LagiBerita
Sinar Harian | Malaysiakini | CariGold | Utusan | Mstar | BHarian | HMetro | Kosmo | Astro Awani | Harakahdaily | Bernama | Malaysian Digest | Keadilan | Mynewshub | SemasaPost (V) | Malaysiakini (Vid) | MediaRakyat (Vid) | Google | E-mail | Video | Blogger
eXTReMe Tracker

29 February 2008

HARON DIN : PRU MEDAN RAKYAT MENGHUKUM PEMIMPIN

Admin | 4:27 PM | Be the first to comment!
HARAKAH – (29-02-2008)

KUALA LUMPUR, 28 Feb (Hrkh) - Timbalan Mursyidul Am PAS, Dato' Dr Haron Din menegaskan Islam membenarkan kempen mendedahkan keburukan calon parti lawan bagi memastikan pemimpin yang dipilih oleh rakyat benar-benar berwibawa serta berkredibiliti.

Sebelum itu beliau menyelar sikap pihak akhbar tempatan yang melaporkan kenyataan bercanggah maksud mengumpat yang dinyatakan oleh Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

"Saya sudah mendengar sebelum itu apa yang Haji Hadi sebut bukan seperti yang dilaporkan dalam utusan Malaysia," katanya.

Menurut beliau, orang yang berkempen sama ada Umno atau PAS boleh menyebut keadaan sebenar iaitu keburukan orang yang bakal menjadi pemimpin (calon).

Katanya, suasana sekarang kerajaan menjadi satu medan yang akan dihukum oleh rakyat dan perlu menghadapi tuduhan daripada pembangkang.

Sebagai contoh tambah beliau, tindakan kerajaan menaikkan harga barangan dan tol merupakan keburukan yang boleh disebut supaya rakyat boleh mengetahui perkara sebenar.

"Kerajan telah berbohong terhadap rakyat dan inilah yang dimaksudkan mengumpat iaitu menyebut keburukan calon yang bertanding dalam pilihan raya," tegasnya.

Dr Haron yang bertanding di P.003 Arau berkata, PAS menjanjikan tawaran jika menang dalam pilihan raya harga minyak akan diturunkan sebanyak 30 sen satu liter.

Bagaimanapun, tambah beliau, BN mendakwa jika PAS memerintah dengan menurunkan harga minyak maka negara akan menjadi bangkrap.

Katanya, jika benar harga minyak turun 30 sen menjadikan negara bangkrap ia bererti ekonomi Malaysia begitu rapuh dan kedudukan kewangan negara amat lemah.

Sedangkan kata beliau, penurunan 30 sen itu merupakan 15 peratus daripada harga minyak sebenar bermaksud kerajaan akan menerima kekurangan defisit daripada penjualan minyak dengan harga diturunkan 30 sen.

Beliau mempersoalkan adakah dengan kekurangan pendapatan sebanyak 5.4 bilion boleh menjadikan negara bangkrap sebagaimana yang disebut oleh Perdana Menteri (laporan NST).

"Kalau kita mempunyai wang sebanyak 10 juta tiba-tiba kita kehilangan tiga juta, adakah kita akan bangkrap?" soalnya.

Tambah beliau, jika benar bangkrap bermakna ekonomi negara begitu teruk dan selama ini pimpinan negara sudah bercakap bohong dengan rakyat.

Menurut beliau, inilah yang dimaksudkan oleh Presiden PAS boleh menyebut keburukan yang ketara bukan bermaksud mengumpat, mencaci orang tanpa alasan dan tidak tepat pada waktunya. Beliau menegaskan, dalam kempen pilihan raya rakyat berhak menghukum untuk memilih pemimpin yang betul-betul berwibawa.

"Sekarang ini rakyat menuduh pemimpin merosakkan sistem ekonomi dengan pilihan raya tidak telus dan menyeksa rakyat dengan pelbagai isu, jika tuduhan ini tidak benar pemimpin perlu membela diri," katanya.

- http://pakcik-orangkampung.blogspot.com

Shahidan oh Shahidan

Admin | 4:25 PM | Be the first to comment!
Artikel ini ditujukan khusus kepada penduduk Perlis amnya dan pengundi di N12 Tambun Tulang khasnya. N12 Tambun Tulang mempunyai 8,683 pengundi (Melayu: 85.12% Cina: 3.48% India: 1.46% Lain: 9.94%).
Dalam pilihan raya kali ini P3 Arau ditandingi Datuk Dr Haron Din (Pas) dan Datuk Ismail Kassim (BN). Pada pilihan raya 2004 Datuk Seri Diraja Syed Radzlan Syed Putra Jamalullail (BN) hanya menang 3,243 undi mengalahkan Datuk Haron.
Bagi N12 Tambun Tulang kali ini ditandingi Datuk Seri Shahidan Kassim (BN) dan Che Nordin Che Ahmad (Pas). Pada 2004 Shahidan hanya menang dengan majoriti 1,742 undi ke atas Datuk Haron Din.
Saya baru menerima beberapa siri maklumat mengenai peristiwa yang berlaku ketika 'kecoh' Shahidan berjumpa dengan Abdullah Ahmad Badawi di Putrajaya untuk menyerahkan senarai nama calon yang dipilihnya.
Saya akan menulis tiga siri kejadian untuk didedahkan kepada penduduk Perlis dan pengundi di P3 serta N12. Saya akan mulai dengan tiga, dua dan satu kerana siri satu adalah satu pendedahan yang hanya diketahui oleh orang/pengarang kanan dalam sebuah akhbar arus perdana, tetapi tidak diboleh disiarkan atas arahan Ketua Pengarang.

Dalam laman web Pejabat Mufti Perlis, dalam soal jawab dengan Ustad Jamaluddin, Dr Mohd Asri juga menyatakan mengenai calon yang bertanding:
S: Ciri-ciri calon yang patut seseorang pilih, apakah merujuk kepada kualiti calon, atau parti yang diwakili?
Dr. MAZA: Saya tidak bersetuju mengundi hanya berdasarkan jenama parti semata. Ini adalah cara fikir yang menghalang proses kemajuan negara. Akhirnya, rakyat menjadi fanatik parti dan tidak menggunakan lagi akal fikiran menilai siapakah yang diundinya. Jika semua pengundi berfikiran demikian maka tidak akan berlaku persaingan kualiti calon. Ini boleh menyebabkan ‘si bodoh' atau ‘perasuah' atau orang yang rendah moralnya akan terpilih dek kerana parti yang diwakilinya. Ini adalah cara fikir yang tidak berdaya saing dan jumud.
S: Akhirnya, apakah pesanan S.S Dr. kepada rakyat, khususnya umat Islam?
Dr. MAZA: Sesungguhnya undi yang kita berikan kepada seseorang calon adalah perlambangan kepada diri kita sendiri. Jika kita seorang yang inginkan kebaikan, tentu kita akan memilih mereka yang mampu membawa kebaikan dan kesolehan. Begitulah sebaliknya. Jika kita memilih calon yang buruk dari segi kepimpinan dan agamanya, sedangkan ada yang baik, itulah identiti kita sebenarnya. Sabda Nabi s.a.w dalam hadis al-Imam Muslim: "Ruh-ruh itu adalah tentera yang dihimpunkan; apa yang mereka kenal, maka mereka berpadu. Apa yang mereka tidak kenal, maka mereka bertentangan". Nilailah siapakah yang jiwa dan ruh kita cenderung kepadanya, maka itu nilai ruh kita. Maka, pilihlah berdasarkan calon, bukan parti!
SIRI TIGA - Shahidan dan samseng
KANGAR: Dua wartawan Berita Harian cedera selepas dibelasah
sekumpulan penyokong parti politik ketika membuat liputan pada satu majlis
kempen pilihan raya di Bilik Gerakan Barisan Nasional (BN) Beseri di sini, malam
kelmarin.
Ketika kejadian, Menteri Besar, Datuk Seri Shahidan Kassim sedang
berucap di dalam rumah kedai yang bahagian bawahnya dijadikan bilik gerakan.
(klik sini)
Wartawan berkenaan adalah Rashidi dan Adha dan kejadian berlaku di bilik gerakan Barisan Nasional di Beseri. Rashidi adalah wartawan sambilan Berita Harian di Kangar dan menjalankan kontrak secara kecil-kecilan. Beliau dikatakan pernah mendapat kontrak kecil dengan bantuan
Shahidan.
Dalam menjalankan tugas sebagai wartawan, Rashidi terpaksa menemui semua pihak tidak kira pemerintah BN atau pembangkang untuk membuat liputan. Rashidi juga perlu bertemu Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad dan calon BN P1 Padang Besar, Datuk Seri Azmi Khalid.
Rashidi dikatakan sudah diberi maklumat oleh rakan-rakannya bahawa Shahidan marah kerana Rashidi juga rapat dengan Radzi. Maka Shahidan 'melepaskan' samsengnya untuk membelasah Rashidi. Adha yang berada bersama dan cuba meleraikan pergaduhan itu juga dipukul.
BN kemudian membuat tuduhan bahawa dua wartawan itu dibelasah oleh orang PAS.
Namun, akhbar Berita Harian dengan berani mendedahkan secara halus seperti di atas bahawa kejadian berlaku di BILIK GERAKAN BARISAN NASIONAL. Logiknya, mana mungkin orang PAS terlibat di bilik gerakan BN.
SIRI DUA - Shahidan dan RM300 juta
Calon P3 Arau, Ismail adalah adik Shahidan. Sudah diketahui bahawa Shahidan mahu meletakkan kroninya dan menjadikan Perlis hak keturunan beliau. Ismail sebenarnya tidak layak untuk menjadi calon mewakili penduduk di kawasan Parlimen Arau. Berdasarkan
kepada maklumat yang diterima hari ini - Ismail pernah menunjukkan kepada rakan-rakannya photostat buku akaun Shahidan yang mengandungi RM300 juta.
Mulanya, Ismail hanya membuat cerita kepada rakan-rakan beliau bahawa abangnya mempunyai wang jutaan ringgit, tetapi rakan-rakan ini tidak percaya tanpa melihat bukti. Keesokannya Ismail memanggil rakan-rakan beliau dan menunjukkan photostat buku akun mengandungi jumlah wang RM300.
Ya.. wang yang cukup banyak yang mungkin sudah lama dikumpul ketika di BSN dan Bernas dan
ketika menjadi Menteri Besar.
SIRI SATU - Shahidan dan Marriot
PutrajayaPeristiwa ini diceritakan Shahidan Kassim sendiri kepada seorang wartawan di Hotel Marriot Putrajaya.
Peristiwa ini berlaku ketika semua pemimpin negeri ingin bertemu Pak Lah untuk menyerahkan senarai calon. Shahidan juga datang dari Perlis dengan menyediakan senarainya.
Namun, beberapa hari sebelum itu, Radzi sudah membawa tiga gadis, termasuk lepasan UiTM bertemu Pak Lah untuk membuat pengakuan mengeai hubungan mereka dengan Shahidan. Mereka kononnya mendakwa 'dimainkan' Shahidan untuk mendapat tender projek. Segala-galanya diceritakan kepada Pak Lah yang kemudian membuat keputusan akan menyiasat dan tidak menerima Shahidan sebagai calon pilihan raya.
Shahidan yang mengetahui tidakan Radzi membawa gadis berkenaan menemui Pak Lah dan menceritakan segala-galanya kemudian membuat ugutan terhadap Pak Lah dan Radzi. Beliau sedia tidak dicalonkan dalam pilihan raya kali ini, tetapi akan bergerak keseluruh negara untuk mendedahkan keburukan pemimpin Umno.
Bagi mengelak kejadian lebih buruk dan tersebar cerita buruk mengenai pemimpin Umno, Pak Lah dan Radzi terpaksa menerima Shahidan sebagai calon.

- http://hard-t.blogspot.com

'Ujian api' Nurul di Lembah Pantai

Admin | 2:00 PM | Be the first to comment!
rencana Di ambang hari penamaan calon, Nurul Izzah Anwar, wakil PKR untuk parlimen Lembah Pantai, membayangkan bagaimana dirinya menjadi peribadi yang tercampak dalam arus sejarah.

Anak sulung ikon reformasi Datuk Seri Anwar Ibrahim, kini berusia 27 tahun, berdepan kepayahan di saat-saat akhir bersiap untuk berkempen bagi melonjakkan semula dirinya di depan pengundi.

Sembilan tahun yang lalu, sewaktu bersiap untuk melanjutkan pengajiannya di Universiti Petronas di Tronoh, Perak dalam jurusan kejuruteraan, Nurul secara tidak sengaja tersedut dalam perkembangan politik panas waktu itu apabila bapanya, sebagai timbalan perdana menteri, telah disingkirkan dan bertarung dalam pergulatan kehakiman dan politik - kesannya masih terasa hingga kini.

Secara tiba-tiba seorang pelajar pra-universiti yang baru melangkahkan kaki ke dunia teori akademik tertujah ke kampus jalanan di mana seseorang itu belajar daripada turutan pengalaman.

"Susah untuk saya memahami keadaan pada waktu segalanya itu terjadi," katanya dalam satu temubual dengan Malaysiakini sebelum bergegas untuk menghadiri mesyuarat dengan penasihat-penasihat kempen beliau.

"Yang membuatkan saya nekad ialah kata-kata ayah: 'Saya telah dipersalahkan dan saya mesti berjuang untuknya'," katanya, mengingati hari-hari bergelora September 1998 apabila Anwar tersungkur daripada menjadi calon perdana menteri kepada objek tertuduh yang memalukan.

Susulan pemecatan Anwar, Nurul yang sebelum ini langsung tidak dikenali telah berubah menjadi simbol perubahan serantau dalam pergerakan untuk reformasi politik itu.

"Setahun sebelum itu, semasa berbual di majlis makan malam sewaktu beliau masih pemangku perdana menteri, beliau menasihati kami - anak-anaknya - supaya tidak tamak. Ayah akan bercakap dalam bahasa Melayu baku apabila dia sedang bersungguh-sungguh menyatakan sesuatu perkara dan mustahil untuk menyampuk dan bertanyakan sesuatu lebih perinci.

