Zambry kesal tindakan hina mufti
IPOH: Menteri Besar, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir kesal dengan sikap sesetengah pihak yang sanggup mencerca dan menghina Mufti Perak semata-mata kerana mengeluarkan pandangan yang berbeza dengan pendirian politik mereka.
Beliau berkata, serangan terhadap institusi mufti terutama Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria, mulai jelas dilihat di dalam blog, media tertentu dan ceramah sehingga ada yang sanggup meletakkan mufti dalam kedudukan yang rendah dan hina.
"Selama ini mereka (pembangkang) melihat apa yang disampaikan oleh mufti baik tetapi apabila beliau membuat pendirian dalam hal tertentu yang tidak memihak kepada mereka, pandangan itu dilihat tidak betul.
"Sebelum ini, pandangan Harussani sentiasa dihormati semua pihak dan ada kalanya kita Barisan Nasional (BN) pun ditegurnya.
"Apabila beliau membuat teguran, tidak bermakna beliau tidak suka kepada pihak tertentu. Beliau bercakap mengenai kebenaran. Kita tidak perlu melenting atau mengkritik dengan begitu keras terhadap pandangan yang dibuatnya," katanya kepada pemberita selepas solat Jumaat di Masjid Sultan Yussuf Rapat Setia di sini semalam.
Difahamkan, Harussani mula dikecam selepas mengeluarkan kenyataan bahawa mentaati pemerintah iaitu institusi kesultanan adalah sebahagian daripada ajaran Islam dan sesiapa yang tidak taat kepada pemerintah atau Raja dianggap derhaka.
Dalam rancangan Soal Jawab Agama di radio Perak.fm pagi semalam, Harussani berkata beliau tidak akan mempertahankan diri untuk menjawab kecaman itu kerana beliau hanya mengemukakan pandangan menurut ajaran Islam.
Sehubungan itu, beliau meminta mereka yang menggunakan nama atau lambang Islam tetapi mencerca, memaki hamun, menghina dan melabelkan orang Islam lain dengan perkataan keji, supaya ‘bermuhasabah diri.’
Zambry berharap semua pihak kembali semula menghormati institusi mufti dan peribadi mufti itu sendiri kerana beliau adalah seorang ulama yang dihormati dan disanjung bukan saja di negara ini tetapi juga pada peringkat antarabangsa.
"Kita tetap menghormati pandangan beliau meskipun ada kalanya tidak disukai, tetapi ia adalah sesuatu yang benar berdasarkan hukum- hakam. Jadi kita hormatlah pandangan beliau," katanya.
Ditanya tindakan Pakatan Rakyat yang terus mengeluarkan kenyataan supaya Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dibubarkan, beliau berkata itulah yang sedang diusahakan pembangkang termasuk tindakan Speaker DUN, V Sivakumar, menggantungnya daripada menghadiri DUN selama 18 bulan dan barisan Exco selama 12 bulan.
"Kuasa untuk membubarkan dewan bukan kuasa kita. Dia pun faham. Bukan dia tidak faham sebenarnya. Kuasa itu terletak pada Sultan Perak, Sultan Azlan Shah," katanya.
Sementara itu, Zambry mengumumkan peruntukan RM200,000 kepada Masjid Sultan Yussuf bertujuan membaik pulih rumah ibadat itu yang didapati tidak dapat lagi menampung jemaah yang semakin bertambah.
www.bharian.com.my
No comments:
Post a Comment