30 January 2010

UMNO teliti kenyataan Razaleigh

KUALA LUMPUR 29 Jan. - UMNO akan meneliti terlebih dahulu kenyataan yang dibuat oleh Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah mengenai persetujuannya untuk mengetuai kaukus royalti minyak Kelantan sebelum memutuskan tindakan selanjutnya.

Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pihaknya memerlukan masa untuk meneliti kenyataan yang dibuat oleh Ketua UMNO Bahagian Gua Musang itu sebelum menentukan adakah ia melanggar disiplin parti.

"Kita sedang meneliti dan belum mendapat apa yang diperkatakan oleh Tengku Razaleigh. Jadi bagi tempoh masa untuk kita dapatkan laporan ucapan dan sebagainya.

"Parti kita punya pendirian, kita mesti patuh pada disiplin parti... tetapi macam mana pun nanti kita akan bincang perkara ini," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Tengku Razaleigh selepas menyertai Majlis Solat Hajat dan Ceramah Perdana Royalti Petroleum di Stadium Sultan Mohamed Ke-IV, Kota Bharu semalam untuk mengetuai kaukus yang dicadangkan oleh pakatan pembangkang.

Menurut Razaleigh, fungsi kaukus tersebut seharusnya diperluaskan dengan mengkaji semula kedudukan dan hak negeri-negeri sebagai anggota kepada Persekutuan Malaysia.

Ditanya adakah Razaleigh yang juga bekas Pengerusi Petronas melanggar disiplin parti apabila menyertai majlis yang mempunyai kaitan dengan kerajaan Pas Kelantan, Najib berkata, pihaknya perlu meneliti perkara itu sebelum membuat sebarang keputusan.

'Ya lah nantilah, kita teliti dululah," katanya.

Mengenai dakwaan pihak pembangkang bahawa Kerajaan Pusat berbohong apabila hanya memberikan wang ihsan sebanyak RM20 juta untuk pengeluaran minyak di perairan Kelantan sejak Mei 2008, Najib menegaskan, tuduhan itu adalah tidak berasas.

"Kita tidak bohong. Apa yang patut diterima oleh rakyat Kelantan, kita akan bagi.

"Kita tidak lari daripada tanggungjawab kita, tetapi kita mesti membuat apa-apa berdasarkan kepada Perlembagaan negara," katanya. - Utusan

No comments:

Post a Comment