30 January 2010

Pemecatan Tengku Fakhry tidak boleh disemak

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini semalam membuat keputusan bahawa tindakan Pemangku Sultan Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra menyingkirkan adindanya Tengku Muhammad Fakhry Petra daripada Majlis Perajaan Negeri itu tidak boleh disemak semula.

Hakim Mohamad Ariff Md. Yusof berkata, sebuah mahkamah undang-undang bukanlah forum yang sesuai bagi membuat keputusan mengenai isu membabitkan hak istimewa diraja kerana sebarang pertikaian perlu diselesaikan sendiri oleh keluarga diraja itu.

Tengku Muhammad Fakhry, yang juga Tengku Temenggong Kelantan telah mencabar keputusan Tengku Muhammad Faris menyingkirkannya daripada Majlis Perajaan Negeri pada 16 September tahun lalu.

Mengikut Perkara 5 Undang-undang Tubuh Negeri Kelantan, majlis itu bertanggungjawab mengesahkan waris takhta dan menentukan sama ada terdapat kekosongan pada takhta disebabkan ketiadaan sultan di negeri itu untuk tempoh lebih daripada setahun.

Dalam penghakimannya semalam, Hakim Mohamad Ariff memutuskan isu mengenai kedaulatan, hak dan kuasa diraja akan tetap dipelihara dan diakui oleh Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri. - Kosmo

No comments:

Post a Comment