31 May 2008

Intan: Saya banyak berhutang sebab Beego

KUALA LUMPUR - Isteri pelakon dan penyanyi Beego mendakwa di Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam bahawa perkahwinannya dengan artis berkenaan bukan sahaja menyebabkan dia berhutang dengan bank sebanyak RM30,000 malah duit simpanannya sebanyak RM61,000 juga telah habis digunakan.

Intan Shahira Mohd. Shahru, 27, turut mendakwa dia bakal menanggung risiko kemungkinan sukar untuk mendapatkan zuriat pada masa akan datang setelah mendapatkan suntikan pencegahan kehamilan sehari sebelum hari pernikahannya kerana enggan mengandungkan zuriat bakal suaminya itu.

Pakar perunding sumber manusia di sebuah syarikat itu sedang memberi keterangan di hadapan Hakim Syarie Mohd. Yunus Mohamad Zin selaku pihak plaintif bagi menuntut fasakh terhadap defendan iaitu Beego atau nama sebenarnya Mohd. Aszerul Nizam Abdullah, 28.

Dia yang disoal oleh peguam syarie Marlina Amir Hamzah memberitahu, salah satu alasan dia bertindak menuntut cerai kerana defendan baginya seorang yang tidak bertanggungjawab selain panas baran dan suka mengongkong.

Malah sebelum kahwin, Intan berkata, dia pernah berhasrat untuk membatalkan perkahwinannya disebabkan Beego menolaknya dari atas katil kerana tidak mahu menemaninya ke bank.

Menjelaskan lebih lanjut, Intan berkata, untuk belanja hantaran perkahwinan, dia telah membuat pinjaman bank sebanyak RM20,000 di HSBC manakala tambahan pinjaman RM10,000 dibuat di bank RHB sebagai belanja majlis perkahwinan suaminya di Johor Bahru.

"Saya membuat pinjaman atas nama saya kerana suami tidak boleh membuat pinjaman dan disebabkan itu, saya perlu membayar kepada bank termasuk faedah selama tujuh tahun sebanyak RM74,000," katanya yang hadir ke mahkamah ditemani keluarga.

Intan juga mendakwa mengeluarkan wang bonus RM40,000 bagi menanggung majlis perkahwinan di Palace Of Golden Horses, RM11,000 dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk membeli barang-barang hantaran kedua-dua belah pihak serta tambahan RM10,000 dalam Amanah Saham Bumiputra (ASB)," katanya lagi.

Ditanya adakah dia pernah memberitahu Beego mengenai hasrat untuk tidak meneruskan perkahwinan tersebut, Intan menjawab "Ya, saya beritahu saya takut untuk berkahwin tetapi defendan cakap dia akan berubah."

Bagaimanapun, tambah Intan, dia tidak mempercayai cakap defendan dan telah memberitahu bapanya perkara yang sama, namun bapanya memberitahu dia mungkin berdarah gemuruh tambahan lagi majlis pernikahan semakin hampir serta tidak mahu memalukan keluarga kedua-dua belah pihak.

Jelas Intan, dia meneruskan perkahwinan demi kehendak bapanya tetapi pada masa sama, sehari sebelum nikah, dia telah pergi ke klinik di Bandar Baru Uda bersama seorang sepupu untuk mendapatkan suntikan pencegah hamil dengan kerelaan hatinya.

"Kesan suntikan tersebut, kedatangan haid saya tidak stabil selain mengalami sakit perut selama empat bulan malah diberitahu doktor kemungkinan sukar untuk mendapatkan zuriat pada masa akan datang," beritahu Intan yang mempunyai pendapatan RM9,000 sebulan.

Dalam keterangan lain, Intan yang menetap bersama ibunya di sebuah kondominium memberitahu defendan juga tinggal bersama mereka selepas bertunang pada 7 Julai 2007 kerana bekas penyanyi kumpulan Phyne Ballerz itu mempunyai penggambaran berdekatan kawasan kediamannya.

www.kosmo.com.my

Ezam bukan lagi seorang tokoh

BN mungkin akan meletakkan Ezam, jika Anwar bertanding pilihanraya

Anwar mahu bertanding pilihan raya segera

Penasihat Parti KeADILan Rakyat (KeADILan), Dato' Seri Anwar Ibrahim, berkata beliau akan bertanding bagi kerusi Parlimen 'dengan segera' sebaik-baik sahaja kelayakan beliau untuk berbuat demikian disahkan pihak berkuasa.

