Saturday, September 12, 2009

Kes percubaan merompak Anita dan Mahathir: Polis ambil keterangan

SELEBRITI Anita Sarawak mengesahkan bahawa pihak polis telah pun mengambil keterangan daripadanya dan juga suaminya Mahathir Abdullah ekoran kejadian percubaan merompak mereka di Taman Melawati, Hulu Klang pada petang Jumaat lalu.

Kejadian itu menyebabkan Mahathir tercedera di belakang kepalanya dan terpaksa menerima 10 jahitan sepanjang lapan sentimeter.

"Baru beberapa minit terdahulu, ASP Anas telah menghubungi saya untuk mendapatkan keterangan," kata Anita kepada mStar Online.

Dalam kejadian di hadapan rumah ibu tiri Anita, Datin Umi Kalthum di Taman Melawati di sini, kira-kira jam 5.30 petang Jumaat itu, Mahathir bergelut dan sempat mencekak leher seorang perompak yang cuba menyamun pemandunya sebelum terkena parang yang dilibas rakan penyamun berkenaan.

Anita, 56, atau nama sebenarnya Ithnaini Mohd Taib dan Mahathir ingin menjemput Umi untuk berbuka puasa di Kompleks Studio Merdeka, Hulu Klang.

Anita memberitahu, polis juga telah mengambil keterangan daripada ibu tirinya pada jam 1 pagi tadi.

"Oleh kerana saya tiada di situ, seorang koperal telah menghubungi saya dan mendapatkan keterangan menerusi panggilan telefon," katanya.

Ditanya mengenai keadaan suaminya Mahathir, Anita berkata: "Mahathir (Abdullah) okey tetapi dia letih dan pucat selepas kehilangan darah yang banyak. Dan dia sedang berehat di rumah."

"Saya bersyukur kepada Tuhan Yang Maha Esa kerana Mahathir selamat," katanya dalam nada tenang.

TAKUT KEHILANGAN MAHATHIR SELAMA-LAMANYA

Namun begitu, Anita tidak dapat menyembunyikan perasaan bimbangnya apabila beliau berkata; “Sewaktu Mahathir dikejarkan ke Hospital Prince Court di Jalan Tun Razak dekat sini, saya bimbang apakah saya akan kehilangannya.

"Dia mengalami pendarahan teruk semasa terperangkap dalam kesesakan lalu-lintas kira-kira sejam dari Taman Melawati ke situ. Pemandu saya cuba memandu dengan cepat tetapi kereta kami terperangkap. Kain yang dibalut pada kepalanya dibasahi darah yang membuak-buak keluar dari kepalanya.

"Baju kurung, sofa dan semuanya berlumuran dengan darah. Wajahnya dah pucat dan pada masa itu, saya takut akan kehilangannya.”Menurut Anita, pada awalnya, ibu tirinya Umi Kalthum bercadang hendak memanggil ambulans.

"Tetapi saya kata tiada masa untuk berbuat demikian. Masa itu, adalah masa puncak orang keluar dan bergesa-gesa balik ke rumah untuk berbuka puasa," kata Anita lagi.

KRONOLOGI KES

Kejadian itu berlaku pada kira-kira pukul 5.30 petang ketika Anita dan suami serta pemandu mereka, Tan Ah Sing, 52, menunggu Datin Umi Kalthum di hadapan rumahnya untuk berbuka puasa di Kompleks Studio Merdeka, Hulu Klang.

Tan yang ketika itu berada di luar pagar rumah untuk memanggil Umi, secara tiba-tiba didatangi empat lelaki bermotosikal dan mereka mengacukan parang ke arahnya.

Kejadian itu sebenarnya tidak disedari Anita dan Mahathir hinggalah perompak terbabit mengarahkan Tan untuk membuka bonet belakang kereta.

Mahathir kemudiannya keluar dari kereta setelah merasakan ada yang tidak kena dan bergelut dengan seorang daripada perompak itu.

Mahathir sempat mencekak leher perompak terbabit sebelum dilibas dari belakang dengan parang di kepala oleh seorang lagi perompak.

Menurut Anita, Mahathir mempunyai sifat semulajadi suka membantu sesiapa sahaja yang berada dalam kesusahan.

"Lebih-lebih lagi, Tan begitu dekat dengan kami. Kami menganggapnya sebagai sebahagian daripada keluarga," kata Anita sambil menambah Tan telah lama berkhidmat dengan mereka.

Anita yang dalam ketakutan telah keluar dari kereta untuk cuba meleraikan pergelutan itu dan merayu kepada perompak terbabit agar tidak mencederakan Mahathir dengan menjerit 'adik jangan'.

Mengenang kembali insiden malang tersebut, Anita berkata, dia tidak tahu apa yang menggerakkan hatinya untuk berani keluar dari kereta dan memujuk salah seorang perompak itu agar tidak mengapa-apakan mereka.

Perompak terbabit tergamam seketika melihat wajah Anita dan Anita mengambil kesempatan itu berlari balik ke keretanya lalu menutup dan menguncikan pintu kereta.

Perompak-perompak tersebut melarikan diri selepas jiran-jiran yang tinggal berdekatan menyedari insiden tersebut. - Mstar

Tiga suspek bunuh Asimah ditahan

KUALA TERENGGANU - Polis menahan tiga lelaki yang dipercayai terbabit dalam kes pembunuhan bekas Ketua Wanita UMNO Cawangan Felda Mengkawang, Asimah Abd. Rahman, 51, Selasa lalu.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, ketiga-tiga suspek berkenaan ditahan pada pukul 5.10 pagi selepas menyerbu sebuah bangsal di kawasan kejadian tersebut.

"Polis percaya dengan tangkapan tiga lelaki berusia 26 hingga 28 tahun yang dipercayai penagih dadah ini dapat menyelesaikan kes pembunuhan itu," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Katanya, ketiga-tiga suspek ditahan reman selama 7 hari bermula hari ini untuk siasatan.

Dalam kejadian Selasa lalu, Asimah ditemui mati di ruang tamu dengan usus perutnya terburai setelah ditikam bertubi-tubi oleh perompak yang memecah masuk rumahnya. - Kosmo

Pemimpin BN jangan kejar populariti

KUALA LUMPUR 12 Sept. - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, semua pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) tidak harus ghairah untuk meraih populariti di kalangan ahli parti sehingga menyebabkan mereka dibenci oleh rakyat.

Pengerusi BN itu berkata, tumpuan utama setiap pemimpin itu hendaklah untuk meraih populariti di kalangan rakyat bagi membolehkan BN menang pada pilihan raya akan datang.

“Populariti di kalangan ahli sahaja dengan menang jawatan dalam parti tidak mencukupi jika parti tidak lagi relevan dan dapat memenangi hati rakyat, ” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung MIC ke-63 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Sehubungan dengan itu katanya, mulai hari ini beliau telah menetapkan Indeks Prestasi Utama (KPI) yang harus dipatuhi oleh MIC iaitu untuk mendapatkan kembali sokongan masyarakat India di negara ini. - Utusan

Anwarlah Satu-satunya orang yang boleh menjaga Malaysia - Dr.Mahathir

Mahathir VS Samy Vellu | Beri Amaran awal akan kalah pilihanraya ke 13 nanti

Komponen BN persoal Akhbar Umno

Jermaine mahu kubur Michael Jackson digali semula

MICHAEL JACKSON mungkin tidak dapat berehat dengan tenang walaupun setelah dikebumikan di tanah perkuburan California apabila abangnya, Jermaine Jackson memberitahu bahawa dia ingin melihat kubur Michael di ubah ke tempat lain.

"Saya tidak begitu gembira dengan majlis pengebumian ini, saya sentiasa merasakan Michael lebih sesuai dikebumikan di Neverland," katanya kepada satu sumber.

Jermaine Jackson, 54, mengatakan dia bercadang untuk menggali semula subur adiknya dan membuat pengebumian seula di Neverland di mana tempat tersebut telah dibina oleh Michael Jackson.

Michael Jackson mati pada 25 Jun lalu dan telah dikebumikan di Grand Mausoleum Forest Lawn Memorial Park pada 3 September. - Mstar

Exco wanita ke balai, isu diugut rogol

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Wanita, Kebajikan, Sains, Teknologi, Inovasi dan Kebudayaan Selangor, Rodziah Ismail hari ini membuat laporan polis berhubung ugutan rogol yang diterimanya ketika sesi dialog bersama penduduk Seksyen 23 Shah Alam berhubung isu pemindahan kuil, Sabtu lepas.

Rodziah membuat laporan polis di ibu pejabat polis daerah Shah Alam di Seksyen 11 di Shah Alam, kira-kira pukul 12 tengahari tadi iaitu kira-kira seminggu selepas sesi dialog itu.

Exco Selangor itu berkata laporan itu dibuat kerana bimbang keselamatan diri, keluarga dan kakitangannya terancam.

"Saya hadir sebagai ADUN Batu Tiga serta panel dialog bagi menjawab persoalan yang dibangkitkan tetapi menerima kata kesat dan ugutan rogol dari pihak yang menimbulkan kekecohan ketika sesi dialog berjalan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Noor Azam Jamaluddin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan itu dan memberi jaminan akan menyiasat perkara berkenaan. BERNAMA

Suami Anita cedera dalam cubaan samun

KUALA LUMPUR 11 Sept. – Suami kepada penghibur tersohor, Anita Sarawak iaitu Mahathir Abdullah cedera di kepala akibat ditetak ketika cuba melawan empat penjenayah bersenjatakan parang yang cuba menyamun pasangan itu di Taman Melawati, Hulu Klang dekat sini hari ini.

Bagaimanapun, kecederaan yang dialami Mahathir, 57, tidak serius dan beliau dibenarkan pulang selepas menerima rawatan pesakit luar di Pusat Perubatan Prince Court di Jalan Tun Razak awal malam ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 petang itu, pasangan berkenaan baru tiba di hadapan rumah Datin Umi Kalthum untuk menjemputnya ke majlis berbuka puasa anjuran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

Menurut Anita, 57, beliau dan suaminya sedang menunggu dalam kereta manakala pemandu mereka, Tan Ah Seng, 52, berada di pintu pagar sementara menunggu Umi keluar dari rumah.

“Dalam sekelip mata, muncul empat lelaki berusia dalam awal 20-an yang datang menaiki dua buah motosikal dan terus mengacu parang ke arah Ah Seng. Menyedari tindakan kumpulan penjenayah itu, Mahathir yang berpakaian baju melayu lengkap dengan sampin dan songkok, bergegas keluar dari kereta untuk melawan penjenayah terbabit,” katanya yang ditemui di unit kecemasan pusat perubatan itu di sini malam ini.

Anita menceritakan insiden itu kepada pemberita selepas suaminya selesai menerima rawatan di situ.

Katanya, pada masa sama, salah seorang penjenayah berkenaan mengugut memotong tangan Mahathir sekiranya enggan menyerahkan jam tangannya. Mahathir tidak gerun dengan ugutan lelaki itu, sebaliknya bertindak berani mencekak leher lelaki itu dan bergelut dengannya.

“Ketika itulah, Mahathir dilibas dengan parang menyebabkan kepalanya berlumuran darah. Rakan-rakan penjenayah turut cuba melibas parang ke arahnya tetapi mujurlah dapat dielaknya.

“Risau dengan apa yang berlaku, saya kemudian keluar dari kereta lalu menjerit adik, jangan! adik, jangan!”

“Kumpulan penjenayah itu seolah-olah cuba menyerang saya, tetapi tergamam dan tercegat. Mungkin mereka dapat cam saya dan tidak lama selepas itu, mereka dilihat bercakap antara satu sama lain sebelum meninggalkan tempat kejadian,” jelas Anita.

Meskipun begitu, pasangan Anita dan Mahathir sedikit pun tidak marah dengan tindakan empat anak muda itu sebaliknya berdoa agar mereka akan bertaubat dan kejadian sama tidak akan menimpa ibu-bapa mereka.

“Alhamdulillah, syukur kepada Tuhan kerana melindungi Mahathir, saya dan pemandu kami. Apa yang lebih penting, kecederaan Mahathir telah dirawat dan kami selamat,” katanya. - Utusan

* Welcome to Malaysia.

Friday, September 11, 2009

PAS tuntut janji SPR semak undi pos

PAS ingin bertemu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dengan niat mengungkit janji lama mantan pengerusinya Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman untuk mengkaji semula prosedur undi pos.

