30 November 2009

BTN di Selangor tetap diteruskan: Ahmad

JITRA - Kerajaan akan tetap meneruskan penganjuran Kursus Biro Tata Negara (BTN) di Selangor walaupun Kerajaan Negeri itu melarang warga kerja dan pelajar institusi pengajian tinggi menyertainya kerana mendakwa ia proses doktrinasi Barisan Nasional (BN).

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Ahmad Maslan yang bertanggungjawab bagi BTN berkata, kursus berkenaan akan tetap diteruskan di Selangor kerana bukan semua perkara di negeri itu tertakluk di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri.

“Pegawai Kerajaan Persekutuan, pelajar universiti, Jawatankuasa Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) serta belia akan terus dihantar menyertai kursus ini.

“Ini kerana BTN bukan seperti yang didakwa oleh mereka sebaliknya penuh dengan semangat patriotisme, malah telah menerima sijil pengiktirafan ISO 9000 daripada SIRIM, ia bukan kursus semberono sebaliknya tersusun,” katanya kepada pemberita sebagai mengulas keputusan Kerajaan Negeri Selangor itu.

"Kursus BTN akan tetap dijalankan kerana ia mendukung Gagasan 1 Malaysia dan tiada unsur memecah-belahkan keharmonian kaum di negara ini," katanya yang juga Ketua Penerangan UMNO kepada pemberita selepas menerima 200 borang untuk menjadi anggota UMNO daripada penduduk Kampung Seberang, di sini, semalam.

Di KUALA LUMPUR, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, tindakan Kerajaan Negeri Selangor itu adalah keterlaluan dan tidak wajar kerana kursus BTN hanya berkaitan kenegaraan dan menyemai sifat kepimpinan di kalangan pesertanya.

“Tidak mungkin kerajaan mewujudkan unsur perkauman dalam program BTN kerana ada beberapa program BTN turut disertai pelbagai kaum dan bukannya satu kaum sahaja,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Korban dan Jamuan Mesra Rakyat di Kampung Melayu, Batu 16, Rawang, dekat sini.

Mukhriz yang juga Ahli Parlimen Jerlun berkata, BTN anjuran Jabatan Perdana Menteri dapat melahirkan insan yang berperwatakan positif dan beliau menyangkal dakwaan pembangkang bahawa ia adalah kursus untuk membasuh minda. - Bernama

Royalti minyak: Nik Aziz pertahan isu doa

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tetap mempertahankan bahawa tidak salah dari segi agama Islam jika mendoakan seseorang itu dilaknat Tuhan jika mereka mempunyai niat jahat terhadap seseorang lain.

Menteri Besar Kelantan itu berkata beliau sanggup berhadapan dengan ulama yang membidas serta mengkritik kenyataannya itu dan mengingatkan beliau bahawa perbuatan sedemikian adalah haram di sisi Islam.

Jumaat lepas, Nik Abdul Aziz berkata beliau akan berdoa kepada Allah supaya memusnahkan masa depan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Umno jika kerajaan pusat enggan memberi royalti minyak kepada Kelantan, yang disifatkan sebagai sesuatu yang tidak betul.

Menteri Besar Kelantan itu turut menjelaskan kenyataannya itu.

"Doa yang dimaksudkan itu (kepada Perdana Menteri) hanya meminta Allah memperbetulkan fikiran Perdana Menteri,(Datuk Seri Najib Tun Razak) iaitu beri (royalti) gas dan petrol kepada Kelantan, kalu tak beri juga, bermakna beliau berniat tak baik.

"Niat tak baik itulah yang saya minta dilaknatkan Tuhan tu...," katanya.

Mufti Perak Tan Sri Dr Harussani Zakaria, dalam laporan media hari ini dipetik sebagai berkata umat Islam sepatutnya berdoa dan memohon kepada Allah supaya memberikan hidayah, kesejahteraan serta keselamatan terhadap orang lain, terutama saudara seagama, bahkan kepada orang kafir.

Sementara itu, Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Hussein menyifatkan tindakan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat itu sebagai tidak masuk akal.

Katanya, perbuatan itu sebenarnya menggambarkan kelemahan dalam pemerintahan Nik Aziz sekaligus menunjukkan perpecahan kritikal di dalam PAS.

"Kita di dalam Umno bukan mahu mendoakan PAS berpecah tetapi kita bersyukurbkerana apa yang PAS tuduh, akhirnya perkara itu terkena tempias kepada mereka (PAS) sendiri.

"Mereka (PAS) tuduh Umno menimbulkan perkara yang boleh pecah belahkan PAS, kita (Umno) yang lagakan pemimpin mereka, tetapi bila kita sabar dalam cara kita bawa diri kita, akhirnya tuhan tunjukkan mereka yang terkena tempias mereka," katanya kepada pemberita selepas majlis korban Umno Bahagian Sembrong dan pembasmian kemiskinan Giat Mara, di Kampung Contoh, dekat Kahang, di Kluang hari ini.- Bernama

* Betullah Doa itu senjata orang mukmin. Umno menggelabah dengan doa Tok Guru.

Pemuda BN demo, foto Guan Eng dibakar

Sekumpulan kira-kira 100 penyokong Pemuda BN berkumpul di depan bangunan DUN Pulau Pinang dan seorang dalam kumpulan itu membakar foto Ketua Menteri Lim Guan Eng.

Ia dianjurkan sebagai membantah pentadbiran kerajaan negeri yang didakwa "tidak cekap dan teragak-agak" membuat keputusan bagi menyelesaikan masalah rakyat dan juga gagal menunaikan janji pilihan raya umum 2008.

Dikepalai oleh ketua Pemuda Umno Pulau Pinang, Norman Zahalan, tunjuk perasaan itu bermula kira-kira 12.15 tengah hari dan berakhir hampir sejam kemudian ketika sidang DUN Pulau Pinang sedang berlangsung hari ini.

Penunjuk perasaan menaikkan sepanduk anti-kerajaan dengan dakwaan ia tidak cekap mengendalikan beberapa masalah seperti Kampung Buah Pala, Rumah Hijau Mak Mandin dan juga projek kontroversi menebus guna tanah.

Ketua Pemuda Gerakan negeri Oh Tong Keong kemudian menjelaskan insiden membakar poster Lim bukan tindakan Pemuda BN tetapi seorang penduduk Kampung Buah Pala yang turut hadir di situ.

Beliau memberitahu Malaysiakini petang ini bahawa mereka merancang agar perhimpunan itu berlangsung secara tertib dengan hanya membawa sepanduk dan poster.

Bagaimanapun seorang lelaki pertengahan umur tiba-tiba menyertai tunjuk perasaan itu dan kemudian mengambil sekeping poster lalu memijak dan membakarnya.

"Saya telah cuba menghalangnya (berbuat demikian) tetapi keadaan menjadi tidak terkawal," kata Oh.

Tambahnya, polis kemudian membawa lelaki tersebut dan seorang pegawai polis Cawangan Khas memberitahunya bahawa lelaki itu seorang penduduk kampung itu yang kini telah diranapkan untuk projek pembangunan.

Menurut Oh lagi, sekumpulan penduduk Kampung Buah Pala sebelumnya berkunjung ke bangunan DUN untuk menyerahkan memorandum kepada ketua menteri dan meninggalkannya ketika kumpulan Pemuda BN itu sedang berdemonstrasi.

Katanya, semua penyokong Pemuda BN memakai baju putih dan berseluar hitam, manakala lelaki yang membakar itu berpakaian warna.

"Kami mengutuk tindakan membakar poster. Jika anda ada rungutan, anda harus menyatakan secara aman," katanya, yang juga timbalan ketua Pemuda Gerakan Malaysia. - Malaysiakini

Mais bincang isu tarik balik tauliah Khalid

Status tauliah mengajar agama ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad akan dibincangkan dalam mesyuarat jawatankuasa tauliah Majlis Agama Islam Selangor (Mais) pada Khamis ini.

Pembantu wakil rakyat PAS itu Mohd Jamil Abd Rahim berkata, jaminan tersebut diberikan oleh Ahmad Zaki Arsyad, ketua penolong pengarah Bahagian Pengurusan Dakwah ketika mereka bertemu di pejabat Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) hari ini.

Mohd Jamil bersama sekumpulan ahli kariah Shah Alam menyerahkan memorandum kepada jabatan agama negeri bagi membantah tindakannya menarik balik tauliah mengajar agama kepada Khalid tahun lepas.

Dalam surat Jais bertarikh 10 Julai 2008, Khalid diberikan tauliah sementara mengikut kategori D1 (boleh mengajar atau berceramah) dan D2 (mengajar fardu ain dan berkitab).

Kebenaran itu bagaimanapun dibatalkan pada 28 Oktober tahun itu susulan tapisan keselamatan polis Selangor yang mendapati Khalid mempunyai "rekod jenayah".

Rekod jenayah itu bagaimanapun tidak dijelaskan oleh Jais dan juga polis negeri.

Pengarah Jais Datuk Mohamed Khusrin awal bulan ini dilaporkan berkata tauliah Khalid ditarik dengan alasan pemimpin PAS Shah Alam itu "tidak sesuai membaca khutbah."

Dihubungi Malaysiakini hari ini, Mohd Jamil berkata memorandum berkenaan yang disokong dengan lebih 1,000 tandatangan ahli-ahli kariah di kawasan parlimen tersebut bertujuan membantah kenyataan Mohamed Khusrin tersebut. - Malaysiakini

Siaran misteri Saddam kejutkan rakyat Iraq

BAGHDAD 30 Nov. – Rakyat Iraq semalam dikejutkan dengan penyiaran rancangan bekas Presiden Saddam Hussein sempena ulang tahun pelaksanaan hukuman mati ke atasnya pada 2006 lalu.

Siaran yang disiarkan oleh satelit misteri ini dikatakan memuji bekas pemimpin diktator ini.

Tiada siapa yang mengetahui siapa dalang di sebalik penyiaran rancang yang digelar `Siaran Saddam’ ini, walaupun kerajaan Iraq mengesyaki ia dilakukan oleh parti Baathist, bekas pimpinan Saddam.

“Siaran Saddam tidak menerima bayaran daripada Parti Baathist, ia adalah untuk rakyat Iraq yang telah lama hidup di bawah pemerintahannya,” kata seorang lelaki Syria, Mohammed Jarboua yang ditemui oleh The Associated Press dan mendakwa adalah pengerusi siaran ini .

Dia berusaha keras untuk menyembunyikan dari mana ia disiarkan. – AP

Nik Aziz jual agama demi politik - Muhyiddin

KUALA LUMPUR 30 Nov.- Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat dianggap menjual agama demi kepentingan politiknya apabila sanggup mendoakan kepada Allah supaya memusnahkan masa depan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan UMNO.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perbuatan yang ditunjukkan Nik Aziz itu langsung tidak mencerminkan apa yang dikatakan perjuangan untuk menegakkan Islam melalui Pas selama ini.

"Beliau dikatakan tokoh Pas, seorang Mursyidul Am parti itu tetapi amalan yang ditunjukkan itu bukan saja tidak seperti apa yang disebut tetapi bertentangan dengan hukum.

"Ini satu kesalahan besar namun saya tidak boleh nasihatkan beliau sebab dia lebih tahu agama daripada saya," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Konvensyen Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) 2009 di sini hari ini. - Utusan

* Macam tak ada agama kata Nik Aziz jual agama...

Dua peragut dibelasah teruk

KOTA BHARU 29 Nov. - Tindakan dua lelaki yang cuba meragut rantai leher seorang kanak-kanak perempuan akhirnya memakan diri sendiri apabila mereka dibelasah penduduk kampung yang melihat kejadian itu.

Dalam kejadian pukul 5.15 petang di Kampung Belimbing Pendek, Kedai Mulong semalam, salah seorang daripada peragut itu turut dibogelkan penduduk kampung yang berang dengan tindakan penjenayah itu yang dipercayai penagih dadah.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Zahruddin Abdullah berkata, kedua-dua lelaki yang berusia lingkungan 20-an dan menaiki motosikal Yamaha LC cuba meragut rantai yang dipakai kanak-kanak perempuan terbabit tetapi disedari bapanya, Mohamed Jumain Mohamed.

"Salah seorang daripada mereka ditangkap oleh bapa mangsa sendiri manakala rakannya pula ditahan oleh penduduk kampung.

"Kedua-dua mereka kemudian dipukul oleh penduduk kampung sehingga tidak sedarkan diri dan kini dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II," katanya di sini hari ini.

Zaharuddin berkata, ketika ditahan kedua-dua mangsa tidak membawa pengenalan diri dan pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kes itu.

Sementara itu, Mohamed Jumain yang pulang menyambut Hari Raya Aidiladha di kampung halamannya terkejut melihat dua pemuda berkenaan mendekati anaknya yang berada di tepi jalan berdekatan rumahnya.

"Ketika kejadian, anak perempuan saya yang berusia lima tahun menuju ke rumah datuknya untuk mengajaknya beraya di rumah bapa saudara.

"Semasa anak saya berjalan kaki, saya memerhatikannya dan ternampak dua pemuda menaiki motosikal menghampiri anak saya dan cuba meragut rantai lehernya," katanya.

Menurut Mohamed Jumain, dia kemudian segera berlari arah anaknya dan bergelut dengan pemuda berkenaan.