"Jika saya sudah benarbenar pasti tentang kelayakan saya, saya akan memilih untuk berbuat demikian seberapa segera,' kata beliau semasa diwawancara oleh Bloomberg Television semalam yang dipetik oleh KLpos.

Anwar berkata beliau belum lagi menerima pengesahan rasmi bahawa beliau layak memegang jawatan awam selepas menjalani hukuman penjara atas tuduhan rasuah yang hingga kini dinafikan beliau.

Anwar, 60, berulang kali mendakwa bahawa pakatan tiga parti pembangkangnya telah mendapat 30 anggota parti campuran Barisan Nasional (BN) pimpinan Perdana Menteri Malaysia, Dato' Abdullah Ahmad Badawi, yang telah belot dan menyertai pakatan pembangkang untuk membolehkan beliau mengambil alih kuasa.

Beliau juga berkata beliau akan berbincang dengan rakan-rakannya mengenai siapakah yang akan menjadi Timbalan Perdana Menterinya dalam pentadbiran yang bakal beliau pimpin.

"Isunya sekarang ialah untuk memastikan adanya peralihan kuasa yang licin, menurut peruntukan perlembagaan," kata Anwar.

KeADILan yang dipimpin beliau, DAP dan PAS menguasai lima daripada 13 negeri di Malaysia dalam pilihan raya umum 8 Mac lalu - prestasi terbaik pembangkang sejak Malaysia merdeka daripada Britain pada 1957.

Mengenai subsidi minyak, Anwar berkata Malaysia boleh mengurangkan cukai petrolnya untuk menurunkan harga minyak, serta membangunkan sistem subsidi yang boleh membawa manfaat kepada penduduk miskin dan bukan mereka yang bergaji RM5,000 atau RM10,000 sebulan.
www.harakahdaily.net

Umno akan terus kucar-kacir sehingga Disember - Mohd Sabu

Umno-BN dijangka akan terus mengalami pergolakan dan perpecahan sehingga Disember ini.

Pandangan tersebut dilontarkan Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu kepada Harakahdaily dekat sini ketika memberikan penjelasan berhubung kenyataan mantan Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan, Dato' Wan Abdul Rahim yang memohon maaf kepada Suruhanjaya Pilihan Raya semalam.

"Umno akan terus begini sehingga Disember apatah lagi selepas pemilihan dan pelantikan pucuk kepimpinan akan datang," katanya.

Tambahnya, keadaan akan menjadi lebih parah sekiranya kerajaan bertukar tampuk kepimpinan kepada Pakatan Rakyat.

Bahkan katanya, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dijangka akan meneruskan siri serangan beliau menerusi satu program ucaptama yang akan berlangsung di Hotel Crystal Crown Petaling Jaya pada jam 9 pagi esok.

Mengulas mengenai kembalinya Pengerusi Gerak, Ezam Mohd Nor semula ke pangkuan Umno, Mohamad yang merupakan Pengerusi Mobilisasi Demokrasi berpendapat ia tidak akan banyak mengubah keadaan dalaman Umno yang telah sedia kucar-kacir.

"Tindakan Ezam tersebut merupakan pilihan beliau secara peribadi, cuma yang saya kurang pasti sekarang adalah sama ada prinsip perjuangan Ezam untuk membasmi rasuah dan penyelewengan dalam kerajaan boleh dilaksanakan melalui parti yang ditentangnya selama ini?" katanya.

Ujarnya, terpulanglah kepada Ezam untuk meneruskan prinsip perjuangannya itu.

"Saya fikir Ezam perlu menjelaskan tindakan dan keputusan beliau itu sendiri kepada mereka yang pernah mengikuti ceramah dan rapat umum sebelum ini yang mengharapkan ianya dibuat," ujarnya.

