30 November 2008

Artis Yasin (Nasyid) bersama PKR




Wawancara Malaysiakini bersama Yassin di hari pertama Kongres, selepas beliau turun dari pentas ketika acara penutup Kongres AMK di Stadium Melawati pada hari Jumaat.
Berikut Lebih kurang temubual bersama artis Yassin Brother

wartawan: tadi perwakilan PKR ingin berusaha mendampingi artis, apa pandang yassin?
yassin: bagus memang PKR adalah memperjuangkan suara rakyat kepentingan rakyat
wartawan: Nak gantung poster macam mawi?
yassin: Saya belum lagi
wartawan: Apa yang anda lihat pada pkr
yassin: parti yang perlu untuk mengimbangai suasana politik negara kita
wartawan: anda datang atas nama perjuangan atau menghiburkan?
yassin: Perjuangan dan sebagai artis untuk menghiburkan

PKR: S'wak jalan baru ke Putrajaya

Datuk Seri Anwar Ibrahim menyusun strategi baru - menggegarkan Sarawak sebagai langkah baru menuju Putrajaya dalam merealisasikan 'projek 16 September' menukar kerajaan persekutuan.

Katanya, beliau akan ke Sarawak pada 14 Disember ini dan mengarahkan semua pimpinan PKR bergilir-gilir untuk ke sana setiap minggu untuk meraih keyakinan masyarakat di sana pilihanraya negeri, selewat-lewatnya diadakan 2010.

"Langkah pertama, gegarkan Sarawak. Sarawak barisan hadapan kita sekarang," kata penasihat PKR dalam ceramah khas malam tadi bersempena kongres nasional kelima partinya selama dua hari di Shah Alam mulai semalam.

"Selesai 14 haribulan saya ke Miri, saya akan minta menteri besar, ahli-ahli parlimen bergilir, tiap-tiap minggu mesti ada rombongan ahli Yang Berhormat dari Semenanjung yang turun ke Sarawak.

"Tanpa kecuali, semua mesti tetapkan jadual dan ikut disiplin parti."

Kempen terbaru mantan timbalan perdana menteri itu dilancarkan di hadapan beberapa ribu hadirin yang memenuhi Stadium Malawati, yang ternanti-nanti kupasan terbaru berhubung isu pertukaran kerajaan, asalnya diura-urakan 16 September lepas.

Langkah PKR itu diumumkan susulan penerimaan baik 12,000 penduduk Sarawak yang dilaporkan menyertai parti itu dua minggu lalu.

Anwar berkata, tarikh 16 September itu, merupakan satu sasaran ke arah untuk membina satu kekuatan bagi menubuhkan kerajaan baru bersama dengan Pakatan Rakyat.

Menurutnya, mengambil alih kerajaan bukan merupakan satu perkara yang mudah dan menasihatkan agar rakyat sabar menunggu masanya.

"Ini isu yang tidak mudah diungkap dan dilakar dengan kata-kata kerana ada sebab, ada hal yang saya tidak dapat sebutkan.

"Orang yang bersetuju, menunggu waktu untuk menyeberang, syaratnya tidak didedahkan sehingga mereka bersedia. Jadi, cakap salah, tidak cakap pun salah.

"Cakap salah, tidak cakap salah, jadi semua serba salah," katanya dengan gaya bernyanyi dan disambut dengan gelak ketawa para penyokongnya.

Sehubungan itu, Anwar berharap orang ramai bersabar walaupun beliau mengakui terdapat ahli-ahli PKR dan rakyat yang ragu-ragu dan tertanya-tanya bilakah beliau akan membentuk kerajaan baru dan berada di Putrajaya.

"Jika Allah mentakdirkan kita menang, kita menang.

"Saya yakin, insya Allah (ke Putrajaya) sebagaimana mana saya yakin (dapat menang lima negeri) sebelum 8 Mac," tambah Anwar.

Beberapa hari sebelum pilihanraya umum ke-12, beliau membuat kejutan dalam ceramahnya di Singapura apabila mendedahkan lima negeri akan jatuh ke tangan gabungan pembangkang.

Kenyataannya itu tidak diterima dengan mudah, termasuk oleh jentera kempen PKR sendiri waktu itu. Bagaimanapun keputusan akhirnya menyerlahkan ketepatan ramalan Anwar.

Tambahnya, keyakinannya untuk mengambil alih kerajaan pusat digerakkan juga oleh penerimaan ramai terhadap Pakatan Rakyat dalam pilihanraya itu dan juga kemenangan beliau di Permatang Pauh, Ogos lepas.

Dalam ceramah itu juga Anwar menyatakan beliau tidak berasa bimbang tentang ketandusan kepemimpinan dalam parti itu untuk meneruskan kesinambungan perjuangan PKR.

Ini kerana, tambahnya, parti itu mempunyai pemimpin-pemimpin muda yang berkelayakan untuk menentukan arah perjalanan parti itu walaupun tanpanya.

Ketua pembangkang itu menjelaskan, PKR akan mengadakan kongres khas untuk merancang penjanaan kekuatan parti pada Februari depan.

Beliau juga menegaskan kesediaan PKR mempertimbangkan desakan sayap Wanitanya yang menuntut penglibatan 30 peratus peranan wanita dalam membuat keputusan dan jawatan utama dalam parti.

Ezam Gila Meroyan, Isu PAS Perintah Selangor Tidak Perlu Berbangkit Sebenarnya

KUALA LUMPUR - Cadangan supaya PAS mengambil alih pemerintahan kerajaan negeri Selangor tidak dilihat sebagai satu isu yang perlu dibangkitkan. Setiausaha Agung PAS, Datuk Kamaruddin Jaafar berkata, PAS sebagai komponen Pakatan Rakyat menghormati ciri-ciri perkongsian kuasa yang diamalkan bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP. “Kita mengamalkan ciri-ciri (kerajaan) campuran dan perlu berlaku adil memandangkan PAS telah pun mempunyai tiga orang Menteri Besar daripada lima negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, semalam. Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan akhbar hari ini yang menyiarkan cadangan bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Mohamad Ezam Mohd. Nor agar PAS menerajui Selangor bagi mengembalikan keseimbangan politik dan kedudukan tidak menentu bangsa Melayu.

Kenyataan Ezam itu ekoran beberapa kontroversi berlaku di negeri itu yang berpunca daripada keputusan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sepanjang lapan bulan lalu di bawah pimpinan PKR. Bagaimanapun Kamaruddin berkata, PAS memahami ciri-ciri agihan kuasa yang telah dipersetujui bersama parti komponen lain. “Sekarang ini PAS adalah yang ketiga besar dalam Parlimen tapi kita sudah ada tiga Menteri Besar…kalau sampai empat Menteri Besar…mana adil. “Takkan pula kita nak sampai perintah (ketuai) sampai empat negeri,” katanya. Sementara itu, Ketua Penerangan Pas, Mahfuz Omar enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu. “Terima kasihlah kepada dia (Ezam),” katanya ringkas.

Hairan benar kita lihat Ezam Md Nor, Petualang Rakyat yang sebenarnya kini semakin terpinggir dari arus politik tanahair. Namanya kian merudum tatkalan Anwar menang besar di Permatang Pauh baru-baru ini. Ezam kini umpama hampas, dan menanti masa untuk ditampi. Kesihan benar melihat si Ezam yang terpaksa berkokok di siang hari. Walhal semua orang sudah bangun dari lamunan mimpi.

Ezam sebenarnya sudah tiada nilai disisi rakyat. Biarlah dia gila meroyan sendirian, elok rasanya kelibat anak muda itu tidak dilayan. Jika dilayan pasti penyakitnya akan berjangkit kepada kita, syabas Ezam atas kecaman “hebat”nya itu. Bangga rasanya menjadi dirinya yang kini mendapat ruang khas disisi media arus perdana yang selama ini dihentamnya. Selamat buar Ezam, semoga cerah masa depan.

http://pahangdaily.blogspot.com

Serangan di Mumbai tidak jejaskan kedatangan Shah Rukh Khan ke Melaka

PULAU PINANG: Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata peristiwa serangan pengganas di Mumbai Rabu lepas tidak menjejas kedatangan pelakon popular Bollywood, Shah Rukh Khan ke Melaka pada 6 Dis ini.

"Setakat ini program berjalan seperti yang dijadualkan. Belum ada berita peristiwa yang berlaku di Mumbai akan jejaskan kedatangan beliau," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian hadiah Kejohanan Seni Mempertahankan Diri Acara Silat Seni Gayong di sini hari ini.

Shah Rukh Khan akan berada di Melaka selama satu hari untuk menerima anugerah Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran Datuk.

Istiadat penganugerahan darjah berkenaan akan disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh pada pukul 10 pagi.

Shah Rukh Khan, yang dilahirkan di New Delhi pada November 1965, adalah antara 758 penerima anugerah darjah, bintang dan pingat kebesaran negeri Melaka sempena ulang tahun ke70 hari lahir Mohd Khalil pada 11 Okt lepas.

Sehingga ini, 125 orang dilaporkan terbunuh, termasuk 14 anggota polis dan enam rakyat asing, manakala 250 orang lagi cedera dalam siri serangan pengganas di Mumbai itu. BERNAMA

Zaid, Yong hadiri kongres PKR, nafi sertai pembangkang

SHAH ALAM: Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim dan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee terus mencetuskan persoalan mengenai fahaman politik mereka apabila muncul membuat kejutan di majlis perasmian Kongres Nasional Tahunan Parti Keadilan Rakyat (PKR) di sini hari ini.

Bagaimanapun Zaid yang ditemui selepas itu tetap menafikan penyertaannya sebagai ahli parti berkenaan.

"Ya, saya masih ahli Umno, saya masih belum dipecat," katanya ringkas.

Jelas beliau kehadirannya ke kongres berkenaan kerana menerima jemputan dan atas dasar minat yang mendalam tehadap politik.

Ditanya sama ada kekerapannya yang dilihat sering menghadiri majlis-majlis anjuran parti pembangkang sejak akhir-akhir ini adalah kerana bagi menyatakan sokongan terhadap Pakatan Rakyat, beliau tetap menidakkannya.

"Saya sekadar tunjukkan minat dalam politik...itu saja," katanya.

Menurut beliau, pakatan pembangkang bukanlah musuh namun sekadar kelompok masyarakat yang mempunyai pandangan yang berbeza dalam politik.

Diminta mengulas sama ada beliau sedar bahawa dengan kehadirannya hari ini akan menyebabkan Umno akan mengambil tindakan terhadapnya, beliau berkata tidak takut mengenai perkara itu.

"Saya rasa saya tak takut mengenainya (tindakan), saya lebih takut akan kesihatan saya sekarang ini...saya tak berapa sihat," katanya.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung PKR, Datuk Sallehuddin Hashim turut mengesahkan bahawa hingga kini PKR masih belum menerima sebarang permohonan kemasukan Zaid mahupun Yong.

Turut hadir pada majlis perasmian tersebut ialah Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Pengerusi DAP, Karpal Singh, Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa, Setiausaha Agung PAS, Datuk Kamaruddin Jaafar dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin. - Mstar

Rakyat Malaysia mati di Hotel Taj Mahal

MUMBAI 29 Nov. – Hema Kassipillay, rakyat Malaysia yang dilaporkan hilang sejak serangan pengganas di bandar raya itu pada Rabu lepas, ditemui mati.

Mayat Hema, 51, yang menginap di Hotel Taj Mahal di sini, yang menjadi tempat serangan pengganas itu, ditemui oleh pasukan perubatan di dalam biliknya pada pukul 6 petang ini waktu India.

Mayat yang terbakar dan semakin mereput itu ditemui dalam bilik bernombor 637 di tingkat enam hotel dan beliau dipercayai mati akibat sesak nafas.

Bedah siasat yang dijalankan di Hospital Sir Jamshedji Jeejibhai mendapati tidak ada sebarang kesan tembakan ditemui pada mayatnya.

