31 July 2009

PAS: Kami tidak provokasi pro-ISA

Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) tidak pernah mencabar mana-mana pihak bagi mewujudkan ketegangan dalam demonstrasi menentang Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) esok, kata Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub.

"Saya hendak mengulas kenyataan polis semalam bahawa dua kumpulan saling cabar-mencabar. Saya tidak tahu (perkara itu).

"Saya rasa, sepanjang sidang media, ceramah atau sebarang sebaran yang kita keluarkan atas nama GMI, kami tidak pernah menggunakan kata-kata yang mencabar mana-mana pihak.

"Jadi tidak timbul masalah mengatakan kedua-dua pihak ini saling cabar-mencabar," katanya dalam sidang media di ibu pejabat PAS di ibu negara hari ini.


Turut hadir dalam sidang media itu, Ketua Muslimat PAS Nuridah Salleh (kanan) dan Setiausaha Pemuda PAS Kamaruzaman Mohamad (kiri).

Sambil menayangkan laporan Berita Harian hari ini yang berjudul 'Dua kumpulan saling mencabar', Salahuddin berkata, berdasarkan rekod terdahulu, pakatan pembangkang mempunyai pengamalam menganjurkan perhimpunan aman.

Tambahnya, ia terbukti dalam perhimpunan menuntut pilihanraya bersih pada November 2007 dan perhimpunan menuntut pemansuhan dasar pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI), Mac lalu.

Salahuddin mengulas kebimbangan polis terhadap kemungkinan berlaku ketegangan dalam demonstrasi esok akibat provokasi daripada dua kumpulan berbeza – GMI dan kumpulan penyokong akta itu Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris).

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar hari ini dilaporkan berkata, berdasarkan pemerhatiannya, sudah wujud unsur hasutan dan provokasi di antara kedua-dua kumpulan terbabit.

Sebagai pemimpin kanan PAS, Salahuddin juga menjamin perhimpunan esok akan berlangsung secara aman kerana ia telah dirancang sejak setahun lalu.

"Saya sebagai chief commander ingin perjelaskan bahawa himpunan esok akan diadakan secara aman. Notis ini telah kita berikan kepada rakyat Malaysia enam bulan lalu.

"Kalau ada pihak kata kita sengaja cari sebab bertembung dengan kumpulan satu lagi (Pewaris dan pro-ISA), saya ingin katakan, kita merancang program ini setahun lalu," katanya.

Pemimpin atasan Pakatan Rakyat, termasuk penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, tokoh DAP Lim Kit Siang dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan menyerahkan "deklarasi rakyat" kepada pihak Istana Negara.

Perarakan ribuan penyokong pembangkang dan 83 NGO bersama Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), yang menganjurkan perhimpunan itu, bergerak mulai jam 2 petang dan dijangka sampai sejam kemudian di Lebuh Raya Mahameru.

Sementara kumpulan penyokongnya pula akan berhimpun di Padang Merbok, sebelah Bank Negara, dan Pasar Seni pada masa yang sama sebelum bergerak ke Dataran Merdeka dan kemudian ke Istana Negara bagi menyerahkan memonrandum kepada Yang di-Pertuan Agong.
- Malaysiakini

Umno bertanding di Permatang Pasir

Umno akan bertanding dalam pilihanraya kecil DUN Permatang Pasir ekoran kematian penyandangnya dari PAS, Mohd Hamdan Abdul Rahman pagi ini.

Keputusan itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga presiden Umno selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno di ibunegara petang ini.

"Ia sesuai dengan pendirian kita apabila kerusi kosong atas sebab keperluan perlembangaan, maka Umno dan BN akan bertanding," tambahnya.

Sehubungan itu, katanya, Umno dan BN akan memilih calonnya apabila Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon dan pengundian bagi pilihanraya kecil tersebut.

Mohd Hamdan, 60, yang mewakili kawasan tersebut selama tiga penggal sejak 19999, meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) awal pagi ini kerana sakit jantung.

SPR mempunyai tempoh 60 hari untuk mengadakan pilihanraya kecil di Permatang Pasir - pilihanraya kecil yang kelapan selepas pilihanraya umum tahun lalu.

Permatang Pasir - kerusi tunggal PAS di Pulau Pinang - adalah salah sebuah DUN dalam parlimen Permatang Pauh yang diwakili oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ditanya mengenai ciri-ciri calon BN, Najib berkata ia masih terlalu awal dan beliau menyerahkan perkara itu kepada pengerusi Umno Pulau Pinang sebelum dirujuk kepadanya.

Najib juga berkata, Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan pengerusi Umno Kelantan, Datuk Mustapa Mohamed telah membentangkan penilaian pilihanraya kecil Manek Urai yang lalu.

"Kita puas hati dengan usaha yang telah dilakukan walaupun kita tidak percaya. Pencapaian Umno sangat menggalakkan," katanya.

Ditanya sama ada BN akan memfail petisyen pilihanraya, Najib berkata: "Kita tidak tentukan, kita serah kepada peguam Umno."

Usaha rebut kerusi

Pagi tadi, pengerusi Umno Pulau Pinang, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata Umno akan berusaha untuk merebut kerusi tersebut.

Ini merupakan kali pertama Ahmad Zahid berdepan dengan pilihanraya di negeri itu, selepas dilantik menerajui Umno Pulau Pinang, lapor Bernama

Mengulas lanjut mengenainya, Ahmad Zahid menganggap "ini sebagai ujian Allah kepada saya dan untuk melihat sejauh mana kekuatan sebenar Umno."

Bercakap kepada pemberita di ibunegara, Ahmad Zahid turut menolak dakwaan kononnya terdapat masalah dalaman jentera Umno di Permatang Pauh dan menyifatkannya sebagai "khabar angin."

Naib presiden Umno itu juga berkata beliau akan turun padang untuk memantau keadaan dan memastikan sebarang masalah yang timbul akan dapat diatasi dengan sebaik mungkin.

Beliau percaya masalah yang didakwa wujud itu sengaja ditimbulkan dengan didalangi pihak membangkang bertujuan untuk mengacau-bilaukan Umno bahagian berkenaan. - Malaysiakini

Batal perhimpunan, perarakan ISA

KUALA LUMPUR 30 Julai - Polis hari ini sekali lagi mengingatkan semua pihak yang merancang menyertai perhimpunan dan perarakan besar-besaran di ibu negara Sabtu ini, supaya membatalkan hasrat masing-masing.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar (gambar) berkata, ini kerana perhimpunan tersebut yang dianjurkan oleh dua kumpulan tertentu boleh menggugat keamanan dan ketenteraman awam.

Beliau berkata, malah siasatan pihaknya mengenal pasti wujud unsur-unsur provokasi antara dua kumpulan terbabit yang mempunyai agenda berbeza.

Tegasnya, perhimpunan itu juga bercanggah dengan undang-undang negara kerana sehingga kini polis tidak menerima sebarang permohonan.

"Walaupun penganjur kedua-duanya menyatakan perhimpunan dan perarakan diadakan secara aman, tetapi boleh menggugat ketenteraman.

"Jika hasrat berhimpun dan berarak diteruskan, polis bimbang keadaan akan menjadi tegang kerana melibatkan jumlah peserta yang begitu ramai," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, perhimpunan itu juga bakal mengundang kesulitan kepada semua pihak terutamanya warga kota kerana kesesakan lalu lintas.

"Rezeki para peniaga akan terjejas selain membawa imej negatif kepada pelancong di negara kita," ujar beliau.

Perhimpunan itu melibatkan Gabungan Mansuhkan ISA (GMI), yang membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tetapi Majlis Permuafakatan Ummah (Perwaris) dan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mahu ISA dikekalkan.

GMI telah menyeru orang ramai menghadiri perhimpunan dikenali sebagai Perhimpunan 100,000 rakyat.

Antara lokasinya ialah Masjid Jamek, Kompleks Sogo dan Masjid Negara sebelum berarak ke Istana Negara bagi menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong mendesak supaya ISA dihapuskan.

Pada masa yang sama, Perwaris dan Perkasa pula merancang mengadakan perhimpunan di Padang Merbok, Pasar Seni dan Masjid Negara bagi menyokong agar ISA dikekalkan. - Utusan

ISA: Jakim nasihat orang ramai tidak berhimpun di masjid

PUTRAJAYA 31 Julai - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menasihatkan orang ramai agar tidak berhimpun di kawasan masjid dalam usaha mereka mengadakan perarakan Himpunan Mansuh Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) petang esok.

Ketua Pengarahnya, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abd. Aziz berkata, ini bagi mengelakkan kesucian tempat ibadah umat Islam daripada tercemar sekiranya berlaku sebarang kekecohan pada perhimpunan itu.

Sekretariat Himpunan Mansuh ISA menyenaraikan Masjid Negara dan Masjid Jamek, Kuala Lumpur sebagai tempat berhimpun sebelum orang ramai diajak berarak ke Istana Negara bagi mengemukakan deklarasi membantah ISA petang esok. - Utusan

Pemuda bunuh Syafiqah dihukum mati


JOHOR BAHARU 31 Julai - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menjatuhkan hukuman mati ke atas seorang pemuda kerana membunuh pelajar perempuan tingkatan tiga, Syafiqah Mohamad Borhan, tiga tahun lepas.

Abu Bakar Musa, 25, yang turut dikenali dengan panggilan “kapak” turut dikenakan hukuman penjara 20 tahun dan 15 kali sebatan kerana merogol mangsa.

Hakim Datuk Azhar Mohamed membuat keputusan tersebut selepas mendapati pihak pembelaan telah gagal menimbulkan keraguan terhadap kes pendakwaan yang diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ian Shang Kuan Chou.

Peguam Norman Fernandez yang mewakili tertuduh berkata, pihaknya akan memfailkan rayuan terhadap keputusan itu.

Abu Bakar dituduh melakukan perbuatan tersebut di antara 5.45 pagi, 25 Januari 2006 dan 3.30 petang pada 27 Januari tahun yang sama di longkang Jalan Padi Huma 1, Bandar Baru Uda di sini.

Dia ditangkap pada 16 Februari dan didakwa di mahkamah pada 27 Februari 2006.

Mayat Syafiqah, pelajar Sekolah Menengah Perempuan Sultan Ibrahim ditemui oleh orang ramai pada 27 Januari, dua hari selepas pelajar itu dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan ke sekolah pada waktu pagi.

— BERNAMA

Siasatan DVD seks Soi Lek tetap diadakan

KUALA LUMPUR 31 Julai — Jawatankuasa Disiplin MCA akan tetap meneruskan siasatan kes DVD seks Timbalan Presiden parti, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek seperti dijadualkan Selasa depan.

Setiausaha jawatankuasa itu, Ivan Chen berkata, pengerusi Ng Cheng Kiat telah mengarahkan siasatan itu diteruskan seperti dijadualkan pada 4 Ogos, tanpa keterangan daripada pengadu yang juga pengerusi MCA Bahagian Simpang Renggam, Eng Cheng Guan.

“Pengerusi jawatankuasa disiplin amat tegas dengan perkara ini dan beliau tidak mungkin akan menukar fikiran. Satu-satunya perubahan ialah siasatan itu akan bermula 2.30 petang daripada 10.30 pagi ditetapkan sebelum ini.

“Dr. Chua telah memaklumkan kepada jawatankuasa itu yang beliau akan membawa empat saksi ke siasatan itu,” kata Chen kepada Bernama di sini hari ini.

- BERNAMA

Kesal Mufti Perak tidak haramkan ISA

IPOH, 31 Julai (Hrkh) - Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) kecewa dengan kenyataan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria kerana masih tidak menolak bahawa perlaksanaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang telah digubal pada tahun 1960 dan yang masih dijalankan selama 49 tahun adalah lebih zalim dan perlu diharamkan.

Demikian ditegaskan Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Perak, Mohd Akmal Kamarudin dalam kenyataan media Pemuda PAS Perak hari ini.

Menurutnya, Pemuda PAS mencabar Tan Sri Harussani dan juga Majlis Fatwa Kebangsaan serta Mufti seluruh negeri supaya mengeluarkan fatwa tentang Akta ISA ini yang telah banyak menzalimi rakyat kerana telah menghukum tanpa membicarakannya dan ianya salah disisi Agama Islam.

"Persoalan yang sepatutnya timbul adalah kezaliman Akta ISA yang telah diamalkan itu, bukannya membantah Akta ISA itu sebagai yang haram, perkara yang penting sekarang ini adalah mengapa kezaliman ini masih diteruskan?," jelasnya.

