01 July 2009

Abdul Kudus dipenjara 11 tahun, denda RM370,000

AMPANG: Selepas hampir enam tahun perbicaraan, bekas Pengarah Penguat Kuasa Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Kapten (B) Abdul Kudus Ahmad, semalam dihukum penjara 11 tahun dan 10 bulan serta denda RM370,000 setelah didapati bersalah terhadap 24 tuduhan rasuah berjumlah RM59,000.

Hakim Mahkamah Sesyen di sini, Noradidah Ahmad, turut memerintahkan Abdul Kudus dipenjara 17 tahun lagi jika gagal membayar denda yang dikenakan terhadapnya.

Noradidah bagaimanapun membenarkan permohonan peguam pembela tertuduh, M Manoharan, untuk menangguhkan hukuman berkenaan sehingga rayuan dibuat di Mahkamah Tinggi dan menetapkan RM150,000 sebagai jaminan.

Perbicaraan kes itu yang bermula 9 Ogos 2003, mendapat liputan meluas berikutan pendedahan mengenainya dibuat oleh bekas Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk M Kayveas selepas menerima aduan pemilik restoran Sri Steven's Corner.

Bagaimanapun, Abdul Kudus mendakwa tuduhan dibuat ke atasnya adalah konspirasi didalangi Kayveas. Abdul Kudus, 46, menghadapi 24 tuduhan meminta dan menerima rasuah berjumlah RM59,000 daripada pemilik restoran Sri Steven's Corner antara Mei 2001 dan Mei 2004. Seramai 11 saksi pendakwaan termasuk Kayveas dan 12 saksi pembelaan memberi keterangan.

Dalam penghakimannya, Noradidah berkata pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes terhadap tertuduh tanpa sebarang keraguan munasabah.

Beliau berkata, ada percanggahan dalam keterangan tertuduh yang mendakwa pemilik restoran Sri Steven's Corner, Steven @ Sathiasilan a/l Sinnapan, memberitahunya pada 2005 bahawa tuduhan ke atasnya adalah konspirasi Kayveas.

"Steven yang juga salah seorang saksi pendakwaan menafikan dakwaan berkenaan ketika memberi keterangan balas apabila dipanggil pihak pendakwaan. Apa yang menghairankan, tertuduh tidak melaporkan dakwaannya ini kepada pihak berkuasa untuk diambil tindakan sewajarnya.

"Pihak pembelaan juga gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap tuduhan yang mengaitkan tertuduh. Oleh itu, mahkamah mendapati tertuduh bersalah atas kesalahan menerima rasuah berjumlah RM59,000," katanya.

Noradidah memerintahkan hukuman ke atas 24 tuduhan itu dijalankan secara berasingan, iaitu lima bulan penjara bagi dua tuduhan pertama dan enam bulan penjara bagi 22 lagi tuduhan serta denda antara RM10,000 hingga RM60,000 bagi setiap tuduhan.

Abdul Kudus yang memakai kot biru gelap dan bertali leher berjalur merah biru, kelihatan tenang dan kerap tunduk serta sesekali dilihat tersenyum sepanjang prosiding yang berlangsung hampir satu jam setengah itu.

Sementara itu, Manoharan ketika memohon meringankan hukuman ringan terhadap anak guamnya, berkata tertuduh menghadapi pelbagai dugaan dan kesusahan sepanjang hampir enam tahun kes itu dibicarakan.

"Dalam tempoh berkenaan, ibu tertuduh meninggal dunia, bapanya terpaksa melepaskan jawatan sebagai imam dan beliau sendiri sehingga kini tidak bekerja. Tertuduh juga kini baru mendapat anak ke-10 yang berusia tiga bulan.

"Mahkamah seharusnya menghukum 'ikan yu' yang terbabit rasuah dulu, bukannya menganiaya 'ikan bilis' saja," katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Nordin Hassan, berkata tidak adil untuk mengatakan hanya 'ikan bilis' dikenakan hukuman.

"Ikan yu atau ikan bilis tidak menjadi persoalan, sebaliknya setiap kesalahan rasuah dipandang berat sekalipun ia dilakukan sesiapa saja termasuk ikan kembung," katanya.

- Bharian

* Ada tempat lain, hukum mati.

No comments:

Post a Comment