Penunggang motosikal itu, katanya, berjaya ditangkap namun pemboncengnya melarikan rantai tersebut ke kampung lain. - Utusan

Selangor rancang adakan forum isu BTN

PETALING JAYA 30 Nov. — Kerajaan Selangor akan menganjurkan satu forum awam yang akan membincangkan isu mengenai kursus-kursus yang disediakan oleh Biro Tata Negara (BTN), dalam usaha memberikan penjelasan lebih terperinci mengenai keputusannya mengharamkan program itu kepada para petugas kerajaan negeri, kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Katanya, beliau memutuskan untuk mengadakan forum itu selepas menerima kritikan daripada beberapa pihak seperti pemimpin-pemimpin Umno dan menteri-menteri kabinet, ekoran tindakan kerajaan negeri menghalang para petugasnya daripada menjalani kursus yang disediakan BTN.

Beliau berkata, bekas peserta, pensyarah dan juga penganjur program-program BTN akan dijemput untuk memberikan pandangan mereka dalam forum itu nanti, dalam usaha menentukan sekiranya langkah pengharaman oleh kerajaan negeri itu adalah tepat atau sebaliknya.

"Sekiranya kerajaan pusat cuba mengharamkan forum ini, ia bermakna memang ada sesuatu yang tidak kena,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa mengenai ”Urban Regeneration” di sini hari ini.

Rabu lepas Pengerusi jawatankuasa tetap Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Pembangunan Sumber Manusia Selangor Dr. Halimah Ali berkata petugas kerajaan negeri Selangor serta para pelajar institusi pengajian milik kerajaan negeri tidak dibenarkan menjalani kursus-kursus BTN berkuatkuasa serta merta. - Bernama

29 November 2009

Hajat terakhir Chin Peng

Walaupun Chin Peng begitu sekali ingin pulang ke tanah tempat tumpah darahnya, tetapi bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) yang berusia kini 85 tahun, bagaimanapun belum bersedia untuk memohon maaf di atas apa yang telah berlaku - tidak seperti yang dilaporkan media minggu lalu.

“Saya tidak ada niat lain selain daripada untuk pulang ke tanahair saya,” katanya.

Kerajaan pula berkeras tidak membenarkan Chin Peng, yang kini tinggal di Thailand, untuk memijak bumi Malaysia, atas alasan kekejaman yang telah dilakukan oleh PKM.

Bercakap kepada media, Chin Peng yang nama sebenarnya Ong Boon Hua, berkata beliau berhasrat menziarahi perkuburan ibubapanya serta menemui semula anggota keluarganya.

Chin Peng berada di bandar di selatan Thailand untuk menyambut ulangtahun Perjanjian Damai Hatyai, yang telah menamatkan perjuangan bersenjata PKM.

Perjanjian damai itu ditandatangani oleh Chin Peng dan Rashid Maidin yang mewakili PKM dan Tan Sri Abdul Rahim Noor dan Datuk Seri Megat Junid Megat Ayub bagi pihak kerajaan Malaysia pada 2 Disember 1989.

Keinginannya untuk pulang ke tanahair, begitu kuat sekali sehinggakan bekas pemimpin PKM itu sedang menimbang mengambil risiko masuk secara 'rahsia' dan terserahlah kepada pihak kerajaan untuk mengambil apa jua pun tindakan.

"Saya tidak ada niat lain. Saya berharap dapat pulang untuk berdoa untuk ibubapa dan saudara saya yang sudah pergi. Itulah pengharapan saya selagi masa masih ada,” katanya.

Chin Peng berkata beliau bersedia untuk bertemu dengan Datuk Seri Najib Abdul Razak berhubung perkara itu apabila perdana menteri melawat selatan Thai bulan depan.

Bagaimanapun, Chin Peng, yang berasal dari Sitiawan, tidak bersedia untuk memohon maaf di atas perjuangan bersenjatanya.

Ditanya sekiranya beliau sedia menimbang berbuat demikian sebagai 'tiket' untuk pulang, beliau termenung sejenak dan dengan tegas berkata 'Tidak'.

Peguamnya, Leong Cheok Keng, yang menemani Chin Peng sewaktu wawancara tersebut, mengkritik sebuah akhbar berbahasa Inggeris berhubung isu 'permohonan maaf' itu.

Dalam wawancara ekseklusif dengan akhbar The Star minggu lalu, Chin Peng dilaporkan telah memohon maaf kepada mangsa dan keluarga yang menjadi mangsa keganasan PKM.

Beliau dipetik sebagai berkata walaupun PKM tidak pernah berniat untuk membunuh orang awam yang tidak berdosa, tetapi beliau mengakui "kami mungkin telah melakukan kesilapan dalam beberapa kes".

Sebaliknya menurut Leong yang turut membawa rakaman wawancara dengan akhbar The Star, Chin Peng berkata beliau sedia memohon sekiranya ada bukti yang menunjukkan anggota PKM telah dengan sengaja membunuh rakyat yang tidak berdosa.

Katanya, adalah tidak adil bagi akhbar tersebut untuk memainkan isu "permohonan maaf" itu kerana ia memberi gambaran yang Chin Penang menyesal atau telah mengaku telah membunuh orang yang tidak berdosa. - Malaysiakini

Kelantan perlu MB baru bertaraf ulama

KOTA BHARU - Dewan Ulama Pas Kelantan mengambil pendirian untuk menerima sesiapa saja bakal pengganti Datuk Nik Aziz Nik Mat sebagai Menteri Besar Kelantan, namun ia harus datang dari individu yang berstatus ulama.

Ketuanya, Datuk Mohamed Daud Iraqi berkata, kepimpinan Nik Abdul Aziz sudah menjadi sebati kepada rakyat Kelantan dan adalah perlu pengganti beliau juga harus memiliki ciri-ciri kepimpinan ulama yang ada padanya.

“Untuk meneruskan apa yang Nik Aziz perjuangkan selama ini, kita menerima sesiapa sahaja yang dipilih, namun ia harus datang dari ulama,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kenyataan Nik Aziz sebelum ini yang mendedahkan bahawa beliau sudah mempunyai :barisan pelapis untuk menerajui kepimpinannya selepas ini.

Nik Aziz sebelum itu mengulas mengenai saranan Timbalan Pesuruhjaya Pas Negeri, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang mahu Menteri Besar Kelantan itu menamakan penggantinya supaya tidak timbul kekalutan dalam Kerajaan Negeri.

Merujuk kepada hierarki kepimpinan Pas Kelantan sekarang, tiga Timbalan Pesuruhjayanya, Datuk Ahmad Yaakob, Datuk Husam Musa dan Nik Mohd Amar Nik Abdullah.

Mohamed Daud berkata, adalah langkah yang terbaik sekiranya kepimpinan Pas memilih Timbalan Menteri Besar, Ahmad Yaakob sebagai pengganti Nik Abdul Aziz.

Menurutnya, Ahmad memiliki ciri-ciri yang ada pada Nik Aziz selain memegang jawatan Timbalan Ketua Ulama Pas di peringkat pusat.

“Apa yang jelas, beliau adalah pemimpin yang tidak suka kepada kontroversi. Ini menunjukkan beliau memiliki rekod yang bersih, sudah tentu ia menjadi pilihan kepada Dewan Ulama,” katanya.

Ditanya adakah kenyataan itu bermakna Datuk Husam Musa tidak layak memegang jawatan itu, Mohamed Daud berkata: “Jika Pas memilihnya kita tidak ada masalah untuk menerima.”. - Sinar Harian

* Bagai bapak belum mati. Minta sediakan wasiat harta pusaka. Anak biadap nama tu.

Agih hasil rompakan bawah pokok rambutan

NIBONG TEBAL: Lima perompak kedai emas di Sungai Bakap, dekat sini, sempat mengagihkan hasil rompakan mereka bernilai lebih RM500,000 di bawah pokok rambutan sebelum melarikan diri dengan dua kereta, semalam.

Suspek yang melarikan diri dengan kereta Proton Wira dan Toyota Camry hanya meninggalkan tukul yang digunakan untuk memecahkan cermin pameran kedai emas itu.

Sebelum itu, dalam kejadian kira-kira jam 10.07 pagi, lima suspek memakai topeng, termasuk seorang memakai topi keledar berpenutup muka, mengambil masa kurang seminit untuk melarikan antara 12 hingga 13 dulang emas dari premis terbabit.

Kejadian berlaku ketika premis itu baru dibuka dan hanya ada tiga kakitangan tetapi tiada pelanggan.

Ketua Polis Daerah Seberang Prai Selatan, Superintendan Shafien Mamat, berkata empat suspek, termasuk seorang bersenjatakan pistol, masuk ke kedai emas itu manakala seorang lagi suspek menunggu di dalam kereta.

Katanya, suspek terus mengacukan pistol dan mengarahkan kakitangan kedai itu berdiam diri sebelum memecahkan cermin pameran dengan tukul.

“Suspek mengambil masa hanya beberapa saat sebelum melarikan antara 12 hingga 13 dulang emas bernilai lebih RM500,000.

“Walaupun premis terbabit dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV), wajah suspek sukar dicam kerana mereka memakai topeng.

“Kami tidak pasti suspek warga tempatan atau asing tetapi berdasarkan maklumat kakitangan kedai, suspek berkulit gelap. Yang nyata, suspek merancang dengan teliti sehingga mempunyai masa untuk mengagihkan hasil rompakan,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Shafien berkata, sebaik berjaya melarikan emas dari kedai itu, geng perompak terbabit mengagihkan hasil rompakan sesama sendiri di bawah pokok rambutan, kira-kira dua kilometer dari tempat kejadian.

“Tukul yang dipercayai digunakan dalam rompakan turut ditemui di bawah pokok itu,” katanya.

Menurutnya, tiada saksi kejadian kerana ketika itu keadaan lengang. - Mymetro

* Malaysia, syurga bagi perompak dan penyamun.

DBP tak bantu rakyat membaca

Penghasilan hanya 16,044 judul buku 2008 tidak mencukupi: Puad Zarkashi

KUALA LUMPUR: Penghasilan hanya 16,044 judul buku oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sepanjang tahun lalu dilihat antara punca kegagalan memupuk minat membaca di kalangan rakyat negara ini yang mencecah 27 juta orang.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata hasil Kajian Profil Membaca Rakyat Malaysia 2005 oleh Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) mendapati lebih daripada separuh, iaitu 54.3 peratus rakyat negara ini membaca purata kurang tujuh halaman sehari.

Beliau yang menyifatkan hasil kajian itu sebagai memeranjatkan, berkata daripada jumlah 54.3 peratus itu pula, 12 peratus membaca purata kurang dua halaman sehari atau 50 halaman sebulan.

"Pendedahan ini sangat memeranjatkan kerana memperlihatkan betapa rakyat Malaysia tidak membudayakan membaca sebagai salah satu aktiviti harian walaupun buku dan bahan bacaan lain mudah didapati di merata-rata tempat.

"Namun kementerian tidak menyalahkan tabiat membaca rakyat di negara ini semata-mata kerana kita perlu juga melihat hasil kerja DBP. Statistik PNM pada 2008 mendapati hanya 16,044 judul buku dihasilkan DBP sedangkan jumlah rakyat kita 27 juta orang," katanya.

Bercakap ketika dihubungi Berita Minggu, semalam, Mohd Puad berkata, penerbit buku di Malaysia seharusnya menerbitkan 27,000 judul buku setahun bagi menampung keperluan rakyat dan masalah kekurangan buku sekarang harus ditangani segera berikutan Malaysia serius untuk menjadi negara maju pada 2020.

"Kerajaan menganggarkan 30 juta rakyat Malaysia menjelang 2020 dan bagi menampung keperluan itu, 30,000 judul buku harus diterbitkan setahun selaras dengan status Malaysia sebagai negara maju ketika itu," katanya. - Bharian

* Sejuta buku sehari pun. Dah rakyat Malaysia malas membaca.

'Perguna agama untuk capai maksud'

IPOH: Tindakan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat yang mendoakan kemusnahan dan kehancuran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semata-mata kerana isu royalti minyak, bercanggah dengan adab berdoa dalam Islam.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berkata tindakan itu seolah-olah seperti sudah terdesak untuk mendapatkan sokongan rakyat sehingga Menteri Besar Kelantan itu menggunakan taktik ‘menakut-nakutkan’ musuh politiknya dengan mempergunakan agama untuk mencapai maksud.

"Sebagai pemimpin, beliau (Nik Aziz) tidak sepatutnya menggunakan platform Islam bagi menggertak Kerajaan Pusat sehingga sanggup melakukan sesuatu yang bercanggah dengan adab agama.

"Ia menggambarkan sikap seseorang yang putus asa sehingga tidak mempunyai jalan penyelesaian terbaik untuk mengatasi masalah dihadapi," katanya selepas menghadiri Majlis Korban Perdana 2009 membabitkan badan-badan berkanun Kerajaan Perak di Jabatan Perkhidmatan Veterinar, di sini semalam.

Zambry mengulas laporan memetik kenyataan Nik Aziz, kelmarin yang didakwa menyarankan rakyat Kelantan mendoakan kehancuran Najib jika masih enggan memperuntukkan wang royalti minyak kepada negeri itu.

Nik Aziz dikatakan membuat kenyataan itu ketika menyampaikan khutbah Jumaat di Kota Bharu, Kelantan.

Menteri Besar berkata, Nik Aziz sanggup melakukan apa saja mengikut metodologi Islam cara Pas untuk menggambarkan kesalahan seseorang dan sanggup melihat kemusnahan saudara sesama Islam.

"Perbuatan menyuruh rakyat Kelantan mendoakan kehancuran Perdana Menteri seolah-olah Nik Aziz sudah hilang pertimbangan sebagai seorang Islam yang syumul dan sejati.