Naib Presiden PAS Salahudin Ayub berkata, pada 2004, tiga parti pembangkang utama pernah berbincang dengan Abdul Rashid, antaranya membincangkan kewajaran penggunaan Borang Lampiran 2 bagi pengundi pos.

"Dalam pertemuan yang lepas dengan Tan Sri, beliau akui sendiri (borang itu) tidak relevan. Beliau kata akan mengkaji semula perkara itu," katanya hari ini.

"Tetapi sehingga kini, kita tidak dengar perubahan."

Salahudin, yang juga pengarah jentera PAS pada pilihan raya DUN Bagan Pinang nanti, diminta mengulas tindakan lanjut parti itu berhubung penggunaaan Borang Lampiran 2 (foto bawah) yang boleh membawa kesan negatif kepadanya.

Semalam, Ketua Penerangan PAS Idris Ahmad menyifatkan amalan itu bertujuan membuat pemeriksaan terhadap pengundi-pengundi pos yang pro-Pakatan Rakyat.

Pada pilihan raya umum lalu, DUN itu mempunyai 14,192 pemilih, termasuk 4,925 orang melalui pos - yang sering dicurigai oleh pembangkang akan memenangkan calon BN.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Salahudin berkata, PAS akan menghantar surat makluman segera kepada pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berhubung pertemuan tersebut.

"Kalau mereka masih keberatan, oleh kerana SPR ini di bawah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, kita akan tulis surat kepada baginda," kata ahli parlimen Kubang Kerian.

Menyifatkan kira-kira 5,000 pengundi pos di DUN tersebut sebagai cabaran utama PAS, Salahudin berharap kumpulan polis dan tentera itu diberikan hak untuk mengundi dengan bebas tanpa sebarang perasaan takut.

Diminta mengulas desas-desus Umno Teluk Kemang hanya akan mencalonkan satu nama, mantan menteri besar Tan Sri Isa Samad, Salahudin hanya berkata:

"Kita alu-alukan Isa berbanding (tokoh BN) yang lain."

* Bukan polis, komando pun takut nak undi pakatan.

Duta: Pengugut rakyat M'sia hadapi tindakan

Indonesia akan mengambil tindakan ke atas pihak yang bertanggungjawab membuat ancaman terhadap rakyat malaysia di Jakarta, kata Duta Besarnya ke Malaysia, Tan Sri Da'i Bachtiar hari ini.

Beliau berkata, pihaknya telah berhubung dengan pihak berkuasa republik itu untuk 'mentertibkan' individu-individu terbabit.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan kerajaan Indonesia tidak boleh mengambil tindakan 'berlebihan' kerana menghormati ruang demokrasi masyarakatnya untuk berdemonstrasi.

"Kepala polis Indonesia telah beritahu saya perbuatan mereka itu lebih mirip kepada menunjuk perasaan," katanya dalam temubual di pejabat kedutaan itu di kuala lumpur hari ini.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan rakyat Indonesia telahpun diingatkan supaya tidak bertindak keterlaluan dalam menyatakan protes mereka terhadap isu-isu berkaitan Malaysia.

Katanya lagi, menteri luar malaysia akan bertemu rakan sejawat dari Indonesia bagi membincangkan langkah-langkah bagi memulihkan hubungan dua hala antara negara.

Kedua-dua menteri berkenaan dijangka bertemu pada 15 dan 17 Oktober depan.

Presiden Indonesia, Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono juga dirancang untuk berkunjung ke negara ini pada bulan depan untuk membincangkan isu-isu berbangkit serta memulihkan hubungan dua hala Malaysia-Indonesia. - Malaysiakini

Inkues Teoh ingin lihat foto saksi didera SPRM

Inkues bagi menyiasat punca kematian Teoh Beng Hock ditangguh ke Khamis depan bagi membolehkan mahkamah mendapatkan laporan perubatan dan gambar asal kecederaan seorang saksi yang mendakwa didera oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Koroner Azmil Muntapha Abas menetapkan tarikh itu setelah membenarkan permohonan SPRM untuk menangguhkan prosiding bagi mendapatkan kedua-dua dokumen berkenaan, sebelum meneruskan sesi soal balas terhadap saksi terbabit, T Sivanesan.

"Setakat ini saya hanya dibekalkan laporan polis dan salinan bercetak gambar yang menunjukkan kecederaan yang didakwa. Saya perlukan bantuan dan pandangan pakar mengenai gambar itu.

"Gambar asal tidak diterima. Saya perlu tentukan sama ada warna pada badan saksi dalam gambar ini ialah warna sebenar akibat kecederaan atau warna ubat yang digunakan di hospital," kata peguam Datuk Abdul Razak Musa bagi pihak SPRM.

Azmil berkata beliau membenarkan permohonan penangguhan itu kerana gambar asal perlu dikemukakan, bukan sahaja bagi kepentingan SPRM tetapi semua pihak dalam inkues berkenaan.

Berhubung perkara itu, peguam Gobind Singh Deo, bagi keluarga Teoh, menjelaskan gambar tersebut ialah salinan fotokopi berwarna daripada gambar asal, dan berkata beliau akan cuba mendapatkan gambar asal kecederaan itu untuk dikemukakan kepada mahkamah minggu depan.

Rabu lalu, Sivanesan, pembantu pengurus di sebuah syarikat swasta di Kuantan memberi keterangan bahawa dia telah disepak, ditampar dan dipukul dengan batang besi oleh lebih 10 pegawai SPRM semasa disoal siasat di pejabat SPRM tahun lepas.

Satu laporan polis mengenai dakwaan itu telah dibuat oleh Sivanesan pada 11 Sept 2008. Awal minggu ini, lima pegawai SPRM membuat laporan polis terhadap Sivanesan bagi menyangkal tuduhannya itu.

Pada prosiding itu juga, SPRM mengemukakan permohonan ke Mahkamah Tinggi untuk memadamkan kenyataan saksi itu atas alasan tidak relevan, tetapi ditolak Mahkamah Tinggi semalam.

Dalam prosiding hari ini, Abdul Razak memaklumkan bahawa pihaknya telah memfailkan notis rayuan dan sijil perakuan segera di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Teoh, 30, setiausaha politik kepada ahli dewan undangan negeri Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai lalu di tingkat lima Plaza Masalam, selepas memberi keterangan sebagai saksi siasatan penyalahgunaan wang kerajaan negeri Selangor kepada SPRM Selangor yang berpejabat di bangunan itu. BERNAMA

Obama terima maaf

WASHINGTON 11 Sept. - Presiden Barack Obama menerima permohonan maaf wakil Parti Republik Joe Wilson kerana menjeritkan ‘Kamu pembohong!’ kepadanya semasa ucapannya di Kongres Rabu lepas.

Menurut Obama, Wilson meminta maaf dengan ‘segera dan tanpa berdolak dalik’.

Beliau juga percaya bahawa ‘semua orang melakukan kesilapan’.

Wilson yang merupakan wakil Carolina Selatan menjerit kepada Obama semasa ucapan di Dewan Rakyat yang merupakan pelanggaran tatatertib yang luar biasa. - AP

Jepun berjaya lancarkan kapal kargo angkasa lepas pertama

TOKYO 11 Sept. - Jepun berjaya melancarkan kapal kargo angkasa lepas yang pertama sejurus selepas pukul 2.00 pagi waktu tempatan tadi.

Agensi Penerokaan Aeroangkasa Jepun (JAXA) telah melancarkan Kenderaan Pengangkutan H-II (HTV) yang berjaya terpisah daripada roket H-IIB kira-kira 15 minit selepas pelancarannya.

Roket itu berlepas dari Pusat Angkasa Lepas Tanegashima yang terletak di sebuah pulau di selatan Jepun dengan HTV mengangkut 4.5 tan bekalan termasuk makanan dan keperluan untuk enam krew Stesen Angkasa lepas Antarabangsa (ISS), di samping peralatan uji kaji. - AFP

Mat rempit dihukum penjara 20 bulan

SEREMBAN 11 Sept. - Mahkamah Majistret di sini hari ini megenakan hukuman penjara 20 bulan dan denda RM8,000 terhadap seorang buruh setelah didapati bersalah terbabit dalam lumba motosikal haram di sini empat tahun lepas.

Majistret Mohd Aizuddin Zolkeply turut memerintahkan supaya lesen memandu tertuduh Jaini Jani, 26, dari Sikamat di sini digantung selama dua tahun mulai hari ini.

Dalam penghakimannya, beliau berkata, pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

Mengikut kertas pertuduhan, Jaini didakwa terbabit dalam lumba motosikal haram di Persiaran Senawang di sini di antara lampu isyarat stesen minyak Esso hingga lampu isyarat Taman Matahari Height pada 1.20 pagi, 12 Feb 2005.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (JPJ) 1987 yang membawa hukuman penjara tidak lebih lima tahun, denda tidak melebihi RM15,000 dan hilang kelayakan lesen memandu selama dua tahun.

- BERNAMA

Semenya disahkan khunsa

SYDNEY 11 Sept. - Ujian jantina ke atas atlet Afrika Selatan, Caster Semenya mendapati dia adalah seorang khunsa dan bukannya 100 peratus wanita, lapor sebuah akhbar Australia hari ini.

Daily Telegraph Sydney tidak menyebutkan sumber terbabit dalam ujian ke atas juara dunia 800 meter wanita itu berkata, pelari tersebut dilahirkan dengan dua organ lelaki dan wanita serta tidak mempunyai rahim atau ovari.

"Ini adalah bukti bahawa Semenya seorang khunsa,” sumber tersebut dipetik sebagai berkata.

Setiausaha agung Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF) Pierre Weiss sebelum ini memberitahu AFP bahawa Semenya berkemungkinan mempunyai dua jantina.

"Jelas sekali dia seorang wanita tetapi mungkin tidak 100 peratus," kata Weiss sambil menambah kes tersebut akat ditentukan oleh dewan eksekutif IAAF, November ini. - AFP

Najib tegaskan Umno adalah parti Islam sebenar

SIK: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, Umno adalah sebuah parti Islam yang sebenar walaupun ia tidak menggunakan label Islam dalam membela dan merancang pembangunan umat Islam dan negara ini.

Katanya, Umno sememangnya membela dan menaikkan taraf hidup umat Islam dengan membasmi kemiskinan menerusi pelbagai program kerajaan terutamanya menerusi rancangan Felda.

"Dalam Islam, kemiskinan itu menghampiri kekufuran dan Umno sejak 53 tahun yang lalu berusaha membasmi kemiskinan di kalangan umat Islam dengan membuka tanah rancangan Felda dan adakah ini bukan tuntutan Islam?," katanya ketika menghadiri majlis Rahmat Ramadan di Felda Teloi Timur di sini, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Umno membangunkan negara ini bagi melahirkan umat Islam yang dihormati dan bermaruah dengan pembangunan negara, teknologi dan ketenteraan yang termaju.

"Kita tidak perlu label "membangun bersama Islam" kerana kita sudah lama memperjuangkan Islam dan telah memberi keselesaan hidup kepada umat Islam kerana kita tidak mahu umat Islam miskin dan tidak ada kekuatan," katanya.

Perdana Menteri juga berkata, Islam juga menuntut perubahan umatnya daripada yang baik kepada lebih baik dan itulah yang dilakukan oleh Umno. - Bharian

* Isteri pun tak tutup aurat.

Suri rumah nyaris dikelar leher oleh penyamun

KUANTAN: Seorang suri rumah yang sedang membersihkan halaman rumah nyaris dikelar lehernya sebelum direntap rantai yang dipakainya oleh dua lelaki bersenjatakan pisau di Kampung Sungai Benggali Sungai Luit dekat Raub, semalam.

Pegawai Turus Urusetia Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Pahang, Asisten Superintendan Noor Asyikin Shamsuri, berkata kejadian jam 7 pagi itu berlaku ketika mangsa berusia 51 tahun tinggal seorang diri selepas suami dan anaknya keluar bekerja dan ke sekolah.

"Mangsa yang sedang membersihkan halaman rumah tiba-tiba melihat sebuah kereta berhenti di hadapan rumahnya sebelum dua lelaki menuju ke arahnya,"
katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata, salah seorang suspek meletakkan pisau di lehernya manakala

seorang lagi merentap seutas rantai leher yang dipakai mangsa.

