itu kata Rauf, pandangan mereka akan dipertimbangkan oleh pucuk kepimpinan kemudian.

Ketika ditanya sama ada pandangan itu diharapkan hasil mesyuarat agung tahunan cawangan, Rauf berkata: “Tidak. Ahli dan cawangan boleh memberikan pandangan bila-bila masa.”

Cawangan-cawangan Umno akan mengadakan mesyuarat tahunan masing-masing mulai 1 Mei hingga 15 Jun ini.

Tengku Razaleigh, yang menjadi tumpuan dalam isu ini sejak Pakatan Rakyat menawarkan beliau agar mengetuai kokus pertikaian royalty minyak sejak November lalu, telah pun menyatakan pendiriannya bahawa terserah kepada Umno untuk membuat keputusan tindakan disiplin termasuk kemungkinan memecatnya. - Malaysianinsider

* UmnoBN sudah tidak berdaya menahan sebarang keretakan dalam parti. Jika ini berlaku UmnoBN akan hancur lebih cepat dari yang dijangka oleh rakyat Malaysia.

Harta RM4.7 bilion milik Thaksin dirampas

BANGKOK, 26 Feb — Mahkamah Agung Thailand malam ini membuat keputusan untuk merampas 46.3 bilion baht (RM4.7 bilion) daripada sejumlah 76.6 bilion baht (RM7.8 bilion) aset yang dibekukan milik perdana menteri yang disingkirkan Thaksin Shinawatra dan keluarganya.

Jumlah harta yang dirampas itu bersamaan dengan 60 peratus nilai kekayaan dimiliki mereka termasuk kadar faedah yang ditimbangkan.

Panel sembilan hakim memutuskan untuk merampas harta keluarga Thaksin dan saudara-maranya, yang diperoleh hasil jualan Ship Corp kepada Temasek Holdings, syarikat pelaburan milik Singapura pada 2006.

Para pemerhati melihat keputusan itu dijangka membangkitkan balik kemarahan para penyokong Thaksin, yang kini berada dalam buangan kendiri, dan mencetuskan semula kebangkitan gelombang politik baru di Thailand.

Menurut para hakim, mereka menentukan kadar harta dirampas itu yang bersamaan dengan perbezaan dalam nilai saham-saham Shin Corp daripada tarikh sebelum Thaksin menjadi perdana menteri dan nilai apabila ia dijual kepada Temasek Holdings empat tahun lalu.

“Jumlah wang yang dirampas ini dianggap sebagai kekayaan tambahan diperoleh beliau ekoran penyalahgunaan kuasa,” kata hakim-hakim berkenaan dalam kenyataan dikeluarkan.

Mahkamah mendapati Thaksin telah memanfaatkan syarikat-syarikat dikawal Shin Corp dengan mengubah pembayaran royalti Advanced Info kepada operator telekomunikasi milik kerajaan dan meluluskan pinjaman kerajaan kepada Myanmar, sebahagiannya digunakan untuk membeli kelengkapan daripada Thaicom.

Mahkamah juga mendapati Thaksin merupakan pemilik sebenar Shin Corp meskipun ketika memegang jawatan perdana menteri, yang sekali gus melanggar undang-undang.

Thaksin digulingkan pada September 2006 ketika berada di New York.

Thaksin juga didapati bersalah menyalahgunakan kuasa sebagai ketua kerajaan dalam memberikan keistimewaan kepada unit-unit Shin Corp.

Thaksin mempunyai 30 hari untuk membuat rayuan berhubung keputusan hari ini jika beliau menemui bukti baru kesnya.

“Beliau akan menggunakan kesemua ospyen dengan terbuka,” kata Noppadon Pattama, bekas menteri luar dan salah seorang anggota pasukan peguam Thaksin sebelum penghakiman diumumkan.

“Ia satu kompromi penyelesaian, kemungkinan penyelesaian terbaik kepada semua,” kata ketua pegawai eksekutif Asia Plus Securities Pcl di Bangkok, Kongkiat Opaswongkarn dipetik Bloomberg.

“Perpecahan dalam masyarakat tidak boleh diselesaikan dalam sehari tetapi sekurang-kurangnya rakyat boleh bernafas untuk buat sementara waktu,” katanya. - Malaysianinsider

* Dalam mengumpul kekayaan diri dan keluarga tanpa mempeduli nasib rakyat bawahan, pemimpin UmnoBN perlu ingat yang langit tidak selalu cerah...

Bekas PM Kanada desak gugur kes Anwar

SHAH ALAM - Selepas dua kontroversi campur tangan asing terhadap kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim, bekas Perdana Menteri Kanada, Paul Martin semalam menjadi pemimpin asing terbaru mendesak kerajaan Malaysia menggugurkan kes liwat tersebut.

Menurutnya, jika Malaysia mahu mengambil tempat sebagai antara negara progresif di dunia, adalah sangat penting tuduhan yang didakwanya bermotifkan politik itu digugurkan.

“Sebagai sebuah negara demokratik yang menghormati hak asasi manusia dan undang-undang antarabangsa, Anwar juga harus diberikan kebebasan untuk melaksanakan visinya,” katanya di dalam :The Globe and Mail:, sebuah portal berita di negara itu.

Dalam kenyataan berkenaan, beliau menegaskan Anwar adalah seorang yang amat komited terhadap demokrasi, keadilan dan undang-undang negara.

“Saya telah lama mengenalinya, semenjak beliau menjadi Menteri Kewangan Malaysia dan saya Menteri Kewangan Kanada.

“Saya melahirkan rasa kesal beliau diperlakukan sebegitu rupa kerana komitmennya kepada prinsip tersebut,” katanya.

Martin adalah bekas Perdana Menteri Kanada dari 2003 hingga 2008 selain menjadi Ahli Parlimen selama 20 tahun dan Menteri Kewangan dari 1993 hingga 2002.