Pemuda PAS Negeri Perak katanya ingin mempertegaskan di sini bahawa usaha untuk menghapuskan kezaliman mesti ditegakkan, himpunan sebagai protes untuk memastikan seluruh rakyat akan hidup aman tanpa kezaliman yang telah dibuat oleh kerajaan akan diselamatkan.

Oleh itu kata Akmal, Pemuda PAS Perak menyeru seluruh rakyat yang membantah kezaliman mesti tampil untuk nyatakan kebenaran kerana menyahut seruan Nabi SAW "Jihad yang paling afdhal ialah perkataan benar di hadapan pemerintah yang zalim" bukan perkataan yang berani di hadapan rakyat yang ditindas. - Harakahdaily

* Penting juga kelayakan jadi mufti ini...

Jangan teruja fatwa haramkan demo anti-ISA

Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub meminta ahli parti itu tidak "teruja" dengan fatwa yang mengharamkan orang ramai berdemonstrasi menentang akta ISA di Istana Negara, petang esok.

"Kepada ahli PAS, saya minta mereka tidak terpengaruh atau teruja dengan fatwa pihak lain. Bagi PAS, ia satu kewajipan (untuk hadir).

"Dan telah dikeluarkan kenyataan, bahawa kehadiran mereka esok adalah wajib bagi menentang akta yang zalim (ISA), yang telah berkuatkuasa selama 49 tahun," katanya dalam sidang media di ibu pejabat PAS di ibu negara tengah hari tadi.

Salahuddin berkata, kenyataan tersebut telah dikeluarkan oleh pemimpin tertinggi parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Datuk Nik Aziz Nik Mat sendiri.

"Ini saya harap dapat menjawab apa jua tohmahan dan tuduhan. Antaranya, yang menyatakan haram (hukumnya) menyertai perhimpunan ini.

"Ia telah diberikan restu oleh pimpinan PAS, iaitu presiden (Abdul Hadi) dan tok guru mursyidul am (Nik Aziz)," katanya.

Kelmarin, seorang timbalan menteri dan mufti dilaporkan menyifatkan "berdosa" bagi mereka yang terbabit secara langsung dalam perhimpunan itu kerana jelas bertentangan dengan Islam dan boleh mencetuskan ketegangan dan huru-hara.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr Mashitah Ibrahim berkata Islam tidak menggalakkan umatnya menyertai dan menganjurkan majlis yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada masyarakat.

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria pula berkata jika perhimpunan boleh mendatangkan huru-hara, haram bagi mana-mana pihak menyertainya apatah lagi perhimpunan itu tidak mendapat kebenaran pihak berkuasa.

Beliau dipetik berkata, jika undang-undang sudah mengklasifikasikan perhimpunan itu sebagai haram, maka hukumnya menganjur dan menyertai perhimpunan itu adalah haram.

Dalam perkembangan berkaitan, bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin mendesak Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan hukum mengenai akta kontroversi itu merupakan isu besar dan membabitkan kepentingan umat.

Menulis di dalam blognya Rabu lalu, ulama muda itu menuntut pandangan rasmi majlis tersebut sebagai agensi rasmi kerajaan yang supaya menjadi panduan kepada pemerintah.

Menurutnya, sekarang tiba giliran mufti memberikan pandangan kerana banyak pihak telah menyuarakan perkara itu, termasuk beliau sendiri.

September tahun lalu, Dr Asri dilaporkan berkata, “Islam tidak memerlukan ISA untuk membela ajarannya” kerana ia dibina oleh hujah dan dasar yang jelas.

Katanya, menangkap orang menggunakan ISA tidak akan menghilangkan salah faham terhadap Islam. - Malaysiakini

* polis, sprm, harussani...

PM letak kalungan bunga sempena Hari Pahlawan

KUALA LUMPUR 31 Julai - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menghadiri istiadat meletak kalungan bunga sempena sambutan Hari Pahlawan 2009 di Tugu Peringatan Negara di sini.

Turut meletak kalungan bunga dalam istiadat pagi ini ialah Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Abdul Aziz Zainal; Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan; Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Ismail Jamaluddin; Panglima Tentera Laut Laksamana, Tan Sri Abdul Aziz Jaafar dan Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Azizan Ariffin.

Presiden Persatuan Bekas Tentera Malaysia, Senator Datuk Muhammad Abdul Ghani turut meletakkan kalungan bunga di Tugu Peringatan Negara.

Terdahulu Cif Inspektor Mohamed Awang dan ASP Rose Baini Kassim mendeklamasi sajak bertajuk “Pahlawanku” sebaik sahaja tiupan “Last Post” bergema dan bendera Malaysia diturunkan.

Turut hadir ialah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, beberapa menteri kabinet, anggota Parlimen, serta pegawai kanan polis dan tentera.

Hari Pahlawan disambut bagi memperingati mereka yang terkorban demi mempertahankan negara dan majlis kali ini dimulakan malam tadi dengan kehadiran Perdana Menteri ke majlis tahlil dan doa selamat di Masjid Negara di sini.

Hari Pahlawan yang disambut setiap 31 Julai sejak tahun 1960-an memberi peluang kepada rakyat menghargai pengorbanan anggota perajurit yang terkorban demi mempertahankan dan menegakkan kedaulatan negara.

— BERNAMA

* Ramai tunggu fatwa mufti Perak (Harussani)... | Perlis sudah wartakan pengharaman tersebut (link).

Sekatan jalanraya menjelang perhimpunan ISA esok

Polis mengadakan sekatan jalanraya di jalan utama di sekitar Lembang Klang yang menuju ke Kuala Lumpur menjelang dua perhimpunan ISA yang dirancang diadakan esok.

Lalulintas bergerak perlahan di beberapa lokasi apabila jalan-jalan utama kini menjadi satu laluan.

Terdapat dua sekatan jalanraya di Lebuhraya Persekutuan di PJ dan satu lagi di Jalan Tun Razak, berhampiran Hospital Kuala Lumpur.

Dua kumpulan - pro-ISA dan anti-ISA - bertegas untuk meneruskan rancangan mereka mengadakan perhimpunan tersebut, walaupun polis mengarahkan mereka supaya membatalkannya.

Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) akan mengadakan perhimpunan anti-ISA manakala Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris) akan mengadakan perhimpunan pro-ISA.

* Malaysiakini

ADUN Permatang Pasir meninggal dunia

ADUN Permatang Pasir, Mohd Hamdan Abdul Rahman dari PAS meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur pagi ini.

Mohd Hamdan, 60, meninggal dunia akibat sakit jantung pada kira-kira jam 6.30 pagi tadi.

Berikutan itu, Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) perlu mengadakan pilihanraya kecil bagi DUN Permatang Pasir dalam tempoh 60 hari.

Permatang Pasir - salah satu kerusi DUN dalam Parlimen Permatang Pauh yang diwakili Ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim - adalah kerusi DUN tunggal PAS di Pulau Pinang.

Dalam pilihanraya umum lalu, Mohd Hamdan memperolehi 11,004 undi untuk menewaskan calon BN dari Umno, Ahmad Sahar Shuib dengan majoriti 5,433 undi. Ahmad Sahar mendapat 5,571 undi.

Dua bulan lalu, pilihanraya kecil diadakan bagi DUN Penanti - juga dalam parlimen Permatang Pauh - ekoran peletakan jawatan penyandangnya, Fairus Khairuddin.

Pilihanraya kecil itu dimenangi calon PKR, Dr Mansor Othman di mana jumlah pemilih yang keluar mengundi adalah yang terendah dalam sejarah, ekoran Umno tidak meletakkan calonnya bertanding di situ. - Malaysiakini

* Belum habis sedih Umno (habis jutaan ringgit di Manek Urai)

Rentung dalam kereta

CYBERJAYA: Menyayat hati apabila seorang wanita yang cuba menyelamatkan diri keluar dari kenderaannya yang terbakar ditemui rentung selepas gagal berbuat demikian dalam kemalangan berhampiran persimpangan lampu isyarat di Jalan Persiaran Apec, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 8.25 pagi, mayat mangsa, Nurzihanie Shafie, 27, ditemui rentung di pintu kanan tempat duduk belakang dipercayai cuba menyelamatkan diri.

Malah, lebih memilukan mangsa yang bekerja sebagai pembina laman web di sebuah syarikat yang terletak kira-kira dua kilometer dari tempat kejadian itu dikatakan baru habis pantang.

Ketua Trafik Selangor, Superintendan Che Hussin Omar, berkata siasatan mendapati mangsa yang memandu sebuah kereta Proton Gen.2 dari arah Sri Kembangan ke Cyberjaya terbabas ke kiri jalan dan melanggar pokok kelapa sawit sebelum berpusing beberapa kali dan masuk ke laluan sama.

“Pada masa sama sebuah Proton Wira dipandu seorang wanita berusia 30-an gagal mengelak sebelum merempuh kenderaan mangsa.

Akibat perlanggaran itu, kereta dinaiki mangsa terbakar dan orang ramai yang cuba menghulurkan bantuan kepada mangsa gagal,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Satu jentera Bomba dan Penyelamat turut dikejarkan ke lokasi kejadian untuk memadam kebakaran.

Che Hussin berkata, mayat mangsa ditemui di tempat duduk belakang dan pihaknya tidak menolak kemungkinan mangsa cuba menyelamatkan diri sejurus nahas.

“Polis juga tidak menolak kemungkinan kenderaan itu dipandu laju sebelum terbabas berdasarkan beberapa kesan brek di tempat kejadian.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat manakala pemandu Proton Wira dikejarkan ke Subang Jaya Medical Centre (SJMC) kerana trauma akibat kejadian itu,” katanya menambah mangsa tinggal di Seri Kembangan.

Akibat kemalangan itu, kesesakan teruk hampir lima kilometer berikutan kejadian berlaku pada waktu puncak dan orang ramai berpusu-pusu ke tempat kerja.

Sementara itu, dalam kemalangan berasingan kelmarin, Che Hussin berkata, dua lelaki maut manakala seorang lagi parah selepas terbabit kemalangan di Kampung Sungai Buah, Jalan Kajang-Dengkil, Sepang (Jalan Bangi Lama).

Menurutnya, ketika kejadian kira-kira jam 11.30 malam semua mangsa yang juga warga Indonesia berusia 25 tahun dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah tidak jauh dari situ.

“Pemandu kenderaan terbabit dikenali sebagai Andisyah, 25, mati di tempat kejadian, rakannya, Penerangan, 25, mati dalam perjalanan ke hospital, manakala penumpang belakang, Syawal, 25, kritikal dan semua mereka dikejarkan ke Hospital Kajang. - Mymetro

* Berita terdahulu


J/K Sivakumar jatuh hukuman penjara ke atas Ganesan

Jawatankuasa hak dan kebebasan DUN Perak dari Pakatan Rakyat mengesyorkan supaya Speaker BN, Datuk S Ganesan dihukum enam bulan pejara kerana memegang jawatan speaker secara tidak sah sewaktu persidangan DUN Perak pada 7 Mei lalu.

Jawatankuasa tersebut yang dipengerusikan oleh Speaker Pakatan, V Sivakumar, turut mengesyorkan Ganesan didenda RM500,000 atau enam bulan penjara.

Hukuman tersebut hendaklah dilaksanakan sebelum pembubaran DUN, kata jawatankuasa enam anggota itu, yang sekali lagi terpaksa bermesyuarat di sebuah hotel, selepas tidak dibenarkan memasuki bangunan Perak Darul Ridzuan.

"Berkuatkuasa hari ini, Ganesan mesti berhenti bertindak sebagai speaker dan mesti mengosongkan pejabat speaker. Beliau juga mesti menyerah balik kereta rasmi speaker.

"Beliau juga tidak dibenarkan masuk DUN pada bila-bila masa pun," Kata Sivakumar

Sivakumar juga menegaskan bahawa beliau sebagai speaker yang sah, boleh mengarahkan polis mengeluarkan waran tangkap terhadap Ganesan, tetapi "kita tidak akan mengambil tindakan tersebut dan akan menyerahkan kepada DUN untuk memutuskan nasibnya". - Malaysiakini

30 July 2009

Marah Nizar Pegang Lilin. Najib Pula Bagaimana? Apa Komen Pak Mufti ( Harussani )


Baru2 ini, Harussani menaikkan isu Nizar pegang lilin. Saya cabar Harussani untuk memberi komen di atas gambar Najib ini:

- www.malaysiawaves.com

Penyokong Pakatan, MIC bertembung di ibu pejabat MIC


KUALA LUMPUR: Lebih 1,000 penyokong MIC dan Pakatan Rakyat 'bertembung' di luar bangunan Ibu Pejabat MIC di Jalan Rahmat di sini berhubung isu Maika Holdings dan Kg. Buah Pala.