Sementara itu, Mohamad yang pernah mengetuai Jawatankuasa Perhimpunan 100,000 Rakyat pada 10 November lalu anjuran Bersih menyifatkan kenyataan yang dibuat Wan Abdul Rahim semalam sebagai bersifat peribadi.

"Sesiapapun yang membuat tuntutan maaf itu adalah pandangan peribadi, bahkan keputusan Mobilisasi Demokrasi dan Bersih akan meneruskan tuntutan kami sebelum ini termasuklah memorandum yang telah diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong tahun lalu.

"Walaupun Pakatan Rakyat berjaya menawan lima buah negeri dalam pilihan raya umum lalu, ia tidak bermakna sistem pilihan raya kita telah pun bersih dan baik," ujarnya lagi.

ini kerana tegasnya, penyelewengan tersebut tenggelam oleh tsunami politik yang dilakukan oleh kebangkitan rakyat berdasarkan faktor luaran dan senario politik semasa ketika itu.

"Justeru, kejahatan dan penipuan oleh pihak SPR tidak dapat dihidu dan tidak kelihatan dengan ketara, namun kita mendapat maklumat calon Pakatan Rakyat tewas di beberapa tempat setelah pengiraan semula dijalankan," katanya.

Jelasnya ini menyebabkan suatu suruhanjaya perlu ditubuhkan bagi menyiasat masalah ini.

"Kami tidak pernah berganjak daripada meneruskan tuntutan sebelum ini kerana kemenangan yang diperolehi Pakatan Rakyat bukanlah bermakna sistem pilihan raya di negara ini telah pulih dan bersih.

"Ia masih kotor dan tidak telus," katanya lagi.

Bersih sebelum ini pernah mengemukakan empat tuntutan termasuk pembersihan daftar pemilih, mengkaji semula pelaksanaan undi pos, serta penggunaan dakwat kekal pada jari pengundi menerusi memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong pada 10 November lalu.

www.harakahdaily.net

Dari Perlis turun ke Selangor, minat politik nampaknya Asri

Islam hadhari: Mufti ulas Dr Hassan

Mufti Perlis mencadangkan kerajaan Selangor yang mengharamkan Islam hadhari supaya menilai perkara itu secara objektif dan menerima aktiviti dan dasarnya yang baik.

"Istilah Islam hadhari telah mengelirukan banyak pihak, namun isi kandungannya baik. Malangnya, pelaksanaan isi kandungan itu kurang kelihatan, selebihnya hanya jenamanya sahaja yang diuar-uarkan," kata Dr Mohd Asri Zainul Abidin hari ini.

"Saya mencadangkan kepada pihak yang menolak secara ‘pakej’ (Islam hadhari) supaya menilai dengan objektif, menerima aktiviti yang baik atau dasar-dasar yang baik yang termuat dalam Islam hadhari dan boleh menolak jenama yang mengelirukan itu."

Melalui laman webnya 'Minda Mufti', beliau mengulas kenyataan exco hal ehwal agama Selangor, Datuk Dr Hassan Mohamed Ali awal minggu ini, termasuk isu pengharaman arak dan hiburan.

Isnin lalu, kerajaan Selangor telah mengarahkan pengharaman sebarang program untuk menyebarkan Islam hadhari, tafsiran agama yang dikembangkan sejak Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menjadi perdana menteri.

Berucap dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Dr Hassan berkata semua masjid dan surau diarah tidak lagi mengadakan program yang menyentuh konsep Islam yang diperkenal sejak empat tahun lalu.

"Kita haramkan Islam hadhari di Selangor ini kerana Islam yang kita amalkan dulu dan hari ini tidak berubah dan sudah cukup," katanya.

Mengulas cabaran Dr Hassan agar membuktikan calon-calon PAS, termasuk beliau sendiri, pernah berjanji untuk mengharamkan arak dan judi di Selangor, Dr Mohd Asri mengulas:

"Inna lillah wa inna ilaihi raji’un. Saya seakan bermimpi. Suara siapakah yang saya dengar sejak dahulu yang begitu garang menghentam dan mengkritik kewujudan arak dan judi dalam negara ini.