Menurut seorang rakan keluarganya yang enggan mendedahkan identiti, mayat Hema yang berasal dari Bangsar, dikenal pasti oleh suaminya, K. Sivakumaran menerusi barang-barang kemas yang dipakainya.

Mayat itu dibawa keluar dari tempat kejadian selepas komando India menyerbu kumpulan pengganas itu awal hari ini.

Mayat Hema yang kini berada di rumah mayat hospital itu dijangka dibawa pulang ke Kuala Lumpur Isnin ini.

Tingkat enam bangunan itu dibakar oleh kumpulan pengganas tersebut semasa mereka menawan hotel itu pada hari Rabu lepas.

Hema yang bekerja untuk sebuah syarikat yang berpengkalan di Kuala Lumpur menginap di Hotel Taj Mahal Palace semasa tiba di Mumbai untuk lawatan rasmi.

Hotel itu ditawan oleh pengganas pada malam Rabu lepas, sehari selepas beliau tiba di Mumbai, dan beliau dijadual kembali ke Bangsar pada 5 Disember.

Menurut Sivakumaran dalam temu ramah terdahulu dengan Bernama, sejak serangan itu beliau tidak dapat mengesan Hema, dan kali terakhir rakan sekerja Hema menghubungi isterinya itu ialah pada pukul 1 pagi 27 November lalu.

– Bernama

Syed Hamid: Bukan 'jenaka yang boleh dipermainkan'


KUALA LUMPUR 29 Nov. - Orang Melayu perlu bangkit dan menghentikan segala bentuk kritikan daripada kaum lain yang mahu menolak konsep ketuanan Melayu di negara ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar menegaskan kesedaran daripada orang Melayu perlu bagi memberi amaran kepada semua pihak bahawa perkara berkaitan ketuanan Melayu bukanlah 'jenaka yang boleh dipermainkan'.

Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO mengingatkan kaum lain supaya tidak menganggap seolah-olah orang Melayu tidak mempunyai rasa sensitif dengan terus mempertikaikan hak mereka.

''Jangan ingat orang Melayu senyap selama ini bermakna tidak berperasaan. Kita tidak mahu berpeluk tubuh lagi dan kini mahu bangkit menegakkan hak yang tidak perlu dipertikaikan sesiapa.

''Orang Melayu perlu sedar selama ini kita telah banyak tercabar. Kita tidak pernah mempertikaikan mereka dan malah menghormati hak antara kaum yang termaktub di dalam Perlembagaan," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek yang menolak konsep ketuanan Melayu yang disifatkan beliau sebagai tidak lagi relevan.

Syed Hamid berkata, sebagai bekas menteri, Soi Lek sepatutnya lebih faham perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan berhubung kedudukan orang Melayu dan bumiputera serta bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Katanya lagi, isu sensitif yang ditimbulkan oleh bekas Menteri Kesihatan itu dilihat 'sepak mula' yang akan membawa kemarahan orang Melayu.

Jelasnya, kenyataan panas itu juga tidak seharusnya timbul daripada seorang pemimpin MCA yang seharusnya berdiri teguh di belakang prinsip Barisan Nasional (BN).

Tegasnya, orang Melayu sendiri sudah lama bersabar namun sikap itu bukan bermaksud kaum terbesar di negara ini boleh diperlekehkan dengan sesuka hati.

Beliau turut melahirkan rasa hairan mengapa masih ada pertikaian terhadap orang Melayu yang jelas masih di belakang dari pelbagai sudut berbanding kaum lain.

''Kita tidak tahu mengapa isu ketuanan Melayu masih ditimbulkan sedangkan mereka tahu pencapaian orang Melayu masih lagi di belakang.

''Selama ini kita juga telah bersetuju dengan hak kaum yang telah termaktub. Jangan membanding atau menyamakan hak antara kaum yang telah sedia ada selama ini," tegasnya. - utusan

29 November 2008

Komando bebaskan Hotel Taj, kekacauan di Mumbai berakhir

MUMBAI: Pasukan komando India berjaya menumpaskan saki baki pengganas yang menawan hotel Taj Mahal Palace, selepas berlaku pertempuran sengit dengan anggota kumpulan militan itu.

Pertempuran yang berlanjutan dengan anggota militan itu berakhir kira-kira pukul 8 pagi (waktu tempatan) hari ini selepas baki tiga lagi pengganas terbunuh di dalam hotel itu lebih kurang 60 jam selepas mereka merampas hotel berkenaan.

Semalam dua lagi terbunuh di dalam hotel itu. Sekurang-kurangnya 20 hingga 30 lelaki bersenjata dipercayai memasuki hotel mewah itu.

Menurut seorang pegawai keselamatan, dua daripada anggota militan merupakan pelatih di hotel itu sejak 10 bulan lepas, manakala dua anggota kumpulan mereka menempah masuk bilik deluxe tiga hari sebelum merampas hotel itu.

"Kami tidak boleh mengatakan operasi telah tamat. Walaupun tiga pengganas terbunuh hari ini, berdasarkan laporan media mungkin ada (lebih) lagi yang masih bersembunyi di dalam dan penembak tepat kami melakukan pemeriksaan pintu ke pintu.

"Ia mengambil masa yang lama kerana mereka adalah pengganas yang terlatih," kata ketua pengarah National Security Guard (NSG) JK Dutt kepada media selepas operasi itu hari ini.

"Terdapat laporan dalam media dan laporan daripada mereka yang tinggal di hotel itu, bahawa bukan hanya seorang (pengganas) tetapi ada lima pengganas. Kami telah katakan sekurang-kurangnya ada tiga pengganas di dalam. Kami dapat mayat tiga pengganas hari ini," katanya.

Beliau berkata komando NSG akan melakukan 'pembersihan' di seluruh hotel itu dalam tempoh beberapa jam akan datang bagi mencari mayat lain dan tetamu hotel yang selamat.

Pegawai-pegawai bimbang kemungkinan beberapa tetamu hotel masih terperangkap di dalam hotel itu.

Kebakaran berlaku di beberapa bahagian hotel pagi ini selepas anggota militan meletupkan bom tangan di akhir pertempuran, tetapi anggota bomba berjaya memadamkannya. Hotel itu mengalami kerosakan teruk.BERNAMA

Anwar tidak jelas kegagalan 16 Sept | Malaysiakini

Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menjelaskan punca kegagalannya menukar kerajaan persekutuan, atau "projek 16 September", walaupun beliau dijangka mengulas panjang isu itu seperti dinanti-nantikan banyak pihak dalam kongres pertama PKR selepas pilihanraya umum Mac lepas.

Semalam, timbalan presiden parti itu Dr Syed Husin Ali berkata, beliau menjangkakan perkara itu akan dijelaskan tokoh utama PKR itu dalam kongres tahunan kelima parti itu yang bermula di Shah Alam hari ini.

Akibat kegagalan tersebut, media menuduh Anwar berbohong dan terhadap ahli-ahli PKR dalam pergerakan Wanita dan Angkatan Mudanya yang percaya dengan dakwaan sedemikian, kata Dr Syed Husin.

Mengakui projek itu "belum berhasil", Anwar berkata:

"Peralihan kuasa bagi kita bukan percaturan politik peribadi.

"Peralihan kuasa bagi kita adalah menegakkan suatu sistem yang adil, media yang bebas, badan kehakiman yang bebas, polis yang profesional, pimpinan yang tidak rasuah dan tamak haloba menekan rakyat.

"Itu maksud peralihan kuasa. Dan peralihan kuasa belum berhasil pada 16 September."

Pertempuran Berterusan Di Hotel Taj Untuk Tumpaskan Pengganas


MUMBAI, 29 Nov (Bernama) -- Pertempuran senjata antara komando India dan anggota militan berterusan di Taj Mahal Palace Hotel, sejak malam tadi hingga awal pagi ini, dalam usaha akhir pasukan keselamatan untuk menumpaskan saki baki anggota pengganas.

Sejak semalam, angota komando berjaya menyelamatkan sekurang-kurangnya 30 orang yang ditahan di hotel itu sejak Rabu malam, apabila sekumpulan pengganas melancarkan serangan di bandar ini.

Sejumlah pengganas di hotel Taj terbunuh dalam Operasi Black Tornado itu, manakala sejumlah kecil lagi masih bertempur dengan pasukan keselamatan sejak lebih 50 jam lepas, atau mulai awal pagi Sabtu.

"Ini operasi yang unik," kata ketua pengarah National Security Guard (NSG) JK Dutt kepada pemberita malam tadi.

"Kami telah hantar pasukan NSG yang baru, kami tidak mahu lagi kehilangan nyawa. Operasi ini berjaya dan berdasarkan tembakan yang dilepaskan masih terdapat dua hingga tiga orang pengganas di dalam hotel itu," katanya.

Lebih 40 letupan didengar daripada hotel itu apabila anggota militan yang terdesak melemparkan bom tangan dan melepaskan tembakan berterusan ke arah pasukan komando. Petang semalam, dua wartawan cedera ringan apabila terkena serpihan bom tangan.

Seni bina hotel itu, dengan tangga yang berpusing dan bilik tersembunyi menyukarkan pasukan keselamatan menumpaskan anggota militan, yang jumlahnya antara 20 dan 30 orang ketika mereka menawan hotel itu.

Pasukan keselamatan juga menemui hampir 25 kg bahan letupan RDX di dalam hotel mewah itu.

Letupan dan tembakan berterusan dari beberapa bahagian hotel warisan itu -- yang mempunyai bangunan lama dan baru -- memusnahkan sebahagian hotel yang berusia satu abad itu.

Sementara itu, komando NSG petang semalam membebaskan Oberoi Trident dan Nariman House, yang turut ditawan pengganas sejak Rabu.

-- BERNAMA

Seri Bayu rela mati di rumah

HIDUP penulis lirik lagu terkenal, Seri Bayu kini ibarat sudah jatuh ditimpa tangga. Ini kerana, pada 1 Disember ini, isteri beliau penyanyi Erema akan memfailkan tuntutan fasakh terhadapnya di Mahkamah Rendah Syariah, Petaling Jaya, Selangor.

Jika tuntutan tersebut diluluskan mahkamah, bererti Bayu akan tinggal sendirian di kediamannya tanpa ditemani isterinya itu lagi.

Menurut Bayu atau nama sebenarnya Jamaluddin Sulik, dia tidak akan berganjak dari rumah teres empat bilik yang disewanya di Puncak Jalil, Kuala Lumpur sejak empat tahun lalu walaupun ditakdirkan bercerai.

Biarpun ada cadangan supaya diaditempatkan di rumah kebajikan atau tinggal dengan saudara-maranya, Namun tetap dengan keputusannya.

“Hidup mati saya sekarang adalah di dalam rumah ini. Saya tidak akan berpindah dari sini biarpun ditakdirkan Erema berjaya menuntut cerai daripada saya.

“Banyak kenangan saya di rumah ini yang sukar dilupakan. Saya juga tidak mahu menyusahkan orang lain.

“Sebab itu saya lebih rela mati di dalam rumah ini,” katanya ketika ditemui di kediamannya.

Keadaan Bayu semakin uzur apabila sejak empat bulan lalu, dia sukar menggerakkan kedua belah tangan dan kakinya. Malah, penulis lirik lagu Kau Lilin Cintaku nyanyian Francissca Peter dan Cintamu Muzik Di Hatiku (Anita Sarawak) ini juga tidak boleh bertutur dengan jelas.

Bagi menguruskan kehidupan seharian seperti makan, minum, mandi dan sebagainya, dia dibantu Erema.

Sewaktu kunjungan penulis ke rumah penulis lirik berusia 43 tahun ini, apabila sesuatu butiran perkataannya sukar dijelaskan, dia akan menaip menerusi telefon bimbitnya.

Ditanya bagaimana urusan kehidupannya jika ditakdirkan bercerai kelak, Bayu menyerahkannya kepada Allah. “Saya ada beberapa keluarga angkat. Mereka sering datang menjenguk saya pada waktu malam. Lima anak saya dengan bekas isteri saya juga ada datang melawat pada hujung minggu.

“Ada juga yang minta saya tinggal dengan ibu saya, tetapi dia pula sudah berusia 65 tahun dan uzur.

