27 June 2009

Hakim sebat pesalah kes rompak pelajar

KUALA LUMPUR 26 Jun – Buat pertama kalinya sejak Kompleks Mahkamah Jalan Duta, di sini beroperasi lebih dua tahun lalu, seorang pesalah akan dikenakan hukuman sebatan 10 kali di pekarangan kompleks tersebut pada 15 Julai ini.

Hukuman sebatan itu akan dilaksanakan sendiri oleh Hakim Mahkamah Sesyen, Zainal Abidin Kamarudin dengan disaksikan oleh kedua ibu bapa pemuda berusia 20 tahun itu, Muhammad Syafiq Abd. Wahab.

Muhammad Syafiq yang bekerja sebagai promoter dikenakan hukuman tersebut selepas mengaku bersalah merompak seorang pelajar dengan menggunakan pisau pada tahun lalu.

Perintah tersebut dibuat berdasarkan peruntukan di bawah Seksyen 293(1)(c) Kanun Tatacara Jenayah yang berbunyi:

‘‘Mana-mana pesalah muda yang disabitkan atas mana-mana kesalahan yang boleh dihukum denda ataupun penjara di mana-mana mahkamah jenayah, mahkamah boleh, sebagai menggantikan hukuman penjara kerana tidak membayar denda itu memerintahkan pesalah itu, sekiranya lelaki, disebat dengan rotan halus tidak lebih 10 kali sebatan di dalam kawasan bangunan mahkamah dan jika dikehendaki, di hadapan ibubapa atau penjaga pesalah itu.’’

Zainal Abidin turut memerintahkan Muhammad Syafiq menjalani hukuman berbentuk khidmat masyarakat selama 200 jam.

‘‘Hukuman yang saya putuskan ini adalah satu hukuman yang amat jarang, sangat jarang berlaku tetapi ia amat menyakitkan.

‘‘Tak silap saya, ia pernah dilaksanakan hampir 20 tahun lalu di Mahkamah Majistret Port Dickson. Tetapi awak jangan risau, sebat ini bukanlah seperti sebat di dalam penjara,’’ katanya kepada tertuduh dan juga bapanya, Abd. Wahab Jonit, 64.

Sebelum menjatuhkan hukuman tersebut, Zainal Abidin turut ‘terkejut’ dengan alasan yang diberikan oleh Muhammad Syafiq bahawa dia melakukan jenayah itu kerana bosan.

Pemuda itu juga mendakwa dia tidak menggunakan kekerasan tetapi ‘meminta’ telefon bimbit mangsa secara baik selain dia melakukannya setelah didesak rakannya bernama Jojo yang telah melarikan diri.

Hakim itu bagaimanapun membidas alasan itu dan meminta tertuduh jangan mempermain-mainkan beliau.

‘‘Awak kata awak minta cara baik. Cara baik awak, sepak muka orang, tampar muka orang. Baik betul cara awak.

‘‘Awak minta mahkamah kasihankan awak tetapi ada awak kasihankan budak yang awak tendang dan sepak itu? Kalau awak ada rasa kasihan pada mangsa, awak takkan rompak orang,’’ tegasnya.

Muhammad Syafiq didakwa bersama seorang lagi yang masih bebas merompak Muhammad Fitri Muhammad Zamzuri, 16, kira-kira pukul 1.30 pagi, 16 November tahun lalu di belakang Stadium Bola Sepak Cheras.

Pertuduhan ke atasnya dibuat mengikut Seksyen 395/397 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Menurut fakta kes, tertuduh telah menghampiri tiga remaja termasuk mangsa dan mengarahkan mereka mengeluarkan barangan yang dimiliki selepas bertanya sama ada mereka mempunyai dadah atau tidak.

Sebaik sahaja merampas telefon bimbit dan kad pengenalan ketiga-tiga remaja itu, tertuduh telah bertindak menendang muka rakan mangsa Mohammad Izwan Syahbarul, 16, sebelum menampar muka Muhammad Fitri.

- Utusan

* Hakim berotak

No comments:

Post a Comment