"Anda perlu fokus untuk menangkap apa yang cuba diperkatakannya dan berusaha faham apa masalahnya. Bukan masanya untuk bertanya lebih lanjut tentang latar sesuatu perkara. Dia berkerja keras dan jarang sekali bercakap hal-hal remeh tetapi dia memang bercakap perkara-perkara yang anda perlu tangkap untuk memahami seluruh perbualannya," cerita Nurul.

Nurul kemudiannya menangguhkan pengajiannya dan berkempen di dalam dan luar negara untuk meraih sokongan moral untuk bapanya. Tidak ada waktu percubaan untuk penyertaannya dalam politik; dia terjun terus ke arena tersebut.

"Ia satu ujian api dan saya terpaksa mempelajari segalanya sewaktu mengharunginya," ujarnya. "Terlalu sedikit masa untuk muhasabah dan sedikit pula masa untuk melihat jauh arah ke depan."

Beberapa tahun kemudian, setelah Anwar kalah dalam semua kes mahkamahnya dan dihumbankan ke penjara Sungai Buloh, Nurul menyambung pelajaran, menamatkannya dan menjejakkan kaki ke gerbang perkahwinan sebelum melanjutkan pendidikan di peringkat sarjana dalam bidang Hubungan Antarabangsa di Universiti John Hopkins di Amerika Syarikat.

Dia kembali ke tanah air tahun lepas untuk menjadi salah seorang pembantu bapanya. Anwar bekerja sebagai pensyarah jemputan di Universiti Georgetown sejurus selepas pembebasannya dari penjara pada 2004, kemudiannya pulang ke tanah air untuk memimpin PKR dalam misi meneruskan agenda perubahan politik.

Nurul berpuas hati sekadar berada di belakang tabir dan menjaga bayinya yang baru dilahirkan September lepas. "Saya sebenarnya tidak berminat menjadi calon walaupun nama saya telah disebut-sebut sebagai seorang calon sejak pilihanraya 2004 lagi."

Minggu lalu, kawan-kawan bapanya, pembantu-pembantu dan penyokong-penyokong Anwar, yang hampir kesemuanya separuh abad umur mereka, memujuknya supaya bertanding di Lembah Pantai dengan menyatakan masanya sudah sampai untuk terjun dalam gelanggang politik.

"Mereka kata hari-hari saya sebagai lambang sudah tamat dan kini masanya untuk kehadiran ketara saya dalam gerakan pembaharuan politik ini."

"Di samping keinginan saya untuk bersama anak, saya rasakan desakan kuat yang sama seperti sewaktu membantu bapa saya sembilan tahun lalu. Saya rasakan bahawa saya perlu bergerak bersama arus ini dan bersedia untuk membuka satu lembaran baru hidup saya," katanya sebelum bergegas ke mesyuarat dengan pembantu-pembantunya.

Nurul mencabar penyandang Shahrizat Abdul Jalil, menteri hal-ehwal wanita dan naib ketua Wanita Umno, di kawasan berjumlah 55,989 pemilih berdaftar. Calon N Periasamy turut serta

Shahrizat menang dengan majoriti 15,288 undi pada 2004.

- http://malaysiakini.com

SPR edar senarai pemilih mati

Admin | 1:56 PM | Be the first to comment!
Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) akan mengedarkan senarai nombor kad pengenalan dan nama-nama pemilih berdaftar, yang meninggal dunia dari 1 Januari sehingga 7 Mac ini, kepada semua ketua tempat mengundi di seluruh negara.

Langkah itu, untuk memastikan tiada pengundi lain yang akan mengguna pakai kad pengenalan pengundi yang telah meninggal untuk mengundi pada 8 Mac depan.

Setiausaha SPR Datuk Kamaruzaman Mohd Noor berkata, langkah itu membolehkan ketua-ketua tempat mengundi menandakan dalam buku daftar pemilih masing-masing nama pengundi yang telah meninggal dunia dan kertas undi tidak akan dikeluarkan.

Daftar Pemilih Induk (DPI) yang diguna pakai dalam pilihanraya umum ke-12 (PRU 12) diwartakan pada 5 Februari lalu dan mengandungi 10,922,139 pemilih yang telah dibersihkan daripada senarai pemilih yang meninggal dunia dari 1 Januari 2004 hingga Disember lalu, seramai 697,902 orang, demikian menurut Bernama.

Bagaimanapun, katanya SPR peka bahawa mulai 1 Januari lalu hingga 7 Mac ini, akan ada pemilih berdaftar yang tersenarai di dalam DPI yang meninggal dunia pada setiap hari.

"Tetapi peruntukan undang-undang pilihanraya semasa tidak membenarkan SPR terus mengeluarkan nama-nama mereka daripada DPI," katanya sambil menambah nama pemilih yang meninggal dunia sepanjang tempoh tersebut akan hanya dipamerkan pada depan untuk semakan orang awam.

Hukuman menyamar


Kamaruzaman berkata, arahan tegas turut dikeluarkan kepada ketua tempat mengundi di seluruh negara supaya mendapatkan bantuan anggota polis yang bertugas di setiap saluran mengundi untuk terus menangkap mana-mana pengundi yang menggunakan kad pengenalan pengundi yang telah meninggal dunia.

Katanya, ia adalah satu kesalahan penyamaran di bawah Seksyen 7 Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 dan lazimnya ditangkap di bawah Kanun Acara Jenayah.

"Jika sabit kesalahan, seseorang yang menyamar itu boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun dan denda tidak kurang daripada RM1,000 dan tidak lebih daripada RM5,000," katanya.

Sebagai usaha berterusan SPR untuk membersihkan DPI daripada senarai kematian, Kamaruzaman berkata SPR telah menghantar pasukan bergeraknya ke balai-balai polis di seluruh negara bagi mendapatkan salinan permit mengubur.

"Sebagai contoh, pada tahun lalu, SPR telah berjaya mengeluarkan 10,064 pemilih berdaftar yang telah meninggal dunia menerusi mekanisme itu.

- http://malaysiakini.com

Mahfuz dedahkan calon BN N10 ada kes pecah amanah

Admin | 1:52 PM | Be the first to comment!
JERLUN: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyerahkan kepada Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) bagi menentukan kedudukan calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Bukit Pinang, Che Omar Saad yang didakwa kononnya mempunyai kes pecah amanah. Perdana Menteri berkata BN tidak dapat berbuat apa-apa kerana nama beliau telah pun disahkan sebagai calon walaupun pihak pembangkang membuat dakwaan mengenai kes Che Omar.

"Kami perlu mendapatkan agensi yang berkaitan untuk mengemukakan laporan dan kami akan menimbangkan untuk mengambil tindakan sewajarnya. Mungkin ada yang tidak termasuk dalam rekod kami...tetapi kami telah pun mendapatkan maklumat yang perlu daripada agensi-agensi yang berkenaan," katanya kepada pemberita selepas majlis perjumpaan bersama rakyat dekat sini, hari ini.



Ketua Penerangan PAS Mahfuz Omar hari ini mendakwa BN telah meletakkan calon yang mempunyai kes pecah amanah bagi kerusi negeri Bukit Pinang yang ditandinginya di sini. Mahfuz mendakwa Che Omar telah dilucutkan jawatan sebagai anggota Lembaga Pengarah Koperasi Guru-guru Melayu Kedah Berhad sejak 25 Dis 2007 kerana kes penyalahgunaan kuasa semasa pembelian tanah koperasi melebihi RM6 juta
Ketua Penerangan PAS Mahfuz Omar hari ini mendakwa BN telah meletakkan calon yang mempunyai kes pecah amanah bagi kerusi negeri Bukit Pinang yang ditandinginya di sini.

Mahfuz mendakwa Che Omar telah dilucutkan jawatan sebagai anggota Lembaga Pengarah Koperasi Guru-guru Melayu Kedah Berhad sejak 25 Dis 2007 kerana kes penyalahgunaan kuasa semasa pembelian tanah koperasi melebihi RM6 juta.

Pengurusan koperasi itu kemudian membuat aduan polis mengenai beberapa kes penyelewengan Che Omar pada Disember lepas, dakwa Mahfuz.

Abdullah berkata BN sememangnya menyaring semua bakal calonnya sebelum mereka dipilih bagi mengelakkan sebarang insiden yang tidak diingini berlaku.

Beliau berkata semua pihak termasuk Menteri Besar Datuk Seri Mahdzir Khalid telah diminta untuk merujuk kepada Jabatan Insolvensi, Badan Pencegah Rasuah dan polis secara spesifik bagi memastikan seseorang calon itu layak untuk bertanding.

Perdana Menteri berkata baru-baru ini pun terdapat satu kes yang melibatkan seorang calon mempunyai kes mahkamah bersabit kesalahan jenayah dan BN tidak benarkan dia bertanding.

"Ada lagi kes yang berkaitan dengan rasuah yang kerananya BN tak benarkan mereka bertanding...sebelum penamaan kami dah buat keputusan itu...(telah) cuba untuk berhati-hati sebaik mungkin," katanya.

- http://klpos.com

Penyokong BN ganas belasah wartawan

Admin | 1:50 PM | Be the first to comment!
KANGAR: Dua wartawan Berita Harian cedera selepas dibelasah sekumpulan penyokong parti politik ketika membuat liputan pada satu majlis kempen pilihan raya di Bilik Gerakan Barisan Nasional (BN) Beseri di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 12.20 tengah malam itu, Rashidi Karim, wartawan sambilan di sini cedera di lengan kanan, kepala dan tangan serta pecah bibir manakala wartawan Adha Ghazali ditumbuk di muka ketika cuba meleraikan kejadian itu.

Rashidi berkata, ketika kejadian beliau dan tiga yang lain termasuk Ketua Biro Utusan Malaysia, Johari Shawal dan jurugambar sambilan Berita Harian, Shahidi Shahidan, berada di luar rumah kedai yang dijadikan bilik gerakan untuk membuat liputan.

"Bagaimanapun, seorang lelaki tiba-tiba menarik baju saya ke belakang dan terus ditumbuk dan ditendang oleh beberapa yang lain,” katanya.

Ketika kejadian, Menteri Besar, Datuk Seri Shahidan Kassim sedang berucap di dalam rumah kedai yang bahagian bawahnya dijadikan bilik gerakan. Turut hadir pada majlis itu ialah bekas calon BN Beseri, Datuk Zahidi Zainul Abidin.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perlis, Superintendan Mat Nasir Hussain, ketika dihubungi mengesahkan menerima aduan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Beliau berkata, polis menahan tiga lelaki untuk membantu siasatan kes berkenaan.

Sabit kesalahan boleh dipenjarakan maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

- http://klpos.com

Dr M sifatkan Khairy membawa bencana

Admin | 1:35 PM | Be the first to comment!
KUALA LUMPUR, 29 Feb (Hrkh) - "Saya rasa, jika anda mengikut mereka, ia akan membawa bencana kepada parti".

Itulah jawapan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad apabila ditanya tentang kemungkinan menantu Perdana Menteri, Khairy Jamaluddin dan Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memainkan peranan yang lebih besar dalam Umno selepas pilihan raya ini.

Dalam temubual dengannya yang disiarkan oleh Today Online semalam, Dr Mahathirt juga berkata kad laporan yang dikemukakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak melaporkan perkara-perkara yang negatif.

"Sebagai contoh, kehilangan begitu banyak wang, prestij negara menurun dan hakikat bahawa ramai yang tidak dapat mencari kerja dan perniagaan di dalam negara ini. Mereka terpaksa pergi ke tempat lain," kata bekas Perdana Menteri.

Dr Mahathir menyifatkan koridor demi koridor yang dilancarkan oleh Abdullah hanya pengumuman semata-mata.

"Tidak ada apa-apa yang berlaku di tempat berkenaan. Jumlah wang yang terlibat begitu hebat. Sehingga bertrilion ringgit dan akan menjadi kenyataan mungkin dalam masa 10 hingga 20 tahun lagi. Oleh itu, kesemuanya adalah janji. Sesiapa sahaja boleh berjanji," katanya.

Beliau juga tidak menolak tanggapan bahawa tindakan mencalonkan anaknya, Datuk Mukhriz bertanding di Jerlun adalah untuk meminggirkannya. Sebelum diletakkan bertanding di Jerlun, Mukhriz menyatakan kesediaannya untuk bertanding di Langkawi, yang disifatkan oleh pemerhati sebagai lebih selamat.

"Saya tidak tahu. Sesetengah orang berkata, perkara itu memang berlaku. Tetapi, saya tidak ada bukti".

Mengenai peluang pembangkang dalam pilihan raya ini, Dr Mahathir menjangkakan undi Barisan Nasional akan berkurangan.

"Saya agak pasti kekecohan di jalan raya sejak November lalu akan memberikan kesan ke atas jumlah undi yang diberikan kepada kerajaan. Jumlah undi (Barisan Nasional) akan berkurangan," kata Dr Mahathir yang menyifatkan pembangkang tidak kelihatan boleh berkerjasama.

Kekuatan pembangkang, katanya, ialah kerana begitu banyak perkara negatif termasuk banyaknya kes rasuah di dalam kerajaaan dan peningkatan kadar jenayah.

- http://www.harakahdaily.net

Husam minta jentera PAS guna layar besar untuk berkempen

Admin | 1:33 PM | Be the first to comment!
KOTA BHARU, 28 Feb (Hrkh) - Naib Presiden PAS, Datuk Haji Husam Musa meminta jentera penerangan PAS dan parti-parti pembangkang di seluruh negara menggunakan skrin besar sebagai salah satu media kempen pilihan raya.

Beliau menyatakan perkara itu ketika memaklumkan persetujuan Ketua Polis Kelantan, Datuk Abdul Rahim Hanafi kepada permintaan PAS untuk mengggunakan skrin besar bagi menayangkan majlis ceramah dan kempen sepanjang pilihan raya umum kali ini.

