27 June 2009

Obama akan timbang penyerahan dua tahanan Malaysia di Guantanamo

KUALA LUMPUR: Presiden Amerika Syarikat Barack Obama telah menyatakan kesediaan untuk mempertimbangkan permintaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membenarkan dua tahanan Malaysia di Teluk Guantanamo, untuk diserah kepada Malaysia serta menjalani hukuman di negara ini.

Isu tahanan Guantanamo serta beberapa isu lain seperti ekonomi, Kawasan Perdagangan Bebas (FTA), Iran dan Korea Utara adalah antara perkara yang disentuh dalam perbualan telefon antara Obama ketika menghubungi Najib malam ini.

Panggilan selama 20 minit itu bermula 9.10 malam, merupakan perbualan melalui telefon pertama antara Obama dan Najib, sejak berkedua-dua pemimpin itu memegang tampuk pemerintahan negara masing-masing.

Bercakap kepada Bernama selepas menerima panggilan itu, Najib berkata beliau telah menawarkan hasrat Malaysia untuk menerima kedua-dua tahanan itu bagi menjalani hukuman di negara ini.

Katanya Obama telah menyatakan akan merujuk permintaan Malaysia itu kepada pihak keselamatan Amerika yang berkaitan.

"Saya telah nyatakan (bahawa) kita akan tahan (jalani hukuman di Malaysia) tapi (akan) melayan mengikut norma-norma antarabangsa dan (secara) perikemanusiaan.

Dia (Obama kata) dia akan timbang. Dia alu-alukan (permintaan saya) dan (akan) rujuk perkara ini pada pihak keselamatan (di Amerika Syarikat)," kata Najib.

Kedua-dua mereka , Mohd Farik Amin atau Zaid (Zubair) dan Mohammed Nazir Lep atau Bashir Lep (Lillie), ditahan di Teluk Guantanamo atas dakwaan terbabit dalam kumpulan militan Jemaah Islamiah dan AlQaeda sejak 2003, dan adalah antara 250 tahanan di penjara Amerika itu.

Banyak pihak telah mendesak pentadbiran Obama agar menutup terus kem tahanan itu berikutan pelanggaran hak asasi kemanusiaan serta layanan buruk termasuk penyeksaan yang telah mendapat kecaman keras pelbagai pihak.

Dalam perbualan telefon itu, Najib berkata Obama dan beliau turut bertukar pendapat berkenaan situasi ekonomi semasa dunia di mana Obama telah bertanyakan mengenai keadaan ekonomi Malaysia yang mengalami kelembapan pada suku pertama tahun ini.

Najib berkata beliau telah menerangkan kepada pemimpin Amerika itu bahawa ekonomi Malaysia turut menghadapi masalah akibat krisis ekonomi dunia sekarang.

Namun kata Perdana Menteri, beliau turut menyatakan bahawa ada kemungkinan ekonomi Malaysia akan menyaksikan tanda-tanda pemulihan lebih positif pada suku keempat tahun ini.

Najib berkata isu Perjanjian FTA antara Malaysia dan Amerika Syarikat juga turut dibincangkan dengan pemimpin Amerika itu.

Menurut Najib, beliau telah menyatakan bahawa perbincangan mengenainya perlu diteruskan dan sekarang bukan masanya untuk dimuktamadkan.

"Saya kata mungkin bukan sekarang (masanya untuk dimuktamadkan), perbincangan masih boleh diteruskan," katanya.

Najib berkara Obama turut memuji kerajaan Malaysia kerana kejayaannya menjadikan negara ini sebuah negara Islam yang moden, progresif dan maju.

Katanya Malaysia turut dipuji kerana pada masa yang sama sebagai sebuah negara berbilang kaum dan agama, kerajaan berjaya memastikan rakyat hidup dalam keadaan harmoni dan aman damai.

Najib berkata Obama turut menzahirkan hasrat untuk melawat Malaysia pada satu masa yang sesuai dan juga melahirkan harapan untuk berjumpa beliau di Washington mahupun di sini. Pada perbualan itu, Najib berkata Obama turut mengucapkan tahniah di atas pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia yang keenam.

"Beliau (Obama) berharap dapat bekerjasama dengan baik dengan saya dan dapat meningkatkan kerjasama antara Malaysia dan Amerika. Saya juga telah membalas balik dan menyampaikan ucapan tahniah atas pelantikan beliau sebagai Presiden Amerika Syarikat," kata Najib.

Obama telah menyatakan beliau yakin dengan latarbelakang saya untuk menjalankan tugas Perdana Menteri dengan baik, kata Najib.

- BERNAMA

No comments:

Post a Comment