KUALA LUMPUR 20 Feb. - Pesuruhjaya Kehakiman, Mohamad Ariff Yusoff yang mendengar kes saman Datuk Seri Ir. Mohamad Nizar Jamaluddin terhadap Datuk Dr. Zambry Abd. Kadir berhubung pelantikannya sebagai Menteri Besar Perak yang baru sudah keluar Pas sejak hampir setahun yang lalu.
Mohamad Arif yang sebelum ini merupakan ahli Pas kawasan Subang turut melepaskan semua jawatan yang disandangnya di dalam parti.
Ini termasuklah jawatan di peringkat Badan Perhubungan iaitu selaku Ahli Jawatankuasa dilantik dan Naib Yang Dipertua Pas Subang.
Perkara itu disahkan Setiausaha Agung Pas, Datuk Kamaruddin Jaafar kepada Utusan Malaysia hari ini.
Menurut beliau, Mohamad Ariff yang merupakan seorang peguam sebelum ini telah melepaskan kedudukannya sebagai ahli Pas hampir setahun lalu kerana mahu menyertai badan kehakiman.
''Beliau memohon untuk keluar parti serta melepaskan jawatan yang ada kerana mahu menganggotai badan kehakiman.
''Itu alasan yang diberikan dan kita terima untuk membolehkan beliau menjawat jawatan Pesuruhjaya Kehakiman.
''Dan kini jelas, beliau bukan ahli Pas. Jadi tak ada apa nak keliru kecuali yang saja nak dijadikan isu,'' katanya.
Mohamad Ariff kelmarin semasa sebutan kes berkenaan mendedahkan bahawa beliau pernah menjadi penasihat undang-undang kepada Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Mohamad Ariff yang baru dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman pada 15 September tahun lalu juga pernah bertanding sebagai calon Pas pada Pilihan Raya Umum 2004 bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kawasan Kota Damansara di Selangor.
Pendedahan itu dibuat Mohamad Ariff sendiri bagi pertimbangan sama ada beliau patut menarik diri mendengar kes itu atau sebaliknya, merupakan antara tiga perkara yang ditimbulkan dalam kes itu hari ini.
Mohamad Ariff juga pada masa sama menegaskan beliau kini bukan ahli mana-mana parti politik semasa prosiding tersebut.
Bagaimanapun perkara tersebut masih menimbulkan kekeliruan pada sesetengah pihak berikutan nama beliau masih tercatat di laman web Pas Selangor sebagai AJK dilantik bagi penggal tahun 2007/ 2009.
Sementara itu, Ketua Penerangan Pas Selangor, Roslan Shahir ketika dihubungi mengenai kekeliruan pada laman web Pas Selangor berkata, ia hanyalah soal tidak dikemaskini pada carta organisasi.
''Itu carta organisasi yang belum dikemaskini. Itu yang lama tapi Pas Selangor ada beberapa perubahan,'' jelasnya.
No comments:
Post a Comment