"Justeru, beliau akan terus mencari pelbagai cara bagi meyakinkan rakyat Kelantan, khususnya untuk mendoakan kejatuhan Najib walaupun bertentangan dengan ajaran Islam," katanya yang mendakwa Pas sering mengakui bahawa mereka adalah golongan Islam sempurna.

Zambry berkata, perkara itu tidak akan terjadi jika pucuk pimpinan sesebuah parti itu mengamalkan cara politik yang betul.

"Jika politik diamalkan mengikut landasan Islam yang betul, sudah pasti ia membawa kepada kebaikan dan bukannya perpecahan dalam masyarakat," katanya. - Bharian

* Habis hendak guna platform apa? Platform penyamun macam awak. Rampas hak rakyat Perak secara terang-terang yang sebelum ini memilih Pakatan Rakyat sebagai pemimpin mereka.

'Doa' Nik Aziz dikecam

Mohon masa depan PM binasa hanya kerana isu royalti minyak keterlaluan

KUALA LUMPUR: Tokoh agama dan ulama semalam membidas hasrat Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat yang mahu berdoa kepada Allah supaya memusnahkan masa depan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Umno jika Kerajaan Pusat enggan memberi royalti minyak kepada Kelantan.

Mereka mengingatkan Menteri Besar Kelantan itu bahawa perbuatan sedemikian adalah haram di sisi Islam tanpa mengira pelakunya berpangkat dan berkedudukan, apatah lagi pihak dimaksudkan itu saudara seagama dan seorang pemimpin beragama Islam.

Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria, berkata umat Islam sepatutnya berdoa dan memohon kepada Allah supaya memberikan hidayah, kesejahteraan serta keselamatan terhadap orang lain, terutama saudara seagama, bahkan kepada orang kafir.

Beliau berkata, umat Islam tanpa mengira kedudukan, pangkat, jawatan atau fahaman politik wajib mematuhi hukum Islam yang mengharamkan perbuatan mendoakan kemusnahan saudara seagamanya.

"Berdoa meminta Allah memusnahkan kehidupan dan masa depan orang lain tidak boleh, haram dan berdosa besar. Kalau kepada kafir harbi (tidak tunduk kepada pemerintahan kerajaan Islam) tidak mengapa.

"Sesama Islam tidak boleh berdoa seperti itu. Kita digalakkan mendoakan kesejahteraan orang lain, terutama saudara seagama. Orang berdoa supaya Allah memusnahkan kehidupan orang lain perlu bertaubat dan perlu memohon maaf dengan orang yang dimaksudkan. Kita tidak boleh putuskan silaturahim," katanya ketika dihubungi, semalam.

Nik Aziz kelmarin berkata, beliau dan penyokongnya sudah mendoakan agar Perdana Menteri mengubah fikiran supaya memberikan royalti kepada negeri itu, jika tidak beliau akan berdoa supaya Allah menghapuskan masa depan Najib dan Umno.

"Saya doa tadi ramai-ramai minta Allah SWT perbetulkan pemikiran Perdana Menteri, biar dia beri (royalti)...kalau tak, kita doa supaya Allah musnahkan masa depan dia, parti dia, kumpulan dia, proksi dia semua akan musnah, tak mustahil benda ini akan berlaku," katanya.

Awal bulan ini, Perdana Menteri berkata, Kerajaan Pusat akan memberi wang ihsan kepada kerajaan Kelantan mulai tahun depan bagi hasil pengeluaran minyak di luar pesisir pantai negeri itu.

Sementara itu, Penasihat Majlis Agama Islam Johor, Datuk Nooh Gadut, berkata umat Islam yang berhajat supaya orang lain yang seagama dengannya menderita dan kehidupannya musnah sebenarnya mahu mencabar al-Quran yang menegaskan orang Islam bersaudara. - Berita Harian

* Saudara jika perangai seperti saudara. Jika perangai sudah sama Yahudi sekat hak rakyat Gaza. Itu bukan lagi saudara tetapi musuh Islam yang zalim.

Agih daging korban ke luar negara

KUALA LUMPUR - Sebahagian daripada daging korban yang diuruskan Masjid Negara di sini akan diagihkan kepada umat Islam di Palestin, Darfur, Sudan dan beberapa negara Islam lain yang memerlukan.

Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad berkata, agihan daging korban ke luar negara merupakan sumbangan Malaysia kepada masyarakat di peringkat antarabangsa.

Bagaimanapun, jumlah daging korban yang akan diagihkan ke luar negara itu akan ditentukan kemudian selepas mengagihkannya kepada warga kota menerusi masjid dan surau di sekitar Lembah Klang, katanya.

"Pada tahun ini, Masjid Negara menerima sumbangan 36 ekor lembu daripada individu serta syarikat-syarikat swasta dan jumlah berkenaan bertambah berbanding tahun-tahun yang lepas," katanya pada majlis korban masjid itu sempena sambutan Hari Raya Aidiladha, di sini semalam. - Kosmo

* Luar negara korban duit sudahlah.

Peguam Negara janji bantu Elis dapatkan Ferris

KUALA LUMPUR - Impian bekas pensyarah untuk mendapatkan kembali anaknya, Ferris Mokhtar Van De Ven, 5, yang dilarikan suaminya ke Belgium Mac lalu cerah apabila Pejabat Peguam Negara berjanji membantunya.

Ketika memaklumkannya kepada media, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, hal itu diserahkan kepada Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail memandangkan ia membabitkan set perundangan yang berbeza dari dua buah negara.

"Peguam Negara ketika saya hubungi berjanji akan memberi perhatian kepada kes ini," kata beliau ketika ditemui pada Majlis Hari Raya Aidiladha Wanita UMNO Bahagian Kepong semalam.

Pada 10 November lalu, Mahkamah Tinggi Syariah memutuskan untuk memberikan hak penjagaan Ferris kepada Elis Syuhaila namun anak tunggalnya itu telah dibawa lari ke Belgium. - Kosmo

Dun Perak: Cawangan, ahli digesa siap sedia hadapi pilihan raya

TITI SERONG,28 Nov: Cawangan PAS digesa bersiap lebih awal untuk menghadapi kemungkinan pembubaran DUN berdasarkan kemelut suasana politik Perak yang tidak menentu.

Demikian antara penegasan ADUN Titi Serong yang juga Ketua Penerangan PAS Perak, Drs. Khalil Idham Lim semasa memberi taklimat Pembubaran DUN Perak untuk Cawangan PAS Parit Kasa di sini semalam.

"Sejak BN merampas kuasa pada Februari yang lepas, saya ingatkan kepada Jentera PAS bahawa BN telah melakukan sesuatu untuk menghadapi Pilihanraya, kerana itu jentera parti PAS juga mesti melakukan sesuatu juga,"jelasnya sambil memuji langkah proaktif yang dilakukan oleh cawangan tersebut dan wajar dicontohi oleh cawangan PAS di DUN Titi Serong dan seluruh negeri Perak.

Hadir sama dalam taklimat itu ialah Ketua Cawangan dan Ajk Cawangan tersebut dengan petugas pilihan raya di kalangan pemuda cawangan yang terletak dalam DUN Titi Serong tersebut.

"Usaha yang dilakukan oleh BN termasuklah mempergunakan badan-badan seperti Suruhanjaya Pilihan raya,"kata Drs. Khalil.

Beliau juga mengharapkan cawangan perlu mengadakan sesuatu dan program tertentu seperti pergerakan jentera lebih awal seperti culaan undi dan pendaftaran pemilih yang baru.

"Pemuda perlu memeriksa setiap rumah penyokong PAS di cawangan dan memastikan kalau masih ada pengundi yang belum didaftarkan, kerana cawangan boleh tahu masalah ini berdasarkan pemeriksaan yang teliti yang dilakukan oleh cawangan," jelasnya lagi.

Tambahnya,PAS dan pakatan Rakyat perlu ada jentera yang kuat untuk menghadapi pilihan raya apalagi berdepan dengan BN yang mempergunakan sepenuhnya jentera kerajaan yang ada.

"Kemelut politik yang berlaku tidak akan dapat diselesaikan dengan perbicaraan di Mahkamah dan persidangan DUN...hanya pembubaran DUN yang mampu memyelesaikan krisis ini," tegasnya. - Harakahdaily

BNM siasat pemindahan RM10 juta oleh MB NS

Bank Negara (BNM) sedang menyiasat seorang pengurup wang tempatan yang didakwa terbabit dalam pemindahan RM10 juta ke London oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan pada 2008.

BNM mengesahkannya semalam tetapi enggan mengulas lanjut kerana siasatan masih berjalan.

"Sebagai sebahagian daripada prosedur siasatan, pihak bank akan memaklumkan kepada pihak berkuasa yang berkenaan hasil siasatanya yang di luar bidangkuasa Bank Negara untuk tindakan mereka selanjutnya.

"Sebaik sahaja siasatan siap, BNM akan merujuk perkara itu kepada pejabat Peguam Negara," katanya dalam satu kenyataan kepada Malaysiakini.

Sebelum ini, pengarah strategi PKR, Tian Chua mendakwa Mohamad mungkin telah melanggar undang-undang pembankan negara kerana didakwa memindahkan RM10 juta melalui seorang pengurup wang.

Tian Chua juga mendedahkan bahawa Mohamad telah menggunakan perkhidmatan Salamath Ali Money Changer Sdn Bhd untuk memindahkan wang tersebut ke London.

Semalam, BNM berkata Salamath Ali telah melanggar Seksyen 30 Akta Pengurupan Wang 1998 dan lesennya telah dibatalkan pada 26 Oktober.

Mohamad yang juga ADUN Rantau, menjadi sasaran pembangkang sewaktu sidang dewan undangan negeri yang sedang berjalan.

Bagaimanapun, beliau enggan memberi penjelasan berhubung perkara itu.

Wakil rakyat pembangkang juga menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya menyiasat perkara itu. - Malaysiakini

'Kami takkan berjaya tanpa sokongan anda semua' - Malaysiakini

Pengasas bersama - Steven Gan dan Premesh Chandran - malam ini mengucapkan terima kasih kepada semua pelanggan Malaysiakini di atas sokongan mereka yang membolehkan portal berita tersebut, 'bebas dari segi kewangan' sejak 10 tahun lalu.

Berucap di majlis makan malam sempena ulangtahun ke-10 di Pusat Konvensyen Sime Darby di Bukit Kiara, Steven memberitahu 1,000 orang hadirin bahawa moto tersirat mereka selama ini ialah "media yang bebas perlukan sumber kewangan yang bebas".

"Hari ini, Malaysiakini merupakan salah satu daripada dua lamanweb berita di dunia - sabuah lagu ialah Wall Street Journal - yang berjaya melaksanakan model langganannya," kata Gan yang juga ketua pengarang kumpulan Malaysiakini.

"Bila editor online dari New York Time datang ke Kuala Lumpur untuk bercakap mengenai model perniagaan kami, jelas sekali kami telah mengambil langkah yang betul.

"Terima kasih kepada semua pelanggan kami yang sanggup membayar RM20 sebulan untuk membaca Malaysiakini."

Sementara itu, Premesh pula berkata, pelanggan Malaysiakini telah sanggup mengorbankan perbelanjaan mereka, walaupun wujud kandungan percuma di tempat lain.

"Lebih 117,000 berita dan 2,000 video dalam empat bahasa, disajikan kepada dua juta pembaca unik - ketika kami melancarkan Malaysiakini, tidak terlintas langsung yang ia akan sampai sejauh ini.

"Malah, Malaysiakini telah melepasi jangkaan pengasasnya, kakitangan dan semua mereka yang menaruh kepercayaan kepada kami," kata Premesh.

Menurut Premesh, ulang tahun ke-10 ini menandakan "tamat Bab 1 cerita Malaysiakini."

"Apa yang sebelum ini merupakan air lautan biru yang berbahaya kini telah menjadi 'lautan merah' dengan kemunculan satu demi satu, portal berita bebas yang baru.

"Manakala Bab1 adalah mengenai pembinaan sebuah bahtera di lautan yang bergelora, Bab 2 pula nampaknya ialah untuk mengemudinya di lautan bergelora, menuju wilayah baru untuk diterokai, membina kelebihan persaingan baru dan mencari audien baru."

"Malaysikini akan melakukan perjalanan ini dengan semangat yang sama sepertimana kami lakukan 10 tahun yang lalu. Kami sedang bersiap sedia untuk melangkah ke ruang TV internet dan mudahalih, serta menerokai media sosial.

"Matlamat kami ialah untuk membina kemampuan mencapai setiap rakyat Malaysia dan seterusnya. Seperti juga sebelum ini, ia hanya boleh dicapai dengan sokongan anda semua.

Steven pula, dalam ucapannya merujuk kepada ahli falsafah Cina - Lao Tzu - bagi menjelaskan misi Malaysiakini.

Lao Tsu berkata: Temui rakyat. Hidup bersama mereka, belajar dari mereka. Sayangi mereka. Mula dengan apa yang mereka tahu. Bina dengan apa yang mereka ada. Tetapi dengan pemimpin terbaik, apabila kerja sudah siap, tugas sudah berjaya, rakyat akan berkata, 'kita telah melakukan ini sendiri'

"Dan begitu juga dengan Malaysiakini, ianya bukan hanya setakat sampai ke destinasi kami, yang penting. Bila kami sampai ke sana - diharap secepat mungkin - rakyat Malaysia akan berkata, 'kita telah melakukannya bersama'. - Malaysiakini

Wanita mualaf dirogol semasa cari bantuan

KUALA LUMPUR 28 Nov. - Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga. Sudahlah dalam kesusahan kerana menunggu proses perceraian, seorang wanita Cina mualaf yang ingin mengadu nasib ke sebuah persatuan persendirian menjadi mangsa rogol pula.

