30 January 2010

Sasaran 50 peratus penembusan jalur lebar menjelang akhir tahun

PEKAN 30 Jan — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata menerusi Pelan Jalur Lebar kebangsaan, kerajaan meletakkan sasaran penembusan jalur lebar di negara ini pada kadar 50 peratus menjelang penghujung tahun ini.

Beliau berkata kerajaan kini melaksanakan pelbagai strategi untuk meningkatkan perkhidmatan komunikasi jalur lebar dan ICT dalam usaha pembudayaan ICT dan usaha menghapuskan jurang digital di kalangan rakyat Malaysia.

"Kita berada di landasan untuk capai sasaran kita 50 peratus akhir 2010 dan kita akan memantau perkembangannya melalui Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) dan Majlis Ekonomi,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Digital Pekan 1Malaysia, di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob dan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim. Pelancaran Digital Pekan 1Malaysia merupakan inisiatif SKMM menggabungkan projek ICT dan jalur lebar di bawah strategi digital.

Terdahulu ketika berucap pada majlis berkenaan, Najib berkata pelancaran Digital Pekan itu merupakan kesungguhan kerajaan untuk menunjukkan bahawa hala tuju digital adalah cara terbaik untuk mewujudkan mutu kehidupan yang lebih baik dan masa depan yang lebih cerah untuk generasi Malaysia yang akan datang.

"Saya mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih di atas pemilihan Pekan sebagai daerah digital yang pertama, sekaligus disebut sebagai “Digital Pekan,” katanya.

Katanya antara teras yang akan dilaksanakan bagi mewujudkan persekitaran ICT yang menyeluruh ialah mewujudkan pusat sehenti maklumat ICT/Jalur Lebar, menyediakan komputer riba yang lengkap dengan perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi kepada penduduk terpilih, menyediakan perkhidmatan “wireless Pekan” iaitu capaian percuma kepada Internet tanpa wayar untuk jangka masa tertentu sebagai pengenalan kepada kemudahan Internet dan program “Virtual Pekan Memoria” iaitu program galakan pembangunan perisian dan kandungan tempatan seperti pertandingan blog, pertandingan bercerita digital dan aktiviti-aktiviti lain di bawah pemerhatian SKMM.

Beliau berkata Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM11.3 bilion untuk pembangunan ICT, khususnya bagi menyediakan Internet jalur lebar berkelajuan tinggi (HSBB).

"Sebanyak RM11.3 bilion akan dibelanjakan untuk projek HSBB Nasional di bawah perkongsian awam dan swasta antara Kerajaan dan Telekom Malaysia (TM). Ini melibatkan pelaburan RM2.4 bilion daripada pihak kerajaan manakala selebihnya dilaburkan oleh TM,” kata Najib.

Beliau berkata kerajaan juga telah memberikan insentif tambahan dalam Bajet 2010 untuk meningkatkan pertumbuhan dan perkembangan jalur lebar di negara ini.

"Sejajar dengan usaha untuk meningkatkan arena pendidikan, Bajet 2010 telah menyediakan pakej PC Netbook dengan perkhidmatan jalur lebar untuk menentukan alat-alat dan perkhidmatan senang diperolehi pada kadar yang mampu untuk pelajar-pelajar di institusi pengajian tinggi. Sebanyak 100,000 pelajar akan menikmati kemudahan ini. Selanjutnya, pelepasan cukai sebanyak RM500 yang diperuntukkan dalam Bajet 2010 seharusnya menjadi galakan,” katanya.

Kepada soalan pemberita berkenaan penyalahgunaan internet atau penulisan di laman web dan blog yang berunsur hasutan dan usaha kerajaan menanganinya, Najib berkata: "Kita ada undang-undang negara berhubung media, cyberspace ini di bawah penyeliaan SKMM, walau bagaimanapun dalam keadaan internet dan sebagainya kita tak ada kawalan terlalu ketat.

"Kita mesti terima hakikat bahawa perbezaaan pendapat itu sesuatu perkara yang biasa, tetapi jangan sampai ke peringkat menyalahi undang-undang negara saja,” katanya.

— BERNAMA

No comments:

Post a Comment