Menurutnya, kehadiran ramai pemerhati dan perwakilan asing semasa perbicaraan kes liwat Anwar merupakan bukti jelas betapa prihatinnya masyarakat antarabangsa terhadap kes beliau.

“Beliau kini dilihat sebagai ancaman kepada pegangan kuasa kerajaan yang memerintah pada pilihan raya akan datang. Ini faktor utama yang mendalangi tuduhan terbaru terhadap beliau,” katanya.

Sebelum ini, 50 Ahli Parlimen Australia yang diketuai oleh Michel Danby menghantar surat bantahan kepada Pesuruhjaya Tinggi Canberra, Datuk Salman Ahmad agar Kerajaan Malaysia menggugurkan tuduhan liwat yang dikenakan terhadap Anwar.

Ia kemudian disusuli kenyata:an Pengerusi Jawatankuasa Hubungan Luar Senat Amerika Syarikat (AS), John Kerry yang menggesa kerajaan memastikan perbicaraan yang adil :dan saksama kepada Anwar.

Duta Besar Malaysia ke AS, Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jarjis berkata, kenyataan Kerry adalah peribadi. - Sinar Harian

* UmnoBN akan kata 1dunia bodoh kerana percaya kepada Anwar. Dalam dunia ini hanya UmnoBN sahaja yang paling pandai. Pandai tipu rakyat.

Agong selamat pulang dari Jerman

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin selamat pulang ke tanah air selepas menjalani rawatan susulan fisioterapi di Bad Wiessee, Jerman sejak 26 Jan lalu.

Keberangkatan pulang Seri Paduka pada 11.30 malam semalam diiringi oleh Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah serta anakanda-anakanda baginda.

Menurut kenyataan Istana Negara, keadaan Tuanku Mizan dilaporkan sihat selepas mendapat rawatan di Medical Park, St.Hubertus.

Tuanku Mizan turut menzahirkan penghargaan kepada seluruh rakyat yang telah mendoakan kesejahteraan baginda sepanjang menjalani rawatan.

Pada 30 Nov tahun lalu, Tuanku Mizan menjalani pembedahan lutut di Pusat Perubatan Klinikum Rechts Der Isar, Der Technischen Universitat Munchen, Munich. - Bernama

(Video) Inilah Pulau Burung Ciptaan MB Terengganu Berharga RM6 juta


(Video) 1Halal logo only


Akbar Denmark mohon maaf

COPENHAGEN 27 Feb. - Akhbar harian Denmark, Politiken semalam memohon maaf kepada umat Islam kerana menyinggung perasaan mereka berhubung kartun Nabi Muhammad yang disiarkannya pada 2008.

Bagaimanapun, katanya, ia tidak menyesal atas tindakannya menyiarkan gambar kartun itu.

“Kami memohon maaf kepada sesiapa yang tersinggung dengan tindakan kami mencetak semula gambar kartun itu,” ujar akhbar berkenaan dalam satu kenyataan.

Politiken adalah akhbar pertama Denmark yang bertindak memohon maaf secara formal kepada mana-mana pihak yang marah berhubung penyiaran kartun itu.

Dalam permohonan maafnya, Politiken berkata, ia menyesal jika gambar kartun itu menghina agama Islam, namun mengatakan tidak menyesal menyiarkannya.

Ketua Pengarang akhbar itu, Toeger Seindenfaden, berkata, dia gembira dengan keputusan itu.

“Kami kesal kerana menyebabkan umat Islam tersinggung walaupun ia bukan niat kami untuk berbuat demikian,” tambahnya.

Persetujuan itu dibuat ekoran permohonan dikemukakan seorang peguam Arab Saudi, Faisal Ahmed Zaki Yamani terhadap 11 akhbar Denmark.

Dia menggesa semua akhbar berkenaan memohon maaf, berjanji tidak akan menyiarkan lagi gambar sama dan membuang kartun yang menimbulkan kontroversi itu dari laman Web mereka.

Permohonan maaf dibuat Politiken itu dikutuk sekerasnya ahli-ahli Parlimen di Denmark yang menuduh akhbar itu tunduk kepada tekanan dan mengorbankan kebebasan bersuara yang dianggap asas demokrasi Denmark.

Beberapa akhbar Denmark yang lain turut mengutuk permohonan maaf itu namun mengatakan mereka tidak akan menyiarkan semula gambar kartun berkenaan.

Sementara itu, Perdana Menteri Denmark, Lars Loekke Rasmussen berkata, beliau menolak untuk mencampurinya namun pada masa sama dipetik memuji kebebasan bersuara dan menghormati keputusan pengarang. - AFP

26 February 2010

Mangsa dibunuh akibat cinta tiga segi?

MELBOURNE 25 Feb. - Nita Iskander, kekasih pemandu Konsulat Malaysia, Mohd. Shah Saemin yang mati dibunuh, membayar kira-kira A$7,000 (RM17,500) untuk menghantar jenazahnya pulang ke Malaysia, mahkamah Sydney diberitahu hari ini.

Peguam bela Nita, James Trevallion memberitahu Majistret Mahkamah Tempatan Newton, Margaret Quinn bahawa Nita telah merancang untuk menghadiri pengebumian Shah di Malaysia, lapor Australian Associated Press (AAP).

Terdahulu, seorang anggota skuad homisid memberikan keterangan bahawa wanita berasal dari Indonesia itu telah membuat pertanyaan melalui telefon mengenai cara untuk meninggalkan Australia 'sebelum dan selepas penahanan suaminya berikutan pembunuhan Shah' dan telah merahsiakan rancangannya daripada penyiasat.

Nita, 46, juga dituduh menyembunyikan fakta daripada detektif mengenai kedudukan suami dan anaknya semasa pembunuhan.

''Terdapat beberapa versi berbeza yang diberitahu mengenai di mana suami dan anaknya semasa kejadian,'' kata Konstabel Kanan Detektif, Sharon Neil kepada mahkamah.