Lebih kejam, mangsa yang berusia 28 tahun, bukan sahaja dirogol sebanyak dua kali malah turut dikurung dan dipukul oleh presiden persatuan Cina mualaf itu sendiri.

Kisah malang mangsa bermula pada 20 November lalu, apabila dia cuba meminta bantuan daripada persatuan itu untuk mendapatkannya pekerjaan.

Berikutan itu, mangsa bersama seorang anak perempuannya berusia lapan tahun telah pergi ke pejabat persatuan berkenaan di sebuah kondominium di Pandan Indah.

Mangsa memeluk Islam selepas berkahwin dengan lelaki Melayu sembilan tahun lalu namun kerana tiada lagi persefahaman, kedua-duanya kini dalam proses bercerai.

Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan berkata, suspek telah berjanji akan membantu wanita itu untuk mendapatkan pekerjaan dan memujuknya bermalam di rumahnya.

Katanya, suspek juga menasihatkan mangsa supaya tidak bimbang kerana kononnya ibunya berada di rumah.

"Mendengar penjelasan itu, mangsa yang tidak menyangka niat buruk di sebalik pujukan itu terus bersetuju untuk bermalam di rumah suspek," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada majlis korban sempena sambutan Hari Raya Aidiladha di Masjid Bukit Antarabangsa di sini hari ini.

Sebanyak 14 ekor lembu disembelih yang kemudian diagih-agihkan kepada kira-kira 1,000 penduduk setempat dan anggota polis.

Abdul Jalil berkata, suspek kemudiannya bertindak ganas apabila mengurung dan memukul mangsa sebelum dijadikan tempat 'pemuas nafsu'.

Katanya, namun perbuatan suspek terbongkar pagi semalam apabila meninggalkan mangsa dan anaknya dalam keadaan rumahnya terkunci untuk ke masjid bagi mengerjakan solat sempena Hari Raya Aidiladha.

"Mangsa mengambil kesempatan itu untuk menjerit meminta tolong daripada jiran-jiran. Melihat keadaan mangsa itu salah seorang daripada mereka menghubungi polis.

"Polis kemudian memecah masuk rumah tersebut dan berjaya menyelamatkan mangsa dan anaknya," tambah beliau.

Katanya, ketika ditemui, mangsa dalam keadaan lemah dan mengalami lebam-lebam di anggota badannya kemungkinan dipukul untuk melakukan seks.

Katanya lagi, mangsa turut diugut bunuh serta diacukan pisau oleh suspek sekiranya tidak mahu bekerjasama atau cuba membuat kecoh.

"Berdasarkan pemeriksaan awal, mangsa disahkan dirogol," katanya.

Susulan daripada itu, Abdul Jalil berkata, pihaknya berjaya menahan suspek di Hentian Pudu Raya di sini, kira-kira pukul 2 petang pada hari sama, dipercayai cuba melarikan diri selepas mengetahui polis menyerbu rumahnya.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan awal, suspek berusia 38 tahun itu mempunyai tiga rekod lampau membabitkan kes ugut, pukul dan curi.

Kes itu katanya, disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol, Seksyen 324 kerana mendatangkan kecederaan dan Seksyen 342 kanun yang sama kerana mengurung secara salah.

Menurutnya, suspek direman selama empat hari bermula hari ini.

Sehubungan itu Abdul Jalil meminta orang ramai yang mempunyai masalah agar berurusan dengan persatuan kebajikan di bawah naungan kerajaan dan bukannya mana-mana persatuan persendirian. - Utusan

* Memalukan sungguh...

12 banduan lolos guna terowong

KABUL 28 Nov. - Seramai 12 orang banduan berjaya melarikan diri dari sebuah penjara di sini hari ini menggunakan sebuah terowong yang mereka gali dari sel mereka.

Antara banduan yang melarikan diri itu ialah anggota militan Taliban berpangkat rendah, pengedar dadah dan beberapa penjenayah lain, menurut ketua polis wilayah Farah, Jeneral Mohamad Faqir Askar.

Seorang banduan lain yang berjaya ditahan semasa dia cuba meloloskan diri dari penjara itu berkata, mereka mengambil masa selama 10 hari untuk menggali terowong tersebut dan mereka merancang untuk mengosongkan penjara itu secara senyap menjelang tengah malam, menurut Mohamad.

Menurutnya, lebih 300 banduan ditempatkan di penjara itu yang hanya mampu menampung seramai 80 banduan.

Penjara Afghanistan yang terlalu padat telah menjadi satu masalah di negara ini ketika pihak berkuasa berusaha melaksanakan sistem keadilan di tengah-tengah konflik yang melanda negara ini.

Dalam kejadian lain di penjara utama di Kabul, pada tahun lalu penghuni penjara itu telah bertindak mengambil alih keseluruhan blok sel itu sebelum mereka diusir.

Pada Jun tahun lalu, militan Taliban menyerang sebuah penjara di selatan bandar Kandahar mengakibatkan 900 banduan berjaya melarikan diri. - AP

Saya kenal ‘Kolonel Mat’ – Kickdefella

KOTA BHARU 28 Nov. - Persoalan siapakah ‘Kolonel Mat’ yang didakwa Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang bertanggungjawab merancang untuk menjatuhkan beliau dan Kerajaan Pas Kelantan masih menjadi teka-teki sama ada ia benar-benar wujud atau sekadar direka-reka.

Di saat semua pihak mencari siapakah ‘Kolonel Mat’, blogger Kickdefella atau Syed Azidi Syed Abdul Aziz membuat kejutan apabila mendakwa mengenalinya.

Bagaimanapun bekas Pegawai Perhubungan Awam Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) itu tidak menjelaskan sama ada ia individu yang sama atau tidak dengan apa yang dikatakan oleh Mursyidul Am Pas itu.

Syed Azidi ketika dihubungi Mingguan Malaysia berkata, persoalan mengenai siapa ‘Kolonel Mat’ perlu dirungkai oleh Nik Abdul Aziz sendiri kerana tiada siapa yang mengetahui individu terbabit kerana ia muncul secara tiba-tiba.

“Seperti yang saya tulis dalam blog, ‘Kolonel Mat’ yang saya kenali ialah arwah ayah saya tetapi mungkin apa yang dikatakan oleh tok guru (Nik Abdul Aziz) adalah individu yang berbeza.

“Artikel itu ditulis sebab sebagai anak bekas tentera saya terasa kerana apa yang dikatakan oleh tok guru amat serius disebabkan ia satu cubaan untuk menggulingkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat.

“Saya tidak ambil ini sebagai peribadi tetapi saya rasa satu penghinaan kepada tentera atau bekas tentera, jadi tok guru kena jelaskan dan pada masa yang sama Menteri Pertahanan kena siasat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan Nik Abdul Aziz bahawa wujud konspirasi yang didalangi ‘Kolonel Mat’ untuk menjatuhkannya dan kerajaan Pas Kelantan.

Syed Azidi yang dipecat oleh menantu Nik Abdul Aziz daripada jawatannya kerana didakwa membuat ‘fitnah’ baru-baru ini berkata, Nik Abdul Aziz perlu bertanggungjawab atas kenyataannya itu kerana pelbagai pihak di seluruh negara mahu mengetahui siapakah ‘Kolonel Mat’.

“Tok guru selalu lempar (kenyataan) tetapi dia suruh orang tolong jawab, orang lain kena baiki untuk dia, satu Malaysia hendak tahu harap tok guru tidak akan mengecewakan kita,” katanya.

Mengulas mengenai arwah bapanya yang dikenali dengan ‘Kolonel Mat’ itu, katanya, bapanya telah menyertai Pas ketika di penghujung usianya.

“Ayah saya sudah meninggal dunia, di hujung hidup dia menjadi ahli Pas seumur hidup dan sangat menyanjungi Nik Abdul Aziz.

“Tetapi sebelum itu, ayah saya tidak terlibat dalam politik, apabila menjadi ahli Pas, arwah banyak membantu menyediakan Pas dari segi kursus perang saraf dan strategi bersama rakan-rakan bekas tenteranya,” katanya.

Dalam tulisannya dalam blog tersebut, Syed Azidi menjelaskan ‘Kolonel Mat’ ialah anak kepada Allahyarham Abid Razak yang pernah menjadi dresser di Hospital Besar Kota Bharu.

Berikut sebahagian tulisannya: “Kolonel Mat menyertai tentera sebelum kemerdekaan Tanah Melayu. Selepas menerima tauliah pelantikan, Kolonel Mat pulang ke Kelantan mengahwini anak sepupu Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan yang bernama Tuan Bidah Tuan Long. Waktu itu Nik Abdul Aziz dikenali dengan panggilan Ayah Zit oleh saudara mara.

“Sewaktu lahir, beliau diberi nama Syed Abdul Aziz tetapi di kalangan saudara mara terutama sekali di kalangan keluarga sebelah ibu saya yang dari keturunan Raja Jembal, Syed Abdul Aziz dikenali dengan nama Syed Amat.

“Mungkin sebab beliau anak lelaki sulung, jadi di kampung yang sulung dipanggil Mat, kalau peringkat dewasa akan dipanggil Ayah Mat.

‘‘Pangkat tertingginya di dalam angkatan tentera ialah sebagai Leftenan Kolonel. Walaupun beliau tidak pernah diangkat ke pangkat Kolonel penuh, tetapi menjadi lumrah Leftenan Kolonel akan dipanggil Kolonel sahaja. Jadi di kampung, bagi orang yang kurang mesra dengannya, Syed Amat tadi disebut sebagai Kolonel Mat.” - Utusan

* Siapa yang makan cili, dia yang merasa pedas.

Sejuta keluarga layak

JEMPOL 28 Nov. – Lebih sejuta keluarga yang dikategorikan sebagai miskin dan miskin tegar dijangka menerima kupon subsidi beras melalui Program Subsidi Beras Untuk Rakyat (Subur).

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar memberitahu, setakat ini 248,000 keluarga yang berdaftar dengan e-Kasih layak menerima kupon itu dan bilangan itu dijangka terus meningkat.

“Kerajaan hanya membelanjakan RM8.6 juta sebulan dari peruntukan RM60 juta. Bagaimanapun hasil maklumat dari ahli parlimen, kita jangka ia akan mencecah sejuta keluarga memandangkan ada 222 kawasan Parlimen di seluruh negara.

“Tetapi apabila borang permohonan diterima, ia bukannya akan diluluskan terus, tetapi akan dinilai oleh pegawai-pegawai kementerian selepas diberikan kursus oleh ICU (Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan) Jabatan Perdana Menteri (JPM),” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Korban Perdana Jempol 2009 di Felda Raja Alias 2 di sini hari ini.

Hadir sama Ahli Parlimen Jempol yang juga Ketua UMNO Bahagian itu, Datuk Lilah Yassin; Timbalannya, Mohd. Salim Shariff serta Pengurus Besar Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Sembilan (MTPNS), Badrulhisham Abdul Rahman.

November lalu, sistem kupon di bawah program Subur yang sepatutnya dilaksanakan 1 Disember ini ditangguhkan bagi membolehkan senarai penerima dikemas kini.

Perkara itu diputuskan Kabinet baru-baru ini setelah timbul rungutan serta aduan ada golongan miskin yang layak tetapi tidak disenaraikan sebagai penerima.Ini termasuk mereka yang menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sejak berpuluh tahun lalu tetapi tidak layak mendapat subsidi beras. - Utusan

* Ramainya rakyat yang miskin

28 November 2009

BTN tiada manfaat, hanya dakyah pesong semata-mata

SIJANGKANG, 28 Nov: Tiada manfaat dan hanya dakyah untuk memesong pemikiran belia-belia semata-mata. Demikian kesimpulan yang dapat dirungkaikan mengenai kursus Biro Tata Negara (BTN).

Pembantu Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan,Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, amat jelas program BTN merupakan alat Umno dalam menyebarkan dakyah kepada belia-belia yang menyertainya.

"Ramai pemimpin dalam kerajaan negeri kini yang pernah menyertai malah mengendalikan BTN dan daripada maklum balasnya kita yakin tiada manfaat
jelas program sebegitu,"jelasnya semasa ditemui Harakahdaily di lokasi majlis korban di Dun Sijangkang sebentar tadi.

Disebabkan itu katanya, kerajaan negeri mengambil keputusan untuk tidak lagi membenarkan 'anak-anak buah'nya menyertai kursus-kursus yang dianjurkan di bawah BTN.

Dalam pada itu, Dr Ahmad juga menjelaskan bahawa, kerajaan negeri sendiri telah memperkenalkan programnya tersendiri dalam memastikan pembinaan modal insan para belia di negeri Selangor melalui program SPIES (Spiritual, Physical, Intellectual,Emotional, Social).

"Kita telah lama wujudkan dan memang terbukti memberikan kesan yang baik berbanding dengan program-program seperti BTN,"katanya.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri Selangor melarang penyertaan kakitangan kerajaan negeri dan pelajar di institusi pengajian tinggi miliknya hadir di program anjuran Biro Tatanegara (BTN).

Menurut Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Selangor, Dr Halimah Ali,keputusan yang berkuatkuasa serta-merta itu dibuat dalam mesyuarat exco kerajaan negeri susulan desakan sekumpulan ADUN Pakatan Rakyat di Selangor yang mendakwa program kendalian biro bawah Jabatan Perdana Menteri itu membangkitkan sentimen perkauman.