“Selain itu, tiga orang adik-beradik saya yang tinggal di Bangi, Selangor ada juga datang melawat. Mereka semuanya sudah berkeluarga,” ujarnya.

Mujurlah kata Bayu, sehingga kini dia masih menerima bayaran royalti hasil lirik-lirik lagu yang masih disiarkan kepada khalayak.

Badan Perlindungan Hakcipta Karyawan Malaysia (MACP) katanya, masih terus membayar royalti kepadanya setiap tahun.

“Alhamdulillah setakat ini, setiap tahun saya menerima sekitar RM18,000 daripada MACP.

“Duit itulah yang saya guna untuk menyara kehidupan. Selain itu, Persatuan Karyawan Malaysia juga memberi pencen kepada saya RM500 setiap bulan.

“Duit pencen itu saya gunakan untuk membayar sewa rumah ini iaitu RM450 sebulan,” katanya dalam nada terketar-ketar.

Bayu yang bernikah dengan Erema pada 24 Disember 2006 menganggap penyakit yang dideritai dan dugaan rumah tangganya itu sebagai dugaan Allah.

Perjalanan hidup penulis bertubuh kecil ini ibarat mengharap panas hingga ke petang tetapi hujan di tengah hari.

Ketika menemu bual Bayu dan pasangannya itu saat diijab kabul di Masjid Al-Muhsinin, Danau Desa, Kuala Lumpur dua tahun lalu, Bayu menyatakan rasa terharu apabila Erema sudi berkahwin dengannya.

Biarpun ketika itu beliau sudah menderita penyakit saraf hingga menyukarkan pergerakannya, tetapi seperti kata pepatah kalau sudah jodoh tidak ke mana.

Namun, saat ini Bayu sekali lagi bakal terpaksa menerima takdir terbaru dalam hidupnya apabila menerima tuntutan cerai daripada Erema.

“Saya reda dengan apa juga takdir yang akan berlaku seterusnya. Saya juga menyerahkannya kepada pihak mahkamah untuk mengadilinya.

“Malam ini (Khamis lalu), saya bersama jiran tetangga saya akan mengadakan solat hajat supaya Tuhan tunjukkan kepada saya kebenaran,” katanya. Biarpun tinggal berdua dengan Erema di rumah tersebut, namun sejak kebelakangan ini Bayu sering tinggal sendirian.

Katanya, pada waktu malam Erema akan keluar bekerja di sebuah kelab malam di Shah Alam, Selangor dan hanya pulang pukul 6 pagi.

“Biasanya Erema akan keluar bekerja pukul 8 malam dan lewat pagi baru balik. Maka, tinggal saya seorang di rumah.

“Saya pula tidak mampu bergerak dan hanya boleh terbaring atas katil atau di kerusi roda ini,” jelasnya.

Katanya, paling menyukarkannya ialah ketika mahu makan, pergi ke tandas ataupun bercakap ekoran penyakit yang dideritainya itu.

Bagi mengisi masa lapangnya seharian suntuk di rumah, Bayu yang turut menghidap penyakit paru-paru berair itu banyak menghabiskan masanya dengan menulis.

Dia kini sedang menyiapkan buku tulisannya berjudul Ratapan Sharlini mengenai kes kehilangan kanak-kanak itu tahun lalu.

Biarpun tidak mampu menggerakkan tangan dan jarinya dengan baik, tetapi itu tidak menghalangnya untuk menulis.

“Saya taip sedikit demi sedikit tulisan saya itu melalui telefon bimbit saya. Pada sebelah malamnya pula adik angkat saya akan memindahkannya menerusi komputer.

“Saya tulis sedikit demi sedikit pada setiap hari sejak dua bulan lalu. Saya jangkakan buku itu akan disiapkan pada hujung tahun ini,” ujarnya.

Dua bulan lalu, Bayu sempat bertemu dengan bapa Sharlini dan diberi kebenaran untuk menulis pengalaman sepanjang kes kehilangan kanak-kanak terbabit.

Nafi dakwaan suami

Sementara itu, Erema yang ditemui di suatu sudut yang lain menafikan dakwaan Bayu mengenai perubahan dirinya.

Sebaliknya, dia bukan sahaja telah banyak bersabar menjaga keperluan seharian Bayu, malah tidak pernah menceritakan masalah rumah tangga mereka kepada wartawan.

“Cerita saya mahu tuntut fasakh ini pun dia (Bayu) yang hebahkan kepada wartawan. Selama ini saya banyak bersabar melayan kerenah dia.

“Bukan setakat dua tahun kami bernikah, tetapi empat tahun sebelum itu pun saya sudah menjaganya,” ceritanya.

Ekoran sudah banyak bersabar dan menderita zahir serta batin, Erema kini sudah tidak mampu lagi untuk menanggung penderitaannya itu.

Tuntutan cerai yang difailkannya baru-baru ini adalah kemuncak kepada cabaran, penderitaan dan kesabaran yang telah ditanggungnya.

“Bayangkanlah selama ini saya tidak pernah mengabaikan tanggungjawab saya sebagai isteri. Contohnya, sebelum pergi kerja saya suapkan makanan ke mulutnya.

“Hinggakan saya sakit di bahagian sendi dan belakang badan kerana sering mengangkatnya untuk mandi, ke tandas dan sebagainya.

“Sudah banyak berkorban namun saya pula dipersalahkan. Itu yang menyebabkan saya kecewa,” katanya.

Sejak beberapa bulan lalu, Erema terpaksa keluar bekerja di sebuah kelab malam di Shah Alam bagi menampung kehidupannya.

Selain terpaksa bekerja, dia juga mengakui sudah tidak sehaluan dalam melayari rumah tangga bersama suaminya itu.

Sehubungan itu kata Erema, hatinya kini sudah tidak mampu lagi untuk bertahan dan tuntutan fasakh adalah jalan penyelesaiannya.

Pada masa sama, Erema atau nama sebenarnya Dayang Zaira Erema Awang Mosdad berkata, dia tidak menyesal dengan keputusannya itu kerana ia sudah lama difikirkannya secara mendalam.

“Keputusan ini bukan baru tetapi sudah lama saya pendam. Mungkin sudah sampai masanya saya ambil keputusan ini.

“Sebagai manusia, saya simpati atas penderitaan yang sedang ditanggungnya (Bayu).

“Saya sudah ambil keputusan mulai 1 Disember ini saya tidak mahu tinggal di rumah ini lagi!” ujarnya mengakhiri perbualan kami pada petang itu. - Utusan

Pilihanraya kecil kerusi parlimen Kuala Terengganu | Malaysiakini

Timbalan menteri mati mengejut

Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Razali Ismail meninggal dunia di Institut Aminuddin Baki, Genting Highlands kira-kira 6.30 petang tadi.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Alimuddin Mohd Dom ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau merupakan ahli parlimen Kuala Terengganu selama dua penggal berturut-turut.

Difahamkan Razali, 59, rebah ketika bermain badminton di institut itu.

Dalam pilihanraya umum Mac lalu, beliau menewaskan Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu dan calon bebas, Maimun Yusuf.

Razali menang dengan majoriti tipis 628 undi. Allahyarham mendapat 32,562 undi, manakala Mohamad memperolehi 31,934 undi.

Maimun, seorang nenek yang dipercayai calon paling tua, pula mendapat 685 undi.

Allahyarham menghadiri sesi permukiman dua hari bagi pemimpin Umno Terengganu di situ yang bermula hari ini.

Alimuddin berkata jenazah Allahyarham akan dibawa ke Hospital Bentong, Pahang.

Razali meninggalkan seorang isteri Datin Nooraini Lob Yusoff dan lima
anak.

Malaysiakini difahamkan, jenazah Allahyarham akan dibawa pulang ke kampungnya di Terengganu malam ini.

Susulan kematian beliau, pilihanraya kecil akan diadakan dalam tempoh 60 hari bagi kerusi parlimen Kuala Terengganu.

Wakil AMK: Mawi tampal poster PKR | Malaysiakini

Seorang perwakilan di kongres Angkatan Muda Keadilan (AMK) mendakwa penyanyi popular Asmawi Ani, atau lebih dikenali sebagai Mawi, pernah terlibat membantu PKR dalam pilihanraya umum 1999.

Pembahas dari Johor, Zabidie Abas berkata, bintang paling popular Akademi Fantasia itu pernah menampal poster bersama jentera parti di negerinya.

"Kita hendak imbas kembali nostalgia beliau (Mawi) panjat pokok kelapa (menampal poster) bersama kita," katanya sewaktu membahaskan ucapan dasar ketua AMK Shamsul Iskandar Md Akin bertemakan 'Memimpin Harapan Rakyat'.

"Saya dari Kulai, Mawi dari Kulai. Tuan-tuan tahu, dulu beliau bersama-sama saya tampal poster. Dia jentera bawah saya," katanya, disambut tepukan gemuruh daripada hampir 600 perwakilan pergerakan itu dari seluruh negara.

Pembahas pertama itu yang tampil di pentas petang ini menyarankan PKR mengambil sikap mendekati golongan seniman, termasuk penyanyi yang mempunyai pengaruh besar dalam masyarakat.

Ditemui pemberita selepas pembentangannya, beliau berkata Mawi pernah bergiat bersama PKR dalam pilihanraya umum ke-10 dan menyertai parti itu di bahagian Senai.

Bagaimanapun, katanya, senarai keahlian yang dikeluarkan PKR tahun ini tidak menyebutkan nama Mawi.

Cerita mengenai Mawi itu turut menarik perhatian seorang lagi perwakilan pembahas yang turut menyentuh perkara itu apabil tiba gilirannya naik ke pentas.


Memulakan perbahasannya, perwakilan daripada Pahang, Nizal Jamin secara berseloroh berkata: "Kita di Pahang kalah sikit daripada Johor. Di Kuala Lipis, Siti Nurhaliza belum gantung poster kita lagi."

Tebusan Singapura Dalam Serangan Di Mumbai Terbunuh

Oleh Zakaria Abdul Wahab

SINGAPURA, 29 Nov (Bernama) -- Seorang warga Singapura yang dijadikan tebusan oleh pengganas sewaktu serangan di Mumbai Rabu lepas telah terbunuh, menurut Kementerian Luar Singapura.

Kementerian itu berkata kematian wanita berbangsa Cina itu, Lo Hoei Yen, berusia 28 tahun, disahkan selepas suaminya yang pergi ke Mumbai telah mengecam mayatnya pukul 9.35 malam hari Jumaat waktu Singapura.

Kematian wanita itu merupakan satu tragesi kepada semua warga Singapura, kata kementerian itu, sambil menambah bahawa kerajaan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.

Para pegawai kementerian itu di Mumbai kini bersama suami dan ibu saudara mangsa.

Wanita itu berada di Hotel Trident-Oberoi apabila kumpulan pengganas yang bersenjata api melancarkan siri serangan terancang di beberapa tempat umum dan hotel di Mumbai malam Rabu lepas yang menyebabkan lebih 100 orang termasuk warga asing terbunuh.

Mangsa, seorang peguam dan berada di Mumbai kerana urusan kerja, dijumpai mati oleh pihak berkuasa India di tingkat 19 hotel itu.

Kementerian itu sedang membantu keluarga berkenaan untuk urusan membawa pulang mayat mangsa.

Ia juga berkata tiada lagi warga Singapura yang terkandas di mana-mana hotel di wilayah kewangan India itu.

-- BERNAMA

Kenyataan Soi Lek biadab

KUALA LUMPUR 28 Nov. - Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Pewaris menyifatkan kenyataan Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek yang menolak konsep ketuanan Melayu sebagai kurang ajar dan biadab.

Timbalan Presidennya, Rahimuddin Md. Harun berkata, kenyataan itu boleh menimbulkan provokasi di kalangan bangsa Melayu dan bangsa lain di negara ini.

"Kenyataan berbaur perkauman itu tidak sepatutnya keluar dari mulut Sio Lek hanya semata-mata untuk menaikkan populariti beliau yang pernah mempunyai skandal seks dahulu," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Soi Lek yang menolak konsep ketuanan Melayu yang disifatkan beliau sebagai tidak lagi relevan.

