31 January 2010

(Video) Kerajaan Kikis Petronas Ketika Ekonomi Jatuh

PR to kick-start disciplinary committee

Sebulan putus tindakan terhadap Zulkifli, Zahrain

Jawatankuasa disiplin PKR menetapkan tempoh selama sebulan untuk meneliti tindakan yang akan diambil ke atas dua orang wakil rakyatnya - Zulkifli Noordin (Kulim) dan Datuk Zahrain Mohd Hashim (Bayan Baru).

Ketua umum parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika mengulas tempoh yang panjang itu bagaimanapun berkata, ia tidak bermaksud parti itu tidak serius dalam menangani tindakan wakil berkenaan.

Jelasnya, PKR membantah tindakan Zahrain menyerang ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang dilihat sebagai satu perbuatan yang keterlaluan.

Tambahnya, jawatankuasa disiplin telahpun mengadakan mesyuarat pertama bagi meneliti perkara itu.

"Kita dengar pandangan (dalam mesyuarat) supaya parti ambil tindakan keras dan segera. Tapi kita dalam PKR dan Pakatan Rakyat mesti tunduk kepada peraturan dan perlembagaan parti.

"Juga kita perlu beri peluang kepada orang itu untuk bela dirinya," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat majlis pimpinan pusat PKR di Tropicana Golf and Country Resort, Petaling Jaya hari ini.

Zahrain yang bertindak menyerang Lim sebagai seorang pemimpin "diktator, cauvinis, befikiran komunis" antaraya kerana tidak berpuas hati dengan pembahagian kontrak kerajaan Pulau Pinang kepada bumiputera.

"Ia bukan masalah kritikan. Kita memang beri ruang untuk kritik, tapi bila serang Lim Guan Eng sebagai cauvinis, komunis dan diktator, itu tidak betul.

Tambahnya, majoriti daripada kontrak secara tender terbuka daripada kerajaan negeri itu disalurkan kepada golongan bumiputera

"Ada benda yang kita tidak setuju, tapi dia ketua menteri, dia yang putuskan," katanya lagi.

Selain Zahrain dan Zulkifli, turut disiasat ialah ahli pimpinan tertinggi parti itu Datuk Zaid Ibrahim yang menyelar tindakan Zulkifli.

"Ada juga yang serang Datuk Seri Zaid Ibrahim kerana tidak tegas dan jawatankuasa disiplin juga sedang teliti kenyataan beliau (Zaid)," katanya lagi.

Bercakap dalam satu lagi sidang media selepas mesyuarat majlis pimpinan Pakatan Rakyat petang ini, Anwar berkata, pemimpin PKR telah diarahkan untuk memberi sokongan padu kepada Lim Guan Eng.

"Saya bagi pihak PKR telah memberi penjelasan (dalam mesyuarat pimpinan Pakatan Rakyat) bersabit dengan kenyataan dan tindakan Zulkifli Nordin membuat laporan polis terhadap ahli parlimen PAS Khalid Samad.

"Pimpinan Pakatan Rakyat memandang berat dan tidak bersetuju dengan laporan polis berkenaan dan juga minta kes itu dirujuk dengan kadar segera kepada jawatankuasa disiplin," katanya dalam sidang media tersebut, yang turut dihadiri presiden PAS Datuk Seri Hadi Awang dan juga penasihat DAP Lim Kit Siang.

Anwar dalam pada itu turut menyeru supaya jawatankuasa tatatertib Pakatan menyegerakan perjumpaan bagi memastikan kerjasama di semua peringkat pakatan itu berjalan dengan baik.

Dalam sidang media yang sama, Hadi kemudiannya berkata isu melibatkan Zulkifli dan Khalid itu kini dianggap selesai apabila Zulkifli dirujuk kepada jawatankuasa disiplin parti.

Menurutnya, perbezaan pendapat merupakan perkara biasa namun, dan menambah bahawa "yang penting adalah kesefahaman."

Kit Siang pula berkata, DAP juga akan terus bekerjasama dalam Pakatan Rakyat.

"Kami menghormati sepenuhnya hak PKR untuk mengambil tindakan sewajarnya (ke atas Zahrain dan Zulkifli)," katanya.

Sebelum itu, Anwar juga memberitahu bahawa sambutan dua tahun penubuhan kerajaan Pakatan Rakyat akan diadakan di Pulau Pinang pada 10 Mac ini.

Sambutan tahun pertama penubuhannya telah diadakan di Selangor tahun lalu. - Malaysiakini

Umno Kelantan tiada kuasa ambil tindakan ke atas Ku Li

JELI: Badan Perhubungan Umno Kelantan tidak mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan ke atas Ketua Umno Bahagian Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, yang pendiriannya bertentangan dengan kerajaan pusat berhubung bayaran royalti minyak kepada Kelantan.

Pengerusinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata hanya Majlis Tertinggi Umno yang boleh membuat keputusan dalam soal itu.

"Ianya bukan bidang kuasa Umno Kelantan, hanya Majlis Tertinggi parti boleh tentukan dan putuskan tindakan ke atas Tengku Razaleigh," katanya selepas merasmikan Klinik 1Malaysia di Batu Melintang, di sini hari ini.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada Umno Kelantan boleh mengambil tindakan ke atas Tengku Razaleigh berikutan kenyataannya pada Khamis lalu yang mendakwa kerajaan negeri Kelantan kini patut mendapat bayaran royalti minyak dan bukannya wang ihsan.

Berikutan itu, Perdana Menteri dan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pucuk pimpinan parti akan meneliti ucapan Tengku Razaleigh itu.

Mustapa, bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai pendirian Tengku Razaleigh itu.

Sementara itu, pada majlis perjumpaan khas dengan Umno Bahagian Pasir Puteh di PASIR PUTEH malam tadi, Mustapa berkata, Badan Perhubungan Umno Kelantan akan menemui Perdana Menteri untuk berbincang dan mencadangkan projek-projek yang akan dilaksanakan di bawah pemberian wang ihsan kepada rakyat Kelantan.

Beliau berkata, pihaknya sedang mendapatkan tarikh yang sesuai untuk mengadakan perjumpaan dengan Perdana Menteri.

"Apabila tarikh diperolehi satu rombongan akan menemui Perdana Menteri yang turut disertai ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) dan ahli Parlimen daripada Barisan Nasional (BN)," katanya.

Mustapa, baru-baru ini mengumumkan kerajaan pusat akan menyalurkan RM20 juta wang ihsan kepada Kelantan bagi menggantikan royalti minyak dan jumlah itu adalah lima peratus daripada hasil perolehan gas dan petroleum di perairan Kelantan pada 2008. - Bernama

Jangan biarkan Umno terus zalimi rakyat

LARUT, 31 Jan: Umno Barisan Nasional tidak boleh dibiarkan untuk terus memerintah ekoran telalu banyak penganiayaan dan kezaliman dilakukan kepada rakyat di negara ini.
Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussain berkata, selain mengainaya rakyat, Umno juga tidak boleh diharap untuk menjaga hal berkaitan agama Islam itu sendiri.

"Umno sekat bantuan ke negeri Kelantan sebab Kelantan diperintah pembangkang, Umno khianati orang miskin khususnya dalam Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), Umno sebenarnya khianat tanah orang Melayu di Perak dan menuduh Pakatan yang khianat.

" Umno tidak boleh agama, kita tengok apa yang mereka sudah lakukan terhadap agama Islam sekarang," katanya sewaktu berucap merasmikan program Himpunan Pemuda PAS Perak (HEMPAP) 2010 di Darul Ta'lim, Selama, di sini.

Selain itu dakwanya, kerajaan Umno juga bersikap 'double standard' dalam melaksanakan undang-undang dengan mensasarkan pembangkang dan mereka yang menentang dasar mereka.

"Undang-undang 'double standard', dikenakan kepada pemimpin pembangkang dan orang yang membangkang mereka," katanya lagi.

Menyentuh keputusan mahkamah berhubung kes Menteri Besar Perak yang bakal diketahui 9 Februari ini beliau berkata, PAS dan pakatan rakyat akan menerima sebarang keputusan asalkan ianya dibuat secara adil.

"Kalau kita menang, kita akan buat cara menang, kalau kalah kita buat cara kalah sebab kita dah memang biasa kalah.

"Tapi biarlah kalah dalam bentuk yang adil dan boleh diterima oleh fitrah manusia," katanya lagi.

Namun dalam apa juga keputusan yang bakal dikeluarkan, beliau mengharapakan pemuda terus bangkit menentang sebarang kezaliman Umno BN.

Dalam pada itu, Ketua Pemuda PAS Perak, Zawawi Hassan dalam ucapannya sebelum itu mengarahkan seluruh pemuda bersiap sedia berdepan Pilihan Raya Negeri ekoran ura-ura pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak bila-bila masa.

"Saya arahkan pemuda untuk menggerakkan jentera di semua peringkat termasuk kawasan,cawangan dan MTD (Majlis Tindakan DUN) bergerak seperti nadi kita yang sedang berdenyut.

"Untuk hancurkan siapa? Umno," soalnya sambil disahut seluruh pemuda yang hadir.

Lebih 8,000 pemuda sudah memenuhi perkarang Darul Ta'lim di sini dan penganjur menjangkakan kehadiran terus bertambah menjelang acara kemuncak ucapan pimpinan utama PAS petang ini.

Turut akan memberi ucapan petang ini adalah Ketua Pemuda PAS Pusat, Nasruddin Hassan, Menteri Besar Pakatan Rakyat Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan dua Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub.

Sekurang-kurangnya terdapat dua sekatan pihak polis dilihat mengadakan sekatan jalan menuju masuk ke kawasan himpunan di sini. - Harakahdaily

Majlis kahwin penulis blog berjalan lancar

SEREMBAN 30 Jan. – Majlis perkahwinan penulis blog adukataruna. blogpsot. com. my yang baru dibebaskan dengan ikat jamin selepas didakwa di Mahkamah Sesyen di sini semalam, berjalan lancar dan meriah di kediamannya di Rumah Rakyat Panchor, Paroi, dekat sini, hari ini.

Khairulnizam Abd. Ghani, 29, dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan menghina institusi kesultanan Johor.

Tinjauan Mingguan Malaysia di rumah Khairulnizam mendapati majlis perkahwinannya itu berlangsung dengan penuh ceria tanpa sebarang gangguan serta dikunjungi oleh saudara mara serta sahabat handai.

Seorang ahli keluarga yang enggan dikenali berkata, majlis itu bermula dari pukul 11.30 hingga 6 petang hari ini.

“Majlis hari ini berjalan lancar dan ceria tanpa sebarang gangguan, ramai sanak saudara, jiran dan sahabat yang datang untuk meraikan kedua-dua pengantin.

“Tetapi kita tak mahu komen apa-apa lagi kerana ia akan mengganggu emosi keluarga kami termasuk ibu bapa. Apa pun kami bersyukur setelah dia dibenarkan diikat jamin kira-kira pukul 7.00 petang semalam,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Katanya lagi, kedua-dua pengantin serta ibu bapa mereka enggan bertemu wartawan dan enggan mengulas sebarang kenyataan kerana sebuah akhbar perdana negara telah membuat laporan yang tidak tepat mengenai Khairulnizam.

“Kita bukan apa, sebab sebelum ini sebuah akhbar perdana buat laporan yang tidak tepat dan mungkin abang (Khairulnizam) akan ambil tindakan.

“Contohnya, akhbar itu ada mengatakan yang abang menyembunyikan diri padahal itu tidak benar sama sekali,” ujarnya. - Utusan

* Baju ala Johor... Semoga bahagia melayari bahtera rumahtangga :)

Saya ingin beri keterangan di mahkamah - Saiful

KUALA LUMPUR 30 Jan. - Pengadu kes liwat membabitkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohd. Saiful Bukhari Azlan hanya berharap beliau dapat memberikan keterangan di mahkamah bagi menyelesaikan kes itu yang telah tertangguh beberapa kali.
Menurutnya, sejak hari pertama Anwar dihadapkan ke Mahkamah Sesyen pada 7 Ogos 2008, kira-kira 20 kali perbicaraan ditangguhkan kerana pelbagai permohonan yang dibuatnya.

