24 February 2009

Dr Chua: Ugutan supaya saya 'tutup mulut' - Malaysiakini

Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek menyifatkan perbuatan mengedar semula DVD seksnya sebagai satu usaha untuk 'menutup mulutnya".

"Saya yakin bahawa wujud percubaan oleh sesetengah pihak untuk mengedarkan semula DVD tersebut untuk terus memburuk-burukkan, mengugut supaya menutup mulut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Chua, beliau pergi ibu pejabat polis Petaling Jaya hari ini untuk mengenal pasti kandungan DVD berikutan laporan polis yang dibuat seorang penduduk Petaling Jaya baru-baru ini.

Menurutnya, beliau telah memberitahu pihak polis bahawa ia adalah DVD yang sama yang beliau kenal pasti Januari tahun lalu.

Chua berkata, beliau akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis yang menyiasat perkara itu.

Khabar angin telah tersebar bahawa penyokong Chua akan memanggil sidang khas MCA untuk mengemukakan undi tidak percaya terhadap Presiden, Ong Tee Keat.

Oleh itu, perbuatan mengedarkan DVD seks tersebut dilihat sebagai satu usaha untuk menutup mulut Chua.

'Titik hitam moral'

Sebelum ini, akhbar-akhbar Cina melaporkan Chua yakin perbuatan mengedar semula DVD seksnya adalah tindakan musuh dalam partinya untuk terus menyerang karier politiknya.

Beliau dilaporkan kata, ia bertujuan untuk mengingatkan rakyat bahawa beliau masih ada "titik hitam moral".

Chua menjangka perbuatan tersebut akan menjadi lebih rancak selepas perhimpunan Umno Mac ini, kerana dijangka akan berlaku rombakan kabinet.

Dilaporkan DVD tersebut ditemui seorang penduduk di Kelana Jaya dalam peti surat di rumahnya.

Pita tersebut dilaporkan dibungkuskan bersama nota yang meminta penduduk tersebut membuat laporan polis selepas menontonnya.

Laporan polis mengenainya dibuat di ibu pejabat polis Petaling Jaya pada 10 Februari lalu.

Seks di luar tabie

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Hasnan Hassan ketika dihubungi berkata, pihak polis sedang menyiasat perkara itu mengikut Seksyen 292 dan 377A (Kanun Prosedur Jenayah.

Seksyen 377 (A) Kanun Keseksaan meliputi perbuatan seks di luar tabie.

Tindakan boleh diambil terhadap mereka yang mengedarkan DVD tersebut di bawah Seksyen 292 Kanun Keseksaan, yang merangkumi pengedaran bahan lucah.

Video yang memaparkan satu pasangan sedang melakukan hubungan seks dalam sebuah hotel itu, muncul di Johor pada Disember 2007.

Chua kemudiannya mengakui bahawa beliau adalah lelaki dalam video tersebut dan seterusnya melepas jawatan menteri kewangan dan naib presiden MCA.

Walaupun Chua memenangi jawatan timbalan presiden MCA, tetapi beliau dipercayai sukar dilantik menganggotai kabinet kerana imej yang telah tercemar itu. - Malaysiakini

No comments:

Post a Comment