24 February 2009

'Terima kasih, saya tidak minat pun'

KUALA LUMPUR 23 Feb. - Terima kasih sajalah, saya tak minat pun nak masuk mana-mana parti buat masa sekarang.

Itu jawapan ringkas Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali yang dihantar menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Utusan Malaysia.

Menurut Ibrahim, beliau tidak berminat untuk menyertai mana-mana parti sama ada UMNO atau Pas sekalipun, malah lebih senang bergerak atas kapasiti sebagai Ahli Parlimen Bebas.

"Siapalah Ibrahim Ali di mata mereka tu, namun saya mengucapkan terima kasih di atas semua pelawaan itu.

"Apa pun keadaannya saya lebih suka bergerak sendiri dan mahu menumpukan kepada tugas di Parlimen Pasir Mas selain memperjuangkan agenda orang Melayu dan Islam setakat termampu," katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pasir Mas, Najib Rashdan Abdul Rahman yang mencadangkan agar beliau diterima semula menyertai UMNO.

Najib menyifatkan Ibrahim sebagai pejuang Melayu tulen yang sukar dicari ganti dan amat rapat dengan penduduk di Pasir Mas selain banyak membawa pembangunan di kawasan itu sepanjang beliau menjadi Ahli Parlimen sejak dahulu lagi.

Malah, Pemuda bahagian itu turut menyifatkan Ibrahim sebagai pejuang Melayu tulen yang sukar dicari ganti dan amat rapat dengan penduduk di Pasir Mas.

Menurut Ibrahim, beliau amat menyanjungi jemputan itu malah menghargai setiap simpati yang diterimanya sejak kebelakangan ini.

Namun, katanya, atas dasar prinsip perjuangan yang berbeza, beliau lebih senang bergerak sendiri tanpa perlu menyusahkan orang lain.

Beliau memberitahu, segala tekanan dan desakan ke atasnya sejak kebelakangan ini adalah sesuatu yang normal sebagai ahli politik lebih-lebih lagi yang berstatus bebas.

"Saya terlalu masak dan lali dengan sepak terajang dalam politik, macam biasa, hari ini kita disayangi esok lusa kita dibenci dan dimaki, itulah politik," ujarnya. - Utusan

No comments:

Post a Comment