"Aduhai politik dan kerusi terlalu cepat mengubah manusia. Tidak hairan jika ada tokoh yang menyebut: 'Aku berlindung dengan Allah daripada syaitan dan politik'."

Jika terus berdepan isu pengharaman dua perbuatan maksiat itu, beliau mencadangkan exco kanan kerajaan Selangor itu menjawab:

"Alangkah baik jika disebut: 'kita sedang berusaha, atau masih dalam proses, atau mengambil pendekatan yang tersusun, atau sedang meneliti' atau seumpamanya."

Dr Hassan, yang juga pesuruhjaya PAS, menafikan parti itu pernah berjanji menutup semua pusat hiburan termasuk kilang arak dalam pilihanraya umum lalu.

Bercakap ketika membuat penggulungan di akhir akhir DUN Selangor, beliau mencabar sebarang pihak agar mengemukakan bukti yang menunjukkan pemimpin PAS pernah membuat janji sedemikian.

"Jika ada yang mendakwa saya dan ahli PAS lain yang membuat janji ini, saya cabar mereka kemukakan, tunjukkan bukti daripada mana-mana sumber.

"Jika mereka ada bukti, sila tunjukkan kepada saya bahawa PAS ada membuat janji-janji ini kerana kita tidak pernah membuat janji sedemikian."

www.malaysiakini.com

30 May 2008

Skim Tambang Biasa & Skim Tambang Mewah

Ezam telah lama meninggalkan perjuangan KeADILan - Anwar Ibrahim

Keputusan Sdr Ezam

Sebelum ini banyak tekaan mengenai kemungkinan Sdr Ezam menyertai Umno. Dan ada kalangan pengunjung yang memohon reaksi saya.

Kini setelah sah penyertaan beliau bersama Umno maka ingin saya tegaskan bahawa beliau telah lama meninggalkan perjuangan KeADILan - sabelum Kongres dan jelas sebelum PRU12 lalu.

Justeru itu keputusan tersebut adalah hasrat peribadi beliau.

ANWAR IBRAHIM

Ezam bukanlah pengikut yang setia

Ezam sedia tanding ketua Pemuda

Bekas ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Ezam Mohd Nor berkata beliau bersedia bertanding jawatan ketua Pemuda Umno jika kedudukan tersebut mampu membina dan mengangkat martabat Melayu menjadi bangsa yang dihormati.

Bagaimanapun, katanya, kedudukannya yang masih terlalu baru di dalam Umno tidak membenarkan beliau untuk membuat keputusan yang besar itu.

Namun, menurut laporan Bernama, Ezam berkata beliau akan membincangkan soal itu dengan pemimpin Umno yang lain terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan mengenainya.

"Saya kena bincang dulu dengan pimpinan, kena bincang dengan kawan-kawan dan kalau jawatan itu untuk kepentingan negara, ia boleh membantu kepentingan negara, kepentingan parti, membina dan mengangkat martabat Melayu menjadikan Melayu satu bangsa yang dihormati oleh bangsa-bangsa lain, saya akan pertimbangkan secara serius," katanya.

Beliau berkata demikian semasa diminta mengulas kemungkinan kemasukan beliau ke dalam Umno ialah untuk mengisi jawatan Ketua Pemuda yang akan dikosongkan penyandangnya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Ezam menyerahkan borang keahliannya untuk menyertai semula Umno Rabu lalu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

www.malaysiakini.com

Mukhriz ke Lembaga Disiplin


Tiga mungkin dihukum - Zaid, Mukhriz, Tajuddin ke Lembaga Disiplin langgar arahan parti

Seorang menteri dan dua ahli Parlimen UMNO akan dihadapkan ke Lembaga Disiplin parti kerana bertelingkah di dada akhbar sehingga mencemarkan imej UMNO di mata rakyat.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, ketiga-tiganya iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim; Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir; dan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman didapati menyalahi pekeliling yang diedarkan oleh ibu pejabat parti yang melarang masalah dalaman parti dibangkitkan di luar UMNO.

“Pekeliling mengenai larangan itu bukan sahaja telah diedarkan kepada semua Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri dan ketua-ketua bahagian sejak sebulan lalu, malah ia turut dikuatkuasakan ke atas semua parti komponen Barisan Nasional (BN).