Kedua-duanya menunjukkan 'kekuatan' masing-masing apabila kira-kira 500 penyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR) mula berkumpul di luar bangunan MIC.

Mereka membawa kain rentang tertulis 'perhimpunan demi keadilan kepada pelabur-pelabur Maika Holdings' dan 'pulangkan hak kami'.

Perhimpunan tersebut diketuai Ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam.

Pada pukul 12 tengah hari, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pandamaran, Ronnie Liu tiba di bangunan itu dan bertemu dengan Ketua Pemuda MIC, T Mohan untuk menyerahkan memorandum berkaitan tuntutan Maika Holdings.

Bagi 'melawan' penyokong PKR, kira-kira 700 penyokong MIC turut berhimpun melaungkan 'Pakatan penipu' dan memegang kain rentang tertulis 'Pakatan Rakyat aniaya penduduk Kampung Buah Pala, pulangkan tanah kami, Kampung Buah Pala'.

Ekoran perhimpunan itu, kesesakan lalu lintas teruk selama dua jam berlaku di Jalan Ipoh dan Jalan Tun Razak di sini sejak pukul 11 sehingga polis terpaksa menutup Jalan Ipoh sehingga pukul 1 tengah hari.

Antara pemimpin DAP dan PKR yang turut serta dalam perhimpunan itu adalah Naib Pengerusi DAP, M. Kula Segaran; Timbalan Setiausaha Agung DAP, Prof P. Ramasamy yang juga Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang; Naib Presiden PKR, R. Sivarasa.

Ketika kejadian itu, mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat MIC sedang berlangsung dan dipengerusikan oleh Presiden, Datuk Seri S Samy Vellu.

Anak Samy Vellu, Vell Paari hadir di pekarangan bangunan MIC ketika itu. Isnin lalu, Vell Paari yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Maika Holdings berkata, beliau sedia untuk bertemu dengan sesiapa hari ini untuk menerangkan keadaan sayap pelaburan MIC itu.

Dalam satu sidang media di aras tiga, bangunan MIC, Vell Paari berkata, pihaknya telah menerima memorandum yang diserahkan oleh pemimpin Pakatan Rakyat yang diketuai oleh Ronnie Liu.

“Selepas menyerahkan memorandum saya turut memberi penjelasan kepadanya (Ronnie Liu) mengenai Maika Holdings.

“Dalam memorandum berkenaan mereka (Pakatan Rakyat) telah meminta kami (Maika Holdings) menjelaskan liabiliti (hutang) yang ditanggung oleh Maika Holdings,” katanya kepada pemberita.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zulkarnain Abdul Rahman berkata, perhimpunan itu yang diketuai oleh beberapa pemimpin parti DAP dan PKR bermula pukul 11.30 pagi di sebuah hospital swasta berhampiran Ibu Pejabat MIC sebelum berarak menuju ke bangunan tersebut.

Menurut beliau, untuk mengelakkan berlaku kekecohan dan pergaduhan, polis mengambil tindakan dengan menempatkan beberapa anggota polis dari Unit Simpanan Persekutuan (FRU).

"Polis telah dapat mengawal keadaan dan tiada sebarang kekecohan yang berlaku, serta tiada tangkapan dibuat," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata, polis turut merampas beberapa kain rentang yang dibawa dan menyuraikan perhimpunan itu pukul 1 tengah hari. - Mstar

Omardin nasihat anak murid patuh arahan polis

Mahaguru Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia, Datuk Omardin Mauju menasihatkan semua anak muridnya supaya akur kepada arahan polis supaya tidak menyertai perhimpunan pro-ISA Sabtu ini.

Sebelum ini, persatuan tersebut telah menyatakan sokongannya untuk bersama Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris) yang menganjurkan perhimpunan tersebut, ekoran tindakan Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) menganjurkan perhimpunan anti-ISA pada hari yang sama.

"Polis kata jangan, janganlah...," kata Omardin.

Kelmarin, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Muhammad Sabtu Osman mengarahkan Pewaris dan GMI supaya membatalkan perhimpunan tersebut kerana khuatir ia menimbul ketegangan dan mengganggu keselamatan awam.

Bagaimanapun, Pewaris berkata, pihaknya akan meneruskan perhimpunan tersebut sekiranya GMI masih meneruskan rancangannya itu.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Omardin berkata sekiranya ada di kalangan anak muridnya yang berbuat demikian, maka pertubuhan itu tidak akan bertanggungjawab di atas tindakan mereka.

Sebaliknya, kata beliau, mereka perlu menanggung sendiri akibatnya.

"Maklumlah anak murid saya terlalu ramai... polis halang, kena patuh, akur," katanya sambil meminta semua pihak supaya akur arahan polis itu.

"Saya selaku mahaguru merayu kepada anak murid saya supaya akur dengan keputusan pihak polis (melarang perhimpunan itu)," katanya.

Katanya, jika polis melarang perhimpunan itu diadakan, maka persatuannya akan akur dan tidak akan menyertainya. - Malaysiakini

Perarakan bantah ISA boleh cetus ketegangan

KUALA LUMPUR 30 Julai — Polis bimbang ketegangan akan berlaku di sini Sabtu ini semasa perhimpunan dan perarakan berhubung Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana terdapat unsur provokasi melibatkan kumpulan-kumpulan yang menyokong dan menentang undang-undang itu.

Oleh itu, Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar, mahu penganjur membatalkan hasrat mereka dan mengingatkan orang ramai supaya tidak menyertai perhimpunan itu.

“Walaupun pihak-pihak penganjur menyatakan perhimpunan dan perarakan ini akan diadakan secara aman tetapi kesannya boleh menggugat ketenteraman awam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya terdapat agenda berbeza antara Gabungan Mansuhkan ISA (GMI), yang membantah undang-undang itu, dan Majlis Permuafakatan Ummah (Perwaris) bersama PERKASA, yang mahu ISA dikekalkan.

GMI telah menyeru orang ramai menghadiri perhimpunan dikenali sebagai Perhimpunan 100,000 rakyat di beberapa lokasi antaranya Masjid Jamek, Kompleks Sogo dan Masjid Negara sebelum berarak ke Istana Negara bagi menyerahkan satu memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong mendesak supaya ISA dihapuskan.

Pada masa yang sama, Perwaris dan Perkasa pula merancang mengadakan perhimpunan di Padang Merbok, Pasar Seni dan Masjid Negara bagi menyokong agar ISA dikekalkan.

Ismail berkata polis tidak menerima sebarang permohonan daripada kedua-dua kumpulan terbabit untuk mengadakan perhimpunan dan perarakan itu.

“Mana-mana pihak yang mengadakannya adalah bercanggah dengan undang-undang negara,” katanya.

Beliau berkata perhimpunan dan perarakan itu akan melibatkan ramai peserta dan boleh membawa kesan negatif kepada orang ramai termasuk pelancong, para peniaga dan mengakibatkan kesesakan lalu lintas.

— BERNAMA

* Kumpulan yang hendak buat kemudian adalah yang mempunyai niat untuk melakukan ketegangan.

Kosmo! mohon maaf isu Yasmin

Selepas menerima kecaman keras dan ancaman untuk dipulaukan, Kosmo! hari ini memohon maaf selepas mendedahkan sejarah peribadi pengarah terkenal Yasmin Ahmad yang dianggap mengaibkan.

Harian itu memohon kemaafan daripada keluarga pengarah filem itu, sahabat handainya dan juga pembacanya yang tersinggung akibat pendedahan dalam berita Isnin lalu.

Permohonan maaf itu disiarkan di muka hadapan akhbar terbitan Utusan Melayu (M) Berhad itu dengan judul 'Keluarga Yasmin, Kosmo! Mohon maaf.'

"Laporan bertajuk 'Takdir Yasmin' itu telah menerima pelbagai reaksi. Kosmo! prihatian dengan reaksi-reaksi itu.

"Sebagai sebuah akhbar yang dekat dengan masyarakat, Kosmo! ingin memohon maaf kepada ahli keluarga allahyarham Yasmin, sahabat handai dan para pembaca yang tersinggung dengan penyiaran berita tersebut," laporan tersebut dipetik. - Malaysiakini

* Musim ahkbar mohon maaf...

PERMOHONAN MAAF

Utusan Malaysia memohon maaf kepada YAB Datuk Haji Nik Abdul Aziz bin Haji Nik Mat, Menteri Besar Kelantan di atas kesilapan laporan mengenai kenyataan beliau yang disiarkan dalam Utusan Malaysia pada 15 Jun 2009.
YAB Datuk Haji Nik Abdul Aziz sebenarnya bermaksud bahawa "nasihat beliau tidak semestinya didengar" ketika mengulas mengenai cadangan kerajaan perpaduan pada sidang media itu.
Oleh itu, tajuk atas sebelah kiri, muka surat hadapan Utusan Malaysia pada 15 Jun 2009 iaitu Nasihat saya mesti didengar adalah salah serta bukan menggambarkan apa yang dimaksudkan oleh YAB Datuk Haji Nik Abdul Aziz pada sidang media itu.
Begitu juga fakta berhubung perkara yang sama pada berita penuh mengenai kenyataan beliau itu pada muka surat 7, Utusan Malaysia keluaran 15 Jun 2009, adalah salah.
Utusan Malaysia dengan ini menarik balik dengan sepenuhnya kesilapan tersebut dan secara tulus ikhlas memohon maaf kepada YAB Datuk Haji Nik Abdul Aziz di atas kesilapan yang tidak disengajakan itu dan atas apa jua kedukaan atau pengaiban yang mungkin diakibatkan kepada YAB Datuk Haji Nik Abdul Aziz daripada kesilapan tersebut. - Utusan

Mursyidul Am Pas bukan pejuang Islam sebenar

KUALA LUMPUR 28 Julai - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebagai seorang ulama, Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak seharusnya mengeluarkan kata-kata kesat atau memaki hamun pihak lain.

Katanya, Menteri Besar Kelantan itu seharusnya memberi contoh terbaik kepada ummah dan bukannya memaki hamun dan mengeluarkan kenyataan yang kurang sopan kepada pihak lain.

"Nik Aziz juga tidak sepatutnya melabelkan mana-mana pihak yang tidak sehaluan dengannya sebagai menyimpang dari perjuangan Islam sebenar.

"Ini kerana, Nik Aziz sendiri bukan seorang pejuang Islam sebenar dan tidak bersifat sempurna atau maksum seperti Nabi. Justeru, beliau tidak berhak mengeluarkan kenyataan yang bersifat seolah- olah tidak bertamadun," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ahmad Zahid mengulas kenyataan Nik Aziz yang menyebut ungkapan kurang sopan 'pergi jahanamlah UMNO' ketika diminta mengulas 'salam' kerjasama di antara UMNO dan Pas.

Semalam, Mursyidul Am Pas itu menjelaskan, 'salam' kerjasama yang dihulurkan sebelum ini adalah atas hubungan antara kerajaan Pusat dan negeri yang tiada kaitan sama sekali dengan kesediaan membentuk kerjasama antara Pas dan UMNO.

Menurut Nik Aziz, beliau tetap dengan pendirian menolak sebarang perbincangan atau kerjasama dengan UMNO kerana menganggap parti itu telah menyimpang daripada perjuangan Islam.

Ahmad Zahid menambah, jika Nik Aziz atau kerajaan negeri Kelantan mahu berbaik-baik dengan kerajaan Pusat hanya kerana ada udang di sebalik batu, lebih baik lupakan sahaja hasrat tersebut.

Ini kerana, jelasnya, Nik Aziz sendiri tidak pernah ikhlas untuk menjalin hubungan dengan mana-mana pihak sama ada kerajaan Pusat atau UMNO sendiri.