Dalam pernyataan polis yang diserahkan kepada mahkamah, Nita mendakwa mengaku dirinya bercakap dalam telefon dengan mangsa semasa serangan itu berlaku.

Laporan AAP mengatakan Nita duduk senyap di kandang tertuduh semasa perkara itu dibicarakan, mendengar dengan teliti semasa Trevallion berhujah bahawa dia dan mangsa yang dibunuh itu sememangnya menjalin hubungan asmara.

Suami Nita yang merupakan pemandu teksi, Hazairin dan anak lelakinya, didakwa membunuh Shah, 43, dalam serangan kejam di luar apartmennya di bandar Leichhardt di Sydney.

Nita, yang bekerja sebagai kerani akaun di konsulat Malaysia di Sydney di mana Shah bekerja sebagai pemandu, didakwa terbabit dalam pembunuhan itu dan mengganggu siasatan polis.

Nita bagaimanapun dibenar dibebaskan dengan ikat jamin tetapi Hazairin, 55, ditolak. Anak lelaki mereka pula ditahan oleh pihak berkuasa Singapura semasa melarikan diri dari Australia pada pagi Rabu lalu.

Nita beserta suami dan anaknya dijadual dihadapkan ke Mahkamah Tengah Tempatan Sydney pada 7 April ini.

Sementara itu, jenazah Mohd. Shah tiba di Kompleks Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa (KLIA) di sini malam ini.

Ayahnya, Saemin Mongin, 70, berkata, jenazah itu yang tiba pada pukul 8.50 malam terus dibawa pulang ke Melaka.

"Allahyarham akan dikebumikan pada pukul 10 pagi esok di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tambak Paya, Melaka," katanya kepada pemberita di luar kompleks berkenaan.

Turut menyambut ketibaan jenazah ialah ibu mangsa, Misnah Kasri serta tiga adik-beradiknya, Mohd. Kamal, Rohayu dan Mohd. Saiful. - Utusan

Waspada kahwin campur

PUTRAJAYA 25 Feb. - Golongan muda termasuk kalangan artis diingatkan supaya berfikir 'beribu kali' sebelum memasuki gerbang perkahwinan campur kerana kajian menunjukkan kejayaannya hanya 3:10.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, kajian ilmiah yang dilakukan oleh beberapa ahli sosiologi di negara ini antara 1995 hingga 1998 mendapati dalam setiap 10 perkahwinan campur, hanya tiga berjaya.

Malah, kata beliau, kegagalan perkahwinan campur amat ketara apabila melibatkan pasangan dari kalangan warga kulit putih atau mat saleh.

''Tetapi perkahwinan campur di Malaysia melibatkan si lelaki atau wanita dari kalangan bukan Islam yang kemudiannya memeluk Islam begitu berjaya berbanding kahwin campur dengan warga asing dari barat ini.

''Ini sudah jadi lumrah, jadi, orang muda termasuk kalangan artis boleh mengambil iktibar ini dan sekiranya mahu menelaah kajian ini yang turut dilengkapi dengan panduan, anda boleh mendapatkannya daripada bahagian pendaftaran perkahwinan sivil dari rekod simpanan syariah di Johor dan Wilayah Persekutuan," katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Rais ditanya pandangan beliau berhubung keretakan rumah tangga aktres Maya Karin, 31, yang dilaporkan sudah tidak sebumbung dengan suaminya.

Pelakon jelita yang mengesahkan perkara itu memberitahu, punca keretakan rumah tangganya dengan suami, Steven David Shorthose atau Muhammad Ali, 41, dari Itali sebagai kesilapan mereka sendiri kerana tidak menyedari faktor perbezaan budaya sewaktu seronok bercinta.

Enggan langsung mengulas pergolakan rumah tangga yang dihadapi Maya Karin, Rais yang juga pakar perundangan dan Perlembagaan Persekutuan berkata, realitinya banyak liku yang perlu dihadapi oleh pasangan kahwin campur.

''Kegagalan perkahwinan disebabkan perbezaan budaya, agama dan cara seseorang itu dibesarkan di khalayak negara masing-masing.

''Cuma, kebanyakan perkahwinan lebih didasarkan kepada 'asmara pendek', maknanya apabila sudah melalui satu tempoh singkat, masing-masing akan menyorot balik tuntutan budaya dan agama pada sudut khalayak di mana dia dilahirkan," katanya.

Dari segi undang-undang pula, kata Rais, pasangan kahwin campur dijangka menghadapi masalah yang agak berat jika perkahwinan mereka bergolak.

''Tidak semudah itu juga untuk mendapat taraf kerakyatan Malaysia, dalam soal ini ia adalah lebih mudah jika melibatkan wanita yang berkahwin dengan lelaki warganegara Malaysia berbanding sebaliknya.

''Ini disebabkan taraf kewarganegaraan dalam Seksyen 16 dan 17 Perlembagaan Persekutuan adalah terasas pada pertimbangan kebapaan dan bukannya keibuan," katanya.

Kata beliau: ''Apatah lagi (meruncingnya perkahwinan campur) kalau pasangan terbabit ada anak, maka si bapa akan 'melarikan' anak kembali ke England dan Eropah, dan dalam soal ini, perkahwinan campur yang gagal, adalah lebih baik jika pasangan itu tiada anak." - Utusan

* Apabila Islam tidak diamalkan semuanya menjadi kacau bilau...

(Video) Felda settlers take their grousers to Suhakam


Kelantan Tidak Ambil Tahu Pemberian Wang Ihsan Jika Diagih Melalui JPP

KOTA BAHARU: Kerajaan Kelantan tidak akan menyekat langkah kerajaan Pusat untuk memberi wang ihsan kepada rakyat negeri itu melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP), kata Timbalan Pesuruhjaya PAS III Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Beliau, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah Negeri, berkata apa yang menjadi tuntutan kerajaan negeri ialah wang royalti, bukannya wang ihsan.