‘‘Ia satu arahan melarang pertelingkahan parti dibangkitkan dalam media tetapi ketiga-tiga mereka ini melanggarnya dengan bergaduh macam budak kecil sehingga mencemarkan imej UMNO.

“Ketiga-tiga mereka akan dihadapkan kepada Lembaga Disiplin dan bentuk hukuman terserah kepada badan tersebut,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sebelum ini Zaid dilaporkan meminta BN mengambil tindakan terhadap Mukhriz dan Tajuddin kerana mengkritik kerajaan termasuk Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi secara terbuka.

Tindakan itu mencetuskan kenyataan balas Tajuddin yang mempersoalkan kedudukan Zaid dan menggesa Perdana Menteri meneliti semula pelantikan beliau sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Semalam, Abdullah berkata, beliau tidak bercadang menilai semula pelantikan Zaid sebagai menteri.

Sebaliknya, tegas beliau, BN dan UMNO mengamalkan pintu terbuka kepada ahli untuk membuat teguran.

www.utusan.com.my

Ezam akan menipu pula ahli-ahli UMNO selepas ini?

‘Saya bukan spy’

PUTRAJAYA 29 Mei – Bekas Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamad Ezam Mohd. Noor yang kembali menyertai UMNO semalam, menegaskan bahawa beliau bukan pengintip kepada PKR.

Menurut beliau, andaian yang ditimbulkan oleh segelintir pihak itu bersifat dangkal dan berniat jahat terhadapnya.

‘‘Saya bukan spy (pengintip), sudah tentu dakwaan itu tidak benar sama sekali.

“Agenda saya (menyertai semula UMNO) adalah agenda negara dan bukannya atas tujuan tertentu atau melibatkan kepentingan mana-mana individu di dalam mahupun di luar UMNO,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mohamad Ezam, 41, ditanya mengenai tanggapan pihak tertentu bahawa penyertaan semula beliau ke dalam UMNO adalah bagi memudahkannya bertindak sebagai ‘pengintip’ untuk parti pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim itu mengenal pasti kekuatan dan kelemahan UMNO.

Semalam, beliau mengumumkan kembali kepada UMNO selepas mengisytiharkan keluar daripada PKR pada April tahun lalu.

Mohamad Ezam bertindak keluar daripada parti itu setelah kecewa dengan corak kepimpinan PKR yang dikatakan dikuasai secara eksklusif oleh golongan tertentu yang berkepentingan peribadi.

Ditanya lebih lanjut, menurutnya, beliau tidak disogok oleh mana-mana pemimpin parti pembangkang untuk bertindak sebagai pengintip bagi menjatuhkan parti keramat orang Melayu itu.

“Saya tidak berhubung langsung dengan pemimpin PKR untuk menjadi pengintip atau sekadar untuk memaklumkan kepada mereka mengenai penyertaan saya ke dalam UMNO,” katanya.

Tegasnya, matlamat beliau ialah untuk berjuang membantu Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi membuat perubahan kepada negara.

Tambahnya, beliau merancang berjumpa dengan ahli-ahli UMNO selepas ini bagi menjelaskan tujuannya menyertai parti itu ialah semata-mata untuk negara.

“Dalam penerangan itu nanti, saya tidak akan menyentuh soal cara untuk ‘menjatuhkan’ pemimpin mana-mana parti sebaliknya hanya akan menjelaskan mengenai strategi dan perancangan dalam membuat perubahan dalam negara.

‘‘Mungkin saya akan ceritakan sedikit tentang apa yang tidak kena dalam PKR tetapi tidak berniat apa-apa sebaliknya hanya sekadar mengembalikan keyakinan rakyat kepada UMNO,” katanya.

Sementara itu di Petaling Jaya, Mohamad Ezam berkata, pengumuman Perdana Menteri mengenai penubuhan Suruhanjaya Anti Rasuah Malaysia merupakan kenyataan paling penting yang mendorongnya menyertai semula UMNO.

Beliau yakin Perdana Menteri komited memastikan proses memerangi rasuah di negara ini akan berjaya apabila membuat keputusan paling sukar memberi kebebasan kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) untuk bertindak.

