30 September 2008

Surat terbuka Zaid Ibrahim kepada PM ~ Malaysiakini

Sewaktu mengisytiharkan kemerdekaan negara, Perdana Menteri pertama kita telah melaungkan aspirasi dan mimpi indah rakyat Malaya: bahawa Malaya adalah diasaskan di atas prinsip-prinsip kebebasan dan keadilan serta di atas janji bahawa kita beramai-ramai akan sentiasa berjuang bagi meningkatkan lagi kebajikan dan kebahagiaan rakyatnya.

Bertahun telah berlalu sejak peristiwa penting itu berlangsung, namun aspirasi dan mimpi tersebut masih benar dan masih relevan kepada kita hari ini sepertimana ia benar dan relevan kepada kita sebelum ini. Ini dimungkinkan dengan adanya satu pegangan teguh terhadap asas-asas negara pada peringkat awal kewujudannya. Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang yang dibuat sehubungan dengannya diletakkan di atas asas yang kukuh di mana ia menggabungkan elemen-elemen penting demokrasi yang dibina di atas Kedaulatan Undang-Undang.

Satu ketika dahulu, Kehakiman Malaysia sangat dihormati oleh warga Malaysia malah turut dijadikan panduan oleh negara-negara lain. Perdana Menteri-Perdana Menteri kita yang terdahulu, Tunku Abdul Rahman, Tun Razak and Tun Hussein Onn, adalah pemimpin-pemimpin yang sangat berintegriti, adalah pejuang-pejuang mengikut cara mereka yang tersendiri dan, yang paling penting sekali, adalah individu-individu yang serba sederhana. Mereka mempunyai kepercayaan terhadap prinsip-prinsip dan nilai-nilai yang terkandung dalam Perlembagaan kita dan membina negara ini berpandukan kepadanya.

Tatkala mereka terpaksa meluluskan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), 1960, sekalipun mereka melakukannya dengan sangat berhati-hati dan dengan bersikap apologetic mengenainya. Tunku menyatakan dengan jelas bahawa tujuan Akta ini diluluskan adalah bagi menangani ancaman komunis.

'Saya dan rakan-rakan saya dalam kabinet berjanji kepada Parlimen dan kepada negara bahawa kuasa-kuasa luas yang diberikan kepada Kerajaan di bawah ISA tidak sesekali akan digunakan bagi mengekang bangkangan dan ketidaksetujuan yang dibuat mengikut undang-undang' adalah apa yang diucapkan oleh Tunku dahulu. Ketetapan ini dikukuhkan lagi kemudiannya oleh Perdana Menteri ketiga kita, Tun Hussein Onn, yang menyatakan bahawa ISA bukanlah dimaksudkan untuk mengekang bangkangan politik yang dibuat secara sah atau untuk menyekat aktiviti demokrasi rakyat.

Beberapa peristiwa yang berlaku tiga minggu lepas bagaimanapun telah memaksa saya mengkaji semula cara ISA digunakan. Sungguh menyedihkan sekali kerana kesimpulan yang saya perolehi darinya ialah bahawa Kerajaan telah berulang-ulang kali menghampakan rakyat negara ini dengan berulang-ulang kali juga memungkiri janji yang dibuat oleh Tunku Abdul Rahman tersebut.

Ini berlaku kerana Kerajaan dan undang-undang yang digubalnya telah dengan secara tidak betul memberi kuasa kepada Menteri Dalam Negeri untuk menahan sesiapa sahaja atas apa sahaja alasan yang difikirkannya perlu. Budi bicara yang subjektif ini telah disalahgunakan bagi menjaga kepentingan-kepentingan politik tertentu.

Sejarah adalah guru agung yang dapat menjelaskan banyak perkara dalam hal ini. Semakan sepintas lalu ke atas cara ISA digunakan sejak ia diluluskan sekalipun akan mendedahkan betapa tujuan asal ISA telah dikesampingkan oleh keperluan politik semasa.

Adalah dikesali yang Tunku Abdul Rahman sendiri pun telah memungkiri janjinya. Pada 1965, pentadbirannya telah menahan Burhanuddin Helmi, iaitu seorang intelektual Melayu yang cukup hebat dan seorang nasionalis yang kebetulannya juga turut menjadi seorang pemimpin PAS. Dia telah diletakkan dalam tahanan sehingga dia meninggal dunia pada 1969.

Helmi hanyalah seorang musuh politik dan tidak dapat dibayangkan yang dia boleh dikatakan terlibat dalam pemberontakan bersenjata atau komunisme yang ISA dirangka untuk menangani. Penahanannya ini adalah sesuatu yang menyimpang dan menjadi satu detik menyedihkan di mana kepentingan politik telah dibenarkan mengatasi Kedaulatan Undang-Undang.

Ia malangnya seakan menjadi satu 'precedent' dan banyak lagi penahanan ke atas individu-individu yang dianggap menjadi ancaman kepada pentadbiran waktu itu menyusulinya tahun demi tahun. Malah tokoh kesusasteraan kita, 'sasterawan negara' Allahyarham Tan Sri A. Samad Ismail juga telah ditahan di bawah ISA pada 1976. Bagaimana mungkin beliau boleh menjadi satu ancaman kepada keselamatan negara?

Tidak perlulah saya mengingatkan anda mengenai impak dahsyat Operasi Lalang 1987. Kesannya menghantui Kerajaan sepertimana juga ia menghantui rakyat negara ini yang cintakan keamanan kerana ia menebarkan kegelapan ke atas setiap dari kita. Terdapat banyak soalan yang masih belum terjawab mengenai detik-detik gelap tersebut bila lebih daripada seratus orang telah ditahan kerana dikatakan menjadi ancaman terhadap keselamatan negara. Sebab mengapa mereka ditahan tidak pernah dinyatakan dengan jelas kepada rakyat Malaysia.

Begitu juga tiada penjelasan diberikan tentang sebab mengapa mereka tidak pernah didakwa di mahkamah. Termasuk dalam senarai mereka yang ditahan ini adalah beberapa Ahli Parlimen kanan pembangkang yang masih lagi aktif dalam Parlimen hari ini. Sesatunya perkara yang benar-benar jelas mengenai tempoh itu adalah UMNO pada waktu itu sedang berhadapan dengan satu krisis kepimpinan. Apakah ia bukan satu kebetulan yang tangkapan-tangkapan di bawah ISA baru-baru ini berlaku bila UMNO sekali lagi mengalami satu krisis kepimpinan?

Pada 2001, aktivis-aktivis 'reformasi' Keadilan telah ditahan dalam satu tindakan yang kemudiannya diisytiharkan sebagai dibuat secara tidak betul dan tidak sah oleh Mahkamah Persekutuan. Penahanan berterusan mereka yang tidak dibebaskan lebih awal di pusat tahanan Kamunting hanya dibolehkan kerana ISA telah dipinda dalam cara yang meragukan pada 1988 bagi tidak lagi membenarkan semakan kehakiman dibuat ke atas arahan Menteri untuk menahan. Rakyat Malaysia dimaklumkan bahawa tahanan-tahanan ini telah cuba menggulingkan Kerajaan melalui cara-cara militan dan demonstrasi-demonstrasi liar.

Tujuh tahun telah berlalu sejak kejadian ini berlaku tetapi hingga kini belum ada sebarang bukti bagi menyokong dakwaan ini dikemukakan. Menambahkan lagi kekeliruan rakyat, salah seorang daripada mereka yang dikatakan "ganas dan militan" itu ialah Ezam Mohamad Noor. Inilah orangnya yang baru-baru ini disambut kembali ke dalam UMNO dengan sambutan besar-besaran, seolah-olah ianya merupakan satu kejayaan besar.

Lebih kurang pada masa yang sama, ahli-ahli PAS juga telah ditahan kerana dikatakan menjadi militan dan kerana kononnya mempunyai pertalian dengan rangkaian pengganas antarabangsa. Mereka yang ditahan itu termasuklah Nik Adli, anak kepada Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat Menteri Besar Kelantan. Kerajaan ketika itu berjanji akan mendedahkan kepada rakyat Malaysia mengenai bukti kegiatan-kegiatan ganas dan pertalian tahanan-tahanan ini. Sehingga sekarang tiada bukti sebegini pernah diberikan.

Formula yang sama telah digunakan pada akhir 2007 bila 5 pemimpin HINDRAF ditahan. Rakyat Malaysia dimaklumkan sekali lagi bahawa individu-individu ini terlibat dalam aktiviti-aktiviti penggulingan Kerajaan dan mempunyai perkaitan dengan gerakan militan Pemisah Tamil Eelam Sri Lanka. Sehingga sekarang tiada bukti kukuh pernah dikemukakan bagi menyokong dakwaan ini.

Jadi apa yang boleh dilihat ialah kelima-lima mereka ditahan kerana melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti yang membawa kepada satu mobilisasi masyarakat India Malaysia bagi meluahkan secara aman kekecewaan mereka ke marginalisi yang dilakukan ke atas masyarakat mereka. Perjuangan ini kemudiannya telah diiktiraf sebagai satu perjuangan yang sah. Demonstrasi HINDRAF bukanlah sesuatu yang luar biasa kerana perhimpunan-perhimpunan seperti itu diiktiraf di seluruh dunia sebagai satu cara pernyataan yang sah.

Dalam nada yang sama, asas-asas yang diberikan bagi menyokong penahanan terbaru Tan Hoon Cheng, Teresa Kok dan Raja Petra Kamarudin menimbulkan banyak persoalan. Penjelasan bahawa Tan Hoon Cheng ditahan bagi menjamin keselamatan dirinya adalah melucukan. Kenyataan bahawa Teresa Kok telah menyalakan sentimen-sentimen keagamaan juga adalah tidak berasas sebagaimana terbukti oleh pembebasannya selepas itu.

Mengenai pengkritik tersohor Kerajaan, Raja Petra Kamarudin pula, semakan ke atas tulisan-tulisannya akan menunjukkan bahawa dia mungkin telah menghina Kerajaan dan individu-individu tertentu di dalam Kerajaan. Bagaimanapun, bersikap kritikal dan menghina tidak boleh dalam apa cara pun dianggap sebagai satu ancaman terhadap keselamatan negara. Jika tulisan-tulisannya dianggap menghina Islam, orang-orang Islam atau Nabi Muhammad (saw), dia sepatutnya didakwa di bawah Kanun Keseksaan dan bukannya ditahan di bawah ISA.

Apa pun, dia juga telah didakwa atas kesalahan menghasut dan melakukan fitnah jenayah berhubung dengan beberapa kenyataannya. Dia telah meminta dibicarakan, dan ini menunjukkan kesediaan serta kemampuannya untuk mempertahankan dirinya sendiri. Cara terbaik bagi memastikan keadilan terlaksana adalah dengan memberikannya peluang mempertahankan dirinya di mahkamah lebih-lebih lagi di mana dalam pandangan umum Kerajaan adalah dalam satu kedudukan konflik kerana telah menjadi sasaran kritikan kerasnya.

Contoh-contoh yang diberikan di atas menjadi petanda jelas bahawa Kerajaan yang ada sekarang adalah sebuah Kerajaan yang tidak demokratik. Perspektif inilah yang telah sejak lebih 25 tahun lalu membawa kepada Kerajaan kelihatan dengan sewenang-wenangnya menahan musuh-musuh politik, pejuang-pejuang pertubuhan sivil dan kepenggunaan, penulis-penulis, usahawan-usahawan, pelajar-pelajar dan wartawan-wartawan yang kesalahannya, jika ia boleh dikatakan sebagai kesalahan, adalah bersikap kritikal terhadap Kerajaan. Bagaimana individu-individu ini boleh dianggap sebagai ancaman terhadap keselamatan negara adalah di luar dari kefahaman saya. Realiti yang terbukti adalah ketidaksetujuan yang dibuat secara sah telah dan sedang dikekang melalui penggunaan secara semberono ISA.

Terdapat mereka yang menyokong dan memperjuangkan bacaan secara 'carte-blanche' ISA ini. Mereka akan berusaha untuk meyakinkan anda bahawa kepentingan-kepentingan negara memerlukan kuasa sebegitu dikekalkan dan bahawa keamanan dan kestabilan yang dinikmati rakyat Malaysia adalah disebabkan oleh kewujudan undang-undang seperti ISA ini. Ini bagaimanapun gagal mengambil kira fakta asas bahawa rakyat Malaysia dari semua kaum mengagungkan keamanan. Kita hidup bersama secara aman sejak 400 tahun lepas bukan kerana adanya undang-undang ini tetapi walaupun adanya undang-undang ini.

Saya percaya rakyat negara ini sudah cukup matang dan bergeliga bagi membezakan di antara tindakan-tindakan yang merupakan satu ancaman 'sebenar' terhadap negara dengan tindakan-tindakan yang mengancam kepentingan-kepentingan politik. Rakyat Malaysia telah mengetahui bahawa ISA digunakan terhadap musuh-musuh politik dan kelihatannya bila kepimpinan sedang menghadapi cabaran sama ada dari dalam parti pemerintah sendiri atau dari elemen-elemen luar.

Rakyat Malaysia hari ini mahu melihat sebuah Kerajaan yang komited terhadap proses mahkamah bagi menentukan kebersalahan atau ketidakbersalahan walaupun untuk tindakan-tindakan yang dikatakan mengapi-apikan sentimen perkauman atau keagamaan. Kini mereka tidak begitu mempercayai bahawa hanya seorang individu, iaitu Menteri Dalam Negeri, yang paling tahu mengenai soal-soal keselamatan negara walaupun mereka sebelum ini pernah mempercayainya. Mereka menghargai kebebasan dan perlindungan ke atas kebebasan-kebebasan sivil dan ini pun benar bagi rakyat negara-negara lain juga.