"Soal dia nak bagi wang ihsan kepada rakyat Kelantan melalui JPP kita tidak sekat kerana itu hak mereka, malah kita tidak akan ambil tahu (kepada siapa wang itu hendak diberikan).

"Soal Kerajaan (Pusat) nak bagi wang ihsan serah pada dia, tetapi kita tetap tuntut royalti. kita akan usaha melalui pelbagai cara yang munasabah," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa kerajaan Pusat tetap mahu memberi wang ihsan kepada Kelantan kerana yakin ada rakyatnya yang mahu menerima pemberian berkenaan.

Kerajaan Kelantan bertegas mahukan kerajaan pusat membayar royalti minyak dan bukan wang ihsan walaupun mengikut peraturan, negeri tersebut tidak layak menerima royalti kerana dua telaga minyak yang didakwa milik Kelantan terletak lebih tiga batu nautika dari pesisiran pantai negeri itu.

Dua telaga minyak berkenaan terletak 150 batu nautika dari perairan Kelantan dan Kerajaan pusat bersetuju memberi RM20 juta wang ihsan kepada penduduk Kelantan, yang merupakan bayaran pertama sebanyak lima peratus daripada hasil dua telaga minyak pada 2008.

Perkara ini seperti yang termaktub dalam perjanjian Akta Peroleum 1974, iaitu bayaran lima peratus daripada hasil keuntungan minyak dan gas kepada kerajaan negeri. - BERNAMA

* Berkat rakyat Kelantan undi PAS. Islam dapat duit pun mencurah masuk.

Anwar: Ekonomi Malaysia kini retak dan bakal berkecai

Pengumuman pertumbuhan ekonomi negara sebanyak 4.5 peratus bagi suku terakhir 2009 merupakan tindakan yang tidak bertanggungjawab oleh kerajaan kerana ia merupakan hasil suntikan ransangan ekonomi, kata ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Anwar, pengumuman oleh perdana menteri Datuk Seri Najib Razak itu juga dibuat terlalu awal memandangkan kesan daripada pakej ransangan ekonomi itu hanyalah reaksi sementara dan tidak dapat dilakukan secara berterusan.

"Oleh sebab itu, saya amat khuatir kerana kaedah pergantungan yang berterusan kepada perbelanjaan kerajaan secara besar-besaran seperti yang diamalkan Barisan Nasional, akan membawa kita ke kancah permasalahan ekonomi yang sangat serius.

"Saat apabila ekonomi negara yang kini retak akan terbelah dan berkecai sebenarnya sudah hampir tiba," katanya lagi dalam kenyataan medianya hari ini.

Najib pada Rabu lalu mengumumkan pertumbuhan sebanyak 4.5 peratus bagi suku keempat tahun lalu yang disifatkannya sebagai pencapaian di luar jangkaan, hasil permintaan dalam dan luar negara yang lebih kukuh.

'Malaysia paling lembap di rantau ini'

Namun, menurut Anwar, pengumuman itu tidak menggambarkan keadaan sebenar kerana Malaysia dijangka mencatat pertumbuhan paling lembap di kalangan negara-negara serantau pada tahun ini.

"Apa yang tidak diuar-uarkan oleh Perdana Menteri di sebalik anggaran pertumbuhan 5 peratus itu adalah hakikat bahawa pada kadar tersebut, Malaysia ditinggalkan jauh oleh negara-negara seperti Korea Selatan, Singapura, Taiwan, Indonesia, Thailand, Filipina, malahan juga Vietnam dalam tahun 2010 kelak," katanya.

Tambahnya lagi, ini merupakan perbezaan ketara berbanding pencapaian sebelum ini yang meletakkan Malaysia setanding dengan negara-negara seperti Korea Selatan dan Singapura.

"Anggaran terbaru yang dikeluarkan oleh IMF pada Oktober 2009 menunjukkan bagi tahun 2010, Malaysia dijangkakan akan tumbuh pada kadar yang paling lembap berbanding kumpulan negara-negara tadi.

"Walaupun ekonomi dunia dijangka akan mula pulih. Vietnam dijangka akan tumbuh pada kadar 2 kali ganda lebih baik dari Malaysia dan negara-negara lain akan berkembang pada kadar yang secara puratanya 50 peratus lebih pesat dari Malaysia," katanya.

Tambahnya, keadaan ini timbul hasil daripada dasar ekonomi BN dengan meningkatkan perbelanjaan kerajaan bagi menutup kegagalan menarik pelaburan individu dan swasta.

"Kalau sebelumnya di antara tahun 1991 hingga 1997 pelaburan individu dan swasta meningkat setiap tahun pada kadar 16.2 peratus, selepas 1998 hinggalah kini kadar ini hanya menokok 1 peratus secara purata sejak 11 tahun lepas.

"Mengambil kira kesan inflasi, maknanya di antara tahun 2005 sehingga 2008, pelaburan individu dan swasta kekal tidak berkembang pada tahap RM20.3 billion setiap tahun.

"Jumlah ini adalah lebih rendah dari jumlah pelaburan individu dan swasta semasa saya mula-mula menjadi Menteri Kewangan dalam tahun 1991, iaitu hampir 20 tahun lalu," katanya lagi. - Malaysiakini

* ...bercakap bohong, lama-lama mencuri...

Peguam anak Raja Petra bantah siasatan Suhakam

Peguam yang mewakili Raja Azman Petra mendakwa, siasatan oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) tidak dijalankan dengan adil dan menyeluruh.

Suruhanjaya itu semalam menjalankan siasatan di penjara Sungai Buloh, atas insiden melibatkan anak penulis blog terkenal Raja Petra Kamaruddin yang dipercayai menelan sebilah pisau cukur.

Pesuruhjaya Siva Subramaniam (kiri, berbaju putih) yang mengetuai siasatan membebaskan pihak berkuasa itu atas semua dakwaan salah laku, dan mendakwa kecederaan yang dialami Raja Azman adalah akibat perbuatan sendiri.