"Lupakan saja hasrat tersebut," ujarnya. - Utusan


* Siapa beri idea ini... Ehud Barak? link berkaitan

29 July 2009

Semua dijemput ke 'Himpunan Bubar Dun Perak' pada 2 Ogos

KUALA LUMPUR, 29 Julai (Hrkh) - Sempena memperingati kemelut pencabulan demokrasi di Perak, Pemuda PAS Perak akan mengadakan satu program Himpunan Pemuda PAS Perak bertemakan '1 Hitam Perak-Bubarkan Dun Perak'.

Program tersebut akan diadakan pada 2 Ogos, jam 11 pagi sehingga 6 petang di Markas PAS Kawasan Bagan Serai.

Antara pimpinan yang bakal menyampaikan pidato pada sebelah siangnya adalah Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub; Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad; AJK PAS Pusat, Mohamad Sabu dan Dato' Seri Ir Mohamed Nizar Jamaludin.

Kemudian, pada sesi malamnya, terdapat beberapa ceramah yang diadakan di zon-zon tertentu.

Di Zon 1 iaitu sekitar Larut, ceramah akan disampaikan AJK PAS Pusat, Mohamad Sabu; Penolong Setiausaha Pemuda PAS Pusat, Kamaruzaman Mohammad; AJK DPPP, Adram Musa; Salman Saleh, Ustaz Nazri Din serta beberapa Exco Pemuda PAS Perak.

Manakala di Zon 2, Sungai Siput pula, barisan penceramahnya terdiri daripada Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad; Timbalan Ketua DPPP, Ustaz Azman Shapawi; Exco DPPP, Suhaizan Kaiat; Tengku Ahmad Al-Hiss serta Zairul Tambun selain beberapa Exco Pemuda PAS Perak.

Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasrudin Hasan Tantawi pula dijangka menyampaikan ceramah di Zon 3 yakni Lumut bersama exconya yang lain iaitu, Ustaz Kamal Shaari, Tan Sri Zawawi Hassan dan Ustaz Akmal As-Syriyun.

Naib Ketua Pemuda PAS Pusat, Ahmad Sabki Yusof bersama exconya, Khairul Faizi Ahmad Kamil, Ustaz Mohd Nur Amin, Aminudin Lawyer dan ahli parlimen Jerai, Ustaz Firdaus Jaafar di Zon 4 iaitu di Tanjung Malim selain beberapa exco pemuda PAS Perak.

Program ini adalah bertemakan pakaian hitam sebagai tanda era kegelapan pada sistem demokrasi di Perak. - Harakahdaily

DNA siapa di pakaian Teoh?


Inkues berhubung kematian Teoh Beng Hock diberitahu bahawa satu sampel DNA milik lelaki yang tidak dikenali ditemui di bahagian belakang pakaian dan tali pinggang mendiang.

Identiti lelaki itu belum dikenal pasti walaupun contoh sampel DNA daripada 102 individu terbabit telahpun diambil oleh Jabatan Kimia, kata peguam Tan Hock Chuan, yang dilantik membantu mengendalikan inkues bagi pihak kerajaan di hadapan Koroner
Azmil Muntapha Abas.

Tambahnya, lima sampel telah diambil daripada bahagian belakang blazer yang dipakai oleh Teoh pada hari kejadian dan hasil laporan menunjukkan terdapat dua DNA lelaki pada bahan bukti itu, lapor Bernama.


Satu daripada DNA itu dikenal pasti sebagai DNA Teoh, yang berpadanan dengan spesimen darahnya, manakala satu lagi pemilik DNA tidak diketahui.

DNA lelaki misteri itu turut ditemui pada bahagian tali pinggang yang dipakai Teoh, yang bercampur aduk dengan DNA mendiang.

"Sampel daripada 102 individu telah diambil bagi menentukan sama ada DNA mereka ini sepadan dengan DNA yang tidak diketahui itu.

"Laporan bagi 90 individu telah siap, sementara 12 lagi belum diperoleh.

"Saya turut dimaklumkan oleh pegawai penyiasat bahawa terdapat dua orang yang enggan memberikan sampel DNA mereka," Tan dipetik berkata.

Gobind Singh Deo, yang bertindak sebagai peguam pemerhati keluarga Teoh, menggesa pihak pendakwaan supaya memaklumkan kepada mereka sama ada terdapat sampel DNA daripada 90 individu itu yang sepadan dengan DNA lelaki yang tidak diketahui tersebut.

"Inilah salah satu sebab lagi mengapa pihak mahkamah perlu menangguhkan prosiding ini bagi menunggu keputusan penuh laporan DNA," Gobind dilaporkan berkata.

Tan menjawab: "Sama ada terdapat padanan DNA daripada 90 individu ini dengan DNA yang tidak diketahui itu, perkara ini adalah lebih baik diberitahu sendiri oleh pakar kimia nanti."

Teoh (foto, kanan sekali, sebelum ke pejabat SPRM) ditemui mati selepas memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor pada 16 Julai lepas di atas bumbung tingkat 5 Plaza Masalam, Shah Alam, yang menempatkan bangunan suruhanjaya tersebut.

Kematian setiausaha exco kerajaan Selangor Ean Yong Hian Wah, yang menimbulkan pelbagai persoalan, mendorong kerajaan menubuhkan inkues dan suruhanjaya siasatan diraja bagi menentuk kematiannya dan prosedur siasatan SPRM.

Inkues tersebut, bermula hari ini, ditangguhkan ke Rabu depan. - Malaysiakini

* Semakin menimbulkan tanda tanya...

Utusan tarik balik berita Nik Aziz

Utusan Malaysia memohon maaf kepada Datuk Nik Aziz Nik Mat berhubung beritanya bulan lalu yang menyebut menteri besar Kelantan menegaskan "nasihatnya mesti didengar" pemimpin atasan PAS.

Akhbar itu juga menarik balik sepenuhnya berita "Nasihat saya mesti didengar" yang diterbitkan pada 15 Jun lalu berhubung isu kerajaan perpaduan yang menjadi kontroversi besar dalam parti tersebut.

Pada 17 Jun, Nik Aziz yang juga mursyidul am PAS menafikan laporan dan menyifatkannya "satu hasutan untuk mengajak orang ramai membencinya dan parti itu", termasuk menjelang pilihanraya kecil DUN Manek Urai baru-baru ini.

Beliau kemudian mengancam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap akhbar berkenaan.

"Saya nafikan sekeras-kerasnya, penggunaan perkataan 'mesti'... nasihat saya mesti didengar. Ini bukan watak saya, beri nasihat kepada orang lepas itu paksa orang dengar, ia telah disiar dalam Utusan Malaysia, lebih-lebih lagi selepas itu penyiaran artikel yang ditulis seseorang.

"Perkara ini saya telah serahkan kepada peguam untuk ambil tindakan, terpulang kepada peguam apa tindakan seterusnya (sama ada untuk saman)," Nik Aziz dipetik berkata.

Permohonan maaf itu diterbitkan di halaman depan Utusan Malaysia (foto kanan) dan juga di sisi kanan laman web akhbar tersebut hari ini. - Malaysiakini

* Tok Guru Nik Aziz...

Profil DNA lelaki tidak dikenali pada kot beng hock

SHAH ALAM 29 Julai – Inkues Teoh Beng Hock di Mahkamah Majistret di sini hari ini diberitahu ujian makmal asid dioksiribonukleik (DNA) yang diterima menunjukkan terdapat DNA profil lelaki yang tidak dikenali di luar kot yang dipakai oleh mangsa.

Peguam yang mewakili Kerajaan Persekutuan, Tan Hock Chuan ketika sepintas lalu membentangkan laporan itu berkata, tiga DNA profil di tali pinggang pula mendapati salah satu daripadanya sepadan dengan DNA profil lelaki yang tidak dikenali itu.

Prosiding inkues siasatan kematian Beng Hock itu bagaimanapun ditangguhkan sehingga 5 Ogos ini bagi memberi peluang kepada peguam pemerhati bagi pihak keluarga mendiang membuat persediaan dan meneliti dokumen yang diperlukan.

- Utusan

* Sudah padankan dgn DNA pegawai SPRM?

Inkues Teoh Beng Hock ditangguh

SHAH ALAM 29 Julai – Mahkamah Majistret di sini membenarkan prosiding inkues siasatan kematian Teoh Beng Hock ditangguhkan sehingga 5 Ogos ini bagi memberi peluang kepada peguam pemerhati bagi pihak keluarga mendiang membuat persediaan dan meneliti dokumen yang diperlukan.

Keputusan dibuat Koroner Azmil Muntapha Abas.

Seramai 98 saksi telah disapina melainkan ahli kimia dan patologi.

Terdahulu peguam Gobind Singh Deo memaklumkan mahkamah bahawa keluarga mendiang hadir sebagai saksi di mahkamah hari ini dalam keadaan protes kerana mereka berasakan bahawa siasatan bagi menentukan sebab kematian boleh didengar dan ditentukan oleh suruhanjaya diraja yang bakal didengar tidak lama lagi.

- Utusan

Isteri suspek sahkan identiti Noordin Mat Top

JAKARTA - Seorang wanita yang ditangkap polis Indonesia berhubung serangan bom di ibu kota Jakarta, Arina Rahmah mengenal pasti suaminya sebagai suspek pengganas, Noordin Mat Top, kata peguamnya semalam.

Arina, 25, adalah antara suspek yang ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung letupan bom di hotel JW Marriott dan Ritz-Carlton di Jakarta pada 17 Julai lalu.

"Polis menunjukkan foto Noordin dan dia (Arina) memberitahu mereka bahawa suspek adalah mirip suaminya, Abdul Halim," kata Asludin Hatjani.

Menurutnya, anak guamnya itu mengaku melihat suaminya buat kali terakhir pada Mac tahun ini.

Polis sangat mengharapkan maklumat daripada Arina dalam usaha mengesan pergerakan dan tingkah laku Noordin yang kini menjadi antara lelaki paling dikehendaki di Asia.

Pasukan keselamatan Indonesia percaya bahawa Noordin dan jaringan di belakangnya adalah dalang yang merancang dua serangan maut baru-baru ini walaupun tiada mana-mana kumpulan mengaku bertanggungjawab.

Noordin turut disyaki terlibat dalam serangan berani mati di hotel JW Marriott pada 2003, Kedutaan Australia (2004) dan restoran di Bali (2005).

Semua serangan itu menyebabkan 42 orang maut dengan kebanyakan mangsa adalah warga Indonesia manakala beratus-ratus mangsa lagi cedera. - Sinar Harian

Dr Asri: Majlis Fatwa Kebangsaan perlu keluarkan fatwa mengenai ISA

PETALING JAYA: Mantan Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin hari ini menggesa agar Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan fatwa mengenai ISA.

Ini adalah kerana, menurut beliau, isu ini telah berulang kali diminta oleh Umat Islam agar dilihat di sudut agama.

"Namun fatwa itu hendaklah adil, bebas dari keterikatan dengan mana-mana pihak, dibahaskan secara saksama dengan kehadiran pakar perundangan, pihak berkuasa dan mangsa.

"Juga ahli-ahli politik yang bersetuju dan yang membantah perlu dijemput memberikan pandangan," kata Dr Asri melalui sebuah kiriman emel dari Lampeter, United Kingdom.

Katanya lagi, penilaian adil perlu untuk panduan kerajaan.

"Malanglah jika isu-isu pinggiran dibincangkan sedangkan isu-isu besar yang membabitkan kepentingan umat ditinggalkan. Majlis Fatwa Kebangsaan menggunakan wang awam, maka pastikan faedahnya balik kepada awam secara jelas. Mesyuarat yang biasanya berlangsung di hotel-hotel yang hebat itu perlu mengeluarkan pandangan-pandangan yang hebat untuk kemaslahatan umum," kata tokoh agama yang sering melontarkan pandangannya tentang isu agama dan semasa.

Jelasnya lagi, hari ini rakyat memberi berbagai pendapat tentang ISA.

Dua kumpulan iaitu Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) iaitu (anti-ISA) dan Majlis Gabungan NGO Pembela Negara (Magaran) - (Pro-ISA), masing-masing bercadang mengadakan perhimpunan menyokong dan membantah ISA pada hari Sabtu ini, 1 Ogos di ibu negara.