YAB Perdana Menteri, keputusan-keputusan Pilihan Raya Umum lalu adalah petunjuk jelas bahawa rakyat Malaysia sedang menuntut satu pemulihan semula Kedaulatan Undang-Undang. Saya telah dilantik sebagai menteri yang bertanggungjawab ke atas hal ehwal undang-undang dan reformasi kehakiman, walaupun hanya sekejap. Dalam kapasiti itu, saya dapat memahami dengan lebih mendalam betapa ramai dari kita mahukan reformasi, bukan semata-mata atas kepentingan reformasi itu, tetapi atas tahap di mana institusi-institusi kita telah dilemahkan oleh kejadian-kejadian dan impak yang dihadapkannya kepada masyarakat.

Dengan restu anda, saya telah cuba menggerakkan reformasi. Berada di atas dalam senarai keutamaan saya adalah satu pemulihan semula ke atas kuasa kehakiman (judicial review) yang boleh dilakukan melalui satu pengembalian semula satu peruntukan penting perlembagaan ke bentuk sebelum ia dipinda secara kontroversial pada 1988. Tidak perlulah saya mengingatkan anda bahawa pindaan perlembagaan itu didorong oleh satu siri peristiwa sama yang membawa bukan hanya kepada Operasi Lalang tetapi juga kepada pemecatan Ketua Hakim Negara dan dua Hakim Mahkamah Agung pada waktu itu.

Salah satu keutamaan saya ialah cara dalam mana bidang kuasa dan kuasa Mahkamah-Mahkamah untuk membuat pembetulan ke atas tindakan wewenang dan di luar perlembagaan Eksekutif telah dikeluarkan oleh Parlimen dan tahap di mana ini telah menyebabkan berlakunya kemerosotan ke atas kebebasan-kebebasan sivil rakyat Malaysia. Pindaan perlembagaan inilah yang telah membuka jalan kepada peruntukan 'ouster' dalam ISA yang secara efektifnya memberi imuniti kepada Menteri dari semakan kehakiman, di mana ini adalah satu peruntukan yang menjadi contoh betapa pindaan perlembagaan 1988 telah membuka ruang untuk berlakunya ketidakadilan.

Saya juga telah cuba memperkenalkan cara-cara dengan mana langkah-langkah boleh diambil bagi membantu Kehakiman memperolehi semula reputasi kebebasan dan kecekapan yang pernah dipunyainya dahulu. Malangnya, ini dianggap tidak diperlukan oleh sesetengah pihak kerana Kehakiman yang bebas akan membawa makna Eksekutif akan menjadi kurang 'berpengaruh'.

Saya telah cuba melakukan perkara-perkara ini dan perkara-perkara lain kerana menyedari Kedaulatan Undang-Undang dan tradisi-tradisi demokratik di Malaysia sedang terhimpit. Apa pun, tiada orang yang rugi dengan memberikan setiap rakyat negara ini sebuah Kehakiman yang bebas dan peluang ke atas satu perbicaraan yang adil. Ini adalah konsisten dengan norma-norma sejagat mengenai hak-hak asasi manusia dan ia juga adalah konsisten dengan ajaran-ajaran Islam, iaitu agama bagi Persekutuan.

Kuasa tidak terbatas untuk menahan atas kehendak seorang individu adalah penindasan yang paling tinggi. Malah, di Israel, iaitu sebuah negara yang sentiasa berada dalam keadaan berperang sekalipun, kuasa untuk menahan tidak diberikan pada seorang individu seperti di Malaysia dan arahan-arahan penahanan memerlukan pengesahan daripada seorang hakim.

Jika terdapat pertimbangan-pertimbangan keselamatan negara, maka ini boleh ditangani tanpa mengenepikan kawalan-kawalan keselamatan yang dimaksudkan bagi melindungi rakyat dari dihukum secara tidak betul. Dalam bidang-bidang kuasa lain yang terlibat dalam konflik-konflik bersenjata, perbicaraan-perbicaraan dikendalikan secara sulit bagi membenarkan penelitian kehakiman dibuat ke atas bukti yang dianggap terlalu sensitif untuk didedahkan kepada umum bagi memenuhi kehendak-kehendak keadilan. Jika ini boleh dilakukan dalam bidang-bidang kuasa lain, mengapa tidak di sini di mana pertempuran bersenjata terakhir dapat kita saksikan, yang menjadi punca kepada wujudnya ISA, telah berakhir pada 1980-an?

Sebarang keraguan mengenai kerelevanan ISA dalam bentuknya sekarang sepatutnya sudah terhapus oleh rekomendasi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) bahawa ISA perlu dimansuhkan dan bahawa sebuah undang-undang anti-keganasan yang bersesuaian dengan masa kini perlu diluluskan bagi menggantikannya. Mengandungi satu klausa 'sunset' dalam masa asalnya, ISA tidak pernah dimaksudkan untuk menjadi satu ciri asas dalam landskap perundangan Malaysia.

Melalui penggunaan berterusannya dalam cara yang diterangkan di atas dan berhadapan dengan sentimen umum, adalah natural bahawa ISA telah melekat di dalam fikiran orang ramai sebagai satu alat penindasan dan Kerajaan yang ada sebagai satu Kerajaan yang membuka ruang untuk berlakunya penindasan. Penggunaan berterusannya tidak menjadi petanda baik bagi sebuah masyarakat yang sedang berjuang untuk mencari tempatnya dalam arena global. Ia juga tidak menjadi petanda baik bagi demokrasi yang sangat penting bagi membolehkan kita membangun secara berterusan.

YAB Perdana Menteri, saya mengingati dengan sangat jelasnya apa yang anda sebutkan dahulu, iaitu bahawa jika seseorang itu mempunyai kesempatan untuk melaksanakan apa yang baik dan betul untuk negaranya, maka dia mestilah melaksanakan tugasan itu. Saya sangat menghormati anda kerananya. YAB, anda masih lagi Perdana Menteri buat masa ini dan masih lagi mempunyai kesempatan untuk meninggalkan jejak anda dalam sejarah Malaysia. Saya menyeru anda berbuat begitu dengan memansuhkan terus ISA.

Marilah kita cuba memenuhi janji yang dibuat oleh Perdana Menteri pertama kita yang dikasihi kepada rakyat negara ini.


Yang benar

ZAID IBRAHIM

Salam lebaran buat mama ~ Saiful Bukhari

Berlinang air mata tatkala melihat pusara Allahyarhamah kelmarin. Walaupun sudah 4 bulan saya tidak menziarahi tetapi bunga dan pokok tumbuh subur mengeluarkan bunga yang cantik. Telah saya cuci dan hias pusaranya sesuai dengan Allahyarhamah yang cantik orangnya.

Tahun ini genap 4 tahun syawal disambut tanpa ibunda tercinta Allahyarhamah Hjh Halina Bt Mohd Alip. Rindu yang tak terkata tatkala teringat membantu Allahyarhamah membuat persiapan kuih muih menjelang syawal. Kuih tart dan Kek Buahnya (Fruit Kek) sudah menjadi kewajipan setiap syawal untuk dibawa ke kampung. Semoga Roh beliau senantiasa dicucuri rahmat oleh Allah s.w.t.
Tahun ini juga buat pertama kalinya saya tidak dapat menyambut Hari Lebaran bersama adik dan keluarga tercinta. Maklumlah, "perjuangan belum selesai". Akan tetapi, ini tidak sama sekali melunturkan semangat saya dalam perjuangan untuk menegakkan kebenaran.

Akhir kata, saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada tunang saya yang tercinta, bapa, keluarga, saudara mara, sahabat handai yang amat saya rindui serta anda sekalian. Mohon maaf zahir dan batin.


SAIFUL BUKHARI


p/s: Allamdullilah saya sihat wala'fiat. Walaupun sedih tidak dapat menyambut lebaran tetapi semangat saya tetap utuh untuk berjuang semasa perbicaraan nanti.

www.mohdsaifulbukhari.blogspot.com

Manikavasagam kekal timbalan pengerusi PKR S'gor ~ Malaysiakini

Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam tidak akan meletakkan jawatannya sebagai Timbalan pengerusi PKR Selangor, kata Setiausaha Politiknya, M Shanmugam hari ini.

Manikavasagam yang tidak dapat dihubungi, sebelum ini mengancam untuk meletakkan jawatan tersebut sekiranya tindakan tegas tidak diambil terhadap orang yang bertanggungjawab merobohkan sebuah kuil Hindu di Ampang.

Usaha untuk menghubungi ahli parlimen Kapar itu tidak berjaya kerana beliau telah menutup telefon bimbitnya.

Semalam, kerajaan negeri telah mengenakan tindakan menggantung tugas Timbalan Presiden Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Hamid Hussein selama seminggu berhubung isu tersebut.

"Manikavasagam akan mengekalkan jawatan timbalan pengerusi PKR Selangor selepas penggantungan tugas orang di belakang perobohan tersebut," kata Shanmugam.

Akhbar The Star hari ini memetik Exco Kerajaan Negeri, Ronnie Liu sebagai berkata, Hamid akan digantung tugas sementara siasatan dijalankan terhadap isu perobohan kuil berkenaan.

Hamid dikatakan pegawai yang mengarahkan supaya kuil yang berusia 19 tahun itu, yang terletak berhampiran Kampung Tasek Tambahan, dirobohkan dua minggu lalu.

Menurut laporan itu lagi, jawatankuasa tiga anggota kerajaan negeri mengenai hal ehwal agama orang bukan Islam - yang dianggotai oleh Teresa Kok, Dr Xavier Jayakumar dan Liu - telah memulakan siasatan.

Hasil siasatan mereka dijangka diketahui Isnin depan.

K'jaan negeri tidak tahu

Sementara itu, Shanmugam berkata, beliau telah menemui Nik Nazmi Nik Ahmad - setiausaha politik kepada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan beliau berjanji bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab merobohkan kuil tersebut.

"Beliau memberitahu saya bahawa kerajaan negeri tidak terbabit dalam perobohan kuil tersebut dan ia akan mengambil tindakan susulan selepas tamat tempoh penggantungan tugas (Hamid)," tambahnya.

Shanmugam berkata, beliau yakin kerajaan negeri tidak tahu menahu mengenai perkara itu dan tindakan menggantung tugas Hamid, menunjukkan kerajaan sensitif terhadap masalah rakyat.

Menurut Liu, Hamid sebagai timbalan presiden MPAJ, dilaporkan membuat keputusan berhubung perkara tersebut kerana presiden MPAJ sedang bercuti ketika kuil tersebut dirobohkan.

Beliau juga berkata, kerajaan negeri akan mencari satu penyelesaian mengenai kuil Dri Mahakaliaman secepat mungkin dan memandang berat tindakan merobohkan tempat-tempat ibadat.

Hamid tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan ulasannya mengenai perkara tersebut.

www.malaysiakini.com

Saya cintakan dia - Fadilah ~ Kosmo

NUSA TENGGARA BARAT (MATARAM) - "Saya cintakan Nasrudin dan tetap akan berkahwin dengannya walaupun mama dan abah tidak setuju.

"Saya harap abah dan mama faham dan seterusnya merestui hasrat kami."

Itulah pengakuan jujur Noor Fadilah Ahmad, 18, yang didakwa dilarikan oleh seorang pemuda dari Lombok yang dikenali sebagai Nasrudin Dahrom sejak sebulan lalu.

Noor Fadilah yang ditemui di Desa Kesik, Lombok Timur semalam tidak sedikit pun menunjukkan rasa kecewa atau tertekan seperti yang dilaporkan.

Wartawan Kosmo! yang menjejaki Noor Fadilah selama dua hari dimaklumkan oleh gadis itu sendiri cintanya terhadap Nasrudin terbina sejak empat tahun lalu.

"Kedatangan saya ke Lombok adalah atas kerelaan saya dan bukan dilarikan oleh Nasrudin yang bakal menjadi suami saya.

"Saya bukan hendak memburukkan sesiapa tetapi apa yang jelas, berita yang ayah saya terima daripada seseorang bahawa saya tertekan dan mungkin dipaksa kahwin ternyata tidak benar.

"Sebenarnya, keluarga tahu hubungan kami, tetapi apabila saya mendapat tahu abah telah memberikan gambar Nasrudin kepada pihak polis, hati saya jadi tidak sedap.

"Malah abah pernah cakap kepada Nasrudin, jodoh saya bukan dengan orang Indonesia menyebabkan kami berdua yakin mereka tidak akan setuju dengan perhubungan kami," katanya yang kini mula fasih menggunakan loghat Indonesia.

Dia yang berasal dari Ladang Sungai Gedong, Bagan Serai, Perak nekad mengikut Nasrudin pada 3 September lalu ketika bekerja sebagai operator di sebuah kilang elektronik di Pasir Gudang, Johor.

Ditanya tentang rindu terhadap keluarga, Noor Fadilah lantas tidak dapat menahan air matanya. Katanya, hatinya sebak setiap kali teringatkan kedua-dua ibu bapanya.

"Memang saya teringat pada mereka, sekarang pun dah dekat hari raya, saya benar-benar ingin memohon ampun daripada mama dan abah.

