20 June 2009

Tiada penipuan - Ayatollah


TEHERAN - Pemimpin Agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei semalam menegaskan tiada penipuan undi dalam pilihan raya presiden baru-baru ini dan memberi amaran akan menangkap penunjuk perasaan jika mereka terus mengadakan demonstrasi untuk menuntut pilihan raya baru diadakan.

Ali Khamenei memihak kepada Presiden Mahmoud Ahmadinejad selepas presiden berkenaan mengumumkan kemenangannya pada pilihan raya 12 Jun lepas sebagai satu keputusan mutlak.

Kenyataan pemimpin tertinggi itu meletakkan calon yang menentang Mahmoud, Mir Hossein Mousavi dan para penyokongnya berada dalam keadaan buntu sama ada melepaskan tuntutan supaya pilihan raya baru diadakan atau sekali lagi mengadakan tunjuk perasaan besar-besaran di Iran.

Laman-laman web pro-Mir Hossein tidak memberi reaksi berhubung amaran Ali Khamenei itu dan setakat ini, tiada pengumuman menyatakan terdapat perubahan tentang satu tunjuk perasaan yang dijadualkan diadakan petang ini di sini.

Dalam khutbah Jumaatnya di Universiti Teheran, Ali Khamenei turut menuduh media asing dan Barat cuba mencetuskan keadaan huru-hara di Iran.

"Sesetengah musuh kita di beberapa pelosok dunia mahu menggambarkan kemenangan mutlak tersebut seperti diselubungi keraguan," katanya.

Menurutnya, jumlah 11 juta undi yang membezakan Mahmoud dan saingan utamanya, Mir Hossein merupakan bukti penipuan tidak berlaku.

"Jika perbezaan tersebut adalah 100,000, 500,000 atau satu juta, seseorang boleh menyatakan penipuan mungkin berlaku. Namun, bagaimanakah untuk menipu jika berlaku perbezaan undi sebanyak 11 juta undi," katanya.

Ucapan beliau itu merupakan yang pertama selepas ratusan ribu penyokong Mir Hossein membanjiri jalan-jalan raya di sini dalam demonstrasi terbesar sejak bantahan menumbangkan pemerintahan beraja Iran diadakan beberapa dekad lalu.

Pada masa yang sama, Ali Khamenei menegaskan bahawa beliau telah mengarahkan Majlis Revolusi supaya menyiasat dakwaan berhubung berlakunya penipuan undi dalam pilihan raya itu.

Majlis berkenaan sebelum ini menyatakan ia bersedia mengadakan kiraan semula undi secara terhad iaitu di kawasan-kawasan yang terdapat dakwaan penipuan tersebut.

- AP

1 comment:

  1. ada pengundi hantu le tu..sepatutnya sebelum mengundi bawalah ketua AMK Malaysia atau Salehudin Ayob..mereka ni pakar tangkap hantu

    ReplyDelete