30 January 2010

2 beradik, rakan akui tidak bersalah bakar gereja

KUALA LUMPUR 29 Jan. - Dua beradik dan seorang rakan mereka mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan melakukan khianat dengan membakar sebuah gereja di Wangsa Maju awal bulan ini.

Raja Mohamad Faizal Raja Ibrahim, 24, dan adiknya, Raja Mohamad Idzham, 22, serta Azuwan Shah Ahmad, 23, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim S.M. Komathy Suppiah.

Mengikut pertuduhan, mereka bersama-sama beberapa lagi yang masih bebas melakukan khianat menggunakan api dengan membakar Gereja Metro Tabernacle AG.

Mereka yang semuanya bekerja sebagai penghantar surat didakwa melakukan perbuatan itu kira-kira pukul 11.50 malam, 7 Januari lalu di No. 28, Jalan 4/4C, Desa Melawati, Wangsa Maju di sini.

Pertuduhan terhadap mereka dibuat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-timbalan Pendakwa Raya, Anselm Charles Fernandis, Yaacub Chik dan Lee Keng Fatt.

Terdahulu, ketika berjalan menuju ke kandang tertuduh, ketiga-tiga lelaki itu kelihatan lemah dan tidak terurus.

Mereka juga dilihat tercari-cari ahli keluarga masing-masing di galeri awam namun hampa apabila ruangan tersebut dipenuhi oleh media.

Namun susuk tubuh Raja Muhamad Faizal jelas kelihatan kesan melecur di bahagian muka hingga belakang tengkok dan kedua-dua tangannya manakala adiknya cedera dari pergelangan tangan kirinya hingga ke hujung jari bengkak serta terdapat kesan melecur.

Turut kelihatan, beg mengumpul air kencing berjuntai dari sebelah kanan pinggang Raja Muhamad Faizal yang memakai kemeja T dan seluar hospital berwarna hijau dengan beberapa kesan darah.

Ketika mengemukakan rayuan mengurangkan jumlah jaminan bagi dirinya dan adiknya, Raja Muhamad Faizal memberitahu mereka berasal daripada keluarga susah dan jumlah RM20,000 setiap seorang terlalu membebankan.

Azuwan pula memohon agar jumlah jaminan itu dikurangkan sehingga RM5,000 setiap seorang memandangkan mereka hanya bekerja sebagai penghantar surat.

''Itupun tak tahulah kalau kerja kami masih ada atau majikan dah buang (pecat),'' tambah Raja Muhamad Faizal.

Kesemua tertuduh juga memohon satu tarikh sebutan yang panjang memandangkan masih belum bertemu keluarga masing-masing sejak direman.

Anselm bagaimanapun menegaskan kesalahan yang dilakukan adalah serius dan menarik perhatian awam.

Beliau turut memaklumkan selepas ditanya oleh Komathy bahawa kes itu bergantung kepada keterangan langsung dan keterangan mengikut keadaan.

Hakim selepas mempertimbangkan rayuan dan hujah kedua-dua pihak menetapkan wang ikat jamin sebanyak RM20,000 setiap seorang.

Bagaimanapun, hanya RM10,000 yang perlu didepositkan terlebih dahulu manakala bakinya perlu dijelaskan sekiranya mereka gagal hadir perbicaraan di mahkamah.

Kes itu ditetapkan untuk sebutan semula pada 12 Mac ini bagi memberi peluang kepada kesemua tertuduh melantik peguam.

Dalam kejadian pada 7 Januari lalu, aras bawah gereja berkenaan yang terletak di sebuah lot kedai musnah terbakar setelah dilempar bom api. - Utusan

No comments:

Post a Comment