23 June 2009

Satu sekolah cuma ada seorang murid

TELUK INTAN: K Humah, 12, mungkin murid sekolah rendah paling istimewa di negara ini kerana sebagai murid tunggal Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SRJKT) Ladang Sungai Timah, Mukim Bandar, Pasir Berdamar di sini, dia mempunyai tiga guru untuk mengawasinya setiap hari persekolahan.

Selain diuruskan M Paramisywary, 54, sebagai guru besar, dua guru akademik iaitu M Jaya Kumar, 27, dan seorang guru sandaran, V Moganathaf, 19, selain seorang tukang kebun ‘menjaga’ sekolah berkenaan walaupun hanya mempunyai seorang murid.

Terletak bersebelahan Sungai Perak, SRJKT Ladang Sungai Timah mempunyai pelbagai kemudahan canggih setanding pusat pendidikan lain seperti komputer, projektor, perpustakaan, televisyen bersaiz 42 inci, kantin dan padang mini dan semua ini hanya digunakan Humah seorang saja menjadikan dia murid bukan saja paling istimewa di Malaysia tetapi mungkin juga di dunia.

Bagaimanapun, keseorangan tidak menghalang Humah untuk terus belajar di sekolah itu seterusnya menghadapi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) September depan.

“Saya akui sangat sunyi dan bosan kerana belajar seorang diri, namun saya terpaksa bersabar kerana ingin mencari ilmu.

“Saya tiada rakan untuk berbual pada waktu rehat atau berkongsi mengenai pelajaran di sekolah,” katanya ketika ditemui semalam.

Katanya, ketika waktu rehat, dia diberi makan nasi lemak dan air kotak setiap hari oleh gurunya kerana kantin tidak beroperasi.

Humah yang bercita-cita ingin menjadi seorang pendidik berkata, dia mengambil masa 30 minit dengan menaiki bot untuk ke sekolah dan rutin harian itu sudah menjadi kebiasaannya sejak dia di tahun satu lagi.

“Apa yang membimbangkan saya kini adalah persiapan untuk menghadapi UPSR. Saya terpaksa meminta tolong daripada kakak, Mariayee, 19, untuk memberi tuisyen bagi mata pelajaran tertentu pada waktu malam,” katanya.

- Mymetro

* Seronok mengajar di situ

1 comment:

  1. Satu pembaziran dan sekolah itu sepatutny aditutup dan murid berkenaan harus pergi kesekolah yg berhampiran. Lagu mana ni Kementerian Pelajaran..???

    ReplyDelete