"Selama ini, hanya 'satu' sahaja permintaan saya iaitu untuk memberi keterangan di mahkamah. Namun, setelah sekian lama saya menanti dengan sabar, beliau masih berusaha sedaya upaya untuk menafikan 'hak' saya,'' katanya dalam blog beliau, http://mohdsaifulbukhari.blogspot.com.

Mengulas laporan akhbar hari ini mengenai 'Rayuan terakhir Anwar gagal' beliau bagaimanapun berkata, semua pihak akan menunggu keputusan Hakim Mahkamah Tinggi pada 2 Februari ini sama ada permohonan penangguhan Anwar diterima atau sebaliknya.

"Akan terus berdoa, istiqamah dan bersabar, kepada Allah saya berserah," katanya.

Menurut laporan akhbar, Anwar sekali lagi gagal dalam rayuannya supaya dibekalkan semua dokumen penting pendakwaan termasuk spesimen asid deoksiribonukleik (DNA) Mohd. Saiful Bukhari untuk menyediakan pembelaan kes liwatnya.

Usahanya itu menemui jalan buntu setelah Mahkamah Persekutuan semalam membuat keputusan muktamad menolak rayuan terakhir Ketua Pembangkang itu.

Bagaimanapun, Anwar masih mempunyai satu lagi peluang mendapatkan dokumen-dokumen tersebut menggunakan Kaedah 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995 melalui permohonan semakan yang akan difailkan pada Selasa ini.

Panel tiga hakim diketuai oleh Hakim Besar Malaya, Tan Sri Arifin Zakaria ketika menolak rayuannya berpendapat, Anwar tidak layak dibekalkan dokumen-dokumen tersebut kerana perbicaraan belum dimulakan.

Anwar merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan pendakwa raya dan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mengarahkannya membekalkan dokumen penting itu.

Bagaimanapun, perbicaraan kes liwat itu yang sepatutnya didengar Selasa depan di Mahkamah Tinggi masih tidak dapat dimulakan setelah Anwar mengemukakan penangguhan saat akhir, kelmarin.

Beliau memohon penangguhan atas alasan rayuan berhubung penolakan terhadap permohonannya untuk membatalkan tuduhan liwat masih belum didengar di Mahkamah Rayuan.

Pada 6 November tahun lalu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan turut menolak rayuan balas Anwar supaya dibekalkan spesimen DNA yang telah diuji milik Mohd. Saiful Bukhari, 25, yang juga pengadu kes.

Pemimpin pembangkang itu menghadapi tuduhan meliwat mangsa di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di ibu negara di antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008. - Utusan

* Sempat lagi hafal skrip tu...

Cabar Rais bawa ke mahkamah

KOTA BHARU 30 Jan. – Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah mempersoalkan kenyataan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim yang meminta kerajaan Pas Kelantan membawa isu tuntutan royalti minyak ke mahkamah.

Beliau yang juga bekas Pengerusi Petronas berkata, apa yang dinyatakan pada ceramah di Stadium Sultan Mohamed Ke-IV malam kelmarin adalah berdasarkan Akta Petroleum 1974 yang jelas memberikan hak tersebut kepada kerajaan Kelantan.

“Kalau dia (Rais) fikir begitu elok dia bawa ke mahkamah, saya tidak ada kuasa juga. Dia (Rais) tahu sejarah, saya tak tahu sejarah

“Saya bercakap apa yang diperuntukkan akta dan oleh perjanjian yang dibuat oleh Petronas dan kerajaan negeri dengan restu kerajaan Pusat diketika itu, ini yang dipakai sampai sekarang.

“Jadi kalau hendak selesai segala-gala di mahkamah maka tidak usah pakai apa-apa (undang-undang atau perjanjian), bawa ke mahkamah sajalah,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Rais bahawa isu tuntutan petroleum oleh kerajaan akan hanya dapat diselesaikan di mahkamah dan bukannya melalui ceramah di stadium.

Dalam pada itu, ketika mengulas mengenai persetujuan untuk mengetuai kaukus petroleum yang dicadangkan pakatan pembangkang, Tengku Razaleigh yang juga bekas Menteri Kewangan berkata, tidak ada apa yang perlu dibimbangkan kerana jawatankuasa tersebut akan turut disertai oleh ahli Parlimen Barisan Nasional (BN).

“Saya tidak menetapkan sebarang syarat. Saya cadang hendak terima jawatan itu tetapi belum buat keputusan lagi kerana saya kena bercakap dengan ahli-ahli Parlimen terutama dari negeri-negeri yang mengeluarkan minyak supaya ada perwakilan dari mereka, barang kali dua orang dari satu negeri.

“Kebanyakan negeri ini diwakili oleh ahli Parlimen BN tetapi kita tidak kira sangat kecuali Kelantan yang tidak dalam kalangan BN.

“Kalau dikira bilangan majoritinya adalah dari BN jadi tidak ada apa nak ditakut bukan hendak buat keputusan, ini bukan kerajaan tetapi kita nak bincang saja,” katanya.

Menurut beliau, kaukus tersebut tidak akan menjadi kenyataan sekiranya tidak mendapat persetujuan daripada ahli-ahli Parlimen dari BN dan pembangkang.

Jelasnya, ia bukan sahaja membincangkan mengenai royalti tetapi juga kedudukan ekonomi negeri-negeri di seluruh negara. - Utusan

Anwar akan mohon mahkamah tangguh lagi perbicaraan liwat

KUALA LUMPUR 31 Jan. – Selasa 2 Februari ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi akan memohon kepada Mahkamah Tinggi supaya perbicaraan kes liwatnya ditangguhkan.

Dalam pada itu, pihak pendakwaan pula menegaskan mereka bersiap sedia untuk memulakan perbicaraan kes itu pada hari yang sama.

Sama ada perbicaraan yang telah beberapa kali tertangguh dan ditunggu-tunggu itu akhirnya akan bermula, bergantung kepada keputusan Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah yang terlebih dahulu akan mendengar permohonan Anwar bagi penangguhan.

Dalam permohonannya yang difailkan hanya lima hari lepas sebelum penetapan tarikh perbicaraan itu, Anwar berkata, kes itu perlu ditangguhkan sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak untuk menggugurkan pertuduhan liwat terhadapnya.

Mahkamah Rayuan masih belum menetapkan tarikh bagi pendengaran rayuan itu. - Bernama

25 Ajaran Difatwakan Sesat di Selangor

SHAH ALAM: Sebanyak 25 ajaran telah difatwakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor sebagai ajaran sesat di negeri ini sejak tahun 1990an hingga kini.

Antara ajaran yang telah difatwakan sebagai sesat ialah, Tarekat Naksabandiyah Kadirun Yahya, Ajaran Nordin Puteh, Tarikat Mufarduyah, Ajaran Hj Ghazali Othman, Ajaran Zamree Ab Wahab, Fahaman Syiah, Tarikat Al-Hasaniah, Tarikat Samaniah Ibrahim Bonjol, Ajaran Tijah@Khadijah Ali, Ajaran Islam Lamaah, Ajaran Qadani, Ajaran Ilmu Hakikat Hassan Jonit.

Selain itu, Ajaran Ilmu Ahmad Laksaman, Ajaran Tarikat Zikrullah Hassan Anak Rimau, Ajaran Martabat Tujuh, Golongan Anti Hadis, Ajaran Kahar Ahmad, Aurad Ismailiah, Al-Arqam, Ajaran Syed Mohamad Al Masyhor, Ajaran Sulaiman, Ajaran Qadani dan Ajaran Banuar Roslan turut dikategorikan sebagai ajaran sesat.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Datuk Mohammed Khusrin Munawi berkata, selain 25 ajaran yang telah disahkan sebagai sesat itu, pihaknya juga sedang menyiasat 35 kes lagi yang dilaporkan sebagai sesat.

"Ini termasuk kes perbomohan, ada juga kes seorang budak dapat melihat alam ghaib dan dapat mengubat orang sakit," katanya dalam satu temubual eksklusif bersama mStar Online.

Beliau menjelaskan, tidak sepertimana yang disangka ramai, pihak jabatan tidak terus menjatuhkan fatwa hanya berdasarkan aduan atau laporan awam melainkan setelah menjalankan siasatan terperinci mengenai kandungan ajaran sesuatu tarikat atau amalan sebelum dibawa kepada Jawatankuasa Fatwa Negeri untuk diputuskan.

"Memang kita memerlukan masa yang panjang kerana kita memerlukan bukti kukuh. Tetapi ada juga ajaran yang tidak dapat difatwakan kerana tidak cukup bukti.

"Untuk memfatwakan seseorang itu salah dan sesat bukan mudah kerana ini soal akidah. Kalau kita silap kita bertanggungjawab ke atas keputusan yang dibuat. Sebab itu kita mengambil masa yang lama untuk putuskan,” katanya.

Beliau menambah, Jais tidak boleh mengambil tindakan terhadap kumpulan yang sedang disiasat sehingga ia difatwakan.

Ditanya sama ada 'freemason' dan 'illimunati' tergolong dalam ajaran sesat, Mohammed Khusrin berkata: "Pada pendapat saya ia bukan ajaran Islam maka ia tidak boleh dikira sebagai ajaran sesat.

Menurut beliau yang ditafsirkan sebagai ajaran sesat ialah ajaran yang telah menyeleweng daripada ajaran Islam.

"Selalunya orang yang menyebarkan ajaran sesat ini mengaku dirinya Islam tetapi dia menyebarkan ajaran yang bertentangan dengan akidah," katanya.

Mengulas lanjut isu berkenaan, beliau berkata, tempoh masa yang agak lama diperlukan untuk menyiasat dan mengumpulkan bukti mengenai sesuatu ajaran sebelum ia dikategorikan sebagai ajaran sesat.

Mengenai garis panduan yang digunakan Jais, Mohammed Khusrin berkata, pihaknya akan mengambil tindakan terhadap ajaran yang didapati bertentangan dengan syarak dan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

"Kita berpandukan ajaran al-Quran, hadis, Ijmak Ulamak dan fatwa. Contohnya kumpulan tarekat memang sukar untuk dipastikan mereka menyeleweng atau sebaliknya.

"Ini kerana kita terpaksa ikut dan masuk dalam kumpulan itu dan kita lihat serta kaji zikir mereka," katanya.

Tambah beliau, ajaran sesat bukan mudah untuk dikesan dan untuk mengesan ajaran sebegini pegawai-pegawai Jais akan menyamar dengan menjadi sebahagian daripada ahli kumpulan tersebut bagi melihat sendiri ajaran yang dibawa oleh kumpulan berkenaan.

Justeru, bagi membendung masalah tersebut, Mohammed Khusrin berkata, Jawatankuasa Panel Akidah yang dipengerusikan oleh Mufti Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Tamyes Abdul Wahid dan beberapa pakar dalam bidang syariah dan akidah akan menjalankan sesi kaunseling dengan mereka yang disyaki terlibat dalam menyampaikan ajaran sesat di negeri itu.

"Kita akan panggil mereka yang kita disyaki ini dan kita berdialog mengenai ajaran yang mereka bawa.

"Akan datang kita akan panggil Tarekat Nasabandiyah untuk dapat penjelasan dan cuba membetulkan akidah pemimpin kumpulan ini," katanya.

Selain itu, katanya, Jais dengan kerjasama Jabatan Mufti Negeri serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sentiasa mengadakan ceramah dan dialog dengan orang-ramai dari semasa ke semasa.

"Kita akan pergi memberi ceramah dan dialog di daerah dan kawasan yang kita kenalpasti seperti di Gombak, Ampang kerana kawasan ini menjadi tumpuan.

"Kita juga turut mengedarkan risalah dan menyampaikan khutbah Jumaat untuk sedarkan masyarakat tentang bahayanya ajaran sesat ini," kata beliau. - Mstar

Anwar hadir perbicaraan Selasa ini

KUALA LUMPUR, 30 Jan: Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menghadiri sesi perbicaraan di Mahkamah Tinggi Jenayah 3, Kompleks Jalan Duta pada 2 Februari (Selasa) ini, jam 8.30 pagi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh didakwa di bawah seksyen 377B Kanun Jenayah.