"Tolonglah abah, saya yakin Nasrudin adalah lelaki pilihan saya yang paling tepat dan yakin dia lelaki yang baik serta boleh menjaga saya kelak," jelasnya.

Difahamkan, Fadilah dijadualkan berkahwin hari ini, bagaimanapun urusan tersebut masih belum diketahui kerana masih belum mendapat persetujuan daripada Pejabat Urusan Agama di Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI).

Malah pegawai agama di kawasan tersebut juga tidak berani untuk mengahwinkan mereka selagi persetujuan tersebut masih belum diperoleh namun ada pihak tertentu dikatakan sanggup untuk mengahwinkan mereka.

Kosmo! 24 September lalu melaporkan keluhan ayah Noor Fadilah, Ahmad Abdul Hamid, 46, yang mendapat berita anak gadisnya itu dilarikan ke Kepulauan Lombok oleh Nasrudin.

www.kosmo.com.my

* Tiada kebahagiaan di atas 'kecil hati' ibu bapa

Janji Nasrudin berikan yang terbaik ~ Kosmo

NUSA TENGGARA BARAT (MATARAM) - Pemuda yang bertanggungjawab melarikan Noor Fadilah, Nasrudin Dahrom, 24 ke Lombok Timur dekat sini berjanji akan memberikan yang terbaik dan tidak akan sia-siakan bakal isterinya itu kerana dia amat mencintainya.

Dia memberitahu Kosmo!, perbuatan melarikan Noor Fadilah adalah jalan terbaik untuk berkahwin dengannya setelah hubungan mereka tidak mendapat restu bakal mentuanya.

"Sebenarnya saya juga kasihan dengan bakal mentua saya, saya tidak mahu mereka bimbang dengan Fadilah, saya berjanji akan memberikan kebahagiaan kepada Fadilah dan tidak akan sia-siakan hidupnya.

"Saya juga mahu mereka sendiri datang melihat keadaan hidup Fadilah, di sini saya buka kedai dan Fadilah sendiri yang akan menguruskan kedai ini yang terletak sebelah rumah ini sahaja,'' ujarnya.

Ibu Nasrudin, Romini pula memberitahu, mereka sekeluarga sudah menganggap Fadilah sebagai anak mereka sendiri dan berharap bakal besannya dapat merestui perkahwinan mereka.

"Saya suka sekali dengan Fadilah, saya sudah anggap dia sebagai anak kandung saya sendiri, semua keluarga di sini juga gembira dan mahu melihat kedua-dua mereka bahagia,'' ujarnya.

Selepas pertemuan tersebut wartawan Kosmo! turut berjumpa secara peribadi dengan Fadilah dan beliau sekali lagi yakin dengan keputusannya untuk berkahwin dengan Nasrudin.

www.kosmo.com.my

* Semasa belum kahwin dan semasa muda, senanglah berjanji akan menjaga tetapi masa akan menentukan.

Ali Rustam: Chua kritik Melayu untuk dapat sokongan ~ Malaysiakini

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata, kenyataan bekas Menteri Kesihatan Datuk Chua Jui Meng bahawa kini tidak lagi wujud keperluan untuk Dasar Ekonomi Baru (DEB), adalah tidak wajar.

Beliau yang juga ketua menteri Melaka berkata, sebagai calon bagi jawatan presiden MCA dalam pemilihan parti itu Oktober ini, kenyataan Chua itu adalah cara lama untuk meraih sokongan dengan mengkritik orang Melayu.

Dalam satu kenyataan akhbar semalam, Mohd Ali berkata matlamat DEB adalah jelas iaitu untuk membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat untuk semua kaum.

Semua bangsa mendapat faedah daripada DEB, katanya dalam laporan Bernama

Beliau mengulas laporan akhbar semalam yang memetik Chua sebagai berkata pelaksanaan DEB perlu dikaji dan matlamat penstrukturan semula masyarakat di bawah dasar itu perlu dimansuhkan.

"Kita dah banyak buang masa polemik politik lebih-lebih lagi semasa pemilihan parti.

"Chua mesti mencari 'cara baru' untuk mendapat sokongan dan bukan mengkritik dasar kerajaan yang kononnya menolong bangsa Melayu." kata Mohd Ali.

Beliau berkata Chua sewaktu menjadi menteri kesihatan telah gagal menyelesaikan masalah kekurangan doktor dan doktor pakar di negara ini.

www.malaysiakini.com

MB Kedah terkejut - Orang ramai serbu minta duit raya ~ Kosmo

ALOR STAR – “Orang ramai dijemput ke pejabat Menteri Besar Kedah untuk menerima duit raya, RM50 pada 29 September, dari pukul 10 pagi sehingga 12 tengah hari.”

Begitulah kandungan risalah yang disebarkan oleh pihak-pihak tertentu di sekitar masjid di bandar raya ini sehingga menyebabkan pintu masuk Wisma Darul Aman sesak diserbu orang ramai seawal pukul 7 pagi semalam.

Keadaan tersebut mengejutkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak di pejabatnya di sini yang tidak tahu menahu mengenai kewujudan risalah tersebut.

Tinjauan Kosmo! mendapati, kira-kira 500 orang penduduk sekitar bandar ini beratur panjang di pintu masuk Wisma Darul Aman yang juga pejabat kerajaan negeri di sini setelah terbaca risalah palsu terbabit.

Bagaimanapun, kekecewaan orang ramai apabila diberitahu bahawa risalah itu palsu terubat apabila Pegawai Khas Perhubungan Awam, Pejabat Menteri Besar dan kakitangannya menyampaikan duit raya sebanyak RM20 seorang.

Salah seorang warga emas yang ditemui, Maimunah Abdul Rahman, 60, berkata, beliau bersama rakan datang ke pejabat Menteri Besar hari ini (semalam) untuk mengutip duit raya setelah diberitahu pihak masjid semalam.

“Mak cik datang ke sini nak ambil duit raya. Tak sangka ramai pula orang datang dan terpaksa berbaris panjang,” ujarnya.

Seorang remaja, Muhammad Kamal Wahab, 20, berkata, dia dan rakan-rakan telah menunggu sejak awal pagi untuk mendapatkan duit raya yang di janjikan Menteri Besar dalam risalah yang disebarkan di masjid kawasan rumahnya.

“Selain risalah ada juga di kalangan rakan saya menerima khidmat pesanan ringkas (SMS),” ujarnya.

Sementara itu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak agak terkejut dengan kejadian itu.

Beliau yang ditemui selepas Majlis Penganugerahan Ganjaran kepada atlet sukan Sukma ke 12 yang lalu menganggap kejadian itu seperti gurauan ‘April Fool’ orang yang tidak bertanggungjawab.

www.kosmo.com.my

Bukan Islam harus hormati masjid - MB ~ utusan

ALOR STAR 29 Sept. - Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak (gambar) menegaskan masyarakat bukan Islam di negara ini perlu menghormati sensitiviti umat Islam termasuk menutup aurat sekiranya mereka mengunjungi sesebuah masjid.

Tegas beliau, bagi umat Islam, masjid merupakan tempat suci yang perlu dihormati.

''Kalau hendak melawat tempat orang (masjid), kena hormat, kena tutup aurat walaupun bagi agama orang itu (bukan Islam) ia tidak perlu, kerana ini tempat orang lain.

''Ia sama seperti kita ke ICU (unit rawatan rapi), ada tempat kena tutup muka, pakai kasut dan gaun yang selalu dipakai jururawat tapi kita kena ikut sebab ia peraturan di situ," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyampaian Insentif Kemenangan Atlet Kedah pada temasya Sukma Ke-12 di Terengganu, di Dewan Seri Negeri, Wisma Darulaman di sini hari ini.

Beliau mengulas teguran Timbalan Mufti Wilayah Persekutuan, Zakariah Isa terhadap Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok Suh Sim kerana tidak berpakaian sopan ketika menghadiri majlis berbuka puasa bersama imam dan ahli jawatankuasa Masjid Nurrusaadah di Cheras Baru, baru-baru ini.

Mengenai cadangan supaya masjid menyediakan jubah untuk mengelakkan pengunjung bukan Islam masuk ke dalam masjid dalam keadaan tidak sopan, Azizan memberitahu, kalau peraturan, ia mungkin baik dilaksanakan.

''Masjid Negara dah lama buat dah, jubah disediakan kepada pelancong," tambah beliau.

Ketika ditanya apakah di Kedah, cadangan tersebut perlu dilaksanakan khususnya di Masjid Zahir yang turut menjadi tumpuan pengunjung, Menteri Besar berkata, ia belum difikirkan perlu.

''Di Kedah, belum ada keperluan untuk buat begitu. Di Kedah, masjid tempat sembahyang, bagi pelancong di dalamnya tidak ada apa, kalau mereka hendak ambil gambar, ambil sahaja dari luar," kata beliau.

''Apa yang penting, kita kena tahu menghormati tempat itu (masjid). Saya sendiri pun jaga sensitiviti orang bukan Islam," kata beliau.

www.utusan.com.my

* Timbalan Mufti Wilayah Persekutuan, Zakariah Isa sepatutnya tegur pembaca berita tv yang ghairah menayangkan dada

Berebut Daging ~ Utusan

Pesta Mantai merupakan satu tradisi turun menurun, diwarisi masyarakat Melayu Negeri Sembilan yang mengamalkan adat pepatih di negeri ini, di mana haiwan ternakan disembelih sempena kedatangan Ramadan dan Syawal.

Daging itu dijual dengan harga RM15 sekilogram berbanding harga pasaran RM18 hingga RM20 sekilogram.

Jualan daging itu dihadkan kepada lima kilogram setiap seorang dan dijual mengikut cara "siapa cepat dia dapat", sementara stok masih ada.

www.utusan.com.my

Zul Hassan perlu letak jawatan

Kapal Bunga Melati 2 dibebaskan ~ Utusan

KUALA LUMPUR 29 Sept. — Kapal tangki kedua Malaysian International Shipping Corporation (MISC), yang ditawan di Teluk Aden oleh lanun Somalia, telah dibebaskan.

Pengarah Perhubungan Awam Kementerian Pertahanan, Kol Fadzlette Othman Merican memberitahu Bernama di sini malam ini, MT Bunga Melati 2 dibebaskan pada 4.14 pagi ini dan kini belayar menuju Djibouti, Timur Afrika.

Kesemua anak kapalnya selamat, kecuali seorang kelasi warga Filipina yang mati akibat terkena peluru yang tersasar ketika kapal itu dirampas lanun pada 19 Ogos.

Beliau berkata wang tebusan berjumlah US$2 juta bagi setiap kapal telah dibayar oleh MISC dan kedua-dua kapal itu akan melakukan pertukaran anak kapal di Djibouti sebelum berlepas ke Malaysia pada 4 Oktober. — Bernama

Lebih baik sampai lewat dari ke rumah mayat - Dr M ~ Harakahdaily

KUALA LUMPUR 29 Sept (Hrkh) - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua rakyat Malaysia khususnya kepada yang beragama Islam.

Kepada yang akan pulang ke kampung, beliau meminta mereka memandu dengan cermat dan jangan memecut.

"Ingatlah keluarga yang sedang menunggu. Fikirkanlah betapa sedih dan pilunya hati mereka apabila kegembiraan yang dinanti bertukar menjadi kesedihan," katanya sambil meminta mereka supaya berhati-hati.

"Balik kampung adalah satu tradisi yang amat baik. Ianya dapat menolong mengekalkan pertalian dan hubungan kita dengan ahli keluarga ibu bapa kita dan saudara mara kita. Dan jika kita benar-benar datang dari kampung, ianya akan ingatkan kita kembali tentang asal-usul kita, kenangan manis masa lampau dan kehidupan kita yang serba sederhana dahulu.

"Namun saya kesal kerana antara mereka yang pulang ke kampung akan ada yang tidak akan sampai ke rumah. Mereka akan terkorban di dalam kemalangan jalanraya. Hari Raya, mahupun Tahun Baru Cina yang sepatutnya disambut dengan kegembiraan dan kasih sayang keluarga yang menanti kepulangan kita ke kampung sebaliknya bertukar kepada kesedihan meratap akan yang telah pergi," katanya lagi dalam blognya, chedet.com

Walaupun banyak usaha yang telah dilakukan kerajaan untuk merendahkan kadar kemalangan maut, kata Dr Mahathir, tetapi angka tersebut masih tetap meningkat.

Sambil mengakui hakikat bahawa rakyat Malaysia pada umumnya memandu dengan laju, beliau berkata: "Mereka akan hilang sabar jika kenderaan di hadapan mereka berjalan dengan perlahan. Mereka akan memintas, dan kadang-kadang memotong beberapa kenderaan di

Walaupun ada yang memandu dengan berhati-hati, katanya, pemandu lain pula kurang cermat dan akan berlanggar serta mengakibatkan kematian.

Adalah amat penting, katanya, bagi semua pemandu-pemandu kenderaan persendirian, lori dan bas untuk memandu dengan perlahan dan cermat.

Bekas Perdana Menteri mengingatkan lebih baik tiba ke destinasi lewat sedikit tetapi selamat daripada dihantar ke rumah mayat hospital.

"Saya kira kita semua biasa dengar nasihat ini. Kita fikir kematian di jalan raya hanya terjadi kepada "orang lain". Tetapi kita adalah "orang lain" kepada orang lain. Kematian mungkin akan datang kepada kita, mungkin bersama orang yang kita sayang.