Empat buah pusat pengajian tinggi yang dimiliki kerajaan negeri itu: Universiti Industri Selangor (Unisel), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Kolej Antarabangsa INPENS dan Institut Kemahiran Yayasan Selangor.

Selain menghentikan penyertaan pelajar, seperti didesak, keputusan itu turut meliputi kakitangan kerajaan negeri dan pegawai semua anak syarikat kerajaan itu, tambahnya.

Dalam satu sidang media di Shah Alam baru-baru ini, Dr Halimah menyifatkan program BTN sebagai "indoktrinasi kerajaan (pusat) BN untuk menimbulkan fenomena yang agak racist (perkauman) seolah-olah ingin memecah belah penduduk pelbagai bangsa dan agama."

"Rata-rata (peserta BTN) termasuk anak saya sendiri, mereka kadang-kadang dibekalkan dengan buku kecil yang mengandungi pelbagai perkara yang menimbulkan kebencian kepada (pihak) yang dikatakan pembangkang kepada kerajaan Malaysia,” kata wakil rakyat PAS itu.

"Oleh kerana ia tidak memberi satu perkara yang positif, tambahan pula kepada minda yang begitu muda ini, maka kita rasa ia tidak perlu dan menghabiskan wang rakyat."

Minggu lalu, sekumpulan wakil rakyat muda tiga parti dalam Pakatan menulis surat kepada Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk membuat desakan demikian.

ADUN-ADUN yang terlibat: Amirudin Shari (PKR-Batu Caves), Lau Weng San (DAP-Kampung Tunku), Nik Nazmi Nik Ahmad (PKR-Seri Setia), Jenice Lee Yin Ha (DAP-Teratai), Hannah Yeoh Tseow Suan (DAP-Subang Jaya) dan Gan Pei Ni (PKR-Rawang). - Harakahdaily

'Kolonel Mat' hanya kiasan

KOTA BHARU 27 Nov. - Nama 'Kolonel Mat' yang disebutkan oleh Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai dalang dalam konspirasi untuk menjatuhkannya hanyalah satu kiasan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tuku, Fatah Harun yang juga besan dan mempunyai hubungan rapat dengan Nik Abdul Aziz berkata, daripada ucapan tersebut, Mursyidul Am Pas itu tidak menolak atau mengakui bahawa konspirasi tersebut benar-benar wujud.

Katanya, ia sengaja dilemparkan kepada orang ramai supaya ia tidak dipersoalkan lagi sama ada wujud atau tidak perancangan untuk menjatuhkannya.

"Tok guru (Nik Abdul Aziz) banyak ilmu mantik...banyak perbandingan kalau tak belajar tak boleh baca maksud dia, simbolik saja tu...lagi pun orang Kelantan banyak simbolik.

"Sebagai contoh, kita malas hendak dengar orang yang cakap banyak, orang Kelantan akan kata, mu gi ghoyat dekat Che Pa (awak pergi beri tahu Che Pa). Sebenarnya, tidak siapa tahu siapa Che Pa tetapi ia hanya alasan untuk mengelak daripada terus mendengar orang itu bercakap.

"Begitu juga dengan tok guru, dia tidak mahu dengar orang bercakap pasal jatuh menjatuh ini sebab itu dia sebut Kolonel Mat nak jatuhkan dia, maksudnya lepas ini dia tidak mahu orang tanya lagi pasal itu, sebab itu awak (wartawan) jumpa tok guru pagi tadi, beliau tidak ulas lagi," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan Nik Abdul Aziz bahawa wujudnya konspirasi yang didalangi 'Kolonel Mat' untuk menjatuhkannya sebagai Menteri Besar dan Kerajaan Pas Kelantan.

Dakwaan tersebut dibuat ketika beliau menyampaikan ucapan pada Majlis Penghayatan Hari Wukuf di Pusat Tarbiyah Islmiah Kelantan (Putik) di sini semalam tetapi ketika ditemui pemberita di rumahnya pagi ini, Nik Abdul Aziz enggan mengulas lanjut dan menjelaskan ia sahih.

Fatah yang turut hadir pada majlis tersebut dan mendengar ucapan itu berkata, beliau tidak percaya ada orang dalam parti itu ingin menjatuhkan pemimpin kanan mereka tetapi tidak menolak kemungkinan wujud konspirasi untuk menjatuhkan orang-orang kanan Nik Abdul Aziz.

"Tidak mungkin ada orang hendak jatuhkan tok guru tetapi kalau ada orang nak jatuhkan orang kanannya mungkin ada, biasalah dalam politik tidak mesti sehati sejiwa semuanya.

"Kalau pun benar wujud konspirasi nak jatuhkan orang kanan Nik Aziz, saya minta jangan dedahkan kerana ia akan memberi kesan buruk kepada parti," katanya.

Sementara itu, Exco Kerajaan Kelantan, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, beliau tidak pernah mendengar nama 'Kolonel Mat' seperti yang disebutkan itu.

"Ini kali pertama saya dengar, saya tidak tahu wujud atau tidak orang ini," katanya.-utusan

'Konspirasi jatuhkan saya'

KOTA BHARU 27 Nov. - Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mendakwa, konspirasi untuk menjatuhkannya daripada jawatan Menteri Besar dan dalam Pas sudah lama dilakukan oleh pihak tertentu.

Malah beliau yang juga Mursyidul Am Pas percaya, seorang bekas pegawai tentera terbabit di sebalik konspirasi tersebut.

Bagaimanapun beliau enggan mendedahkan dalang di sebalik konspirasi tersebut tetapi hanya menamakan seseorang yang hanya dikenali sebagai 'Kolonel Mat'.

"Usaha ini bukan baru, usaha selama-lamanya. Kita parti serupa berniaga...buka kedai A hendak jatuh kedai B dan kedai B hendak jatuh kedai A.

"Saya bawa parti Islam, kita ada Ibrahim Libya, kena bunuh dan masa 13 Mei dulu ramai tok guru kena Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), ini cerita lama. Saya sebut nama semalam (Kolonel Mat) pasal ini barang sah dan sahih," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di sini hari ini.

Bagaimanapun beliau enggan mengulas lebih lanjut mengenai polemik yang timbul termasuk isu siapa bakal penggantinya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan sebuah akhbar mengenai dakwaannya semalam bahawa ada konspirasi untuk menjatuhkannya sebagai Menteri Besar dan daripada kerajaan Pas Kelantan.

Dakwaan tersebut dibuat ketika beliau menyampaikan ucapan pada Majlis Penghayatan Hari Wukuf di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (Putik) di sini semalam.

Sebelum ini, timbul pelbagai polemik dalam Pas Kelantan bermula dengan isu Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) diikuti dakwaan Timbalan Pesuruhjaya II Pas Kelantan, Datuk Husam Musa bahawa wujud konspirasi untuk melaga-lagakannya dengan Nik Abdul Aziz.

Beberapa hari selepas itu, Timbalan Pesuruhjaya III Pas Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah pula meminta Nik Abdul Aziz menamakan bakal penggantinya agar tidak timbul kekalutan dalam kerajaan negeri terbabit.

Pada masa yang sama, anak kepada Nik Abdul Aziz, Nik Abduh yang juga Ahli Jawatankuasa Dewan Pemuda Pas Pusat meminta supaya tidak ada pihak yang menyekat bapanya daripada meletakkan jawatan.

Kenyataan Nik Abduh itu dilihat sebagai menyerang balas pihak tertentu yang dikatakan sengaja menggunakan media arus perdana untuk mendapat pengiktirafan daripada Nik Abdul Aziz bagi meraih sokongan ahli Pas.- Utusan

Empat mati ditembak ketika sambut Hari Kesyukuran

JUPITER, Florida 28 Nov. - Empat termasuk seorang kanak-kanak dalam satu keluarga mati di tembak ketika sedang meraikan Hari Kesyukuran di Florida pagi semalam, dipercayai dilakukan oleh seorang lelaki yang juga ahli keluarga tersebut.

Menurut polis, seramai 17 ahli keluarga berada dalam rumah yang terletak di pekan kecil Jupiter, kira-kira 145 kilometer ke utara Miami apabila tembakan berlaku sekitar pukul 10 pagi.

Polis Jupiter, Sarjan Scott Pascarella berkata, polis sedang memburu Paul Michael Merhige, 35, sepupu kepada kanak-kanak yang terbunuh, McKayla Sitton, enam tahun.

Mangsa lain yang telah dikenal pasti terkorban ialah Raymonde Joseph, 76, dan pasangan kembar berusia 33 tahun, Carla Merhige serta Lisa Merhige. Kedua-dua perempuan berkenaan dipercayai adik-beradik suspek.

Pihak berkuasa berkata, seorang lagi mangsa, Patrick McKnight cedera parah dan dimasukkan ke hospital.

Menurut polis, rumah tempat kejadian merupakan milik wartawan foto WPTV televisyen, Jim Sitton yang juga bapa kepada mangsa kanak-kanak perempuan. - AP

27 November 2009

Muhyiddin ingin gagalkan tuntutan royalti - Husam

KOTA BHARU, 27 Nov: Kesanggupan Tengku Razaleigh Hamzah untuk mengetuai Kaukus Parlimen berkaitan isu petroleum di negara ini sepatutnya mendapat sokongan dari semua pihak tanpa mengira parti kerana beliau adalah orang paling kanan dalam pentafsiran undang-undang yang berkaitan petroleum yang dikendalikan oleh Petronas.

Demikian dinyatakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi,Kewangan dan Kebajikan Dato’Husam Musa ketika ditemui dimajis penyampaian sumbangan kewangan kepada warga Dun Salor di Surau berhampiran rumah beliau hari ini.

Menurut Husam,tindakan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang ingin menghalang Ku Li daripada mengetuai Kaukus Parlimen tersebut adalah semata-mata ingin menggagalkan tindakan Kelantan yang ingin menuntut royalti dari Petronas.

“Kaukus Parlimen yang ditubuhkan bukannya untuk kepentingan parti tetapi ia adalah satu tindakan bersama ahli parlimen tanpa mengira parti dalam sesuatu isu yang membabitkan parlimen dan dalam hal petroleum ini ia amat bertepatan kerana ia dibentangkan di parlimen sebelum ini”ujar beliau.

Sebelum ini pihak pembangkang juga sering bersama kerajaan dalam sesuatu isu yang berkaitan negara dan juga luar negara seperti dalam isu menentang kezaliman Israel terhadap Palestin,bantuan bencana alam dan sebagainya.

Husam juga berharap selain dari Ku Li yang menyertai Kaukus Parliemen ini,wakil-wakil rakyat dari negeri lain yang terlibat dalam isu petroleum juga patut menyertainya kerana ia melibatkan hasil sesebuah negeri.

Menyentuh tindakan Muhyiddin yang mengganggap Ku Li melanggar prinsip BN,Husam berkata ini tidak timbul kerana Kaukus Parlimen sememangnya melibatkan semua ahli Parlimen dan Muhyiddin boleh dianggap tidak menghormati institusi Demokrasi Berparlimen.

Sebelum itu,Husam telah menyampaikan sumbangan kewangan kepada 32 penerima dalam kategori sumbangan sosio –ekonomi kepada Armalah,Orang Kurang Upaya dan mangsa kebakaran dengan melibatkan RM 14 ribu yang telah mendapat kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat Kota Bharu.

Husam berharap dengan sumbangan tersebut mereka yang menerima akan menjadikan ia sebagai modal untuk membuat sesuatu perniagaan secara kecil-kecilan dan sempena menyambut Hari Raya Aidil Adha esok, beliau ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Adha kepada semua umat Islam. - Harakahdaily

Wanita maut akibat diragut - Penjenayah larikan beg berisi telekong dan dompet tiada wang

ALOR SETAR - "Saya terasa motosikal yang ditunggangi saya berat sebelum saya toleh dan nampak ibu saudara saya sudah tergolek di tengah jalan."

Demikian cerita anak saudara kepada Fatimah Salleh (gambar kecil), 66, yang terjatuh dari motosikal yang dibonceng selepas beg digalasnya diragut seorang lelaki yang menunggang sebuah motosikal lain di Jalan Langgar-Pendang dekat sini malam kelmarin.

Kejadian berlaku pada pukul 10.30 malam dan Fatimah meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) pada pukul 4.30 pagi semalam akibat kecederaan teruk di kepala.

Anak saudara Fatimah, Zaharuddin Ramli, 44, berkata, sebelum kejadian, dia bersama ibu saudaranya serta seorang anak lelakinya, Mohd. Aiman, 6, dari rumah abang iparnya, Ayub Idris, 50, di Sungai Mati, Langgar dan mahu pulang ke rumah di Kampung Alor Binjai, Pendang.

"Sampai di tempat kejadian, motosikal saya terasa berat sebelum saya terkejut melihat ibu saudara saya telah terbaring di jalan," katanya.

Katanya, dia kemudian memapah ibu saudaranya ke tepi jalan sebelum menghantarnya ke HSB dengan dibantu sebuah kenderaan yang kebetulan melalui jalan itu.

Zaharuddin memberitahu, dia tidak sedar ada motosikal lain mengekorinya kerana jalan di situ sunyi dan gelap. - Kosmo

Permintaan Pas Kelantan dapatkan royalti diragui

KUALA KRAI 27 Nov. — Matlamat kerajaan pusat membantu rakyat Kelantan secara sama rata melalui pemberian wang ihsan akan gagal sekiranya disalurkan terus kepada kerajaan negeri sebagai royalti, kata Naib Presiden Parti Progresif Penduduk Malaysia (PPP), Datuk Nik Sapeia Nik Yusof.