Noor Asyikin berkata, suspek kemudian membawa mangsa ke bilik tidur dan
menyelongkarnya sebelum melarikan barang kemas lain iaitu sebentuk cincin,

tiga bentuk anting-anting dan loket milik mangsa yang kesemuanya bernilai RM2,000.

Beliau berkata, mangsa bagaimanapun tidak mengalami kecederaan. - Bernama

NGO dakwa Mesir sekat bantuan ke Gaza

AMPANG, 10 Sept: Usaha Malaysia menyelami kegetiran hidup umat Islam Gaza dalam bulan Ramadhan ini terbantut apabila bantuan kemanusiaan dari negara gagal mendapat kerjasama politik negara jiran di Timur Tengah.

Pengerusi Misi Keamanan Sejagat Malaysia (GPM) Ahmad Azam Abdul Rahman pagi tadi mendakwa kerajaan Mesir mengamalkan pilih kasih ke atas NGOnya apabila Ketua Delegasinya ke Gaza, Azlan Muhammad Sharif dipenjara Polis Mesir selama tiga hari tiga malam tanpa suatu asas yang jelas.

Bercakap pada sidang media di depan Kedutaan Mesir pagi tadi, Azam juga mengutuk serta mempersoal tindakan profesionalisme pihak Polis Mesir terbabit.

"Kami protes, mengapa Saudara Azlan ditangkap selama tiga hari (serta) disiasat kehadirannya sedangkan mereka tahu usaha-usahanya menghantar bantuan kemanusiaan dan makanan ke Gaza (Palestin) sahaja."

Mendakwa NGOnya mendapat pengiktirafan kerajaan Malaysia sekian lama, Azam meminta Malaysia campur tangan terhadap pencabulan hak asasi manusia ke atas rakyat Malaysia, iaitu Azlan.

Tegasnya, Mesir perlu rasional dan memberi peluang kepada Malaysia; menjadikan negeri terbabit sebagai pintu masuk paling realistik serta selamat ke Gaza demi menyalurkan bantuan kepada umat Islam di sana.

Setiausaha Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) Khairul Anwar Musa yang ditemui kemudian, menegaskan bahawa apa yang berlaku itu melambangkan Mesir cuba bersikap tidak adil terhadap peranan NGO Malaysia di peringkat antarabangsa.

"Kita memerlukan penjelasan, mengapa NGO-NGO dari Malaysia ini disekat masuk ke Gaza, sedangkan NGO-NGO dari luar diberi pengiktirafan serta kebenaran akses Gaza secara bebas dan meluas."

Dalam pertemuan 15 minit dengan wakil Kedutaan Mesir Sheikh Tamil al-Mawadziny, Azam kemudiannya berkata, Mesir berjanji tidak mengulangi insiden pilih kasih demikian ke atas Malaysia.

Beliau juga meminta kerajaan Malaysia menggalakkan usaha kemanusiaan ke sana, melalui hubungan lebih strategik dengan Mesir.

"Bantuan kemanusiaan ini sebenarnya membawa nama Malaysia. (Misi) ini tidak akan berjaya kecuali perlu ada kerjasama antara Malaysia dan Mesir sendiri. Jika Mesir gagal tunaikan jaminan, kita bercadang berurusan dengan (kerajaan) Malaysia pula."

Mangsa, Azlan (gambar) yang ditemui media enggan menjelaskan pengalaman peritnya dalam penjara.

Dipercayai tindakan tersebut demi memastikan keselamatan dirinya serta keluarganya terus terjamin kelak.

Tambahnya lagi, Mesir mengambil tindakan demikian mungkin disebabkan beliau acap kali mengetuai misi keamanan ke Gaza. Ianya berdasarkan pembebasan lebih awal dua sukarelawan baru yang juga ditahan bersamanya 2 September lalu.

Insiden tersebut merupakan salah satu cabaran misi keamanan rakyat Malaysia demi membela rakyat Muslim Palestin yang teraniaya lebih setengah abad; angkara Zionis-Israel serta beberapa kuasa yang mengiktiraf negara haram itu. - Harakahdaily

Nampak lembaga hitam

TEMERLOH - Sebatang pokok balak yang berada di hujung padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paya Pulai di sini didakwa mungkin menjadi punca beberapa siri serangan histeria terhadap 85 pelajar perempuan sejak lima bulan lalu.

Pokok setinggi 10 meter itu tumbuh di pinggir hutan yang bersempadan dengan pagar padang sekolah berkenaan.

Dalam satu kes, seorang mangsa dikatakan telah dirasuk dan menjerit-jerit meminta dihantar ke pokok itu bulan lalu.

Seorang mangsa serangan histeria yang hanya mahu dikenali sebagai Rin memberitahu Kosmo! : "Apabila cikgu tanya, dia (mangsa) kata tempat asalnya itu ialah bawah pokok di hujung padang sekolah.''

Rin turut terkena serangan histeria dan pengalaman ngerinya itu bermula apabila dia mendakwa ternampak lembaga hitam berkeliaran di sekitar tandas dan kelas tidak lama sebelum bulan Ramadan bulan lalu.

Sebaik terserempak dengan lembaga hitam berambut panjang itu, Rin menjadi lesu dan terus meracau-racau.

Pelajar tingkatan lima itu berkata, badan dan kepalanya juga terasa berat sehingga akhirnya tidak sedarkan diri. - Kosmo

Kartika disebat selepas Hari Raya

Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) bersedia meneruskan hukuman sebat ke atas seorang model sambilan, Kartika Sari Dewi Shukarnor, 32, selepas Hari Raya Aidilfitri ini.

Pengarah JAIP Datuk Abdul Manan Abdul Rahman berkata pelaksanaan hukuman itu bagaimanapun bergantung kepada semakan Panel Rayuan Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan yang dijangka selesai selepas hari raya ini.

Beliau berkata keputusan semakan itu akan diumumkan oleh Ketua Hakim Syarie Pahang Datuk Abdul Hamid Abdul Rahman.

Pada 20 Julai lepas, Kartika Sari Dewi dijatuhi hukuman denda RM5,000 dan enam sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan selepas mengaku salah meminum arak di sebuah hotel di Cherating, 11 Julai 2008.

Dia didakwa mengikut Seksyen 136 Enakmen Pentadbiran Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya dan disebat tidak melebihi enam sebatan.

Bagaimanapun pada 24 Ogos lepas hukuman itu ditangguhkan bagi menghormati bulan Ramadan dan keputusan itu dikecam pelbagai pihak.

"Masyarakat tidak memahami antara sebat syarie iaitu lebih kepada mendidik dan sebat sivil yang selalu dihukum ke atas pesalah yang amat menyakitkan dan bagi kes Kartika, dia dihukum dengan hukuman sebat syarie," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Bengkel Rasm Uthmani dan buku Menuju Gerbang Akhirat di Kuantan hari ini. BERNAMA

Kakitangan kerajaan Switzerland diharamkan menggunakan Facebook

GENEVA 11 Sept. - Kerajaan Switzerland melarang kakitangannya daripada menggunakan laman Facebook selepas gagal menyuruh mereka untuk mengurangkan masa yang digunakan di dalam laman web tersebut.

“Pekerja yang memerlukan akses terhadap rangkaian sosial itu untuk penggunaan profesional boleh memohon pertimbangan khas,” kata kerajaan pusat dalam satu kenyataan.

Daripada tujuh kementerian negara itu, hanya kakitangan Kementerian Luar yang dibenarkan mempunyai akses terhadap laman web yang akan mula diharamkan minggu depan itu. - AFP

Thursday, September 10, 2009

Inkues Teoh: Makhamah Tinggi tolak permohonan semakan SPRM

PETALING JAYA: Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini menolak permohonan semakan yang difailkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memadam keterangan seorang saksi yang mendakwa beliau didera secara fizikal oleh pegawai SPRM semasa disoal siasat tahun lepas.

Mahkamah Tinggi, yang bersidang di sini, memutuskan bahawa koroner tidak melakukan sebarang kesilapan, khilaf atau perkara yang tidak betul dalam membenarkan saksi T. Sivanesan memberi keterangan dalam prosiding inkues siasatan kematian Teoh Beng Hock.

"Permohonan untuk menangguhkan prosiding inkues tidak dibenarkan dan saya memerintahkan supaya inkues diteruskan," kata Pesuruhjaya Kehakiman Datin Yeoh Wee Siam ketika menolak permohonan SPRM bagi menyemak keputusan koroner itu.

"Saya mempunyai pengetahuan secukupnya dalam kes ini setelah membaca kesemua rekod prosiding inkues dan surat permohonan daripada SPRM, oleh itu semua pihak hendaklah berhujah secara ringkas supaya saya boleh membuat keputusan hari ini juga," katanya.

Terdahulu itu, peguam Karpal Singh dan Gobind Singh Deo, yang mewakili keluarga mendiang Teoh, telah membantah permohonan semakan SPRM atas alasan ia tidak dibuat secara rasmi kepada mahkamah tetapi bantahan itu kemudian ditolak.

Semalam, koroner Azmil Muntapha Abas memutuskan bahawa laporan polis oleh Sivanesan bertarikh 11 Sept tahun lepas yang mendakwa beliau didera oleh sekumpulan pegawai SPRM, adalah relevan dalam membantu inkues untuk menentukan punca kematian Teoh.

Koroner juga membenarkan Sivanesan untuk memberi keterangan dalam prosiding itu dan menerima laporan polis bersama dengan gambar kesan kecederaan yang didakwa oleh saksi itu.

Berikutan itu, SPRM menerusi peguamnya Datuk Abdul Razak Musa segera memfailkan surat permohonan kepada Mahkamah Tinggi untuk menyemak keputusan koroner itu.

Pada prosiding hari ini, Manoj Kurup, yang mewakili SPRM, mengemukakan bahawa keputusan koroner itu adalah khilaf dan laporan polis saksi tidak relevan dan tidak akan membantu koroner dalam prosiding inkues itu.

Beliau turut mendakwa bahawa tujuan membawa Sivanesan ke mahkamah untuk memberi keterangan adalah sematamata untuk memburukkan imej SPRM.

Teoh, 30, setiausaha politik kepada anggota exco Selangor Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai lalu di koridor tingkat lima Bangunan Plaza Masalam, Shah Alam, kirakira 10 jam selepas memberi keterangan kepada SPRM dalam siasatan salah guna wang oleh ahli majlis exco negeri.

"Laporan polis dan keterangan saksi (Sivanesan) adalah dakwaan yang tidak ditentusahkan...perkara itu (dakwaan penderaan) masih dalam siasatan polis.

"Keterangan Sivanesan sama ada betul atau tidak, berkaitan dengan kes lain di mana dia adalah suspek. Kes ini tidak kena mengena dengan inkues dan tidak ada keterangan mengenai kecederaan yang dialami oleh mendiang," kata Manoj.

Gobind menegaskan bahawa laporan polis dan keterangan saksi adalah penting untuk membantu koroner dalam membuat keputusan mengenai punca kematian mendiang Teoh.

"Kandungan laporan itu adalah kaitan dengan tempat sama dan tingkat sama serta membabitkan pegawai yang sama (Mohd Ashraf Mohd Yunus yang memberi keterangan dalam inkues itu).

"Kami mempunyai keterangan untuk menunjukkan Teoh dipukul oleh pegawaipegawai ini dan mereka bohong dalam keterangan mereka sebelum ini.

"Kenapa tidak kita memberi peluang untuk menampilkan saksi kami untuk menunjukkan bahawa serangan telah dilakukan, digunakan dan terus akan digunakan dalam pejabat SPRM?," katanya.

"Biar koroner melaksanakan inkues mengikut caranya. Dia hanya mahu keterangan yang dapat membantunya kemudian dan tidak ada salah dengan itu," kata Gobind sambil meminta mahkamah menolak permohonan SPRM itu.

Peguam Malik Imtiaz Sarwar, yang mewakili kerajaan Selangor, berkata Mahkamah Tinggi tidak harus campur tangan dengan hak pihakpihak untuk mengemukakan keterangan dalam inkues itu.

Beliau turut berkata pakar pathologi forensik Dr Khairul Azman Ibrahim, dalam keterangannya dalam prosiding inkues sebelum ini, telah mengesahkan ada kemungkinan Teoh mengalami kecederaan sebelum jatuh di bahagian kepala, muka dan dubur.