"Negeri-negeri lain juga mesti menggunakan skrin besar untuk berkempen kepada para pengundi. Jika penggunaan skrin besar itu diluluskan di Kelantan, tidak ada sebab ia tidak boleh digunakan di negeri-negeri lain," kata beliau.

Sebelum ini, polis Kelantan melarang penggunaan skrin besar dalam kempen pilihan raya kali ini.

Larangan tersebut dikeluarkan oleh Abdul Rahim sebaik sahaja proses penamaan calon selesai dilakukan pada 24 Februari lepas.

Berikutan larangan itu, Badan Perhubungan PAS Kelantan telah bertemu dengan Ketua Polis Kelantan itu dan berjaya meminta kerjasama beliau supaya menarik balik larangan itu.

- http://www.harakahdaily.net

"Dah tak bersua, nak bersalam macam mana?"

Admin | 5:32 AM | Be the first to comment!
Ada benarnya kata orang bahawa seseorang yang telah berbohong akan sanggup berbohong sepuluh kali lagi bagi menutup pembohongan awalnya itu. Ada orang kata pepatah ini milik Adolf Hitler, diktator Jerman yang digeruni musuh itu. Ada juga yang mendakwa ia pepatah Cina dan ada yang kata ia kata-kata hikmah ahli failasuf Barat.

Tak kisahlah siapapun yang empunya pepatah itu. Apa yang nyata ia amat bertepatan dengan gelagat para pemimpin politik negara ini. Keghairahan para pemimpin Barisan Nasional memutarbelit fakta isu salam di Terengganu boleh dijadikan contoh.

Dalam kejadian yang didakwa berlaku pada hari penamaan calon Pilihan Raya Umum ke-12, Ahad (24 Februari) lalu, Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dikatakan enggan bersalam dengan lawannya dari BN bagi kerusi Parlimen Marang, Dato' Dr. Ahmad Ramzi Mohd Zubir.

Anehnya, perkara itu hanya diperbesarkan keesokan harinya. Orang yang membuka cerita itu pula tidak lain daripada Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Idris Jusoh. Mengapa cerita ini tidak dicetuskan tuan empunya diri (Ramzi) sendiri?

Ketika bercakap kepada pemberita selepas menghadiri program kempen bersama calon-calon BN di Kampung Rhu Muda, Marang, Isnin lalu, Idris dilaporkan menempelak Abdul Hadi sebagai angkuh.

"Saya diberitahu mengenai insiden itu semalam. Inilah sikap sebenar pemimpin PAS. Saya tidak pasti apakah sebabnya Abdul Hadi tidak mahu bersalam dengan Ahmad Ramzi," katanya.

Panjang lagi leterannya, termasuk mengaitkan pula dengan ajaran Islam yang menyuruh kita menghormati orang lain dan menyambut salam. Seolah-olah Abdul Hadi selaku seorang ulama dan tok guru tidak tahu hukum dan adab itu.

Siapa tidak kenal Idris? Seorang pemimpin yang entah berapa kali telah berbohong terang-terangan kepada seluruh rakyat Terengganu. Mahu disenaraikan siri pembohongan beliau?

Di minggu pertama jadi MB, dia kata kerajaan BN pimpinannya tidak akan balas dendam. Dalam minggu itu juga ratusan penjawat awam lantikan politik dihentikan khidmat mereka. Beberapa pegawai kanan kerajaan turut menjadi mangsa. Belasan imam dan bilal kemudiannya turut dipecat.

Tanah dianugerah kerajaan PAS dirampas semula. Penerima bantuan kebajikan yang disenaraikan kerajaan PAS dikeluarkan semula dari senarai. Apakah itu tidak balas dendam namanya?

Idris sering sebut sejak BN memerintah Terengganu rakyatnya semakin ceria. Barangkali dia mahu mengiyakan slogan yang diciptanya sendiri, ‘BN Menang Rakyat Senang’.

Siapa sebenarnya rakyat yang senang itu? Siapa lagi kalau bukan kroni dan para penyokongnya. Ada pun rakyat terbanyak masih hidup merempat. Golongan miskin dan termiskin malah makin bertambah.

Kalau nak dikatakan dakwaan ini direka-reka pembangkang, bagaimana dengan pendedahan mengenainya oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri sendiri?

Dalam satu laporan dikeluarkan EPU pada Oktober 2006, disebutkan kadar kemiskinan rakyat Terengganu meningkat kepada 15.4 peratus. Jumlah isi rumah miskin tegar pula seramai 8,300 dan kedua tertinggi dalam negara.

Sedangkan (menurut kenyataan Adun PAS-Wakaf Mempelam, Mohd Abdul Wahid Endut) sewaktu diambil alih BN daripada PAS, kadar itu hanyalah 10.4 peratus. Terengganu di bawah PAS berada di kedudukan keempat dalam jumlah miskin tegar tertinggi.

Maka apabila Idris berkata di bawah BN, rakyat semakin senang, tidakkah itu satu pembohongan? Tak bohong macam mana kalau sampai rakyat terpaksa pergi merempat di tangga tokong Cina, meminta sedekah dari orang bukan Islam?

Ada lagi. Idris menjanjikan peluang pekerjaan kepada rakyat Terengganu. Di awal pemerintahannya dia sebut nak sediakan 25,000 peluang kerja. Sekarang, selepas empat tahun, mana peluang kerja tu?

Ya, memang ada dua gedung perniagaan besar. Tapi ia dipenuhi para pekerja asing, termasuk dari Bangladesh, Indonesia dan Nepal. Di tapak-tapak pembinaan beberapa projek besar seperti Pulau Wan Man, Pulau Duyong, stadium dan lebuh raya pun begitu juga.

Ada lagi peluang kerja, iaitu di tapak pelupusan sampah. Rakyat berkhemah di situ bagi mengumpul bahan buangan. Barangkali itu pun peluang pekerjaan yang dijanjikan Idris juga?

Idris berbohong kononnya di bawah BN anak-anak makin pintar. Maka bagi menutup pembohongannya yang menyalahi fakta sebenar, Idris berbohong lagi kononnya Terengganu sentiasa menjuarai keputusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).

Sewaktu mengulas keputusan UPSR 2007, Idris turut menyebut bahawa Terengganu telah mengekalkan kejayaan sebagai negeri terbaik UPSR selama tujuh tahun berturut-turut. Ini memang jelas bohong.

Seluruh negara tahu, selama lima tahun berturut-turut Terengganu jadi negeri terbaik dalam UPSR. Kita juga tahu Terengganu gagal mempertahankan rekod cemerlang itu 2006 lalu. Terengganu jatuh ke tangga ketiga, katanya selepas Pulau Pinang dan Selangor.

Kalau sudah jatuh ke tangga ketiga, walaupun sekali, berturut-turut ‘kepala *%£$+’ apa macam tu?

Idris berbohong lagi. Dia bohong pasal ribuan kanak-kanak khatam al-Quran. Walhal budak-budak tu hanya hafal beberap surah Muqaddam.

Dia bohong kononnya selama empat tahun memerintah, PAS tak bina walau sebuah pun masjid. Dia bohong mengatakan berlaku pembalakan haram dan penyelewengan hasil hutan di zaman PAS. Tetapi apabila kerajaan BN sendiri tubuh suruhanjaya khas siasat hal itu, sah lah tiada penyelewengan berlaku.

Idris sudah diketahui memang kuat berbohong. Barangkali di atas faktor itulah Idris merasakan lebih baik beliau sendiri yang membuka cerita fitnah mengenai salam ini. Sebabnya, beliau memang pakar dalam bab mencipta fitnah.

Barangkali juga Ahmad Ramzi selaku pendatang baru dalam konfrontasi politik Terengganu belum terbiasa dengan cara gaya fitnah dan berbohong ini. Lalu Idris mereka-reka cerita kononnya Presiden PAS enggan bersalam dengan calon BN.

Tetapi Ramzi sendiri pun nampaknya cepat belajar daripada bosnya. Akhbar semalam (Rabu) memetik katanya yang mengiyakan fitnah dilemparkan bosnya kepada Abdul Hadi itu.

"Memang masa itu saya cuba bersalam dengan beliau (Abdul Hadi), macam mana pula beliau kata tidak berkesempatan bertemu saya. Itu hanya alasan supaya tidak terus dilabel sebagai seorang pemimpin yang angkuh," katanya sebagaimana dipetik akhbar.

Sekalung tahniah buat Ramzi yang telah berjaya menganggotai kelab 'Berehi Nawok' (akronim baru untuk BN). 'Berehi Nawok' adalah kalimah Terengganu bermaksud suka berbohong.

Bagi mendapatkan gambaran sebenar kejadian tersebut, penulis menghubungi beberapa rakan di Marang. Mana tahu kalau-kalau mereka ada bersama Presiden PAS ketika itu.

Berdasarkan keterangan (secara berasingan) tiga daripada mereka, penulis berani menyimpulkan bahawa keadaan yang dikatakan 'bertemu' itu sebenarnya tidak berlaku.

'Dah memang kedua-dua (Abdul Hadi dan Ramzi) tak bertemu dekat, nak bersalam macamana?’, soal Haji Wahab Othman yang turut berada di dalam rombongan Abdul Hadi pagi itu.

Haji Wahab bukan orang asing bagi penduduk Marang, khususnya di Dun Rhu Rendang yang turut diwakili Abdul Hadi. Wahab telah menjadi wakil calon kepada Presiden PAS itu sejak beberapa penggal lalu.

Beliau juga Setiausaha Dun Rhu Rendang dan Setiausaha Kerja Pejabat Adun Rhu Rendang sejak sekian lama.

Menurut beliau, kedua-dua calon berkenaan memang tidak bersemuka walau pun di dalam dewan tempat penamaan calon. Rombongan Abdul Hadi masuk lewat 20 minit daripada rombongan calon BN itu.

"Ketika kami masuk (untuk menyerahkan borang pencalonan), Ramzi (calon BN) dah masuk ke tempat rehat. Dia dah selesai proses serah borang.

"Kami selesai, kami masuk bilik (rehat) berasingan. Memang tak jumpa (rombongan BN) sepanjang tempoh penamaan calon tu," kata Wahab.

Menurut Setiausaha Khas Presiden PAS, Zaihan Mohd Daud pula sebaik selesai proses penamaan calon, Abdul Hadi mengadakan sidang media, terutama bagi mengulas arahan tidak konsisten Suruhajaya Pilihan Raya (SPR) mengenai syarat pematian setem pada borang pencalonan.

Abdul Hadi, menurut beliau, tidak hadir ke tempat pengumuman calon sah bertanding oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya.

"Tahun ni memang pelik daripada sekala (kebiasaan). Selalunya Pegawai Pengurus minta semua calon bersalam, tapi tahun ni tak berlaku benda tu," tambah Wahab lagi.

Menurut maklumat diterima seorang rakan wartawan, isu bersalam ini sebenarnya berpunca daripada dua jurugambar akhbar berhasrat mengambil foto kedua-dua calon untuk Parlimen Marang dalam posisi tersebut.

"Yang bersungguh meminta untuk bersalam katanya jurugambar tu, bukan calon BN pun," ujar rakan tadi.

Menurutnya juga, oleh kerana Abdul Hadi sedang menuju keluar ke arah tempat letak kereta dan berada agak jauh daripada Ramzi, Presiden PAS itu tidak menganggap masih ada perkara penting yang perlu dilayannya.

Fakta kedudukan sebenar antara mereka ini turut dinyatakan Ramzi dalam kenyataannya disiarkan Utusan Malaysia semalam.

"Panggilan kepada Tok Guru (Abdul Hadi) ajak dia bergambar dengan Ramzi tu dari jarak agak jauh. Tok Guru sekadar sebut, ‘tak perlu ambik gambar, dah banyak dah gambar’.

"Tok Guru tak kenal pun yang berdiri bersama jurugambar tu calon BN hak lawan dia, tapi Tok Guru angkat tangan," kata rakan penulis itu.

Itulah keadaan sebenar yang berlaku. Idris dalam kenyataannya kelmarin ada sebut beliau tidak pasti apakah sebabnya Abdul Hadi tidak mahu bersalam dengan Ahmad Ramzi.

Barangkali beliau memang tak tahu. Barangkali juga beliau sudah tahu keadaan sebenar, tetapi masih cuba memfitnah parti lawan.

Barangkali beliau sudah tidak dapat menahan diri daripada bercakap bohong, kerana BN sebenarnya sudah ketandusan isu bagi mengembalikan keyakinan rakyat Terengganu kepadanya.

- http://www.harakahdaily.net

Puteri Reformasi diserbu penyokong dan peminat di Pantai Dalam

Admin | 5:21 AM | Be the first to comment!
KUALA LUMPUR, 28 Feb (Hrkh) - Calon KeADILan bagi Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar yang lebih dikenali sebagai Puteri Reformasi, dikerumuni oleh penyokong-penyokong dan peminat beliau pada satu ceramah yang diadakan di Pantai Dalam, malam semalam.

Dengan ditemani oleh suaminya Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim, Nurul Izzah berjalan menuju ke bilik gerakan KeADILan dengan disambut oleh sekumpulan anak muda bermotorsikal yang mengibarkan bendera KeADILan. Beliau bersalaman dengan wanita dan kanak-kanak yang hadir tetapi hanya sekadar menganggukkan kepala kepada kaum lelaki yang ada di sekelilingnya.

Gaya Nurul Izzah cukup memikat hati apabila beliau memulakan ceramahnya dengan memberi salam dalam pelbagai bahasa termasuk Mandarin dan Tamil kepada orang ramai yang hadir.

Dalam ucapannya Nurul Izzah berjanji untuk membantu mempertingkatkan kualiti hidup penduduk-penduduk di dalam kawasannya terutama setinggan yang tinggal di rumah panjang, yang katanya tidak mendapat manfaat daripada pembangunan negara.