Bagaimanapun, kedua-dua peguam J Chandra dan Amarjit Singh Sidhu tidak berpuas hati dengan kaeiah siasatan dijalankan.

“Kenapa kami tidak dipanggil untuk siasatan?" soal Amarjit.

Dalam pada itu, Chandra pula terkejut kerana siasatan dijalankan tanpa kehadiran peguam.

Beliau menjelaskan, kehadiran peguam sangat penting bagi memastikan temubual dijalankan dengan cara yang betul.

“Tahanan mungkin ditekan untuk memberikan jawapan-jawapan untuk memuaskan hati pihak berkuasa," kata Chandra (kanan, bertali leher).

Mengulas lanjut, peguam berkenaan menjelaskan keadaan penjara itu juga boleh menakutkan tahanan berkenaan semasa ditemubual.

“Penjara bukanlah tempat yang sesuai untuk menemuramah sebab tahanan berasa takut," kata Chandra.

Raja Azman, 34, dijumpai dalam keadaan lemah dalam sel penjaranya oleh petugas dari penjara Sungai Buloh semasa melakukan tugas rondaan pada 11 Feb lalu.

Dia yang mempunyai kesan kelar di pergelangan tangan, segera dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh.

Bapa mangsa, yang menulis dalam laman blognya Malaysia Today, mendakwa bahawa Raja Azman (kiri) mengambil tindakan drastik itu memandangkan dia tidak lagi dapat manahan siksaan fizikal dan mental yang dikenakan terhadapnya oleh pihak berkuasa penjara.

Raja Azman, anak kedua Raja Petra kini ditahan reman di Penjara Sungai Buloh sementara menunggu perbicaraan kerana gagal membayar wang jaminan RM10,500 setelah menghadapi empat tuduhan mencuri dan memiliki harta curi. - Malaysiakini

Lelaki rentung kereta yang dipandunya terbakar

IPOH 26 Feb. - Seorang lelaki yang memandu sendirian rentung selepas kereta yang dipandunya terbakar di Kilometer 19, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands, dekat Pos Slim di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, mangsa dikenali sebagai Balwinder Singh, 48, ditemui terbaring di luar keretanya dipercayai cuba menyelamatkan diri kira-kira pukul 7.45 pagi tadi.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat, katanya ketika dihubungi hari ini.

Azisman berkata, ketika kejadian mangsa dalam perjalanan dari Cameron Highlands ke sini apabila kereta jenis Mercedez Benz yang dipandu sendiri tiba-tiba terbakar.

Ketika kejadian mangsa dipercayai terperangkap dalam kereta yang turut musnah dalam kebakaran itu.

Tiada sebarang pengenalan diri ditemui di tempat kejadian dan polis sedang mengesan waris mangsa.

Siasatan awal polis mendapati kejadian itu tiada unsur jenayah kerana tiada kecederaan pada badan mangsa.

Polis mengklasifikasi kes itu sebagai mati mengejut. - Bernama

PSSI didenda RM17,000, penyokong tak hormat lagu Negaraku

JAKARTA 26 Feb. - Aksi para penyokong Indonesia yang tidak menghormati lagu kebangsaan Malaysia, Negaraku ketika pasukan kebangsaan Malaysia menentang Vietnam dalam pertandingan pusingan kelayakan Piala AFC Futsal di sini Isnin lepas, mengakibatkan Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) didenda AS$5,000 (RM 17,006).

Tindakan itu diambil oleh Persekutuan Bola Sepak Asia (AFC) setelah Pengurus Pasukan Malaysia, Datuk Hamidin Mohd. Amin membuat bantahan rasmi mengenai kejadian itu kerana kelakuan itu telah mencemarkan maruah sebuah negara.

Walaupun Indonesia menempah tempat ke pusingan akhir Kejuaraan Futsal Asia 2010 di Uzbekistan Mei ini, aksi penyokongnya itu sedikit sebanyak mencemarkan kejayaan pasukan republik itu.

Pasukan tuan rumah layak ke pusingan akhir di Uzbekistan setelah menewaskan Malaysia 3-5 di peringkat separuh akhir pada Rabu lepas.

Dalam kejadian pada hari Isnin di Stadium Tenis Tertutup Senayan itu, sejurus pasukan negara memasuki stadium dan lagu Negaraku dimainkan, para penonton telah menyanyikan lagu kebangsaan mereka, Indonesia Raya. - Bernama

63 warga Malaysia bekerja secara haram dihantar pulang

MELBOURNE 26 Feb. - Sekumpulan 76 pekerja tanpa izin yang bekerja sebagai pemetik buah telah dihantar pulang ke Malaysia dan Indonesia selepas operasi mengesan secara besar-besaran oleh pihak imigresen.

Seramai 63 warga Malaysia dan 13 lagi warga Indonesia diterbangkan pulang malam tadi, jumlah penghantaran pulang terbesar dari Australia dalam dekad ini, menurut satu kenyataan kerajaan.

Mereka diberkas dalam serbuan di sebuah kawasan letak karavan minggu lepas di Mooroopna, ke barat Shepparton, di mana mereka telah bekerja secara haram memetik tomato dan buah pir dan mereka adalah antara 85 orang yang ditahan.

Persiapan sedang dibuat bagi menghantar pulang sembilan orang selebihnya, lima rakyat Malaysia, tiga Korea Selatan dan seorang Nepal.

Menteri Imigresen, Senator Chris Evans berkata, 85 orang itu telah memasuki Australia dengan visa yang sah sebelum bekerja secara haram.

Sambil memuji kecekapan dan kepantasan jabatan imigresen bertindak, Senator Evans berkata, majikan menghadapi denda hingga A$13,200 (RM40,656) dan penjara dua tahun kerana mengambil orang bekerja tanpa permit kerja, dan syarikat terlibat boleh dipotong pendapatan mereka sebanyak A$66,000 (RM203,280) bagi setiap pekerja haram. - Bernama

Awang Adek ketuai jawatankuasa agih wang ihsan

KOTA BHARU 26 Feb. – Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussein dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengagihan Wang Ihsan Kelantan, yang berjumlah RM20 juta.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, Awang Adek, yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, dilantik untuk menguruskan agihan wang ihsan berkenaan atas kapasitinya sebagai Timbalan Menteri Kewangan.