GMI bercadang untuk mengadakan perhimpunan membantah ISA pada 1 Ogos ini dan pada masa yang sama, Magaran yang dianggotai Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris), Perkasa dan beberapa badan-badan gabungannya turut bercadang untuk mengadakan perhimpunan menyokong akta itu. Jika kedua kumpulan inimeneruskan hasrat mereka, masing-masing menyasarkan penyertaan 100,000 orang pada perhimpunan yang dijadualkan berlangsung di Masjid Jamek, Kompleks Sogo dan Masjid Negara sebelum berarak ke Istana Negara untuk menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong bagi meminta campur tangan baginda mendesak kerajaan memansuhkan ISA.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman menyifatkan kedua-dua perhimpunan itu yang masing-masing membantah dan menyokong Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sebagai perhimpunan haram kerana pihak polis tidak mengeluarkan sebarang permit untuk tujuan itu atas sebab keselamatan dan ketenteraman awam.

Melihat perkembangan yang tidak sihat ini, Dr Asri terpanggil untuk memberi pandangan beliau tentang isu ISA ini.

Katanya lagi, "Berikan pandangan para mufti pula. Masakan mungkin mereka tidak peka, sedangkan semua rakyat berbicara. Saya secara peribadi semasa menjadi mufti telah mengeluarkan pandangan dalam bulan Ramadhan lepas di Perlis, Kelantan, Kuala Lumpur dan berbagai tempat.

"Media tempatan telah berulang kali menyiarkannya. Kali ini kita menuntut pandangan rasmi agensi agama kerajaan pusat pula," kata Dr Asri yang dijangka kembali ke tanah air tidak lama lagi setelah setahun membuat pengajian mendalam tentang hadith di UK.

- Mstar

Inkues kematian Teoh mula pagi ini


SHAH ALAM: Prosiding inkues Teoh Beng Hock, setiausaha politik seorang ahli exco kerajaan Selangor bermula pada pukul 9. 15 pagi ini di Mahkamah Majistret di sini.

BERITA TERDAHULU

SHAH ALAM: Prosiding inkues Teoh Beng Hock, setiausaha politik seorang ahli exco kerajaan Selangor bermula pagi ini di Mahkamah Majistret di sini.

Teoh, 30, ditemui mati terjatuh dari bangunan Plaza Masalam yang menempatkan pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor di sini, 16 Julai lalu selepas dia dipanggil memberi keterangan dalam siasatan penyalahgunaan wang kerajaan Selangor.

Kes yang dijangka mengambil masa 15 hari ini didengar oleh Koroner Azmil Muntapha Abas.

Seramai 77 saksi akan dipanggil memberi keterangan termasuk 28 pegawai SPRM, ahli kimia dan patologi serta beberapa teman rapat Teoh.

Keluarga Teoh akan diwakili peguam Gobind Singh Deo dan Karpal Singh. - Mstar

Peguam, petugas media masuki bilik perbicaraan

SHAH ALAM 29 Julai - Para petugas media dibenarkan masuk pada pukul 8.30 pagi tadi ke bilik perbicaraan yang dilengkapi skrin layar besar agar mudah dilihat oleh semua pihak di dalam mahkamah.

Peguam Malik Imtiaz Sarwar mewakili Kerajaan Negeri Selangor.

Timbalan Pendakwa Raya Idham Abdul Ghani akan mengendalikan inkues.

Hakim kanan Mahkamah Sesyen Shah Alam M. Gunalan turut mengikuti prosiding inkues yang dijangka bermula pada pukul 9 pagi.

Majlis Peguam Selangor di wakili peguam Salim Bashir dan Rajpal Singh.

Presiden Majlis Peguam K.Ragunath hadir bersama 12 peguam pemerhati untuk Majlis Peguam.

Peguam Gobind Singh Deo dan S. Nair hadir sebagai peguam pemerhati pihak keluarga mendiang Teoh Beng Hock, peguam Hisyham Teh Poh Teik sebagai peguam pemerhati untuk Majlis Peguam Malaysia. - Utusan

Ahli keluarga Beng Hock, saksi tiba di mahkamah

SHAH ALAM 29 Julai - Ahli keluarga mendiang Teoh Beng Hock tiba di Mahkamah Majistret Shah Alam pukul 8.05 pagi tadi.

Saksi-saksi termasuk seorang wartawan The Star, Christina Tan dan beberapa wartawan akhbar Cina telah melaporkan kehadiran di bilik saksi.

- Utusan

Inkues Beng Hock bermula

Shah Alam 29 Julai - Para petugas media dari pelbagai organisasi telah beratur seawal pukul 6.30 pagi di depan pintu Mahkamah Majistret 5 Shah Alam yang akan mendengar prosiding inkues untuk mengetahui sebab kematian Teoh Beng Hock yang dijangka bermula pada pukul 9.30 pagi ini.

Pas-pas untuk masuk mendengar prosiding inkues tersebut telah diedarkan kepada pihak media pada pukul 7.45 pagi tadi.

- Utusan

Pakatan Rakyat mesyuarat bincang perkasakan sekretariat dan isu desak Musa Hassan diganti

KUALA LUMPUR, 28 Julai (Hrkh) - Pakatan Rakyat hari ini mengadakan mesyuarat khasnya bagi membincangkan beberapa pendekatan, pembaharuan berhubung pakatan selain isu-isu semasa membabitkan politik negara.

Mesyuarat yang diadakan di Parlimen bermula jam 2.30 petang itu telah menetapkan beberapa perkara yang disetujui bersama kepimpinan bagi memantapkan organisasi dan sekretariat pakatan.

Antaranya melantik wakil setiap parti bagi urusan Sekretariat Pakatan Rakyat dan Whip Parlimen bagi memudah dan melicinkan perjalanan parti-parti dalam pakatan selepas ini.

Demikian kata Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim dalam sidang media bersama Pakatan Rakyat di Parlimen sejurus selepas majlis mesyuarat.

Turut hadir ialah, Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang; Presiden KeADILan, Dato' Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Penasihat DAP, Lim Kit Siang; Naib-Naib Presiden PAS, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man, Salahuddin Ayob dan Dato' Mahfuz Omar; Setiausaha Agung PAS, Dato' Mustafa Ali; Naib Presiden KeADILan, Azmin Ali dan Lee Boon Chai; Ketua Pemuda PAS, Ustaz Nasrudin Hassan; Ketua Muslimat PAS, Ustazah Nuridah Salleh; Ketua Wanita KeADILan, Zuraida Kamarudin; Ketua Penerangan PAS dan KeADILan, Ustaz Idris Ahmad dan Latheefa Koya serta bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Zaid Ibrahim.

Dalam sidang media selepas mesyuarat di Bilik Jawatankuasa 1 bangunan Parlimen, Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim mengumumkan, bagi urusan sekretariat PR, semua paryi bersetuju PAS diwakili Naib Presidennya, Salahuddin Ayob sementara DAP, Anthony Loke Siew Fook dan KeADILan oleh, Dato' Zaid Ibrahim.

Sementara bagi ketua-ketua Whip Parlimen pula, PAS diwakili Timbalan Presiden, Ustaz Nasharudin Mat Isa sementara KeADILan diwakili, Azmin Ali dan DAP diwakili, Dr Tan Seng Giaw.

Dalam masa yang sama, ketua-ketua pemuda, muslimat dan ketua penerangan setiap parti pula akan memantapkan sekretariat bagi persoalan-persoalan dasar parti selain peranan strategik, katanya.

Pakatan Rakyat juga bersetuju akan mengadakan satu kursus kepimpinan pada 13 Ogos ini bagi menyediakan kepimpinan yang benar-benar mantap dan berwibawa dalam memimpin pakatan menjelang pilihan raya ke-13.

Pakatan juga dalam mesyuarat yang sama telah mengambil ketetapan dalam isu berhubung kematian Setiausaha Politik Exco Selangor, Teoh Beng Hock yang perlu disiasat penuh oleh Suruhanjaya Diraja dan bukannya inkues.

Pakatan akan menemui Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak bagi menggesa kerajaan memberikan kuasa penuh kepada suruhanjaya menyiasat punca kematian Teoh, ujarnya.

Selain itu pakatan juga mendesak agar kerajaan tidak melanjutkan khidmat Tan Sri Musa Hassan selaku Ketua Polis Negara atas alasan KPN gagal dalam membanteras jenayah yang membarah di negara ini.

Sementara itu, Presiden PAS turut memaklumkan PAS konsisten menuntut suruhanjaya menyiasat penuh kematian Teoh.

Islam sendiri ujarnya mengajar agar berlaku adil kepada mana-mana pihak tanpa membezakan bangsa atau warna kulit, dan sebab itu PAS mendesak siasatan secara dil dan telus dilaksanakan dalam kes Teoh. - Harakahdaily

* Di US, jika berlaku satu kemalangan kecil sahaja, mereka perlu menghubungi polis, sebelum polis menentukan apa yang perlu dilakukan bagi menyelesaikan masalah keduanya. Polis akan datang dalam masa yang sangat cepat bagi menjaga masalah masyarakat.

Kongsi gelap taja YB?


KUALA LUMPUR 28 Julai – Seorang penganalisis jenayah tidak menolak kemungkinan terdapat segelintir wakil rakyat ditaja oleh kumpulan-kumpulan kongsi gelap tertentu untuk menghalalkan kegiatan haram di kawasan mereka.

Hasil analisis dan pemerhatian pihaknya mendapati, banyak kegiatan haram antaranya pusat judi, hiburan, spa dan pelacuran tumbuh di kawasan terlibat selepas wakil rakyat berkenaan memenangi pilihan raya.

Menurut Kamal Affandi Hashim, tindakan wakil rakyat itu yang menghalalkan kegiatan haram di kawasannya dianggap sebagai membalas jasa golongan berkenaan.

“Berdasarkan analisis dan kajian saya, sebaik sahaja segelintir wakil rakyat ini dipilih menjadi wakil rakyat, muncul pusat-pusat perjudian, hiburan dan pelacuran yang tumbuh seperti cendawan selepas hujan,” dakwanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Baru-baru ini, pelbagai pihak menggesa supaya operasi besar-besaran dijalankan untuk menggempur dan melumpuhkan kegiatan kongsi gelap yang semakin berleluasa khususnya di sekitar Lembah Klang.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali sebelum ini berkata, kegiatan kongsi gelap yang melindungi pusat-pusat hiburan, perjudian dan pelacuran memang sudah lama wujud di negara ini.

Dalam pada itu, Kamal Affandi berkata, wakil rakyat sedemikian hanyalah pemimpin boneka yang dibayangi kumpulan kongsi gelap terbabit kerana perbelanjaan sewaktu berkempen ditaja dan diri mereka dilindungi kumpulan itu.

Jelas beliau, kumpulan kongsi gelap terbabit perlu dibanteras habis-habisan kerana ia turut menyumbang kepada jenayah perkauman, khususnya apabila mereka terlibat dalam pertubuhan atau komuniti tertentu.

Sehubungan itu, katanya, kebimbangan utama kini ialah apabila rakyat gagal menilai siapa pemimpin yang mereka pilih bagi membawa keamanan dan pembangunan setempat.

“Segelintir rakyat kini dilanda masalah iaitu gagal membuat telahan yang tepat untuk memilih pemimpin yang bersih,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Muhammad Sabtu Osman ketika diminta mengulas fenomena kongsi gelap di Kuala Lumpur memberitahu, jenayah itu masih berada dalam keadaan terkawal dan tidak membimbangkan.

Katanya, kumpulan kongsi gelap di ibu negara tidak bergiat secara aktif dan pihaknya sentiasa memantau dan berjaga-jaga mengenai jenayah itu.

Tegas beliau, jika kumpulan berkenaan dilihat mengganggu dan menimbulkan kekacauan kepada keselamatan orang awam, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan.

“Kita memang menyedari terdapat beberapa kumpulan kongsi gelap di sekitar Kuala Lumpur, tapi saya tidak boleh mengulas lanjut mengenainya,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini. - Utusan

* Yang tabur duit masa pilihanraya, YB UmnoBN...

Nik Aziz dianggap bukan tuan guru tulen


KUALA LUMPUR: Beberapa pemimpin Umno amat kesal dengan kenyataan "pergi jahanamlah Umno" oleh Mursyidul Am Pas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kerana ia datang daripada seorang pemimpin politik bertaraf ulama dan seorang tuan guru.

Yang lebih mereka kesalkan dan sedih ialah penolakan bulat-bulat Nik Abdul Aziz kepada usaha untuk berbaik-baik dengan Umno yang bagi mereka menunjukkan kesombongan dan sifat keterlaluan Menteri Besar Kelantan itu.