Beliau berkata, ini kerana kesungguhan pemimpin Pas untuk mendapat royalti dan bercadang untuk membawa isu itu ke mahkamah “ada udang di sebalik batu”.

"Saya harap kerajaan pusat tidak menerima permintaan itu kerana sekiranya wang itu diberi terus kepada kerajaan negeri, matlamat untuk bantu rakyat negeri ini tidak akan tercapai,” katanya ketika diminta mengulas cadangan kerajaan Pas Kelantan untuk membawa ke mahkamah berhubung isu royalti minyak itu.

Nik Sapeia yang juga Pengerusi Badan Perhubungan PPP Kelantan mendakwa, sebelum ini banyak eset kerajaan dijual tanpa pengetahuan rakyat bagi menampung kos pengurusan yang tinggi.

Minggu lepas, Ketua UMNO Bahagian Kota Baharu, Datuk Fatmi Mohd. Salleh mendakwa, antara eset kerajaan yang “dijual” termasuk Hotel Perdana, Tanah Majlis Perbandaran Kota Baharu (MPKB) Kampung Putih, Kota Baharu Trade Centre, Bangunan Arkib MPKB dan sebelum ini Bangunan Permodalan Kelantan Berhad.

Katanya, penjualan eset kerajaan secara berkala untuk menampung kos pengurusan yang tinggi dan penyelewengan yang berlaku dalam kerajaan negeri termasuk penyelewengan projek depu dan projek kambing Jamnapari. - Bernama

* Macam Yahudi sekat kewangan ke Gaza.

BTN Tolak Sistem Demokrasi Berparlimen - Khalid Samad

MCA: EGM Sabtu ini dibatalkan

EGM yang dipanggil penyokong naib presiden Datuk Seri Liow Tiong Lai Sabtu ini dibatalkan ekoran kata sepakat dicapai antara semua puak-puak yang bertelagah mengenai tarikh baru pemilihan parti itu.

Liow dan tiga pemimpin parti itu yang sebelum ini meminta EGM diadakan berkata, kata sepakat sudah dicapai mengenai tarik baru pemilihan parti antara Presiden Datuk Seri Ong Tee Keat dan timbalannya Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dan Liow.

"Kami juga percaya mesyuarat agung (AGM) yang dijadual 5 Disember ini turut ditangguhkan supaya pemilihan baru dapat diadakan ketika AGM baru nanti," kata mereka dalam satu kenyataan bersama.

Mereka bagaimanapun tidak menyebut tentang tarikh baru bagi pemilihan pucuk pimpinan parti itu.

Sabtu ini, para perwakilan yang sudah hadir untuk EGM tersebut akan diberi taklimat oleh Liow dan pemimpin yang menyokongnya mengenai persepakatan tersebut.

Malaysiakini sebelum ini melaporkan bahawa anggota jawatankuasa pusat MCA, Wong Nai Chee - salah seorang yang meminta EGM diadakan - akan mengumumkan pembatalakan EGM itu petang ini.

Malam tadi, penyokong Liow dan Chua telah mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang ditugaskan untuk menyelesaikan krisis dalaman MCA.

Presiden MCA yang juga menteri pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat yang telah berdamai dengan Chua, tidak hadir kerana berada di London atas urusan rasmi.

Capai kata sepakat

Difahamkan bahawa pihak-pihak yang bertelagah itu telah mencapai kata sepakat mengenai pemilihan parti, yang menurut sumber-sumber mungkin Januari ini.

Sebelum ini, penyokong Liow mahu ia diadakan bulan depan manakala Chua pula menyarankan bulan Mac.

Pendirian Ong pula dilihat kabur mengenai isu mengadakan pemilihan baru itu.

dalam satu SMS kepada Malaysiakini petang ini, Ong berkata sebarang pemilihan baru perlu diputuskan oleh jawatankuasa pusat (CC) MCA, yang mana anggotanya mesti terlebih dahulu mengosongkan kerusi mereka. [berita lanjut]

Katanya, sebarang pengumuman mengenai tarikh pemilihan baru parti pada masa ini dianggap tidak menghormati CC dan perlembagaan parti.- Malaysiakini

Tarekat Naqsabandiyah Sumatera Barat Sambut Aidil Adha Hari Ini

PETALING JAYA: Seramai 3.000 jemaah Tarekat Naqsabandiyah di Sumatera Barat merayakan Aidil Adha, hari ini dan bersolat Aidil Adha sehari lebih cepat dari yang ditetapkan pemerintah iaitu Jumaat, 27 November.

Menurut laporan Tempo Interaktif, salah satu surau Naqsabandiyah iaitu Surau Baru, di Kelurahan Cupak Tangah, Kecamatan Pauh, Kota Padang, telah memulakan solat pada pukul 7.30 pagi tadi (waktu Indonesia).

Puluhan jemaah telah menyempurnankan solat Aidil Adha dipimpin Khatib Syah Badar dengan Imam Zahar.

Selesai sahaja solat di surau yang didirikan, mereka mengorbankan tiga ekor kambing sebagai kurban di halaman surau tua itu.

"Kurban tahun ini memang paling sedikit, kerana kita baru saja terkena gempa. Jadi lebih banyak yang memilih memperbaiki rumah yang rusak dari pada membeli haiwan kurban," kata Khatib Syah Badar, seorang Mursid Naqsabandiyah di Surau Baru.

Menurut beliau, Aidil Adha ditetapkan lebih cepat dalam perhitungan penanggalan sendiri dengan maksima 30 hari dalam sebulan.

Sambutan Ramadhan dan Aidil Fitri bagi jemaah Naqsabandiyah juga difahamkan lebih cepat.

Di Kota Padang, ada 50 surau Naqsabandiyah dengan jemaah sekitar 1.500 orang. Sementara di daerah lain, seperti Solok Selatan, Pesisir Selatan, Limapuluh Kota, Padang Pariaman, dan Pasaman, ada 50 surau lainnya dengan pengikut sekitar 1.500 orang.

Di Sumatera Barat, aliran Naqsabandiyah dibawa Syech M. Thaib pada 1806 dengan mendirikan surau pertama di Piai, Kecamatan Pauh.

"Kami tidak mengubah peninggalan yang sudah ditetapkan pendahulu. Ini sesuai dengan Al-Quran," jelas Khatib Syah Badar. - Mstar

'Jangan larang Nik Aziz letak jawatan'

Anak Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berharap tiada pihak yang yang melarang ayahnya meletak jawatan jika beliau berhasrat berbuat demikian "kerana ayahanda telah tua dan keletihan".

"Ayahanda telah tua dan keletihan. Dia telah memberi yang terbaik. Jika suatu hari dia menyebut hasrat meletakkan jawatan, jangan ada yang bodoh datang mengatakan tidak dan jangan," tulis Nik Abduh Nik Aziz dalam blognya semalam..

"Jika tidak, saya akan memanggilnya, 'Wahai si bodoh!', tulis Nik Abduh Nik Aziz yang juga exco Dewan Pemuda PAS pusat.

Tulisan Nik Abdul itu menyemarakkan lagi spekulasi mengenai kemungkinan berlakunya peralihan kuasa dalam barisan kepimpinan di Kelantan.

Nik Aziz yang juga mursyidul Am PAS, memegang jawatan menteri besar Kelantan sejak 19 tahun yang lalu.

Sebelum ini, terdapat cadangan supaya Nik Aziz menamakan bakal penggantinya lebih awal supaya tidak timbul kekalutan apabila tiba masanya beliau melepaskan jawatan.

Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah dilaporkan berkata, proses peralihan yang lebih panjang secara terancang dapat memastikan kestabilan dalam parti.

Bagaimanapun, exco Kanan negeri, Datuk Husam Musa, antara yang disebut-sebut sebagai pengganti Nik Aziz pula dilaporkan tidak berhasrat dan tidak mahu namanya dikaitkan dengan perkara itu.

Satu lagi nama yang disebut-sebut, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob yang juga timbalan pesuruhjaya PAS negeri.

Beliau yang baru pulang daripada perkhemahan Pemuda PAS di Sepang baru-baru ini juga akur terhadap desas-desus peletakan jawatan yang mengocak politik Kelantan mahu dinafikannya sebelum ini.

Katanya, melalui kiriman SMS yang diterimanya, terdapat juga ura-ura peletakan jawatan seorang pemimpin kesayangan Nik Aziz.

Dalam artikel panjang berjudul 'Abdul Ariffahmi Abdul Rahman – Moga Awan Berarak Lalu', Nik Abduh mempertahankan bekas ketua pegawai eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) itu yang didakwanya tidak harus dibiarkan bersendirian mempertahankan diri.

Beliau dlihat menyerang balas bekas pegawai perhubungan korporat PMBK, Syed Aziz Syed Abdul Aziz yang dipecat Abdul Ariffahmi pada 11 November lalu dan kemudiannya mendedahkan di blog dakwaan salah urus menantu Ni Aziz itu.

Nik Abduh menyifatkan tulisan Syed Azidi - penulis blog Kickdafella itu - sebagai "hukuman melalui tulisan" dan "sama seperti hakim yang menghukum dalam keadaan mabuk kedarah arak terlarang."

Nik Abduh - yang sebelum ini yang mencetuskan kontroversi apabila mengkritik sesetengah pembantu Nik Aziz sebagai "ulama mi celup" - kini dilihat konsisten mengulanginya.

"Saya tahu mereka tidak menyetujui pelantikan (Abdul) Ariffahmi. Tetapi mereka telah berusaha untuk membantu menjadikannya harapan yang terlangsai buat ayahanda.

"Tetapi ada yang tidak begitu. Ada yang hanya berusaha untuk membersih diri sendiri dan meninggalkan ayahanda dalam perangkap dan kekeliruan.

Nik Abduh juga mengumumkan hasranya melepaskan semua jawatan politik dan ahli Majlis Perbandaran Kota Bharu bermula tahun depan bagi "membuka buku baru". - Malaysiakini

Biro Tata Negara tidak berniat jahat

MUAR 26 Nov.— Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kursus Biro Tata Negara (BTN) tidak bermotifkan doktrinasi politik sebaliknya ia menerapkan semangat kenegaraan dan perpaduan masyarakat selaras dengan konsep 1Malaysia.

"Kursus BTN tidak bertujuan untuk membawa peserta-peserta kepada UMNO dan Barisan Nasional. Ia tidak mempunyai niat yang jahat, ia mempunyai tujuan-tujuan yang baik,” katanya kepada pemberita di Pagoh dekat sini pada majlis penyerahan lembu untuk dikorban sempena sambutan Hari Raya Aidiladha esok.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan kerajaan Selangor melarang kakitangannya dan pelajar institusi pengajian tinggi milik kerajaan negeri itu daripada menghadiri kursus BTN berkuatkuasa serta merta dengan alasan kononnya kursus BTN adalah satu proses doktrinasi oleh kerajaan Barisan Nasional.

Muhyiddin berkata, kerajaan negeri Selangor dan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah diberi gambaran yang salah tentang BTN.

"Masyarakat dan syarikat-syarikat swasta tidak sepatutnya dihalang daripada menghadiri kursus-kursus yang dianjurkan BTN,” katanya. - Bernama

Lelaki ditembak ketika cuba rompak stesen minyak

KUALA LUMPUR 26 Nov. — Seorang lelaki cedera di rusuk kiri akibat ditembak polis manakala rakannya ditahan ketika cuba menyamun sebuah stesen minyak Petronas di Batu Caves pagi ini.

Dalam kejadian pada pukul 9.30 pagi tadi, kedua-dua lelaki berumur 21 dan 24 tahun itu menyerang seorang pekerja stesen minyak berkenaan dengan bersenjatakan parang dan pistol mainan.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah memberitahu, seorang daripada suspek bergelut dengan mangsa berhampiran kaunter dalam kedai di stesen minyak itu manakala rakannya menyerang menggunakan parang.

"Ketika itu, seorang anggota polis yang sedang mengisi minyak melihat kejadian dan cuba membantu mangsa.

"Bagaimanapun seorang daripada suspek menyerangnya dengan parang menyebabkan dia melepaskan satu das tembakan terhadap suspek,” katanya. - Bernama

Banjir di Jeddah ragut 77 nyawa

JEDDAH 26 Nov. – Hujan lebat dan banjir menyebabkan sekurang- kurangnya 77 orang maut dan beribu-ribu jemaah haji terkandas di bandar pelabuhan Jeddah pada permulaan ibadah haji semalam.

Sesetengah mangsa mati lemas atau terbunuh dalam insiden jambatan runtuh dan nahas jalan raya, manakala pasukan penyelamat melaporkan, mereka menyelamatkan 900 orang yang terperangkap dalam banjir.

Perjalanan sebilangan jemaah haji ke Mekah turut tergendala apabila sebatang lebuh raya menuju ke kota suci itu ditutup kerana ditenggelami air.

Hujan lebat luar biasa semalam, menyebabkan jalan-jalan dan bangunan dinaiki air di Jeddah, pintu masuk utama bagi jemaah haji.

Kira-kira tiga juta jemaah dari luar negara sudah tiba di Arab Saudi untuk menunaikan haji tetapi tiada seorang pun daripada mereka dilaporkan menjadi korban banjir.

Seorang saksi melaporkan dia melihat beberapa mayat bersebelahan sebuah bas yang terbalik dalam hujan lebat.

Kesesakan teruk masih berlaku di jalan-jalan utama malam tadi selepas hujan berhenti dan air banjir surut.

Pegawai kerajaan, Jassem al-Yaquout berkata, dua jambatan di lebuh raya ke Mekah runtuh manakala agensi berita rasmi SPA melaporkan, beberapa kawasan di Mekah terputus bekalan elektrik.