Prosiding inkues disambung semula esok.BERNAMA

PAS terus desak SPR buang butiran pengundi pos

PAS masih mendesak Borang Lampiran 2 dimansuhkan walaupun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) enggan menghentikan amalan itu yang memuatkan butiran peribadi pengundi pos, kumpulan pemilih terbesar di DUN Bagan Pinang.

"PAS kesal dengan sikap tidak progresif dan kurang profesional pengerusi SPR kerana masih lagi mengamalkan budaya double standard dalam melayani pengundi-pengundi pos di seluruh negara berbanding pengundi biasa," kata ketua penerangannya Idris Ahmad hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof yang dilaporkan tidak bersedia menunaikan tuntutan parti itu seperti disuarakan oleh seorang naib presidennya Datuk Mahfuz Omar kelmarin.

Pengerusi suruhanjaya itu berkata Borang Lampiran 2 tidak akan dimansuhkan kerana prosedur itu mengikut undang-undang dan butiran peribadi termasuk nama, nombor MyKad dan nombor siri kertas undi yang diberikan kepada pengundi pos tidak pernah didedahkan.

Beliau dipetik berkata, selama ini SPR tidak pernah disoal atau diminta oleh tentera atau polis mengenai undian yang dibuat anggota-anggotanya, melalui pos, bagi tujuan semakan dan sejak undi pos dilaksanakan, tidak pernah ada penjawat awam yang diturunkan pangkat atau dibuang majikan.

Seramai 5,171 pemilih pos, atau 37 peratus pengundi, akan menentukan kemenangan calon, antara PAS dan BN, pada pilihan raya kecil DUN tersebut susulan kematian penyandangnya minggu lalu. - Malaysiakini

* SPR tentu jaga kepentingan UmnoBN

Undi Pembangkang, sukar naik pangkat?

Hentikan tindakan mengarut - Zambry

IPOH 9 Sept. - Sudah tiba masanya bagi pakatan pembangkang di negeri ini menghentikan segala tindak tanduk mengarut mereka dan kembali waras, kata Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.

Beliau berkata, keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh semalam merupakan hakikat yang perlu diterima oleh semua pihak tentang kedudukan sistem yang selama ini dipraktikkan dan apa yang sebenarnya berlaku di Perak.

''Hari ini, kebenaran akhirnya terserlah tentang perbuatan dan tindakan mereka yang cuba mengaburi dan mengelirukan pemikiran rakyat," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat bulanan Exco di sini hari ini.

Zambry diminta mengulas keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh semalam yang menolak permohonan V. Sivakumar bagi menghalang Datuk R. Ganesan menjalankan tugas sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.

Hakim Datuk Azhar Moahamed ketika membuat keputusan itu berkata, mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa menentukan perkara tersebut sebaliknya ia harus diselesaikan dalam sidang DUN itu sendiri.

Menurut Zambry, pakatan pembangkang sepatutnya menjadi pembangkang yang berkaliber seperti yang dilakukan oleh Barisan Nasional (BN) semasa menjadi pembangkang di negeri ini.

Beliau juga berharap dengan keputusan mahkamah itu, pembangkang memperbetulkan semula dakwaan kononnya BN melakukan rampasan kuasa.

Katanya, selama ini pun, BN tidak pernah memulakan proses mahkamah tetapi ia dilakukan oleh pakatan pembangkang sendiri tetapi kemudiannya meletakkan beban tersebut kepada BN.

Zambry yakin, rakyat dapat melihat wajah sebenar pembangkang dengan pelbagai tindakan yang mereka lakukan termasuk menyaman BN ke mahkamah.

''Terbaru, tadi kita terima saman (daripada pembangkang) tentang kedudukan Exco kerajaan negeri pula.

''Kalau keputusan mahkamah berpihak kepada mereka, kata proses yang adil tetapi kalau sebaliknya, mereka kata tidak adil, hakim dibeli dan sebagainya," katanya. - Utusan

* Demokrasi : Kerajaan dipilih oleh rakyat. Rakyat Perak memilih Pakatan Rakyat sebagai pemimpin mereka. Bubar DUN Perak.

Bekas polis ke tali gantung

PUTRAJAYA - Kisah cinta tiga segi selalunya membawa pengakhiran tragis.

Kali ini ia menimpa seorang bekas Lans Koperal yang akhirnya dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Persekutuan kerana membunuh kekasih isterinya, seorang ahli perniagaan warga Pakistan 13 tahun lalu.

Ironinya hukuman mandatori itu serta merta dijatuhkan terhadap Harcharan Singh a/l Piara Singh setelah tertuduh mengecapi kebebasan selama lima tahun ekoran keputusan Mahkamah Rayuan mengubah sabitan Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Panel tiga hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tan Sri Zaki Tun Azmi dan Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin dan Datuk Gopal Sri Ram dalam keputusan sebulat suara mengarahkan Harcharan dihantar terus ke Penjara Kajang untuk dilaksanakan hukuman.

Meskipun terkejut dengan keputusan tersebut, Harcharan yang duduk di galeri awam hanya bersikap tenang dengan ditemani seorang lelaki dipercayai ahli keluarganya.

Tertuduh yang berpakaian kemas dilihat akur apabila polis mahkamah menggari tangannya dan membawa dia ke lokap mahkamah.

Hakim Zaki berkata, keputusan itu dibuat selepas mahkamah mempertimbangkan dengan teliti kes tersebut dan memaklumkan bahawa asas penghakiman bertulis akan diberikan kemudian. - Kosmo

Histeria ketika berpuasa - es histeria SMK Paya Pulai berulang pada bulan Ramadan

TEMERLOH - Dewan Serbaguna Taman Setia Jasa, Paya Pulai di sini yang sepatutnya sunyi sepi dengan sesi peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tiba-tiba gempar apabila lima pelajar perempuan sekolah itu meracau-racau diserang histeria.

Kejadian membabitkan para pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paya Pulai itu berlaku pada pukul 10.30 pagi sewaktu mereka menduduki peperiksaan berkenaan.

Menurut seorang guru sekolah tersebut yang enggan nama dan gambarnya disiarkan, kesemua mangsa telah dibawa ke masjid berdekatan sebelum dipulihkan.

Katanya, empat daripada mangsa dapat dipulihkan segera tetapi seorang lagi pelajar terus meracau-racau hampir sejam di perkarangan masjid.

Bagan Pinang: Salahudin pengarah, Pakatan serah PAS pilih calon

KUALA LUMPUR, 9 Sept: Selepas PAS melantik Naib Presidennya, Salahudin Ayub sebagai Pengarah Pilihanraya Kecil Bagan Pinang, Telok Kemang, Pakatan Rakyat Negeri Sembilan pula memutuskan PAS akan bertanding di kerusi itu.

Keputusan melantik Salahudin dibuat oleh Lajnah Politik PAS yang bersidang di sini Isnin lepas. Mesyuarat itu dipengerusikan oleh Presiden PAS sendiri, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Di Seremban, keputusan memberi mandat kepada PAS untuk meletakkan calon di situ dibuat dalam mesyuarat bersama PAS, PKR dan DAP.

Dalam sidang media bersama mereka, Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Zulkefli Mohd Omar memaklumkan keputusan itu.

Turut serta dalam mesyuarat itu adalah Ketua Perhubungan PKR Negeri Sembilan, Datuk Kamarul Baharin Abbas dan Pengerusi DAP negeri yang juga Anggota Parlimen Rasah dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lobak, Loke Siew Fook.

Datuk Kamarul yang juga anggota Parlimen Telok Kemang berkata, PKR akan memberikan sokongan penuh kepada mana-mana calon yang dipilih oleh PAS.

Sebelum ini, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Telok Kemang meminta agar calon PKR diletakkan dalam pilihan raya kecil itu.

(Gambar: Tokoh-tokoh penting di Bagan Pinang. Dari kiri Isa (Ketua Umno Bahagian), Ramli Ismail (YDP PAS), Husam (AJK PAS) dan Zulkefli (PJ PAS Negeri)

Dalam pilihanraya umum tahun lepas, Azman Mohd Nor, 54, yang mewakili Barisan Nasional (BN) menang dengan undi 6,430 menewaskan calon PAS, Ramli Ismail yang memperoleh 4,097 undi. Majoriti kemenangan adalah 2,333.

Halangan besar calon Pakatan dalam pilihanraya ini adalah undi Pos yang melebibihi 5,000 orang atau kira-kira 30 peratus dari pengundi kawasan ini.

Sementara itu, PAS Negeri Sembilan dikatakan mempunyai empat nama untuk menjadi calon di sini.

Mereka adalah Zulkefli sendiri di samping bekas Pesuruhajaya PAS Negeri Sembilan, Dr Rosli Yaakob, Ketua Dewan Ulama negeri, Kassim Tahir dan bekas calon dalam pilihan raya lalu, Ramli Ismail. Ramli adalah Yang Dipertua PAS Kawasan Telok Kemang.

Di pihak Barisan Nasional pula, nama bekas MB Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd Isa Samad disebut-sebut bakal menjadi calon.

Namun menurut satu sumber lain, bagi meringankan tekanan kepada calon yang mempunyai rekod tidak baik itu, nama anak beliau Mohd Najib disebut-sebut sebagai ganti.

Keputusan untuk menyerahkan kepada Umno Telok Kemang yang dipimpin Mohd Isa untuk membuat keputusan menamakan calon di situ dibuat oleh Datuk Seri Mohamad Hassan, MB Negeri Sembilan yang juga Pengerusi Perhubungan Umno Negeri. - Harakahdaily

MB Terengganu ugut saman akhbar

Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said memberi tempoh seminggu kepada sebuah akhbar tempatan supaya memohon maaf kepada beliau berhubung satu laporan yang didakwanya mempunyai unsur fitnah.

Katanya, jika akhbar berkenaan gagal berbuat demikian, beliau akan mengambil tindakan undang-undang kerana menyiarkan laporan itu pada 4 Sept lepas.

"(Laporan) ini jelas memfitnah kerana saya," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan exco di Kuala Terengganu hari ini.


Sambil melahirkan rasa kecewa terhadap berita bertajuk 'Muhyiddin Mahu Selesai Kemelut BN Terengganu' itu, Ahmad berkata laporan itu gagal menyiarkan perkara sebenar pada majlis yang dihadiri lebih 5,000 rakyat Hulu Terengganu sebaliknya melihat daripada sudut politik semata-mata.

Dalam kenyataan setebal lima muka surat yang dibacanya, Ahmad berkata selama ini beliau mengelak dari memberi sebarang komen berkaitan politik untuk meredakan keadaan serta tidak mahu menimbulkan sebarang persepsi negatif mengenai hubungannya dengan pentadbiran dan politik.

"Saya sudah lama bersabar. Walaupun saya telah memberikan penjelasan secara tertutup kepada pihak media beberapa bulan lepas, namun masih ada yang tidak memahami keadaan atau sengaja tidak mahu menerima kebenaran.

"Laporan akhbar terbabit adalah penghujung kesabaran saya kerana ia jelas telah memfitnah saya," katanya.

Mengenai laporan portal berita The Malaysian Insider bahawa beliau menolak tawaran menteri pusat bagi membolehkan beliau meletakkan jawatannya di Terengganu, Ahmad menafikan pernah menerima tawaran itu.

Katanya berita itu mempunyai unsur fitnah dan spekulasi daripada pihak-pihak tidak bertanggungjawab.

Ditanya sama ada beliau akan mengambil tindakan sama terhadap portal berita itu seperti dilakukan kepada akhbar tempatan terbabit, Ahmad berkata beliau akan melihat berita itu terlebih dahulu sebelum mengambil sebarang tindakan. - BERNAMA

* Kemelut tidak berkesudahan.

5 pegawai SPRM buat laporan polis

Lima pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), termasuk Mohd Ashraf Mohd Yunus yang merupakan seorang saksi di dalam inkues bagi menyiasat punca kematian Teoh Beng Hock membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam hari ini.

Pengarah SPRM Selangor Jaafar Mahad memberitahu para wartawan di luar Ibu Pejabat Polis Daerah bahawa kelima-lima pegawainya itu membuat laporan polis pada pukul 4.30 petang tadi bagi menafikan para pegawainya menggunakan kekerasan semasa menyoal siasat suspek.

"Kita menafikan kita ada mendera suspek, kenyataan yang dibuat di dalam inkues adalah berniat jahat dan ingin menjatuhkan reputasi SPRM," katanya yang mengiringi para pegawainya membuat laporan polis itu bagi memberikan sokongan moral kepada mereka.