‘‘Sepanjang 10 tahun (di luar UMNO) saya melalui liku perjuangan yang getir dan pelajaran paling berharga bagi saya ialah kesedaran bahawa kemelut masyarakat dan negara ketika ini berpunca daripada rasuah dan penyelewengan,’’ katanya pada sidang akhbar di sebuah hotel di sini hari ini.

Beliau turut menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa beliau diberikan ganjaran tertentu untuk menyertai UMNO.

Jelas Mohamad Ezam, beliau tidak pernah keluar daripada UMNO, sebaliknya dipecat pada 1998 kerana lantang mengkritik presiden parti ketika itu.

Ditanya sama ada beliau berhasrat memegang sebarang jawatan dalam UMNO, Mohamad Ezam berkata, beliau yakin mampu membuat perubahan tanpa kuasa dan sebarang jawatan dalam parti.

Mengenai kesediaan digunakan oleh UMNO untuk berhadapan dengan Anwar, beliau bersedia melakukannya.

‘‘Dalam politik kita sama ada menggunakan orang lain atau membiarkan diri kita dipergunakan,’’ ujarnya.

Beliau bagaimanapun menegaskan masih memegang prinsip bahawa Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) perlu dikaji semula demi keadilan rakyat.

www.utusan.com.my

Lama tak dengar khabar Shahidan

Shahidan enggan, biar Idris undur

Walaupun nasib mereka hampir serupa, Datuk Seri Shahidan Kassim enggan melepaskan jawatan pengerusi badan perhubungan Umno Perlis biarpun rakan sejawatannya di Terengganu berbuat demikian semalam.

Datuk Seri Idris Jusoh, yang hilang jawatan menteri besar seperti Shahidan, memaklumkan hasratnya itu kepada presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Mengulas keputusan Idris, Shahidan dilaporkan berkata "tiada sebab" untuk beliau meletakkan jawatan tersebut.

"Mengapa nak letak jawatan. Saya juga ketua (Umno) bahagian," katanya, lapor Bernama.

Shahidan menegaskan, beliau masih pengerusi perhubungan dan tidak menghadapi masalah dengan jawatan itu.

Idris - yang membuat kenyataan ingin mempertahankan kedudukannya sebagai pengerusi perhubungan hujung minggu lalu, senada dengan Shahidan - akhirnya dilaporkan menyerahkan surat meletakkan jawatan hari ini.

Di Perak lima hari lalu, Idris berkata beliau tidak akan meletakkan jawatan walaupun tindakan itu boleh menimbulkan kebuntuan politik di Terengganu.

Selepas mengalami krisis perebutan jawatan menteri besar Mac lalu, Idris dan Shahidan masing-masing digantikan dengan Datuk Ahmad Said dan Datuk Dr Md Isa Sabu.

Bagaimanapun, Ahmad hari ini dilaporkan tidak dimaklumkan secara rasmi pengganti Idris.

Dalam tradisi Umno dan BN, menteri besar akan memegang jawatan pengerusi perhubungan parti dan pengerusi BN negeri.

Ahmad berkata pelantikan jawatan yang sedang kosong itu hak Abdullah, lapor laman web The Star.

Wakil rakyat Kijal berharap peralihan kepemimpinan Umno Terengganu akan berjalan lancar selepas Idris meninggalkan jawatannya itu.

Mengulas peletakan jawatan setiausaha perhubungan Datuk Rosol Wahid sebagai susulan keputusan Idris, Ahmad berkata perkara itu biasa kerana wakil rakyat Ajil itu dilantik oleh Idris.

www.malaysiakini.com

29 May 2008

Kes Altantuya - Lawatan Ke Tempat Letupan

Mukhriz rayu Najib pujuk Pak Lah, tidak rela Presiden Umno diaibkan

Datuk Mukhriz Mahathir, yang lantang mengkritik Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sejak pilihan raya umum ke-12, menemui Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak dua minggu lalu untuk merayu agar beliau "melakukan sesuatu bagi mempercepatkan peralihan tampuk kepimpinan dengan segera."