Katanya, sekiranya beliau dilantik menjadi wakil rakyat, beliau mempunyai posisi yang lebih baik untuk bersuara bagi pihak mereka berbanding lawannya, Dato' Sharizat Abdul Jalil, kerana beliau mewakili pembangkang.

"Tidak menjadi masalah bagi saya untuk mengkritik kerajaan," katanya.

"Saya berdiri di sini untuk anda semua, dan anda semua perlu menyahut seruan ini dengan berkata kepada kerajaan Barisan Nasional bahawa kami sudah tidak sanggup lagi. Kerajaan tidak boleh memandang ringan kepada kami lagi," katanya.

Terdahulu, pada sebelah petang Nurul Izzah berkata beliau telah bertemu penduduk Pantai Dalam di stesen komuter dan beliau difahamkan bahawa penduduk rumah panjang tidak pernah menikmati perubahan sejak 17 lalu.

"Ahli Parlimen BN berada di sini sejak 12 tahun lalu, tetapi kehidupan penduduk rumah panjang masih seperti dulu. Tiada perubahan. Mereka masih tidak dapat menikmati kualiti hidup. Fikirkanlah tentang masa depan anda, dan undilah saya.

"Saya akan buat yang terbaik untuk memperbaiki keadaan di sini," katanya sambil disambut dengan tepukan yang gemuruh daripada mereka yang datang mendengar ceramahnya.

Beliau turut mengulangi janji Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) untuk menurunkan harga minyak sekiranya parti itu memerintah, dan berkata kerajaan hanya tahu membuat janji-janji kosong dan bersikap angkuh kerana tidak mahu mendengar pandangan ahli ekonomi.

"Negara kita kaya. Kerajaan mampu memberi gaji minima RM1,500 sebulan. Tetapi walaupun negara makmur, rakyat menderita. Mengapa rakyat harus menjadi mangsa sedangkan kerajaan berbelanja mewah?" soal beliau.

- http://www.harakahdaily.net

"Tak kan saya pi maki hamun, pi mengata orang" - Bohong lagi!

Admin | 5:18 AM | Be the first to comment!
Presiden PAS, Tuan Guru Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang berkata, "tidak salah mendedahkan keburukan-keburukan" parti lawan.

Untuk memudahkan perkara itu difahami, ambil contoh dua kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Kenyataan pertama dilaporkan oleh Utusan Malaysia 5 April 2007.

Akhbar itu melaporkan, Perdana Menteri mengarahkan semua wakil rakyat Barisan Nasional membuat pengisytiharan harta. Beliau menegaskan, pengisytiharan perlu dibuat meliputi harta-harta yang dimiliki oleh wakil rakyat serta ahli keluarga masing-masing.

Kenyataan yang kedua pula dilaporkan oleh akhbar yang sama pada 30 November 2006.

Perdana Menteri menegaskan, beliau tidak bercadang membuat pendedahan tentang harta yang dimiliki oleh anak-anak mahupun menantunya.

‘‘Itu (harta) adalah hak ahli keluarga saya, tak payahlah saya umumkan harta yang mereka miliki,’’ katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno.

Tambahan pula, katanya, tindakan ahli keluarganya untuk memiliki harta bukanlah satu perbuatan yang salah.

Perdana Menteri berkata, begitu juga dengan anak-anak dan menantunya, mereka tidak perlu mengambil tindakan mengisytiharkan harta mereka.

Adakah kita akan mendapat pahala jika kita mendiamkan sahaja dua kenyataan Perdana Menteri yang bertentangan itu?

Dan, adakah kita akan berdosa dan disiksa api neraka jika kita mengumpat di hadapan rakyat Malaysia tentang dua kenyataan berlawanan Perdana Menteri mereka?

Mengulas kenyataan Presiden PAS itu, Bernama melaporkan Perdana Menteri berkata: "Buat apa kita nak ikut...tak pernah (kita buat begitu).

"Tengoklah apa yang saya cakap selama ini, tak kan saya pi (pergi) maki hamun, pi mengata orang. Kita hormat pada orang lain yang tidak sama dengan kita, mesti ada kesopanan dalam hubungan sesama manusia".

Sedapnya lidah tak bertulang berkata-kata. Bagaimana pula laporan Berita Harian 11 Ogos 2006 bertajuk "Pak Lah tak layan sikap macam iblis"?

Berdosakah kalau diceritakan bahawa pemerhati dan penganalisis politik menganggap kenyataan Abdullah itu ditujukan kepada bekas ketuanya, Tun Dr Mahathir Mohamad?

Jika tidak, mengapa bekas Perdana Menteri menyifatkan pemimpin-pemimpin Umno membawa budaya kurang ajar, menjadikan beliau pariah dalam parti itu serta memanggilnya beruk dan iblis.

"Itu budaya kurang ajar. Ada yang panggil saya beruk, ada panggil iblis, ini budaya Umno yang baru," kata Dr Mahathir.

Menuduh orang lain iblis bukan maki hamun? Bukan mengata orang? Tambah Lah! Tambah!

Tambah lagi koleksi pembohongan dengan memuji-muji diri kononnya "tak kan saya pi (pergi) maki hamun, pi mengata orang".

Bernama juga melaporkan Perdana Menteri mendakwa tentang "pertumbuhan ekonomi yang kukuh, 6.3 peratus pada 2007, iaitu kadar tertinggi sejak pilihan raya umum 2004, hasil daripada amalan perbelanjaan domestik yang ampuh dan peningkatan jumlah pelaburan".

Jangan mudah percaya. Dr Mahathir pernah berkata: "Everybody says things have slowed. Of course, the figures that are trotted out says that everything is fine, but figures can hide a lot of things".

Dalam berita bertajuk "Jangan biar pembangkang jadikan negara sebagai bahan eksperimen," Bernama juga melaporkan, Perdana Menteri menasihatkan rakyat supaya tidak terpengaruh dengan rayuan pembangkang yang meminta mereka diberikan peluang selama satu penggal untuk memerintah negara.

Beliau berkata soal memilih kerajaan bukan merupakan satu perkara yang boleh dijadikan bahan eksperimen atau percubaan kerana jika tersalah pilih rakyat yang akan merana.

Kalau eksperimen berbahaya, bagaimana pula tindakan mempersembahkan kedaulatan negara kepada Singapura?

New Straits Times (NST) 2 Mei 2006 melaporkan Dr Mahathir berkata: ""If you surrender your sovereignty to Singapore ... I think this is a half-past-six country which has no guts".

Orang yang mengangkat Abdullah sebagai Perdana Menteri itu juga berkata: "I promised not to interfere in politics and I have not said anything about many things done which were wrong.

"But this is the limit - to surrender your sovereignty to Singapore as if you are scared of them".

Kalau eksperimen berbahaya, bagaimana pula Perdana Menteri yang jual negara?

Dalam sidang media selepas ucapannya di Universiti Teknologi Petronas, ketika wartawan bertanya adakah Perdana Menteri sekarang diberi tempoh yang lebih panjang, Dr Mahathir mengingatkan: "Itu terpulanglah pada rakyatlah…kalaulah kita dapat seorang Perdana Menteri yang menjual negeri ini, adakah kita nak tunggu lima tahun…kita kena ambil tindakan awal sikit".

Kata-kata "Perdana Menteri yang menjual negeri" itu jelas ditujukan kepada Abdullah kerana selepas itu Dr Mahathir terus menyambung jawapannya dengan berkata: "Kalau dia ada buat perancangan yang kita tidak tahu ia akan berjaya atau tidak, seperti perancangan SJER di Johor, pendapatnya tersendiri…tak dak siapa pengaruh dia…tapi tunggulah lima tahun lagi".

Mengenai SJER (South Johore Economic Region) yang juga dipanggil Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI), Dr Mahathir menyatakan: "Kenapa kita harus bergantung sangat dengan penyertaan Singapura untuk membangun WPI? KaIau pun mereka bersetuju untuk terlibat dalam WPI mereka nanti akan membeli rumah atau kilang dan menginap di situ.

"Singapura dikatakan ada rancangan untuk menambah jumlah penduduknya sehingga 8 hingga 10 juta orang. Dan sebahagian besar orang-orang itu akan diimport dari tanah besar Cina. Oleh kerana di negaranya sendiri hanya boleh memuatkan setakat lima hingga enam juta maka baki penduduk itu mungkin akan ditempatkan di WPI. Jadi kalau kita kita tidak berwaspada, WPI akan akhirhya dipenuhi oleh penduduk warga Singapura.

"Pengalaman silam telah mengajar kita bahawa kita kehilangan Singapura dulu, kerana penduduk Cina lebih ramai dari orang Melayu. Dan esok jika kerajaan membiarkan warga Cina Singapura ramai menduduki WPI (dengan berniaga, bekerja dan membeli banyak hartanah di situ) lebih dari penduduk Melayu, maka WPI akan dikuasai oleh orang Cina Singapura kerana orang Melayu tidak mampu membeli rumah di wilayah itu".

Pertubuhan Profesional Melayu dan Pewaris Bangsa (ProWaris) pula menyatakan Akta IRDA 664 bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan yang bercirikan demokrasi berpelembagaan kerana Akta IRDA 664 dan Pembangunan Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) mengenepikan hak Bangsa Melayu, menggugat kesucian agama Islam dan mencabar kedaulatan Raja dan Negara.

Akta IRDA 664 diwujudkan untuk memudahcarakan pengwujudan WPI.

Semalam, PM juga mengingatkan, rakyat tidak harus mempertaruhkan masa depan mereka kerana tempoh lima tahun itu merupakan satu jangka waktu yang panjang.

Ingat kata-kata Dr Mahathir, "kalaulah kita dapat seorang Perdana Menteri yang menjual negeri ini, adakah kita nak tunggu lima tahun…kita kena ambil tindakan awal sikit!"

- http://www.harakahdaily.net

Singapura buru ketua JI, PDRM tingkat kawalan sempadan

Admin | 5:17 AM | Be the first to comment!
SINGAPURA 28 Feb. – Beribu-ribu anggota polis melakukan operasi besar-besaran memburu ketua Jemaah Islamiah (JI) Singapura, Mas Selamat Kastari selepas dia memboloskan diri dari tahanan semalam.

Menteri Dalam Negeri, Wong Kan Seng memberitahu, Mas Selamat melarikan diri dari tandas sebuah pusat tahanan polis di tengah-tengah sebuah kawasan kediaman mewah.

Beliau mengakui kecuaian itu tidak sepatutnya berlaku tetapi menegaskan segala langkah sedang diambil untuk menangkapnya semula.

Mas Selamat yang dituduh merancang merampas sebuah pesawat dan merempuh Lapangan Terbang Antarabangsa Changi di sini melarikan diri dari Pusat Tahanan Whitley Road petang semalam, kata seorang jurucakap Kementerian Dalam Negeri Singapura.

“Kami mengesahkan dia belum dapat ditangkap,” kata jurucakap itu.

Mas Selamat dikatakan tempang dan kementerian itu menegaskan, dia tidak membawa senjata.

Di KUALA LUMPUR, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan memberitahu, polis Malaysia telah mengambil langkah berjaga-jaga bagi menghalang Mas Selamat memasuki negara ini.

Beliau berkata, pihaknya juga telah meningkatkan kawalan keselamatan dan juga mengedarkan gambar-gambar Mas Selamat kepada agensi-agensi penguat kuasa di sepanjang sempadan Malaysia-Singapura.

“Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff juga sedang bekerjasama dengan pihak polis Singapura berhubung perkara ini... kita akan beri kerjasama penuh.

“Kita menggesa sesiapa saja yang tahu atau ada maklumat mengenai Mas Selamat supaya segera menghubungi mana-mana balai polis,” katanya.

Mohd. Mokhtar yang dihubungi di Johor berkata, gambar-gambar Mas Selamat sudah diedarkan di Kompleks Pemeriksaan Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Johor Bahru manakala pihaknya telah memperketatkan kawalan dan rondaan di sepanjang sempadan kedua-dua negara.

Sementara itu, akhbar Straits Times di Singapura melaporkan, beribu-ribu anggota polis ditugaskan menyertai operasi memburu Mas Selamat.

Sejak malam tadi, berpuluh-puluh anggota separa tentera Gurkha Nepal daripada kontinjen khas polis Singapura ditempatkan setiap beberapa meter di sepanjang jalan di sekitar pusat tahanan itu yang terletak berhampiran Raffles Town Club.

Pusat Tahanan Whitley Road menempatkan tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Singapura mempunyai hutan simpan yang agak luas dan tebal serta kawasan tadahan air yang boleh dijadikan laluan keluar dan tempat persembunyian.

Pada Jun 2006, Kementerian Dalam Negeri Singapura mengumumkan Mas Selamat dan empat lagi anggota JI ditahan di bawah ISA, iaitu akta yang membenarkan penahanan tanpa perbicaraan.

Dia ditangkap di Jawa Timur pada Januari tahun berkenaan sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa Singapura.

– AFP/Utusan

28 February 2008

SPR terus diragui

Admin | 10:42 PM | Be the first to comment!
Tahukah anda terdapat 8,066 pengundi berdaftar yang berusia lebih dari 100 tahun. Terbanyak di Sabah.

Di Negeri Selangor sahaja, bagi Parlimen Petaling Jaya Utara dan Parlimen Kuala Langat terdapat dua orang pengundi (800311086231 dan 801018775059) yang dilahirkan pada tahun 1880 bermakna mereka berusia 128 tahun. Sedangkan manusia tertua di dunia berusia 114 tahun!

SPR mendakwa mereka memiliki daftar pengundi yang bersih dan telus, harap mereka dapat menjelaskan bagaimana dalam daftar mereka yang ebrsih dan telus itu boleh terdapat 8,066 pengundi yang semuanya berusia lebih 100 tahun!