Oleh itu, mereka mahu Umno agar tidak beria-ia untuk bekerjasama dengan Pas kerana beranggapan bahawa semua ucapan Nik Abdul Aziz berhubung soal hendak berbaik-baik dengan kerajaan pusat hanyalah satu lakonan semata-mata.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata Nik Abdul Aziz tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan "Pergi Jahanamlah Umno" kerana beliau merupakan seorang yang dianggap bertaraf ulama.

"Saya sebagai orang biasapun tidak sanggup mengeluarkan kata-kata itu, apatah lagi beliau seorang pemimpin tinggi parti politik yang disebut-sebut sebagai ulama," katanya kepada pemberita di Kota Baharu hari ini.

Awang Adek yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata walaupun dikeji, bagi pihak Umno, beliau sedia untuk berbaik-baik dengan Pas.

"Bagi pihak parti, kita (Umno) dari awal hingga akhir sentiasa bersedia kalau nak berbaik-baik, nak berbincang. Tapi kalau sebelah sana bukan saja tak bersedia, bukan saja mempermain dan mempersendakan kita, sekali boleh, sekali tak boleh...payahlah kita (hendak beri kerjasama).

"Kita orang Melayu dan beragama Islam, bermaruah, berbudaya, perlu membuat contoh yang elok," kata Awang Adek.

Di KUALA LUMPUR, Ketua Umno Bahagian Cheras Datuk Wira Syed Ali Alhabshee pula mengingatkan parti itu agar jangan beria-ia dengan cadangan mengenai kerjasama kerajaan pusat dan kerajaan negeri Kelantan.

"Kita sambut baik cadangan itu jika atas nama persaudaraan Islam, tetapi lakonan politik Nik Abdul Aziz sebelum ini menyebabkan kita perlu berhati-hati. Kita perlu berwaspada dengan kenyataan Nik Abdul Aziz kerana beliau merupakan pemain politik yang licik," katanya.

Setiausaha Agung Badan Bertindak Perpaduan Melayu, Hasan Hamzah, berkata sebagai seorang yang dihormati dan diberi kepercayaan oleh masyarakat Melayu, Nik Abdul Aziz sepatutnya tidak boleh mengucapkan perkataan yang bersifat keterlaluan.

"Nik Abdul Aziz bukan tuan guru yang tulen. Kalau beliau boleh keluarkan perkataan 'Pergi Jahanamlah Umno', kita juga boleh kata 'Pergi Jahanamlah Pas'," katanya.

Ketua Puteri Umno Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berharap Umno tidak terlalu teruja dengan bentuk kerjasama yang dikemukakan oleh pemimpin Pas malah mereka perlu berhati-hati kerana Pas mempunyai agenda yang tersembunyi. - BERNAMA

* Tuan guru tulen itu adalah apabila pemerintah buat zalim dia hanya mendiamkan diri sahaja. (Dalam Umno ada 'tuan guru'?)

Inkues kematian Teoh bermula esok


KUALA LUMPUR: Prosiding inkues Teoh Beng Hock, setiausaha politik seorang anggota exco kerajaan Selangor, akan bermula esok di Mahkamah Shah Alam bagi mengetahui punca kematiannya.

Teoh, 30, ditemui mati terjatuh dari bangunan yang menempatkan pejabat Surhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) cawangan Selangor di Shah Alam, selepas dia dipanggil memberi keterangan dalam siasatan dakwaan penyalahgunaan wang kerajaan negeri Selangor. Peguam Gobind Singh Deo, bagi pihak keluarga Teoh, ketika dihubungi Bernama berkata, pihaknya akan mengemukakan permohonan bagi mendapatkan beberapa dokumen termasuk laporan bedah siasat sebelum prosiding inkues bermula.

Keterangan dari 77 saksi yang dipanggil akan menjadi tumpuan. Koroner Azmil Muntapha Abas dijangka mendengar kes itu selama 15 hari.Antara yang dijangka dipanggil ialah 28 pegawai SPRM, ahli kimia dan patologi serta beberapa teman rapat Teoh.

Teoh, setiausaha politik kepada Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kampung Baru dan Pengurusan Kilang Haram Selangor, Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai lalu di tingkat lima Plaza Masalam di sini, selepas memberi keterangan sebagai saksi siasatan penyalahgunaan wang kerajaan negeri Selangor kepada SPRM Selangor yang berpejabat di plaza itu.

Pada 22 Julai lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan satu inkues yang diketuai oleh seorang majistret akan dijalankan bagi menentukan punca kematian Teoh.

Seksyen 337 Kanun Acara Jenayah memperuntukkan kuasa kepada koroner untuk menyiasat bila, di mana dan bagaimana seseorang itu mati, dan sama ada mana-mana orang terlibat secara jenayah yang menyebabkan kematian itu.

Selain Gobind, keluarga Teoh turut diwakili peguam Karpal Singh, manakala peguam Malik Imtiaz Sarwar akan bertindak sebagai peguam pemerhati bagi kerajaan negeri Selangor.

Pejabat Peguam Negara masih merahsiakan siapa yang akan mengendalikan kes itu tetapi dipercayai ia dibarisi beberapa Timbalan Pendakwa Raya berpengalaman.

Tinjauan Bernama di Mahkamah Majistret 5 Shah Alam hari ini mendapati beberapa petugas sedang sibuk membuat persiapan memasang tiga skrin untuk memaparkan segala keterangan yang direkod sepanjang prosiding inkues itu nanti. Para petugas media dijangka berada di mahkamah seawal 6 pagi esok bagi mendapat tempat duduk di galeri awam memandangkan ruang mahkamah itu hanya mampu menampung sekitar 60 orang.

Di SHAH ALAM, Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar berkata walaupun inkues itu bermula esok, polis masih mengalualukan maklumat tambahan yang boleh membantu siasatan kes itu.

Buat masa ini, kes itu diklasifikasikan sebagai kematian mengejut tetapi ia boleh dipinda jika ada penemuan baru, katanya kepada pemberita. - BERNAMA

Inkues Teoh mungkin ditangguh

Inkues kematian Teoh Beng Hock mungkin ditangguhkan kerana peguam yang mewakili keluarganya mahu membuat permohonan supaya dokumen-dokumen berhubung siasatan kes tersebut, turut diserahkan kepada mereka.

Inkues tersebut dijadual bermula di Mahkamah Sesyen Shah Alam esok sehingga 12 Ogos depan. Ia akan didengar oleh Timbalan Pendaftar, Azmil Muntapha Abas, yang dilantik sebagai koroner.

Selain permohonan tersebut, peguam keluarga Teoh - Gobind Singh Deo - yang menulis dalam blognya - juga meminta Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail supaya menangguhkan inkues tersebut sehingga siasatan polis terhadap kematian Teoh selesai sepenuhnya.

Katanya, menurut kenyataan Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar bahawa siasatan polis terhadap kes tersebut lebih kurang sudah siap.

Gobinda berkata, beberapa laporan seperti laporan pakar pathologi juga belum diterima oleh pihak polis.

Di samping itu, katanya, pihak polis juga telah menghubungi beberapa saksi untuk memberi keterangan dalam inkues tersebut dan akan menyediakan contoh DNA.

Katanya, semua itu akan memberi kesan besar terhadap kes tersebut.

Oleh itu, tegas Gobind, sehingga elemen-elemen penting telah disiapkan, maka peguam negara tidak seharusnya menekankan supaya inkues itu diadakan. - Malaysiakini

PM temui keluarga Teoh Beng Hock

PUTRAJAYA 28 Julai - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menemui anggota keluarga mendiang Teoh Beng Hock di Pejabat Perdana Menteri di sini.

Pada pertemuan itu, atas undangan Perdana Menteri, Najib sekali lagi menyampaikan takziah kepada bapa Beng Hock, Teoh Leong Hwee; emaknya, Teng Shuw Hor; abangnya, Beng Kee; adik perempuannya, Lee Lan dan juga tunangnya, Soh Cher Wei.

Najib memberitahu keluarga Beng Hock bahawa beliau dan semua anggota Kabinet memandang berat kejadian yang menimpanya.

“Apa saja yang perlu akan dilakukan untuk mengenal pasti punca kejadian, dan jika ada sebarang salah laku, tindakan pasti akan diambil,” kata Perdana Menteri kepada keluarga Teoh pada pertemuan selama 30 minit itu yang bermula sekitar 7.30 malam. - Bernama

* Bagus...

Pakatan Rakyat guna strategi psikologi bertentangan

MUNYONYO (Uganda) 28 Julai - Pakatan Rakyat cuba melakukan strategi psikologi bertentangan apabila pemimpinnya mengatakan bahawa pakatan itu tidak akan berpecah walaupun ada tekanan daripada Barisan Nasional (BN), kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Mereka cuba menutup dengan mengatakan bahawa tidak ada masalah tetapi anda boleh lihat apa yang berlaku di Pulau Pinang, Kedah dan Selangor,” katanya kepada wartawan Malaysia yang membuat liputan Dialog Perkongsian Pintar Global ke-19 di sini Selasa.

Menurut beliau, ada perbezaan serius antara mereka dalam aspek ideologi dan peraturan kerja berkaitan banyak isu.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng di Singapura bahawa pakatan itu tidak akan berpecah sungguhpun semakin tertekan yang kini menjadi tumpuan. - Bernama

* Perbezaan ada, persamaan adalah UmnoBN perlu ditumbangkan dalam pilihanraya ke-13 nanti.

Tindakan tegas jika ahli keluar kenyataan berbau fitnah

KUALA LUMPUR 28 Julai - Ahli MCA yang membuat kenyataan yang boleh menjejaskan imej parti atau mengriktik kepimpinannya dalam ucapan, blog atau menerusi akhbar akan dikenakan tindakan disiplin.

Setiausaha Agung MCA, Datuk Wong Foon Meng berkata, langkah itu diputuskan pada mesyuarat majlis presiden di sini hari ini.

Katanya, beliau telah diberi mandat untuk memantau sebarang kenyataan berbau fitnah yang dibuat oleh ahli menerusi pelbagai saluran media dan mereka yang melanggar peraturan itu akan dihadapkan ke Jawatankuasa Disiplin. - Bernama

* Ahli dah kurang banyak ni macamana...

28 July 2009

ADUN BN buat laporan polis terhadap Sivakumar


IPOH 28 Julai - Empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) hari ini membuat laporan polis terhadap bekas Speaker yang juga ADUN Tronoh, V. Sivakumar kerana menggunakan kepala surat rasmi Yang Dipertua Dewan Negeri Perak.

Pengerusi Kelab Penyokong BN, Datuk Nadzri Ismail berkata, tindakan Sivakumar melakukan perbuatan itu adalah kesalahan yang serius dan berunsur jenayah.

“Kami menggesa pihak berkuasa menyiasat dan seterusnya mengambil tindakan segera bagi membendung salah laku seperti ini... seperti biasa Sivakumar dan gerombolan daripada pakatan pembangkang bertindak mengikut ’undang-undang rimba’.

“Mereka telah mengenepikan proses bertamadun dan tindakannya itu adalah satu tindakan ’penyamaran’ yang merupakan perlakuan jenayah,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.

Nadzri yang juga ADUN Manjoi berkata, Sivakumar tidak mempunyai sebarang hak untuk memanggil mana-mana individu ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan kerana beliau bukan lagi Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dan bukan juga pengerusi jawatankuasa berkenaan. - BERNAMA

* 'Pergi jahanamlah UMNO' - Nik Aziz

Hayat UMNO Semakin Lama Semakin Pendek


KEMAMAN – UMNO dan Barisan Nasional (BN) terus menggunakan kuasa kerajaan dan polis untuk menghalang rakyat menegakkan kebenaran.

Tindakan terbaru UMNO/BN negeri Perak menghalang Speaker Dewan Undangan Negeri Perak yang masih sah, V. Sivakumar menjalankan hak dan tanggungjawab menjadikan hayat UMNO/BN semakin lama semakin pendek.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Serong, Khalil Idham Lim berkata tindakan yang tidak mengikut lunas demokrasi itu menyebabkan seluruh rakyat menjadi semakin gelisah.

Katanya, malang sekali lagi kepada seluruh rakyat Perak kerana para ADUN dihalang untuk masuk ke dalam bangunan pentadbiran negeri Perak.