T Sivanesan seorang saksi yang dikemukakan oleh peguam keluarga Teoh, Gobind Singh Deo hari ini memberi keterangan pada inkues yang berjalan hari ini dan mendakwa beliau pernah didera oleh SPRM semasa disoal siasat.

Teoh, 30, setiausaha politik kepada Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Kampung Baru dan Penyelesaian Kilang Haram Selangor Ean Yong Hian Wah itu ditemui mati pada 16 Julai lalu di tingkat lima Plaza Masalam di Shah Alam, selepas memberi keterangan sebagai saksi siasatan penyalahgunaan wang kerajaan negeri Selangor kepada SPRM Selangor yang berpejabat di plaza itu. - Bernama

* Cuba tutup bangkai gajah.

Pemuda PAS: NGO wanita biadab isu sebat Kartika

Dewan Pemuda PAS hari ini menyelar gabungan NGO wanita dengan label "biadap" apabila mendesak kerajaan memansuhkan undang-undang jenayah syariah berhubung kontroversi hukuman sebat terhadap Kartika Sari Dewi Shukarno.

Ketua dewan itu Nasrudin Hassan berkata tindakan gabungan pertubuhan hak wanita Kumpulan Bertindak Menentang Keganasan Terhadap Wanita (JAG) serta penyokong mereka dianggap menceroboh bidang kuasa pelaksanaan enakmen jenayah syariah.

"Tindakan yang sama juga pernah dilakukan melalui memorandum yang dikemukakan kepada kerajaan pada tahun 2005 dan ditandatangani oleh 300 individu dan NGO termasuk menteri-menteri kabinet beragama Islam yang sedang berkhidmat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

JAG dalam memorandum bertarikh 25 Ogos lalu menggesa perdana menteri supaya mengambil tindakan segera bagi menilai semula hukuman sebat kerana didakwa melanggar prinsip hak asasi manusia di peringkat antarabangsa.

Gabungan itu disertai beberapa pertubuhan wanita berpengaruh termasuk Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor (Empower), Persatuan Bantuan Wanita (WAO), Sisters In Islam (SIS), All Women Action Society (AWAM) serta Pusat Wanita untuk Perubahan (WCC).

Menurut Nasrudin lagi, dakwaan kononnya model sambilan itu menjadi sasaran juga "fitnah besar terhadap institusi agama, kerana bukan hanya Kartika seorang yang ditangkap dan dijatuhi hukuman sedemikian."

"Pada masa kejadian, selain daripada Kartika, juga telah ditangkap dua orang lain, seorang lelaki dan seorang wanita.

"Kedua-duanya telah dijatuhi hukuman yang sama denda RM5,000 dan enam sebatan, namun mereka telah memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan Syariah Pahang," katanya.

Tambahnya, Kartika juga bukanlah satu-satunya wanita yang dijatuhi hukuman sebat, malah Kartika juga bukanlah orang pertama menerima hukuman sedemikian kerana kesalahan mengambil alkohol.

"Di Kelantan seramai enam orang lelaki telah disebat (atas kesalahan minum arak). Tahun 1997 - empat orang, tahun 2001 (seorang), dan 2003 (seorang).

"Hukuman sebatan Syariah terhadap seorang pesalah wanita pernah diputuskan oleh Mahkamah Syariah Johor pada 2000. Namun pesalah berkenaan telah membuat rayuan ke Mahkamah Rayuan Syariah dan hukuman sebatan telah diketepikan," jelas Nasrudin lagi.

Berbeza dengan tanggapan umum seperti dilaporkan media, beliau malah berkata Jabatan Penjara sudah mempunyai 171 orang tukang sebat, termasuk wanita yang terlatih.

"Kesemua mereka terlatih dalam menyebat secara sivil, syariah dan kanak-kanak," katanya.

Jelasnya lagi, kaedah sebatan berkenaan telah diterima oleh hakim rayuan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia Datuk Muhammad Asri Abdullah. - Malaysiakini

* Mereka kumpulan jahil agama.

Wednesday, September 9, 2009

6 lelaki didakwa insiden kepala lembu

SHAH ALAM: Enam lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana dituduh melakukan perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut dengan membawa dan memijak kepala lembu di hadapan Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini pada 28 Ogos lepas.

Ahmad Mahayuddin Abdul Manaf, 36, Ibrahim Sabri, 43, Eyzva Ezhar Ramly, 31, Mohd Azmir Mohd Zain, 35, Ahmad Suhairy Zakaria, 30, dan Mohd Hilmi Ni, 40, mengaku tidak bersalah serta minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka secara berasingan di hadapan Hakim Hasbi Hasan.

Mengikut kertas pertuduhan, Ibrahim dan Ahmad Mahayuddin didakwa bersama-sama telah memijak kepala lembu, Eyzva Ezhar didakwa membawa kepala lembu manakala Mohd Azmir, Ahmad Suhairy serta Mohd Hilmi didakwa bersama-sama membawa dan memijak kepala lembu dalam satu perhimpunan yang menyalahi undang-undang.

Kesemua perbuatan itu didakwa mempunyai kecenderungan menghasut, yang mana perbuatan itu boleh menimbulkan perasaan tidak puas hati dan permusuhan terhadap rakyat beragama Hindu.

Mereka didakwa didakwa mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mereka juga mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan pilihan iaitu dengan sengaja berniat hendak melukakan perasaan penganut beragama Hindu dengan melakukan kesalahan terbabit pada masa yang sama.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.Ahmad Mahayuddin dan Ibrahim merupakan pengerusi dan timbalan pengerusi Jawatankuasa Badan Bertindak Penduduk Seksyen 23 di sini, yang mengetuai bantahan terhadap cadangan kerajaan Selangor memindahkan sebuah kuil Hindu di Seksyen 19 di sini ke kawasan berkenaan.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Dusuki Mokhtar mencadangkan agar kesemua tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM15,000 setiap seorang dengan seorang penjamin.

Peguam Datuk Salehuddin Saidin, yang mengetuai pihak pembelaan, membantah jumlah jaminan yang dicadangkan kerana menganggap ianya amat tinggi dan satu bebanan kepada kesemua tertuduh.

Beliau berkata kesemua anak guamnya telah dimaklumkan semalam bahawa mereka akan dituduh hari ini dan mereka telah memberi kerjasama yang baik kepada pihak polis.

"Pertuduhan terhadap kesemua tertuduh juga menunjukkan seolah-olah ia satu kesalahan menghina agama lain sedangkan mereka tidak berniat untuk berbuat demikian. Bagi orang Melayu lembu melambangkan kebodohan dan bukan membawa penghinaan kepada agama lain," katanya sambil memohon agar mahkamah menetapkan ikat jamin berjumlah RM500 setiap seorang.

Mohd Dusuki pula berkata jumlah jaminan RM500 yang dimohon oleh pihak pembelaan tidak wajar dan tidak sesuai dengan pertuduhan kerana kes itu mendapat liputan meluas media elektronik dan cetak serta banyak laporan polis dibuat berhubung insiden itu.

"Justeru mohon RM15,000 dikekalkan kerana jumlah itu wajar berdasarkan kepada latar belakang kes yang mendapat liputan meluas media dan melibatkan kepentingan awam," katanya.

Mendengar hujahan pihak pendakwaan, Salehuddin bangun dan berkata liputan meluas media terhadap kes itu tidak seharusnya dijadikan faktor oleh mahkamah dalam menentukan jumlah jaminan.

"Takkan kita nak hukum tertuduh berdasarkan liputan meluas itu," katanya.

Hasbi kemudian mengenakan ikat jamin RM4,000 setiap seorang dengan seorang penjamin dan menetapkan 21 Okt ini untuk sebutan semula kes.

Di Mahkamah Majistret di sini pula, Ahmad Mahayuddin, Ibrahim, Eyzva Ezhar, Mohd Azmir, Ahmad Suhairy dan Mohd Hilmi turut menghadapi satu lagi pertuduhan bersama enam yang lain iaitu telah mengambil bahagian dalam perhimpunan yang menyalahi undangundang di tempat, masa dan tarikh yang sama.

Turut didakwa ialah Jainudin @ Zainudin Md Yusuff, 67, Mohd Jurit Ramli, 39, Mohammad Nordin Zakaria, 63, Jamil Mohamad Isa, 40, Rahimuddin Md Harun, 39 dan Azhari Shaari, 39.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 27 (5)(a) Akta Polis 1967 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 27 (8) akta yang sama, yang memperuntukkan hukuman denda minimum RM2,000 dan maksimum RM10,000 dan penjara sehingga setahun, jika sabit kesalahan.

Majistret Norkamilah Aziz membenarkan enam yang turut dituduh di Mahkamah Sesyen di sini sebelum ini dibebaskan dengan jaminan RM300 setiap seorang serta seorang penjamin manakala enam lagi dibebaskan dengan RM500 setiap seorang serta seorang penjamin.

Mahkamah juga menetapkan 21 Okt ini untuk sebutan semula kes. Kesemua tertuduh membayar wang jaminan.

Suasana di dalam keduadua mahkamah sesak dengan anggota keluarga tertuduh dan penduduk Seksyen 23. BERNAMA

PKR, Umno anjur majlis serentak timbul tanda tanya

Tindakan Pemuda Umno bahagian Sekijang di Johor menganjurkan majlis 'serentak' dengan program PKR yang dihadiri Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hujung minggu lalu telah menimbulkan tandatanya dan rasa tidak senang di kalangan kepimpinan Umno di situ.

Sumber Umno di bahagian berkenaan memberitahu Malaysiakini, beberapa pemimpin sayap Pemuda Umno dari bahagian tersebut juga dilihat bersalaman dengan Anwar yang menghadiri solat Tarawih di Masjid Jamek Kampung Jawa.

Malaysiakini difahamkan, Anwar sebelum itu menghadiri majlis berbuka puasa sempena perasmian cabang PKR Sekijang di sebuah dewan berhampiran, manakala pemuda Umno bahagian Sekijang pula menganjurkan majlis penyerahan zakat serta majlis berbuka puasa di masjid berkenaan.

Menurut sumber itu lagi, Pemuda Umno Sekijang tidak sepatutnya mengadakan majlis penyerahan zakat itu, sedangkan mereka mengetahui mengenai kehadiran Anwar ke situ.

"Ini nampak seolah-olah mereka sengaja nak buat majlis itu, macam satu kebetulan," katanya kepada Malaysiakini malam tadi.

Malaysiakini juga difahamkan, penganjuran majlis berbuka puasa dan penyerahan zakat oleh pemuda Umno itu, telah ditegur oleh pemimpin-pemimpin Umno lain, namun diteruskan juga.

"Biasanya, orang Umno kalau tahu pemimpin pembangkang akan datang dekat dengan program dia, dia akan bawa orang-orangnya ke tempat lain supaya tidak bertembung. Ini nampak macam sengaja dilakukan," kata sumber itu lagi.

Solat Tarawih

"Kita dengar budak-budak pemuda ini bukan main seronok lagi dapat jumpa Anwar, berlari-lari lagi hendak pergi bersalam dengan Anwar.

"Hinggakan Anwar kata, 'ingat lagi orang Umno kepada saya'," tambahnya.

Sementara itu, Ketua Pemuda Umno Sekijang Anuar Abd Manaf bagaimanapun menolak tanggapan tersebut dan menjelaskan program yang diatur olehnya itu, sememangnya berlaku secara kebetulan dengan program Anwar pada hari berkenaan.

"Kita sudah rancang program ini sejak sebelum bulan Ramadhan lagi. Kita cadang untuk agihkan zakat pada akhir Ramadhan, tetapi pejabat agama (daerah Segamat) nasihatkan kita beri awal sikit supaya penerima zakat dapat guna duit itu untuk persiapan hari raya," jelasnya.

Menurutnya, majlis itu dihadiri oleh kira-kira 150 orang penduduk di sekitar kawasan berkenaan.

"Anwar cuma datang untuk sembahyang tarawih (lepas program buka puasa dan penyerahan zakat). Dia duduk di saf belakang kerana tiba lewat. Kami (pemuda Umno) kebanyakannya di saf depan," katanya.

Ditanya mengenai dakwaan bahawa anggota Pemuda Umno dilihat begitu mesra dengan Anwar ketika bertemu di masjid tersebut, Anuar berkata:

"Saya tidak nampak suasana di belakang kerana saya di saf depan. Bersalam pun tak sempat," katanya lagi.