Rahimuddin berkata, sebagai bekas menteri, Soi Lek sepatutnya lebih faham akan perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan tentang kedudukan orang Melayu dan bumiputera serta bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Katanya, umat Islam dan bangsa Melayu tidak akan berdiam diri lagi jika penghinaan terus dilakukan oleh kaum lain.

Beliau meminta agar isu perkauman tidak dijadikan bahan untuk perdebatan kerana keamanan dan keharmonian adalah amat penting.

"Ingin diingatkan di sini agar kita tidak mahu tragedi 13 Mei 1969 berulang lagi hanya kerana sifat dengki dan iri hati oleh pihak yang tidak berpuas hati dengan keistimewaan orang Melayu dan bumiputera," tegasnya. - utusan

9 militan terbunuh, 5 Yahudi maut

MUMBAI 28 Nov. – Sembilan anggota militan terbunuh ketika pasukan komando khas India menggempur kumpulan bersenjata tersebut di beberapa lokasi di bandar raya ini hari ini.

Sementara itu, lima tebusan rakyat Israel terbunuh ketika komando India menggempur Pusat Pertubuhan Yahudi di sini bagi membebaskan antara 10 hingga 20 rakyat Israel yang ditahan di pusat tersebut.

Dalam serbuan di Hotel Oberoi/Trident, 24 mayat ditemui di hotel berkenaan.

Pasukan komando India berjaya menamatkan operasi menggempur kumpulan bersenjata di Hotel Oberoi di sini.

Dalam operasi di Pusat Pertubuhan Yahudi, komando India kelihatan turun dari helikopter menggunakan tali ke atas bangunan Pusat Pertubuhan Yahudi bagi menyelamatkan rakyat Israel yang ditahan di situ.

Setakat ini, 13 warga asing disahkan terbunuh dalam serangan militan itu termasuk tiga warga Jerman, empat warga Amerika Syarikat, dua warga Perancis dan masing-masing seorang warga warga Jepun, Kanada, Australia dan Singapura.

Jumlah warga asing yang cedera pula sebanyak 22 orang.

Pasukan keselamatan meneruskan operasi untuk memulihkan keadaan di Mumbai, dua hari selepas siri serangan militan kelmarin yang menyebabkan sekurang-kurangnya 143 orang maut dan hampir 300 lagi cedera.

Bunyi letupan dan tembakan senjata api terus kedengaran di hotel mewah Taj Mahal petang ini, sementara pegawai melaporkan, komando telah membunuh dua lelaki bersenjata di dalam Hotel Oberoi yang berdekatan dan menamatkan serangan di sana.

“Hotel Oberoi kini dalam kawalan kami dan 24 mayat ditemui di dalam sebuah bilik di hotel itu,” kata Ketua Pengarah unit komando elit Pengawal Keselamatan Negara India, J.K. Dutt.

Berpuluh-puluh orang termasuk seorang lelaki yang mendukung seorang bayi dipindahkan dari Hotel Oberoi awal hari ini.

Ketua Polis Mumbai, Hasan Ghafoor berkata, pertempuran masih berlaku di Hotel Taj Mahal antara komando dengan seorang lelaki bersenjata, manakala dua atau tiga penyerang terus bertahan di pusat pertubuhan Yahudi itu.

Lebih 143 orang terbunuh dan 288 lagi cedera apabila kumpulan militan menyerang 10 lokasi di bandar raya ini mulai malam semalam.

Pasukan keselamatan berkata, operasi mereka hampir selesai.


– Agensi

28 November 2008

Wanita maut ditetak penyamun

KLANG: Seorang ibu yang cuba melindungi anak perempuannya berumur 13 tahun daripada diserang sekumpulan penyamun ditetak sehingga mati di hadapan keluarganya dalam kejadian di sekitar Taman Sentosa di sini, malam kelmarin.

Kumpulan penyamun sekurang-kurangnya enam lelaki berumur dalam lingkungan 20-an dan 30-an itu kemudiannya turut membunuh seorang lelaki dan mencederakan lima yang lain.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop, berkata wanita berumur 35 tahun itu mati dalam perjalanan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) selepas ditetak dengan senjata tajam oleh empat lelaki yang memecah masuk sebuah kedai perabot di situ.

Dalam kejadian jam 9.30 malam itu, katanya, geng samun itu memecah masuk kedai perabot itu dan cuba merampas beg tangan milik anak perempuan mangsa tetapi dihalang mangsa dan suaminya, menyebabkan berlaku pergelutan.

"Dalam pergelutan ini, mangsa cedera parah di kepala akibat tetakan manakala suaminya hanya luka," katanya ketika dihubungi, semalam.

Selepas gagal dalam percubaan itu, kumpulan penyamun sama dipercayai menetak seorang pengawal keselamatan di kepala serta tangan dan seorang pekerja rakyat Indonesia, ditetak di kaki di hadapan sebuah restoran makanan segera di Taman Sentosa, kira-kira setengah jam kemudian.

Kumpulan itu juga kemudian dipercayai menyerang tiga lelaki yang sedang berteduh daripada hujan di hadapan sebuah kedai kosong, menyebabkan seorang daripada mereka terbunuh akibat ditetak. - Bharian

* Apa nak jadi dengan Malaysia ini?

Izinkan suami kahwin lain

HULU TERENGGANU - Wanita berusia 106 tahun, Wook Kundur sedia membenarkan suaminya, Mohd. Nor Musa, 37, berkahwin dengan gadis yang lebih muda.

Bagaimanapun, dia mengenakan syarat yang suami dan madunya itu perlu menjaga dirinya dengan baik dan tidak mengabaikannya.

"Saya izinkan kalau dia nak kahwin lagi. Saya tak kisah bermadu walaupun dengan perempuan yang muda.

"Saya faham Mohd. Nor tentu ada keinginan untuk hidup dan ada isteri yang muda dan cantik. Cuma janganlah bila dah dapat yang baru yang lama ni dilupakan," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Tok Bat, sini, semalam.

Kosmo! baru-baru ini menyiarkan kisah Wook dan Mohd. Nor yang hidup bahagia sebagai suami isteri walaupun dipisahkan dengan jarak usia 69 tahun.

Pasangan itu berkahwin kira-kira tiga tahun lalu selepas Wook mencadangkan perkara itu selepas Mohd. Nor yang menyewa di rumahnya banyak membantu kehidupan seharian wanita itu.

Mengulas mengenai 'lampu hijau' yang diberikan isterinya, Mohd. Nor mengakui dia memang mempunyai keinginan untuk berkahwin lagi. - Kosmo

Rakyat Malaysia hilang di Mumbai

PETALING JAYA: Rakyat Malaysia Hema Kasipillay dilaporkan hilang selepas hotel yang didiaminya di Mumbai diserang oleh sekumpulan pengganas.

Anak saudara Hema, Mohan Thangaraja, dan Konsulat Jeneral Malaysia di Mumbai gagal menghubunginya.

Semalam, Konsul Jeneral Wan Zaidi Wan Abdullah berkata Hema, 53, yang mengikuti rombongan perniagaan ke bandar itu menginap di Hotel Taj Mahal, salah sebuah daripada dua hotel yang diserang pengganas pada Rabu lalu.

“Saya menghubungi pihak pengurusan dan mereka mengesahkan Hema belum meninggalkan hotel.

“Dia bersama dua orang rakan kerjanya dari Jerman yang dipindahkan tetapi mereka belum dapat mengesannya,” kata Wan Zaidi.

Wan Zaidi berkata konsulat telah memeriksa di hotel-hotel lain dan berdekatan hospital-hospital untuk berusaha mencari Hema, dari Bangsar, Kuala Lumpur.

Mohan berkata ibu saudaranya, pegawai pentadbiran di firma insurans Jerman, tiba di Mumbai pada Selasa lalu.

Dia berkata keluarganya tidak dapat menghubungi Hema melalui telefon bimbitnya. Suami dan dua anak Hema bagaimanapun enggan untuk ditemubual.

“Kami tidak mempunyai apa-apa maklumat. Kami telah memberikan maklumat lengkap kepada konsulat. Kami semua berasa sedih,” katanya.

Wan Zaidi berkata dia berurusan dengan rakan sekerja Hema dari Jerman yang memberitahu mereka kali terakhir mereka berbual dengannya kira-kira pukul 3 pagi semalam waktu tempatan sebelum before pihak berkuasa India menjalankan satu operasi menyelamat.

“Kali terakhir mereka melihat Hema ketika waktu petang dan mereka masih menghubungi antara satu sama lain semasa serangan berlaku.

“Tetapi apabila operasi menyelamat dijalankan, komunikasi terputus dan mereka gagal menghubunginya semula,” ujarnya.

Dua orang rakyat Malaysia yang tinggal di Mumbai turut menghantar emel kepada The Star Online mengenai keadaan di ibu negara komersial.

Lawrence Ngadan Mani, yang bekerja dengan syarikat minyak di Mumbai, berkata banyak sekolah dan pusat membeli-belah ditutup seketika.

“Hingga pagi ini, kita masih boleh melihat asap di hotel tersebut. Rakyat tempatan memberitahu saya selama Hotel Taj beroperasi lebih 100 tahun lalu, hal seperti ini belum pernah berlaku.”

Sementara itu, Vivegan Nadarajai, yang berada di negara itu sejak 16 November lalu, berkata dia tinggal di hotel kira-kira 20km bebas dari kawasan pengepungan.

“Keadaan di sini adalah tenang. Kami telah dinasihatkan supaya tidak keluar jauh dari hotel kami hingga keadaan kembali tenang dan sentiasa mengikuti berita semasa,” katanya.

Dalam pada itu, keselamatan di New Delhi, telah ditingkatkan dengan kehadiran lebih banyak polis dan tentera di kawasan awam, lapor NELSON BENJAMIN.

Keselamatan telah disediakan pada semua stesen kereta api, terminal bas dan pawagam.

Keselamatan turut ditingkatkan di kebanyakan hotel lima bintang dengan menyediakan ramai pengawal keselamatan bersama pengesan-pengesan logam dan memeriksa kewujudan semua pengunjung.

Semua pelancongan untuk bangunan-bangunan kerajaan di bandar raya itu juga telah dibatalkan.

Dalam pada itu, wartawan Bernama dari New Delhi melaporkan tidak ada tanda-tanda menunjukkan krisis tebusan berakhir pagi Jumaat di mercu tanda Mumbai, Taj Mahal Palace Hotel, walaupun percubaan diteruskan oleh pasukan keselamatan India untuk membanteras saki-baki pengganas.

Menurut Kementerian Dalam Negeri, setakat ini sekurang-kurangnya 125 orang terkorban dan 327 cedera termasuk enam rakyat asing, apabila kumpulan pengganas melancarkan serangan yang penuh terancang di beberapa kawasan hub kewangan India pada malam Rabu.

Sehingga awal pagi Jumaat, sekurang-kurangnya tiga pengganas terbunuh di hotel berusia berabad itu sementara tiga orang yang menginap di hotel tersebut yang terkandas dapat diselamatkan.

"Kejadian tembakan berlaku sekejap-kejap antara militan dalam hotel dan askar di luar sejak pukul 4 petang (waktu tempatan). Keseluruhan bandar raya tersebut dikejutkan dengan pembunuhan itu, ini tragedi yang dahsyat untuk Mumbai," kata pemilik sebuah kedai komputer berusia dalam lingkungan pertengahan tahun memberitahu Bernama.

Menggelarkan dirinya sebagai Mujahideen Deccan, telah menghantar emel kepada pertubuhan media mendakwa melancarkan serangan itu, antara tragedi yang terburuk di India sejak 1993.

Pegawai kementerian itu mendakwa militan melancarkan serangan mereka dari laut, di mana sebuah kapal induk yang dipercayai membekalkan senjata dan suspek tiba melalui laluan laut pantai.

Pihak berkuasa kini memeriksa kapal tersebut di sepanjang pantai Mumbai.