”Di(negeri) Perak hari ini, sekali lagi malang berlaku keatas rakyat Perak (kerana) ADUN-ADUN dihalang untuk masuk (dan) menjalankan mesyuarat di dalam bangunan

”(Bangunan SUK) bukan hak milik UMNO, ia adalah hak rakyat,”katanya ketika berucap dalam majlis penerangan anjuran MTD Chukai, di Taman Islam, disini semalam.

Menurutnya, semalam (27 Julai) V.Sivakumar sebagai Speaker telah memanggil satu mesyuarat Jawatankuasa Hak dan kebebasan Dewan.

Katanya, tujuan mesyuarat tersebut adalah memanggil Ganesan, speaker haram yang dilantik UMNO/BN Perak bagi memberikan alasan mengapakah beliau hadir dalam Sidang DUN yang telah mencetuskan kekecohan pada 7 Mei lalu.

“Dengan Speaker yang masih sah, buat keputusan memanggil Ganesan Speaker Haram, untuk hadir dihadapan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan untuk memberikan alasan,

”apa alasan Ganesan yang boleh diterima beliau sebagai speaker yang sah, apakah sebab Ganesan masuk kedalam DUN Perak sedangkan beliau orang awam,

”apakah alasan Ganesan yang boleh dterima, yang melayakkan Ganesan menggunakan segala kemudahan Speaker DUN Perak dan menikmati gaji sebagai speaker,”tegas Khalil yang juga Ketua Penerangan PAS Perak.

Katanya, tindakan tidak membenarkan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan menjalankan mesyuarat menggambar UMNO dan BN dalam keadaan nazak dan berada di penghujung hayatnya.

”Inilah langkah-langkah yang menyebabkan hayat UMNO semakin lama semakin pendek, akhir sekali (apabila) UMNO mati kita (akan) kuburkan sebagai satu sejarah,

”langkah mereka buat kerja tak betul menyebabkan seluruh rakyat susah hati dan semakin benci,”katanya.

Turut hadir dan berucap dalam majlis penerangan diatas adalah Ketua Dewan Pemuda Terengganu Ustaz Mohd Noor Hamzah dan Penolong Setiusaha PAS Terengganu, Haji Hanafiah Mat@Ramly - Buletinonline

* Kerana terdesak, UmnoBN sanggup lakukan apa sahaja...

Polis beri amaran batalkan perhimpunan ISA

Polis memberi amaran tegas terhadap pihak pro dan anti-ISA supaya membatalkan rancangan mereka untuk mengadakan perhimpunan Sabtu ini.

Ketika memberi amaran tersebut, Ketua Polis Kuala Lumpur, , Datuk Muhammad Sabtu Osman (kiri) berkata, perhimpunan itu dikhuatiri menimbulkan ketegangan dan mengancam keselamatan awam.

Menurutnya, polis telah memanggil Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris) semalam untuk memaklumkan mengenai arahan tersebut kepada mereka.

Manakala polis juga, katanya, akan bertemu dengan Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) petang esok untuk memaklumkan perkara yang sama.

Polis juga, katanya, akan mengadakan sekatan jalanraya dua hari lebih awal dan akan menahan bas-bas disyaki membawa pesertai ke perhimpunan itu.

Sebelum ini, Pewaris dan sepuluh lagi NGO Melayu yang pro-ISA, merancang berdemonstrasi Sabtu ini di ibu negara, serentak dengan perhimpunan besar anjuran Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) dan pakatan pembangkang.

Bercakap dalam satu sidang akhbar di ibupejabat polis kontinjen Kuala Lumpur petang ini, Datuk Muhammad Sabtu berkata polis mengkelaskannya sebagai satu perhimpunan haram di bawah Seksyen 27 (5) Akta Polis 1967.


Polis juga, tegasnya, akan mengambil tindakan mengikut Seksyen 141 Kanun Keseksaan atau undang-undang lain sekiranya ada pihak yang mengambil bahagian dalam perhimpunan tersebut.

Menurutnya, pihak polis telah bersedia dengan kekuatannya untuk memfokuskan kepada perhimpunan itu jika diadakan juga.

"Polis akan mengambil tindakan berhemah, kecuali tidak ada cara lain. Polis tidak ingin melihat berlakunya kecederaan, luka atau dalam keadaan yang terdesak," tegas Datuk Muhammad Sabtu.

Ditanya sama ada polis akan membuat tangkapan awal bagi mengelak perhimpunan tersebut, beliau berkata:

"Sebagai langkah pencegahan, polis boleh mangambil tindakan awal mengikut Seksyen 105, Kanun Acara Jenayah, jika nampak niat, pergerakan walaupun sehari sebelumnya," katanya. - Malaysiakini

* Kuda tunggangan yang baik...

Korban ketiga H1N1

Seorang lelaki rakyat Malaysia berumur 42 tahun mati akibat Influenza A (H1N1) petang semalam, menjadikannya mangsa ketiga yang meninggal dunia akibat pandemik itu di Malaysia setakat ini.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata lelaki itu disahkan menghidap Influenza A (H1N1) Khamis lalu.

"Kes itu yang mengalami pelbagai komplikasi telah meninggal dunia pada 27 Julai jam 4.40 petang disebabkan pneumonia yang serius dengan kegagalan beberapa organ setelah 10 hari mendapat rawatan," katanya kepada pemberita di Putrajaya hari ini.

Menurutnya, lelaki itu dilapor tidak sihat sejak 6 Julai lalu dan telah mendapatkan rawatan pesakit luar di beberapa klinik dan hospital swasta.

Lelaki itu dimasukkan ke wad di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur pada 18 Julai kerana keadaan yang semakin teruk dan didiagnosis sebagai pneumonia.

Semasa di wad, beliau dikesan menghidap Diabetes Mellitus manakala x-ray dada pula menunjukkan beliau mengalami pneumonia.

"Pada 19 Julai kes dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) kerana mengalami sesak nafas dan memerlukan bantuan alat pernafasan (ventilator). Memandangkan keadaan kes yang semakin teruk, ujian sampel tekak diambil pada 22 Julai dan disahkan positif Influenza A (H1N1) pada 23 Julai," katanya.

Liow yang kecewa dengan perkembangan itu berkata, semua klinik dan hospital di negara ini seharusnya mengambil langkah segera dalam mengesan pesakit yang dijangkiti Influenza A (H1N1) bagi membolehkan rawatan segera diberikan.

"Daripada kes ini, kita boleh lihat pesakit ini telah pergi ke beberapa klinik sejak dia tidak sihat dari 6 Julai hingga 18 Julai apabila keadaannya semakin teruk, tetapi pihak klinik masih tidak mengambil sebarang ujian H1N1.

"Jadi saya ingin menggesa semua klinik dan hospital untuk sentiasa berwaspada, lebih efektif dan mengambil tindakan serta langkah segera dalam mana-mana kes yang disyaki influenza. Ada banyak kes yang datang dengan simptom pneumonia tetapi mereka perlu menjalani ujian sama ada ia H1N1 atau tidak. Mereka perlu mengambil langkah segera itu," katanya.

Mengenai situasi semasa Liow berkata terdapat 95 kes baru Influenza A (H1N1) dikesan, semuanya adalah kes tempatan di kalangan warganegara Malaysia, iaitu 68 daripadanya merupakan kejadian dari 19 kluster baru, 22 kes dari 11 kluster sedia ada manakala lima kes lagi adalah kes-kes sporadik atau terpencil. - Malaysiakini

ISA: Mengapa Majlis Fatwa tidak berani?

KUALA LUMPUR, 28 Julai (Hrkh) - Majlis Fatwa Kebangsaan tidak berani mengeluarkan fatwa isu-isu berkaitan kezaliman yang sah bercanggah dengan nas al-Quran dan hadis seperti mana Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Naib Presiden PAS, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Majlis Fatwa harus ada keberanian mengeluarkan fatwa dalam isu yang berkaitan kezaliman disamping memastikan fatwa itu dipatuhi.

Kata beliau, mereka sepatutnya memberi panduan kepada rakyat dalam urusan-urusan yang melibatkan hukum.

Malangnya, kata beliau banyak fatwa yang dikeluarkan Majlis Fatwa tidak ada tindakan yang diambil.

"Fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa tidak ada kekuatan sebagai contoh fatwa melarang memberi penghormatan di Tugu Negara, kalau pemimpin buat pun tidak ada tindakan apa-apa," katanya semasa dihubungi.

Tegasnya, Majlis Fatwa Kebangsaan sepatutnya sudah ke hadapan dalam memberi panduan kepada pemimpin tetapi yang lebih penting daripada itu ialah pemimpin mesti ikut mereka supaya integriti Majlis Fatwa itu dapat dipelihara.

Tambahnya, kaedah Islam telah menentukan bahawa seseorang itu tidak dianggap bersalah perlu diberi peluang untuk membela diri dan didakwa di mahkamah.

"Jadi dalam sejarah ISA sudah beribu umat Islam ditahan tanpa bicara, rakyat yang diseksa, ini dikatakan zalim.

"Saya rasa rakyat bukan suka sangat hendak berhimpun dan turun demonstrasi di jalanan tetapi bila hampir tidak ada jalan lain, apa yang kita tidak buat? Kita sudah hantar memorandum, ambil tandatangan orang ramai, kita adakan seminar dan bantahan jadi kemuncak kepada kemarahan kita akan menyerahkan memorandum melalui himpunan aman,"jelasnya.

Sehubungan itu, beliau yakin apa yang rakyat akan buat pada 1 Ogos nanti bukan satu suasana untuk mewujudkan kekecohan tetapi sekadar luahan rakyat yang berbilang agama dan kaum dalam isu-isu yang berlaku iaitu kezaliman ISA.

- Harakahdaily

* Kalau difatwakan halal?

Kru filem dibelasah geng penyamun lagak polis

KUALA LUMPUR: Bukan saja menyamar sebagai pegawai polis, sekumpulan dua lelaki dan dua wanita turut membelasah seorang kru filem dengan besi pembuka tayar hingga mengakibatkan kecederaan di kepala dan beberapa bahagian lain tubuhnya selain dipijak.

Malah, mangsa yang berseorangan ketika kejadian menjerit meminta tolong berikutan kawasan didiaminya itu mempunyai kawalan keselamatan 24 jam namun laungannya tidak didengari.

Sumber polis berkata, ketika kejadian kira-kira jam 7 pagi di Flora Damansara di sini kelmarin, mangsa yang berusia 23 tahun dalam perjalanan ke keretanya sebelum didatangi sekumpulan penjenayah terbabit yang menaiki kereta Proton Persona.

“Pada awalnya, seorang daripada suspek bertanyakan jalan keluar dari kawasan kediaman berkenaan sebelum tiba-tiba seorang dari mereka yang memakai topi berlogo polis meluru ke arahnya sambil mendakwa mangsa terbabit dalam satu kejadian rogol,” katanya.

Mangsa yang tidak mengenali suspek kemudian menafikan dakwaan itu sebelum kumpulan terbabit terus bertindak ganas dan mengarahkan mangsa masuk ke dalam kereta mereka kononnya untuk dibawa ke Balai Polis Mutiara Damansara bagi tujuan pengecaman.

Berang dengan tindakan mangsa yang cuba melawan, kumpulan penjenayah terbabit turut mengikat kaki dan tangan mangsa menggunakan pita pelekat selain menutup wajah mangsa dengan bantal.

Ketika dalam kenderaan itu, suspek turut merampas barangan berharga milik mangsa selain menghubungi bapa mangsa agar membayar tebusan RM5,000.

Mangsa ditinggalkan seorang diri dalam keadaan cedera parah di satu kawasan pembinaan.

“Sebaik ditinggalkan, mangsa menyedari dirinya berada di kawasan perumahan masih dalam pembinaan,” katanya.

“Mangsa kemudian dibantu dua orang awam yang kebetulan melalui kawasan itu dan sebaik menerangkan dirinya baru saja disamun dan dibelasah, mangsa dibawa ke Balai Polis Bukit Puchong sebelum mendapatkan rawatan di bahagian kecemasan Hospital Serdang,” katanya.

Mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Kota Damansara berhubung insiden berkenaan. - Mymetro

* Sebelum ini ditempat yang sama : Rumah pengantin baru kena pecah

Ragut guna alat renjatan elektrik


BUKIT MERTAJAM - Guna alat kejutan elektrik untuk 'melumpuhkan' mangsa sebelum ragut barangan berharga.

Alat bersaiz kecil menyerupai telefon bimbit itu mengalirkan renjatan elektrik rendah bagi membuatkan mangsa separuh lumpuh.