Naik kain rentang

Mengulas mengenai usaha-usaha PKR untuk meluaskan pengaruh di Johor, Anuar berkata tindakan tersebut akan menerima gangguan berterusan daripada pergerakan pemuda Johor.

"Kita menyambut seruan Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini yang mengatakan Anwar seorang pengkhianat bangsa Melayu," katanya.

Jelasnya, kata-kata "Anwar Pengkhianat Bangsa" itu dituliskan di kain-kain rentang yang dinaikkan di sekitar kawasan yang dikunjungi oleh pemimpin PKR tersebut.

"Kami tahu mengenai programnya di Dewan Siang Hai Kee di Bukit Siput (Segamat). Di luar kawasan itu kami juga naikkan bendera-bendera Umno dan BN untuk tunjukkan kekuatan kita," katanya lagi.

Selain Anwar, turut hadir di dewan tersebut ialah bekas naib presiden MCA, Datuk Seri Chua Jui Meng yang menyertai PKR baru-baru ini. - Malaysiakini

* Kata juara perpaduan, bersalaman pun marah.

Video Lama : Umno masih sayang Anwar Ibrahim

Beng Hock gelisah

SHAH ALAM 8 Sept. - Setiausaha Politik Exco Selangor, Teoh Beng Hock buat kali keduanya digambarkan dalam keadaan gelisah dan nampak serius ketika berulang kali membelek empat dokumen sebut harga yang ditunjukkan ketika ditemuduga oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beng Hock yang tidak banyak bercakap juga dilihat bersandar serta menegakkan badannya sambil membelek-belek dokumen yang diperoleh menerusi e-mel itu sebelum diminta menyemak dan disahkan olehnya.

Gambaran tersebut diberikan oleh Penolong Penguasa SPRM Selangor, Mohd. Ashraf Mohd. Yunus Mohd. Ashraf ketika disoal oleh peguam pemerhati bagi suruhanjaya berkenaan, Datuk Abdul Razak Musa di Mahkamah Koroner di sini hari ini.

Pada 27 Ogos lalu, inkues siasatan tersebut dimaklumkan bahawa Beng Hock dilihat resah gelisah ketika komputer riba dan unit pemprosesan pusat (CPU) miliknya dirampas di pejabatnya di tingkat 15, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor.

Dalam keterangan Mohd. Ashraf hari ini, mendiang berkeadaan demikian ketika ditemuduga di pejabat SPRM Selangor di Tingkat 14, Plaza Masalam di sini pada 15 Julai lalu, sebagai saksi berhubung kes penyelewengan peruntukkan wang kerajaan negeri Selangor.

''Beng Hock tidak nampak ceria, dia serius dan tidak banyak bercakap. Dia cuma bercakap apabila ditanya mengenai nama, umur dan bagaimana dia mengenali Yang Berhormat Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah,'' ujar Mohd. Ashraf.

Setiap kali apabila dokumen ditunjukkan, kata Mohd. Ashraf, Beng Hock tidak menjawab ataupun mengesahkan itu adalah tandatangannya.

''Sebaliknya Beng Hock hanya kata hmm hmm hmm seolah-olah mengakui sahaja,'' jawabnya.

Mohd. Ashraf juga menegaskan, sewaktu ditemu duga oleh SPRM ketika itu, Beng Hock masih boleh bangun, berjalan dengan elok dan tidak pernah mengadu sakit.

Saksi inkues ke-19 itu juga berkata, sepanjang temu bual tersebut, beliau juga tidak pernah sekali-kali menjerkah atau menempik Beng Hock apatah lagi menggunakan sebarang kekerasan fizikal terhadapnya.

Selain itu, beliau menyatakan, tiada sebab baginya untuk berbohong apatah lagi untuk mencederakan orang lain.

Mohd. Ashraf turut memberitahu beliau tidak pernah dipanggil untuk disoal siasat oleh polis mahupun didakwa atas sebarang pertuduhan jenayah.

Beliau memberi keterangan di hadapan Koroner Azmil Muntapha Abas pada prosiding inkues siasatan kematian Beng Hock yang masuk hari ke-18 hari ini.

Beng Hock ditemui mati di koridor tingkat lima Plaza Masalam kira-kira pukul 2 petang, 16 Julai lalu selepas disoal siasat oleh SPRM.

Dalam pada itu, prosiding inkues yang bermula pada pukul 11.45 pagi berlarutan hingga ke pukul 1.15 petang semata-mata untuk mendengar hujah permohonan peguam Gobind Singh Deo yang mewakili keluarga Beng Hock.

Gobind memohon untuk menyoal balas Mohd. Ashraf berhubung satu laporan polis yang dibuat oleh seorang suspek (tiada kaitan dengan kes Beng Hock) yang mendakwa kononnya telah dikasari oleh SPRM.

Laporan polis bertarikh 11 September 2008, dijadikan asas untuk mencabar kredibiliti keterangan Mohd. Ashraf setelah saksi itu sebelum ini mengatakan beliau tidak tahu menahu wujud kekerasan dalam soal siasat SPRM.

Abdul Razak bagaimanapun membantah keras permohonan tersebut kerana ia tidak relevan dengan inkues tersebut.

Tambahan pula, tegas Abdul Razak, laporan polis yang dimaksudkan sebenarnya jika dihitung, tiga hari lagi genap setahun. Malahan, ia dibuat kira-kira 10 bulan sebelum Beng Hock ditemui mati.

Peguam Tan Hock Chuan yang mewakili Kerajaan Malaysia pula mengesyorkan agar pengadu yang membuat laporan polis itu dipanggil memberi keterangan bagi mengelakkan prosiding tergendala.

Azmil kemudiannya memutuskan bahawa fakta dalam laporan polis itu adalah relevan bagi prosiding inkues itu dan membenarkan pengadu dalam laporan tersebut memberi keterangan di mahkamah, esok.

Inkues bersambung esok. - Utusan

6 mengaku tidak bersalah

SHAH ALAM 9 Sept. –Seramai enam individu yang membawa dan memijak kepala lembu bagi membantah cadangan pembinaan kuil Hindu di kawasan kediaman mereka pada 28 Ogos lalu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan di bawah Akta Hasutan.

Mereka yang merupakan penduduk Seksyen 23 di sini bersama enam lagi turut mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan menyertai perhimpunan haram pada tarikh yang sama.

Hakim, Hasbi Hasan membenarkan enam tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin manakala bagi kesalahan menyertai perhimpunan haram pula, kesemua 12 tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM500 dan RM300.

Kedua-dua kes yang membabitkan tertuduh berusia antara 30 dan 67 tahun akan disebut semula pada 21 Oktober ini.

- UTUSAN

Polis dan kerajaan Malaysia mengaku bersalah ...terbang lagi rm 50,000

KUALA LUMPUR, 7 Sept: Polis dan kerajaan Malaysia mengaku bersalah kerana menahan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali (ketika itu Pengarah Pilihanraya PAS) di bangunan Parlimen hampir dua tahun lalu.
Ekoran itu, mereka bersetuju membayar gantirugi kepada beliau sebanyak RM50,000 hari ini.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini merekodkan persetujuan kerajaan itu kerana menahan beliau di bangunan Parlimen pada 11 Disember 2007.

Hakim P.S. Nathan merekodkan persetujuan itu ekoran saman yang dikemukakan oleh Mustafa kepada Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Ketua Polis Negara dan Kerajaan Malaysia.
Mustafa yang datang ke Dewan Rakyat untuk mendengar perbahasan untuk menolak cadangan melanjutkan tempoh jawatan Pengerusi SPR, Tan Sri Rashid Abdul Rahman.

Beliau telah ditahan dan dibawa ke Balai Polis. Di sana beliau telah ditahan selama tiga jam setengah mulai jam 1 hingga 4.30 petang.
Mustafa diwakili peguam Mohamed Hanipa Maidin yang juga Pengerusi Lajnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia PAS Pusat manakala pihak defendan diwakili Peguam Kanan Persekutuan Tuan Rosli Ahmad.
Dalam insiden penangkapan itu, Mustafa telah diheret dengan kasar dan secara kurang ajar oleh dua orang polis. - www.cupingmerah.blogspot.com

Duit Raya

Demo kepala lembu: 6 dituduh menghasut

SHAH ALAM: Enam orang dituduh di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas tuduhan menghasut berhubung demonstrasi kepala lembu yang disertai bulan lalu.

Tertuduh tiba di mahkamah pada pukul 8.40 pagi tadi dan disambut oleh sebilangan penyokong.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Dusuki Mokhtar mengarahkan ikat jamin sebanyak RM15,000 setiap seorang. Bagaimanapun, jumlah itu kemudiannya dikurangkan kepada RM4,000 seorang.

Kes tersebut akan disebut semula pada 21 Oktober depan.

Tertuduh kemudiannya dibawa ke Mahkamah Majistret di sini, untuk didakwa kerana menyertai perhimpunan haram. - Mstar

5 tentera Turki maut serangan hendap pemberontak Kurdis

DIYARBAKIR, Turki 9 Sept - Lima anggota tentera Turki terbunuh manakala lima yang lain parah dalam serangan hendap pemberontakan puak pemisah Kurdis di bandar Eruh, wilayah tenggara Siirt, kata sumber keselamatan.

Menurut mereka, lima puak pemberontak turut terbunuh dalam berbalas serangan itu.

Serangan tercetus ketika kerajaan bersiap sedia mengumumkan langkah-langkah bagi mengurangkan masalah keganasan kalangan penduduk Kurdis di Turki yang berlarutan bertahun lalu.

- REUTERS

Tiada niat berdialog, sengaja cetus huru-hara

Mahkamah tolak permohonan saman Sivakumar terhadap penggantinya

IPOH: Mahkamah Tinggi di sini menolak permohonan saman bekas Speaker Perak, V Sivakumar terhadap penggantinya yang didakwa menyerang dan melakukan pemenjaraan salah semasa sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak 7 Mei lalu.

Ketika menolak permohonan itu dengan kos hari ini, Hakim Datuk Azahar Mohamed memutuskan mahkamah tidak ada kuasa untuk mendengar permohonan Sivakumar, justeru tidak boleh campur tangan dalam keputusan yang dibuat oleh ahli-ahli DUN.

Jika berbuat demikian katanya, ia akan melanggar Artikel 72 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan kesahihan sebarang prosiding dalam DUN di mana-mana negeri tidak boleh dipersoalkan oleh mana-mana mahkamah.

"Ini adalah perkara dalaman dan apa sahaja perkara yang timbul perlu dibincang dan diselesaikan dalam DUN, bukan dalam mahkamah," katanya.

Sivakumar dalam permohonan samannya juga memohon injuksi bagi menghalang R Ganesan dan sesiapa di bawah arahan Ganesan daripada menghalang tugasnya sebagai Speaker dan menghalang daripada menyebabkan kecederaan berterusan terhadapnya.

Hakim Azahar berkata, pada fikirannya, tidak ada sebarang keraguan yang Sivakumar telah dilucutkan daripada jawatan Speaker dengan satu resolusi dan satu lagi resolusi telah diluluskan untuk melantik Ganesan sebagai Speaker pada sidang 7 Mei lalu.

Beliau menambah, tindakan mempersoalkan kesahihan pelucutan Sivakumar adalah mempersoalkan resolusi DUN.

"Saya tidak boleh bersetuju dengan peguam plaintif yang prosiding pada 7 May tidak menentukan siapa yang menjadi Speaker," katanya. - Mstar

* Kalau menguntungkan UmnoBN barulah mahkamah terima kes.

Dokumen bongkar dakwaan presiden MCA terima RM10 juta

Dakwaan wujudnya pemberian wang RM10 juta daripada seorang ahli parlimen BN kepada Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat - yang menjadi pertikaian besar baru-baru ini - kini muncul di Internet.

Berdasarkan dokumen yang ditandatangani 22 Ogos lalu oleh seorang pembantu ahli parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing, wang tunai itu dibawa kepada Ong beberapa kali pada 2008.


Dihubungi hari ini, Tiong mengesahkan dokumen itu tetapi bertegas beliau tidak tahu-menahu bagaimana ia dibocorkan kepada umum.

Tambahnya, selain peguam-peguamnya, agensi-agensi kerajaan tertentu turut memiliki dokumen tersebut.