Menurut kenyataan Biro Komunikasi PKR, pendakwaan itu sebagaimana kes tahun 1998 lalu, menerima bantahan meluas baik dari dalam mahupun luar negara kerana didasari motif politik untuk menghalang kemaraan rakyat menuntut perubahan.

Anwar dilihat antara tokoh utama yang menggembleng hasrat rakyat, baik pada tahun 1998 mahupun pada pasca Pilihan raya Umum 2008. - Harakahdaily

Dr. Mahathir kecewa parti Melayu bantu kaum sendiri

KUALA LUMPUR 30 Jan. - Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, tiga parti utama orang Melayu iaitu UMNO, Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) terlalu 'asyik' mendapatkan sokongan bukan Melayu sehingga tidak mempedulikan rintihan kaum mereka sendiri.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, ketika ini apa jua tuntutan bukan Melayu, sama ada beralas undang-undang, Perlembagaan atau perjanjian lalu, akan dilayan oleh parti-parti berkenaan.

Beliau percaya tindakan itu berpunca daripada keyakinan mereka yang menyedari bahawa orang Melayu tidak mempunyai banyak pilihan ketika pilihan raya dan akan tetap menyokong mereka.

"Tidak perlu saya nyatakan apa yang menyebabkan kita berasa kecewa. Tetapi kita lihat orang yang dulu kata orang Islam jika berkawan dengan bukan Islam akan jadi kafir, sekarang peluk cium orang bukan Islam dan dihalalkan segalanya bagi mereka kerana orang Melayu tetap akan bagi sokongan.

"Ia bukan tindakan yang bijak. Orang Melayu rasa tidak boleh lagi bergantung pada parti-parti politik, sebab itu ditubuhkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menyuarakan pendapat mereka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan lebih 2,000 hadirin pada majlis pelancaran Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Selangor di Dewan Serbaguna Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Hulu Kelang di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar; Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali serta beberapa pemimpin NGO Melayu.

Dr. Mahathir menambah, terdapat beberapa NGO Melayu yang menemuinya dan menyatakan kekecewaan mereka terhadap kerajaan dan parti-parti pembangkang.

"Tetapi apa yang mereka boleh buat. Mereka kata, jika terlampau giat suarakan pendirian orang Melayu, mereka akan dituduh rasis dan mungkin juga diambil tindakan oleh pihak berkuasa.

"Akhirnya, mereka datang bertemu bekas Perdana Menteri yang sudah tidak bertaring. Mereka kecewa tetapi tidak dapat suarakan kepada pemimpin Melayu sama ada kerajaan atau parti lawan," ujarnya.

Beliau bagaimanapun mengingatkan orang Melayu agar melakukan protes secara tertib dan tidak melakukan kekacauan sehingga menghancurkan keamanan negara.

"Kalau mereka tidak dengar, kita ada kuasa dalam pilihan raya. Jangan gunakan cara yang boleh merosakkan keamanan.

"Tetapi saya bimbang, sekiranya keadaan ini berterusan, orang Melayu yang sekian lama memendam kekecewaan akan 'meletup'," katanya. - Utusan

Zahrain pertahan dakwaan

PULAU PINANG 30 Jan. – Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim tetap mempertahankan kenyataannya yang mendakwa Ketua Menteri, Lim Guan Eng seorang yang cauvinis, diktator dan berfikiran bahaya.

Menurut bekas Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang itu, beliau tidak mempunyai sebarang agenda peribadi apabila mengeluarkan kenyataan tersebut sebaliknya mahu menjaga kepentingan negeri itu.

Tegasnya, jika ada pihak yang cuba menuduh tindakan tersebut bersifat peribadi atau mengaitkan keluarganya dalam pemberian tender bagi pengurusan Kelab Golf Bukit Jalil, beliau tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang.

Menurutnya, beliau percaya ramai lagi pemimpin dalam pakatan pembangkang yang bersetuju dalam perkara itu sekali gus menggesa mereka supaya tidak lagi berkompromi dengan Setiausaha Agung DAP itu.

‘‘Siapa yang kenal lama dengan Guan Eng pasti tahu apa yang saya cakap itu sememangnya benar, jadi cukup-cukuplah daripada nak terus mempertahankannya.

‘‘Ingin ditegaskan bahawa saya tidak obses dengan pangkat atau sebagainya, saya cakap apa yang betul, Pulau Pinang memang tak perlu orang macam itu,” katanya kepada Mingguan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Pada masa sama, beliau menyeru kepimpinan PKR tidak berkompromi dengan rakan lain dalam pakatan pembangkang semata-mata untuk mengejar jawatan Perdana Menteri.

Tegasnya, pemimpin PKR termasuk Penasihatnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak boleh lari daripada agenda yang telah dipersetujui sebelumnya, iaitu untuk melakukan reformasi dalam pelbagai bidang di negara ini. - Utusan

* Hendak tender jangan masuk Pakatan Rakyat...

30 January 2010

Biarpun digantung matlamat saya tercapai: Khalid Samad

SHAH ALAM: Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad hari ini berkata beliau tidak kecewa walaupun digantung jawatan sebagai Yang DiPertua Pas Shah Alam dan Ahli Lujnah Politik Pas Pusat selama enam bulan berkuatkuasa semalam kerana matlamatnya telah tercapai.

"Ramai yang tidak sedar, tetapi pada hakikatnya matlamat minimum saya telah pun tercapai," katanya di dalam laman blog beliau www.khalidsamad.com hari ini.

"Tindakan Datuk PJ (Pesuruhjaya Pas Selangor Datuk Dr Hasan Mohamed Ali) selama ini yang saya tentang secara terbuka telah diisytihar "salah" dan beliau telah diberi amaran keras serta seterusnya dilarang mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dan menjejaskan pakatan pembangkang Selangor," katanya.

Beliau berkata Dr Hasan tidak boleh lagi memberikan gambaran bahawa tindakan beliau direstui oleh pemimpin tertinggi.

Semalam, Jawankuasa Disiplin Pas Pusat yang dipengerusikan oleh Naib Presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mendapati kedua-duanya bersalah dan Dr Hasan turut dikenakan amaran bertulis.

Khalid mengakui walaupun jawatannya digantung tetapi itu tidak sepenting tindakan terhadap Dr Hasan yang telah diberi kata dua berhubung sikap dan tindakannya selama ini.

Beliau berkata hukuman gantung jawatan yang dikenakan ke atasnya disebabkan cara beliau menegur Dr Hasan yang dianggap memudaratkan Pas.

"Mungkin betul, mungkin tidak. Namun saya telah lama berusaha sebelum itu, secara dalaman, secara surat kepada pihak atasan tetapi semuanya tidak berhasil. Budaya wala'' (taat kepada pemerintah) terlalu menebal. Menghampiri ketaatan membuta tuli," katanya.

Khalid berkata akhirnya beliau tidak mempunyai pilihan lain kecuali menghadapi perbalahan secara terbuka.

"Memang mengikut budaya Malaysia, apabila melawan ''tauke'' kuli yang akan kena. Ikut macam mana pun pasti akan kena. Tetapi kali ini ''tauke'' pun kena juga. Walaupun hanya sedikit tetapi pada saya sudah mencukupi," katanya.

Beliau berkata jika Dr Hasan terus dengan cara lamanya, beliau sendiri akan melaporkan perkara itu kepada Jawatankuasa Disiplin Pas.

Katanya beliau juga tidak merasa kecewa di atas penggantungannya itu memandangkan keputusan sudah dibuat tetapi belum memutuskan untuk membuat rayuan. - Bernama

PKR Kesal Dengan Tohmahan Zahrain

Kerajaan tak cadang tubuh Suruhanjaya Antara Agama

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak bercadang menubuhkan Suruhanjaya Antara Agama pada masa ini kerana dialog tertutup yang dilakukan berterusan sekarang sudah memadai untuk menangani isu berbangkit, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata dialog tertutup itu juga dapat membantu mewujudkan persefahaman, menimbulkan suasana aman dan saling hormat-menghormati di kalangan rakyat majmuk di negara ini.

"Kita tidak perlukan Suruhanjaya Antara Agama. Pada ketika ini kita tidak fikir yang ia sesuatu yang perlu, tetapi dialog berterusan antara kumpulan yang mewakili agama-agama...Islam dan bukan Islam...sudah memadai," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Dialog Idealisme Generasi Muda di Angkasapuri di sini, hari ini.

Ditanya isu kalimah Allah yang melibatkan sensitiviti penganut agama Islam dan Kristian di negara ini, Muhyiddin berkata perbincangan secara tertutup antara pertubuhan kedua-dua agama itu sudah diadakan dan akan diteruskan.

"Kadang-kadang faedahnya lebih baik begitu (secara tertutup)...ini cara berhemah pasal bukan ada kepentingan politik.

"Ini untuk mencari satu titik pertemuan, mewujudkan persefahaman, menimbulkan suasana yang aman dan saling hormat-menghormati," katanya.

Pada majlis itu, Muhyiddin turut berdialog dan menjelaskan pelbagai isu semasa yang dibangkitkan mahasiswa Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Teknologi Mara serta wakil pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Terdahulu, Muhyiddin melancarkan laman web politik rasmi pertama beliau My-Malaysia, yang antara lain memaparkan aktiviti kemasyarakatan dan politik, koleksi ucapan dan liputan berita dalam dan luar negara mengenainya.

Laman web itu juga mempunyai medium interaksi dua hala di antara Muhyiddin dengan rakyat dan boleh dilayari di http://www.my-malaysia.com.my.

"Hari ini, saya telah lancarkan laman web peribadi sebagai wadah untuk kita berkomunikasi. Saya berharap saudara-saudari akan menggunakan laman web ini untuk kita memberikan pandangan secara langsung mengenai apa sahaja isu," katanya ketika berucap melancarkan laman web itu.

Muhyiddin berkata penubuhan laman web itu juga sebagai usaha untuk mendekati dan berinteraksi dengan dengan anak-anak muda dengan menerima pandangan dan kritikan mereka.

"Anak-anak muda sekarang inginkan kerajaan yang telus, dalam erti kata lain menjelaskan dan menjawab apa saja isu yang dibangkitkan (dan) kerajaan komited untuk berbuat demikian. Dan untuk itu, kita akan terus mendekati anak-anak muda melalui media sosial," katanya.

Beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak juga aktif berinteraksi melalui laman web 1Malaysia, Twitter dan Facebook dan anggota-anggota Kabinet juga telah diminta untuk berinteraksi dengan rakyat melalui media sosial itu.

"Justeru itu, saya ingin ingatkan anak-anak muda untuk menggunakan media sosial dan membuat kritikan secara berhemah. Walaupun kita berbeza pendapat, usah ketepikan adab dan budaya," katanya. - Bernama

Stageless Sgor govt a sensation at Thaipusam

Bakar gereja: PAS selar campur tangan Hishammuddin

KUALA LUMPUR, 30 Jan: PAS menyelar kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang melarang polis mengambil keterangan daripada Naib Presiden PKR, Azmin Ali, yang sebelum ini mendakwa mempunyai bukti bahawa ahli Umno terlibat dalam kes membakar dan mendalangi serangan ke atas gereja Metro Tabernacle, baru-baru ini.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata, sebagai Menteri Dalam Negeri, Hishammuddin tidak boleh memberikan arahan sedemikian demi untuk melindungi ahli partinya.

“Setiap kali ada kes jenayah dilaporkan, polis sering meminta bantuan orang ramai untuk mengumpul maklumat. Tetapi bila sudah ada orang yang mahu tampil memberikan maklumat dan bukti, kenapa perlu dihalang?” ujarnya kepada Harakahdaily.

Katanya, walaupun Hishammuddin adalah menteri yang bertanggungjawab, namun bila wujud kes yang melibatkan kepentingan parti dan ahli Umno, maka beliau wajar mengumumkan untuk tidak masuk campur dan menyerahkan urusan siasatan kes berkenaan di bawah tanggungjawab Ketua Polis Negara dan Peguam Negara sepenuhnya.

Dalam keadaan sebegitu, ujarnya lagi, rakyat jelas melihat bahawa beliau cuba untuk menafikan maklumat Azmin, dan cuba untuk menghalang bukti-bukti disalurkan kepada pihak polis untuk mendakwa suspek.