"Saya berdoa kepada Allah s.w.t. agar kita beringat tentang pesanan yang diberi ini. Memandu dengan cermat dan berhati-hati tidak akan merugikan kita.

Ingatlah yang kita mungkin jadi "orang lain" yang terkorban di dalam kemalangan yang dilapor tahun ini,' kata beliau.

Dr Mahathir akan mengadakan majlis rumah terbuka pada hari Ahad, 5 Oktober di kediaman beliau beralamat di 58, Jalan Kuda Emas, The Mines Resort City, Seri Kembangan dari pukul 10 pagi hingga 1 tengah hari dan pukul 2.30 petang hingga 5 petang.

www.harakahdaily.net

Ibu Anak Kapal Melati 2 Syukur Kapal Dibebaskan Lanun ~ Bernama

IPOH, 29 Sept (Bernama) -- Ibu Nor Azuawan Ramli, 25, salah seorang anak kapal milik MISC MT Bunga Melati 2 yang ditawan lanun di Teluk Aden pada 29 Ogos lalu, Rashidah Yahaya, 52, sangat bersyukur apabila mendapat berita bahawa anaknya akan pulang apabila kapal berkenaan turut dibebaskan sehari selepas pembebasan kapal Melati 5.

Ibu tunggal itu berkata berita pembebasan kapal berkenaan dimaklumkan kepadanya oleh pegawai MISC pada 8 pagi.

"Makcik mendapat berita gembira apabila pegawai MISC menghubungi rumah pada pukul 8 pagi...kemudian sekali lagi mereka menghubungi makcik pada tengah hari.

"Alhamdulillah akhirnya doa makcik dimakbulkan.

Anak makcik yang manja dipanggil `Me Me' dan bekerja sebagai tukang masak di kapal MT Bunga Melati 2 disahkan selamat dan mungkin kembali ke tanah air dalam tempoh dua minggu lagi," katanya ketika dihubungi dari sini hari ini.

Rashidah yang tinggal di Bagan Serai, kira-kira 130 km dari sini, berkata beliau tidak putus-putus berdoa anak serta rakan-rakannya selamat kembali ke tanah air dan bersyukur kerana akhirnya perkhabaran gembira diterima hari ini.

Beliau berkata berita gembira itu akan menjadikan Aidilfitri kali ini meriah terutama bagi adik bongsu Nor Azuawan, Norsaidatul Liana, 21, yang bakal melangsungkan perkahwinan pada hari raya kedua.

Rashidah berkata pegawai MISC turut memaklumkan bahawa penghantaran pulang kesemua anak kapal akan menggunakan kapal terbang dari Yaman dan dijangka mengambil masa dua minggu lagi.

"Kata mereka kedua-dua kapal yang dibebaskan itu sedang ditunda ke Yaman," kata beliau.

Rashidah bagaimana berkata beliau telah berusaha menghubungi Nor Azuawan beberapa kali melalui telefon bimbit dan internet tetapi telefon bimbit dan komputer riba anaknya mungkin telah dirampas lanun.

"Makcik bagaimana kini bersyukur dan yakin Me Me dalam keadaan selamat apabila dimaklumkan oleh pegawai MISC...makcik harap keluarga kepada anak kapal yang lain juga tidak bimbang dan sama-sama mendoakan mereka selamat tiba ke tanah air selepas hari raya ini," katanya.

Rashidah berkata beliau akan mengadakan kenduri kesyukuran untuk menyambut kepulangan Nor Azuawan.

Kapal MT Bunga Melati 2 dengan 39 anak kapal iaitu 29 warga Malaysia dan selebihnya warga Filipina dirampas oleh lanun di perairan Somalia dan Yaman pada 19 Ogos lalu.

Sepuluh hari kemudian, sebuah lagi kapal milik MISC, MT Bunga Melati 5 dengan 36 anak kapal warga Malaysia dan lima Filipina dirampas di perairan yang sama.

-- BERNAMA

Aidilfitri disambut 1 Oktober ~ Utusan

KUALA LUMPUR 29 Sept.— Tarikh Hari Raya Aidilfitri ditetapkan pada Rabu, 1 Oktober, demikian diumumkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia.

“Bagi menyempurnakan titah perintah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia mengisytiharkan bahawa tarikh Hari Raya Puasa bagi negeri-negeri seluruh Malaysia telah ditetapkan pada hari Rabu, 1 Oktober 2008,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia. - Bernama

www.utusan.com.my

29 September 2008

Siapa PM yang lebih baik? ~ Malaysiakini

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim muncul sebagai pilihan popular untuk menjadi perdana menteri, diikuti oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, demikian menurut hasil tinjauan pendapat oleh Merdeka Center.

Hasil tinjauan tersebut menunjukkan 40 peratus memilih Anwar manakala Najib memperolehi 34 peratus. Manakala satu perempat responden tidak dapat memilih atau yakin dengan kedua-dua calon tersebut.

Dalam soalan berasingan, 39 peratus bersetuju Najib boleh menjadi perdana menteri hyang baik, manakala 44 peratus lagi tidak bersetuju.

Ini dianggap sebagai satu berita baik untuk timbalan perdana menteri itu walaupun ketinggalan di belakang Anwar kerana peratusan penerimaannya sebagai perdana menteri telah meningkat lima peratus berbanding dengan tinjauan pendapat Julai lalu. Manakala peratusan untuk Anwar pula turun tiga peratus.

Ketika dihubungi, pengarah eksekutif Merdeka Center, Ibrahim Suffin berkata ini adalah kali pertama mereka membandingkan Anwar dengan Najib.

"Antara sebab kami turut memasukkan soalan itu kali ini ialah kerana tinjauan ini dijalankan di sekitar 16 September. Juga, Anwar telah menonjolkan diri sebagai bakal perdana menteri," kata Ibrahim.

Sebelum ini, penasihat PKR itu telah menetapkan tarikh 16 September untuk mengambil alih pentadbiran kerajaan pusat dari Barisan Nasional.

Seramai 1,002 responden dipilih untuk tinjauan pendapat tersebut yang diadakan antara 11 hingga 22 September lalu.

Ejen Amerika

Dalam tinjauan itu juga, hanya 15 peratus percaya tuduhan salahlaku seks terhadap Anwar manakala 13 peratus lagi percaya beliau seorang "penjenayah seksual".

Walaupun 21 peratus percaya dengan tuduhan bahawa beliau menjadi "ejen Amerika" tetapi 51 peratus lagi percaya ketua pembangkang itu seorang pemimpin yang "kuat dan berwawasan" serta "seorang pengurus ekonomi yang cekap".

Penyokong Anwar adalah lebih pelbagai kaum, berbanding dengan penyokong Najib yang sebahagian besarnya orang Melayu. Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sokongan sebenar orang Melayu kepada kedua-dua pemimpin tersebut.

Sebanyak 17 peratus orang responden Melayu percaya Anwar seorang "penjenayah seks" manakala hanya 8 peratus responden Cina dan 1 peratus responden India berkongsi sentimen tersebut.

Hasilnya adalah sama berhubung tuduhan Anwar seorang "ejen Amerika/Yahudi" dengan 28 peratus Melayu berkata "iya" berbanding dengan hanya 12 peratus (Cina) dan 4 peratus (India).

Apabila ditanya secara khusus sama ada Najib boleh menjadi perdana menteri yang baik - tanpa membandingkan beliau dengan orang lain - responden Melayu 52 peratus, Cina (29) dan India (10 peratus).

Mengenai Abdullah

Hasil tinjauan tersebut juga menunjukkan ranking bagi Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak berubah berbanding dengan tinjauan bagi bulan Julai.

Bagaimanapun, ramai rakyat Malaysia (21 peratus) menyifatkan keadaan politik yang tidak menentu yang menyelubungi negara sekarang sebagai kebimbangan mereka yang paling besar - meningkat daripada 10 peratus berbanding dengan dua bulan lalu.

Sebanyak 50 peratus berkata mereka masih begitu bimbang dengan isu-isu ekonomi.

www.malaysiakini.com

MPAJ roboh kuil, MP Kapar sah mahu letak jawatan PKR Selangor ~ Mstar

Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerusi Kapar, S. Manikavasagam mengesahkan yang beliau telah memutuskan untuk meletakkan jawatan Timbalan Badan Perhubungan PKR Selangor ekoran tindakan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ)merobohkan sebuah kuil bulan ini.

Wakil rakyat itu berkata, beliau telah membuat pendirian untuk tidak lagi memegang jawatan tersebut jika pucuk kepimpinan negeri gagal menangani isu berkenaan.

Bagaimanapun Manikavasagam berkata, beliau belum lagi menyerahkan surat kepada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini, sebaliknya mahu memberi masa kepada Pengerusi PKR negeri itu mengambil tindakan ke atas pegawai-pegawai kanan MPAJ.

Selain itu beliau mahu kuil berkenaan dibina semula.

"Saya akan tunggu, saya akan tunggu... saya hendak melihat apa tindakan Menteri Besar ke atas MPAJ. Lepas itu saya akan muktamadkan keputusan saya," kata beliau ketika dihubungi mStar Online sebentar tadi.

Mengenai tempoh yang akan diberikan, Manikavasagam berkata, "kita tunggu sehingga selepas sambutan Aidilfitri ini, mungkin minggu depan."

"Tak perlu tunggu sebulan...," katanya.

Manikavasagam mengakui bahawa masyarakat India kini marah dengan tindakan MPAJ merobohkan kuil berkenaan di sebalik janji kerajaan Pakatan Rakyat.

"Selain merobohkan kuil itu, kami difahamkan notis untuk merobohkan beberapa kuil sudah dikeluarkan.

"Apa yang kami hairan ialah tindakan MPAJ diambil tanpa pengetahuan Majlis Kerajaan Negeri sedangkan surat pekeliling sudah dikeluarkan bahawa jika ada kuil atau rumah ibadat hendak dirobohkan perlu dimaklumkan kepada Exco terlebih dahulu," katanya.

Sehubungan itu, kata Manikavasagam, beliau mahu tindakan diambil ke atas Yang Dipertua, Timbalan Yang Dipertua dan Pengarah Penguat Kuasa MPAJ kerana ingkari arahan kerajaan negeri.

"Jika tidak saya akan letak jawatan (sebagai Timbalan Pengerusi PKR).

"Saya sebagai Timbalan Pengerusi PKR, yang turut bertanggungjawab atas hal ehwal masyarakat India, berhadapan dengan situasi masyarakat India marah dengan tindakan MPAJ, kerana sebelum ini kerajaan negeri sudah berjanji tidak akan merobohkan rumah ibadat," katanya lagi.

Bagaimanapun beliau belum menemui Menteri Selangor sehingga petang ini.

"Jika Menteri Selangor memanggil saya, saya akan menemui beliau," katanya sambil menambah, Setiausaha Politik beliau sudah memaklumkan Pejabat Menteri Besar mengenai pendiriannya.

Beliau mengumumkan pendiriannya di Kulai kelmarin dan mahu menyerahkan surat kepada PKR Selangor hari ini.

Blognya juga ada menyebut secara ringkas mengenai keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai Timbalan Pengerusi PKR negeri.

Sambil mengesahkan mesej yang disampaikan di Kulai, blog tersebut berkata: "Saya bukan seperti pemimpin-pemimpin lain memegang jawatan meskipun tahu penolakan Rakyat."

Dalam pada itu, pemimpin kanan PKR pusat ketika dihubungi berkata, keputusan Ahli Parlimen berkenaan masih belum muktamad.

"Perbincangan sedang diadakan dengan Menteri Besar Selangor (yang juga Pengerusi PKR Selangor)," kata beliau ketika dihubungi mStar Online sebentar tadi.

Sebelum kerajaan negeri Selangor pimpinan Pakatan Rakyat dikatakan telah memberi jaminan tidak akan merobohkan rumah ibadat tanpa kebenaran kerajaan negeri.

Dalam pada itu, ahli Majlis Tertinggi PKR, N. Gobalakrishnan dan Ketua Penerangannya, Tian Chua menafikan yang Manikavasagam telah keluar parti.

Kata mereka, memang ada SMS sedemikian tetapi menafikan Manikavasagam telah keluar daripada PKR.

Gobalakrishnan berkata, beliau yakin Manikavasagam tidak akan meletakkan jawatan.

"Saya ada bercakap dengan beliau dua hari lalu, jangan percaya pada SMS ini," katanya.

"Saya tidak tahu mengenainya dan tidak percaya beliau akan berbuat demikian," kata Tian Chua. Semalam, Exco Kerajaan Negeri Selangor, Dr. A. Xavier Jayakumar mengesahkan Kuil Sri Mahakaliamman di Kampung Tasik dirobohkan oleh MPAJ awal bulan ini walaupun dinafikan pemimpin PKR sebelum itu.

Beliau berkata, pihaknya juga kesal dengan tindakan MPAJ merobohkan Kuil Sri Mahakaliamman tanpa kebenaran kerajaan negeri.

www1.mstar.com.my

* Bukan kuil yang diroboh tetapi tempat pujaan yang terletak di dalam hutan simpan.

Habuan seks: MB Perak akan pecat jika Zul tidak lepas jawatan ~ Mstar

PETALING JAYA: Ahli Majlis Daerah Perak Tengah (MDPT), Zul Hassan akan dipecat jika enggan meletakkan jawatannya dalam majlis kerajaan tempatan tersebut dengan segara, kata Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin.

