25 February 2009

Suami isteri didakwa terlibat aktiviti pengubahan wang haram RM1.3 juta

PETALING JAYA 25 Feb. - Sepasang suami isteri mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 22 pertuduhan membabitkan aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM1.3 juta.

Mohd. Norzli Mohd. Sidek, 33 dan isterinya Nurul Huda Ahmad, 29, akan menerima hukuman pada 5 Mac ini.

Nurul Huda, seorang kerani akaun di firma guaman Tetuan Hafidz & Co menghadapi 18 pertuduhan menggunakan wang hasil aktiviti haram dengan pelbagai cara. Iaitu menggunakannya sebagai deposit pembelian hartanah di Seberang Perai, Pulau Pinang, memasukkan wang berjumlah RM85,000 ke dalam akaun suaminya dan RM135,000 ke dalam akaun rakannya.

Wang haram tersebut juga didakwa digunakan bagi pembayaran penyelesaian penuh sebuah Proton Iswara bernombor WCV 6694 (RM4,428.28), dan Proton Wira 1.5 bernombor pendaftran KAE 9288 (RM17,750.91).

Selain itu, Nurul Huda didakwa menggunakan haram sebagai deposit pembelian hartanah di Lot 2674, Geran 35008, Mukim Bukit Raja, Daerah Petaling dan pembayaran pengubahsuaian hartanah di lot yang sama.

Mohd. Norzli pula, seorang kontraktor sambilan, secara peribadi menghadapi empat pertuduhan menerima wang haram berjumlah RM85,000.

Hakim Balkis Aini Mohd Mohd. Ali membenarkan Nurul Huda dibebaskan dengan jaminan RM40,000 sementara suaminya RM14,000 sementara menunggu hukuman.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh didenda maksimum RM5 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya. - Utusan

No comments:

Post a Comment