Memang ada diantara mereka mungkin masih hidup, tetapi takkanlah yang sudah 128 tahun itu hidup juga? Bagaimana yang 8,000 yang lain itu? Apa yang kita bimbangkan yang mereka ini sebenarnya telah tiada tetapi pada hari mengundi akan ada orang yang muncul mengundi bagi pihak mereka!

Kita tinggal 10 hari lagi sebelum Hari Mengundi, harap SPR melakukan sesuatu sebab saya percaya setelah kes ini dibongkar oleh pelbagai pihak, dan SPR seakan lembab dan mati akal dalam membuat sesuatu, jangan terkejut apabila parti-parti yang bertanding bertindak mengikut perkiraan mereka sendiri.

Jadilah pemegang amanah yang bermaruah.

- http://n32.blogspot.com

Thaksin ditahan sejurus tiba di Bangkok

Admin | 4:42 PM | Be the first to comment!
BANGKOK 28 Feb - Polis Thailand menahan bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra setibanya beliau di tanah air hari ini untuk menghadapi tuduhan rasuah setelah 17 bulan hidup dalam buangan.

Ketua Polis Imigresen Thai, Mejar Jeneral Thaweesak Toochinda berkata, pihak berkuasa menahan Thaksin selepas beliau tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi dengan penerbangan Thai Airways dari Hong Kong.

Dua waran tangkap dikeluarkan terhadap Thaksin selepas beliau digulingkan dalam rampasan kuasa tentera pada September 2006. – AP

Husam janji dedah langkah sulit BN tawan Kelantan

Admin | 7:14 AM | Be the first to comment!
BEBERAPA hari lagi, EXCO kanan Kerajaan PAS Kelantan, Datuk Husam Musa berjanji beliau akan membuat pendedahan mengenai langkah sulit BN yang diketuai oleh Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin untuk menawan Kelantan dalam pilihanraya akan datang. "Saya mengikuti semua pergerakan sulit beliau. Tapi keselamatan kita, intelligent kita bergerak sepenuhnya. So 90 peratus ni ada dalam pengetahuan saya," kata Husam.

Sebelum itu, Husam memberitahu, sokongan pengundi kepada PAS di Kelantan seperti tahun 1999. Menurut Exco Kanan Kerajaan Kelantan itu, sokongan yang diterima oleh PAS menyebabkan di sesetengah tempat di negeri itu tiada pos Umno dan jika ada hanya pos kosong tanpa jentera.

"Kita boleh rasa mood itu, sambutan itu, kedai kopi baik, surau baik. Saya dah pusing DUN Salor bila secara rasmi saya jadi calon di situ, ada pemimpin tempatan UMNO yang berjumpa dan bersama dengan kita sama ada secara sembunyi atau secara terbuka, jadi di seluruh negeri Kelantan mood kebangkitan ini lebih kurang sama pada tahun 1999. Sesetengah tempat tak ada pos UMNO, bendera atau pergerakan malam yang menunjukkan pos itu hidup," kata beliau.

Namun, ketika ditanya KLpos.com apakah itu berhenti usaha menawan Kelantan oleh BN akan gagal, kata Husam, "Saya tak boleh kata begitu, nanti dekat pilihanraya saya akan umumkan apakah langkah-langkah sulit yang telah di ambil Khairy untuk menawan Kelantan,"

"Saya mengikuti semua pergerakan sulit beliau. Tapi keselamatan kita, intelligent kita bergerak sepenuhnya. So 90 peratus ni ada dalam pengetahuan saya," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Pemuda BN merancang membawa pulang lebih 20 ribu pengundi menggunakan 500 buah bas dari Kuala Lumpur ke Kelantan.

Ketika ditanya, apakah langkah sulit tersebut dibenarkan oleh undang-undang, kata Husam, "Tak boleh umum sekarang, (tapi) salah disisi undang-undang.

- http://klpos.com

Nurul Izzah dikejar 'peminat' misteri

Admin | 7:08 AM | Be the first to comment!
SEJAK hari penamaan calon, anak sulung Anwar Ibrahim, Nurul Izzah yang bertanding di Parlimen Lembah Pantai dikatakan 'dikejar' peminat misteri yang sanggup menghantar lebih 30 sms setiap hari kepada Pengarah Piliharaya PKR Lembah Pantai Mat Zaman Tasi. Selain SMS yang diterima siang dan malam, peminat misteri itu juga membuat panggilan telefon.

"Penat saya menjawab, dia merayu-rayu hendak bercakap dengan Nurul Izzah, bila saya tanya buat apa hendak cakap, kata dia, hendak buat Nurul Izzah kakak angkat," kata Mat Zaman kepada KLpos.com.

Sebagai Pengarah Pilihanraya PKR Lembah Pantai, Mat Zaman memang tidak 'menang tangan'. Menurutnya, sokongan terhadap Nurul Izzah begitu luar biasa sekali.

"Amat berbeza suasananya dari tahun 1999 dan 2004, mana saja kita bawa Nurul Izzah, orang ramai datang bersalam terutamanya golongan wanita," katanya ketika ditemui di Flat Kampung Abdullah Hukum malam semalam.

Nurul Izzah bersama beberapa pemimpin PKR berceramah di tengah-tengah flat tinggi bersebelahan dengan pusat membeli belah Mid Valley itu.

Perhatian media luar biasa

Selain peminat misteri, kata Mat Zaman, Nurul Izzah sentiasa menarik perhatian media, setiap hari wartawan dari berbagai agensi telefon bilik gerakan hendak tahu di mana lokasi Nurul Izzah, kerana mereka hendak buat liputan.

"Ada dari Singapura, Hong Kong, macam-macam, semua hendak ikut Nurul Izzah berkempen," katanya lagi.

Dari pemerhatian KLpos.com, semalam di Flat Kampung Abdullah Hukum sahaja, ada lebih kurang 10 wartawan bersama jurugambar dari berbagai agensi berita.

"Bagusnya bila ada wartawan ikut, segara tidak langsung ia menarik perhatian orang, dan bila mereka sedar ada Nurul Izzah, mereka cepat-cepat hendak bersalam dan berjanji akan undi PKR kali ini," Kata Mat Zaman.

Izzah rayu media jangan putar belit

SEMENTARA itu, dalam ucapannya, Nurul Izzah berkata, beliau berterima kasih dengan perhatian media massa kepada dirinya dan PKR di Lembah Pantai.

Namun, dalam nada merayu, calon muda itu berkata, "tapi tolonglah, jangan putar-belit kenyataan kami, beri kami liputan yang adil, biar rakyat yang memilih, jangan buat pilihan untuk rakyat,"

Menurut Izzah, beliau bertanding di Lembah Pantai kerana kawasan tersebut merupakan tempat jatuh bangunnya.

"Saya membesar di sini, berkahwin di sini, dan kini memiliki cahaya mata di sini, sebab itu Lembah Pantai menjadi pilihan saya untuk bertanding, dan jika saya menang, saya akan pastikan suara yang berkumandang di Parlimen nanti, adalah suara orang-orang Lembah Pantai," katanya yang hadir bersama suaminya Raja Shahrir dan adik-adiknya, Nurul Iman dan Nurul Hana.

Sokongan keluarga untuk Izzah

Lebih 500 orang penduduk turun mendengar ceramah tersebut, namun sebahagian besar hanya memerhati dari tingkap dan koridor flat tinggi tersebut.

Apa yang menariknya adalah, sebahagian besar yang mendengar ceramah Nurul Izzah itu adalah bersama keluarga masing-masing.

Sekumpulan remaja memakai baju bergambar Anwar Ibrahim turut kelihatan mundar mandir bersama bendera PKR dan PAS.

Bolehkah Izzah menang? tanya KLpos pada Mat Zaman.

Jawab beliau "Angin dah ada, cuma kena kerja kuat lagi bagi jadi gelombang,".

- http://klpos.com

Pakaian Obama dipertikai

Admin | 3:26 AM | Be the first to comment!
CETUS KONTROVERSI: Obama (kanan) dibantu pemimpin puak Somali di Kenya, Sheikh Mahmed Hassan mengenakan pakaian tradisional pada 2006.


Gambar calon Presiden AS pakai serban ala Muslim cetus pertengkaran
WASHINGTON: Satu gambar Senator Barack Obama berpakaian tradisional ala Muslim ketika melawat Kenya pada 2006 yang disiarkan dalam internet mencetuskan pertengkaran dalam kempen presiden parti Demokrat Amerika Syarikat.

Gambar diambil The Associated Press memaparkan Obama berpakaian serban putih dengan balutan kain putih yang dihadiahkan kepadanya oleh golongan tua di Wajir, timur laut Kenya.

Bapa Obama yang sudah meninggal berasal dari Kenya dan Obama melawat negara itu pada 2006, menarik perhatian beribu-ribu penyokongnya.

Gosip dan berita dalam laman web The Drudge Report yang menyiarkan gambar itu kelmarin mendakwa gambar itu disediakan "kakitangan Hillary" dan memetik satu e-mel daripada pembantu kempen tidak dikenali. Drudge bagaimanapun tidak memasukkan bukti e-mel dalam laporan itu.

"Saya tidak pernah melihat gambar itu sebelum ini," kata jurucakap Hillary Howard Wolfson semalam. "Sudah tentu saya tidak mengetahui sama ada anggota pasukan kempen kami yang melakukannya."

Pengurus kempen Obama, David Plouffe serta merta menuduh kempen Hillary melakukan tindakan "paling memalukan, serangan yang dirancang untuk menakut-nakutkan pengundi."

Penasihat dasar luar, Susan Rice berkata, penyiaran gambar itu adalah sesuatu yang bertujuan memecah-belahkan rakyat dan berkata "cara hidup dan budaya di negara lain tidak wajar dicemuh dan dikutuk."

Pengurus kempen Hillary Maggie Williams berkata reaksi kempen Obama menyemarakkan kemarahan dan mengalih perhatian pengundi.

"Cukuplah," kata Williams dalam satu kenyataan. "Jika kempen Barack Obama mahu mengatakan bahawa penyiaran gambarnya memakai pakaian tradisi Somalia adalah sesuatu yang akan memecah-belahkan rakyat, mereka patut merasa malu. Hillary Clinton pernah memakai pakaian tradisi negara yang dilawatinya dan gambar itu disiarkan secara meluas.

"Ini tidak lebih daripada cubaan jelas dan telus untuk mengalihkan perhatian daripada isu serius yang dihadapi negara kita pada hari ini dan cubaan memecah belahkan rakyat walaupun mereka sendiri kata mahu mengelak perpecahan itu."

Dalam telepersidangan dengan wartawan, Jeneral Bersara Scott Gration, penasihat Obama yang menemani senator Illinois itu ke Kenya dua tahun lalu, berkata senator itu berada di sana untuk mempelajari bagaimana puak tempatan menguruskan diri mereka.

"Untuk tujuan itu, Senator Obama diberi satu pakaian dan sebagai tetamu beliau adalah tetamu yang baik, mengambil pakaian itu dan mereka menggalakkannya untuk mencuba," kata Gration. "Ia adalah sesuatu yang kami turut lakukan." – AP

Pengurus kempen Obama, David Plouffe serta merta menuduh kempen Hillary melakukan tindakan "paling memalukan, serangan yang dirancang untuk menakut-nakutkan pengundi."

Penasihat dasar luar, Susan Rice berkata, penyiaran gambar itu adalah sesuatu yang bertujuan memecah-belahkan rakyat dan berkata "cara hidup dan budaya di negara lain tidak wajar dicemuh dan dikutuk."

Pengurus kempen Hillary Maggie Williams berkata reaksi kempen Obama menyemarakkan kemarahan dan mengalih perhatian pengundi.

"Cukuplah," kata Williams dalam satu kenyataan. "Jika kempen Barack Obama mahu mengatakan bahawa penyiaran gambarnya memakai pakaian tradisi Somalia adalah sesuatu yang akan memecah-belahkan rakyat, mereka patut merasa malu. Hillary Clinton pernah memakai pakaian tradisi negara yang dilawatinya dan gambar itu disiarkan secara meluas.

"Ini tidak lebih daripada cubaan jelas dan telus untuk mengalihkan perhatian daripada isu serius yang dihadapi negara kita pada hari ini dan cubaan memecah belahkan rakyat walaupun mereka sendiri kata mahu mengelak perpecahan itu."

Dalam telepersidangan dengan wartawan, Jeneral Bersara Scott Gration, penasihat Obama yang menemani senator Illinois itu ke Kenya dua tahun lalu, berkata senator itu berada di sana untuk mempelajari bagaimana puak tempatan menguruskan diri mereka.

"Untuk tujuan itu, Senator Obama diberi satu pakaian dan sebagai tetamu beliau adalah tetamu yang baik, mengambil pakaian itu dan mereka menggalakkannya untuk mencuba," kata Gration. "Ia adalah sesuatu yang kami turut lakukan." – AP

Altantuya mungkin tidak berpakaian ketika diletupkan: Pakar

Admin | 2:58 AM | Be the first to comment!
SHAH ALAM: Altantuya Shaariibuu yang ditemui mati dalam keadaan berkecai di kawasan belukar di sini pada November 2006 berkemungkinan tidak berpakaian ketika diletupkan kerana tiada cebisan pakaian dijumpai di tempat kejadian, kata perunding forensik, Dr Mohd Shah Mahmood pada perbicaraan kes pembunuhan wanita Mongolia itu.

Katanya berdasarkan penelitiannya di tempat kejadian di kawasan belukar antara Puncak Alam dan Puncak Perdana di sini, beliau mendapati tidak terdapat sebarang bentuk gentian di situ.

"Saya ke tempat kejadian pada 7 dan 9 Nov 2006 untuk membuat siasatan berkaitan mayat yang dijumpai di sana. Berdasarkan penelitian saya, kemungkinan si mati tidak berpakaian semasa mendapat kecederaan tersebut," kata Dr Mohd Shah, Ketua Jabatan Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur.

Katanya semasa membuat siasatan di tempat kejadian, beliau menjumpai 322 serpihan tulang manusia di situ.