"Jika beliau masih tidak meletakkan jawatannya, kerajaan negeri mempunyai kuasa untuk memecat beliau," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Jelasnya, kerajaan negeri telah mengeluarkan arahan tersebut sejak Jumaat lalu agar Zul berbuat demikian ekoran kenyataannya yang mengaku ada menerima habuan khidmat seks.

Menurut beliau, kerajaan negeri tidak menetapkan sebarang tarikh akhir kepada Zul untuk berbuat demikian.

"Kita tak beri tarikh kepadanya, tapi dia perlu hormati keputusan yang telah kerajaan negeri tetapkan," katanya.

Tambahnya lagi, hingga kini beliau masih belum menerima sebarang maklumat mengenai perletakkan jawatan Zul.

Bagaimanapun Nizar berharap agar Zul dapat mematuhi arahan tersebut iaitu melepaskan jawatannya dengan kadar segera.

Sementara itu Yang Dipertua MDPT, Hasim Hasan berkata, sehingga sekarang beliau tidak menerima sebarang maklumat terkini berhubung status Zul sebagai ahli majlis.

"Saya masih belum tahu perkembangan terkini sama ada Zul ada menghantar surat peletakkan jawatan ataupun tidak kerana saya mula bercuti untuk sambutan Aidilfitri mulai hari ini," katanya yang hanya mengetahui mengenai perkara ini melalui media.

Ditanya mengenai pengisian kekosongan jawatan ahli MDPT apabila Zul meletakkan jawatan nanti, beliau berkata, perkara itu diserahkan kepada kerajaan negeri dan Menteri Besar.

"Pegawai Daerah tak ada kuasa melantik ahli majlis, semuanya terletak pada kerajaan negeri," katanya.

www1.mstar.com.my

Elak Kemalangan Bukan Perkara Mustahi, Kata Abdullah - Bernama

KUALA LUMPUR, 29 Sept (Bernama) -- Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata untuk mengelak kemalangan dan menjadikan jalan raya sebagai suatu tempat yang selamat bukannya satu perkaa yang mustahil.

Dalam perutusan khas keselamatan jalan raya menjelang Aidilfitri, Perdana Menteri mengingatkan mereka yang pulang ke kampung sempena Hari Raya ini agar menjauhi sikap mementingkan diri sendiri apabila memandu.

"Sebelum memulakan perjalanan, pastikan kenderaan dalam keadaan baik, jangan sesekali abaikan penggunaan tali pinggang keledar depan dan belakang bagi melindungi keluarga dalam keadaan kecemasan, patuhilah undang-undang yang ditetapkan di jalan raya.

"Yang penting, hindarilah sikap mementingkan diri sendiri atau tergopoh-gapah sehingga cuai apabila memandu.

Tidak salah jika kita semua mengamalkan pemanduan berhemah dan bersikap tolak ansur demi keselamatan bersama," katanya.

Kepada mereka yang menggunakan perkhidmatan awam, Abdullah mengingatkan mereka agar membeli tiket dari kaunter yang sah bagi mengelak daripada ditipu oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Perdana Menteri mengingatkan pengusaha kenderaan awam terutama bas ekspres supaya memastikan kenderaan mereka sentiasa dalam keadaan baik dan jangan hanya kerana ingin mengaut keuntungan berganda, nyawa penumpang dijadikan sandaran.

-- BERNAMA

www.bernama.com

* Kemalangan boleh dielak jika strategi baru dilaksana, bukan strategi lama yang punyai rekod gagal

Lembaga Disiplin Umno Jatuhkan Hukuman Terhadap 10 Anggota ~ Bernama

KUALA LUMPUR, 29 Sept (Bernama) -- Lembaga Disiplin memutuskan seramai 10 anggota Umno bersalah kerana terbabit dengan rasuah politik dan sabotaj parti, kata Pengerusi Lembaga Disiplin Umno Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail.

Beliau berkata seorang daripada yang tertuduh diberi amaran manakala sembilan anggota lain dikenakan hukuman digantung keanggotaan selama tiga tahun atau satu penggal pemilihan bermula Isnin lepas (22 Sept).

Dalam satu kenyataan media di sini hari ini, beliau berkata keputusan itu adalah hasil daripada persidangan Lembaga Disiplin pada 22 hingga 24 Sept lalu.

Ahmad Rithauddeen berkata tertuduh yang terbabit terdiri daripada Umno Bahagian Kota Tinggi, Rantau Panjang dan Tanah Merah.

Berdasarkan siasatan atau pendengaran pertuduhan, statistik aduan yang diterima secara keseluruhannya adalah sebanyak 475.

-- BERNAMA

www.bernama.com

Hutang dipercayai punca peniaga dibunuh ~ Utusan

KOTA BAHARU 29 Sept. – Hutang perniagaan dipercayai menjadi motif pembunuhan ahli perniagaan balak, Mohamad Salleh, 60, di Pulau Melaka di sini dua hari lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Mazlan Lazim berkata, kejadian itu berkemungkinan mempunyai kaitan dengan perniagaan.

Mohamad ditembak mati dalam kenderaannya ketika dalam perjalanan bersama keluarganya ke masjid untuk solat tarawih. - Bernama

www.utusan.com.my

18 orang terkorban hari kelima Ops Sikap 17 ~ Utusan

KUALA LUMPUR 29 Sept. – Seramai 18 pengguna jalan raya maut pada hari kelima Ops Sikap ke-17 semalam, menjadikan jumlah keseluruhan yang terbunuh akibat kemalangan jalan raya sejak operasi itu bermula kepada 63 orang.

Penguasa Perhubungan Awam Bukit Aman, Supriten dan Rasdi Ramli berkata, mereka yang terbunuh adalah 13 pengguna motosikal, dua pengguna kereta, dua pengguna basikal dan seorang pejalan kaki.

Dalam satu kenyataan di sini hari ini, beliau berkata, jalan bandaran mencatatkan jumlah kemalangan paling tinggi dengan 381 kes, diikuti jalan Persekutuan (302 kes), jalan Negeri (162 kes), lebuh raya (77 kes) dan jalan-jalan lain (22 kes).


Beliau berkata, Ops Sikap semalam juga menyaksikan sebanyak 10,367 saman dikeluarkan kepada pesalah trafik.

Ops Sikap ke-17 yang berjalan sehingga 8 Oktober depan bertujuan mengurangkan kemalangan jalan raya sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri. - Bernama

www.utusan.com.my

* Semalam sahaja 10,367 saman dikeluarkan. Kerajaan dapat untung, rakyat mati katak.

Siapa yang 'rugi' jika PM bersara awal - Malaysiakini

Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hanya mempunyai sembilan hari lagi untuk membuat keputusan sama ada beliau akan bersara atau mempertahankan jawatannya dalam pemilihan Umno yang telah ditangguhkan ke Mac tahun depan.

Jumaat lalu, mesyuarat khas Majlis Tertinggi Umno telah memutuskan untuk menangguhkan pemilihan pucuk pimpinan parti itu "untuk memudahkan peralihan awal kuasa" dari Abdullah kepada Timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Abdullah belum mengesahkan sama ada akan mempertahankan jawatannya atau tidak, dan beliau akan hanya berbuat demikian sebelum Umno bahagian bermesyuarat mulai 9 Oktober ini.

Perdana menteri terpaksa mempercepatkan tarikh awal peralihan kuasa pada Jun 2010 selepas dilaporkan mendapatkan tekanan hebat supaya bersara lebih awal.

Bagaimanapun, bukan Abdullah atau penyokongnya sahaja yang akan rugi jika beliau bersara.

Malaysiakini bercakap kepada beberapa penganalisa dan pemerhati politik untuk mengetahui siapakah yang lainnya yang turut rugi jika Abdullah bersara.

Berada di tempat tertinggi dalam senarai tersebut ialah menantu Abdullah - Khairy Jamaluddin yang juga ahli parlimen Rembau, yang didakwa merupakan 'kuasa' di sebalik Abdullah - walaupun Khairy berulangkali menafikannya.

www.malaysiakini.com

Jika benar, pecat jawatan Zul Hassan

PKR sokong pecat jawatan Zul Hassan

PKR menyokong penuh keputusan kerajaan negeri Perak untuk memecat Zul Hassan yang mengaku menerima habuan seks, sebagai ahli Majlis Daerah Perak Tengah.

Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail juga menyifatkan kenyataan tersebut sebagai mempermain-mainkan ikrar Pakatan Rakyat untuk mewujudkan sebuah kerajaan yang menghormati kepercayaan rakyat.

Sehubungan itu, beliau berkata tindakan segera kerajaan Perak itu menunjukkan keseriusannya untuk melaksanakan komitmen Pakatan Rakyat bagi memastikan soal moral dan etika dipertahankan oleh mereka yang memegang jawatan awam dan bukan cakap semata-mata.

Jawatankuasa disiplin PKR, tambahnya, akan meminta Zul Hassan menjelaskan kenyataannya yang membandingkan pelakuan seks sebagai satu sedekah.

Menurut Wan Azizh, adalah penting bagi pemimpin di atas menunjukkan tingkah laku yang baik untuk menjadi teladan kepada generasi muda.

Sehubungan itu, katanya, PKR menyokong penuh terhadap Zul Hassan dan apa juga tindakan yang akan diambil pada masa depan apabila cukup bukti mengenai salahlaku tersebut.

"Sekali lagi, kita mengulangi bahawa kita tidak akan bertolak ansur dengan sebarang salahlaku oleh mana-mana pemegang jawatan awam, tanpa mengira kaitannya dengan parti atau jawatannya.

"Sementara itu, kami ingin mengesahkan bahawa Mohammad Imran Abdullah yang turut dikatakan terbabit dalam skandal tersebut bukan ahli PKR," kata Wan Azizah.

Wanita turut sokong

Sementara itu, Wanita PKR juga menyokong tindakan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaludin yang mahu Zul Hassan melepas segera jawatan ahli Majlis Daerah Perak Tengah.

Sehubungan itu, pergerakan tersebut mahu pihak pimpinan terutama, Dr Syed Hussien Ali selaku pengerusi jawatankuasa disiplin parti itu, mengambil tindakan disiplin parti terhadap Zul Hassan.

Ketuanya, Zuraida Kamaruddin merujuk merujuk kepada fasal 5 (11) dan fasal 5 (3e) berhubung perjuangan parti itu membela dan memertabatkan kaum wanita.

"Fasal 5(11) memperjuang dan membela nasib wanita serta memartabatkan kaum wanita dan fasal 5(3e) juga menekankan kepada aspek ketinggian akhlak.

"Jelas perbuatan yang dilakukan Zul Hasnan tidak berakhlak sama sekali khususnya bagi insan yang beragama Islam," kata Zuraida yang juga ahli parlimen Ampang dalam satu kenyataan hari ini.

"Kami Wanita Keadilan juga mahu tindakan segera diambil tanpa mengira latarbelakang parti," katanya.

Merujuk kepada aspek keadilan, tambah Zuraida, seharusnya wanita tersebut juga perlu mendapat pembelaan sewajarnya tanpa mengira bangsa dan agama.

"Jawatan Zul Hassan - selain ahli majlis - keanggotaannya juga perlu dilucutkan dan tindakan disiplin harus dikenakan terhadap beliau ekoran sifat kepimpinan yang ditonjolnya yang tidak menyerupai contoh seorang pemimpin.

"Kami dari Wanita Keadilan juga mahu pihak berkuasa agar menyiasat kes ini sedalam-dalamnya di mana wanita dijadikan mangsa serta diperalatkan oleh sesetengah individu untuk kepentingan tanpa mengira latar belakang politik," kata Zuraida sambil menggesa pihak yang bersalah supaya dibawa ke muka keadilan.

www.malaysiakini.com

Kenal melalui laman web sembang sejak Mac terus percaya dan serah wang | Mana silapnya sehingga begini fikiran mangsa

Mat Internet lesap wang

KUALA LUMPUR: Wang simpanan puluhan ribu ringgit milik seorang wanita lebur begitu saja selepas dia dipedaya seorang lelaki yang mengaku pakar pelaburan sebelum suspek melesapkan wang terbabit dan melarikan diri.

Difahamkan, lelaki terbabit yang menyandang jawatan pengurus pelaburan di sebuah bank menabur janji manis kepada wanita berkenaan bahawa dia akan mendapat ‘durian runtuh’ jika menyerahkan hal pelaburan saham kepadanya.

Bagaimanapun, selepas kira-kira sebulan menunggu, wang diberi mangsa yang juga bekerja sebagai eksekutif pentadbiran di sebuah syarikat swasta di ibu negara, ‘lesap’ selepas lelaki terbabit tidak dapat dihubungi.

Mangsa berusia 30-an yang enggan dikenali berkata, dia kini tertekan berikutan wang RM11,245 yang disimpan sekian lama lebur selepas menyerahkannya kepada lelaki terbabit sebelum suspek melarikan diri.

Menurut mangsa, dia mengenali lelaki itu melalui laman web sembang sejak Mac lalu sebelum berasa kagum selepas lelaki terbabit menunjukkan kepakarannya dalam bidang pelaburan saham.

“Selepas beberapa bulan mengenalinya melalui Internet, lelaki terbabit mengajak saya melabur dalam syarikat minyak luar negara berikutan kenaikan harga minyak.

“Pada mulanya saya enggan, tapi akhirnya bersetuju selepas secara kebetulan saya memerlukan wang berikutan kehilangan kerja,” katanya kepada Harian Metro di sini, semalam.

