24 February 2009

Kerajaan Selangor siasatan rekod perakaunan PNSB - Malaysiakini

Menteri Besar Selangor, selaku pengerusi Pemerbadanan Menteri Besar Selangor, telah mengenal pasti beberapa kelemahan dan kesalahan dalam penyimpanan rekod perakaunan syarikat Permodalan Negeri Selangor (PNSB), demikian menurut satu kenyataan semalam.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Sekretariat Akhbar Pejabat Menteri Besar Selangor itu berkata, antara rekod-rekod yang disyaki terlibat termasuk penyerahan dokumen kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan urusniaga pembelian serta penjualan hartanah di Mekah di antara tahun 2006-2007.

Berikutan itu, menurut kenyataan tersebut, ahli lembaga pengarah PNSB semalam telah mengarahkan Ketua Eksekutif PNSB, Datin Hajah Khairiyah Abu Hassan dan Pengurus Kewangan, Puan Nora Azmin Radzuan, diberi cuti bergaji selama 30 hari supaya kajian selidik dan kemaskini rekod perakaunan dapat dilakukan.

"Keputusan ini menunjukkan kesungguhan kerajaan negeri dalam soal memantau selia, kebertanggungjawaban dan ketelusan dalam segala urusan pentadbiran kerajaan negeri dan semua agensi, badan berkanun, pihak-pihak berkuasa dan pertubuhan yang berkaitan dengan atau di bawah pentadbiran kerajaan negeri Selangor selas dengan dasar 'merakyatkan ekonomi Selangor," kata kenyataan itu.

Menurutnya lagi, kerajaan Pakatan Rakyat Selangor sangat mementingkan ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam menjalankan pentadbiran kerajaan dan pengendalian anak-anak syarikat kerajaan negeri. - Malaysiakini

No comments:

Post a Comment