Di Oberoi Hotel dan Nariman House, sebuah kompleks perumahan, anggota komando meneruskan operasi untuk melumpuhkan pengganas yang bersembunyi di dalam bangunan dan lebih 30 orang tebusan diselamatkan, menurut sebuah stesen televisyen tempatan.

Pegawai keselamatan dijangka melancarkan serangan terakhir di tiga kawasan selatan ibu negara itu lewat Jumaat untuk menamatkan krisis tebusan yang telah melumpuhkan Mumbai.

Setakat ini tidak ada rakyat Malaysia terperangkap pada kejadian itu.

BERITA TERDAHULU

MUMBAI: Perdana Menteri India, Manmohan Singh berkata, serangan di Mumbai yang mengorbankan lebih 100 nyawa telah dirancang dengan baik dan kemungkinan besar mempunyai "kaitan dengan pihak luar".

Singh bercakap sebagai saksi dalam modal kewangan India berkata, berlaku tembak menembak antara komando-komando India dengan mereka yang disyaki militan Islam dalam Hotel Taj dan berdekatan Hotel Trident-Oberoi, di mana ramai yang terperangkap dan beberapa ditahan sebagai tebusan.

Komando-komando juga berkumpul di luar pusat Yahudi di mana seorang rabai dikhuatiri turut menjadi tebusan, tetapi kemudian dilihat memutuskan untuk tidak menyerang.

"Serangan-serangan yang dirancang dengan baik, kemungkinan besar ada hubungan dengan pihak luar, bertujuan untuk mewujudkan keganasan dengan memilih sasaran berprofil tinggi," katanya ketika bercakap kepada rakyat India yang disiarkan di saluran-saluran TV.

Beliau berkata, New Delhi amat yakin bahawa wilayah-wilayah negara jiran digunakan untuk melancarkan serangan ke atas India.

Kerajaan India sebelum ini pernah menyalahkan Pakistan dan kadangkala Bangladesh kerana menyokong atau memberi kebenaran berlabuh kepada kumpulan-kumpulan militan yang melakukan serangan-serangan ini.

"Terdapat bukti yang menunjukkan kumpulan tersebut yang melakukan serangan ini luar daripada negara, yang telah datang dengan penuh keazaman bagi mewujudkan huru-hara dalam ibu negara komersial," kata Singh.

BERITA TERDAHULU

MUMBAI: Komando India berjaya membebaskan tebusan-tebusan di Hotel Taj Mahal hari ini, tetapi pertempuran masih berlaku dengan kumpulan militan Islam bersenjata yang setakat ini telah membunuh lebih 100 orang.

Kumpulan pengganas itu dilaporkan tiba di Mumbai dengan bot dua hari lalu, sebelum menyerang hotel-hotel mewah, sebuah restoran popular, hospital dan stesen keretapi.

Tujuh belas jam selepas serangan tersebut, tentera dan kumpulan militan masih lagi meneruskan pertempuran dimana lebih 100 orang terperangkap di dalam bilik-bilik hotel terbabit.

"Mereka yang ditahan di sana telah pun berjaya diselamatkan. Tetapi masih ramai lagi yang berada di dalam bilik-bilik hotel itu...kita tidak tahu berapa ramai," kata Ketua Polis Maharashtra, A.N.Roy kepada saluran berita NDTV.

Kata Roy, walaubagaimanapun tebusan di Hotel Trident/Oberoi masih lagi belum dapat diselamatkan.

"Sebab itu kita perlu melakukan operasi ini dengan berhati-hati supaya tiada nyawa yang terkorban," katanya.

Polis berkata, sekurang-kurangnya enam warga asing terbunuh dan 287 orang lagi cedera di dalam serangan yang didakwa dilakukan oleh kumpulan yang menggelarkan diri mereka Deccan Mujahideen.

"Bebaskan semua mujahideen, dan semua Muslim di India tidak akan berhadapan masalah," kata seorang ahli militan di dalam Hotel Oberoi yang bercakap dengan sebuah televisyen India menerusi telefon.

Lelaki yang mengenalkan dirinya sebagai Sahadullah berkata, dia adalah salah seorang daripada tujuh penyerang di hotel tersebut dan mahu agar militan Islam dibebaskan dari penjara India.

Ledakan kemudiannya didengar di hotel tersebut, kata saksi.

Dua orang pengunjung hotel tersebut yang terperangkap di dalam hotel masing-masing turut menghubungi beberapa stesen televisyen. Seorang daripadanya berkata pintu kecemasan terkunci dan seorang lagi berkata dia melihat dua mayat di tepi kolam hotel terbabit.

Menurut saksi, penyerang berkemungkinan mensasarkan kepada warga Britain dan Amerika di hotel dan restoran terbabit.

Alex Chamberlain, warga Britain yang sedang menjamu selera di Oberoi ketika kejadian memberitahu saluran berita Sky News bahawa kumpulan bersenjatan itu telah membawa 30 hingga 40 orang yang berada di resotran itu ke tingkat atas dan mengarahkan semua mengangkat tangan ke atas di dalam bahasa Hindi atau Urdu.

Chamber lain berkata, dia berjaya melarikan diri semasa pengunjung restoran yang lain dipaksa ke tingkat atas.

Motif serangan tersebut belum dapat dikenal pasti, namun Mumbai sebelum ini juga pernah menjadi sasaran serangan pengganas dan mendakwa ia dilakukan oleh militan-militan Islam, termasuklah siri pengeboman pada Julai 2006 yang membunuh 187 orang.

BERITA TERDAHULU

MUMBAI: Sekurang-kurangnya 86 orang terbunuh di dalam serangan oleh kumpulan bersenjata di pusat perdagangan India, di sini, malam tadi manakala pasukan keselamatan telah bertindak untuk mengepung dua buah hotel mewah dimana tebusan asing ditahan oleh penyerang.

Menurut laporan Reuters, kumpulan bersenjata itu melakukan serangan menggunakan bom tangan dan senjata automotik ke atas dua buah hotel dan beberapa lokasi lain di bandar tersebut termasuklah di Kashmir.

Polis telah menembak mati empat lelaki bersenjata dan setakat ini telah menahan sembilan suspek manakala 12 anggota polis turut terbunuh termasuklah Ketua Polis Skuad Anti-Keganasan Mumbai, Hemant Karkare.

"Keadaaan di sini masih tegang dan kami masih lagi sedang mengesan pengganas-pengganas lain yang sedang bersembunyi di dalam dua buah hotel tersebut," kata Ketua Menteri Maharashta, Vilasrao Deshmukh.

Deshmukh di dalam sebuah sidang media berkata, keadaan di situ masih lagi belum dapat dikawal.

"Sukar untuk berkata berapa ramai pengganas berada di dua hotel itu," tambahnya, walaupun Menteri Dalam Negeri, Shivraj Patil berkata kira-kira empat hingga lima orang pengganas berada di setiap hotel terbabit.

Kementerian Luar negara Jepun berkata, sekurang-kurangnya seorang warga Jepun turut terbunuh dan seorang tercedera di dalam serangan itu manakala Korea Selatan pula melaporkan 26 mangsa serangan berjaya menyelamatkan diri tanpa sebarang kecederaan.

Dalam pada itu, menurut laporan Bernama, seorang rakyat Singapura adalah antara beberapa tebusan warga asing yang turut ditahan.

Kementerian Hal Ehwal Luar Singapura dalam satu kenyataan berkata pihaknya sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa India bagi membebaskan tebusan rakyat Singapura itu bersama tebusan-tebusan lain.

Dalam kenyataan yang sama, kementerian itu berkata kerajaan Singapura mengutuk keras serangan itu.

"Serangan di Mumbai mengesahkan lagi ancaman pengganas yang sedang dihadapi semalam. Singapura berdiri kukuh di belakang kerajaan India dalam peperangannya menentang keganasan," menurut kenyataan itu.

Tambahnya kerajaan Singapura turut menyampaikan ucapan takziah kepada mangsa, keluarga mereka, kerajaan India dan rakyatnya terhadap kejadian itu.

Menurut saksi, tembakan pistol dan letupan telah didengar di Hotel Taj Mahal dan turut diselubungi asap tebal.

Letupan juga turut berlaku di Hotel Oberoi dan tembakan di sebuah hospital.

"Pengganas melempar bom tangan ke arah kami dari atas bumbung Hotel Taj dan cuba menghalang kami untuk masuk," kata Inspektor Ashok Patil.

Menurut polis, sekurang-kurangnya 250 orang tercedera di dalam serangan itu yang mana turut mensasarkan stesen keretapi dan Cafe Leopold, sebuah restoran terkenal dan menjadi tumpuan pelancong.

Sebuah stesen televisyen turut melaporkan bahawa sebuah organisasi yang menggelarkan diri mereka Deccan Mujahideen dikatakan menjadi dalang serangan tersebut.

"Merka ada bom. Saya rasa mereka sasarkan kepada orang asing kerana mereka meminta pasport rakyat British dan Amerika," kata Rakesh Patel, saksi warga Britain yang tinggal di Hong Kong dan menetap di Hotel Taj Mahal atas urusan perniagaan.

"Mereka ada bom. Anak muda, mungkin dalam usia 20 hingga 25 tahun dan mempunyai dua pucuk pistol. Mereka muncul dari restoran dan bawa kami ke tingkat atas," katanya yang dipenuhi kesan kotoran asap di muka ketika ditembual NDTV News. - Mstar

Mumbai: Krisis tebusan berlarutan | Malaysiakini



Tidak ada tanda-tanda menunjukkan krisis tebusan berakhir pagi Jumaat di mercu tanda Mumbai, Taj Mahal Palace Hotel, walaupun percubaan diteruskan oleh pasukan keselamatan India untuk membanteras sak baki pengganas.

Menurut Kementerian Dalam Negeri, setakat ini sekurang-kurangnya 125 orang terkorban dan 327 cedera termasuk enam rakyat asing, apabila kumpulan pengganas melancarkan serangan yang penuh terancang di beberapa kawasan hub kewangan India pada malam Rabu.

Sehingga awal pagi Jumaat, sekurang-kurangnya tiga pengganas terbunuh di hotel berusia berabad itu sementara tiga orang yang menginap di hotel tersebut yang terkandas dapat diselamatkan.

"Kejadian tembakan berlaku sekejap-kejap antara militan dalam hotel dan askar di luar sejak pukul 4 petang (waktu tempatan). Keseluruhan bandar raya tersebut dikejutkan dengan pembunuhan itu, ini tragedi yang dahsyat untuk Mumbai," kata pemilik sebuah kedai komputer berusia dalam lingkungan pertengahan tahun memberitahu Bernama.

Menggelarkan dirinya sebagai Mujahideen Deccan, telah menghantar e-mel kepada pertubuhan media mendakwa melancarkan serangan itu, antara tragedi yang terburuk di India sejak 1993.

Pegawai kementerian itu mendakwa militan melancarkan serangan mereka dari laut, di mana sebuah kapal induk yang dipercayai membekalkan senjata dan suspek tiba melalui laluan laut pantai.

Pihak berkuasa kini memeriksa kapal tersebut di sepanjang pantai Mumbai.

Di Oberoi Hotel dan Nariman House, sebuah kompleks perumahan, anggota komando meneruskan operasi untuk melumpuhkan pengganas yang bersembunyi di dalam

bangunan dan lebih 30 orang tebusan diselamatkan, menurut sebuah stesen televisyen tempatan.

Pegawai keselamatan dijangka melancarkan serangan terakhir di tiga kawasan selatan ibu negara itu lewat Jumaat untuk menamatkan krisis tebusan yang telah melumpuhkan Mumbai.

Setakat ini tidak ada rakyat Malaysia terperangkap pada kejadian itu.

Komando India gempur militan

MUMBAI 28 Nov. – Pasukan komando khas India menggempur sebuah pusat pergerakan Yahudi di bandar raya ini hari ini dalam usaha untuk menamatkan krisis tebusan dan menghapuskan kumpulan militan yang membunuh 125 orang dalam serangan nekad semalam.

