24 February 2009

Polis siasat Chua atas dakwaan lakukan seks oral - Malaysiakini

Setahun selepas skandal DVD seks yang membabitkan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek sehingga beliau melepaskan jawatan dalam parti dan kerajaan, timbalan presiden MCA itu kini sedang disiasat berhubung dakwaan melakukan seks oral.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Hasnan Hassan, ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, berkata, polis sedang menyiasat DVD seks tersebut mengikut seksyen 377(A) Kanun Keseksaan.

Seksyen 377 (A) menyebut "mana-mana orang yang melakukan perhubungan seks dengan seseorang lain dengan memasukkan zakarnya ke dalam dubur atau mulut seseorang lain itu dikatakan melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabie."

Jika sabit kesalahan, hukuman bagi kesalahan tersebut ialah penjara sehingga 20 tahun, serta sebat.

Hasnan berkata, polis juga akan mengambil tindakan terhadap mereka yang mengedar DVD seks itu, mengikut seksyen 292 Kanun Keseksaan yang merangkumi pengedaran bahan lucah.

Mereka yang disabitkan kesalahan tersebut boleh dihukum penjara sehingga lima tahun dan/atau didenda.

Berhubung siasatan tersebut, Chua telah memberi keterangan di ibu pejabat polis Petaling Jaya pada jam 10.30 hari ini.

Ketika ditemui pemberita, beliau enggan memberi sebarang ulasan mengenai perkara itu. Chua cuma berkata beliau "melawat seorang kawan lama".

Sebelum ini, akhbar-akhbar Cina melaporkan Chua yakin perbuatan mengedar semula DVD seksnya adalah tindakan musuh dalam partinya untuk terus menyerang karier politiknya.

Beliau dilaporkan kata, ia bertujuan untuk mengingatkan rakyat bahawa beliau masih ada "titik hitam moral".

Chua menjangka perbuatan tersebut akan menjadi lebih rancak selepas perhimpunan Umno Mac ini, kerana dijangka akan berlaku rombakan kabinet.

Dilaporkan DVD tersebut ditemui seorang penduduk di Kelana Jaya dalam peti surat di rumahnya.

Pita tersebut dilaporkan dibungkuskan bersama nota yang meminta penduduk tersebut membuat laporan polis selepas menontonnya.

Laporan polis mengenainya dibuat di ibu pejabat polis Petaling Jaya pada 10 Februari lalu. - Malaysiakini

No comments:

Post a Comment