Mangsa berkata, dia berjumpa lelaki terbabit di Taman Seri Rampai, Setapak di sini, untuk menyerahkan wang RM3,500 bagi mengendalikan pelaburannya.

“Seminggu kemudian, lelaki terbabit memberitahu wang dilabur mendapat keuntungan lumayan dan saya dinasihatkan menjual saham terbabit untuk pelaburan yang kedua dan perlu menambah lagi RM2,500,” katanya.

Menurut mangsa, dia memberi RM2,500 yang diminta lelaki itu sebelum mendapat panggilan beberapa hari kemudian daripada suspek meminta lagi wang RM5,245 bagi menambah wang pelaburan.

“Disebabkan percaya, saya hanya menuruti permintaan lelaki berkenaan yang meminta wang beberapa kali untuk melabur saham.

“Dia (lelaki terbabit) turut berjanji akan mengembalikan semua wang berkenaan beberapa hari kemudian, tapi dia tidak menghubungi saya pun.

“Sebaliknya, saya mendapat panggilan daripada lelaki itu mengenai cerita dia dibuang kerja dan akaun banknya dibekukan oleh majikannya kerana didapati menyalahgunakan wang syarikat untuk membuat pelaburan saham secara haram,” katanya.

Menurutnya, lelaki itu melarikan diri ke Singapura sehari selepas kejadian berkenaan sebelum dia mendapat tahu lelaki terbabit akan dihadapkan ke mahkamah untuk pertuduhan kes menipu.

“Sejak hari itu, saya tidak pernah lagi mendengar berita daripadanya dan telefon bimbitnya juga tidak dapat dihubungi,” katanya.

Berikutan kejadian itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Sungai Besi di sini Khamis lalu.

www.hmetro.com.my

Tegur salah, berdiam pun salah

Perempuan tegur anak jiran kena serang

KUALA LUMPUR: Teguran seorang wanita kepada anak jirannya supaya jangan membuat bising membawa padah apabila dia diserang ibu gadis yang dipercayai seorang Minah Rempit itu di Pangsapuri Sri Nilam di Ampang, dekat sini, Jumaat lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah malam itu, suri rumah berusia 37 tahun berkenaan pada mulanya menegur gadis terbabit yang juga anak jirannya supaya tidak bercampur golongan Mat Rempit dan membuat bising di kawasan pangsapuri didiami.

Namun, dia tidak menyangka teguran itu menyebabkan ibu gadis berusia 12 tahun terbabit datang ke rumahnya tidak lama selepas itu dan menyerang wanita berkenaan sehingga menyebabkan mangsa cedera di bahu.

Ibu gadis terbabit dikatakan berang dengan tindakan mangsa yang cuba campur tangan dalam urusan rumah tangganya dan marah kerana mangsa menegur perbuatan anak gadisnya.

Menurut sumber, ibu gadis terbabit ke rumah mangsa dan mengetuk pintu sambil memanggil nama jirannya itu.

“Sejurus mangsa membuka pintu, ibu gadis terbabit tiba-tiba menerkam ke arah mangsa dan memukulnya menggunakan objek keras di bahu.

“Mangsa yang tergamam ketika itu tidak sempat membuat apa-apa dan hanya melihat wanita terbabit melarikan diri dan berkurung dalam rumahnya,” katanya.

Mangsa yang menetap di situ sejak enam tahun lalu, cedera di bahu dan mendakwa berasa sakit setiap kali hendak tidur.

Bimbang kejadian lebih buruk, mangsa membuat laporan di balai polis berhampiran.

www.hmetro.com.my

Jangan jadikan alasan periksa seluar pembantu rumah

Rahsia guna zip seluar dalam

KUALA LUMPUR - Seluar dalam rupa-rupanya bukan lagi sekadar pakaian kerana ia juga berfungsi sebagai 'tempat' paling selamat' bagi segelintir pembantu rumah menyembunyikan barangan majikan yang dicuri.

Mereka dipercayai menyimpan barangan kemas dan wang majikan dalam seluar itu bagi mengelak majikan menemuinya semula di tempat lain.

Taktik itu terbongkar apabila seorang pembantu rumah terpaksa menceritakan kepada majikannya bahawa seluar dalam seperti itu memang ada digunakan oleh sesetengah pembantu rumah dari Indonesia.

Wanita itu terpaksa mendedahkan rahsia tersebut selepas dia sendiri disoal-siasat oleh majikannya, seorang pensyarah universiti yang hanya mahu dikenali sebagai Faridah, 50.

"Saya dah banyak kali menjadi mangsa sehingga memaksa saya membuat pemeriksaan mengejut ke atas pembantu rumah baru-baru ini selepas barang kemas dan wang dalam beg duit saya hilang.

"Akhirnya saya jumpa seluar dalam berzip dan di situ dia menyimpannya,'' kata Faridah ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Beliau menceritakan, pembantu rumahnya itu mengakui seluar dalam itu satu cara yang selamat dan berkesan untuk menyimpan barang curi.

"Saya pernah hilang cincin berlian berharga RM19,000 tetapi gagal menemui semula walaupun semua ahli keluarga menyelongkar bilik pembantu rumah.

"Satu-satu tempat tidak periksa ialah pada bahagian bawah badannya dan pada waktu itu saya tidak mengetahui dia memakai seluar dalam berzip,'' katanya dengan menambah, pembantu rumahnya itu sempat melarikan diri selepas itu.

www.kosmo.com.my

Gerakan pertimbang keluar BN, tindakan yang bakal menggegar politik tanah air

Gerakan pertimbang keluar BN

Gerakan menimbang untuk meninggalkan Barisan Nasional dan menyertai Pakatan Rakyat, kata pemangku Presiden Tan Sri Dr Koh Tsu Koon hari ini.

Dua lagi pilihan dalam pertimbangan parti itu termasuklah kekal bersama BN atau keluar dan menjadi sebuah parti bebas tanpa sebarang pakatan, katanya seperti dilaporkan laman web The Star.

Tambahnya, kemungkinan meninggalkan BN dan menyertai Pakatan tergantung pada situasi politik saat ini.

"Kita tidak menutup sebarang kemungkinan," Koh dipetik sebagai berkata selepas merasmikan konvensyen tahunan Gerakan Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur.

Beliau berkata, sentimen 60 peratus ahli-ahli mahukan Gerakan meninggalkan BN, bagaimanapun keputusan itu harus mengambil kira pelbagai faktor dan bukan sentimen semata-mata.

Mengulas 20 anggota Gerakan Wilayah Persekutuan termasuk bekas ketua penerangannya Gan Kok Keng dan bekas ketua bahagian Setiawangsa Li Tiam Chai yang menyertai PKR, Koh berkata beliau terperanjat dengan keputusan mendadak itu.

Minggu lepas, tambah tambahnya, Li masih tidak menunjukkan sebarang tanda tidak senang dengan Gerakan.

Di sidang media yang sama, Koh menawarkan diri untuk jawatan presiden apabila parti itu mengadakan pemilihan kebangsaan bulan depan tetapi akan berkhidmat tidak lebih dari dua penggal sekiranya dipilih, lapor Bernama.

"Saya menetapkan tempoh masa untuk diri saya, iaitu saya berkemungkinan tidak akan melewati dua penggal, mungkin lebih pendek," katanya.

Baru-baru ini Parti Maju Sabah (SAPP) membuat keputusan keluar BN selepas beberapa bulan berusaha mengusulkan undi tidak percaya terhadap perdana menteri, yang juga pengerusi BN, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

www.malaysiakini.com

28 September 2008

Video : 60% ahli, mahu Gerakan keluar BN

Minyak naik 78 sen, turun cuma 25 sen - Salahuddin

KOTA BHARU, 28 Sept (Hrkh) - Perdana Menteri sudah dua kali mengumumkan harga minyak turun, namun harga barang tetap melambung dan kadar inflasi mencecah paras lapan peratus.

Apakah ini menggambarkan kebijaksanaan yang ada pada pemimpin Barisan Nasional (BN) sekarang. Atau tindakan itu sekadar melepas batuk di tangga kerana krisis dalaman Umno yang semakin membarah.

Mengulas perkembangan tersebut Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayub berkata, biar pun kerajaan sudah dua kali menurunkan harga minya namun kadar inflasi kini mencecah lapan peratus.

"Ini menggambarkan kerajaan tidak mempunyai perancangan khusus dalam menangani bebanan rakyat. Tindakan kerajaan menaikkan harga minyak lebih 40 peratus pada Jun lalu mengundang kenaikan harga barangan di pasaran.

"Tetapi hari ini walaupun dua kali harga minyak diturunkan tapi harga barangan di pasaran masih mahal. Ini masalahnya kerana ketidakupayaan pemimpin yang ada sekarang," katanya pada majlis penyampaian zakat di pejabat Dun Demit di Kubang Kerian, baru-baru ini.

Pada Ogos lalu harga minyak diumumkan turun sebanyak 15 sen dan 24 September lalu turun lagi sebanyak 10 sen, menjadikan jumlah keseluruhan penurunan harga minyak 25 sen.

Sedangkan pada 4 Jun lalu rakyat Malaysia dikejutkan dengan kenaikan harga minyak sebanyak 78 sen iaitu peningkatan 40.6 peratus berbanding harga sebelumnya.

Salahuddin yang juga anggota parlimen Kubang Kerian berkata, berdasar kepada nisbah Dolar Amerika Syarikat dan harga pasaran minyak negara sekarang, seolah-olah rakyat menanggung subsidi kerajaan.

Pada majlis tersebut Salahuddin menyampaikan zakat kepada hampir 500 penduduk miskin di kawasan Parlimen Kubang Kerian.

www.harakahdaily.net

Wujudkah skandal zina Ahli Majlis Daerah Perak Tengah, Zul Hassan?

Akui terima habuan seks, PKR pusat mahu Zul dipecat

IPOH: Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr. Lee Boon Chye menggesa kerajaan negeri Perak memecat ahli Majlis Daerah Perak Tengah, Zul Hassan ekoran kenyataannya yang mengaku ada menerima habuan khidmat seks, tetapi disifatkan sebagai "sedekah."


Dr. Lee berkata, dari segi moral tindakan berkenaan tidak betul bagi seseorang yang memegang jawatan penting dalam kerajaan dan terlibat dalam skandal seks.


"Apabila sesuatu yang tidak senonoh ditawarkan anda seharusnya menolak tawaran itu," kata beliau selepas merasmikan kempen menderma darah di sini hari ini.


Kata beliau, Majlis Kerajaan Negeri juga wajar menggugurkan Zul daripada keanggotaan dalam Majlis Daerah Perak Tengah dengan segera sebaik apabila ia mengadakan mesyuarat dalam waktu terdekat.


Bagaimanapun beliau enggan menyatakan sama ada PKR sendiri akan mengambil tindakan terhadap Zul yang juga ahli parti tersebut.


Zul dan ahli perniagaan Fairul Azrim Ismail baru-baru ini membuat laporan di Jabatan Agam Islam Perak terhadap Mohammad Imran Abdullah yang didakwa mendorong mereka melakukan perbuatan berdosa itu melibatkan seorang wanita dari China di sebuah apartmen di Batu Ferringhi, Pulau Pinang pada 14 Ogos lalu.


Mohamad Imran merupakan pengadu dalam kes rasuah Zul dan empat yang lain.


Zul pula bersama-sama juruteknik Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP), Ruslan Sahat, dan dua anggota exco kerajaan negeri Perak dari PKR, Kapt (B) Mohd Osman Mohd Jailu dan Jamaluddin Mohd Radzi, serta bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Perak kawasan Bota juga dari PKR, Kapten (B) Usaili Alias, sedang menghadapi 16 tuduhan rasuah yang akan dibicarakan serentak selama tiga hari bermula 11 Februari depan di Mahkamah Sesyen di sini.


Ketika ditemui selepas membuat laporan di Jabatan Agama Islam, Zul dilaporkan mengeluarkan kenyataan kepada media bahawa "seks seperti menerima sedekah" dan mendakwa dia melakukannya dengan seorang wanita China disebabkan diperangkap Badan Pencegah Rasuah (BPR).


Kelmarin, Timbalan Pengerusi PKR Perak, Zulkifli Ibrahim menyifatkan kenyataan Zul bahawa habuan seks sama seperti menerima sedekah sebagai sekadar satu "kesilapan bahasa yang tidak disengajakan."


"Barangkali itu mungkin kesilapan dari segi bahasa dan sebagainya tapi itu bukan maksud kita menjadikan seks itu sebagai satu sedekah,' katanya.


Seorang lagi anggota parti itu di Perak, Fairul Azrim Ismail, juga mengakui melakukan perbuatan itu tetapi turut mendakwa diperangkap oleh BPR.


Dalam pada itu, laporan Bernama yang memetik Timbalan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Kamarul Zaman Shaharudin menyebut, kesilapan menggunakan sesuatu perkataan mungkin akan berlaku kepada istilah dalam bidang tertentu, bukan kepada perkataan yang sering digunakan.


Beliau berkata, perkataan "seks" adalah contoh bahasa yang mudah dan bukan merupakan bahasa teknikal seperti yang terdapat dalam bidang teknologi maklumat atau bidang-bidang lain.


Ketika ditanya sama ada kenyataan itu tidak disengajakan, Kamarul Zaman berkata: "Pada saya itu bukan kesilapan bahasa sebab itu bahasa yang mudah."


"Mesti dia tahu apa yang dia sebutkan. Kecuali kalau itu perkataan teknikal, mungkinlah... boleh salah," katanya.