Idris mengambil contoh dalam Kes Teoh Beng Hock sebelum ini di mana Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dengan pantasnya dipanggil memberikan keterangan berikutan dakwaan beliau bahawa Beng Hock dibunuh.

“Tetapi kenapa bila Azmin berkata beliau mempunyai bukti bahawa ahli Umno terlibat membakar gereja, beliau tidak dipanggil memberikan keterangan,” ujarnya.

Sehubungan itu, katanya, PAS mendesak supaya polis bersikap profesional dan tidak tunduk kepada arahan menteri dan bersubahat menafikan maklumat dan keterangan rakyat.

Menurutnya, jika perkara itu dibiarkan, tidak mustahil selepas ini, ahli-ahli Umno boleh melakukan apa sahaja jenayah dan tidak perlu disiasat walaupun ada rakyat yang mempunyai maklumat dan bukti.

Tambahnya, PAS bertegas agar polis mengambil keterangan Azmin bagi mengesahkan sama ada dakwaan beliau benar atau tidak.

Jika benar, katanya ahli Umno terlibat merancang perbuatan itu, maka PAS dan rakyat Malaysia melahirkan rasa sedih di atas perbuatan yang memalukan negara. - Harakahdaily

Kecewa mungkin sebabkan Zahrain naik berang dengan Lim Guan Eng

PULAU PINANG - DAP Pulau Pinang berkata, bekas pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Zahrain Mohd Hashim yang naik berang terhadap Ketua Menteri Lim Guan Eng mungkin berpunca daripada sebab peribadi.

Pengerusi DAP negeri Chow Kon Yeow berkata, beliau percaya Zahrain kecewa berhubung keenganan Lim untuk tidak menyokong tender bagi pengurusan kelab golf Bukit Jalil kepada sebuah syarikat.

"Lim telah memaklumkan kepada saya bahawa Zahrain kecewa dengan kerajaan negeri kerana enggan menyokong syarikat itu untuk menjalankan pengurusan kelab golf," katanya.

Chow juga berkata Zahrain juga kecewa berhubung penyingkirannya sebagai pengerusi PKR negeri.

Beliau berkata, DAP negeri dan semua wakilnya melahirkan sokongan penuh terhadap LIM bagi meneruskan kepimpinannya sebagai ketua menteri.

Semalam, laporan akhbar menyebut Zahrain yang juga Anggota Parlimen Bayan Baru menuduh setiausaha agung DAP itu sebagai seorang diktator dan cauvinis dan berfikiran komunis.- Bernama

Angry students occupy UM admin building, demand fresh polls (Video)

I accept the decision (Video)

Gagal selami mahasiswa, Menteri dianggap tak matang

Pengerusi pro-Mahasiswa (pro-M) Universiti Malaya (UM), Mohd Shafie Hashim menyelar kenyataan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Khaled Nordin yang menyifatkan tindakan sekumpulan mahasiswa berdemonstrasi di hadapan pejabat Naib Canselor UM semalam selepas kalah pada pilihan raya kampus (PRK) sebagai tidak matang.

Shafie sebaliknya mendakwa kenyataan Khaled itu membuktikan bahawa Menteri itu bukan seorang pemimpin rakyat dan mempunyai ego serta tidak ada prikemanusiaan terhadap penindasan.

“Jika begitu, sebenarnya Dato Khaled juga tidak matang kerana mengeluarkan kenyataannya tanpa menyelami apa yang mahasiswa rasai,” katanya menerusi kenyataan akhbarnya hari ini.

Shafie berkata pro-M jelas dengan prinsip perjuangannya yang hanya mahu menegakkan keadilan dan menghancurkan kezaliman terhadap apa sahaja yang berlaku.

Salah tetap salah

“Pro-M tidak bias (berat sebelah) pada mana-mana pihak, yang salah tetap salah, yang benar tetap benar! Dalam konteks pilihan raya Kampus di UM kali ini, kita berhadapan dengan sistem E-voting yang masih baru dan diragui lagi ketelusan dan integriti yang tiada pada pengendalian dan pengurusan sistem berkenaan,” katanya.

Menurut Shafie lagi pro-M berhadapan dengan pentas perlawanan yang tidak adil sehingga berlaku banyak penindasan yang sangat teruk.

Katanyai, “menang kalah bukan ukuran, tetapi mahasiswa tegas dan tetap pendirian di atas perjuangan untuk mepertahankan kebenaran dan keadilan sehingga menumbangkan segala kezaliman dan penindasan.” - Malaysiakini

Muhyiddin lancar laman web peribadi

KUALA LUMPURL 30 Jan. – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini melancarkan laman web peribadi beliau, www.my-malaysia.com.my bagi membolehkan orang ramai berinteraksi dengannya secara langsung di alam maya.

Sewaktu melancarkan laman web itu di Angkasapuri di sini, Muhyiddin berkata, beliau sedia menerima apa sahaja cadangan walaupun bersifat radikal sekiranya ia baik untuk kepentingan negara. – Utusan

Sasaran 50 peratus penembusan jalur lebar menjelang akhir tahun

PEKAN 30 Jan — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata menerusi Pelan Jalur Lebar kebangsaan, kerajaan meletakkan sasaran penembusan jalur lebar di negara ini pada kadar 50 peratus menjelang penghujung tahun ini.

Beliau berkata kerajaan kini melaksanakan pelbagai strategi untuk meningkatkan perkhidmatan komunikasi jalur lebar dan ICT dalam usaha pembudayaan ICT dan usaha menghapuskan jurang digital di kalangan rakyat Malaysia.

"Kita berada di landasan untuk capai sasaran kita 50 peratus akhir 2010 dan kita akan memantau perkembangannya melalui Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) dan Majlis Ekonomi,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Digital Pekan 1Malaysia, di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob dan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim. Pelancaran Digital Pekan 1Malaysia merupakan inisiatif SKMM menggabungkan projek ICT dan jalur lebar di bawah strategi digital.

Terdahulu ketika berucap pada majlis berkenaan, Najib berkata pelancaran Digital Pekan itu merupakan kesungguhan kerajaan untuk menunjukkan bahawa hala tuju digital adalah cara terbaik untuk mewujudkan mutu kehidupan yang lebih baik dan masa depan yang lebih cerah untuk generasi Malaysia yang akan datang.

"Saya mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih di atas pemilihan Pekan sebagai daerah digital yang pertama, sekaligus disebut sebagai “Digital Pekan,” katanya.

Katanya antara teras yang akan dilaksanakan bagi mewujudkan persekitaran ICT yang menyeluruh ialah mewujudkan pusat sehenti maklumat ICT/Jalur Lebar, menyediakan komputer riba yang lengkap dengan perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi kepada penduduk terpilih, menyediakan perkhidmatan “wireless Pekan” iaitu capaian percuma kepada Internet tanpa wayar untuk jangka masa tertentu sebagai pengenalan kepada kemudahan Internet dan program “Virtual Pekan Memoria” iaitu program galakan pembangunan perisian dan kandungan tempatan seperti pertandingan blog, pertandingan bercerita digital dan aktiviti-aktiviti lain di bawah pemerhatian SKMM.

Beliau berkata Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM11.3 bilion untuk pembangunan ICT, khususnya bagi menyediakan Internet jalur lebar berkelajuan tinggi (HSBB).

"Sebanyak RM11.3 bilion akan dibelanjakan untuk projek HSBB Nasional di bawah perkongsian awam dan swasta antara Kerajaan dan Telekom Malaysia (TM). Ini melibatkan pelaburan RM2.4 bilion daripada pihak kerajaan manakala selebihnya dilaburkan oleh TM,” kata Najib.

Beliau berkata kerajaan juga telah memberikan insentif tambahan dalam Bajet 2010 untuk meningkatkan pertumbuhan dan perkembangan jalur lebar di negara ini.

"Sejajar dengan usaha untuk meningkatkan arena pendidikan, Bajet 2010 telah menyediakan pakej PC Netbook dengan perkhidmatan jalur lebar untuk menentukan alat-alat dan perkhidmatan senang diperolehi pada kadar yang mampu untuk pelajar-pelajar di institusi pengajian tinggi. Sebanyak 100,000 pelajar akan menikmati kemudahan ini. Selanjutnya, pelepasan cukai sebanyak RM500 yang diperuntukkan dalam Bajet 2010 seharusnya menjadi galakan,” katanya.

Kepada soalan pemberita berkenaan penyalahgunaan internet atau penulisan di laman web dan blog yang berunsur hasutan dan usaha kerajaan menanganinya, Najib berkata: "Kita ada undang-undang negara berhubung media, cyberspace ini di bawah penyeliaan SKMM, walau bagaimanapun dalam keadaan internet dan sebagainya kita tak ada kawalan terlalu ketat.

"Kita mesti terima hakikat bahawa perbezaaan pendapat itu sesuatu perkara yang biasa, tetapi jangan sampai ke peringkat menyalahi undang-undang negara saja,” katanya.

— BERNAMA

Jenayah Membabitkan Remaja Di Kelantan Meningkat

KOTA BAHARU: Polis Kelantan akan memberi penekanan terhadap kes jenayah membabitkan golongan remaja dan mencari inisiatif meningkatkan usaha pencegahan berikutan kes jenayah membabitkan golongan itu di negeri ini semakin meningkat dalam tempoh lima tahun yang lepas.

Ketua Polis Kelantan Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata sejak Januari 2005 sehingga Disember 2009, sebanyak 30,993 kes jenayah dilaporkan dengan tangkapan 10,530 orang termasuk 2,743 remaja bawah umur 18 tahun.

"Banyak perilaku jenayah dilaporkan di akhbar dan media elektronik melibatkan remaja dalam tempoh lima tahun sehingga kini.

"Sepanjang tempoh itu juga terdapat 29,834 kes penyalahgunaan dadah dengan jumlah tangkapan 33,110 orang, yang merupakan kes jenayah terbesar yang membabitkan golongan remaja," katanya semasa menyampaikan khutbah Jumaat di Masjid Telipot di sini, semalam.

Beliau berkata seramai 283 golongan dewasa dan 27 remaja di bawah umur yang terlibat dalam pengedaran dadah telah disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum mati mandatori.

"Justeru itu kerjasama antara polis dan masyarakat dalam usaha untuk membanteras jenayah di negeri ini melalui Program Rakan Cop amat dialu-alukan bagi membantu membendung jenayah yang membabitkan golongan remaja ini," katanya.

Selain itu, Abdul Rahim berkata pihak polis turut menyaman 5,704 remaja termasuk 28 remaja ditangkap dan dituduh di mahkamah atas pelbagai kesalahan melanggar peraturan lalu lintas.

"Melanggar kesalahan lalu lintas seperti menunggang motosikal secara berbahaya adalah antara laporan yang kerap diterima pihak kami berhubung kesalahan yang membabitkan remaja ini," katanya. - BERNAMA

Kes Murtad Di Selangor Catatkan Penurunan

SHAH ALAM: Statistik kes murtad yang dilaporkan di Selangor mencatatkan penurunan pada tahun lalu.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohamed Khusrin Munawi berkata sebanyak 109 kes murtad dilaporkan di negeri itu sejak tahun 2007 hingga 2009.

“Pada tahun 2007 terdapat 27 kes, 2008 42 kes, 2009 ia mencatatkan penurunan dengan 40 kes dilaporkan dan setakat bulan Januari 2010, telah ada 3 kes,” katanya kepada mStar Online di sini hari ini.

Menurut Mohamed Khusrin, terdapat unit khas yang diwujudkan di Jabatan Mufti dan mereka yang hendak keluar Islam akan dipanggil untuk menjalani sesi kaunseling tersebut.

"Setakat hari ini sebanyak 13 kali panel unit khas ini telah bersidang dan memanggil mereka yang terlibat," katanya.

Jelasnya, terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi seseorang itu untuk keluar Islam antaranya ialah masalah perkahwinan terutamanya di kalangan mualaf.

"Apabila perkahwinan sesuatu pasangan itu bermasalah seperti suami tidak bertanggungjawab dan ada juga yang menerima ugutan daripada keluarga asal mereka.

"Hal ini menyebabkan golongan mualaf tersebut menghadapi tekanan dan menyebabkan mereka mahu kembali kepada agama asal mereka," ujarnya.

