18 September 2009

Noordin letupkan diri

SOLO, Indonesia 17 Sept. – Pengganas No. 1 Asia, Noordin Mat Top, 41, terbunuh dalam satu serbuan polis ke atas tempat persembunyian kumpulan militan Jemaah Islamiah (JI) di Solo, Jawa Tengah, pagi ini.

Noordin dilaporkan terbunuh bersama empat lagi pengganas apabila pasukan keselamatan menggempur sebuah rumah yang dipercayai menjadi tempat persembunyian Noordin dan konco-konconya, setelah membuat intipan dan mengepung kawasan itu sejak malam tadi.

Noordin yang berasal dari Malaysia, dipercayai terbunuh setelah meletupkan dirinya menyebabkan mayat hancur dan kepalanya terputus.

Sebelum itu, letupan kuat dan tembakan senjata api kedengaran apabila polis menyerbu rumah tersebut pada kira-kira pukul 6 pagi waktu tempatan selepas sembilan jam mengepung rumah itu di pinggir bandar ini, yang selama ini dijadikan kubu oleh kumpulan militan JI itu.

Ketua Polis Indonesia, Bambang Hendarso Danuri mengesahkan pengganas paling dikehendaki di Asia itu terbunuh dalam serbuan polis tersebut.

Ketika ditanya sama ada benar Noordin telah terbunuh dalam serbuan itu, Bambang Danuri berkata: “Ya, Ya, Ya, semua maklumat (tentang kematian Noordin) berada di ibu pejabat polis, ”

Terdahulu, Bambang Danuri telah mengadakan pertemuan dengan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono bagi memaklumkan mengenai serbuan tersebut.

Bulan lalu, media tempatan yang memetik sumber polis turut melaporkan kematian Noordin selepas polis melancarkan serbuan ke atas sebuah rumah, juga di Jawa Tengah, namun selepas ujian forensik dijalankan beberapa hari kemudian ia terbukti salah. - Utusan

No comments:

Post a Comment