Sekurang-kurangnya 17 komando kelihatan turun dengan tali dari sebuah helikopter ke bumbung bangunan berkenaan dan bunyi tembakan dan letupan kedengaran sejurus kemudian.

Sementara itu operasi “pembersihan” dijalankan di dua hotel mewah yang turut menjadi sasaran serangan semalam.

Setakat ini belum dapat dipastikan jumlah mangsa yang masih ditahan sebagai tebusan atau terperangkap di bilik masing-masing di tiga lokasi itu. – AFP

Pesawat Air New Zealand terhempas

TOULOUSE 28 Nov. – Sebuah pesawat Airbus A320 milik Air New Zealand terhempas ke Laut Mediterranean dekat pantai barat daya Perancis semalam semasa melakukan penerbangan ujian.

Menurut pihak berkuasa, sekurang-kurangnya dua orang terbunuh manakala lima yang lain masih hilang.

Lembaga keselamatan penerbangan awam Perancis, BEA menyatakan, nahas itu berlaku pada 4.46 petang semalam (11.46 malam tadi waktu Malaysia) ketika pesawat tersebut menghampiri lapangan terbang Perpignan, barat daya Perancis, selepas penerbangan selama kira-kira sejam.

Seorang saksi berkata, dia melihat kapal terbang itu menjunam dengan tiba-tiba dan terhempas ke Laut Mediterranean. – Reuters

Bicara pengesahan cerai pengacara TV 14 Januari

PETALING JAYA: Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam, menetapkan 14 Januari tahun depan untuk sebutan pengesahan lafaz cerai wartawan penyiaran yang juga pengacara rancangan 360 darjah dan Malaysia Hari Ini (MHI) terbitan TV3, Mazidul Akmal Sidik terhadap isterinya.

Hakim Ghazali Ahmad menetapkan tarikh itu bagi membolehkan Mazidul memfailkan afidavit pembelaan berhubung dakwaan isterinya, Khairul Fazlin Kamaruddin, 38, bahawa beliau sudah menceraikannya.

Ketika disoal Ghazali dalam prosiding semalam, Mazidul mengakui sudah menerima dan membaca writ saman difailkan isterinya, malah bersetuju serta memahami segala butiran yang dinyatakan di dalam dokumen berkenaan.

Zakiah Anas mohon cerai cara baik

SHAH ALAM - Personaliti televisyen popular, Zakiah Anas, 42, mengemukakan permohonan cerai secara baik terhadap suaminya, Mohamad Yusof Mohamad Taib, 46, di Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam.

Zakiah yang diwakili peguam syarie, Azmi Mohd. Rais dilihat tiba di pekarangan mahkamah kira-kira 11 pagi.

Bagaimanapun, Mohamad Yusof yang dinamakan sebagai defendan tidak hadir.

Pada prosiding itu Azmi berkata, permohonan cerai yang dikemukakan plaintif (Zakiah) adalah secara baik iaitu mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor 2003.

Bagaimanapun, dalam masa sama Azmi memohon kepada mahkamah satu tarikh lain untuk sebutan semula kes bagi memberi ruang kepada plaintif dan defendan berbincang.

"Defendan telah terima saman pada 23 November lalu dan beliau telah mengirimkan satu SMS (khidmat pesanan ringkas) kepada saya mengatakan tidak setuju dengan kes ini.www.kosmo.com.my

Tiada kutipan PIBG awal tahun

KUALA LUMPUR 27 Nov. - Mulai tahun depan, sebarang kutipan bayaran tambahan oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) tidak lagi dibuat pada awal tahun, kata Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien.

Beliau berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Awal Penggal Persekolahan 2009 pada Isnin lalu memutuskan bahawa bayaran tambahan tersebut akan dikutip pada pertengahan tahun setelah mendapat persetujuan mesyuarat PIBG.

Katanya, melalui langkah itu, PIBG dan ibu bapa diberi peluang untuk menentukan jumlah yang akan dikutip daripada ibu bapa.

''Selain mengurangkan beban tanggungan ibu bapa, khususnya pada awal penggal, langkah ini juga selaras dengan usaha Kementerian Pelajaran mengupayakan peranan dan tanggungjawab PIBG dalam sama-sama membantu membangunkan sistem pendidikan negara," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat Duta Cuba ke Malaysia, Carlos Alfredo di bangunan Parlimen di sini hari ini.

Menurut Hishammuddin, perkara berkenaan diputuskan selepas jawatankuasa itu membincangkan pendekatan terbaik mengurangkan perbelanjaan awal tahun ibu bapa dalam menanggung perbelanjaan persekolahan, lebih-lebih lagi dalam situasi ekonomi yang tidak menentu.

Beliau berharap, PIBG tidak menjadikan keputusan kerajaan itu satu isu kerana pada masa sama kementerian terpaksa menanggung peruntukan besar bagi sesi persekolahan 2009.

''Perkara ini perlu diperjelaskan ke peringkat akar umbi dan saya telah meminta pengarah di Jabatan Pelajaran negeri untuk memaklumkan kepada Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) supaya tidak ada mana-mana pihak terkeliru,'' katanya.

Hishammuddin berkata, beliau juga telah mengarahkan supaya kementerian melihat cara yang sesuai untuk menyalurkan bantuan kewangan kepada PIBG secara telus.

Isu yuran tambahan PIBG sering menjadi rungutan setiap kali bermula sesi persekolahan kerana jumlahnya mencecah sehingga RM180 dan membebankan ibu bapa yang tidak berkemampuan.

Pada 30 Oktober tahun lalu, Kementerian Pelajaran mengeluarkan pekeliling mengenai garis panduan amaun maksimum atau siling yang boleh dikutip daripada ibu bapa.

Kementerian menetapkan amaun maksimum bayaran tambahan bagi sekolah rendah ialah RM38.50 manakala bagi sekolah menengah pula ialah RM55.50.

Kerajaan telah memansuhkan yuran rasmi bagi sekolah rendah dan menengah bermula sesi persekolahan 2008.

Dalam pada itu, Hishammuddin berkata, bagi sesi persekolahan 2009, kementerian telah menyediakan peruntukan besar bagi tujuan bantuan tambahan antaranya RM1.06 bilion untuk Bantuan Makanan Asrama, RM270 juta untuk Rancangan Makanan Tambahan, RM262 juta untuk Biasiswa Pelajar, RM246 juta untuk Skim Bantuan Tuisyen dan RM200 juta untuk tabung Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin.

Beliau berkata, peruntukan lain adalah RM72 juta untuk Bantuan Murid Orang Kurang Upaya (OKU), RM27 juta untuk Program Susu Sekolah dan RM20 juta untuk Bantuan Pakaian Seragam Unit Beruniform.

''Selain itu, kementerian turut menyalurkan RM96.319 juta untuk perluasan Skim Pinjaman Buku Teks (SPBT).

''Pada masa sama kementerian turut membantu pelajar Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dari keluarga miskin iaitu berpendapatan kurang RM600 sebulan," katanya. - utusan

125 terbunuh serangan di Mumbai


MUMBAI 27 Nov. – Seramai 125 orang terbunuh, manakala 287 lagi cedera apabila sekumpulan lelaki bersenjata melancarkan serangan ke atas dua buah hotel mewah, hospital, stesen kereta api dan beberapa kawasan tumpuan pelancongan di bandar raya ini sejak malam tadi.

Setakat ini, masih belum jelas siapakah dalang di sebalik kejadian itu, namun Perdana Menteri, Manmohan Singh menyalahkan kumpulan pejuang Islam di kawasan sempadan sebagai suspek utama.

Kumpulan kecil militan lengkap bersenjata melepaskan tembakan rambang dan melontar bom dalam serangan ke atas kedua-dua hotel mewah tersebut, sebuah hospital dan sebuah stesen kereta api sejak lewat malam tadi serta sebuah kafe popular yang kerap dikunjungi pelancong asing.

Anggota keselamatan dan kumpulan bersenjata berbalas tembakan ketika komando dan polis menggempur salah sebuah hotel berkenaan bagi membebaskan tebusan.

Bagaimanapun keadaan kini agak terkawal, namun berpuluh-puluh pelancong asing dan tempatan masih terperangkap di dalam Hotel Taj Mahal berusia 105 tahun dan sebuah lagi hotel lima bintang, Hotel Trident Oberoi di pusat bandar Mumbai, yang menjadi sasaran serangan.

“Ramai yang terperangkap di dalam dua hotel berkenaan dan kami mendapat laporan berlakunya tembak-menembak terutama di Hotel Taj Mahal,” ujar seorang pegawai bertugas di bilik kawalan polis Mumbai.

Komando dan pasukan polis bersenjata masih lagi berkawal di dalam dan di sekitar hotel itu setelah kumpulan ini menjadikan warga tempatan dan asing sebagai tebusan.

Menurut polis, mereka telah menembak mati empat lelaki bersenjata dan menahan sembilan suspek, manakala 12 anggota polis terbunuh termasuk ketua skuad antikeganasan, Hemant Karkare dalam kejadian tembak-menembak di Hotel Taj Mahal.

Manmohan Singh mengecam kejadian itu yang disifatkan sebagai terburuk pada tahun ini dan menyalahkan kumpulan pengganas yang mempunyai pertalian dengan kumpulan dari luar.

“Serangan ini dilakukan oleh mereka yang mempunyai hubungan rapat dengan pengganas asing dan ia dilakukan dengan perancangan yang teliti.

“Ia dilakukan bagi mencetuskan suasana tidak selamat di dalam negara dengan memilih kawasan-kawasan yang berprofil tinggi sebagai sasaran,” kata Manmohan Singh melalui siaran televisyen hari ini.

Serangan ini didakwa dilakukan oleh satu kumpulan yang tidak dikenali, Deccan Mujahideen namun berita ini masih belum dapat disahkan.

Menurut satu laporan terbaru salah seorang anggota kumpulan militan tersebut menelefon stesen televisyen tempatan dan menyalahkan kerajaan dengan menyatakan tentera telah menyerang penduduk Islam di Kashmir.

Dalam satu lagi maklum balas daripada kerajaan India, Menteri Perdagangan Kamal Nath menyifatkan serangan itu sebagai “satu perkara malang”, namun ia dijangka tidak memberi kesan kepada ekonomi India, yang sudahpun menurun.

Namun menurut pengawal atur pasaran saham India, Bursa Saham Bombai dan bursa saham kebangsaan tidak akan dibuka hari ini berikutan krisis tersebut.

– Agensi

Parah dipukul perompak

KOTA BHARU 27 Nov. - Seorang wanita cedera parah dan terpaksa menerima lebih 200 jahitan di kepala selepas dipukul seorang lelaki yang merompak rumahnya di Kampung Chetok, Bendang Pauh, dekat Pasir Mas, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi itu, mangsa, Che Rokiah Salleh, 55, cedera di kepala dan mata kiri serta patah hidung selepas dipukul suspek dengan batang besi.

Mangsa ditemui terlantar berlumuran darah di dalam rumah oleh anaknya, Mohd. Zahar Yazid, 23, yang pulang ke rumah kira-kira pukul 6.40 pagi selepas menghantar pekerja kilang.

Che Rokiah ketika ditemui di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini berkata, kejadian berlaku ketika dia bangun untuk menunaikan solat subuh.

"Sebaik sahaja keluar dari bilik tidur, saya mendapati seorang lelaki yang dikenali sudah berada dalam rumah dan dia tiba-tiba terus memukul bahagian tengkuk menyebabkan saya terjatuh.

"Suspek yang membalut kepalanya dengan jaket dan kain langsir bertindak memukul kepala saya bertubi-tubi dengan batang besi.

"Saya menjerit meminta tolong tetapi pada masa itu di rumah saya cuma ada seorang cucu berumur 18 bulan yang sedang tidur dalam buaian," katanya.

Menurut Rokiah, dia tidak dapat berbuat apa-apa apabila suspek terus meragut rantai leher dianggarkan bernilai RM10,000 sebelum lari.