Ketika ditanya oleh Timbalan Pendakwa Raya Tun Abdul Majid Tun Hamzah mengapa beliau pergi ke tempat kejadian sebanyak dua kali, Dr Mohd Shah berkata ini kerana pada pemeriksaan awal pada 7 Nov, beliau mendapati serpihan tulang yang dijumpai tidak mencukupi untuk membentuk satu rangka manusia yang lengkap.

"Saya kemudiannya mencadangkan kepada pegawai penyiasat ASP Tonny Lunggan untuk menjalankan pencarian yang lebih teliti," kata Dr Mohd Shah pada hari ke 93 perbicaraan kes itu.

C/Inspektor Azilah Hadri, 32, dan Kpl Sirul Azhar Umar, 37, kedua-duanya anggota Unit Tindakan Khas dituduh membunuh Altantuya, 28, antara 10 malam 19 Okt 2006 dan 1 pagi keesokannya, di satu kawasan di Bukit Raja di sini.

Penganalisis politik, Abdul Razak Abdullah Baginda, 48, pula dituduh bersubahat dengan mereka.

Ketiga-tiga tertuduh boleh dihukum mati jika disabit kesalahan.

Dr Mohd Shah, 48, berkata setelah menjalankan pemeriksaan semula pada hari kedua pada 9 Nov dan setelah selesai pemeriksaan lanjut terhadap serpihan tulang dan selepas dicantumkan, serpihan tulang itu masih lagi tidak dapat membentuk satu rangka manusia yang lengkap.

Saksi pendakwaan ke-70 itu berkata beliau membuat pemeriksaan lanjut dan pencantuman serpihan tulang itu bersama-sama dengan Dr Nurliza Abdullah, pakar forensik antropologi.

Kepada satu lagi soalan Tun Abdul Majid, beliau berkata kesemua serpihan tulang diserahkan kepadanya oleh Lunggan di bilik mayat Jabatan Forensik, HKL.

Dr Mohd Shah berkata pegawai penyiasat itu menyerahkan 34 bungkusan barang kes kepadanya untuk dianalisis dan kemudiannya untuk diserahkan kepada Jabatan Kimia.

"Daripada 34 bungkusan barang kes itu saya mengambil dua set sample. Set pertama untuk tujuan "swab sample" untuk mengesan kehadiran bahan letupan, jumlahnya 19 swab. Set kedua ada empat sample iaitu dua contoh serpihan tulang dan dua contoh rambut untuk tujuan DNA dan sample ini adalah untuk dihantar ke Jabatan Kimia," katanya.

Kepada soalan Tun Abdul Majid mengapa beliau hanya mengambil dua set sample sahaja, Dr Mohd Shah berkata ini kerana sebahagian daripada barang kes itu belum dibersihkan, belum dikeringkan dan belum dilabel untuk dikenal pasti sebagai bahagian tulang.

Beliau berkata dua set sample itu setelah dimeterai, diserahkan kepada Lunggan pada 3.45 petang 8 Nov 2006

Dr Mohd Shah berkata kesemua barang kes yang telah dibersihkan dan dimeterai disimpan dalam peti sejuk spesimen Jabatan Forensik yang berkunci.

Beliau berkata walaupun barang kes itu disimpan dalam peti sejuk bersama-sama dengan barang kes lain, beliau terlebih dahulu memeterai dan melabelkan barang kes itu.

Kepada soalan Tun Abdul Majid apa yang beliau buat terhadap barang kes yang tidak dihantar ke Jabatan Kimia, Dr Mohd Shah berkata kesemua barang kes itu disimpan dalam peti mayat yang berkunci dan tidak bercampur dengan barang kes lain.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin disambung esok. BERNAMA

Penyokong pembangkang bertindak liar gagal jumpa Samy Vellu

Admin | 2:54 AM | Be the first to comment!
KULIM: Lebih 1,000 penyokong sebuah parti pembangkang berkumpul secara haram dan bertindak liar setelah dikatakan gagal berjumpa Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Velu yang pada awalnya dijadual menghadiri satu majlis makan malam anjuran penyokong Barisan Nasional (BN) di sebuah tokong Cina di Jalan Sungai Lunas, dekat sini Selasa malam.

Kejadian bermula pukul 6 petang apabila penyokong parti pembangkang itu berkumpul di satu kawasan lapang di tepi jalan berhampiran tokong itu di mana satu majlis makan malam anjuran masyarakat Cina diadakan pada pukul 7.30 malam.

Kumpulan itu dikatakan hendak bertemu Samy Vellu yang dijadualkan hadir pada majlis itu tetapi beliau tidak muncul, dipercayai atas nasihat polis.

Kumpulan itu turut membawa sepanduk meminta Presiden MIC itu berundur daripada parti dan kerajaan.

Nasihat Ketua Polis Kedah, Datuk Syed Ismail Syed Azizan dan Ketua Polis Daerah Kulim, Supt Ghuzlan Salleh, yang turut berada di situ, supaya kumpulan itu bersurai, tidak diendahkan dan mereka terus menunggu sehingga pukul 8 malam.

Keadaan menjadi tegang apabila calon Parti Keadilan Rakyat(PKR) bagi kerusi Parlimen Padang Serai, N. Gobalakrishnan, tiba dengan sebuah kereta.

Beliau dihalang oleh polis daripada memasuki kawasan berhampiran rumah ibadat itu, menyebabkan penumpang kereta itu mengeluarkan alat siar raya lalu memainkan kaset lagu-lagu Tamil dengan bunyi yang nyaring.

Berikutan itu, seorang pegawai polis bertindak menegur seorang remaja di situ tetapi teguran itu tidak dihiraukannya. Sebaliknya remaja itu dikatakan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap pegawai polis berkenaan menyebabkan polis menahannya.

Gobalakrishnan yang menyedari kejadian itu dikatakan berjumpa Ketua Polis Kedah bagi mendapatkan pembebasan remaja itu tetapi polis tidak membebaskannya.

Ketika keadaan semakin tegang, sekumpulan anggota pasukan polis pencegah rusuhan bergerak secara berkawad menyebabkan sebahagian besar orang ramai yang berkumpulan di situ bersurai secara beransur-ansur pada 9 malam.

Keadaan itu menyebabkan Pekan Lunas mengalami kesesakan lalu lintas yang teruk.

Majlis makan malam itu bagaimanapun diteruskan tanpa kehadiran Samy Vellu dan dihadiri lebih 300 penyokong BN.

Ghuzlan ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan penahanan remaja berkenaan.

- BERNAMA

Shahir mahu bela pekerja di Parlimen

Admin | 12:20 AM | Be the first to comment!
Calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi kerusi parlimen Pandan, Syed Shahir Syed Mohamed, akan membangkitkan isu-isu pekerja dalam kempennya menjelang pilihanraya raya umum 8 Mac ini.

Shahir, yang juga presiden MTUC berkata, beliau mewakili kaum pekerja. Penyertaan Shahir dalam pilihanraya bukanlah sesuatu yang baru baginya.

Bekas guru dari Pahang ini pertama kali bertanding dalam pilihanraya umum 1974 ketika berusia 21 tahun.

Menurutnya, komposisi kaum pengundi di Pandan tidak penting dalam kempennya.

"Apa yang saya cuba bawa ke Parlimen tidak kena mengena dengan kaum. Selagi seseorang itu pekerja, dia ada kaitan dengan idea-idea yang saya mahu perkenalkan.

"Ambil contoh rang undang-undang gaji minimum. Tidak kisah sama ada orang itu Melayu, India atau Cina. Gaji minimum RM900 akan mengeluarkan rakyat dari kemiskinan.

"Sebenarnya, jumlah tersebut bukannya besar jika anda tinggal di kawasan bandar seperti di Lembah Klang, Johor Bahru atau Pulau Pinang.

"Tetapi ia boleh dimulakan dengan rang undang-undang gaji minimum," kata Syed Shahir.

Peluang di Pandan

Pada masa ini, kata Shahir, tidak ada seorangpun yang bercakap bagi pihak kaum pekerja di Parlimen.

"Memang ada Kementerian Sumber Manusia. Tetapi jika menterinya tidak buat kerjanya, maka tiada siapa yang boleh membantu kaum pekerja," katanya.

Bagaimana peluangnya menentang penyandang kerusi Pandan dari MCA, Datuk Ong Tee Kiat, yang juga Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi?

Ong memenangi kerusi tersebut pada 2004 dengan majoriti 14,112 undi.

"Senario ketika itu berbeza. Pak Lah (Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) baru sahaja mengambil alih kuasa dan seluruh negara teruja dengan perdana menteri yang baru.

"Selepas empat tahun, rakyat tidak lagi pasti, jadi peluang saya tidaklah gelap. Lebih penting lagi, saya bercakap bagi pihak pekerja dan saya pasti itu akan menarik sokongan penduduk Pandan," katanya.

Selain gaji minimum, Shahir berkata, beliau juga mahu membawa idea mengehadkan jumlah pekerja asing di Malaysia, melanjutkan usia persaraan dan menggubal skim keselamatan sosial.

Jika presiden MTUC itu terpilih mewakili kerusi Pandan, maka beliau menyertai senarai kumpulan aktivis pekerja seperti V David, Dr Tan Chee Khoon, V Veerapan dan Tan Pock Kin yang semuanya terpilih sebagai ahli parlimen.

- http://malaysiakini.com

PM Serah Kes Calon BN DUN Bukit Pinang Kepada SPR

Admin | 12:10 AM | Be the first to comment!
JERLUN, 27 Feb (Bernama) -- Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyerahkan kepada Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) bagi menentukan kedudukan calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Bukit Pinang, Che Omar Saad yang didakwa kononnya mempunyai kes pecah amanah. Perdana Menteri berkata BN tidak dapat berbuat apa-apa kerana nama beliau telah pun disahkan sebagai calon walaupun pihak pembangkang membuat dakwaan mengenai kes Che Omar.

"Kami perlu mendapatkan agensi yang berkaitan untuk mengemukakan laporan dan kami akan menimbangkan untuk mengambil tindakan sewajarnya. Mungkin ada yang tidak termasuk dalam rekod kami...tetapi kami telah pun mendapatkan maklumat yang perlu daripada agensi-agensi yang berkenaan," katanya kepada pemberita selepas majlis perjumpaan bersama rakyat dekat sini, hari ini.

Ketua Penerangan PAS Mahfuz Omar hari ini mendakwa BN telah meletakkan calon yang mempunyai kes pecah amanah bagi kerusi negeri Bukit Pinang yang ditandinginya di sini.

Mahfuz mendakwa Che Omar telah dilucutkan jawatan sebagai anggota Lembaga Pengarah Koperasi Guru-guru Melayu Kedah Berhad sejak 25 Dis 2007 kerana kes penyalahgunaan kuasa semasa pembelian tanah koperasi melebihi RM6 juta.

Pengurusan koperasi itu kemudian membuat aduan polis mengenai beberapa kes penyelewengan Che Omar pada Disember lepas, dakwa Mahfuz.

Abdullah berkata BN sememangnya menyaring semua bakal calonnya sebelum mereka dipilih bagi mengelakkan sebarang insiden yang tidak diingini berlaku.

Beliau berkata semua pihak termasuk Menteri Besar Datuk Seri Mahdzir Khalid telah diminta untuk merujuk kepada Jabatan Insolvensi, Badan Pencegah Rasuah dan polis secara spesifik bagi memastikan seseorang calon itu layak untuk bertanding.

Perdana Menteri berkata baru-baru ini pun terdapat satu kes yang melibatkan seorang calon mempunyai kes mahkamah bersabit kesalahan jenayah dan BN tidak benarkan dia bertanding.

"Ada lagi kes yang berkaitan dengan rasuah yang kerananya BN tak benarkan mereka bertanding...sebelum penamaan kami dah buat keputusan itu...(telah) cuba untuk berhati-hati sebaik mungkin," katanya.

-- BERNAMA

27 February 2008

Anggota tentera ada dua nama pada buku daftar pemilih

Admin | 11:54 PM | Be the first to comment!
KOTA BHARU, 27 Feb (Hrkh) – Mungkinkah pengendalian pilihan raya yang dijalankan di negara ini benar-benar telus. Namun sebenarnya ramai yang masih mempertikaikan.

Terbaru pengundi pos di kalangan anggota tentera dikatakan sebahagiannya mempunyai dua nama dalam buku daftar pemilih. Namun sejak isu itu didedahkan nampaknya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) masih lagi membisu.

Naib Presiden PAS, Dato’ Husam Musa berkata, sebahagian pengundi pos mempunyai dua nama pada buku berasingan iaitu sebagai pengundi tentera dan satu lagi terdapat dalam senarai pengundi awam.

Bercakap pada sidang media hari ini katanya, ada anggota tentera memberi maklumat berhubung namanya dicatat pada senarai undi pos dan undi awam.

“Pada masa yang sama nama mereka ada dalam dua buku daftar pemilih, saudara bayangkan sendiri apa akan berlaku apabila seseorang pengundi diberi peluang untuk mengundi dua kali,” ujarnya.

Oleh itu, katanya SPR wajar memberi penjelasan segera berhubung perkara itu dan PAS bersedia memberi kerjasama bagi sama-sama menanganinya.

Husam yang juga anggota Exco kerajaan negeri berkata, PAS dan rakyat akan kecewa sekiranya SPR tidak mengambil sebarang tindakan berhubung gesaan tersebut.

Bagaimanapun apa yang lebih penting suasana yang bakal berlaku dalam negara selepas pilihan raya, sekiranya ia dikendalikan tidak bersih dan adil.

“Ini tentunya akan menggugat kestabilan negara yang telah dibentuk oleh kerajaan sebelum ini,” ujarnya.

Pada persidangan media media itu Husam turut mendedahkan pengundi yang berusia 100 hingga 128 tahun terdapat dalam buku daftar pemilih di seluruh negara sekarang berjumlah lebih 1,000 orang.

Menurutnya, PAS begitu sangsi terhadap fakta itu memandangkan umur mereka sudah begitu lanjut yang begitu ramai.

