19 September 2009

Polis Indonesia sahkan DNA padan dengan Nordin

JAKARTA 19 Sept. — Polis Indonesia hari ini mengumumkan ujian DNA yang dijalankan mengesahkan bahawa pengganas paling dikehendaki yang ditembak mati di Solo, Jawa Tengah dua hari lepas adalah Noordin Mohd. Top.

Ketua Bahagian Penerangan Polis Indonesia, Nanan Soekarna berkata, semua ujian lain yang telah dilakukan terhadap jenazah Noordin di Hospital Polis Kramat Jati di sini juga positif menunjukkan jenazah itu adalah Noordin.

“Semuanya 100 peratus sepadan. Dari ujian cap jari dan hasil ujian DNA semuanya membenarkan jenazah itu Noordin,” katanya seperti dipetik detikcom pada Sabtu.

Ketua Polis Indonesia Jen Bambang Hendarso Danuri sebelum ini telah memberikan pengesahan kepada media massa bahawa lelaki yang mati ditembak bersama tiga pengganas lain itu ialah Noordin, namun beliau tetap meminta unit forensik polis menjalankan ujian pengesahan DNA.

Laporan itu menyebut bahawa keluarga Noordin di Johor, Malaysia juga sudah diberitahu mengenai hasil ujian DNA itu. - Bernama

No comments:

Post a Comment