Mustapa, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, berkata, mesyuarat jawatankuasa untuk pengagihan wang ihsan itu akan berlangsung pada Mac nanti untuk membincangkan kaedah agihan peruntukan itu.

"Kerajaan Pusat sudah bersetuju dengan pelantikan Awang Adek untuk ketuai jawatankuasa ini.

"Agihan wang ihsan RM20 juta itu akan disampaikan kepada rakyat Kelantan pada April nanti,” katanya ketika berucap merasmikan majlis penyampaian sumbangan dan sambutan Maulidur Rasul di sini hari ini. – Bernama

* Pencuri nak agihkan wang yang dia telah curi...

Seminar mengenai M'sia di Washington DC 'tertutup'

Sebuah seminar berprofail tinggi mengenai kehakiman dan kerajaan Malaysia di Washington DC anjuran sebuah badan pemikir terkemuka - Pusat bagi Strategi dan Pengajian Antarabangsa (CSIS) - secara menghairankan - berubah menjadi 'program tertutup'.

Seminar bertajuk 'Urustadbir dan Keluhuran Undang-Undang di Malaysia' itu membabitkan pegawai terkemuka kerajaan Malaysia, dan dihadiri oleh pegawai kerajaan Amerika, aktivis, diplomat dan rakyat Malaysia di sana.

Dalam pengumuman CSIS yang dikeluarkan minggu lalu, ia menyatakan bahawa seminar dua jam itu adalah program terbuka. Tetapi penganjurnya kemudian telah mengubah fikiran.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Aziz (foto) merupakan satu-satunya wakil Malaysia.

Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan pengerusi penal penasihat SPRM, Datuk Abdul hamid Mohamad turut dijemput untuk berucap tetapi tidak hadir.

Sebaliknya, rombongan Nazri termasuk ahli-ahli parlimen kerajaan dan pembangkang, bersama dengan timbalan speaker Dewan Rakyat, Datuk Ronald Kiandee.

Ahli parlimen yang hadir ialah Datuk Tajuddin Abdul Rahman (Umno-Pasir Salak), Wee Choo Keong (PKR-Wangsa Maju), Datuk Zahrain Mohd Hashim (Bebas-Bayan Bar

u) dan Datuk Jamaluddin Jarjis (Umno- Rompin), yang duta Malaysia ke Amerika. - Malaysiakini

KDN anggap rencana 'ancam ketenteraman awam'

Kerajaan hari ini memberi amaran akan bertindak terhadap akhbar utama bahasa Inggeris paling besar edaran di Malaysia, The Star berhubung sebuah rencananya yang membidas tindakan kementerian dalam negeri merotan tiga wanita Islam, 9 Feb lalu.

AP memetik seorang pegawai kanan, kementerian dalam negeri, Abdul Razak Abdul Latif sebagai berkata kerajaan menganggap rencana yang disiarkan The Star Jumaat lalu mengancam "ketenteraman awam".

Rencana oleh editor urusan The Star, P Gunasegaram, mengkritik tindakan sebatan syarie ke atas tiga wanita itu kerana mengadakan persetubuhan haram.

Gunasegaram dalam rencananya itu mendakwa tindakan berkenaan mencabuli hak asasi manusia.

Menurut Abdul Razak, pihak kementerian menghantar faks kepada The Star Rabu lalu meminta akhbar terlaris bahasa Inggeris itu membuat permohonan maaf dan menawarkan penjelasan dalam tempoh 14 hari.

Berdasarkan penjelasan berkenaan, Razak berkata kerajaan akan memutuskan tindakan yang akan diambil.

Antara tindakan yang boleh diambil ialah menarik balik permit mencetak akhbar berkenaan. Semua akhbar di Malaysia tertakluk kepada Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 yang mewajibkan mereka memperbaharui permit setiap tahun.

Menurut AP lagi, The Star menarik balik rencana itu dari laman webnya dan membuat permohonan maaf Rabu lalu.

Menurut akhbar berkenaan, mereka tidak mempunyai niat untuk menghina atau menguris perasaan umat Islam di negara ini.

Dalam perkembangan berkaitan, bantahan terhadap The Star berterusan.

Hari ini, Majlis Agama Islam Selangor (Mais) buat laporan polis terhadap P Gunasegaram dan Sister in Islam (SIS) yang didakwa membuat kenyataan yang menyentuh bidangkuasa raja-raja Melayu, urusan agama Islam, hukum Syarak serta sensitiviti umat Islam. - Malaysiakini

* Kalau akhbar pro-Pakatan memang kena haramkan langsung.

Insaflah Wan Azizah – Saidatul Badru

KUALA LUMPUR 25 Feb. – Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail diminta supaya menginsafi kesilapan dan masih belum terlambat untuknya kembali ke pangkal jalan.

Bekas Naib Presiden PKR, Datin Saidatul Badru Tun Said Keruak berkata, semua yang mengaku beragama Islam perlu ingat bahawa kehidupan manusia tidak hanya berakhir di dunia sahaja tetapi akan berterusan hingga ke akhirat.

Menurutnya, beliau yang juga seorang wanita, isteri dan mempunyai anak-anak mengakui amat memahami situasi yang dihadapi oleh Wan Azizah iaitu keperluan untuk menjaga maruah suami.

“Tetapi kita sebagai isteri juga mempunyai tanggungjawab kepada negara. Sekiranya, suami sudah merosakkan negara kita mesti minta dia berhenti dan tidak (lagi) menyokong tindakannya.

“Letakkanlah kepentingan negara mengatasi kepentingan suami untuk mencapai cita-cita peribadinya. Kasihanlah kepada penyokong dan rakyat yang tidak tahu apa-apa, fikirkanlah maruah anak-anak dan hidup mereka di dunia dan akhirat.