Sementara itu, menurut Mohd. Zahar, dia yang tiba di rumah kira-kira pukul 6.40 pagi, terkejut melihat ibunya terlantar dan berlumuran darah serta tidak sedarkan diri.

"Saya ternampak kelibat seorang lelaki turun dari rumah dan mengenalinya kerana dia tinggal sekampung, saya cuba mengejar tetapi tidak dapat.

"Kemudian saya terus membawa ibu yang sudah tidak sedarkan diri ke Hospital Tanah Merah tetapi dirujuk ke HRPZ II kira-kira pukul 2 petang semalam kerana keadaannya agak kritikal sebelum membuat laporan di Balai Polis Pasir Mas, sejam kemudian," katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Deputi Supritendan Tengku Azman Tengku Abdullah ketika dihubungi di sini mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Tambahnya, sejurus menerima laporan, sepasukan pegawai dan anggota terus melancarkan gerakan mencari dan berjaya menahan suspek berusia 30-an.

"Siasatan akan dilakukan mengikut Seksyen 397 Kanun Keseksaan kerana melakukan rompakan menggunakan senjata serta cuba menyebabkan kematian atau cedera parah," katanya. - utusan

27 November 2008

Kempen 'anti-Dr Asri' buang masa saja...

KUALA LUMPUR: Pandangan berani beliau beralaskan ilmiah, hukum dan logik tentang 'yoga' telah membuat beberapa pihak tidak senang dengan Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Ada yang melahirkan ketidakpuasan hati dengan pendirian Dr Asri dan mempersoalkan kredibiliti beliau mengkritik fatwa 'yoga' yang diharamkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan, seolah-olah wujud satu kempen 'anti-Dr Asri' yang cuba memberi gambaran buruk tentang tokoh agama yang berasal dari Mengkuang, Pulau Pinang ini.

Bagaimanapun, ketika ditemui semalam, Dr Asri yang akan menamatkan khidmat sebagai Mufti Perlis Ahad ini, bagaikan sudah lali dengan kempen yang dikatakan itu.

"Saya dah lama tahu pasal kempen ni. Saya tak kisah pun. Kempen macam ni semua buang masa saja.

"Sebenarnya bukan pasal kes yoga saja. Saya rasa mungkin mereka-mereka takut saya berhenti jadi mufti dan muncul dalam bidang politik," katanya.

Ditanya tentang PhD beliau yang bukan dalam jurusan agama dan kononnya beliau tidak layak memberi pandangan tentang fatwa yoga, Dr Asri berkata: "Kalau saya yang ada PhD pun dikatakan tidak layak memberi pendapat tentang fatwa yoga, macam mana dengan mufti-mufti negeri lain yang tidak ada PhD?"

Dr Asri membuat tesis 'Pengajian Hadis' berjudul "Sabab Wurud Al-Hadith" dalam bahasa Arab di Universiti Islam Antarabangsa Malayasia (UIAM).

Tesis yang dicetak oleh Dar al-Kutub al-'ilmiyyah di Lubnan itu turut diterjemah dan diedarkan di peringkat antarabangsa.

Dr Asri berkata, sesiapapun boleh menyiasat latar belakang akademik beliau, tambahan pula tesisnya dibuat di UIAM dan kemudiannya beliau diterima bekerja sebagai pensyarah di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang - dua institusi yang terkenal di Malaysia.

Tambahnya, "Biarlah orang nak pertikaikan. Selagi orang pertikaikan apa yang saya kata, orang tahu saya masih wujud. Siti Nurhaliza pun orang pertikaikan dia kahwin, sedangkan bukan dia cakap apapun, tak usik siapa-siapa lagi..."

Kelmarin, Dr Asri telah menegur pihak Majlis Fatwa Kebangsaan supaya memberi alternatif pada fatwa yoga dengan membuang unsur yang bertentangan dengan agama Islam.

Beliau menasihatkan agar Majlis Fatwa tidak terlalu kaku dalam mengeluarkan fatwa dan memberi alternatif yang memisahkan amalan yoga yang mengandungi unsur agama dengan amalan yoga untuk kebaikan kesihatan. Ketua Pengarah Jakim, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz juga turut mengkritik pandangan yang dikeluarkan Dr Asri atas kapasitinya sebagai Mufti Perlis.

"Adakah Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis sudah berjumpa sebelum Mufti menyatakan tidak bersetuju? Perkara ini perlu dibincangkan dahulu sebelum dinyatakan setuju atau tidak setuju," soal Datuk Wan.

Mengulas lanjut, Dr Asri berkata: "Itu adalah pandangan Mufti dan bukan keputusan Majlis Fatwa Perlis. Kalau macam tu, Mufti tidak boleh mengajarlah...

"Saya bukan kata fatwa itu salah. Memanglah apa saja perlakuan yang menyerupai agama lain itu haram. Kita sepatutnya pisahkan bacaan atau mentera dalam senaman yoga itu sendiri. Jangan ada sebarang unsur-unsur syirik yang menyamai agama lain.

“Tanggalkan yang bertentangan sahaja, samada pergerakan, bacaan atau kepercayaan. Kekalkan pergerakan yoga yang baik untuk kesihatan.

"Mungkin boleh diperbetulkan atau dikemaskinikan 'wording' dalam fatwa itu," kata beliau lagi.

Menurut Dr Asri, banyak lagi amalan sukan yang diambil daripada budaya lain seperti tai chi, judo, wushu, taekwando dan silat.

"Semua sukan ini bukan asal usul Islam tetapi diamalkan kerana ianya baik untuk kesihatan. Kenapa tak kaji amalan-amalan lain yang ada unsur Hindu seperti tepung tawar, bersanding, merenjis. Semua ini boleh dibahaskan...," kata Dr Asri. - Mstar

Mangsa samun, bunuh turut diliwat

PETALING JAYA - Seorang lelaki warga Thailand yang ditemui mati dibunuh dalam keadaan bogel selepas diculik sekumpulan empat lelaki di Bandar Baru Sungai Buloh kelmarin didapati turut menjadi mangsa liwat.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Supritendan Mohd. Shukor Sulong berkata, hasil bedah siasat di Hospital Sungai Buloh mendapati dubur mangsa mengalami kecederaan dipercayai akibat diliwat oleh suspek.

Ujarnya, pihaknya setakat ini telah mengambil keterangan daripada rakan mangsa yang berjaya melarikan diri bagi membantu siasatan.

"Kita telah mendapat sedikit gambaran tentang suspek dan usaha memburu kini giat dijalankan," katanya ketika ditemui semalam. - Kosmo

* Lelaki pun tidak selamat di Malaysia?

Nenek Wook ditipu hidup-hidup

HULU TERENGGANU - "Tunggu punya tunggu, bayang kereta yang dijanjikan masih tak nampak-nampak.
"Kereta ke mana, wang ke mana, janji hilang macam tu je. Saya tak reda sampai bila-bila, memang neraka balasan untuk orang macam ni."

Begitulah kemarahan diluahkan warga emas, Wook Kundur, 106, yang mendakwa ditipu hidup-hidup dua individu dipercayai mengambil kesempatan atas perkahwinan uniknya dengan Mohd. Nor Musa, 37 tahun.

Reaksi itu diluahkan ketika dikunjungi Kosmo! di rumah mereka di Kampung Bukit Tok Bat, Kuala Berang, di sini, semalam dan dikatakan punca Wook tidak mahu ditemuramah media lagi.

Menjelaskan sikap isterinya itu, Mohd. Nor berkata, Wook asalnya seorang yang peramah dan mudah mesra namun pengalaman ditipu dua individu terbabit amat perit.

Katanya, awal tahun lalu mereka dikunjungi seorang lelaki yang mengaku wartawan akhbar tabloid dan rakan wanitanya dipercayai jurujual produk minuman herba.

Katanya, lelaki tersebut, Zaidi (nama samaran) memujuk dia dan Wook supaya membenarkan gambar mereka diambil kononnya untuk disiarkan di akhbar.

Menurutnya, curiga akan keadaan kelam-kabut dua individu itu, dia pada mulanya menolak permintaan mereka dengan cara baik.

"Zaidi kata dia wartawan dan janji akan beri saya kereta kalau benarkan dia tulis berita dan ambil gambar kami berdua.

"Dia tunjuk sekeping surat yang kononnya tanda pengakuan memberi kereta terpakai atau wang RM4,000 sebagai nilai kereta itu, sekali gus membuatkan saya setuju dengan tawarannya," katanya.

Beliau berkata, wanita itu yang memperkenalkan dirinya sebagai Bibah (bukan nama sebenar) mengajaknya bercakap tentang keistimewaan produk minuman.

"Semasa bersembang, Bibah suruh isteri saya pegang produk minuman kesihatan dan Zaidi ambil gambar. Hati saya rasa tak sedap sebab mereka macam nak gunakan kami untuk lariskan produk," katanya.

Menurut Mohd. Nor, selepas pertemuan itu, ganjaran yang dijanjikan masih tidak kelihatan dan Zaidi pula berdolak-dalik ketika ditanya mengenainya. - Kosmo

Saiful nafi dakwaan dia meninggal dunia | Malaysiakini

Mohd Saiful Bukhari Azlan hari ini menafikan dakwaan yang disiarkan di laman web dan cakap-cakap bahawa dia kini terlantar sakit, menjadi lumpuh dan mengidap penyakit kelamin sehingga ke tahap lebih liar kononnya telah meninggal dunia.

Mohd Saiful, 23, yang sebelum ini mendakwa dirinya diliwat oleh Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyatakan demikian dalam satu kenyataan yang dibacanya kepada wartawan selepas hadir di pejabat Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) pagi ini.

Dia menyifatkan semua adalah tidak benar dan merupakan fitnah serta suatu pembohongan besar yang direkacipta oleh pihak-pihak yang tertentu yang tidak bertanggungjawab.

Berikut adalah kenyataan penuh Mohd Saiful:

"Saya dengan ini menyangkal segala tohmahan dan fitnah yang dibuat ke atas diri saya, yang tersebar di dalam laman-laman web serta cakap-cakap yang menyatakan kononnya, saya kini terlantar sakit, menjadi lumpuh dan mengidap penyakit kelamin sehingga ke tahap saya telah meninggal dunia.

Ini semua adalah tidak benar dan merupakan fitnah serta suatu pembohongan besar yang direkacipta oleh pihak-pihak yang tertentu yang tidak bertanggungjawab.

Saya ingin menegaskan bahawa keadaan kesihatan saya adalah sangat baik dan tidak sebagaimana yang difitnah oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

Saya sendiri berdoa ke hadrat Allah SWT agar kebenaran dapat ditegakkan."

Sebelum membaca kenyataan tersebut, Saiful memberitahu pemberita yang dia tidak mahu mengulas lanjut tujuan kehadirannya di JAWI hari ini.

Peguam: Sedikit perbincangan

Sebelum itu, Mohd Saiful tiba pada kira-kira jam 11.08 pagi dengan temani oleh peguam Zamri Idrus dan bapanya, Azlan Mohd Lazim (foto bawah).

Mohd Saiful tiba dengan memakai songkok dan berkot hitam, berkemeja putih dan berseluar hitam.

Mohd Saiful dan Zamri kemudiannya masuk ke unit siasatan bahagian penguatkuasa JAWI, manakala bapanya menunggu di luar.

Sebelum masuk, Zamri yang ditemui pemberita enggan menjawab dan sekadar berkata, beliau akan mengulaskannya kemudian.

Apabila ditemui selepas Mohd Saiful selesai bertemu JAWI, Zamri menjawab ringkas: "Ada sedikit perbincangan dengan pihak JAWI,"

Pada 15 Ogos lalu, Mohd Saiful telah melakukan sumpah laknat atau mubahalah di Masjid Wilayah Persekutuan dengan mengatakan bahawa dirinya telah diliwat secara paksa oleh Anwar pada 26 Jun lalu.

Manakala pada 9 Julai lalu, Anwar telah mengadukan isu laporan polis Saiful, kepada unit siasatan, bahagian penguatkuasaan JAWI, mengikut undang-undang dan peruntukan qazaf (kesalahan bawah jenayah syariah bagi tuduhan palsu).