Tiong juga berkata pembantu politiknya itu menyaksikan pemberian wang tersebut dan kini dalam persembunyian kerana bimbang keselamatan dirinya.

Dokumen tiga halaman itu lebih kurang sama dengan satu laporan polis Tiong terhadap Ong, yang juga menteri pengangkutan, pada 26 Ogos lalu tetapi mengandungi butiran-butiran lebih terperinci.

Ong, yang sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), menafikan menerima wang RM10 juta daripada Tiong dan memulakan tindakan saman sejumlah RM500 juta terhadap pengerusi kumpulan penyokong BN di Parlimen. - Malaysiakini

Kepala lembu: 12 didakwa esok

Dua belas orang, yang menyertai protes mengarak kepala lembu di depan bangunan setiausaha kerajaan negeri (SUK) Selangor di Shah Alam pada 28 Ogos lalu, dihadap ke mahkamah esok.

Mereka akan didakwa menghasut serta menyertai perhimpunan haram, kata Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Khalid Abu Bakar ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Sementara itu, ketua unit pendakwaan Pejabat Peguam Negara, Tun Abdul Majid Tun Hamzah berkata, mereka tidak dihadapkan ke mahkamah hari ini kerana mereka tidak dapat dikesan.

Katanya, sebaik sahaja polis mengesan mereka, mereka akan dibawa ke mahkamah dan akan didakwa mengikut Akta Hasutan dan Akta Polis.

Dalam perkembangan berkaitan, empat daripada 12 orang ini dilaporkan telah ditahan untuk diseret ke mahkamah.

Lapan lagi akan ditahan hari ini juga untuk tujuan yang sama, lapor akhbar The Star lagi lewat petang ini.

Difahamkan, mereka yang bakal dibawa ke mahkamah termasuklah:

- Rahimuddin Md Harun, timbalan pengerusi Angkatan Tindakan Mempertahankan Hak Orang Melayu (Atom) dan timbalan presiden Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris),
- Mohd Zurit Ramli, setiausaha Gabungan NGO Malaysia,
- Mahyuddin Manaf, pengerusi jawatankuasa bertindak,
- Ibrahim Sabri, timbalan pengerusi jawatankuasa bertindak, dan
- Zainudin Md Yusuff, pengerusi Persatuan Penduduk Seksyen 23.

Mereka dipercayai akan dituduh di mahkamah Shah Alam pagi esok.

Semalam, peguam negara berkata mereka yang terlibat mengarakkan kepala lembu dan membuat ucapan dalam demonstrasi berkenaan akan didakwa menghasut.

Tan Sri Abdul Gani Patail berkata mereka akan didakwa menurut Seksyen 4 Akta Hasutan atau Seksyen 298 Kanun Keseksaan.

Kira-kira 50 penunjuk perasaan meluahkan keberangan mereka di depan bangunan Setiausaha Kerajaan Selangor di Shah Alam dengan ucapan berapi-api dan memijak kepala lembu yang diusung dari pintu masjid negeri, beberapa ratus meter dari bangunan tersebut.

Mereka membantah cadangan pemindahan kuil Hindu ke Seksyen 23 dari Seksyen 19 Shah Alam.

Mereka menyatakan bantahan kepada Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, exco kebajikan negeri Rodziah Ismail dan exco kesihatan Dr A Xavier Jayakumar.

Mereka juga mensasarkan kemarahan mereka kepada ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad.

Didahului dengan pembawa kepala lembu, yang masih belum kering darahnya, penunjuk perasaan berjalan sambil bertakbir dan melaungkan "kami bantah" menggunakan alat pembesar suara.

Mereka membawa sepanduk, antaranya bertulis "Take beer", "Islam untuk semua, kuil untuk Khalid dan Rodziah", "Kuil haram sekangkang kera, bila pindah sebesar Putrajaya" dan "Pindahkan kuil ke Seksyen 22". - Malaysiakini

* Seret jangan tak seret.

Inkues: Saksi dakwa didera SPRM beri keterangan esok

SHAH ALAM 8 Sept. - Prosiding inkues bagi menyiasat kematian setiausaha politik exco Selangor, Teoh Beng Hock akan mendengar esok buat pertama kali keterangan seorang saksi yang mendakwa pernah menjadi mangsa penderaan fizikal Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Saksi itu yang masih dirahsiakan identitinya akan dipanggil bagi memberikan keterangan berhubung laporan polis yang dibuatnya tahun lalu terhadap beberapa pegawai suruhanjaya itu yang didakwa telah menampar, menyepak dan memukulnya sehingga mengalami kecederaan ketika disoal siasat.

Koroner Azmil Muntapha Abas hari ini memutuskan laporan polis yang dibuat pada 11 September tahun lalu oleh pengadu tersebut adalah relevan bagi membantu mahkamah menentukan punca kematian Teoh.

Gobind Singh Deo, peguam bagi keluarga Teoh, memberitahu mahkamah beliau akan memanggil pengadu sebagai saksi bagi membuktikan dakwaan bahawa pegawai SPRM menggunakan kekerasan ketika menyoal siasat, dan seterusnya menunjukkan terdapat percanggahan dalam keterangan saksi SPRM, pegawai penguasa Mohd. Ashraf Mohd Yunus sebelum ini.

- BERNAMA

McDonald's hilang hak eksklusif guna awalan 'Mc'

PUTRAJAYA 8 Sept. - Rangkaian restoran makanan segera McDonald’s hilang hak eksklusifnya selepas gagal menghalang sebuah restoran makanan India tempatan, McCurry Restaurant (KL) Sdn. Bhd. menggunakan awalan ’Mc’ untuk papan tanda perniagaannya.

Dalam keputusan sebulat suara itu, Mahkamah Persekutuan hari ini turut memerintahkan McDonald’s membayar kos RM10,000 kepada McCurry yang mempunyai outlet di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.

“Kami berpendapat persoalan undang-undang yang dibangkitkan oleh McDonald’s tidak jelas dan mahkamah harus menolak permohonan semakan bagi rayuan tersebut,” kata Hakim Besar Malaya Tan Sri Arifin Zakaria yang mengetuai panel dengan Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Wira Mohd Ghazali Mohd Yusoff dan Datuk James Foong.

- BERNAMA

Speaker DUN Kedah lantik peguam cabar SPR

ALOR SETAR 8 Sept. - Speaker Dewan Udangan Negeri (DUN), Datuk Dr. Abdul Isa Ismail telah melantik sekumpulan peguam untuk mencabar keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 1 September lalu yang mengekalkan kedudukan Datuk Abu Hasan Sarif sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Siputeh.

Abdul Isa berkata, kumpulan peguam berkenaan yang dilantik sejak tiga hari lalu itu akan menfailkan tuntutan di mahkamah dalam tempoh 40 hari berhubung perkara berkenaan.

Katanya, beliau tetap berpegang kepada keputusan untuk mengosongkan kerusi Kota Siputeh selepas Abu Hasan gagal menghadiri mesyuarat DUN sebanyak dua kali berturut-turut tanpa kebenarannya.

''Terserah kepada panel peguam yang dilantik untuk mengambil tindakan yang perlu bagi mencabar keputusan SPR itu di mahkamah,'' katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Penyerahan Bantuan Kepada Sekolah Agama Rakyat Negeri Kedah di Kediaman Menteri Besar, Sri Mentaloon di sini hari ini. - Utusan

Tuesday, September 8, 2009

Rakyat Malaysia di Jakarta diancam dengan buluh runcing

JAKARTA 8 Sept. — Jabatan Penuntut Malaysia di sini hari ini menasihati semua pelajar Malaysia di seluruh Indonesia supaya sentiasa berhati-hati memandangkan kebencian segelintir rakyat negara itu yang semakin memuncak berikutan penyebaran pelbagai fitnah oleh media massanya kebelakangan ini.

Jabatan itu telah menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) bagi menasihati semua pelajar Malaysia di sini khasnya agar jangan sekali-kali melalui Jalan Diponegoro bagi mengelak kejadian yang tidak diingini.

Kebencian mereka itu memuncak kepada tahap yang serius dan menakutkan berikutan media tempatan baru-baru ini menyiarkan berita dan visual lebih 360 sukarelawan ilmu kebal yang dilaporkan sudah mendaftar dan bersedia untuk mengganyang Malaysia.

Kebencian mereka itu memuncak lagi apabila hari ini terdapat sekumpulan orang yang menggelar diri mereka sebagai Benteng Demokrasi Rakyat (BENDERA) mula bertindak liar dengan mengugut rakyat Malaysia dengan buluh runcing di Jalan Diponegoro.

Dilaporkan bahawa 50 anggota BENDERA yang bersenjatakan buluh runcing (buluh yang ditajamkan hujungnya) memaksa orang ramai yang melalui jalan itu menunjukkan tanda pengenalan mereka dan jika kebetulannya orang berkenaan seorang rakyat Malaysia maka orang itu akan terus ditahan.

Tindakan mereka mengambil undang-undang di tangan sendiri dilaporkan media massa online tempatan termasuk detikcom.

Sebelum ini pernah rumah kediaman yang disewa pelajar Malaysia di Universiti Gadjah Mada, Yogyakarta dibaling telur busuk oleh kumpulan yang berdemonstrasi terdiri daripada sekumpulan mahasiswa tempatan kerana marahkan Malaysia yang difitnah sebagai mencuri tarian Pendet yang berasal dari Bali.

Berikutan isu itu yang terus diapi-apikan media massa tempatan dan dikaitkan pula dengan isu-isu lampau yang diungkit semula, beberapa kumpulan rakyat Indonesia juga berdemonstrasi di depan Kedutaan Besar Malaysia di sini.

Walaupun penafian telah dibuat bahawa Malaysia tidak pernah “mencuri” tarian itu untuk iklan video klip promosi pelancongan negara yang sebenarnya dibuat sebuah syarikat swasta yang berpejabat di Singapura, namun hakikat itu “jatuh ke telinga yang tuli dan mata yang buta”. Anehnya, sebuah stesen TV yang baru saja menyiarkan program dialog di mana seorang pegawai tinggi Kementerian Luar Indonesia memberikan penjelasan bahawa Malaysia tidak pernah mengakui Pendet sebagai tarian berasal dari Malaysia, namun stesen TV yang sama juga kemudian mengulangi lagi tuduhan yang serupa.

Laman web okezone pula melaporkan bahawa anggota BENDERA ada memeriksa lebih daripada 100 orang.

Bagaimanapun, detikcom melaporkan bahawa tiada seorang pun rakyat Malaysia yang kebetulan melalui jalan itu dan tindakan yang dikatakan akan dilakukan selama sejam, berakhir hanya selepas setengah jam. — BERNAMA

Anwar beri amaran awal tsunami perubahan pasti berlaku

IPOH - Datuk Seri Anwar Ibrahim melaungkan amaran awal kepada Barisan Nasional (BN) supaya bersedia menghadapi tentangan sengit Pakatan Rakyat (PR) yang yakin dapat merampas kembali kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang, Negeri Sembilan.

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata, walaupun kawasan berkenaan adalah kubu kuat UMNO, namun PR mempunyai keyakinan bahawa akan berlaku satu lagi ‘tsunami’ perubahan yang akan ditransformasikan oleh masyarakat di DUN berkenaan semasa pilihan raya kecil nanti.

“PR akan memastikan jentera pilihan raya yang akan disusun kelak bekerja keras bagi mengubah minda serta memujuk para pengundi termasuk kira-kira 5,000 undi pos untuk menawan kerusi berkenaan.

“Kita mesti menang di Bagan Pinang. Kita mesti bekerja keras dan berdoa tapi perlu berwaspada kerana sejarah lampau membuktikan undi berkenaan (pos) memihak kepada BN,” katanya ketika berceramah di Dewan Tow Boo Keong, semalam.

Anwar berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sepatutnya berlaku adil dan bersih dalam pelaksanaan pilihan raya serta menetapkan satu garis panduan mengenai undi pos supaya ia lebih telus dan demokrasi.

"Memang pilihan raya kita 'bersih' sebab undi pos semuanya disapu pihak mereka," katanya.

Menurutnya, PR yakin dapat menawan semula kerusi itu jika berlandaskan senario politik sekarang serta ini dibuktikan juga penyertaan kira-kira 600 keahlian baru dalam PKR dari bekas penyokong MCA dan PPP Batu Gajah serta Gopeng. - Sinar Harian

* Pakatan Rakyat perlu kempen secara terbuka kepada polis dan tentera di kawasan tersebut. Termasuk isteri-isteri mereka yang ada di rumah.