Bagaimana pun, taktik terbaru satu geng ragut yang beroperasi sejak tiga bulan lalu tumpas apabila polis menahan empat lelaki berusia di antara 19 hingga 23 tahun sejak 14 Julai lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Mohamad Shah Hussin Shah, tangkapan pertama berlaku pada pukul 5.30 petang di Bukit Minyak di sini.

"Ketika itu, dua daripada suspek cuba melakukan jenayah terhadap dua mangsa iaitu seorang lelaki dan wanita dengan mengacukan alat kejutan elektrik tetapi orang awam yang melihat kejadian itu berjaya menangkap suspek," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Jelasnya, hasil siasatan mendapati kedua-dua suspek mengaku terlibat dalam 15 kes ragut, samun serta pecah dan curi dalam kenderaan.

- Kosmo

'Pergi jahanamlah UMNO' - Nik Aziz


KOTA BHARU 27 Julai - ''Salam ini bukan di antara UMNO dengan Pas, tetapi antara kerajaan Kelantan dan Pusat, tak timbul masalah UMNO ini, pergi jahanamlah UMNO.''

Demikian reaksi Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika diminta menjelaskan lebih mendalam mengenai 'salam' yang dihulurkan beliau kelmarin.

Malah, Mursyidul Am Pas itu tetap dengan pendiriannya menolak sebarang perbincangan atau kerjasama dengan UMNO kerana menganggap parti itu telah menyimpang daripada perjuangan Islam.

Beliau berkata, kesediaan untuk bekerjasama disebabkan negara ini mengamalkan sistem persekutuan dan di antara kerajaan negeri atau Pusat mempunyai kewajipan masing-masing.

"Sistem yang diamalkan kita ialah federalisme, bukan kerana apa, Pusat ada kewajipan kepada negeri dan negeri ada kewajipan kepada Pusat.

"Kerana apa nak sekat (peruntukan dan kerjasama), ada menteri sekat pegawainya beri kerjasama dengan kementeriannya, ini bukan menteri," katanya kepada pemberita selepas melawat Taman Ternakan sempena Hari Peladang peringkat di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas pandangan pelbagai pihak terhadap kenyataannya sebelum ini yang mahukan sebarang sengketa di antara kerajaan negeri dan Pusat diselesaikan demi kepentingan rakyat.

Kenyataan itu juga disambut baik oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengalu-alukan kesediaan Nik Abdul Aziz untuk menjalin hubungan baik dengan Kerajaan Pusat.

Nada Nik Aziz amat berbeza dengan kenyataannya pada kempen Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai yang menyamakan UMNO sebagai tunjang utama kepada Barisan Nasional (BN) dengan ajaran sesat Ayah Pin dan pengganas komunis, Chin Peng.

Dalam pada itu, Nik Abdul Aziz turut mempertikaikan tindakan Kerajaan Pusat yang tidak menyalurkan terus peruntukan kepada kerajaan negeri untuk membangunkan negeri ini kerana ia jelas melanggar Perlembagaan.

"Memang tidak ada dalam Perlembagaan, negeri pembangkang dihalang oleh Pusat, apa kata kalau parti lain kuasai Pusat.

"Kami juga buat Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) dan halang peruntukan, tujuan apa tak bagi duit terus kepada kerajaan," jelasnya.

Katanya lagi, walau apa sekali pun, Kerajaan Pusat perlu membantu kerajaan negeri kerana ia termaktub dalam Perlembagaan di bawah sistem federalisme.

"Negeri ini bukan hak UMNO, kalau tak bantu, dia kena bantu negeri ini bukan dengan sukarela, tetapi dengan Perlembagaan.

"Kalau tak buat kita gulinglah. Pandailah kita guling, misal yang selalu saya kata, nak pergi ke Kuala Krai, tapi pemandu bawa bas ke Terengganu. Adakah boleh dengan riuh rendah sahaja. Kita kena tolak pemandu ambil stereng dan pandailah kita buat," katanya.

- Utusan

* Selamat tinggal UmnoBN...

27 July 2009

'Konspirasi jatuhkan kerajaan Pakatan Selangor'

Siasatan terhadap tujuh ADUN Selangor - yang membawa kepada kematian Teoh Beng Hock -didakwa sebahagian konspirasi BN bagi merampas kuasa daripada Pakatan Rakyat seperti di Perak.

Naib Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Selangor, Ng Suee Lin mendakwa, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan sentiasa berusaha merampas kerajaan negeri itu seperti pernah diusahakannya sejak tahun lepas.

"Ini perancangan yang kita dengar sekarang. Di kedai kopi pun kita dengar, (bahawa) Najib sebagai pengerusi perhubungan Umno Selangor, akan cuba dengan apa cara sekalipun untuk merampas kerajaan Pakatan Rakyat supaya kembali ke pangkuan mereka.

"Dulu di Perak, pada mulanya, kita dengar khabar angin sahaja, kemungkinannya berlaku rampasan kuasa," katanya.

Kemudian, dakwa Ng lagi, selepas campur tangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dua exco di Perak didakwa atas tuduhan rasuah, maka khabar angin itu menjadi kenyataan.

Dalam sidang akhbar bersama lebih 10 ADUN DAP, PAS dan PKR petang ini, Ng mendakwa, konspirasi BN bermula dengan penangkapan exco Selangor, Teresa Kok bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), September tahun lalu.

Isu lembu korban

Tangkapan ADUN Kinrara dan ahli parlimen Seputeh itu didakwa berhubung isu penggunaan pembesar suara bagi kegunaan azan di sebuah masjid di Bandar Kinrara, Puchong.

Manakala episod kedua pula, menurut Ng, membabitkan kes exco Selangor, Ronnie Liu yang didakwa menghalang tugas anggota penguatkuasa di sebuah hotel di Puchong.

Ronnie, juga ADUN Pandamaran, dihadapkan ke mahkamah pada 17 November tahun lalu atas tuduhan bersubahat menghalang tugas penguatkuasa Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) daripada menutup sebuah hotel pada 2007.

Episod ketiga pula, kata Ng lagi, apabila Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim didakwa menyelenggara kereta sendiri dengan peruntukan negeri dan juga mengagihkan lembu korban daripada dana anak syarikat Selangor di kawasan parlimennya di Bandar Tun Razak, awal tahun ini.

Ng, yang juga ADUN Sekincan, terus mendakwa bahawa episod seterusnya ialah perbuatan menyebarkan gambar bogel exco negeri, Elizabeth Wong pada Februari lalu.

Ng juga berkata, episod konspirasi tersebut sebahagian projek mempengaruhi masyarakat yang digerakkan oleh Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang ditimbulkan oleh ADUN Pakatan di persidangan DUN Selangor, Mac lalu.

Dalam sidang itu, dewan membahaskan usul tergempar oleh ADUN Kampung Tunku, Lau Weng San bagi membincangkan pelaksanaan projek "people-centric" oleh Pejabat Pembangunan Negeri Selangor di bawah JPM.

'Guna jentera kerajaan'

Program itu didakwa oleh wakil rakyat itu, yangjuga setiausaha DAP Selangor, cuba menjatuhkan kerajaan negeri dengan menggunakan pelbagai jentera dan agensi kerajaan persekutuan.

Sementara itu, timbalan pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Selangor, Abd Rani Osman mempertahankan wakil rakyat Pakatan yang kini disiasat SPRM berhubung perbelanjaan peruntukan DUN masing-masing.

ADUN PAS Meru berkata, perbelanjaan ADUN tertakluk kepada budi bicara mereka, dengan syarat ia sampai kepada semua pihak, seperti dinyatakan dalam Surat Pekeliling Perbendaharaan Negeri Selangor (Peruntukan ADUN).

"Peruntukan ini diletak bawah pejabat tanah dan daerah, bukan di bawah meja ADUN. Lagi pun ia dikeluarkan selepas acara selesai," katanya, sambil mempertikai kewajaran ADUN Pakatan Selangor disiasat.

Beliau sebelum itu mempengerusikan mesyuarat kelab itu di bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di Shah Alam petang ini.

Turut hadir dalam sidang media itu, ADUN Hulu Kelang, Saari Sungib.

Sementara itu, membandingkan dengan ADUN Pakatan, Lau pula menyelar peruntukan kepada wakil rakyat BN – termasuk ahli parlimennya – yang didakwanya tidak jelas jumlah dan pembahagiannya.

"Sampai sekarang kami tidak tahu saiz peruntukan, kepada siapa (diberikan), di mana wang ini dibelanjakan oleh ADUN dan ahli parlimen BN, ketua bahagian (Umno), penyelaras yang dilantik BN dalam menangani peruntukan RM2 juta (di setiap parlimen).

"Saya meminta, kalaulah BN (anak) jantan, kalaulah Umno ini jantan, sekurang-kurangnya umumkanlah untuk rakyat," katanya. - Malaysiakini

* UmnoBN tidak menghormati sistem demokrasi (undi rakyat) sepertimana yang berlaku di Perak.

Sivakumar tidak dibenar masuk bangunan SUK

IPOH 27 Julai - V. Sivakumar dan ahli jawatankuasa hak dan kebebasan Dewan Undangan Negeri Perak (DUN) tidak dibenarkan memasuki bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak.

Sivakumar yang masih mengaku sebagai Speaker DUN hadir pada pukul 9.50 pagi.

Beliau tidak dibenarkan masuk setelah menerima surat arahan yang dikeluarkan oleh Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan Negeri, Bahagian Khidmat Pengurusan, Shamshuzaman Sulaiman kira-kira pukul 10.30 pagi ini.

Surat tersebut memaklumkan tidak membenarkan mesyuarat jawatan tersebut diadakan pada hari ini.

Sepasukan anggota polis yang diketuai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Ipoh, Deputi Supritendan, Glenn Anthony Sinnapa mengawasi pintu masuk bangunan SUK sejak pukul 8 pagi ini.

Bagaimanapun tidak berlaku sebarang kekecohan.

- Utusan

Afrika belajar daripada Malaysia cara tangani rasuah

KAMPALA 27 Julai - Malaysia telah berkongsi pengalamannya menangani rasuah termasuk menerusi penubuhan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan negara-negara Afrika dalam Dialog Perkongsian Pintar Global 2009 (Global 2009) yang sedang berlangsung di Munyonyo di sini.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pengalaman Malaysia itu disampaikannya menerusi salah satu sesi dialog bersama ketua-ketua kerajaan yang menyertai Global 2009 hari ini.

"Kita beritahu mereka mengenai SPRM dan kita berpeluang berkongsi pengalaman bagaimana rakyat harus disedarkan tentang bahaya rasuah supaya ia dilihat sebagai sesatu yang jijik dan perlu disemai dalam jiwa masyarakat. Ini kita bincang secara terbuka," katanya.

Timbalan Perdana Menteri berada di sini untuk menghadiri Global 2009 di Munyonyo Commonwealth Resort dekat sini yang bermula semalam hingga esok. - Utusan

* lucu sungguh...

Koperasi tekad tidak akan serah Kg. Buah Pala

PULAU PINANG 27 Julai - Koperasi Pegawai Kerajaan Negeri Pulau Pinang Bhd., pemilik tanah seluas 2.6 hektar di Kampung Buah Pala, hari ini menyifatkan tindakan kerajaan negeri menarik balik kelulusan pelan pembangunan di tapak itu sebagai satu bentuk ugutan.

Pengerusinya, Abdul Razak Mansor berkata, pihaknya tidak akan mengalah dengan ugutan itu dan akan mencari jalan untuk meneruskan hasratnya untuk membangunkan kawasan berkenaan demi kepentingan anggotanya.

Katanya, keputusan Mahkamah Persekutuan yang memberikan hak tanah itu kepada koperasi berkenaan adalah kekal dan semua pihak harus menghormatinya.

Ketika dihubungi Bernama di sini, katanya, koperasi itu tidak bersetuju terhadap sebarang tindakan pemaju Nusmetro Ventures (P) Sdn. Bhd. untuk berkompromi dengan kerajaan negeri dan setakat ini pendirian itu kekal.

“Jika perlu, kita akan mengambil tindakan menghina mahkamah terhadap mana-mana pihak yang cuba menghalang pembangunan di tanah yang kami perolehi secara sah itu dan sebarang tindakan akan mengambil kira keadaan selepas 2 Ogos ini,” katanya. - Bernama

* Jika kerajaan PP tidak tarik balik, jangan beri pampasan kepada penduduk di situ...