Di Mekah, jemaah melakukan tawaf dengan membawa payung yang biasanya digunakan untuk berlindung daripada panas matahari.

Sesetengahnya bimbang mereka tidak dapat bermalam di kawasan perkhemahan di Mina, dalam perjalanan yang pernah dilalui oleh Nabi Muhammad SAW lebih 14 abad lalu.

“Kami menginap di dalam khemah buat masa sekarang. Hujan lebat menyebabkan koridor yang dibentang permaidani merah bertukar menjadi laluan air yang menghanyutkan tin-tin minuman ringan yang kosong,” kata jemaah dari Maghribi, Zohra Nasef yang mengerjakan haji buat kali kedua.

Jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Mansour Turki berkata, sebilangan jemaah tidak mendapat tempat di dalam khemah dan pihaknya terpaksa mendirikan khemah tambahan bagi memenuhi keperluan mereka. – Reuters

26 November 2009

Minah Rempit ragut beg tangan

(gambar hiasan)KUALA LUMPUR: Sukar dipercayai apabila kerjaya jenayah ragut yang sebelum ini dikuasai lelaki kini diceburi wanita atau ‘Minah Rempit’ yang dikesan turut berjinak-jinak melakukan jenayah berkenaan.

Dalam kejadian terbaru Jumaat lalu, seorang kakitangan syarikat pelancongan berusia 21 tahun menjadi mangsa ragut ketika berjalan bersendirian berhampiran Jalan Yap Kwan Seng di sini.

Mangsa mendakwa ketika itu muncul sebuah motosikal yang tidak dapat dikenal pasti modelnya ditunggang dua suspek termasuk pemboncengnya yang dikenal pasti sebagai seorang wanita.

Suspek wanita terbabit meragut beg tangan yang dipegang di tangan kanan mangsa sebelum melarikan diri dari tempat kejadian tanpa sempat mangsa menjerit meminta pertolongan.

Menurut sumber polis, kejadian itu menyebabkan mangsa kerugian telefon bimbit, kamus elektronik, kad pengenalan dan wang tunai RM200.

Dia membuat laporan polis di balai polis berhampiran. - Mymetro

Akujanji ‘ikat’ guru

PUTRAJAYA: Bakal guru mungkin dikehendaki menandatangani surat akujanji sebagai syarat ‘mengikat’ mereka berkhidmat di mana-mana sekolah ditetapkan Kementerian Pelajaran bagi mengatasi masalah kekurangan guru di kawasan pedalaman.

Malah, tindakan itu dilihat sebagai langkah terbaik untuk mengelakkan guru memohon pertukaran tempat mengajar sesuka hati tanpa alasan kukuh, walaupun baru beberapa bulan ditempatkan di sekolah ditetapkan kementerian.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata pihaknya sedang menimbang mengenakan syarat akujanji sebelum bakal guru menamatkan pengajian sebagai janji menyatakan kesanggupan bertugas di mana-mana sekolah ditetapkan kementerian, tanpa berdolak-dalik.

“Akujanji akan dijadikan syarat utama. Apabila guru sudah menandatangani surat akujanji, bermakna dia sanggup mengajar di sekolah pedalaman dalam tempoh tertentu dan kita tidak akan melayan sebarang permohonan pertukaran kecuali ada kes kritikal seperti sakit dan sebagainya.

“Ini penting bagi mengelakkan masalah kepada kementerian. Sebelum ini, ada guru tidak sampai enam bulan mengajar di sekolah ditetapkan, sudah merayu-rayu minta pindah...ini yang menyusahkan kita terutama untuk mencari pengganti guru terbabit,” katanya pada sidang media selepas majlis konvokesyen berpusat Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) j-QAF Keempat; Kursus Lepasan Ijazah Kursus Dalam Cuti Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (KDC SBK) dan Kursus Diploma Pergurusan Malaysia Latihan Perguruan Berasaskan Sekolah (KDPM LPBS) di sini, semalam.
Hadir sama, Timbalan Pengarah Bahagian Pendidikan Guru, Kementerian Pelajaran, Abdul Halim Abdul Razak.

Seramai 3,259 graduan menerima diploma masing-masing dalam majlis konvokesyen yang berlangsung dua hari berakhir hari ini.

Dr Mohd Puad berkata, perkara itu masih diperingkat cadangan, dan kajian terperinci dijalankan untuk melihat keberkesanannya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata kementerian bercadang memperkenalkan program j-QAF kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk mengikuti Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan j-QAF di Institusi Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) seluruh negara. - Mymetro

* Mengajarpun sambil lewa kerana tidak minat mengajar kawasan yang diberi. Kementerian pula tidak guna fikiran bagaimana mencari guru 'tempatan'.

Anak geram ibu khalwat

MELAKA: Tidak sanggup melihat insan disayangi terus bergelumang dosa, seorang anak membulatkan tekad menahan ibu kandungnya selepas mengetahui wanita terbabit berkhalwat dengan seorang lelaki di rumahnya di pinggir bandar ini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam, anak lelaki wanita terbabit yang berusia awal 20-an ke rumah sewa ibunya di bandar raya ini selepas mengesyaki ada lelaki datang ke rumah itu.

Difahamkan, selepas menunggu beberapa jam di luar rumah, teman lelaki ibunya masih tidak keluar menyebabkan anak wanita berkenaan curiga lalu menghubungi polis dan pegawai penguat kuasa agama di kawasan berkenaan supaya mengambil tindakan sewajarnya.

Bagaimanapun, tanpa diduga beberapa minit selepas laporan dibuat, lelaki terbabit keluar dari rumah dan menyedari dia mahu beredar, anak wanita itu bersama beberapa rakannya menahannya.

Selepas menunggu beberapa minit, pegawai syarak yang diiringi anggota polis tiba di rumah berkenaan dan dimaklumkan mengenai penahanan lelaki berusia 39 tahun itu.

Pemeriksaan dalam rumah berkenaan menemui seorang wanita berusia 40-an.

Berdasarkan soal siasat, wanita dan lelaki terbabit mengakui berkurung dalam rumah itu.

Berikutan itu, mereka ditahan Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) untuk tindakan lanjut.

Harian Metro difahamkan, lelaki terbabit sudah berumah tangga manakala wanita itu kini dalam proses perceraian dengan suaminya.

Ketua Pegawai Penguat kuasa Agama Jaim, Rahimin Bani ketika dihubungi mengesahkan penahanan pasangan terbabit.

Beliau berkata, siasatan awal terhadap rumah tempat pasangan terbabit ditahan ialah rumah sewa wanita berkenaan yang turut dikongsi bersama beberapa rakan lain.

“Ketika kejadian, wanita berkenaan yang juga pekerja industri hanya berseorangan di rumah, manakala rakannya keluar bekerja,” katanya di sini, semalam.

Rahimin berkata, pasangan terbabit ditahan mengikut Seksyen 53, Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991, kerana bersekediaman dengan bukan muhrim.

“Sabit kesalahan mengikut seksyen berkenaan, pasangan terbabit boleh didenda RM3,000 atau penjara 24 bulan atau kedua-duanya,” katanya.- mymetro

Jangan Sokong EGM Sabtu Ini - Wong Foon Meng

KUALA LUMPUR, 24 Nov (Bernama) -- Setiausaha Agung MCA Datuk Wong Foon Meng meminta para perwakilan pusat di seluruh negara supaya tidak menyokong dan menghadiri mesyuarat agung luar biasa (EGM) kedua Sabtu ini kerana ia tidak diiktiraf oleh parti MCA.

Sehubungan dengan itu, Wong berkata pihaknya telah mengeluarkan surat pemberitahuan semalam kepada lebih 2,300 perwakilan pusat di seluruh negara.

"EGM kedua ini tidak harus diadakan kerana ia telah melanggari Perlembagaan parti dan saya telah mengeluarkan surat kepada perwakilan semalam,"

"Justeru itu, saya mahu menegaskan mesyuarat ini adalah tidak sah di sisi undang-undang MCA dan ia tidak diiktiraf," katanya kepada pemberita di Wisma MCA, Selasa.

Oktober lepas, kumpulan 16 anggota Jawatankuasa Pusat (CC) berpendirian mengadakan EGM kedua dan ia juga disokong oleh Naib Presiden parti, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Tujuan EGM kedua itu adalah mendapatkan mandat daripada ahli-ahli untuk mengadakan pemilihan pemimpin parti yang baru.

Sementara itu, dalam sidang akhbar berasingan, 'EGM chief requisitionist' yang juga ahli CC, Wong Nai Chee berkata mesyuarat itu tetap akan diadakan dan persiapan logistik telah diatur untuk perwakilan.

Wong (Nai Chee) antara 16 ahli CC yang mahu mengadakan EGM kedua yang turut disokong Naib Presiden, Liow dan Tan Kok Hong, Ketua Wanita, Datin Paduka Chew Mei Fun dan Ketua Pemuda, Datuk Dr. Wee Ka Siong.

Bagaimanapun, mesyuarat CC yang dipengerusikan oleh Presiden parti Datuk Seri Ong Tee Keat pada 2 Nov lepas memutuskan EGM yang bakal diadakan itu adalah melanggari perlembagaan parti.

Kemelut dalaman MCA berterusan selepas Datuk Seri Dr Chua Soi Lek kembali ke jawatan asalnya sebagai timbalan presiden, manakala Liow hanya sempat memegang jawatan nombor dua parti itu selama 19 hari sebelum kembali menjadi Naib Presiden.-- BERNAMA

EGM Sabtu Ini Diteruskan Kecuali Ada Tarikh Pemilihan

KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Mesyuarat agung luar biasa (EGM) MCA yang dijadual Sabtu ini akan diteruskan kecuali ada tarikh yang ditetapkan untuk pemilihan baharu parti, kata Ketua Wanita MCA Datin Paduka Chew Mei Fun.

Beliau berharap semua perwakilan pusat MCA akan menghadiri EGM itu kerana persediaan sedang giat dijalankan untuk mesyuarat berkenaan.

Chew yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata demikian selepas melancarkan kertas taklimat Amnesty International, "The Gender Trap: Women,Violence and Poverty", di sini Rabu.

Dalam perkembangan lain beliau menggesa Sejarawan Tan Sri Prof Emeritus Khoo Kay Kim berhenti mengeluarkan kenyataan yang menyentuh perasaan masyarakat Cina.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran telah berkata beliau mahu kementeriannya mempelajari dan mengkaji cara-cara sekolah berperantaraan bahasa Cina mengajar Subjek Sains dan Matematik untuk mencapai kejayaan.

Bagaimanapun, Prof Khoo membantah dan mngatakan bahawa sekolah berkenaan hanya mengeluarkan "penyalin".-- BERNAMA

Penduduk Shah Alam sokong JAIS

SHAH ALAM 24 Nov. - Penduduk Shah Alam hari ini menyerahkan memorandum menyokong tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) tidak meluluskan tauliah sementara kepada Ahli Parlimen kawasan itu, Khalid Abdul Samad untuk menyampaikan ceramah dan khutbah agama.

Memorandum yang ditandatangani 1,000 penduduk termasuk dari Seksyen 6, 7, 9, 13, 20 serta Subang Jaya diserahkan kepada Pengarah JAIS, Datuk Mohammed Khusrin Munawi di pejabatnya di sini pada pukul 9.30 pagi.

Memorandum itu diserahkan oleh Yang Dipertua Persatuan Penduduk Seksyen 7, Mohd. Badrudin Othman bersama empat lagi wakil penduduk di kawasan daerah tersebut.

Mohd. Badrudin ketika ditemui berkata, pihaknya memandang serius aktiviti ceramah dan khutbah agama oleh individu tanpa tauliah di kawasan itu terutama di masjid serta surau.

Tambahnya, pentauliahan daripada JAIS penting bagi memastikan individu yang berceramah dan menyampaikan khutbah mempunyai kelayakan selain tempat ibadat tidak disalahgunakan untuk tujuan politik sehingga boleh mengundang perpecahan umat Islam di daerah itu.

''Maka, tindakan JAIS tidak meluluskan tauliah sementara kepada Khalid ini adalah tepat kerana Ahli Parlimen Shah Alam ini sebenarnya tidak mempunyai pendidikan formal dalam bidang pengajian Islam.

''Malah, Khalid juga sebelum ini pernah membuat kenyataan bertentangan serta tidak sensitif terhadap pendirian umat Islam apabila menyokong tuntutan Badan Injil Borneo untuk menggunakan kalimah Allah bagi menggantikan perkataan 'god' dalam kitab mereka.

''Selain itu, Khalid juga didapati cuba menjadi 'juara' masyarakat bukan Islam dengan menyokong pembinaan sebuah kuil di Seksyen 23 di kawasan majoriti umat Islam yang berakhir dengan siri penentangan besar-besaran dari penduduk di kawasan itu," ujarnya.

Katanya, beliau difahamkan Khalid yang juga Yang Dipertua Pas Shah Alam sebelum ini dikatakan banyak menyampaikan ceramah dan khutbah agama yang menyelitkan unsur-unsur politik serta hasutan.

Mohd. Badrudin mahu supaya JAIS terus bertegas dalam melaksanakan penguatkuasaan tauliah penceramah di Selangor supaya penyebaran Islam di negeri itu terpelihara daripada dicemari dengan unsur-unsur yang merosakkan ummah.

Kata beliau, pihaknya bersedia membantu JAIS menguatkuasakan peraturan tauliah itu dengan memantau aktiviti ceramah dan khutbah di masjid serta surau di kawasan masing-masing.