“Kita bukan nak hidup di dunia sahaja, saya tahu Wan Azizah mengetahui hal sebenar dan saya kecewa demi kepentingan politik suami dan dirinya (sanggup) dia berbohong kepada rakyat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Datuk S. Nallakaruppan yang menyatakan bahawa Wan Azizah selayaknya diberi anugerah ‘Pelakon Wanita Terbaik 2010' atas kehebatan ‘lakonannya’ ketika berhadapan dengan rakyat.

Beliau yang juga bekas rakan karib, Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim secara sinis bersedia mengemukakan cadangan itu kepada Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim untuk dipertimbangkan. - Utusan

* Tapi majoriti rakyat Malaysia kata UmnoBN yang merosakkan negara. Sehingga tiada seorang pemimpin UmnoBN ada sifat kejantanan untuk bersemuka dan berdebat mengenainya.

(Video) Nalla Sudah Kering Isu, Serang Peribadi Wan Azizah


(Video) Lagi laporan polis ke atas Gunasegaram


Kekasih biaya penghantaran jenazah Mohd Shah ke Malaysia

MELBOURNE, 25 Feb — Seorang wanita yang disifatkan sebagai kekasih Mohd Shah Saemin, pemandu Pejabat Konsul Malaysia yang dibunuh di Sydney Ahad lepas, membayar A$7,000 untuk menghantar pulang jenazahnya ke Malaysia, demikian sebuah mahkamah di Sydney diberitahu hari ini.

James Trevallion, peguam mewakili Nita Iskander, 46, memberitahu Majistret Margaret Quinn di Mahkamah Newton, bahawa wanita itu juga berhasrat menghadiri pengebumian Mohd Shah di Malaysia, demikian menurut laporan Australian Associated Press hari ini.

Sebelum itu, seorang anggota skuad homisid memberitahu mahkamah bahawa wanita kelahiran Indonesia itu telah membuat panggilan telefon berhubung soal meninggalkan Australia, sebelum dan selepas suaminya ditahan kerana disyaki membunuh Mohd Shah, dan perkara itu tidak diberitahu kepada polis.

Nita juga didakwa berhelah mengenai tempat di mana suami dan anaknya berada semasa kejadian bunuh itu.

Mahkamah juga diberitahu bahawa Nita mengaku kepada polis bahawa dia sedang bercakap melalui telefon dengan Mohd Shah apabila serangan itu berlaku.

Suaminya, Hazairin Iskander, 55, seorang pemandu teksi kelahiran Indonesia, serta anak mereka, didakwa membunuh Mohd Shah, 43, di luar kediaman Mohd Shah di Leichhardt di pinggir Sydney.

Nita, yang bekerja sebagai kerani akaun di Konsul Malaysia di Sydney, dituduh bersubahat melakukan jenayah itu. Mahkamah membenarkan wanita itu diikat jamin.

Anak lelaki pasangan itu diberkas di Singapura semalam selepas dia melarikan diri dari Australia.

Jenazah Mohd Shah dibawa pulang ke Malaysia hari ini. — Bernama

Saksi: Kugan Mati Akibat Sembap Bahagian Paru-Paru

PETALING JAYA: Seorang pakar perunding kanan Patalogi dan Forensik hari ini memberitahu Mahkamah Sesyen bahawa kematian A.Kugan dalam lokap Jan tahun lepas adalah berpunca daripada "Pulmonary Oedema" atau mengalami sembap di bahagian paru-paru akibat reaksi kecederaan luar anggota badan mangsa.

Abdul Karim Tajuddin, 61, yang bertugas di bahagian perubatan forensik, Hospital Serdang, berkata hasil pemeriksaan yang dilakukan dengan mengambil dua potong tisu paru-paru menunjukan bahagian sebelah kirinya penuh dengan air.

"Dalam bedah siasat itu, saya dapati paru-paru kanan dan kiri milik mangsa sembap yang mana ia dipenuhi air yang berpunca daripada reaksi tubuh mangsa yang dicederakan.

"Ia dipanggil oedema dalam paru-paru, yang mana air yang memenuhi kawasan paru-paru datang daripada tubuh badan mangsa sendiri akibat tekanan selepas dipukul," katanya.

Abdul Karim berkata hasil daripada bedah siasat itu beliau berpendapat kebanyakan kesan luka dan lebam di seluruh anggota badan Kugan terutama di bahagian belakang badan disebabkan pukulan daripada objek tumpul yang fleksibel seperti hos getah.

Katanya sepanjang pemeriksaan beliau mendapati terdapat lebih kurang 22 kesan luka di bahagian luaran terutama lebam di bahagian betis, peha dan tulang rusuk, dinding perut dan belakang bahu kanan manakala terdapat juga kesan calar pada bahagian bahu kiri dan lengan serta di tengkuk mangsa.

Ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Abazafree Mohd Abas sama ada kesan-kesan kecederaan itu boleh mengancam nyawa mangsa, Abdul Karim menjelaskan ia boleh memberi kesan terhadap bahagian dalaman seperti paru-paru, buah pinggang, jantung dan sebagainya.

Beliau berkata rasa sakit yang kuat dihadapi Kugan boleh mengancam pusat saraf sehingga menyebabkan renjatan walaupun ia tidak secara langsung.

Dalam prosiding itu juga, Abdul Karim turut melakukan demonstrasi bagaimana cara pukulan dibuat oleh seseorang dengan cara berdiri di depan mangsa manakala mangsa dalam keadaan posisi badannya lebih rendah daripada pemukul.

"Kesan luka dan kecederaan itu wujud disebabkan pukulan seseorang atau kemungkinan lebih dengan menggunakan hos getah. Masa pukulan adalah berbeza-beza kerana ada kesan luka yang sudah sembuh dan ada masih baru. Cara pukulan mungkin bertalu-talu tetapi tidak mengambil masa terlalu lama dan ia mengikut tahap kekuatan pemukul itu," katanya.

