23 February 2009

Mahkamah putus permohonan IGP, AG 8 April - Malaysiakini

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 8 April ini untuk membuat keputusan terhadap permohonan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail bagi membatalkan saman fitnah RM100 juta oleh penasihat undang-undang Hindraf, P Uthayakumar.

Pesuruhjaya Kehakiman Datin Zabariah Mohd Yusof menetapkan tarikh tersebut dalam kamar hari ini setelah membenarkan permohonan kedua-dua pihak untuk memfailkan hujah bertulis sebelum 31 Mac ini.

Uthayakumar, 46, yang kini ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), diwakili oleh peguam M Manogaran manakala Peguam Kanan Persekutuan L Chanra Devi mewakili pihak defendan, lapor Bernama.

Uthayakumar selaku plaintiff menamakan Musa sebagai defendan pertama, Abdul Gani defendan kedua dan kerajaan Malaysia sebagai defendan ketiga.

Uthayakumar menyaman dua defendan pertama kerana didakwa mengeluarkan kenyataan yang mengaitkan dirinya dengan puak pelampau pemberontak Harimau Pembebasan Tamil Eealam (LTTE).

Dalam pernyataan tuntutannya, Uthayakumar berkata dakwaan pihak defendan yang mengaitkannya dengan kumpulan pengganas adalah rekaan semata-mata dan bermotif politik.

Uthayakumar bersama empat lagi pemimpin Hindraf ditahan di bawah ISA pada 13 Disember 2007 selepas terbabit dalam penganjuran perhimpunan haram di ibu negara pada 25 November tahun yang sama. - Malaysiakini

No comments:

Post a Comment