''Dalam pertemuan kira-kira 10 minit dengan Pengarah JAIS, beliau meminta kita membantu melaporkan jika ada aktiviti salah guna masjid dan surau di kawasan masing-masing. Kita sentiasa bersedia untuk membantu JAIS dalam hal ini," jelasnya.

Pada 14 Oktober lalu, JAIS tidak meluluskan tauliah sementara terhadap Khalid sebagai penceramah bebas di negeri itu atas sebab-sebab tapisan keselamatan.

Keputusan itu dibuat setelah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor mengemukakan satu surat kepada JAIS pada 8 Oktober 2008 yang meminta jabatan itu membatalkan pentauliahan Khalid kerana dikatakan mempunyai rekod jenayah. - Utusan

* Orang Umno tu.

Hong Kong dan Malaysia sama, tapi cukup berbeza

SALAM dari Hong Kong. Saya kini berada di wilayah pentadbiran khas (SAR) China itu sejak Jumaat lalu. Bukan tujuan untuk lari dari macam-macam hal di Malaysia dan cuitan saya ke atas beberapa pihak di Kedah, tapi untuk merasai kehidupan orang Cina di metropolitan ini. Kali terakhir saya berada di sini ialah pada Mac 1997, dua bulan sebelum ia berpisah dengan British - kerana membuat liputan saudara Anwar Ibrahim di satu forum perniagaan.

Setelah berpisah di bawah pengaruh dan kuasa Inggeris itu pada 1 Julai 1997, ia kini berada dalam kekuasaan Beijing yang ditadbir di bawah prinsip ''satu negara, dua sistem''. Istimewanya sistem ala British masih diamalkan di wilayah ini. Sekolah-sekolahnya banyak mengamalkan sistem Inggeris itu. Kanak-kanak perempuan sekolah masih lagi memakai pinafore paras betis, sama macam murid-murid kita pakai dulu dan sekarang, yang kini bercampur dengan baju kurung.

Menjelang musim sejuk sekarang, semua orang memakai pakaian ala-Barat yang stylish. Sekolah-sekolah mubaligh Kristian banyak di sini yang mengamalkan pengajaran dan pembelajaran dalam Bahasa Inggeris dan Cina. Malah bahasa Inggeris dan Cina sama banyak digunakan. Perdagangannya amat bebas, tanpa ikatan pengaruh komunis. Malah di Tanah Besar China di seberang sana pun, ekonominya telah terbuka luas, misalnya Shenzhen dan Guangzhou (Canton). Malah keseluruhan ekonomi China mengalahkan mana-mana negara di dunia ini. Jika situasi ini berterusan, kita menjangka golongan muda China yang akan menjadi tua kelak bakal mengetepikan komunisme kepada kapitalisme.

Sejak 12 tahun lalu, kerancakan Hong Kong ini semakin terserlah. Orangnya kini cukup pembersih. Pendek kata Hong Kong kini ialah sebuah wilayah yang cukup tersusun, sistematik - lebih baik daripada Kuala Lumpur, yang kini semakin tidak tersusun dan kelam-kabut. Singapura ternyata meniru konsep Hong Kong. Dan dengarnya Pulau Pinang kini pula mahu meniru konsep Singapura.

Hong Kong sesungguhnya bukan sahaja sebuah pelabuhan bebas dan pusat kewangan dunia yang rancak, ia juga menyediakan prasarana pelancongan yang cukup hebat dan bertaraf dunia. Malah beberapa sektor pelancongannya diswastakan kepada pihak-pihak antarabangsa, termasuk dari Amerika Syarikat. Oleh itulah urusan pelancongannya cukup hebat.

Malaysia dan Kuala Lumpur harus belajar dari wilayah ini. Bangunan-bangunan lama kolonial telah dibangunkan menjadi pusat tarikan pelancongan yang menarik. Jika di Malaysia bangunan Carcosa terlalu eksklusif, tanpa mahu didekati oleh orang awam dan pelancong, tapi di sini bangunan Heritage 1881, bekas ibu pejabat Polis Marin dan kandang kuda polis British telah diubah menjadi pusat membeli-belah dan hotel mewah yang tidak lekang dari lensa kamera semua orang.

Trem ke Puncak Victoria, hasil peninggalan British, telah dikomersialkan menjadi tarikan yang cukup hebat ala Genting Highlands, sebaliknya trem atau kereta api Bukit Bendera kita, asyik rosak. Suasana di atas Bukit Bendera dari 50 tahun lalu berdasarkan gambar nenek moyang saya bergambar sebelum naik kapal haji tidak berubah sampai sekarang!

Ternyata Hong Kong bukan sahaja mempunyai pedagang yang terhebat dunia, mereka juga mempunyai pentadbir dan perancang bandar yang cukup hebat. Rangkaian MTR bawah tanah sama seperti LRT kita juga cukup baik. Rangkaiannya merangkumi keseluruhan Hong Kong yang terdiri daripada pulau Hong Kong, Kowloon dan New Territories (sehingga ke sempadan China). Pergerakan manusia pantas dan murah melalui MTR. Sebaliknya, tidak pasti bila rangkaian LRT kita akan lengkap? Laluan ke Shah Alam, Klang dan Bangi yang ramai penduduk pun tidak siap-siap sampai sekarang?

Masyarakat Cina memang satu masyarakat yang amat kuat kerja. Mereka cukup 'enterprising' (rajin, berdagang, kreatif (baik atau buruk), megah dengan kekayaan). Ekonomi, perdagangan dan perniagaan adalah hidup mereka. Tidak hairan orang Cina Hong Kong berjaya 'merebut' sebelah sarung tangan Michael Jackson yang dilelong dengan harga hampir sejuta ringgit.

Orang Cina di Hong Kong dan di Malaysia sama sahaja. Mereka rajin bekerja untuk hidup senang-lenang di dunia. Malah apabila mati kelak pun mereka 'puas' kerana akan mendapat tanah kubur bernilai tinggi ala Nirvana di Nilai, Seremban.

Mereka juga suka makan. Di mana-mana simpang, apabila masanya mereka akan pulun makan semahu-mahunya. Orang kita (Melayu Islam) pula apabila sampai di sini, terlalulah susah nak makan. Bukan apa, orang sini punyalah suka makan 'haiwan itu'. Akhirnya terpaksalah kita melilau mencari kedai-kedai 'halal' milik Pakistan di Tsim Sha Tsui, Yau Ma Tei (di Kowloon) dan di Wan Chai (pulau Hong Kong). Di Tsim Sha Tsui (di tanjung Kowloon, laut menghadap pulau Hong Kong), terletak kawasan membeli-belah mahal dan berjenama dan di selang-seli dengan murah (tapi rata-rata mahal). Tapi saya syorkan makan sepuas-puasnya makanan Cina dan Dim Sum (satu-satu tempat yang saya tahu halal di Hong Kong) dengan harga yang murah di kantin tingkat lima Masjid Ammar & Pusat Islam Osman Ramju Sadick di No. 40 Oi Kwan Road dekat Hennessy Road, daerah Wan Chai (lihat www.islam.org.hk).

Di sebelah stesen MTR Tsim Sha Tsui (sebelah Kowloon) juga terdapat sebuah masjid atau Pusat Islam Kowloon. Makanan halal India Utara dan Pakistan banyak diperoleh di situ. Di sini juga terdapat ramai komuniti Pakistan, malah mengikut sesetengah pihak 'Awang Hitam' pun semakin banyak kelihatan selain orang Filipina dan Indonesia yang menjadi pandangan biasa di kota kosmopolitan ini.

Pendek kata, Hong Kong dalam 10 tahun ini amat berbeza. Ia lebih hebat, lebih bersih, lebih indah dan tidak nampak lagi tanda-tanda jalan yang melarang orang meludah. Orang Cina Hong Kong bukan macam orang Cina generasi dulu, mereka tidak lagi suka meludah. Mentaliti mereka sudah jauh ke depan. Berada di Hong Kong, seakan sama seperti berada di New York - terlalu ramai orang yang berjalan laju. Bagi pelancong jangan tertipu dengan mitos lama mengatakan di sini semuanya murah. ''Ini Hong Konglah bukannya Malaysia,'' kata seorang pegawai hotel tempat saya menginap sambil tersenyum. Sebenarnya Hong Kong ialah antara bandar raya termahal di dunia!

Minggu depan, insya-Allah kita akan berjumpa dari Hyderabad, India pula. Salam sejahtera.

* Mana nak maju, makan minumnya rasuah.

SPRM teruskan siasatan

KOTA BHARU 24 Nov. - Siasatan dakwaan penyalahgunaan dana di Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) tetap diteruskan walaupun Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ir. Abdul Ariffahmi Ab. Rahman telah meletakkan jawatan.

Menurut sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kes yang membabitkan menantu Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat itu akan disiasat sebagaimana lain-lain kes seumpamanya.

"SPRM akan meneruskan siasatan berhubung kes ini walaupun penjawat berkenaan telah meletakkan jawatan.

"Setelah selesai, kertas siasatan akan dihantar ke jabatan undang-undang bersama bahan bukti yang dikumpulkan sebagai rujukan.

"Kemudian barulah Bahagian Pendakwaan memutuskan sama ada untuk melakukan pendakwaan atau tidak," ujar sumber itu.

Difahamkan, SPRM telah menyiapkan kira-kira 60 peratus siasatan berhubung kes itu dan kini masih mengumpul bahan bukti termasuk dokumen yang diambil di pejabat PMBK.

Abdul Ariffahami dilanda kontroversi apabila SPRM mula menjalankan siasatan ke atasnya kira-kira dua minggu lalu.

Hari ini, media melaporkan beliau telah diarahkan oleh Nik Abdul Aziz melepaskan jawatan setelah rombongan pimpinan Pas Pusat yang diketuai oleh Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menemuinya semalam.

Mereka menasihatkan Nik Abdul Aziz agar menjaga nama baik kepimpinan Islam khasnya Pas dan langkah sewajarnya ialah agar Abdul Ariffahmi mengundur diri.

Abdul Ariffahmi yang bersedia berbuat demikian bagaimanapun masih belum memutuskan bila akan meletakkan jawatan.

Usaha mendapatkan penjelasan lanjut daripada beliau gagal setelah Abdul Ariffahmi enggan menemui pihak media yang datang ke pejabatnya di sini hari ini.- Utusan

25 November 2009

Kemelut PAFA: Zambry ambil kesempatan burukkan Nizar

KUALA LUMPUR, 25 Nov: Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) mendakwa Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir cuba memburukkan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dalam kemelut Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA).

Setiausahanya, Dr. Raja Ahmad Al-Hiss dalam satu kenyataan berkata, Zambry dengan angkuh mengambil kesempatan di atas isu itu untuk menunjukkan kepada rakyat bahawa beliau berkuasa di negeri itu.

"Datuk Seri Zambry yang masih belum disahkan sebagai Menteri Besar Perak cuba membayangkan kepada rakyat bahawa beliau sekarang berkuasa dan menunjukkan kuasanya serta bersikap angkuh dengan jawatan pintu belakangnya," katanya.

Beliau juga berkata, tiada jaminan segala janji Zambry boleh diguna pakai memandangkan Mahkamah Persekutuan belum memutuskan samaada beliau atau Nizar adalah menteri besar yang sah.

"Belum ada jaminan semua janji Datuk Seri Zambri ini boleh diguna pakai kerana Mahkamah Persekutuan belum memutuskan siapakah Menteri Besar Perak yang sah lagi,"

DPPN Pk dalam pada itu meminta rakyat agar tidak terpedaya dengan usaha jahat Zambry yang berterusan memburukkan peribadi Nizar termasuk mengaitkannya dengan masalah sukan bola sepak negeri itu.

Sedangkan tegas DPPN Pk , Nizar selama ini telah menyelamatkan Pafa dari terus dibebani hutang lapuk serta menjaga kebajikan pemain dan kakitangannya.

"Apa yang dilakukan ini adalah bersifat menyerang semua reputasi datuk Seri Nizar secara peribadi di semua keadaan," tegasnya.

Minggu lalu, Zambry menuduh Nizar mempolitikkan isu ini dan berkata beliau tidak berhasrat untuk mengambil alih jawatan sebagai presiden Pafa.

Tuduhan Zambry itu berikutan permintaan Nizar yang merupakan Presiden Pafa agar kerajaan negeri membantu persatuan itu menyelesaikan masalah kewangan yang dihadapinya berikutan skuad Seladang tidak layak bertanding dalam Liga Malaysia tahun depan kerana gagal memenuhi syarat yang ditetapkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Zainol Fadzi Paharudin pula menyalahkan Nizar dalam masalah ini.

Namun, Nizar dalam satu pertemuan dengan DPPN Pk baru baru ini telah menjelaskan bahawa hutang-hutang yang sedia ada adalah tunggakan semenjak tahun 2006 lagi iaitu sebelum beliau memegang persatuan berkenaan.

Pafa perlu melangsaikan bayaran hasil kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan juga Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk beraksi pada Liga Super musim depan.

Mengikut syarat yang dikeluarkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), mana-mana pasukan yang gagal menjelaskan bayaran tersebut adalah tidak layak menyertai Liga tersebut.

DPPN Pk antara yang giat menjalankan usaha mengumpul dana bagi membantu pasukan bola sepak negeri itu agar dapat beraksi musim depan.

Sebelum ini mereka telah mengadakan perbincangan dengan Nizar untuk tujuan tersebut.

Hasilnya mereka telah melancarkan 'Kempen Seringgit (RM1)' untuk tabung bantuan kepada persatuan bolasepak negeri itu.- Harakahdaily