Najib luluskan projek pembangunan untuk Manek Urai RM8.9 juta

KUALA KRAI: Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak berkata beliau telah meluluskan projek pembangunan untuk penduduk Manek Urai berjumlah RM8.9 juta sebagai menepati janji pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Manek Urai pada 14 Julai lepas.

Perdana Menteri berkata walaupun Barisan Nasional (BN) tewas kepada PAS pada pilihan raya kecil itu namun kelulusan projek itu sebagai bukti kerajaan pusat menepati janji dan ikhlas dalam memberikan perkhidmatan kepada rakyat.

"Saya telah meluluskan pembinaan jambatan dua hala yang menghubungkan Manek Urai Baru dan Manek Urai lama yang berjumlah RM8 juta.

"Saya juga meluluskan projek pembaikan masjid Temalir berjumlah RM600,000 dan pembinaan kemudahan sukan di Kampung Manjor bernilai RM300,000," katanya semasa berucap pada majlis beramah mesra dengan rakyat dan berbuka puasa di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di sini, hari ini.

Seramai 4,000 penduduk Kuala Krai dan Manek Urai datang ke majlis berkenaan yang turut dihadiri oleh Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed.

Najib berkata kelulusan projek itu sebagai menepati janji yang dibuat kerana baginya pengundi telah mencuba sedaya upaya untuk memberikan sokongan yang penuh bagi memastikan pilihan raya kecil DUN Manek Urai berpihak kepada BN.

Namun, katanya walaupun PAS menang tetapi mereka susut dalam mendapatkan sokongan rakyat disebabkan kesungguhan pengundi sehingga PAS hanya mendapat 65 majoriti undi pada pilihan raya kecil itu.

Dalam pilihan raya kecil berkenaan, calon PAS, Mohd Fauzi Abdullah mendapat 5,348 undi manakala calon BN, Tuan Aziz Tuan Mat memperoleh 5,283 undi.

Najib berkata sebelum pilihan raya kecil itu, beliau berjanji akan turun ke Manek Urai jika BN menang.

"Kita cuma perlukan 33 undi. Kalau 33 undi beralih kepada Barisan Nasional kita pasti menang. Tapi walaupun tidak menang saya anggap kita sudah menang dalam pilihan raya kecil Manek Urai," katanya.

Perdana Menteri berkata beliau datang untuk mengulangi pendirian kerajaan pusat bahawa untung nasib rakyat kelantan dan Malaysia bergantung kepada pengarahan serta halatuju kerajaan.

Pengarahan dan halatuju kerajaan adalah berdasarkan ajaran Islam yang berteraskan al-Quran dan Hadis, katanya.

Najib berkata berdasarkan teras itu, Umno yang merupakan parti utama mentadbir negara, telah menjadikan Islam sebagai agama rasmi dalam perlembagaan negara.

Katanya berlandaskan pegangan itu, Umno terus berusaha untuk menjadikan Malaysia sebagai negara Islam yang maju. BERNAMA

* Benarlah, jika tidak undi UmnoBN pun boleh dapat pembangunan. Mengapa hendak undi BN? Tetapi ini hendak dibuat modal pilihanraya kecil Bagan Pinang nanti. Hendak kata UmnoBN menepati janji. Untung Manek Urai dengan pilihanraya di Bagan Pinang. Najib pernah berkata akan melakukan apa sahaja demi kemenangan di situ nanti.

Anwar tidak perlu takut

KUALA LUMPUR 6 Sept. – Penangguhan perbicaraan kes liwat Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi gambaran seolah-olah pemimpin pakatan pembangkang itu takut kepada kebenaran.

Penganalisis politik, Dr. Chandra Muzaffar yang juga bekas timbalan presiden parti itu ketika dikenali sebagai Parti Keadilan Nasional berkata, tindakan Anwar itu suatu pembaziran kos, waktu dan tenaga manusia di mahkamah.

“Saya bukanlah hendak membuat kesimpulan dalam perkara ini. Namun inilah gambaran yang dapat dilihat.

“Kenapa hendak tangguh kalau kita tidak salah. Anwar seolah-olah takut pada sesuatu. Takut pada kebenaran yang akan terbongkar dalam perbicaraan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Chandra berkata, kes berkenaan sangat penting kepada masyarakat apatah lagi ia melibatkan isu moral.

“Justeru sebagai seorang pejuang rakyat dan pejuang keadilan kononnya, Anwar perlu memastikan perbicaraan beliau selesai secepat mungkin.

“Anwar perlu bersikap adil kepada mahkamah, rakyat dan yang paling penting mangsa atau pengadu dalam kes berkenaan,” jelasnya.

Tambah Chandra, mahkamah tidak harus dipersalahkan ekoran penangguhan demi penangguhan yang berlaku.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, sikap pemimpin pembangkang itu yang sering mencari alasan bagi menangguhkan perbicaraan di mahkamah hanya mengundang tanda tanya masyarakat.

‘‘Kesimpulan kita, dia (Anwar) takut kes dia berjalan. Kalau dia tak bersalah, hadapi di mahkamah. Yang buat demonstrasi jalanan apa hal?

‘‘Orang ramai juga akhirnya akan sampai pada kesimpulan, yang berlaku semua ini ialah kerana dia takut dengan kes dia,” katanya di sini semalam.

Bekas pembantu peribadi Anwar iaitu Saiful Bukhari Azlan dalam blognya baru-baru ini menyatakan rasa kesal terhadap penangguhan kes liwat yang dihadapi oleh bekas majikannya itu ekoran tindakan Anwar mengemukakan beberapa permohonan berkaitan dengan kes tersebut.

Nazri yang juga Ahli Parlimen Padang Rengas berkata ‘‘Jika Anwar tidak bimbang, tak bersalah, hadapi sahaja kes. Apa juga pembelaan, buat di dalam mahkamah. Bukan buat huru-hara di jalan”.

Beliau yakin apa yang berlaku hari ini terutama di Perak adalah antara strategi Anwar mengelak berdepan dengan proses keadilan.

Dalam masa sama, beliau turut mempersoalkan usaha Anwar yang mahu membatalkan kumpulan pendakwaan terhadap kes itu atas sebab-sebab tertentu.

‘‘Bagaimana kalau saya pula kata, R. Sivarasa tidak dibenarkan menjadi peguam bela Anwar kerana Sivarasa adalah seorang yang berkepentingan kepada Anwar selain dia juga ialah ahli Parlimen pembangkang. Boleh saya kata begitu?

‘‘Kalau saya tak boleh buat begitu, bagaimana dia boleh lakukan kepada unit pendakwaan kita dengan mengatakan pendakwa ini satu masa dulu kononnya pernah buat laporan tidak betul. Ini tak logik, mengarut,” katanya.

Beliau berkata, Anwar sepatutnya mempertikaikan tanggungjawab seseorang hakim sama ada berlaku adil atau tidak bukan terhadap kumpulan pendakwa raya.

‘‘Yang patut dia bimbang ialah hakim bukan pendakwa itu. Pendakwa, dia mendakwa sahaja. Kalau dia marah pada Anwar, apa benda pun yang dia boleh buat pada Anwar?

‘‘Tetapi kalau hakim itu merupakan orang yang mungkin keadilannya berat sebelah, kita boleh minta supaya dia tidak dibenarkan mengadili kes,” katanya. - Utusan

* Penangguhan itu mengikut lunas undang-undang dan adalah perintah mahkamah. Candra dan Nazri takut sangat Anwar lepas kerana kekuatan pakatan rakyat akan merugikan mereka suatu masa kelak sehingga mereka sanggup menghina mahkamah.

Penunjuk perasaan sambil pijak kepala lembu akan didakwa

KUALA LUMPUR 7 Sept. — Penunjuk perasaan dan kalangan mereka yang bercakap sambil memijak kepala lembu di hadapan Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam pada 28 Ogos lepas akan didakwa.

Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail berkata, beliau berpuas hati dengan fakta dan bukti yang dikumpul oleh polis bahawa penunjuk perasaan terbabit perlu dihadapkan ke mahkamah.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata, polis telah menyerahkan kertas siasatan berhubung bantahan oleh penduduk Seksyen 23 Shah Alam kepadanya tengah hari ini.

Abdul Gani berkata, mereka yang membawa dan bercakap sambil memijak kepala lembu akan didakwa mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan dan secara pilihan menurut Seksyen 298 Kanun Keseksaan.

Mereka dan penunjuk perasaan yang lain juga akan berdepan satu lagi pertuduhan mengikut seksyen 27 (5) Akta Polis kerana berhimpun secara haram.

Pada 28 Ogos lepas, penduduk Seksyen 23 Shah Alam mengadakan bantahan berikutan cadangan menempatkan semula sebuah kuil Hindu di kawasan berkenaan. - Bernama

* Bertempik dimahkamah kamu...

Monday, September 7, 2009

SPR tolak wujud ugutan terhadap pengundi pos

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menolak tuduhan beberapa parti politik berhubung tuduhan wujudnya ugutan atau tekanan terhadap pengundi pos di kalangan anggota tentera dan polis sehingga menyebabkan undi mereka berpihak kepada satu pihak sahaja.

Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar menyifatkan tuduhan tersebut sebagai tuduhan yang tidak berasas tanpa sebarang bukti-bukti sokongan.

"Saya tak nampak (kebenaran) jika mereka menuduh pengundi pos di kalangan anggota tentera dan polis (diugut) kerana mereka juga mengundi seperti pengundi biasa.

"Tak ada sesiapa yang menekan mereka... mereka mengundi macam orang biasa, undi mereka juga tetap rahsia, hanya mereka yang tahu siapa yang mereka pangkah (undi) dan prosesnya juga sama seperti pengundi biasa pada hari pengundian umum.

"Cuma mereka mengundi lebih awal, namun kertas undi yang mereka masukkan ke dalam karung undi pos hanya akan dibuka untuk dikira selepas tamatnya proses mengundi," katanya kepada mStar Online.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai dakwaan beberapa pemimpin parti politik yang meragui ketelusan undi pos terutama di kalangan anggota tentera dan polis.

Malah Wan Omar juga menyifatkan keraguan berkenaan timbul kerana pemimpin-pemimpin berkenaan mengeluarkan pandangan berdasarkan andaian mereka semata-mata.

Jelas beliau tuduhan dan andaian seperti ini sepatutnya tidak timbul kerana ia boleh mencetuskan perasaan curiga di kalangan rakyat terhadap proses pilihan raya di negara ini.

"Perkara ini timbul kerana pemimpin-pemimpin berkenaan membuat andaian semata-mata kerana proses pengundian mereka (pengundi pos) dibuat melalui kaedah biasa, malah wakil setiap parti juga dibenarkan untuk memantau proses pengundian berlangsung.

"Kita sudah beberapa kali berbincang dengan pemimpin-pemimpin parti politik dan menjelaskan kepada mereka, jadi mereka tak sepatutnya mengeluarkan kenyataan yang boleh timbulkan kecurigaan," katanya kepada mStar Online.

Isu keraguan undi pos dibangkitkan oleh pemimpin Pakatan Rakyat iaitu Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kedua-dua pemimpin berkenaan berkata Pakatan Rakyat akan memberi perhatian terhadap undi pos yang telah memenangkan calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum lalu bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang.

Kerusi DUN Bagan Pinang kini kosong berikutan kematian penyandangnya, Azman Mohammad Nor Jumaat lepas di Hospital Pakar Seremban akibat jangkitan dalam darah.

Azman, 54, yang juga Naib Ketua UMNO bahagian Teluk Kemang, memenangi kerusi itu pada pilihan raya umum lepas mengalahkan calon Pas, Ramli Ismail dengan majoriti 2,333 undi.

Tambah Wan Ahmad, pemimpin parti politik tidak seharusnya meragui ketelusan proses undi pos kerana semua proses yang dijalankan adalah berpandukan Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003.

"Kita bukan lakukan prosesnya dengan sewenang-wenangnya, semuanya mengikut undang-undang yang sah.

"Saya nasihatkan supaya keraguan yang berbentuk andaian seperti ini tidak lagi dibangkitkan," katanya. - Mstar

* Keputusan akan berbeza jika tidak undi POS. Apa sahaja yang menguntungkan UmnoBN, akan dipertahankan SPR.