29 January 2010

Kesan darah dalam tandas tempat Muntik dikurung

SHAH ALAM: Seorang pegawai polis memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini beberapa kesan darah ditemui di dalam tandas tempat pembantu rumah warganegara Indonesia, Muntik Bani, dikurung selama dua hari dua malam.

Juruanalisis Tempat Kejadian Jenayah, ASP Zainol Hisham Abu, yang bertugas di Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia, Cheras, berkata kesan darah itu ditemui ketika beliau dan pasukannya menjalankan siasatan di rumah tertuduh, A Murugan, pada 26 Oktober lalu.

"Beberapa tempat di dalam tandas itu diuji kehadiran darah dengan ujian Hemocult Sensa dan ujian adalah positif pada lubang saluran air keluar dari bilik tandas itu.

"Ujian dengan menggunakan Lighting Luminol juga dilakukan di tandas itu dan beberapa kesan biru dipercayai darah didapati di lantai bilik tandas di celah jubin dan sekitar mangkuk tandas dan sekeliling kerangka pintu bilik tandas itu," katanya semasa menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar pada hari kesembilan perbicaraan kes Murugan, 35, yang didakwa membunuh Muntik, 40.

Tertuduh, penjual air tebu, didakwa melakukan kesalahan itu di rumahnya di No 11, Jalan Datuk Yusof Shahbudin 6, Taman Sentosa, Klang, antara 18 dan 20 Oktober tahun lalu dan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Muntik yang berasal dari Surabaya, meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang, pada 26 Oktober lalu setelah gagal bertindak balas terhadap rawatan yang diberikan.

Zainol Hisham, 49, berkata semasa pemeriksaan di rumah tertuduh, beliau turut mengambil beberapa barang kes seperti gumpalan rambut yang ditemui di dalam bakul sampah, seutas gelang, sebatang mop, sebatang pemukul gendang, salur getah berwarna hitam dan pengelap kaki.

Ditanya Mohd Dusuki mengapa beliau tidak mengambil bakul sampah sebagai barang kes, saksi ke-25 pendakwaan itu berkata hasil pemeriksaan yang dijalankan ke atas bakul sampah menggunakan alat bantuan forensik tidak menemui sebarang kesan darah.

"Saya ada suluh di dalam tong sampah menggunakan lampu crimelite dan didapati hanya nampak gumpalan rambut, sebab itu saya ambil rambut sahaja. Alat itu (crimelite) boleh kesan cap jari, air liur, darah dan kesan air mani tetapi ia tidak tunjuk sebarang kesan darah di bakul sampah itu," katanya.

Saksi itu berkata, beliau juga tidak membuat pendebuan cap jari untuk menimbulkan kesan cap jari di bahagian dapur dan tandas rumah tertuduh berikutan kawasan itu telah dibersihkan sebelum pasukan forensik tiba.

Zainol Hisham berkata, pada 28 Oktober lalu dua hari selepas kematian Muntik, beliau dan pasukannya menjalankan siasatan di rumah bekas majikan Muntik, Puah Hooi Sueew di No 2, Jalan Datuk Shahbudin 5, Taman Sentosa, dan pemeriksaan ke atas beberapa perkakas berkebun serta bilik air yang berada di rumah berkenaan tidak menemui sebarang kesan darah.

Saksi itu berkata dalam pemeriksaan berkenaan beliau juga mengambil beberapa barang kes yang berkaitan dengan mangsa seperti sarung bantal, cadar dan selimut.

Ditanya Mohd Dusuki mengapa beliau tidak merampas sekali tilam yang digunakan Muntik di rumah bekas majikannya, Zainol Hisham berkata pemeriksaan ke atas tilam itu tidak menemui sebarang kesan darah.

Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mohd Yazid Mustafa bersambung esok. - Bernama

No comments:

Post a Comment