27 January 2010

Saksi nampak tertuduh pukul Muntik dengan penyapu

SHAH ALAM: Seorang saksi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau ternampak tertuduh kes bunuh pembantu rumah warganegara Indonesia, Muntik Bani, memukul mangsa beberapa kali menggunakan sebatang penyapu di hadapan rumahnya.

Pembantu rumah warganegara Indonesia, Suryanti, 22, yang bekerja di rumah berhadapan dengan rumah tertuduh, A Murugan, berkata beliau juga nampak tertuduh mengangkat Muntik masuk ke dalam rumah selepas kejadian itu.

"Semasa dia (tertuduh) pukul pembantu rumah itu, saya dengar pembantu rumah itu menjerit 'Aaahhh' dua hingga tiga kali, tetapi saya tidak nampak lelaki itu pukul di bahagian mana dan tidak dengar lelaki itu cakap apa-apa semasa memukul pembantu rumah itu," katanya semasa menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Idham Abd Ghani pada hari kelapan perbicaraan kes Murugan, 35, yang didakwa membunuh Muntik, 40.

Tertuduh, penjual air tebu, didakwa melakukan kesalahan itu di rumahnya di No 11, Jalan Datuk Yusof Shahbudin 6, Taman Sentosa, Klang, antara 18 dan 20 Oktober tahun lalu dan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Muntik yang berasal dari Surabaya, meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang pada 26 Oktober lalu selepas gagal bertindak balas terhadap rawatan yang diberikan.

Ketika ditanya Idham mengenai individu lain yang turut berada di rumah Murugan semasa tertuduh memukul Muntik, Suryanti berkata beliau nampak ibu tertuduh keluar dari dalam rumah semasa kejadian itu.

Terdahulu, saksi ke-23 itu memberitahu mahkamah beliau pertama kali melihat Muntik sebelum Ramadan lalu ketika mangsa sedang menyapu sampah di halaman rumah dan ketika itu Muntik dilihat berambut pendek serta dalam keadaan baik.

Seorang lagi jiran tertuduh, Stella Maria a/p Thomas, 53, dalam keterangannya berkata beliau pernah mendengar suara Muntik meminta tolong dan suara tertuduh dalam keadaan marah semasa beliau sedang menyiram pokok bunga di hadapan rumahnya, beberapa hari sebelum perayaan Deepavali Oktober lalu.

"Saya dengar Muntik kata 'tolong jangan, jangan' dan selepas itu saya dengar tertuduh cakap 'you sudah tua, tidak payah kerja sini, balik ke Indonesia'. Saya dengar suara Muntik perlahan sahaja, tidak jerit-jerit tetapi suara tertuduh tinggi," kata suri rumah itu yang tinggal selang sebuah rumah dari rumah tertuduh.

Ditanya Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Dusuki Mokhtar berapa kali beliau mendengar perkara itu, Stella Maria yang juga saksi ke-22 pendakwaan berkata beliau mendengarnya banyak kali.

Saksi itu juga berkata beliau pernah melihat wajah Muntik lebam dan kehitaman ketika pembantu rumah itu keluar membuang sampah di depan rumah tertuduh selain melihat mangsa berjalan terhenjut-henjut dan kepalanya botak.

Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mohd Yazid Mustafa bersambung esok. - Bernama

No comments:

Post a Comment