“Kalau benar mereka masih wujud, kita telah berjaya mencipta rekod dunia iaitu mempunyai jumlah orang tua yang begitu ramai,” ujarnya.

Sebahagian nama pengundi berkenaan tertera dengan nama, alamat dan usia masing-masing dalam buku daftar pemilih.

Beliau juga berkata, kerajaan Umno/Barisan Nasional (BN) dilihat semakin terdesak apabila cuba menghadkan kebebasan rakyat terutamanya di Kelantan dalam menentukan sesebuah kerajaan dalam pilihan raya umum akan datang.

Baru-baru ini arahan telah dikeluarkan untuk tidak mengizinkan majlis program pembangkang khususnya PAS menggunakan skrin besar bagi memaparkan apa yang berlaku.

Tindakan SPR itu katanya, seolah-olah meminta rakyat menutup mata agar tidak dapat melihat di sekelilingnya dengan apa yang berlaku dalam negara.

“Ini bererti rakyat diminta memejam mata dan hanya perlu membuka telinga sahaja, iaitu dengar ceramah sahaja dan jangan melihat.

“Saya rasa tindakan ini amat janggal, sudahlah kita tidak ada siaran televisyen sendiri, kita diketepikan dalam laporan media arus perdana, dah lah tak ada radio, nak masuk iklan dalam surat khabar pun tidak diizinkan,” ujarnya.

- http://www.harakahdaily.net

Beratus juta dihabiskan, tetapi jamban kristal tidak senonoh

Admin | 11:47 PM | Be the first to comment!
Dalam usaha kerajaan menghabiskan wang rakyat lebih 270 juta bagi pembinaan pembangunan Masjid Kristal di Pulau Wan Man, Kuala Terengganu sebaliknya jamban yang dikatakan mewah itu cukup mengaibkan untuk membuang hajat.

Pada kebiasaannya apabila memasuki tandas pengguna akan melihat sekeliling terutama di atas dan siling bimbang kalau ada kamera litar tertutup (CCTV).

Sebaliknya tanpa disedari apabila dipandang ke bawah rupanya 'CCTV semulajadi' boleh menyebabkan pengguna tandas mendapat aib.

Apa yang dimaksudkan ialah air yang membasahi lantai bertindak seperti cermin apabila mozek lantai berwarna hijau gelap menjadikannya sebagai objek pembalikan.

Ditambah lagi dengan dinding tandas (partition) antara satu sama lain tidak rapat ke lantai iaitu tinggi dalam anggaran hampir satu kaki manakala pintunya juga setengah kaki dari paras lantai cukup untuk membayangkan keaiban.

Pengguna tandas boleh melihat objek bayangan sebelah begitu juga kepada mereka yang menunggu giliran di luar untuk melepaskan hajat.

Bukan itu sahaja malah ia turut menghasilkan bunyi yang cukup memualkan.

Sepatutnya wang berjuta dihabiskan akan melahirkan keselesaan kerana pembangunan yang menampakkan gah sebaliknya kemegahan itu tidak melahirkan ketamadunan moral.

Jenayah meningkat

Indeks jenayah Terengganu meningkat 6.2 peratus gagal diatasi sebaliknya pemimpin Terengganu sibuk dengan replika Taj Mahal, Masjid al-Aqsa dan banyak lagi di pulau tersebut.

Ketamadunan Terengganu hanya mementingkan bangunan dan kebendaan yang nampak hebat seumpama tamadun Piramid Firaun, Tembok Besar Dinasti Ming, Namrud, kerajaan Madyan, Saba', Himyar dan lain-lain lagi.

Sebaliknya indeks jenayah di Terengganu bagi tempoh tujuh bulan pertama tahun 2007 meningkat sebanyak 119 kes atau 6.29 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.Perkara ini didedahkan Ketua Polis Terengganu, Dato' Md Lazim Ahmad pada 13 Ogos lalu.

Mengapa keadaan ini berlaku? Ini kerana Terengganu sekarang lebih menerapkan tamadun berbentuk menterialistik. Ini berlainan dengan tamduan kerajaan Kelantan terdapat Dataran Ilmu sebagai tempat imarahkan pengetahuan setiap hujung minggu.

Cuti dua hari seminggu dimana hari Jumaat dijadikan hari ilmu. Kejayaan tamadun ilmu ini boleh dilihat pada hari tersebut dan orang ramai yang cukup asyik dengan majlis ilmu. Ini tidak berlaku di Terengganu.

Rakyat itu mengikut agama dan cara hidup pemerintah. Apabila pemerintah mengajak rakyat ke surau dan masjid, maka rakyat akan berduyun ke situ. Sebaliknya, apabila para pemimpin memenuhi pentas konsert dan menganjurkan hiburan maksiat, maka ke situlah pula aliran budaya dan pemikiran rakyat.

Begitu juga bila pemimpin menekankan soal kebendaan dan pembangunan yang berkonsepkan sedemikian maka budaya dan pemikiran rakyat juga ke arah tersebut sedangkan kemampuannya tidak mengizinkan maka sudah tentu ia lebih melahirkan jenayah, salahguna kuasa dan rasuah. Soal halal haram diketepikan.

Terdapat laporan akhbar pada Jun 2004 bertajuk `Kedai batik dipecah setiap hari' melaporkan lebih 70 peniaga kain batik, sutera dan songket di Pasar Besar Kedai Payang, Kuala Terengganu dalam kebimbangan kerana kedai mereka dipecah masuk pencuri hampir setiap hari.

Akhbar lain juga melaporkan lebih 100 batang tiang pagar padang bola di Kampung Tanjung, Batu Rakit didapati hilang dan dipercayai dicuri untuk dijual sebagai besi buruk. Terengganu di bawah pemerintahan Islam Hadhari juga tidak terlepas daripada gejala jenayah ragut yang menular di serata negara.

Dua akhbar utama pada 9 September 2004, sebagai contoh, melaporkan dua wanita kerugian lebih RM3,000 dalam dua kes ragut berasingan yang berlaku di Besut dan Dungun.

Juga dilaporkan seorang ustazah dari Kampung Simpang Tok Ku, Kuala Terengganu yang kerugian RM23,000 apabila begnya diragut ketika melalui lorong menuju ke sebuah bank di Jalan Sultan Ismail, di bandar ini.

Akhbar mingguan, bertarikh 12 September 2004 pula memaparkan berita seorang guru wanita kerugian wang tunai dan barangan kemas bernilai RM6,000 setelah beg tangannya dicuri ketika sedang mandi di rumahnya di kawasan perumahan Wakaf Baru, Wakaf Tembesu, Kuala Terengganu.

- http://www.harakahdaily.net

Zakaria menang tanpa bertanding

Admin | 11:34 PM | Be the first to comment!

View Larger Map
SANDAKAN 27 Feb. – Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gum-Gum, Datuk Zakaria Edris menang tanpa bertanding apabila calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohaspa Mohd. Hassan menarik diri petang ini.

DUN Gum-Gum yang terletak di bawah Parlimen Libaran mempunyai 9,993 pengundi.

Sebelum ini BN menang tanpa bertanding di DUN Bugaya (Semporna) serta Parlimen Kalabakan (Tawau) dan Parlimen Pensiangan.

- http://www.utusan.com.my

Calon ‘lesap’ belum pulang

Admin | 12:38 PM | Be the first to comment!
KAPAR: “Wartawan ke? Kalau awak wartawan, saya tidak mahu memberi sebarang kenyataan,” kata seorang wanita dipercayai isteri kepada Suzaimi Salam, 34, bekas calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang sepatutnya bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sementa, semalam.

Belum pun sempat wakil media bertanya soalan mengenai ‘kehilangan’ Suzaimi wanita terbabit menghempas pintu dan menguncinya.

Cubaan untuk menemui Suzaimi turut gagal dan tidak dapat dipastikan di mana lelaki itu berada walaupun wakil media menunggu di depan kediaman setingkat separuh papannya di Rantau Panjang, di sini, sejak jam 12 tengah hari.

Kereta Perodua Kancil kuning teh susu milik Suzaimi juga tidak kelihatan dan tiada sesiapa berada di rumah peninggalan dipercayai diwarisi daripada ibunya yang meninggal dunia kira-kira dua tahun lalu ketika wakil media memberi salam.

Seorang wanita dipercayai isteri Suzaimi pulang ke rumah itu kira-kira jam 1.50 tengah hari dengan sebuah motosikal. Suzaimi mempunyai dua anak dan seorang daripadanya sudah bersekolah rendah.

Pada hari penamaan calon Ahad lalu, Suzaimi tidak hadir di Dewan Datuk Hamzah, di sini, untuk menyerahkan borang pencalonannya atas tiket PKR sebelum jam 10 pagi, sekali gus membolehkan calon BN yang juga penyandang kerusi DUN Sementa, Datuk Abdul Rahman Palil, menang tanpa bertanding.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusuf, berkata Suzaimi sudah menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang, kira-kira jam 9 malam kelmarin.

“Suzaimi kemudian datang sendiri ke IPD Klang untuk mengesahkan beliau masih hidup dan tidak hilang seperti dakwaan Ketua PKR Kapar, Mohd Bakir Abd Wahab.

“Suzaimi mengaku ke Port Dickson, Negeri Sembilan, Ahad lalu sebelum pulang ke rumahnya di Rantau Panjang, pagi kelmarin, dan keluar semula tidak lama selepas itu,” katanya.

Mohamad bagaimanapun enggan mengulas apa yang dibincangnya dengan Suzaimi selama setengah jam di IPD Klang, sebaliknya memaklum untuk memastikan ahli PKR itu selamat.

Jiran Suzaimi yang enggan dikenali memaklumkan dia terdengar desas-desus daripada rakan sekampung yang Suzaimi akan bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12, 8 Mac ini.

“Bagaimanapun, saya tidak dimaklum sendiri oleh Suzaimi hasrat itu. Dia memang aktif dalam politik serta PKR dan sering terbabit dalam aktiviti parti termasuk ketika ceramah politik penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, baru-baru ini.

“Saya tahu ramai yang mencari Suzaimi sejak Ahad lalu tetapi gagal menemuinya. Saya sendiri tidak melihatnya atau terserempak dengannya sejak hari itu,” katanya.

Seorang lagi jiran Suzaimi yang enggan dikenali berkata, lelaki itu memang sering pulang lewat malam dan tidak berasakan sesuatu yang pelik berlaku kepadanya kerana jarang dilihat di rumah.

“Apa yang saya tahu, Suzaimi sekeluarga tiada di rumah, Ahad lalu. Saya ada melihat sebuah Proton Wira meninggalkan rumahnya pagi itu tetapi tidak tahu siapa yang berada dalam kenderaan itu.

“Saya juga tidak pasti sama ada individu lain turut cuba mencarinya di rumah,” katanya.

- http://www.hmetro.com.my

Polis: Ketua Pemuda PKR Kapar ditemui

Admin | 12:32 PM | Be the first to comment!
Ketua Pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR) bahagian Kapar Suzaimi Salam yang dilapor hilang selepas gagal hadir untuk proses penamaan calon di Dewan Ahmad Razali di sini Ahad lalu, sebenarnya tidak hilang dan selamat, kata polis.

Ketua Polis Daerah Klang ACP Mohamad Mat Yusuf berkata Suzaimi yang sepatutnya menyerahkan borang pencalonan untuk bertanding di kerusi negeri Sementa menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Klang malam kelmarin dan telah melapor diri di balai itu.

"Yang penting dia selamat dan tidak hilang," kata Mohamad kepada pemberita di sini hari ini tanpa mendedahkan butiran perbincangan antara polis dan
Suzaimi.

Bernama melaporkan, ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) bahagian Kapar Mohd Bakir Abdul Wahab membuat laporan polis di balai polis Klang semalam berikutan gagal mengesan Suzaimi yang disenarai sebagai calon PKR untuk menentang Datuk Abdul Rahman Palil dalam pilihanraya umum ini.

Kagagalan Suzaimi untuk hadir di pusat penamaan calon itu menyebabkan calon Barisan Nasional memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri Sementa tanpa bertanding.

Sehubungan itu, Mohd Bakir ingin mendapatkan penjelasan daripada Suzaimi berhubung 'kehilangannya' itu.

- http://malaysiakini.com

Jika Khairy melangkah ke Parlimen padahlah negara

Admin | 12:04 PM | Be the first to comment!
Kenyataan menantu Perdana Menteri bertarikh 24 Februari lalu seperti yang dilaporkan di Utusan Malaysia dengan tajuknya 'Tugas saya rosakkan parti pembangkang – Khairy' akan mengundang banyak perbahasan.

Dalam satu majlis tahlil dan kesyukuran di kampungnya di Rembau pada 23 Februari lalu Khairy dilaporkan berkata: "Memang saya budak nakal dalam Umno dan tugas saya dalam pilihan raya kali ini memang untuk merosakkan dan menimbulkan masalah kepada pembangkang dan jika saya tidak berbuat demikian bererti saya tidak buat kerja".

Lihat betul-betul pada ucapannya, "… dan jika saya tidak berbuat demikian (merosakkan pembangkang) bererti saya tidak buat kerja." Dan perhatikan juga bahawa kenyataan itu dibuat sejurus selesai majlis tahlil, iaitu setelah beliau selesai memuji-muji Tuhan.

Tidaklah diketahui siapakah yang memberikan tugas khas tersebut kepada Khairy. Tetapi, adalah dipercayai bahawa 'tugas khas' itu dicipta sendiri oleh Khairy tanpa perlu merujuk atau pun disuruh oleh sesiapa, malah mungkin ia bukan arahan bapa mertuanya sendiri.

Sebenarnya, ucapan Khairy itu mungkin berasaskan dendam dan mungkin kesan daripada kritikan berulangkali yang kerap diterimanya dalam kalangan pembangkang, termasuklah ahli-ahli Umno sendiri yang tidak suka kepadanya.