Tambahnya, ada juga kes terpencil seperti mangsa memang bukan beragama Islam ketika dilahirkan namun nama yang terdapat dalam kad pengenalan mereka nama Islam.

"Kes ini banyak berlaku di kawasan ladang dan pedalaman. Nama mereka Islam tapi mereka memang tidak amalkan ajaran Islam. Jadi mereka memohon untuk menggurkan nama Islam dalam kad pengenalan mereka.

"Dalam masa yang sama, berdasarkan siasatan yang dijalankan kita dapati pengaruh rakan sebaya turut menyumbang kepada kes murtad ini. Mereka mendakwa Islam pada nama sahaja dan tidak mengamalkan ajaran agama," katanya.

Mengulas lanjut isu berkenaan, beliau berkata, permohonan untuk keluar daripada Islam atau murtad hanya boleh diputuskan olrh Mahkamah Syariah.

"Sebelum sesuatu kes di bawa ke mahkamah jawatankuasa khas ini akan memberi kaunseling dan sekiranya kaunseling tidak berjaya untuk bawa mereka yang ingin kembali kepada ajaran agama.

"Jadi kita akan serahkan kepada pihak mahkamah untuk putuskan tindakan selanjutnya," katanya.

Setakat ini, Mahkamah Syariah di Selangor belum ada sebarang keputusan untuk membenarkan kes murtad atau keluar daripada Islam.

Dalam menangani masalah murtad di negeri itu, Mohamed Khusrin berkata, Unit Pembangunan Insan, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) turut menjalin kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dengan mengadakan sesi kaunseling dan penerangan kepada orang ramai.

Bagaimanapun, katanya, isu keluar Islam melibatkan akidah dan pendirian agama seseorang itu sukar untuk diubah dan ia mengambil masa yang panjang.

"Bagi saya ini satu tugas yang berat dan kita tetap akan teruskan sehingga kes-kes tertunggak ini selesai.

"Kebanyakan golongan yang terlibat dengan kes murtad ini ialah mereka yang berusia di awal 30 an dan mereka ini masuk Islam kerana perkahwinan.

"Mereka kebanyakannya mengalami masalah rumah tangga setelah berkahwin selama 3 hingga 5 tahun,” ujarnya.

Mohamed Khusrin turut mengakui bahawa isu penggunaan kalimah Allah memberi impak kepada golongan mualaf kerana ia menimbulkan kekeliruan kepada mereka.

"Sebab itu kita berharap isu kalimah Allah ini tidak dipolitikkan oleh mereka yang tidak faham tentang isu ini.

"Kita harap golongan ini tidak bercakap dan cuba mentafsir isu itu kerana ia boleh menimbulkan kekeliruan di kalangan masyarakat Islam terutamanya golongan mualaf dan mereka yang sedang dalam dilema untuk keluar Islam.

"Biarlah isu ini ditangani oleh pihak berkuasa berdasarkan enakmen dan undang-undang negeri sedia ada.

"Berdasarkan laporan yang kita terima semalam, pihak kami mendapati individu dan tokoh politik menggunakan masjid sebagai pentas untuk menyampaikan ceramah dan tazkirah bersifat politik dalam isu penggunaan kalimah Allah ini,” katanya.

Tegasnya, perkara tersebut tidak wajar dilakukan kerana ia akan hanya menimbulkan perpecahan di kalangan umat Islam kerana masjid dan surau sepatutnya dijadikan tempat beridat dan menyampaikan ajaran agama.

"Kita harap pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab ini menghentikan perbuatan sebegitu kerana perkara ini termaktub dalam Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam), Negeri Selangor Tahun 1988.

"Kita telah menyenaraikan beberapa perkataan lain seperti baitullah, solat dan alhamudillah antara yang dilarang penggunaannya oleh orang bukan Islam," katanya.

Bagaimanapun, katanya, dari segi penguatkuasaan ada beberapa perkara yang menyukarkan kita untuk mengambil tindakan.

Namun demikian, Mohamed Khusrin menegaskan bahawa JAIS akan tetap menyiasat setiap kes yang dilaporkan dan pihaknya akan mengambil tindakan yang sewajarnya kepada mereka yang didapati bersalah.

Di bawah seksyen itu, seseorang yang didapati melakukan kesalahan memujuk, mempengaruhi atau menghasut seseorang yang beragama Islam supaya cenderung kepada mana-mana agama bukan Islam, atau supaya menjadi penganut atau anggota mana-mana agama bukan Islam, atau supaya meninggalkan atau tidak suka kepada agama Islam.

Mereka boleh disabitkan mengikut seksyen kecil (1) dan jika didapati bersalah boleh dikenakan penjara sehingga satu tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali. - Mstar

Persaraan Pilihan Penjawat Awam Diluluskan Dengan Syarat

KUALA LUMPUR: Kerajaan memutuskan persaraan pilihan anggota sektor awam akan diluluskan dengan syarat mereka bersetuju dibayar 20 peratus daripada ganjaran atau RM10,000 terlebih dahulu, mengikut mana yang lebih, ketika bersara.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Ismail Adam berkata bayaran selebihnya akan dibayar pada tarikh yang akan ditetapkan kerajaan, tetapi tidak melampaui tarikh anggota mencapai umur bersara wajib.

Katanya bagaimanapun wang tunai sebagai Gantian Cuti Rehat (GCR) dan pencen bulanan akan dibayar sepenuhnya mengikut peruntukan undang-undang pencen.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ismail menjelaskan bahawa ganjaran yang dimaksudkan akan dibayar kepada pesara selepas semua hutang piutangnya kepada kerajaan telah dijelaskan.

"Sekiranya ganjarannya didapati tidak mencukupi untuk menampung hutang piutang, maka baki hutang piutang akan ditolak daripada GCR, jika ganjaran dan GCR tidak mencukupi untuk menampung hutang piutang, bakinya akan ditolak daripada pencen pesara sehingga selesai," katanya.

Ismail berkata kelonggaran boleh diberikan atas sebab anggota atau ahli keluarganya memerlukan rawatan perubatan (berdasarkan surat akuan bertulis oleh pegawai perubatan Kerajaan), anggota atau ahli keluarganya memerlukan perbelanjaan pendidikan (berdasarkan surat tawaran dan penerimaan pengajian) dan anggota yang memerlukan kewangan bagi mengelakkan diri daripada tindakan kebankrapan (berasaskan dokumen berkaitan tindakan undang-undang).

Sekiranya anggota bersetuju dengan syarat bersara itu, mereka hendaklah mengisi dan mengemukakan Surat Persetujuan/Permohonan Pengecualian Syarat Penangguhan Bayaran Sebahagian Ganjaran Berkaitan Persaraan Pilihan, katanya.

"Memandangkan kelulusan permohonan persaraan pilihan bagi pegawai perkhidmatan awam negeri dilakukan oleh Pihak Berkuasa Negeri, Surat Lampiran B bagi mereka hendaklah dikemukakan kepada Pihak Berkuasa Negeri dengan satu salinan kepada JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam) ketika permohonan faedah persaraannya dihantar, manakala permohonan pengecualian syarat penangguhan sekiranya ada hendaklah dicatatkan di atas surat yang sama untuk pertimbangan JPA," katanya.

Sekiranya pesara meninggal dunia sebelum menerima ganjaran sepenuhnya, baki ganjaran akan dibayar serta-merta kepada orang tanggungannya seperti ditafsirkan dalam Peraturan 15 (2),Peraturan-Peraturan Pencen 1980 atau Peraturan 13(2)Peraturan-Peraturan Pencen Pihak-Pihak Berkuasa Berkanun dan Tempatan 1990 iaitu balu atau duda; anak; balu atau duda dan anak; atau ibu kepada anggota yang mati atau sekiranya ibu mati, bapa tanggungannya.

Bagi anggota yang ingin supaya baki ganjaran tersebut dibayar kepada selain daripada orang yang dinyatakan, beliau hendaklah mengisi surat akuan seperti di Lampiran C (untuk pesara beragama Islam) atau lampiran D (untuk pesara bukan beragama Islam) dan surat itu hendaklah dikemukakan kepada JPA bersama dengan dokumen permohonan faedah persaraannya.

Ismail berkata syarat penangguhan bayaran sepenuhnya ganjaran berkaitan dengan persaraan pilihan itu hanya terpakai bagi kelulusan persaraan pilihan pada dan selepas 1 Feb tahun ini.

"Semua persaraan pilihan yang telah diluluskan sebelum 1 Feb 2010 walaupun tarikh kuat kuasa persaraannya adalah selepas tarikh itu akan dibayar ganjaran sepenuhnya," katanya. - BERNAMA

Kerja pembangkang terus tuduh UMNO - Najib

KUALA LUMPUR 29 Jan. - Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak menyelar tindakan parti pembangkang tanpa usul periksa terus menuduh parti itu sebagai pelakon utama dalam setiap kejadian buruk yang berlaku di negara ini.

''Ini kaedah yang biasa dilakukan oleh parti pembangkang... yang pertamanya mesti tuduh UMNO, belum ada apa-apa bukti tetapi terus tuduh UMNO. Ini adalah modus operandi mereka,'' katanya.

Perdana Menteri berkata demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Najib diminta mengulas dakwaan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali bahawa Pergerakan Pemuda UMNO terlibat dalam kes membakar gereja di sekitar Lembah Klang baru-baru ini.

Azmin berkata, beliau akan mendedahkan mereka yang terlibat dalam kes serangan itu dalam masa terdekat.

Selain Azmin, beberapa ahli pembangkang lain turut menuding jari kepada UMNO dalam insiden penemuan bungkusan mengandungi kepala babi hutan bersama satu baldi plastik berisi 30 keping wang RM1 di dua kawasan masjid di sini, dua hari lalu. - Utusan

UMNO teliti kenyataan Razaleigh

KUALA LUMPUR 29 Jan. - UMNO akan meneliti terlebih dahulu kenyataan yang dibuat oleh Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah mengenai persetujuannya untuk mengetuai kaukus royalti minyak Kelantan sebelum memutuskan tindakan selanjutnya.

Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pihaknya memerlukan masa untuk meneliti kenyataan yang dibuat oleh Ketua UMNO Bahagian Gua Musang itu sebelum menentukan adakah ia melanggar disiplin parti.

"Kita sedang meneliti dan belum mendapat apa yang diperkatakan oleh Tengku Razaleigh. Jadi bagi tempoh masa untuk kita dapatkan laporan ucapan dan sebagainya.

"Parti kita punya pendirian, kita mesti patuh pada disiplin parti... tetapi macam mana pun nanti kita akan bincang perkara ini," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Tengku Razaleigh selepas menyertai Majlis Solat Hajat dan Ceramah Perdana Royalti Petroleum di Stadium Sultan Mohamed Ke-IV, Kota Bharu semalam untuk mengetuai kaukus yang dicadangkan oleh pakatan pembangkang.

Menurut Razaleigh, fungsi kaukus tersebut seharusnya diperluaskan dengan mengkaji semula kedudukan dan hak negeri-negeri sebagai anggota kepada Persekutuan Malaysia.

Ditanya adakah Razaleigh yang juga bekas Pengerusi Petronas melanggar disiplin parti apabila menyertai majlis yang mempunyai kaitan dengan kerajaan Pas Kelantan, Najib berkata, pihaknya perlu meneliti perkara itu sebelum membuat sebarang keputusan.

'Ya lah nantilah, kita teliti dululah," katanya.

Mengenai dakwaan pihak pembangkang bahawa Kerajaan Pusat berbohong apabila hanya memberikan wang ihsan sebanyak RM20 juta untuk pengeluaran minyak di perairan Kelantan sejak Mei 2008, Najib menegaskan, tuduhan itu adalah tidak berasas.

"Kita tidak bohong. Apa yang patut diterima oleh rakyat Kelantan, kita akan bagi.

"Kita tidak lari daripada tanggungjawab kita, tetapi kita mesti membuat apa-apa berdasarkan kepada Perlembagaan negara," katanya. - Utusan

Mengapa mereka tidak mengingati banyak lagi peristiwa Holocaust lain yang pernah berlaku?