Katanya, perkataan sedekah itu diketahui umum sebagai suatu perkara yang baik dan berharap pihak-pihak tertentu tidak menyalahgunakan perkataan itu.


"Pihak berkenaan mungkin mencari sebab untuk mempertahankan diri (dengan kenyataan itu)," kata Kamarul Zaman.

www1.mstar.com.my

Raymond Tan Shu Kiah tidak mahu tinggalkan BN

'Saya tidak akan tinggalkan BN' - Timbalan Presiden Sapp

SANDAKAN: Ahli Dewan Undangan Negeri Tanjung Papat, Datuk Raymond Tan Shu Kiah memberi jaminan tidak akan meninggalkan gabungan Barisan Nasional (BN) biarpun Parti Maju Sabah (Sapp) yang pernah disertainya telah keluar dari BN baru-baru ini.

"Walaupun parti yang saya anggotai sejak sekian lama tidak lagi berada dalam BN, saya tetap meneruskan tugas saya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri BN.

"Saya menang dalam pilihan raya umum lepas atas tiket BN dan untuk itu saya tidak akan lari meninggalkan parti itu," katanya ketika berucap pada majlis penyampaian sumbangan kepada fakir miskin, balu dan anak yatim di sini malam tadi.

Tan, yang juga Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Pembangunan Infrastruktur Negeri berkata:

"Saya kini umpama tiada rumah (merujuk kepada Sapp yang menyisihkannya) tetapi untuk kepentingan rakyat dan penyokong, saya tidak lama lagi akan mencari rumah (parti)."

Pada 17 September, Sapp mengumumkan keputusan keluar dari BN setelah lebih 13 tahun dalam gabungan itu dengan alasan BN telah hilang "Semangat BNnya".

Pada 18 Jun, Sapp mencadangkan usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi atas alasan hilang keyakinan terhadap kepimpinannya.

Tan yang juga Timbalan Presiden Sapp bersama Naib Presiden, Jimmy Wong dan Ketua Pemuda Au Kam Wah adalah ahli majlis tertinggi Sapp yang tidak bersetuju dengan keputusan itu. BERNAMA

MP BN boleh buat lawatan sambil belajar makna angkasawan yang sebenar di China

Angkasawan China kembali dengan rekod berjalan di angkasa lepas

BEIJING: Angkasawan China mendarat di bumi dengan selamat petang ini di kawasan padang rumput di pedalaman Mongolia, selepas ketua penerbangan Zhai Zhigang berjaya berjalan di angkasa lepas.


Kepulangan tiga angkasawan itu disambut dengan tepukan dan sorakan gembira di mana misi mereka disiarkan secara terperinci di televisyen tempatan, sejak mereka dilancarkan dengan roket Long March 2F daripada pusat pelancaran satelit Jiuquan, di barat laut wilayah Gansu pada Khamis.


Jutaan rakyat China terpaku di kaca tv melihat kapsul yang terikat pada dua payung terjun besar terapung dan akhirnya mendarat di bumi, dua hari sebelum China menyambut ulang tahun hari kebangsaan yang ke-59.


Perdana Menteri Wen Jiabao tiba di Pusat Kawalan Aeroangkasa Beijing, lebih sejam awal sebelum kapsul dijangka mendarat pada 5.44 petang dan bertepuk tangan sebaik ia mendarat di bumi beberapa minit daripada masa yang dijadualkan.


Presiden Hu Jintao turut mengucapkan tahniah para angkasawan dan memuji mereka kerana tugas cemerlang yang telah dilaksanakan.


Angkasawan Zhai dan rakan yang lain Liu Boming dan Jing Haipeng, dilaporkan dalam keadaan sihat selepas misi 68 jam itu, dan Zhai menunjukkan tanda bagus kepada pihak penyelamat, menurut stesen televisyen negara dan berada di dalam kapsul beberapa ketika untuk menyesuaikan dengan graviti.


Televisyen menunjukkan konvoi pacuan empat roda memecut di dataran berumput itu ke arah arah kapsul.


Kira-kira 300 petugas mencari dan menyelamat dan enam helikopter digerakkan semasa pendaratan kapsul dan semua lima kapal mengesan satelit China bersiap sedia di lautan Pasifik dan Atlantik sebelum kapal angkasa Shenzhou VII berlepas.


Agensi berita Xinhua melaporkan tiga angkasawan berkenaan akan dikuarantin selama setengah bulan.


"Kita tidak boleh melihat mereka semasa tempoh itu, tetapi kita merasa lega selagi mereka berada di bumi," kata isteri Zhai, Zhang Shujing yang dipetik sebagai berkata.


Ketiga-tiga angkasawan itu merupakan antara angkasawan China yang berjaya ke angkasa dalam kapal yang dipandu manusia, menyusuri kejayaan ulung Yang Liwei pada 2003 dan pasangan Fei Junlong dan Nie Haisheng pada 2005.


Nama Yang, Fei dan Nie turut dinamakan kepada asteroid. BERNAMA

Ejen Mossad dalang serangan bom di Damsyik

AMMAN 28 Sept. – Agensi perisikan Israel, Mossad didakwa terlibat dalam serangan bom berani mati menggunakan kereta di Damsyik yang meragut 17 nyawa, semalam.

Seorang penulis kolum dalam akhbar separa rasmi Jordan, Al-Dustur menulis yang insiden itu adalah satu konspirasi Israel yang disokong Amerika Syarikat (AS).

Ia dilancarkan bagi mewujudkan kekacauan yang seterusnya membolehkan kelahiran pembangkang yang mendapat tajaan Israel dan AS.

“Mereka mahu menggulingkan rejim Presiden Bashar al-Assad yang dilihat oleh AS dan Israel sebagai batu penghalang terhadap rancangan jahat mereka di rantau ini,” jelas kolumnis itu, Hashem al-Khaledi.

Tanpa sebarang dakwaan spesifik, akhbar rasmi Syria iaitu Ath Thawra hari ini menyifatkan insiden sebagai “keganasan yang dirancang di luar negara” dan dalangnya telah memasuki sempadan untuk melaksanakannya.

“Keselamatan Syria adalah ketat tetapi rantau ini penuh dengan pengganas.

“Kami perlu mempertahankan sempadan bagi mengelakkan pencerobohan pengganas, letupan dan cubaan sabotaj,” jelas akhbar itu lagi.

Akhbar Al-Watan yang berhubung rapat dengan kerajaan pula menyatakan bahawa senarai pihak yang enggan membenarkan Syria dalam keadaan selamat dan aman adalah panjang dimulai dengan Israel yang menyebarkan maklumat dan menubuhkan militia di beberapa negara jiran yang akhirnya menggambarkan agama Islam secara salah.

Dakwaan-dakwaan ini dibuat setelah akhbar-akhbar Israel membuat pelbagai tuduhan seperti “rejim yang membela ular keganasan kini diancam oleh racun ular tersebut.” – AFP

Teori : Monyet akan turut jatuh bila dahan tempat bergayut patah

Nasib Abdullah ditentukan dua minggu lagi

Kedudukan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawai sebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno yang amat kritikal sekarang ini, dijangka akan ditentukan dalam tempoh dua minggu lagi.

Kedudukan Abdullah amat getir, keputusan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno hari ini sebulat suara bersetuju menangguhkan pemilihan dari Disember ini kepada bulan Mac tahun depan sudah memendekkan tempoh hayatnya yang dijadualkan pada bulan Jun 2010.

Desakan pihak-pihak tertentu dalam Umno supaya Abdulllah berundur segera, berjaya dipendekkan daripada 21 bulan (Oktober 2008 - Jun 2010) kepada enam bulan sahaja.

Walaupun diberi alasan tempoh sehingga Mac diambil, untuk memberikan ruang kelicinan proses peralihan kuasa kepada Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak, namun besar kemungkinan ia lebih pendek dari tempoh enam bulan.

Selesai mesyuarat MT sebentar tadi, Abdullah berkata beliau akan mengumumkan sama ada akan mempertahankan jawatan Presiden Umno pada pemilihan parti kali ini sebelum persidangan perwakilan bahagian parti bermula.

Tempoh dua minggu itu diambil untuk Abdullah mengambil kira 'feedback' daripada Umno Bahagian yang akan bermula mengadakan persidangan 9 Oktober ini.

Di sebalik larangan peraturan Tataetika Umno yang ketat dan kelebihan undi bonus yang ada kepadanya sebagai Presiden Umno, Abdullah dilaporkan tidak yakin beliau dapat melepasi kuota pencalonan sebanyak 30 peratus atau dari 58 bahagian.

Ada sumber berpendapat, Abdullah berada dalam keadaan terdesak akibat keengganan timbalannya memberi laluan kepada beliau untuk kekal sebagai Presiden untuk tempoh tiga tahun lagi.

Sumber menyebut, Abdullah ada meminta Najib supaya mengumumkan segera untuk hanya bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno, sekaligus memberi laluan kepada beliau, tetapi Najib enggan berbuat demikian.

Justeru, Abdullah tidak ada pilihan. Rundingan orang-orang kem Abdullah dengan kem Najib menemui jalan buntu.

Abdullah sudah beberapa kali didesak berundur lebih awal oleh ahli-ahli Umno, hasrat beliau untuk kekal sebagai Presiden sepenggal lagi menemui jalan buntu.

Jika dalam tempoh dua minggu ini Abdullah gagal mendapat 'feedback' yang meyakinkan, Abdullah terpaksa berundur lebih awal.

Sudah tentu Abdullah tidak sanggup menerima malu jika penyandang jawatan Presiden mendapat pencalonan yang sedikit atau tidak layak bertanding jawatannya.

Tekanan yang dihadapi Abdullah turut dirasai calon Ketua Pemuda Umno iaitu menantunya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang kecewa ramai anggota pemuda dilarang menemui beliau.

Jika Abdullah gagal kekal sebagai Presiden Umno, sekaligus, ia akan mematikan peluang Khairy untuk merebut jawatan Ketua Pemuda.

www.harakahdaily.net

Timbalan Mufti Wilayah Persekutuan minat sungguh cerita tentang skirt Teresa berbanding kezaliman ISA

Teresa kurang sopan pakai skirt di masjid

KUALA LUMPUR 27 Sept. - Timbalan Mufti Wilayah Persekutuan, Zakariah Isa menegur Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok Suh Sim kerana tidak berpakaian sopan ketika menghadiri majlis berbuka puasa bersama imam dan ahli jawatankuasa Masjid Nurrusaadah di Cheras Baru, baru-baru ini.

Beliau berkata, pemimpin bukan Islam seharusnya sensitif dengan mematuhi kod etika berpakaian ketika menghadiri majlis terutama yang dianjurkan oleh masjid.

Menurutnya, jika perlu, pegawai khas pemimpin berkenaan wajar memainkan peranan memberi nasihat yang baik tentang etika berpakaian.

"Memang nampak kurang manis kerana dia seharusnya memakai pakaian yang elok sedikit dan perlu menghormati masjid. Mungkin juga pembantunya terlepas pandang.

"Mungkin juga Teresa baru balik dari majlis lain dan singgah sebentar ke masjid itu untuk memenuhi jemputan berbuka,'' katanya kepada Mingguan Malaysia ketika majlis khatam al-Quran dan penyampaian sumbangan hari raya di Masjid Al-Imam Al-Tirmizi di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai gambar Teresa dalam laman blognya yang memaparkan beliau hanya memakai skirt dan tidak menutup aurat semasa menghadiri majlis berbuka puasa bersama imam dan ahli jawatankuasa Masjid Nurrusaadah di Cheras Baru, baru-baru ini.

Tambah Zakariah, pihak pengurusan masjid tu juga seharusnya lebih bertanggungjawab dan prihatin terhadap pengunjung bukan Islam.

Katanya, jubah seharusnya disediakan untuk mengelakkan pengunjung bukan Islam masuk ke dalam masjid dalam keadaan tidak sopan.

www.utusan.com.my

Tahu benar Ahmad Shabery Cheek pasal pertandingan kuda

'Kuda hitam' bakal muncul

KUALA LUMPUR 27 Sept. - Calon-calon 'kuda hitam' atau nama-nama yang tidak disangka akan muncul menawarkan diri untuk merebut jawatan tertinggi UMNO pada pemilihan yang dijadual berlangsung Mac tahun depan.

Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata, kemunculan calon 'kuda hitam' itu akan bergantung kepada keputusan Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu mempertahankan jawatannya atau tidak.

Beliau menegaskan, andainya Abdullah tidak mempertahankan jawatan tersebut, maka kemunculan calon 'kuda hitam' adalah bagi jawatan kedua iaitu Timbalan Presiden UMNO.

"Jawatan nombor satu mungkin tidak (ditandingi) kerana Datuk Seri Najib Tun Razak sudah dilihat sebagai pengganti jawatan berkenaan," katanya kepada Mingguan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Namun kata beliau, dalam senario politik hari ini, belum ada sesiapa yang boleh dikatakan secara pasti akan menduduki jawatan kedua tertinggi parti jika berlaku kekosongan.

Tambah beliau, dalam konteks kemunculan calon 'kuda hitam' itu, bermakna jawatan nombor dua parti iaitu Timbalan Presiden UMNO tidak semestinya ditandingi secara solo oleh Naib Presiden yang menjadi sebutan untuk jawatan itu kini, iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Selepas hari raya ini, dua atau tiga nama baru dijangka timbul untuk berada dalam persaingan, nama-nama ini akan memeranjatkan masyarakat umum," katanya.

