28 January 2010

Datuk buat tuntutan palsu sakit jantung

KOTA BHARU: Pendakwaan terhadap seorang pegawai kanan kerajaan Kelantan bergelar Datuk berhubung kes tuntutan palsu lebih RM300,000 yang dijadualkan di Mahkamah Sesyen di sini semalam, ditangguhkan selepas suspek dimasukkan ke hospital akibat serangan jantung.

Datuk berusia 57 tahun itu dimasukkan ke Unit Rawatan Koronari (CCU) sebuah hospital swasta di sini, kira-kira jam 1 pagi semalam dan dibebaskan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan ikat jamin RM100,000.

Pegawai Pendakwa SPRM Kelantan, Izani Wan Ishak, berkata pihaknya sudah mendaftar pendakwaan kes itu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Sesyen semalam, tetapi prosiding terpaksa ditangguhkan kepada satu masa yang akan ditentukan kelak.

"Kami masih menunggu laporan daripada doktor yang merawat pegawai berkenaan untuk menentukan sama ada beliau boleh hadir di Mahkamah Sesyen di sini sebelum tarikh pendakwaannya ditetapkan," katanya.

Peguambela suspek, Datuk Abdul Aziz Derashid, pula berkata anak guamnya yang ditahan SPRM di rumahnya dekat Bunut Payung di sini, kelmarin, sudah bersedia menghadapi pendakwaan kes itu tetapi tidak mampu berbuat demikian kerana menghadapi masalah jantung.

“Ketika ini, beliau dalam keadaan separuh sedar. Prosiding pendakwaan di hospital bukan menjadi amalan mahkamah kerana hakim dan pihak pendakwa perlu datang untuk mendakwa suspek yang sedang diberi rawatan.

"Berikutan masalah kesihatan ini, secara peribadi, saya dapati beliau belum bersedia menghadapi perbicaraan yang panjang dan rumit. Berilah masa kepadanya untuk mendapat rawatan hingga sihat," katanya.

Berita Harian semalam melaporkan SPRM menahan Datuk berkenaan susulan pendakwaan terhadap seorang kontraktor, Yusri Che Noh, 39, di Mahkamah Sesyen Kota Bharu pada 13 Januari lalu, berhubung lima tuduhan melakukan pemalsuan invois dan pesanan membabitkan projek Istana dan Kerajaan Negeri.

Antara lain, Yusri didakwa mengemukakan invois Yus Contruction & Trading kepada Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Shkori Mohamed, pada 3 Mac 2009, yang mengandungi butiran palsu, mengenai bekalan dan kerja mengetar tempat letak kereta Istana Negeri seluas 2,436 meter persegi pada harga RM27 semeter persegi, membabitkan tuntutan RM65,772.

Sebaliknya, kerja membekal dan mengetar itu hanya membabitkan 1,376 meter persegi dengan kos RM37,152. Ini membabitkan tuntutan berlebihan RM28,620 yang bermaksud untuk mengelirukan pegawai kewangan negeri.

Selain itu, tertuduh didakwa mengemukakan invois dengan butiran palsu kepada Shkori di Pejabat Perbendaharaan Negeri pada Disember 2008, membabitkan tuntutan membekalkan bahan dan kerja membina dan menyiapkan rumah puyuh seluas 7,656 kaki persegi bernilai RM267,960 bagi Projek Diraja Banggol, Kota Bharu, walaupun kerja itu tidak dilakukan.

Tertuduh mengaku tidak bersalah dan dibenarkan diikat jamin RM100,000. Kes itu akan disebut semula pada Mac dan April ini. - Bharian

No comments:

Post a Comment