Mukhriz mengakui telah menemui Najib untuk menyampaikan pendiriannya itu pada 15 Mei lalu, empat hari sebelum ayahnya, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengumumkan keluar Umno di Alor Star.

"Ada perjumpaan dengan beliau (Najib). Itulah, saya terangkan pendirian saya. Beliau kata beliau faham, saya pun merayu kepada beliau melakukan sesuatu.

"Tetapi nampaknya setakat itu sahaja. Masih belum nampak apa-apa lagi," kata beliau yang juga Exco Pemuda Umno ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Mukhriz, Ahli Parlimen Jerlun menjelaskan, beliau telah merayu kepada Najib agar berbincang dengan Abdullah untuk membincangkan peralihan kuasa dengan segera - sebelum mesyuarat cawangan dan bahagian.

Pada pertengahan bulan lalu, Abdullah yang memegang jawatan Perdana Menteri dan Presiden Umno sejak 2003 berkata, beliau akan tetap mempertahankan jawatannya pada pemilihan parti Disember ini.

Perdana Menteri turut menjelaskan, hanya selepas pemilihan itu, beliau akan berbincang dengan Najib berkaitan hal-hal peralihan kuasa.

"Mungkin beliau rasa satu tahun, dua tahun boleh lagi. Bagi saya, satu, dua tahun bermakna kita cuma ada dua atau tiga tahun untuk membuat kerja-kerja menawan balik negeri-negeri yang tewas," kata Mukhriz yang memutuskan untuk kekal dalam Umno walaupun Dr. Mahathir memutuskan untuk keluar Umno kerana kecewa dengan senario politik dalam parti.

Mukhriz juga telah menawarkan diri untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda Umno.

Dalam pertemuan itu, beliau yang turut ditanya mengenai tindakannya terus mendesak Abdullah melepaskan jawatan parti dan kerajaan dengan segera, Mukhriz menjelaskan, beliau tidak mahu Abdullah diaibkan dengan kemungkinan kekalahan dalam pemilihan Umno Disember ini.

"Tidak pernah berlaku dalam parti, dalam sejarah Umno ini, presiden yang menyandang jawatan itu kalah dalam pemilihan.

"Jadi, saya khuatir itu akan berlaku sekiranya Abdullah cuba untuk mempertahankan jawatannya sebagai presiden. Misalnya Tengku Razaleigh Hamzah (Ketua Umno Bahagian Gua Musang) mahupun sesiapa melawan beliau untuk jawatan presiden.

"Jika presiden yang menyandang kalah dalam pemilihan, ia merupakan keputusan yang mengaibkan," kata beliau yang seolah-olah memberikan alternatif kepada Abdullah agar mengelak daripada 'kekecewaan' seterusnya.

Sama ada beliau ingin menyelamatkan Abdullah daripada kemungkinan tersebut dengan memberi alternatif, Mukhriz menjelaskan:

"Cuba kita bayangkan, keyakinan orang terhadap Umno, sokongan terhadap Umno sekarang. Sudah kalah lima negeri dalam pilihan raya, majoriti Abdullah sendiri pun menurun.

"Jika dalam pemilihan Umno kalah lagi, sudah tentu mengaibkan individu tersebut dan ada kesannya kepada parti.

"Jadi, saya rasa kalau boleh jawatan presiden parti itu, ada peralihan kuasa sebelum kita mulakan mesyuarat cawangan (Julai ini)."

www.mstar.com.my

Najib Beri Amaran Pada Parti GERAKAN Supaya Jangan Lompat

Ezam Sedia Tanding Ketua Pemuda Jika Ada Sokongan

PETALING JAYA, 29 Mei (Bernama) -- Bekas Ketua Pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mohamad Ezam Mohd Nor berkata beliau bersedia bertanding jawatan Ketua Pemuda Umno jika kedudukannya sebagai Ketua Pemuda mampu membina dan mengangkat martabat Melayu menjadi bangsa yang dihormati.

Bagaimanapun, katanya kedudukannya yang masih terlalu baru di dalam Umno tidak membenarkan beliau untuk membuat keputusan yang besar itu.