Berdasarkan laporan, ucapan Khairy itu mungkin berasal daripada soalan pemberita yang ingin meminta komen beliau berhubung label pembangkang ke atas beliau sebagai 'budak nakal' dalam Umno dalam Pilihan Raya Umum Ke-12.

Laporan itu menambah lagi, menurut Naib Ketua Pemuda Umno dan Timbalan Pengerusi Pemuda BN itu, beliau memang ditugaskan untuk merosakkan parti pembangkang yang akan bertanding pada pilihan raya kali ini dengan mencetuskan huru-hara kepada parti itu.

"Pembangkang akan melakukan apa sahaja dalam memastikan kemenangan mereka sehingga sanggup mengunakan isu peribadi dalam meraih sokongan pengundi memandangkan mereka ketandusan idea untuk dijaja," katanya.

Sekali lagi, persoalan itu tidak dapat dijawab. Khairy ditugaskan oleh siapa? Atau, beliau cuma dengan sengaja ingin menonjolkan diri? Kenyataan ini mengingatkan kita terhadap lagaknya dalam pilihan raya di Ijok. Apa pun, Khairy perlu diberi pengajaran.

Terbawa-bawa sikap berlagak dalam Parlimen

Salah satu masalah yang berlaku apabila Khairy mula menguasai Parlimen adalah beliau mungkin terbawa-bawa sikap berlagaknya itu. Bayangkan, Khairy mungkin menimbulkan provokasi dalam Parlimen ketika pembangkang sedang membentangkan usul.

Beranikah Speaker Parlimen Tan Sri Ramli Ngah Talib menghalau Khairy keluar dari Parlimen jika menantu Abdullah itu membuat onar, bertempik seperti berukera dan atau orang utan dalam Parlimen?

Mungkin tiada seorang pun ahli-ahli Parlimen BN yang berani mengangkat suara untuk membantah ucapan Khairy. Beliau mungkin berasa kebal kalau ditempatkan berhampiran dengan ayah mertuanya dalam Parlimen.

Tidak mustahil, kalau Abdullah tidak berada dalam negara, maka tugas menjawab dasar-dasar negara nanti 'seolah-olah' akan terpikul ke atas Khairy. Khairy akan mewakili ayah mertuanya dalam menjawab seribu satu persoalan (atau menjawab secara kurang ajar) yang tidak mampu dijawab Abdullah.

Dan Abdullah, seperti yang banyak diriwayatkan oleh kalangan rakyat, adalah seseorang Perdana Menteri yang sukar membuat keputusan. Dan, ruang kelemahan Abdullah itulah sekali lagi 'dimanfaatkan' oleh menantunya. Tapi, kini ruang itu berlaku dalam Parlimen!

Di tingkat 4 Putrajaya pun Khairy seolah-olahnya sudah pun 'menguasai' kuasa eksekutif (kerajaan atau 'government of the day'), maka kali ini kuasa legislatif, iaitu di Parlimen.

Keadaan semakin kronik apabila ahli-ahli Parlimen BN tidak mampu bersuara sedikit pun dalam menyanggahnya termasuk Bung Mokhtar Raden (Kinabatangan) dan Mohamad Hj Aziz (Sri Gading) atau mereka yang terkenal dengan kelantangannya sebelum ini.

Untuk menyempurnakan hasratnya menjala budi memukat undi, Khairy menggunakan khidmat seorang penyanyi berkelulusan PhD baru-baru ini setelah beliau melonjakkan namanya melalui My Team. Ertinya, menantu Abdullah ini melihat juga faktor akademik artis. Khairy tahu, untuk golongan lama Umno, sukar untuk dikaut sokongan mereka kerana mereka mempunyai latarbelakang akademik yang tidak kurang hebatnya.

Khairy disindir ahli akademik

Bukan saja Khairy dibenci oleh golongan lama dalam Umno, malah dalam pusingan awal lagi Khairy tidak menarik perhatian ahli akademik yang berwibawa. Misalnya dalam satu program televisyen, Prof Dr Shamsul Amri Baharuddin telah memberikan pandangannya yang agak negatif berhubung kehadiran Khairy dalam pilihan raya kali ini.

"Kita tak tahu adakah Khairy yang dipilih oleh Menteri Besar untuk bertanding atau pun dia sendiri yang menawarkan diri?

"Tapi, kalau saya di tempat beliau (Khairy), saya berkata kepada diri saya, bahawa saya berpelajaran tinggi, lulusan Harvard, Oxford dan Yale. Untuk apa saya bertanding di tempat saya? Saya akan bertanding di bandar besar, iaitu tempat di mana buah fikiran saya akan dicabar," kata Dr Shamsul Amri secara sinikal.

Ada beberapa pandangan tentang bagaimana Khairy boleh mendapatkan kerusi Rembau. Pertama, mungkin ada kalangan warga Rembau berminat kepada Khairy. Kedua, wakil Khairy atau Khairy sendiri bertemu Menteri Besar Negeri Sembilan Dato' Mohamad Hasan untuk membariskan namanya sebagai ahli Parlimen Rembau.

Oleh kerana takutkan Khairy sebagai menantu PM, maka mungkin Mohamad Hasan pun terpaksa menerima kehadiran Khairy di Rembau, sekali gus terpaksa dia menggugurkan penyandang sebelum ini; Firdaus Harun.

Namun, ketika sedang minum-minum dan bersantai di Restoren Haslam di bilik berhawa dingin di suatu petang, saya sendiri secara kebetulan terdengar suatu perbualan antara orang-orang Umno di situ yang sedang berbincang mengenai duit sebanyak RM120,000 yang mahu diagihkan kepada dua orang.

Mereka berempat orang semuanya. Tetapi, cuma dua orang yang diagihkan duit itu, menjadikan setiap seorang mendapat RM60,000 untuk tugas tertentu. Semua itu ada kaitan dengan pilihan raya. Namun, tidaklah dapat dipastikan apakah duit itu ada kaitan dengan Khairy atau tidak.

Namun, apa yang pasti mereka adalah ahli-ahli Umno yang mencemuh kehadiran Khairy sebagai orang yang mengambilalih tempat-tempat mereka di Parlimen Rembau.

Khairy dengan 'gentlement' mengaku bahawa dirinya memang nakal. Dan dia sudah pun mengakui bahawa beliau memang ditugaskan untuk merosakkan pembangkang. Sudah tentu onar ini berlanjutan dalam Parlimen, jika beliau menang. Kita tunggu dan lihat.

- http://www.harakahdaily.net

Tiada kaitan pilihan raya umum

Admin | 9:33 AM | Be the first to comment!
PETALING JAYA: Penemuan mayat lelaki dalam keadaan sujud di bahagian bagasi di bawah badan bas persiaran yang dinaiki 40 ahli Puteri Umno pada hari penamaan calon di Kajang, kelmarin tiada kaitan dengan proses pilihan raya umum yang sedang berlangsung.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner II Mazlan Mansor, berkata mayat berkenaan dipercayai diletak dalam bas itu secara kebetulan kerana bahagian bagasi bas itu tidak berkunci.

“Siasatan mendapati kes itu tiada kena-mengena dengan pilihan raya umum, ia terjadi secara kebetulan kerana dinaiki ahli Puteri Umno ketika itu.

“Ia juga berikutan bahagian bagasi bas yang tidak dikunci dan dibiarkan lebih enam jam membolehkan sesiapa saja meletakkan mayat di situ,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Mazlan berkata, setakat ini identiti mayat berkenaan masih belum dikenal pasti berikutan tiada dokumen pengenalan diri pada mangsa.

“Bedah siasat terhadap mangsa dijalankan pagi semalam dan kami menunggu laporan untuk mengetahui punca kematian,” katanya.

Akhbar semalam melaporkan kira-kira 40 ahli Puteri Umno di sini tidak menyangka bas persiaran yang mereka tumpangi turut membawa mayat seorang lelaki dalam keadaan sujud, kelmarin.

Mayat lelaki berusia 40-an itu ditemui selepas semua anggota Puteri Umno yang dibawa dari Semenyih turun dari bas itu berhampiran pusat penamaan calon di sini, kira-kira jam 6 pagi.

Pada mulanya, pemandu terbabit terhidu bau busuk dalam bas itu namun tidak mengendahkan hal itu kerana perlu bergegas mengambil penumpang.

Bagaimanapun, dia yang tidak tahan dengan bau berkenaan kemudian memberhentikan kenderaan awam itu di satu tempat lalu membuat pemeriksaan sebelum menemui mayat lelaki terbabit dalam beg kembara yang diletakkan di bahagian bagasi di bawah badan bas berkenaan.

- http://www.hmetro.com.my

Geng samun kereta mewah umpan wanita

Admin | 9:31 AM | Be the first to comment!
PETALING JAYA: Geng samun kenderaan mewah yang menggunakan wanita sebagai ‘umpan’ untuk memperdaya pemandu lelaki di sekitar Selangor dan Lembah Klang tumpas, diberkas polis.

Kumpulan terbabit yang dianggotai lebih 10 lelaki dan seorang wanita yang semuanya berusia lingkungan awal 20-an itu dipercayai mengumpan mangsa dengan ‘godaan’ wanita berkenaan sebelum menyamun kenderaan mangsa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner (II) Mazlan Mansor, berkata enam ahli kumpulan penyamun terbabit yang berusia lewat 20-an itu kini ditahan polis bagaimanapun, selebihnya akan diberkas dalam masa terdekat.

“Selain menggunakan umpan wanita, kumpulan terbabit menggunakan taktik melanggar kenderaan mangsa dari belakang sebelum menggunakan kekerasan dengan menggunakan parang dan kapak untuk menyamun kereta mangsa.

“Ahli kumpulan terbabit yang rata-rata memakai topi besbol bagaimanapun hanya memilih kenderaan ‘high profile’ (jenis mewah) dan mangsa yang berusia awal 20-an,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di sini, semalam.

Mazlan berkata, wanita yang digunakan sebagai umpan itu belum ditahan namun lokasi dan tempat persembunyian mereka sudah dikenal pasti.

“Semua suspek dinasihatkan menyerah diri atau kami akan tetap menahan mereka.

“Dengan tertangkapnya enam lelaki ahli kumpulan itu, kami merampas enam kereta mewah yang dipercayai disamun bernilai lebih RM600,000.

“Mulanya kami menahan tiga daripadanya pada 16 Februari lalu di sekitar Petaling Jaya yang membawa kepada penemuan sebuah kereta jenis BMW dengan nombor pendaftaran WGP 3811 yang dilaporkan hilang hari sama dan Proton Wira Aeroback,” katanya.

Katanya, berdasarkan tangkapan itu, pihaknya turut merampas empat telefon bimbit dan tiga kunci kereta.

“Bagaimanapun, ahli kumpulan terbabit yang belum ditahan masih tidak serik dan menyamun di sekitar Kota Damansara di sini, pada 19 februari lalu sebelum tiga lagi ditahan,” katanya.

Mazlan berkata, berdasarkan tangkapan kedua itu, polis merampas empat kenderaan curi jenis Honda namun satu daripadanya adalah jenis Proton Wira Aeroback dipercayai kepunyaan suspek.

“Kami turut merampas senjata yang digunakan suspek untuk menyamun iaitu dua bilah parang, satu kapak, lima telefon bimbit dan satu pasport warga negara asing,” katanya yang turut mengatakan dengan tertangkapnya enam lelaki terbabit, 25 kes membabitkan kes samun dapat diselesaikan.

Katanya, semua suspek didapati menganggur dan menjadikan pekerjaan menyamun kereta mewah sebagai ‘profesion’ tetap.

“Mereka kini direman dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan ahli kumpulan yang bertopi ini diminta tampil di mana-mana balai polis terdekat untuk membantu siasatan.

“Kami juga masih menjalankan siasatan sama ada kenderaan curi terbabit mungkin diseludup ke negara luar atau sebaliknya,” katanya.

- http://www.hmetro.com.my

Si mati tiada kaitan ‘orang dalam’ bank

Admin | 9:25 AM | Be the first to comment!
PETALING JAYA: Tiga penjenayah warga asing tidak sempat menikmati wang tunai RM10,000 yang disamun daripada pelanggan sebuah bank apabila mati ditembak sepasukan polis di Taman Mayang di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang, penjenayah terbabit dikatakan cuba menyerang polis yang menahan kereta mereka untuk pemeriksaan menyebabkan anggota polis terpaksa melepaskan tembakan bagi mempertahankan diri.

Tiga penjenayah berusia antara 30-an dan 50-an itu mati di tempat kejadian.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar, berkata polis yang mendapat maklumat mengenai kes samun pelanggan bank mengesan sebuah Proton Waja yang disyaki dinaiki suspek.

“Polis kemudian mengekori suspek sejauh kira-kira tiga kilometer sebelum menahannya di tempat kejadian untuk melakukan pemeriksaan.

“Sebaik menahan kenderaan dinaiki suspek, polis turun lalu memperkenalkan diri,” katanya, semalam.

Beliau berkata, suspek cuba menyerang dengan senjata tajam menyebabkan polis terpaksa melepaskan tembakan.

Menurutnya, siasatan polis dalam kereta Proton Waja berwarna emas yang dinaiki suspek menemui empat bilah parang, topeng muka, vest polis, barang kemas dan wang tunai RM10,000.

Harian Metro difahamkan, wang tunai itu milik seorang pelanggan bank yang disamun kumpulan berkenaan.

“Siasatan terhadap kereta suspek mendapati ia menggunakan nombor pendaftaran palsu dan dipercayai dicuri.

“Polis percaya suspek terbabit dengan kira-kira 30 kes samun pelanggan bank yang baru mengeluarkan wang dalam jumlah banyak,” katanya.

Khalid berkata, kumpulan berkenaan dipercayai aktif melakukan kegiatan terbabit sejak setahun lalu dan mereka tidak ada kaitan dengan ‘orang dalam’ bank.

- http://www.hmetro.com.my