Malah kata beliau, tidak semestinya calon yang tampil untuk merebut jawatan Timbalan Presiden UMNO itu datangnya daripada kalangan Naib Presiden parti sedia ada.

Menerangkan lebih lanjut konsep 'kuda hitam', beliau berkata, dalam pertandingan lumba kuda, umumnya penonton akan memandang kepada kuda-kuda yang cerah kerana lebih cantik dan senang dilihat.

"Namun ketika perlumbaan berlangsung, di hujung persaingan, kuda hitam akan muncul dan menarik perhatian penonton," katanya.

Justeru kata beliau, dalam konteks pertandingan dalam UMNO, calon 'kuda hitam' mampu mewujudkan pertandingan yang sengit kerana keputusan akan terletak di tangan akar umbi untuk menentukan pemimpin pilihan mereka.

Beliau berkata, teori 'kuda hitam' itu kukuh pada pemilihan kali ini kerana selepas satu tempoh yang lama, wujud kemungkinan jawatan Timbalan Presiden UMNO dipertandingkan.

Katanya, kemunculan calon jenis itu sama ada secara sukarela menawarkan diri atau mungkin keadaan akan membawanya ke tengah pertandingan.

Namun katanya, tidak ada jaminan 'kuda hitam' berkenaan boleh menang tetapi mungkin mampu mewujudkan persaingan yang sengit.

Katanya, kemunculan calon 'kuda hitam' dalam pemilihan UMNO selepas hari raya mungkin tidak ramai bilangannya tetapi pasti akan memeranjatkan.

www.utusan.com.my

3 hari jual kuih raya RM2,000

Duit jual kuih raya Enot dikebas

PETALING JAYA - Pelakon Alliza Abdullah atau lebih dikenali sebagai Enot tidak menyangka ditimpa nasib malang menjelang Aidilfitri tidak lama lagi.

Ini kerana wang hasil jualan kuih raya miliknya yang berjumlah hampir RM2,000 dicuri seorang lelaki di sebuah pusat beli-belah di Damansara kelmarin.

Menurut Enot, kejadian pukul 10 malam itu berlaku ketika seorang pekerja wanitanya, Noor Suriani Abdul Aziz, 19, menjaga gerai tersebut sedang bersiap-siap mengemas untuk tutup kedai.

"Semasa kejadian saya berada di sebuah lagi gerai di Downtown, Cheras dan hanya Suriani seorang yang menjaga gerai tersebut," katanya di sini semalam.

Menurut Enot yang berusia 29 tahun itu, sebelum kejadian, pekerjanya didakwa didatangi seorang lelaki warga asing yang bertanya harga kuih dan jenis-jenisnya.

Suriani, yang ketika itu sedang sibuk berkemas telah meninggalkan begnya yang berisi wang di bawah meja untuk melayan pelanggan 'istimewanya' yang tiba-tiba muncul itu.

Jelas Enot yang juga ibu kepada dua orang anak, bagaimanapun tidak sampai lima saat, apabila Suriani menoleh kebelakang beg tersebut telah hilang.

Setelah menyedarinya, Suriani kemudiannya mengejar dan mencari lelaki terbabit hingga ke pintu tetapi gagal mengesan pergerakan lelaki tersebut.

"Seorang pekerja kedai makan berdekatan memberitahu, beg itu dibawa lari oleh seorang lelaki asing dan lebih pelik pelanggan yang datang ke gerai saya itu turut 'ghaib'," katanya lagi.

Ekoran kejadian itu, wang hasil jualan kuih raya selama tiga hari itu termasuk beberapa dokumen penting termasuk kad pengenalan 'lebur.'

www.kosmo.com.my

Belum siasat sudah tuduh perlakuan orang Islam, mungkin yang mengebom hotel Marriott di Islamabad orang Yahudi atau Kristian

Setiausaha Agung OIC Seru Umat Islam Tamatkan Keganasan

DUBAI, 27 Sept Bernama) -- Umat Islam di seluruh dunia perlu bersatu dalam membanteras sebarang bentuk keganasan dan membantu menamatkan fenomena ini yang telah memburukkan imej Islam sebagai agama keamanan, mengasihani dan bertolak ansur, kata Setiausaha Agung Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) Prof Ekmeleddin Ihsanoglu.

Beliau melahir rasa kesal dengan tindakan tidak berperikemanusiaan yang dilakukan terhadap orang yang tidak berdosa, seperti kejadian di Islamabad dan Sana'a, yang mendatangkan kerosakan dahsyat dan menodai ketenangan bulan Ramadan dan kesucian kehidupan manusia.

Menghormati kehidupan manusia sangat ditekankan oleh Islam, katanya dan menambah perbuatan menolak ajaran ini perlu dikutuk.

"Melakukan dosa kejam ini, terutama di bulan Ramadan, perlu ditolak dan dikutuk," kata Ihsanoglu dalam perutusan sempena berakhirnya bulan Ramadan dan menjelangnya sambutan Aidilfitri.

Puluhan orang terbunuh dalam kejadian letupan bom di hotel Marriott di Islamabad, Pakistan dan berdekatan kedutaan Amerika Syarikat di Sana'a baru-baru ini.

Ihsanoglu menekankan pendirian OIC yang sentiasa konsisten yang mengutuk keganasan dalam sebarang bentuk termasuk serangan berani mati walau apapun alasan yang diberi untuk melakukannya.

Kejadian di dua ibu negara tersebut, seperti serangan pengganas sebelum ini di beberapa bahagian Dunia Islam, mendatangkan kesakitan, kesengsaraan dan tekanan yang amat sangat, katanya.

"Sidang kemuncak OIC dan mesyuarat peringkat menteri telah mengutuk keganasan dengan sepenuh hati dan segala langkah perlu dilakukan untuk membawa petualang tersebut ke muka pengadilan.

"Kami mengulangi keseungguhan untuk membanteras kesengsaraan ini dengan bantuan kerjasama masyarakat antarabangsa," kata Ihsanoglu.

Beliau mengucapkan tahniah kepada umat Islam sempena sambutan Aidilfitri dan berdoa agar muncul masa depan yang lebih baik dan era baru di mana segala kesukaran dan konflik dapat diatasi menerusi dialog dan usaha damai.

-- BERNAMA

TLDM hantar wang tebusan bebas Melati 5

Tebusan Melati 5 bebas

KUALA LUMPUR 27 Sept. – Drama tebusan membabitkan kapal tangki Malaysia, Bunga Melati 5 berakhir apabila kapal berkenaan dibebaskan oleh kumpulan lanun yang menahannya sejak dua minggu lalu.

Pengarah Program Bantuan Pelaut Afrika Timur (EASAP), Andrew Mwangura berkata, kapal tersebut dibebaskan bersama semua anak kapal selepas sejumlah wang tebusan dibayar.

“Wang tebusan itu dihantar oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang berada di kawasan berkenaan kepada lanun-lanun tersebut,” katanya seperti yang dipetik oleh agensi berita Reuters.

Mereka dibebaskan semalam pada pukul 6.25 petang waktu tempatan.

Sementara itu, sumber-sumber Kementerian Pertahanan memberitahu, kesemua anak kapal Bunga Melati 5 selamat dan telah mendapat bekalan makanan.

Dalam pada itu, sumber tersebut memberitahu, usaha sedang giat dijalankan bagi membebaskan sebuah lagi kapal tangki, Bunga Melati 2 yang masih ditahan.

Menurutnya, ketika ini kapal tersebut masih di perairan Teluk Aden untuk menunggu pembebasan kapal Bunga Melati 2 dengan 39 anak kapal termasuk 29 rakyat Malaysia.

“Kapal Melati 5 akan ke Pelabuhan Djibouti atau Pelabuhan Aden untuk mengisi minyak dan mendapatkan bekalan.

“Waktunya belum ditentukan lagi kerana masih menunggu pembebasan Bunga Melati 2. Tetapi kalau lama sangat nak dibebaskan, Kapal Melati 5 akan meneruskan perjalanan ke pelabuhan itu dulu,’’ katanya.

Pada 19 Ogos lalu, sebuah kapal MISC iaitu kapal MT Bunga Melati 2 dengan 29 anak kapal rakyat Malaysia dan 10 warga Filipina dirampas oleh lanun di perairan tersebut menyebabkan seorang anak kapal dari Filipina terbunuh terkena peluru sesat.

Sepuluh hari kemudian, kapal MISC, Bunga Melati 5 dengan 36 anak kapal rakyat Malaysia dan lima warga Filipina turut dirampas di perairan sama ketika dalam pelayaran dari Yanbu, Arab Saudi ke Singapura.

www.utusan.com.my

Kerajaan mungkin pertimbangkan mansuh ISA jika 500,000 rakyat berhimpun

2,000 sertai perarakan aman anti-ISA

Kira-kira 2,000 menyertai perarakan aman di ibunegara malam ini, mendesak supaya dimansuhkan Akta Keselamatan Negeri (ISA) dan dibebaskan tahanan di bawah akta tersebut.

Pada mulanya, dua kumpulan - Barisan Bertindak Hak Hindu (HIndraf) dan gabungan NGO yang diketuai oleh Pakatan Penulis untuk Kebebasan Media (Wami) - merancang untuk mengadakan majlis memasang lilin di Dataran Merdeka pada kira-kira jam7.30 malam.

Apabila polis mengawal Dataran Merdeka, kumpulan Hindraf yang berjumlah kira-kira 500 orang, berarak menuju ke kuil yang terletak di depan pusat perhentian bas Puduraya kira-kira 1 km dari situ.

Ketika berarak ke sana, orang ramai turut menyertai mereka dan jumlahnya kemudian bertambah mencecah kira-kira 2,000 orang, dengan ramai yang membawa lilin.

Satu lagi kumpulan, yang berarak sambil membawa tanglung, kemudiannya turut menyertai kumpulah Hindraf tersebut.

Sambil berarak, mereka melaungkan “Mansuhkan ISA”, “Bebaskan Raja Petra” and “Hindraf Valga (Hidup Hindraf)”.

Akhirnya, mereka berkumpul di kawasan kuil berkenaan di mana beberapa individu menyampaikan ucapan.

Penyelaras pusat Hindraf, R Thanenthiran menggesa kerajaan memenuhi tuntutan peserta perarakan tersebut supaya membebaskan tahanan ISA.

Katanya, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar tidak boleh memutuskan seorang diri apakah yang terbaik untuk negara.

"Malam ini, kita rakyat, menjadi hakim," tambahnya.

Kemudian, ahli Parlimen Teluk Intan, M Manogaran memberitahu hadirin bahawa perhimpunan tersebut diadakan untuk mengingati ulangtahun pertama penahanan lima pemimpin Hindraf di bawah ISA dan kini ditahan di Kem Tahanan Kamunting.

"Kita akan terus mengadakan perhimpunan sehinggalah tahanan ISA dibebaskan," katanya.

Suasana meriah

Sementara itu, perarakan itu berjalan dalam suasana meriah. Beberapa penyokong Raja Petra Kamaruddin turut menyanyikan lagu selamat jadi kerana hari ini merupakan hari jadi penulis blog tersebut.

Menjelang jam 9 malam, mereka bersurai dan tiada kejadian yang tidak diingini dilaporkan berlaku.

Thanenthiran kemudiannya memberitahu pemberita bahawa perarakan malam ini membuktikan bahawa rakyat Malaysia boleh berhimpun secara aman untuk menyuarakan isi hati mereka.

“Jika pihak polis mematuhi undang-undang, kita pun juga boleh berbuat demikian," katanya.

Dalam satu kenyataan selepas orang ramai bersurai, pengerusi Hindraf, P Waytha Moorthy mengucap terima kasih kepada pihak polis kerana membenarkan perarakan tersebut diadakan.

"Kerajaan kini seharusnya menerima hakikat bahawa rakyat Malaysia telah menghantar satu mesej yang kuat dan jelas menolak penggunaan ISA," katanya yang kini tinggal di luar negara.

Sementara itu, dua peserta buta memberitahu Malaysiakini mengapa mereka turut menyertai perarakan tersebut.

Ramli Abu Bakar, 51, berkata beliau menyokong gerakan anti-ISA sejak ia dimulakakan kerana "negara telah mencapai kemerdekaan".

"Kita telah merdeka selama 51 tahun, jadi mengapa kita perlukan lagi undang-undang itu sekarang," kata Ramli.

Rakannya, Kamal Abdu Bakar, 48, turut menyokongnya dengan berkata ISA tidak relevan lagi sekarang.

Manakala seorang penyokong Raja Petra - Sampa Lee, 60 - berkata pembebasan penulis blog itu serta tahanan ISA yang lain, akan merupakan hadiah hari jadi terbaik yang boleh diberikan oleh kerajaan.

"Ia akan merupakan hadiah terbaik untuk Raja Petra dan semua rakyat Malaysia kerana kita semua menentang undang-undang yang zalim itu," kata Sampa.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zulkarnain Abdul Rahman berkata polis mendapat maklumat bahawa perhimpunan itu dijadualkan diadakan di Dataran Merdeka.

"Tetapi kita telah menempatkan anggota polis di beberapa jalan masuk menuju ke Dataran Merdeka dan ini menyebabkan peserta perhimpunan bertukar lokasi menuju ke kawasan berhampiran Puduraya.

"Tiada sebarang insiden yang tidak diingini berlaku dalam perhimpunan ini dan tiada sebarang tangkapan dibuat," katanya dalam laporan Bernama.

www.malaysiakini.com