23 June 2009

Jangan terpengaruh ‘serkap jarang’ Anwar

SHAH ALAM - Pemimpin dan rakyat dinasihat tidak terperangkap dalam permainan ‘serkap jarang’ Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila mendesak UMNO meminta maaf terhadap parti lain terutama Pas.

Penganalisis politik, Profesor Datuk Zainal Kling berkata, desakan Anwar itu dilihat tidak memberi apa-apa manfaat dalam situasi pergolakan politik semasa sebaliknya akan menyuburkan lagi perpecahan dan menggugat perpaduan.

“Dengan cara serkap jarang sahaja tidak memberi sebarang manfaat kepada pergolakan politik terutamanya melibatkan perpaduan dan perpecahan yang berlaku.

“Sebaliknya, beliaulah yang sepatutnya terlebih dahulu meneliti dan muhasabah diri seterusnya meminta maaf kepada orang Melayu terhadap ‘kejahatan’ yang telah dilakukan semata-mata untuk berkuasa,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurut Zainal, Anwar perlu menilai semula desakan tersebut dan kerjasamanya dengan sesetengah pihak yang mempunyai misi tertentu memecahbelahkan rakyat dengan berselindung di sebalik demokrasi dan hak asasi.

“Beliaulah yang telah bertanggungjawab melancarkan gerakan tunjuk perasaan dan menyebabkan keadaan politik negara menjadi kacau-bilau serta bertambah kelam-kabut.

“Akibat tindakan dan perbuatannya, penyokong dan rakyat semakin berpecah, apa yang berlaku dalam negara adalah ada kaitan dengan tindakan beliau,” katanya.

Bagi penganalisis politik bebas, Profesor Madya Abdul Hamid Yeop Zainuddin, beliau menyarankan agar kedua-dua parti sama ada UMNO atau Pas saling meminta maaf atas kesalahan yang telah dilakukan mereka kepada rakyat.

“UMNO dan Pas masing-masing ada silap, mereka patut minta maaf untuk menunjukkan ketelusan.

“Mereka perlu menyatakan segala kesalahan yang telah dilakukan, apa silapnya dan akhir sekali menasihatkan orang lain supaya tidak mengulangi kesilapan sama seperti yang telah mereka lakukan,” katanya.

- Sinar Harian

* Minta Umno mohon maaf pada PAS boleh menggugat perpaduan?

No comments:

Post a Comment