10 January 2009

Pencuri kasut di masjid tumpas

KUALA LUMPUR: Akhirnya rahsia kehilangan kasut berjenama setiap kali solat Jumaat di Masjid Negara di sini sejak beberapa minggu lalu terbongkar apabila seorang lelaki ditahan orang ramai, semalam.

Difahamkan, lelaki berusia dalam lingkungan 30-an itu berjaya meloloskan diri selama dua minggu berturut-turut ketika cuba dicekup jemaah masjid yang menyedari kegiatannya sejurus selesai menunaikan solat.

Penyamun berpakaian agak kemas berkenaan dipercayai berpura-pura kononnya mahu meletakkan kasutnya di rak disediakan sebelum mencuri kasut berjenama.

Kasut curi itu kemudian disimpan dalam sebuah beg galas sebelum lelaki itu masuk ke dalam ruang solat yang dipenuhi ribuan jemaah.

Sejurus selesai solat, lelaki terbabit akan menggunakan laluan bertentangan bertujuan mengelak ditahan jemaah yang mengetahui kegiatan jahatnya itu.

Perkara itu didedah Syed Ahmad Azimin Syed Jamaluddin, 36, yang menahan lelaki itu dengan bantuan rakannya di masjid berkenaan jam 1.30 tengah hari.

Menurut Syed, dia mula menyedari kegiatan lelaki itu dua minggu lalu dan cuba memberkasnya namun gagal apabila suspek dapat melarikan diri.

“Bagaimanapun, ketika mahu memasuki masjid tadi (semalam), saya ternampak lelaki berkenaan mencuri dua kasut jemaah dan menyimpannya dalam sebuah beg.

“Melihat keadaan itu, saya kemudian segera menjerit dan mengejarnya sejauh beberapa meter sebelum menahannya dengan bantuan beberapa rakan lain,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Menurutnya, pemeriksaan di dalam beg dibawa lelaki itu menemui dua kasut berjenama dan polis dihubungi untuk tindakan.

Syed berkata, perbuatan itu amat memalukan kerana mencuri di tempat ibadat dan menyusahkan mangsa yang terpaksa pulang dengan berkaki ayam. - MyMetro

No comments:

Post a Comment