Penasihat PKR itu dilaporkan sebelum ini sebagai berkata, atas nasihat ulama dan peguam, beliau telah membuat aduan tersebut bagi membersihkan namanya dan keluarganya daripada fitnah jahat dan mengaibkan itu.

Menurut seksyen 41 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) 1997, "mana-mana orang yang menuduh orang lain melakukan zina (atau liwat) tanpa mengemukakan, mengikut hukum syarak, empat orang saksi lelaki atau ikrar orang yang dituduh itu adalah melakukan suatu kesalahan."

Jika disabitkan dengan kesalahan qazaf, seseorang boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Anwar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 8 Ogos lalu terhadap tuduhan melakukan hubungan seks di luar tabii terhadap Saiful di sebuah kondominium di ibu negara pada 26 Jun lalu.

MBSA diarah tangguh kawal jualan arak | Malaysiakini

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) harus menangguhkan dasar membataskan jualan minuman keras, yang asalnya dirancang berkuatkuasa Januari depan, sehingga diputuskan oleh kerajaan Selangor.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, walaupun kerajaan negeri prihatin dengan kebimbangan sesetengah pihak berhubung pengambilan alkohol, ia tidak akan mengambil tindakan drastik mengehadkan jualan secara menyeluruh.

"Kita telah meminta supaya semua keputusan itu (di peringkat pihak berkuasa tempatan) dibuat selari dengan keputusan yang dibuat oleh exco negeri.

"Keputusan exco negeri hanya (memutus) meningkatkan penguatkuasaan, melarang penjualan alkohol kepada mereka bawah 18 tahun, dan juga kepada masyarakat Islam," kata Abdul Khalid apabila diminta mengulas hasrat MBSA membataskan jualan minuman beralkohol.

"Jadi selepas perjumpaan kita dengan mereka yang berkenaan seperti pemilik kedai, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan NGO-NGO, barulah kita akan membuat beberapa keputusan pelaksanaan."

Abdul Khalid menambah, kerajaan negeri akan mengadakan rundingan untuk meningkatkan langkah penguatkuasaan kawalan terhadap jualan alkohol awal tahun depan.

Mengulas sama ada MBSA wajar membekukan pelaksanaan dasar tersebut, beliau juga berkata:

"Lagipun ia belum dikuatkuasakan. Itu hanya penerimaan pandangan. Tidak ada masalah. Kita akan sentiasa terima beberapa cadangan dari ahli-ahli majlis dan juga daripada NGO tentang perkara-perkara sosial dan masyarakat di Selangor."

Dasar membataskan jualan arak di beberapa premis terbuka seperti kedai serbaneka 24 jam dan restoran diputuskan oleh MBSA hujung bulan lepas.

Menurut sumber-sumber PBT itu lagi, berikutan itu, pengeluaran lesen bagi tiga premis - kedai runcit, restoran dan kedai serbaneka 24 jam - akan disemak semula.

"Mereka perlu mengemukakan rayuan yang akan dipertimbangkan oleh jawatankuasa pelesenan yang juga dianggotai ahli MBSA," kata sumber-sumber tersebut.

Bagaimanapun, tambah sumber-sumberiitu, semakan semula ini tidak melibatkan premis lain seperti hotel, kelab malam, kedai ubat Cina, pasaraya besar dan jualan oleh pemborong.

Sementara itu, di sidang media lebih awal di bangunan Parlimen, exco kanan Selangor, Teresa Kok menjelaskan tiada larangan jualan alkohol di negeri itu.

Tambahnya, seorang exco pernah membangkitkan isu mudahnya minuman keras diperolehi di kedai-kedai serbaneka 24 jam dan mencadangkan agar ia dikawal lebih ketat.

Bagaimanapun, kata Teresa, cadangan itu tidak dipersetujui oleh ramai exco.

Beliau juga berkata, dalam mesyuarat berkenaan, menteri besar mencadangkan kerajaan negeri mengadakan perbincangan dengan kedai serbaneka untuk menyelesaikan isu tersebut.

* Tarik balik lesen kedai jual arak kepada orang Islam

86 maut serangan di Mumbai


MUMBAI 27 Nov. – Sekurang-kurangnya 86 orang terbunuh dan 250 lagi cedera dalam beberapa serangan kumpulan bersenjata di pusat perdagangan India ini malam tadi.

Pasukan keselamatan mula bertindak untuk mengepung dua buah hotel mewah di mana tebusan asing ditahan oleh penyerang.

Serangan bersepadu itu dilancarkan oleh beberapa kumpulan kecil bersenjatakan raifal automatik dan bom tangan ke atas dua hotel dan lokasi lain di bandar raya ini.

Polis berkata, mereka telah menembak mati empat lelaki bersenjata dan menangkap sembilan suspek.

Sejumlah 12 anggota polis termasuk ketua pasukan polis antikeganasan Mumbai, Hemant Karkare turut terbunuh. – Reuters

Yim Pek Ha dihukum penjara 18 tahun

KUALA LUMPUR 27 Nov. – Suri rumah, Yim Pek Ha dihukum penjara 18 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas didapati bersalah atas tiga tuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap pembantu rumahnya, Nirmala Bonat empat tahun lalu.

Hakim Akhtar Tahir memutuskan demikian dengan alasan pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah terhadap ketiga-tiga pertuduhan itu.

Beliau bagaimanapun membebaskan Pek Ha, 40, daripada tuduhan menyebabkan kecederaan parah dengan menggunakan cawan besi terhadap Nirmala atas alasan pihak pendakwaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah. - Utusan

26 November 2008

ISA: GMI cabar Pewaris, Dr. Maamor

Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) mencabar Majlis Permuafakatan Ummah atau Pewaris untuk bersemuka bagi membincangkan isu-isu berkaitan Akta Keselamatan Dalam Negeri atau ISA.

Pengerusinya Syed Ibrahim Syed Noh berkata, GMI terkilan dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh jurucakapnya, Dato’ Dr Maamor Osman yang tidak mendapat maklumat tepat mengenai Akta drakonian itu.

“Mungkin maklumat tersebut tidak tepat, hanya mendapat info daripada sebelah pihak sahaja. Sepatutnya mereka kena pergi bertemu sendiri dengan tahanan ISA dan keluarga mereka,” katanya.

Tambahnya, Pewaris perlu menyemak terlebih dahulu sesuatu kes sebelum mengenakan tindakan ISA bagi menjamin keadilan dan hak semua bangsa terpelihara. Image

“Saya juga sedih dengan penglibatan Presiden Persatuan Pengguna Islam (PPIM) dalam Pewaris yang memperjuangkan isu yang menindas masyarakat umum melalui akta yang zalim ini,” katanya.

Dalam Islam, tidak ada sesiapa yang bersalah sehingga dibuktikan ianya bersalah yakni menerusi siasatan dan perbicaraan bagi memberikan haknya untuk seseorang membela diri, kata Syed Ibrahim.

Terdahulu, Maamor yang juga merupakan Setiausaha Agung PPIM mengeluarkan kenyataan menggesa kerajaan supaya mengekalkan penggunaan ISA bagi menjamin keharmonian negara ini daripada diganggu-gugat oleh anasir-anasir jahat.

“ISA masih relevan dan melalui ISA, keharmonian negara dapat dikekalkan, dan dalam prinsip Islam pencegahan adalah lebih baik,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Pewaris di Wisma Sejarah semalam. Image

Selepas mesyuarat itu, Maamor dan 100 anggota Pewaris berarak dari Wisma Sejarah, Jalan Tun Razak menuju ke Balai Polis Jalan Tun Razak, di Jalan Ampang untuk membuat laporan polis bagi mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan ke atas pihak yang memainkan isu-isu perkauman.

Maamor bagaimanapun enggan memberikan nama-nama individu yang didakwa mereka memainkan isu perkauman yang dinyatakan dalam laporan polis itu.

Dilaporkan kekecohan juga tercetus pada awal perhimpunan apabila peserta perhimpunan bertindak memukul beberapa individu yang lalu lalang di kawasan perhimpunan iaitu di Wisma Sejarah.

Pihak polis didakwa hanya duduk berehat di perkarangan jalan bangunan Bernama yang terletak berhampiran bangunan Wisma sejarah itu.

Insiden tersebut menimbulkan rasa kurang senang apatah lagi sepanduk dan kain rentang yang dipamerkan menyebabkan mereka yang melalui kawasan tersebut bertindak mengeluarkan kata-kata yang tidak sesuai. Image

Antara kata-kata pada sepanduk tersebut yang mengundang provokasi adalah ‘Bubarkan Majlis peguam’, ‘Yes to ISA’, ‘bebaskan Dato’ Ahmad Ismail’ dan ‘tanah Malaysia tidak perlukan babi import sahaja babi daripada luar’.

Selain itu turut kelihatan sepanduk ‘pengkid haram : bukan Islam jangan masuk campur hal Islam’, ‘jangan sentuh ketuanan melayu’, ’surau dan masjid dirobohkan atas kesan pembangunan - kenapa kuil tidak?’ dan jangan gadaikan maruah melayu demi kepentingan politik peribadi.

Terdapat juga sebuah kain rentang yang paling besar berbunyi:’kekalkan ISA demi keamanan, keselamatan dan kemakmuran’ dipasang menutupi bangunan Wisma Sejarah.

Kebanyakan peserta yang berarak memakai kemeja-t berbunyi yes to ISA dan kain pengikat dahi berwarna kuning bertulis ‘hidup melayu, hidup Islam’ - HarakahDaily

* Dr. Maamor dedah wajah sebenar

Anwar : Tiada larangan jualan alkohol ( arak ) di Selangor | Malaysiakini

Tiada larangan jualan alkohol di 7-Eleven, pasaraya dan kedai kopi di Selangor, kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

Bagaimanapun, keputusan untuk mengenakan sebarang larangan adalah sepenuhnya dalam bidangkuasa kerajaan negeri dan exco negeri, katanya kepada pemberita di Parlimen hari ini.

Beliau yang juga ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata ia bukan perkara untuk dibincangkan di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Perkara seumpama itu mesti dirujuk kepada kerajaan negeri dan ia akan dibincangkan di peringkat itu sebelum sebarang keputusan dibuat," katanya.

Prinsip asasnya, kata beliau, ialah supaya kedai-kedai berkenaan tidak dilihat seperti menggalakkan minuman alkohol terutama di kalangan generasi muda dan orang Islam.

Tetapi, katanya, tiada sebarang cadangan dari kerajaan Selangor untuk melarang sepenuhnya jualan alkohol di premis terbuka yang membabitkan orang bukan Islam.

Menurut Anwar lagi, beliau tidak ada sebarang masalah dengan dasar-dasar sekarang kerana fundamentalnya adalah jelas.

Exco negeri bincang

Bagaimanapun, beliau menambah, sebagai sebuah negara yang demokratik, mesti ada ruang untuk membuat cadangan dan perbincangan.

"Rakyat memberi pandangan dan maklumbalas dan kita mesti mendengarnya tetapi dalam aspek dasar, tidak ada sebarang masalah," katanya.

Menurut beliau, tiada apa yang harus dibimbangkan kerana dasar sekarang kekal dan "kami tidak menggalakkan umat Islam minum (alkohol) atau makan babi tetapi kita tidak akan menafikan hak orang bukan Islam untuk makan babi atau minum alkohol".

Akhbar-akhbar berbahasa Cina hari ini menyiarkan di muka depan laporan bahawa PAS Selangor bimbang dengan keadaan sekarang di mana minuman alkohol mudah didapati di kedai-kedai.

Dimaklumkan bahawa majlis-majlis perbandaran akan diberi tugas - selepas mendapat kelulusan majlis tersebut - untuk mengenakan larangan penjualan alkohol di kawasan masing-masing.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Abdul Khalid Ibrahim memberitahu pemberita bahawa perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat exco kerajaan negeri hari ini.

* Anwar, di 7-Eleven terdapat orang Melayu (Islam) terlibat dengan pembelian dan penjualan arak. Itu kena selesaikan.