Jumaat, 29/01/2010 – Hari ini adalah Hari Peringatan Holocaust Antarabangsa United Nation (UN), tetapi mengapa kita hanya mengingati satu peristiwa ini sahaja, sedangkan masih banyak lagi holocausts telah berlaku? Cuba fikirkan tentang Armenia, Rwanda, Congo, Kemboja, Sudan, Iraq dan lain-lain. Mengapakah peristiwa ini difokuskan seolah-olah seperti peristiwa berprofil tinggi, sedangkan peristiwa lain tidak pernah disebut.

Saya sendiri selalu menghormati penderitaan orang Yahudi kerana peperangan, dan banyak kali diperlihatkan pada beberapa lokasi yang mereka diterbitkan secara ekslusif. Saya juga turut memperuntukkan waktu khas untuk mengunjungi rumah Ann Frank di Amsterdam dalam salah satu lawatan saya ke Belanda.

Tapi nampaknya setiap kali ada konflik atau insiden mengenai Israel, kita hampir dipaksa mengingatkan peristiwa sedih yang berlaku bertahun-tahun lalu. Ini dijadikan sebagai taktik pengalihan, seolah-olah mengatakan ‘hei, dengarkan kami hanya melindungi kewujudan kami setelah apa yang terjadi pada orang-orang kami pada masa holocaust dahlu’. Seolah-olah ini merupakan alasan bagi Israel untuk melakukan apa saja yang mereka inginkan hari ini, kerana mereka pernah menjadi korban kejahatan yang mengerikan seperti itu sewaktu WW2. Pola pemikiran ini adalah sangat salah dan inilah saatnya untuk menegakkan kebenaran kembali ke mata dunia.

sumber : The Palestine Telegraph
penterjemah : rohiez www.palestinkini.info

RTM diberi hak siar 35 perlawanan Piala Dunia 2010

SEPANG - Radio Televisyen Malaysia (RTM) diberi hak sebagai penyiar berlesen Piala Dunia FIFA 2010 yang akan berlangsung di Afrika Selatan bermula 11 Jun hingga 12 Julai ini.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata, menerusi hak itu RTM akan menyiarkan 35 perlawanan dengan 24 siaran secara langsung dan 11 siaran tertunda.

"RTM berjaya mendapatkan pakej tawaran rancangan percuma sebanyak 26 jam dan sepuluh minit untuk siaran di TV1 dan TV2. Hampir semua penjadualan siaran langsung perlawanan akan bermula pada pukul 11 malam," katanya kepada pemberita di sini hari ini. - Bernama

Pemecatan Tengku Fakhry tidak boleh disemak

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini semalam membuat keputusan bahawa tindakan Pemangku Sultan Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra menyingkirkan adindanya Tengku Muhammad Fakhry Petra daripada Majlis Perajaan Negeri itu tidak boleh disemak semula.

Hakim Mohamad Ariff Md. Yusof berkata, sebuah mahkamah undang-undang bukanlah forum yang sesuai bagi membuat keputusan mengenai isu membabitkan hak istimewa diraja kerana sebarang pertikaian perlu diselesaikan sendiri oleh keluarga diraja itu.

Tengku Muhammad Fakhry, yang juga Tengku Temenggong Kelantan telah mencabar keputusan Tengku Muhammad Faris menyingkirkannya daripada Majlis Perajaan Negeri pada 16 September tahun lalu.

Mengikut Perkara 5 Undang-undang Tubuh Negeri Kelantan, majlis itu bertanggungjawab mengesahkan waris takhta dan menentukan sama ada terdapat kekosongan pada takhta disebabkan ketiadaan sultan di negeri itu untuk tempoh lebih daripada setahun.

Dalam penghakimannya semalam, Hakim Mohamad Ariff memutuskan isu mengenai kedaulatan, hak dan kuasa diraja akan tetap dipelihara dan diakui oleh Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri. - Kosmo

Diberi Amaran: Hassan Ali Pasrah

KUALA LUMPUR: "Ini proses pendidikan yang baik bagi saya."

Demikian kata Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hassan Ali selepas diberi amaran oleh Jawatankuasa Disiplin parti yang bermesyuarat petang tadi.

Beliau yang menerima keputusan jawatankuasa itu dengan hati terbuka berjanji akan terus menjalankan tugas yang menjadi tanggungjawabnya selama ini.

“Keputusan ini juga tidak akan mencacatkan kerja-kerja saya sebagai ahli PAS, kerja-kerja di negeri sebagai Exco dan atas sifat saya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia,” katanya kepada pemberita di lobi Ibu Pejabat PAS di sini hari ini.

Jawatankuasa Disiplin yang bermesyuarat hari ini sebulat suara memutuskan Hassan didapati bersalah dan dikenakan hukuman amaran bertulis kerana melanggar disiplin tatatertib parti.

Beliau didapati bersalah mempertikaikan prosedur tatacara Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) dan pelantikan pengurus besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Liow Siew Moi.

Mengulas lanjut mengenai hukuman yang dikenakan, Hassan berkata keputusan tersebut akan dapat melonjakkan semangat PAS negeri dalam menghadapi pilihan raya umum yang akan datang.

Beliau yang juga Exco Kerajaan Negeri Selangor berharap pihak media akan dapat memberikan laporan yang lebih adil terhadapnya pada masa akan datang.

“Sebahagian daripada apa yang berlaku adalah kerana laporan akhbar tidak menyebelahi saya dan laporan itu dibuat kerana ingin mensensasikan isu berkenaan.

“Saya berharap teman-teman media supaya perkara ini tidak berlaku pada masa akan datang. Saya harap media sokong saya untuk menguatkan PAS dan Pakatan Rakyat,” katanya. - Mstar

Mahasiswa Tak Dapat Terima Kekalahan Tidak Matang - Kata Khaled

KUALA LUMPUR: Tindakan sekumpulan mahasiswa Universiti Malaya (UM) mengadakan demonstrasi di hadapan pejabat Naib Canselor hari ini selepas kalah pada pilihan raya kampus (PRK) disifatkan sebagai tidak matang.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Khaled Nordin berkata kumpulan Pro-Mahasiswa (Pro-M) perlu menerima kekalahan dan menghormati pilihan majoriti kerana PRK merupakan suatu proses demokrasi. "Kalau tak berani terima kekalahan, buat apa nak bertanding," katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas tindakan penyokong kumpulan Pro-M yang berhimpun dan membantah keputusan PRK yang memihak kepada kumpulan Pro-Aspirasi.

Mengenai desakan Pro-M supaya PRK diadakan semula melalui kaedah biasa dan menghapuskan sistem e-undi, Khaled berkata permintaan itu tidak dapat diterima sekiranya isu yang dibangkitkan itu tidak berasas.

Bagaimanapun, katanya, Naib Canselor universiti berkenaan mempunyai kuasa untuk membuat keputusan.

Ditanya kemungkinan kumpulan pelajar terbabit dikenakan tindakan di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971, beliau berkata perkara itu terserah kepada pihak pentadbiran universiti itu untuk menentukannya. - BERNAMA

* Jangan Khaled Nordin sangka semua mahasiswa boleh diperbodoh dengan e-undi.

Menantu Nik Aziz letak Jawatan

KOTA BHARU: Kontroversi desakan Menantu Menteri Besar Kelantan, Abdul Ariffahmi Abd Rahman melepaskan jawatannya lebih awal sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) kini berakhir apabila beliau secara rasmi berbuat demikian semalam.

Abdul Ariffahmi, yang pada awalnya mengumumkan peletakan jawatannya akan berlaku pada Mac depan, digantikan oleh Timbalan Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK), Ir Mustafa Salleh.

Pengarah Pilihan raya PAS Kelantan Abdul Fatah Harun mengesahkan peletakan jawatan Abdul Ariffahmi itu.

Sumber kerajaan negeri memberitahu Bernama petang ini, upacara penyerahan tugas antara kedua-dua pegawai kanan berkenaan telahpun diadakan di Pejabat PMBK di Jalan Kuala Krai, semalam.

Mustafa, 44, yang tamat tugasnya sebagai Timbalan CEO PKINK 31 Jan ini dijangka memulakan tugas baru di PMBK pada 1 Febuari. Bagaimanapun, sumber itu tidak pula menyatakan jawatan baru Abdul Ariffahmi.

Isu peletakan jawatan Abdul Ariffahmi menimbulkan kontroversi setelah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dakwaan berlaku penyelewengan dalam perbadanan di bawah pentadbiran beliau, menyebabkan PAS pusat mendesak beliau meletak jawatan bagi menjaga imej parti.

Menteri Besar Nik Abdul Aziz Nik Mat baru-baru ini mengesahkan Abdul Ariffahmi akan meletakkan jawatannya dalam masa terdekat sebagai mematuhi saranan PAS Pusat.

Bagaimanapun, beliau mengakui tidak sedar membuat kesilapan dalam melantik menantunya kerana pelantikan itu mengikut prosedur dan dalam pengetahuan anggota-anggota Exco.

Sementara itu, sumber PKINK berkata, jawatan Timbalan CEO perbadanan itu belum diisi dan belum ada calon yang disebut akan menggantikan Mustafa.

Bagaimanapun, katanya, penyandang jawatan itu akan ditentukan oleh Menteri Besar, yang juga Pengerusi PKINK dengan persetujuan anggota Lembaga Pengarah. Abdul Ariffahmi tidak dapat dihubungi untuk memberikan komen. -BERNAMA

Anwar tak dibenar akses dokumen penting

Ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal mendapatkan dokumen utama pihak pendakwaan bagi persiapan perbicaraan kes liwatnya yang dijadualkan bermula Selasa ini.

Antara bukti tambahan yang dipohon oleh Anwar ialah rakaman video, nota ahli kimia dan laporan perubatan Dr Osman Abdul Hamid dari Hospital Pusrawi

Hakim Mahkamah Persekutuan Abdull Hamid Embong, yang mengetuai panel tiga hakim menolak permohonan Anwar dan mengekalkan keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Rayuan.

Panel Mahkamah Persekutuan telah mendengar hujah daripada peguambela Anwar, Karpal Singh dan penguam cara negara, Mohd Yusof Zainal Abiden pada 20 Jan lalu.

Bagaimanapun mereka tidak dapat membuat keputusan dan menangguhkannya sehingga hari ini. Panel yang sama juga mengarahkan perbicaran kes liwat Anwar bermula 2 Feb ini.

Mahkamah Tinggi sebelum ini membenarkan Anwar mendapatkan semua dokumen terbabit kecuali sampel DNA pengadu, iaitu bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Azlan Bukhari. - Malaysiakini

2 beradik, rakan akui tidak bersalah bakar gereja

KUALA LUMPUR 29 Jan. - Dua beradik dan seorang rakan mereka mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan melakukan khianat dengan membakar sebuah gereja di Wangsa Maju awal bulan ini.

Raja Mohamad Faizal Raja Ibrahim, 24, dan adiknya, Raja Mohamad Idzham, 22, serta Azuwan Shah Ahmad, 23, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim S.M. Komathy Suppiah.

Mengikut pertuduhan, mereka bersama-sama beberapa lagi yang masih bebas melakukan khianat menggunakan api dengan membakar Gereja Metro Tabernacle AG.

Mereka yang semuanya bekerja sebagai penghantar surat didakwa melakukan perbuatan itu kira-kira pukul 11.50 malam, 7 Januari lalu di No. 28, Jalan 4/4C, Desa Melawati, Wangsa Maju di sini.

Pertuduhan terhadap mereka dibuat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-timbalan Pendakwa Raya, Anselm Charles Fernandis, Yaacub Chik dan Lee Keng Fatt.

Terdahulu, ketika berjalan menuju ke kandang tertuduh, ketiga-tiga lelaki itu kelihatan lemah dan tidak terurus.

Mereka juga dilihat tercari-cari ahli keluarga masing-masing di galeri awam namun hampa apabila ruangan tersebut dipenuhi oleh media.

Namun susuk tubuh Raja Muhamad Faizal jelas kelihatan kesan melecur di bahagian muka hingga belakang tengkok dan kedua-dua tangannya manakala adiknya cedera dari pergelangan tangan kirinya hingga ke hujung jari bengkak serta terdapat kesan melecur.

Turut kelihatan, beg mengumpul air kencing berjuntai dari sebelah kanan pinggang Raja Muhamad Faizal yang memakai kemeja T dan seluar hospital berwarna hijau dengan beberapa kesan darah.

