27 January 2010

PKR Perlu Tegas Dengan Zulkefli Nordin

MEMBACA berita kepala babi dilempar di perkarangan dua masjid di Jalan Klang Lama pagi ini tidak sesebu membaca berita dan laporan mengenai Zulkefli Nordin. Entahlah kenapa! Bagi saya politik Zulkefli Nordin dalam konteks Pakatan Rakyat lebih cemar dari kepala babi hutan yang dilempar oleh manusia tidak bertanggungjawab itu.

Kalau kepala babi itu untuk menghina dan menduga keimanan orang Islam di negara ini, saya rasa begitu juga dengan telatah Zulkefli Nordin dalam menghadapi kuasa partinya PKR. Telatah Zulkefli Nordin menyakitkan hati sesiapa saja, kecuali puak-puak Umno yang kini menobatkan Zulkefli Nordin sebagai hero. Poliik Zulkefli bernajis.

Tindakan Zulkefli harus difahami oleh PKR. Tindakan melanggar disiplin itu adalah disengajakan untuk menimbulkan kemarahan. Mungkin apa yang diharapnya, ialah PKR memecat beliau dari parti itu. Itu yang dia mahu. PKR harus mampu menyelami apa yang ada dalam hati Zulkefli. Dalam kedudukan hari ini saya merasakan Zulkefli suka kalau PKR memecatnya bagi membolehkan beliau merealisasikan cita-cita berstrategi.

Membaca kenyataan dan ulasan Zaid Ibrahim mengenai Zulkefli membimbangkan saya. Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu kecewa dengan keputusan pucuk pimpian PKR yang berlembut dengan Zulkefli. Zaid hairan kenapa PKR masih begitu berhati-hati dan sayang untuk bertindak ke atas Zulkefli. Apa yang saya bimbang yang akan 'cau' nanti bukan Zulkefli tetapi Zaid.

Umum tahu cara PKR menangani isu Zulkefli adalah untuk tidak dianggap sebagai zalim. Maka dia diberi peluang untuk dilihat adil kepadanya. Seperti kata Zaid untuk apa PKR berlaku adil sedangkan Zulkefli telah melakukan banyak kesalahan. Tindak tanduknya menyebabkan keadaan keruh dan menyusahkan penasihat parti. Iya apakah relevannya berlaku adil dan dan kenapa perlu menggunakan prosuder terhadap orang yang tidak tahu menghormati undang-undang?

Telah banyak Zulkefli melanggar disiplin dan bersikap tidak senonoh yang boleh mencemarkan PKR. Antaranya sikap melanggar forum majlis peguam, membuat kenyataan bercanggah dengan aspirasi parti, tidak akur keputusan parti, membuat laporan ke atas Khalid Samad dan lain-lain. Dalam celah-celah itu berbagai kesalahan dilakukan olehnya.

Melihat kepada kesalahan itu apa hendak disayang lagi. Lagi lama menyimpan lagi menyakitkan. Menyimpan Zulkefli macam menyimpan bangkai. Kalau Zulkefli nak menyertai Umno biarlah dia masuk Umno. Keputusan itu kena dihormati. Penyakit yang menghinggap Ibrahim Ali sudah menyinggahi Zulkefli Nordin. Merindui Umno. Jadi elok kalau beliau menjadi calon bebas setidak-tidaknya dia boleh duduk berdekatan dengan Ibrahim.

Pada saya tidak ada guna lagi kalau PKR atau pun Anwar menyanyangi wakil rakyat berkenaan. PKR sebaliknya akan berdepan dengan masalah lagi lama memegang Zulkefli. Ia menyebabkan timbul berbagai persepsi mengenainya. Nanti orang akan mengatakan Anwar takut nak bertindak kerana Zulkefli kononnya banyak menyimpan rahsia Anwar.

Biarlah kalau Ezam Mohd Noor dan gengnya nak gembira atas tindakan itu kerana dengan apa yang dilakukan Zulkefli kini kumpulan itu sudah merasa bahagia.

Melayan Zulkefli samalah melayan budak yang tidak tahu berfikir dan mengguna pakai undang-undangnya saja. Makin dilarang makin menjadi. Jadi kalau kita takut untuk merotankannya, maka tinggal dan bunaglah dia dalam mana-mana longkang. Biarlah Zulkefli menyalak di luar seberapa banyak beliau hendak menyalak sekalipun. Lama kelamaan bila orang tidak melayannya dia akan berhenti. Kita pakat-pakat tengok nanti sejauh mana Umno akan mempergunakannya.

Saya bimbang kalau PKR terus melayani, maka wibawa PKR akan hilang. Orang akan melihat PKR seolah begitu takut untuk mengambil tindakan. Ini juga menyebabkan orang akan menuduh PKR takut kerana dan tidak berkuasa mendisiplinkan anggotanya. Buruknya kepada masa depan, ia akan menjadi senjata untuk orang lain menyerang PKR dan Anwar. Bukankah ini strategi musuh Anwar? - Msomelayu

No comments:

Post a Comment