Abdul Karim merupakan saksi pendakwaan kelapan memberi keterangan dalam kes kematian Kugan yang mati dalam tahanan polis selepas ditahan pada 15 Jan tahun lepas kerana disyaki terlibat dalam kes curi kereta.

Tertuduh dalam perbicaraan kes itu, Konstabel V. Navindran, 28, mengaku tidak bersalah pada 1 Okt lalu terhadap pertuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap Kugan, 23.

Navindran yang diwakili peguam bela, Datuk P.M. Nagarajan, didakwa melakukannya di bilik soal siasat pejabat D9, di Balai Polis Taipan, USJ, Subang Jaya, pada 7 pagi, 16 Jan tahun lalu.

Bagi kesalahan itu, Navindran didakwa mengikut Seksyen 331 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Ketika ditanya Hakim Aslam Zainuddin adakah sama dengan penyakit "Pnuemonia", Abdul Karim menjelaskan ia berbeza kerana penyakit itu merupakan jangkitan kuman.

"Dalam kes ini tiada kuman ditemui. Hanya ada air "membanjiri" atau memenuhi ruang pernafasan dalam paru-parunya yang menyebabkan mangsa seperti 'lemas'," katanya.

Ketika bedah siasat dilakukan, selain pegawai penyiasat kes berkenaan, dua pembantu perubatan hospital turut bersama pegawai perubatan yang mewakili keluarga mangsa.

Abdul Karim juga memberitahu mahkamah berdasarkan kepada gambar yang ditanda sebagai eksibit, Kugan mengalami banyak kecederaan termasuk lebam dipergelangan tangan kanan dan kiri berkemungkinan besar akibat digari berulang kali.

"Hasil pemeriksaan itu juga mendapati kesan lebam itu juga menyebabkan mengelupas, cedera dan lebam. Kesan itu turut terdapat di bahagian pergelangan kaki kanan dan kiri yang berkemungkinan juga akibat digari.

"Saya percaya mangsa digari semasa dipukul. Ini juga kerana mangsa banyak melawan dan bergerak, kesan dari itu menyebabkan tangannya bengkak. Jika masa disoal siasat tidak digari, maka kesan lebam dan cedera tidak akan wujud," katanya.

Perbicaraan bersambung 18 Mac depan. - BERNAMA

* Kita marah apabila umat Islam diperlakukan seperti binatang di pusat tahanan kelolaan Amerika. Malangnya polis di bawah UmnoBN...

Bukan Saja Azmin, Ramai Lagi Yang Dipaksa Mengaku Diliwat Anwar!!

Naib Presiden PKR, Azmin Ali, dalam ceramah di Padang Majlis Daerah Machang malam tadi mendedahkan dirinya juga pernah diugut polis supaya mengaku pernah diliwat Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ditahan pada 16 September 1998.

“Pegawai polis meminta saya menandatangani surat mengakui diliwat. Saya diugut akan ditahan di bawah ISA selama 20 tahun kalau tidak mahu menurut kehendak mereka,” kata Azmin.

Azmin, Dr Munawar dan Sukma Dharmawan adalah antara mereka yang dipaksa mengaku diliwat Anwar dalam drama Liwat I pada era reformasi dahulu. Selain dari itu, seorang pemandu limousin kulit hitam dari Amerika juga pernah disogok sejumlah wang oleh seorang pegawai Malaysia supaya mengaku dia diliwat oleh Anwar ketika Anwar berkunjung ke Amerika. Tetapi pemandu limousin itu, seperti Azmin Dr Munawar dan Sukma menolak membuat pengakuan diliwat yang jelas semata-mata bagi mengaibkan bekas Timbalan Perdana Menteri tersebut.

Sebab itulah bila drama Liwat II dipentaskan oleh Mahkamah baru-baru ini, ramai yang tidak percaya, sebab ia adalah sambungan drama Liwat I dengan plotnya yang hampir serupa.

Sebenarnya bukan saja Azmin, Dr Munawar, Sukma Dharmawan dan lelaki pemandu limousin Amerika itu sahaja yang pernah dipaksa mengaku diliwat Anwar semasa era reformasi dahulu. Saya rasa senarainya lebih panjang, cuma tidak ramai yang ingin mengakuinya, mungkin atas sebab maruah. Antara yang pernah dipaksa mengaku diliwat ialah seorang anggota pangkat rendah di Kementerian Kewangan bernama Mr I (bukan nama sebenar).

Ketika era reformasi itu, saya bertugas di salah sebuah agensi kerajaan di Jalan Duta, Kuala Lumpur. Satu hari, Mr I yang berbadan agak gempal dan berperwatakan lembut itu hilang selama beberapa hari. Beberapa hari kemudian dia muncul di kantin Kementerian Kewangan dan berkata dia ditahan polis kerana disyaki terlibat menyokong gerakan pro-Anwar yang baru dipecat ketika itu. Dia juga berkata polis menawarkan sejumlah wang kepadanya (saya sudah lupa jumlahnya) jika dia mengaku diliwat Anwar. Suatu hari kerana hilang sabar kerana asyik diminta membuat pengakuan palsu, dia melondehkan seluar dalamnya kepada polis dan memekik, "Apa...kau orang ingat aku tak da k**e ke sampai nak serah buntut kat orang!". Akhirnya Mr I dibebaskan tanpa mendapat pengakuan dia diliwat.

Saya tidak tahu sama ada Mr I ada menokok tambah untuk menyedapkan ceritanya. Tapi apabila Azmin berkata dia juga dipaksa mengaku diliwat, saya teringat kepada Mr I. Dan sampai sekarang, saya percaya dengan ceritanya.

Entah berapa ramai lagi yang dipaksa polis mengaku diliwat Anwar tapi tidak mendedahkannya, sebelum mereka menemui Azizan dan Sayfool? -www.pendikargunung.blogspot.com