Ketika mengemukakan rayuan mengurangkan jumlah jaminan bagi dirinya dan adiknya, Raja Muhamad Faizal memberitahu mereka berasal daripada keluarga susah dan jumlah RM20,000 setiap seorang terlalu membebankan.

Azuwan pula memohon agar jumlah jaminan itu dikurangkan sehingga RM5,000 setiap seorang memandangkan mereka hanya bekerja sebagai penghantar surat.

''Itupun tak tahulah kalau kerja kami masih ada atau majikan dah buang (pecat),'' tambah Raja Muhamad Faizal.

Kesemua tertuduh juga memohon satu tarikh sebutan yang panjang memandangkan masih belum bertemu keluarga masing-masing sejak direman.

Anselm bagaimanapun menegaskan kesalahan yang dilakukan adalah serius dan menarik perhatian awam.

Beliau turut memaklumkan selepas ditanya oleh Komathy bahawa kes itu bergantung kepada keterangan langsung dan keterangan mengikut keadaan.

Hakim selepas mempertimbangkan rayuan dan hujah kedua-dua pihak menetapkan wang ikat jamin sebanyak RM20,000 setiap seorang.

Bagaimanapun, hanya RM10,000 yang perlu didepositkan terlebih dahulu manakala bakinya perlu dijelaskan sekiranya mereka gagal hadir perbicaraan di mahkamah.

Kes itu ditetapkan untuk sebutan semula pada 12 Mac ini bagi memberi peluang kepada kesemua tertuduh melantik peguam.

Dalam kejadian pada 7 Januari lalu, aras bawah gereja berkenaan yang terletak di sebuah lot kedai musnah terbakar setelah dilempar bom api. - Utusan

Juruteknik sambilan didakwa hina kesultanan Johor

SEREMBAN 29 Jan. - Seorang juruteknik komputer sambilan yang bakal melangsungkan perkahwinan esok, mengaku tidak bersalah atas tuduhan menghina institusi kesultanan Johor dan rakyat menerusi penulisannya dalam laman blog adukataruna.blogspot.com.my.

Khairulizam Abdul Ghani, 29, membuat pengakuan tersebut hari ini selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Zambri Abu Bakar.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di No. 297 Rumah Rakyat Panchor di sini antara pukul 7.25 malam dan 9.05 malam, 22 Januari lalu

Dakwaan terhadapnya mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Masri Mohd. Daud yang mengendalikan pendakwaan memohon agar tertuduh dikenakan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin selain menyerahkan pasport antarabangsanya.

Peguam Mohd. Radzlan Jalaludin yang mewakili Khairulizam pula memohon jumlah tersebut dikurangkan kepada RM5,000 memandangkan tertuduh bakal melangsungkan perkahwinannya esok.

Zambri kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin selain menyerahkan pasportnya kepada mahkamah sebagai syarat jaminan.

Hakim turut menetapkan 31 Mac ini bagi sebutan semula kes itu.

Mengikut laporan akhbar, Khairulizam menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu pada pukul 4.40 petang, 26 Januari lalu.

Dia dikatakan menghina Almarhum Sultan Johor yang pernah menjadi Yang di-Pertuan Agong dalam satu artikel dan disiarkan dalam blog berkenaan. - Utusan

* Jual barang di blog tu, boleh laku...

Keputusan pilihanraya kampus UM digantung

Selepas rundingan lebih empat jam hari ini, Universiti Malaya mengambil keputusan untuk menggantung sementara keputusan pilihan raya kampusnya yang diumumkan semalam.

Menurut bekas presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM) Mohd Ridzuan Mohammad, keputusan itu dipersetujui bersama oleh naib canselor, Ghauth Jasmon dan kumpulan pro-Mahasiswa (pro-M).
Ghauth juga bersetuju membenarkan kumpulan pro-M untuk melantik perunding bagi menguji sistem e-undi yang didakwa mereka dimanipulasikan.

Sekiranya dakwaan berkenaan berasas, Ghauth bersetuju pilihan raya kampus diadakan semula.

Ghauth juga berjanji akan menyiasat dakwaan yang timbalan naib canselor, Azarae Idris menyalah-gunakan kedudukannya dan terbabit memanipulasikan pilihan raya itu.

Selepas pengumuman butiran perbincangan itu, kumpulan pro-M berarak ke Dewan Tunku canselor untuk meraikan keputusan berkenaan.

Mereka juga menghempas sebuah komputer sebagai melambangkan bantahan terhadap pengundian e-undi dan membawa komputer itu berarak di seluruh kampus.

Pada masa yang sama, mahasiswa berkenaan turut membakar akhbar Kosmo yang didakwa membuat laporan tidak tepat berhubung jumlah kerusi yang dimenangi mereka.

Sebelum ini, lebih 200 pelajar dari kumpulan pro-M yang tewas semalam mengugut akan mengadakan demonstrasi jalanan jika tuntutan mereka tidak dipenuhi.
Antara tuntutan awal mereka ialah supaya pilihan raya kampus diadakan semula dan pembatalan pengundian secara berkomputer atau e-undi.

Suasana tegang menyelubungi kampus UM sejak malam semalam dan pagi tadi apabila ratusan mahasiswanya berarak dari Dewan Tunku Canselor ke pejabat Canselori.

Mereka berang selepas tewas tipis pada pilihan raya kampus yang diadakan semalam dan mendakwa berlakunya penyelewengan.

Mahasiswa berkenaan memakai lilit kepala putih dengan tertera perkataan 'bantah' dalam tulisan merah.

Mereka berjaya menyerbu serta mengepung pejabat Canselori dan memaksa perjumpaan dengan Ghauth.

Pada awalnya, ketegangan memuncak apabila pelajar mahukan dialog terbuka tetapi ditolak oleh naib canselor.

Sebaliknya, Ghauth mencadangkan perjumpaan tertutup dengan sepuluh wakil yang dipilih oleh pelajar berkenaan.

Cadangan itu dipersetujui dan rundingan diadakan sebelum ia ditangguhkan pada jam 1 petang tadi untuk solat Jumaat dan disambung semula selepas itu.

Turut berada di lokasi adalah kumpulan mahasiswa dari kumpulan pro-Aspirasi (pro-A) yang berjaya menguasai Universiti Malaya dengan menyapu 21 kerusi berbanding 17 yang dimenangi oleh pro-M.

Tiga lagi kerusi dimenangi oleh calon bebas. Dua daripada calon itu kemudiannya menyatakan sokongan kepada kumpulan Aspirasi.

* Kenapa UM guna sistem yang diragui (e-undi)? Ikut contoh negara maju mana?

Penahanan 10 individu demi kepentingan negara - PM

KUALA LUMPUR 29 Jan. – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, penahanan 10 individu mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) atas dakwaan mempunyai kaitan dengan pengganas dibuat demi kepentingan negara dan tanggungjawab kepada masyarakat antarabangsa.

Najib berkata, tindakan itu dibuat mengikut undang-undang negara dan merupakan langkah pencegahan sebelum berlaku sebarang insiden keganasan sama ada di dalam mahupun di luar negara.

"Kita telah menyatakan dengan jelas bahawa dalam soal menjaga keselamatan dan memerangi sebarang bentuk keganasan, kita akan mengambil sikap tegas, bermaksud proaktif dan langkah ini (penahanan ISA) merupakan langkah pencegahan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di sini, hari ini.

Najib, yang juga Presiden UMNO, berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan penahanan 10 individu mengikut ISA Khamis lepas kerana didakwa mempunyai kaitan dengan warga Nigeria yang didakwa cuba meletupkan pesawat di Amerika Syarikat.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri menegaskan bahawa penahanan individu-individu terbabit tidak bermakna Malaysia menjadi sarang pengganas atau negara operasi mereka. – Bernama

* Jadikan Malaysia sebuah negara yang berdaulat, bukan mengikut kata negara luar seperti Amerika.

ISA: Kedutaan Syria sahkan warganya ditahan di Malaysia

KUALA LUMPUR 29 Jan. – Kedutaan Syria di sini, yang mengakui rakyatnya adalah antara mereka yang ditahan oleh pihak berkuasa Malaysia, berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan pihak berkuasa di negara ini untuk menjamin keselamatan dan kestabilan.

Kedutaan Syria dalam satu kenyataan hari ini menyatakan pihaknya telah dimaklumkan oleh pihak berkuasa Malaysia semalam tentang penahanan suspek warga Syria dan sedang menunggu maklumat terperinci berhubung penahanan berkenaan.

"Kedutaan berharap isu penahanan suspek warga Syria akan ditangani menurut proses undang-undang sewajarnya,” menurut kenyataan itu.

Kerjasama yang dijanjikan kepada Kerajaan Malaysia berhubung penahanan ini adalah dalam lingkungan rangka kerjasama Syria dengan masyarakat antarabangsa bagi membendung dan dan membanteras keganasan dan menghapuskan punca-puncanya.

Pihak berkuasa Malaysia, meskipun enggan mendedahkan kewarganegaraan mereka yang terbabit, dilaporkan telah menahan 10 individu, sembilan daripada mereka warga asing yang mempunyai hubungan dengan rangkaian penggganas antarabangsa, bawah ISA pada Khamis lepas.

Laporan mendakwa suspek-suspek terbabit adalah dari Jordan, Nigeria, Syria dan Yemen. – Bernama

* Jangan kerana ikut arahan Amerika, hubungan dengan negara lain binasa...

Mengapa Aduka Taruna Selalu Tutup Muka?

Agak heran saya dengan Aduka Taruna ni. Semua gambar yang dirakamkan di mahkamah menunjukkan dia menutupkan separuh mukanya.

Malu apa dia hingga terpaksa tutup mukanya? Malu apanya, mukanya bukan buruk, malah boleh tahan hensemnya.

Lagipun dia bukan lakukan jenayah. Dia bukan dituduh di bawah Kanun Acara Jenayah, Kanun Kesiksaan, Kanun Prosedur Jenayah atau apa-apa Akta dan Kanun lain yang ada kaitan dengan jenayah.
Dia tidak bunuh orang, dia tidak letup orang dengan C4, dia tidak rogol budak perempuan 14 tahun, dia tidak raba punggung mana-mana perempuan, dia tidak cium mana-mana bini orang atau anak dara orang.Jadi mengapa malu?

Dia tidak lakukan jenayah. Dia hanya dituduh melakukan kesalahan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia. Jadi dia tidak perlu rasa malu. Tak perlu tutup muka hensemnya! - www.pendikargunung.blogspot.com

* Biasalah hero tutup muka. Spider-man, zorro, batman, semua tutup muka.

Saya Berhenti Blogging Berkuat Kuasa SERTA MERTA – Edyes

Dengan keputusan jawatankuasa displin PAS yang sangat mengecewakan, dengan keputusan jawatankuasa PAS yang ter-arah kepada pembentukkan Kerajaan Perpaduan, Saya mengambil satu langkah yang amat drastik demi untuk tidak membuang lebih banyak masa!

Sebagai tanda PROTES terhadap keputusan jawatankuasa displin PAS yang diumumkan sebentar tadi, saya edyes, webmaster edyesdotcom akan berhenti berblog!

Untuk apa saya mempertaruhkan risiko kehilangan pekerjaan, risiko ditangkap dan disumbat ke dalam lokap, serta pelbagai lagi risiko, jika akhirnya satu keputusan yang ter-amat tidak-masuk-akal diterbitkan dari serumpun cendiakawan yang berjuang atas nama Allah.

Sehingga satu waktu yang difikirkan sesuai untuk saya kembali, blog edyesdotcom akan diubah menjadi satu blog directory untuk tatapan pengunjung.

Inilah saat paling upset bagi saya sejak memainkan peranan kecil dalam politik tanah air, dan teramat malang sekali kerna ia hadir dari sebuah parti perjuangan Islam PAS!

Saya akhiri blogging saya dengan sebuah pantun;

Paku dulang paku serpih,

Paku berkarat yang keparat juga yang lebih!!

FAKAP FOR ALL !!!

