23 February 2009

Nik Aziz tak perlu cakap besar - Ibrahim Ali


AHLI Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali berkata beliau bukan "bodoh" untuk meletakkan jawatan semata-mata untuk menguji kekuatan pengaruh politiknya dengan bertanding semula dalam pilihan raya kecil.

"Tok Guru Nik Aziz patut sudah tahu, ikut undang-undang kalau saya meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen, saya tidak boleh bertanding untuk tempoh lima tahun hingga pilihan raya umum ke-13.

"Jadi macam mana saya nak uji kekuatan pengaruh politik saya?

"Dia (Nik Aziz) pun pernah hampir hilang pengaruh masa pilihan raya umum ke-11 ketika PAS hampir jatuh ke tangan Barisan Nasional (BN).

"Masa itu saya pun ada bantu PAS dengan meraih undi orang-orang Umno untuk memilih mereka. Jadi tak perlu dia (Nik Aziz) cakap besar," katanya kepada mStar Online hari ini.

Semalam, Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, parti itu tidak bimbang jika Ahli Parlimen Pasir Mas itu meletakkan jawatan, malah beliau mencabarnya menguji kekuatan pengaruh politik dengan bertanding atas tiket Bebas dalam pilihan raya kecil.

Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan yakin Ibrahim tidak akan memperoleh kemenangan atau majoriti sebesar majoriti yang diperoleh dalam pilihan raya umum Mac tahun lalu jika tidak kerana sokongan daripada anggota PAS.

Bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno itu berkata, beliau akan hanya meletakkan jawatan jika mendapat desakan daripada pengundi-pengundi bahagian Pasir Mas.

Tambah beliau, pendirian PAS sejak kebelakangan ini sering berubah-ubah dan demi kepentingan politik, parti itu sanggup menyokong Hindraf untuk mendapat sokongan daripada kumpulan minoriti.

Ditanya adakah beliau akan menyertai Umno selepas mendapat desakan daripada Nik Aziz dan Setiausaha Badan Perhubungan PAS, Kelantan Datuk Takiyuddin Hassan mahu beliau meletakkan jawatannya, Ibrahim berkata:

"Saya akan ambil tindakan langkah demi langkah untuk atasi masalah ini.

"Selama ini pun saya tidak pernah fikir untuk masuk mana-mana parti. Buat masa ini saya lebih senang menjadi calon Bebas," katanya.

Tegas Ibrahim, beliau bukan hanya mengkritik PAS malah turut mengkritik BN.

Namun katanya, berita mengenai beliau mengkritik parti itu jarang dipaparkan di media sehingga menimbulkan pelbagai tafsiran, dan ada yang mengatakannya menyokong BN.

"Biarlah mereka (PAS) bercakap apa pun. Saya hanya dengar sahaja dulu. Mereka ada isu nak bercakap tapi jangan sampai lupa tanggungjawab di kawasan sendiri sudah," ujarnya.

Ibrahim, 57, digugurkan dari jawatan Ketua Umno Pasir Mas pada 22 November 2003 dan kemudian digantung keanggotaannya dalam Umno seumur hidup kerana bertanding sebagai calon bebas pada pilihan raya umum ke-11.

Ibrahim bagaimanapun tewas kepada calon PAS, Ismail Noh.

Beliau turut hilang wang pertaruhan selepas mendapat 415 undi semasa pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri Pangkalan Pasir pada 2005 yang dimenangi oleh calon Barisan Nasional, Hanafi Mamat.

Hilang kelayakan lima tahun

Tindakan cabar-mencabar menggesa Ahli Parlimen Pasir Mas, Ibrahim Ali meletakkan jawatan dan bertanding semula demi menguji populariti tidak logik kerana "kelemahan" peruntukan undang-undang itu sendiri.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, peruntukan 48(6) Perlembagaan Persekutuan tidak membolehkan seseorang anggota Dewan Rakyat ataupun Dewan Undangan Negeri daripada bagi satu tempoh selama lima tahun.

"Ia sebenarnya melibatkan Perkara 48(6) Perlembagaan Persekutuan, yang jelas menyebut anggota yang meletakkan jawatan Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri, tidak layak bertanding selama lima tahun dalam mana-mana pilihan raya kecil dan umum.

"Jadi, bila PAS mencabar Ibrahim Ali, mungkin mereka terlepas pandang, kerana jika Ibrahim Ali letak jawatan beliau tidak boleh bertanding.

"Oleh itu, cabaran tidak logiklah... dia (PAS) hendak cabar Ibrahim Ali meletakkan jawatan," kata beliau ketika dihubungi mStar Online.

Semalam, Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, parti itu tidak bimbang jika Ibrahim meletakkan jawatan, malah mencabarnya menguji kekuatan pengaruh politik dengan bertanding atas tiket bebas dalam pilihan raya kecil.

Nik Aziz yakin Ibrahim tidak akan memperoleh kemenangan atau majoriti sebesar majoriti yang diperoleh dalam pilihan raya umum Mac tahun lalu jika tidak kerana sokongan daripada anggota PAS.

Pesuruhjaya PAS negeri itu berkata: "Keputusan Pas mencabar beliau (Ibrahim) supaya meletakkan jawatan kerana mengkritik PAS daripada belakang adalah keputusan PAS negeri yang dibuat dalam mesyuarat perhubungan negeri yang saya sendiri selaku Pengerusi (perhubungan)."

"PAS tidak bimbang jika Ibrahim letak jawatan dan bertanding semula atas tiket bebas jika benarbenar ingin menguji kekuatan pengaruhnya dalam politik kerusi Parlimen itu jika ia mahu menyahut cabaran PAS supaya meletakkan jawatan," katanya.

Kelmarin, Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan Datuk Takiyuddin Hassan berkata PAS Kelantan meminta Ibrahim meletak jawatan sebagai wakil rakyat berikutan tindakannya yang kebelakangan ini sering mengkritik PAS.

Takiyuddin menyifatkan kelantangan Ibrahim itu sebagai tidak mengenang budi sedangkan anggota Parlimen Bebas itu diberi peluang bertanding atas tiket PAS pada pilihan raya umum 2008. - klpos

1 comment:

  1. Datuk Ibrahim Ali sekarang seperti cacing kepanasan, mengeliat kiri, mengeliat kekanan. Walau bagaimana pun itu baru sedikit, sekadar peringatan saja.

    Kalau Datuk Ibrahim Ali masih berlagak dan mengungkit kembali cerita budi yang sedikit pernah ditabur kepada parti PAS, pengajaran kedua akan menyusul.

    Kurang ajar akan dilayan dengan kurang ajar.

    ReplyDelete