Assalamualaikum… www.edyesdotcom.blogspot

29 January 2010

43% rakyat berusia 30 tahun ke atas hidap hipertensi

KUALA LUMPUR 29 Jan. – Kira-kira 4.8 juta orang atau 43 peratus daripada rakyat Malaysia yang berusia 30 tahun ke atas menghidapi hipertensi (darah tinggi).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican berkata, angka itu meningkat 10 peratus berbanding 10 tahun lepas.

Beliau berkata, berdasarkan kajian kali ketiga oleh ‘The National Health and Morbidity Survey’ yang dibuat 10 tahun sekali itu, peningkatan itu berlaku berikutan semakin ramai rakyat Malaysia kini mengamalkan cara hidup tidak sihat serta kurang peka dengan tahap kesihatan mereka.

"Kita menyeru semua rakyat Malaysia agar kerap memeriksa tahap tekanan darah mereka.

“Ini kerana melalui kajian yang dilakukan itu menunjukkan hampir dua pertiga rakyat Malaysia yang menghidapi hipertensi tidak tahu bahawa mereka menghidap penyakit itu,” katanya. – Bernama

Perhimpunan Agung UMNO 28 hingga 30 Oktober

KUALA LUMPUR 29 Jan. - Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO hari ini menetapkan 28 hingga 30 Oktober depan sebagai tarikh Perhimpunan Agung UMNO 2010, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Katanya, mesyuarat peringkat cawangan akan diadakan antara 1 Mei hingga 15 ini Jun manakala mesyuarat perwakilan bahagian serta sayap Wanita, Pemuda dan Puteri pula akan berlangsung dari 16 Jun hingga 16 Julai ini.

Najib, yang juga Presiden UMNO, berkata Jawatankuasa Pengurusan dan Pejabat UMNO akan mengemaskinikan keanggotaan parti untuk mengetahui senarai sebenar keanggotaan parti pada masa ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat MT pertama tahun ini di Ibu Pejabat UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini. - Bernama

Penulis blog Adukataruna hadapi tuduhan hina kesultanan Johor

SEREMBAN 29 Jan. – Seorang juruteknik komputer sambilan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap pertuduhan menghina institusi kesultanan dan rakyat Johor menerusi blog adukataruna.blogspot.com pada 22 Januari lalu.

Khairul Nizam Abdul Ghani, 29, didakwa melakukan kesalahan itu di No.297, Rumah Rakyat Panchor, Paroi, di sini antara 7.25 malam dan 9.05 malam.

Pertuduhan adalah mengikut 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta yang sama.

Jika didapati bersalah dia boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.

Hakim Zamri Bakar membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan pasport antarabangsanya diserah ke mahkamah.

Beliau menetapkan 31 Mac untuk sebutan semula kes itu. – Bernama

Khalid digantung enam bulan, Hasan lepas

Jawatankuasa disiplin PAS memutuskan menggantung jawatan ahli parlimen Shah Alam Khalid Samad selama enam bulan berkuatkuasa hari ini.

Pengerusi jawatankuasa berkenaan, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mengumumkan, Khalid didapati bersalah kerana mendedahkan maklumat sulit parti dan mengkritik pesuruhjaya PAS Selangor Datuk Hasan Ali.

Khalid digantung daripada menjadi yang dipertua PAS Shah Alam dan anggota biro politik parti.

Manakala Hasan juga didapati bersalah mengkritik prosedur tatacara pendengaran jawatankuasa pilihan khas mengenai keupayaan, kebertanggungjawaban dan ketelusan (Selcat) dan pelantikan pengurus besar PKNS, Liow Siew Moi.

Bagaimanapun, jawatankuasa tersebut hanya memutuskan memberi amaran bertulis kepada Hasan.

Kedua-dua mereka dilarang membuat kenyataan yang menjejaskan PAS dan Pakatan Rakyat.

Bercakap dalam sidang media selepas dua jam mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa tersebut, Tuan Ibrahim berkata, kedua-dua keputusan tersebut dibuat berdasarkan fasal 75 perlembagaan PAS.

'Kesalahan Khalid lebih serius'

Fasal tersebut memperuntukan hukuman amaran, menggantung jawatan, menggantung keahlian atau memecat keahlian dalam parti.

Kedua-dua tokoh itu dibenarkan membuat rayuan dalam tempoh 30 hari bermula hari ini, tambah Tuan Ibrahim yang juga pesuruhjaya PAS Pahang.

Mengulas kesalahan yang dilakukan oleh Khalid, Tuan Ibrahim menyifatkannya sebagai "lebih serius".

"Ia berdasarkan kepada pengakuannya sendiri dalam siasatan bahawa (tindakannya) memberi impak kepada parti. Perkara yang sulit (mesyuarat PAS negeri) tidak boleh didedahkan kepada umum," kata Tuan Ibrahim.

Khalid yang tidak hadir kerana berada di Arab Saudi menghantar seorang wakil bagi menerima keputusan bagi pihaknya hari ini.

Tuan Ibrahim berharap hukuman kepada kedua-dua tokoh PAS Selangor itu akan menjadi iktibar kepada ahli dan penyokong agar tidak melakukan perkara yang sama.

"Sebaliknya kita harus menumpukan gerak kerja kita untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13 daripada menimbulkan polemik dalaman.

'Guna saluran dalaman'

"Sekiranya tidak berpuas hati, guna saluran dalaman parti, bukan diluar parti," katanya.

Tuan Ibrahim berkata, pihaknya akan menghantar keputusan penghakiman jawatankuasa itu kepada kepada Setiausaha Agung Datuk Mustafa Ali dengan segara.

Sementara itu, Dr Hasan yang hadir bersama beberapa kepimpinan PAS Selangor berkata, beliau menerima keputusan tersebut dengan hati yang terbuka.

"Ini satu proses pendidikan kepada saya dan keputusan itu tidak mencacatkan kerja-kerja saya sebagai ahli PAS, kerja-kerja di negeri sebagai exco... dan atas sifat saya sebagai ADUN Gombak Setia," katanya dalam sidang media di lobi ibu pejabat PAS.

Beliau mengharapkan keputusan tersebut dapat melonjakkan PAS Selangor untuk menghadapi pilihan raya umum yang akan datang.

Sementara itu, Khalid ketika dihubungi melalui SMS memberitahu Malaysiakini, beliau akan memutuskan sama ada perlu membuat rayuan selepas pulang daripada luar negara pada 12 Februari ini. - Malaysiakini

Polis Pertahan Tindakan Tembak Ke Arah Ibu Tunggal

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman hari ini mempertahankan tindakan anggotanya melepaskan lima das tembakan ke arah kereta dinaiki seorang ibu tunggal bersama tiga rakannya di Lebuh Raya Lingkaran Tengah pada Oktober tahun lepas.

Beliau berkata siasatan mendapati anggota berkenaan telah menjalankan tugas mengikut undang-undang dan wanita berkenaan tahu apa sebenarnya yang berlaku.

"Dia boleh mengatakan apa pendapatnya tetapi dia harus tahu dengan siapa dia bercampur, dalam keadaan kereta mana dia berada...dia tahu semuanya dan kita tahu bagaimana anggota kita tidak bersalah," katanya kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan polis kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Semalam, wanita berusia 30 tahun itu membuat aduan kepada Parti Keadilan Rakyat dengan mendakwa pada 30 Oktober tahun lepas, dia ditembak ketika berada dalam kereta bersama tiga rakannya ketika dalam perjalanan ke Segambut.

Muhammad Sabtu berkata pihak polis tidak akan menghalang sekiranya wanita itu mahu membawa kes tersebut ke mahkamah kerana polis mempunyai alasan kukuh bahawa mereka menjalankan tugas secara beretika. - BERNAMA

Wan Azizah Nama Pertama Senarai Saksi Alibi Kes Liwat Anwar

KUALA LUMPUR: Presiden Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail adalah antara saksi alibi berhubung kes liwat membabitkan suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagai tertuduh, kata polis hari ini.

"Untuk makluman, nama Datuk Seri Wan Azizah adalah nama pertama dalam senarai antara 13 orang saksi alibi dalam notis alibi di bawah Seksyen 402 A Kanun Prosedur Jenayah yang dikemukakan melalui peguam S.N Nair dan Partners," Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berkata dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu merujuk kepada laporan media bahawa R.Sivarasa, antara peguam kepada Anwar, tidak ingat nama Wan Azizah ada dikemukakan sebagai alibi dalam kes itu. Wan Azizah dipanggil polis tiga hari lepas untuk memberi kenyataan.

Anwar, 63, dituduh meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, 24, di sebuah kondominium di Bukit Damansara, Kuala Lumpur pada 26 Jun 2008.

Semalam, Anwar memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi bagi menangguhkan prosiding perbicaraan kes liwatnya yang dijadualkan Selasa ini.

Peguamnya S.N.Nair berkata mahkamah telah menetapkan Selasa juga bagi Hakim Mohamad Zabidin Mohd Diah mendengar permohonan itu dan sama ada perbicaraan itu diteruskan atau sebaliknya bergantung kepada keputusan hakim.

Nair berkata perbicaraan itu perlu ditangguhkan sementara menunggu rayuan Anwar berhubung penolakan Mahkamah Tinggi terhadap permohonannya bagi membatalkan tuduhan liwat terhadapnya.

Anwar memfailkan notis rayuan terhadap perintah itu pada 10 Dis lepas. Mahkamah Rayuan belum menetapkan tarikh bagi mendengar rayuan itu.

Pada 1 Dis 2009, Mohamad Zabidin menolak permohonan Anwar dan menetapkan perbicaraan selama sebulan mulai 25 Jan 2010.

Bagaimanapun, Mahkamah Persekutuan yang mendengar rayuan terakhir Anwar berhubung permohonannya itu bagi mendapatkan dokumen yang didakwanya adalah penting bagi pembelaannya, memerintahkan perbicaraan ditunda ke 2 Feb sementara menunggu keputusan mahkamah.

Mahkamah Persekutuan menolak permohonan itu hari ini. - BERNAMA

Didakwa menghasut: Manogaran dipanggil beri keterangan

KUALA LUMPUR 29 Jan. – Ahli Parlimen Teluk Intan, M. Manogaran hari ini dipanggil polis bagi memberi keterangan berhubung dua kenyataannya termasuk menuduh UMNO menjadi dalang dalam pembakaran gereja di Teluk Intan.

Wakil rakyat daripada DAP itu, yang diiringi peguamnya, N. Surendran, memberi keterangan selama satu jam kepada Ketua Siasatan Jenayah Komersial Hilir Perak, ASP Teh Jern Wah, pada 3 petang di Balai Polis Setapak di sini.

Ketika ditemui pemberita selepas itu, Manogaran menafikan beliau membuat kenyataan itu dan menuntut polis menunjukkan bukti rakamannya.

Beliau didakwa mengeluarkan kenyataan itu pada 22 Januari lalu ketika berucap pada ceramah anjuran Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Cenderung Balai, Teluk Intan, Perak.

Kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(C) Akta Hasutan 1948.

Keterangan beliau diambil berikutan satu laporan yang dibuat oleh seorang anggota polis di Teluk Intan. – Bernama

Mahkamah Tinggi tiada kuasa bicara isu Raja

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membuat keputusan bahawa tindakan Pemangku Sultan Kelantan Tengku Muhammad Faris Petra menyingkirkan adindanya Tengku Muhammad Fakhry Petra daripada Majlis Perajaan negeri itu tidak boleh disemak semula. Demikian berita yang dipetik dari Bernama.

Hakim Mohamad Ariff Md Yusof berkata sebuah mahkamah undang-undang bukanlah forum yang sesuai bagi membuat keputusan mengenai isu membabitkan hak istimewa.

Katanya, ini kerana sebarang pertikaian perlu diselesaikan sendiri oleh Sultan.

Tengku Muhammad Fakhry, yang juga Tengku Temenggong Kelantan, mencabar keputusan Tengku Muhammad Faris yang menyingkirkannya daripada Majlis Perajaan Kelantan pada 16 Sept tahun lalu.

Mengikut Perkara 5 Undang-undang Tubuh Negeri Kelantan, majlis itu bertanggungjawab mengesahkan waris takhta dan menentukan sama ada terdapat kekosongan pada takhta disebabkan ketiadaan Sultan di negeri itu untuk tempoh lebih dari setahun. - Cina Islam