Namun Mohamad Ezam berkata beliau akan membincangkan soal itu dengan pemimpin Umno yang lain terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan mengenainya.

"Saya kena bincang dulu dengan pimpinan, kena bincang dengan kawan-kawan dan kalau jawatan itu untuk kepentingan negara, ia boleh membantu kepentingan negara, kepentingan parti, membina dan mengangkat martabat Melayu menjadikan Melayu satu bangsa yang dihormati oleh bangsa-bangsa lain, saya akan pertimbangkan secara serius," katanya.

Beliau berkata demikian semasa diminta mengulas kemungkinan kemasukan beliau ke dalam Umno ialah untuk mengisi jawatan Ketua Pemuda yang akan dikosongkan penyandangnya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

-- BERNAMA

Ezam ibarat ayam jantan yang gah berkokok tetapi ekornya dipenuhi najis

Ada banyak rumours diperkatakan apabila Ezam Mohamed Nor menyerahkan borang keahlian Umno seumur hidup kepada Presiden Umno yang juga Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi di Parlimen semalam.

Ezam mengatakan beliau berhasrat masuk Umno bukan kerana mengkagumi personaliti Abdullah, sebaliknya perubahan dasar yang dijalankan khususnya dalam persoalan Badan Pencegah Rasuah dan isu kehakiman, begitu menarik minatnya.

Hakikatnya pada beliau perubahan dasar yang dibuat oleh Abdullah, Kerajaan Barisan Nasional yang ditunjangi Umno begitu mendorong pendiriannya untuk berubah.

BN dan Umno sudah berubah? Benarkah begitu? Apakah pendirian yang diambil Ezam sekarang ini, sinomin dengan perjuangan beliau selama ini?

Ezam sejak dua tahun lepas adalah orang yang tidak berparti. Kisah Ezam keluar KeADILan bukan lagi menjadi isu. Dua tahun lalu beliau meletakkan jawatan sebagai Ketua Angkatan Muda atas alasan hendak menumpukan kepada Gerak.

Namun, ada yang mengatakan beliau bergaduh dengan Naib Presiden KeADILan, Mohamed Azmi Ali, ada juga yang mendakwa Ezam bergaduh dengan Dato' Seri Anwar Ibrahim.

Ketika Anwar dipecat pada tahun 1998, Ezam adalah Setiausaha Politiknya, manakala Azmin sebagai Setiausaha Sulit.

Kedua-dua anak muda ini merupakan antara tonggak utama dan orang kepercayaan Anwar untuk menggerakkan gerakan reformasi semasa Anwar merengkok dalam tahanan.

Dalam parti politik, pemimpin memang ada banyak perbezaan pendapat. Soal pergaduhan dan bagaimana bentuk pendekatan masing-masing tidak perlu dihuraikan di sini.

Kunjungan Ezam ke Harakah

Kira-kira tiga minggu sebelum Parlimen dibubarkan Februari lepas, Ezam Mohd Noor berkunjung ke pejabat Harakah, menemui Ketua Pengarang Kumpulan, Ahmad Lutfi Othman.

Jika tidak silap, hari itu hari Ahad. Hari cuti. Banyak pejabat ditutup, begitu juga dengan Harakah. Hanya dua tiga orang sahaja yang bekerja.

Kami mencadangkan perjumpaan dibuat pada hari lain, namun beliau tetap mahu berjumpa katanya, atas urusan yang amat penting.

Saya dimaklumkan oleh Ketua Pemberita, Wan Nordin Wan Yaacob tentang kehadiran Ezam bertemu dengan Lutfi, tetapi tidak dapat turut serta kerana ada tugasan di Alor Setar.

Butiran mengenai pertemuan tersebut dimaklumkan oleh Lutfi dalam mesyuarat Jabatan Pengarang selepas itu.

Dalam pertemuan tersebut saya dimaklumkan Ezam begitu beriya-iya meminta dibekalkan bahan-bahan untuk membantunya berkempen membantu pembangkang, khususnya PAS dalam Pilihan Raya Umum ke 12.

Bahan utama yang diminta beliau ialah mengenai laporan Badan Pencegah Rasuah dan sebarang dokumen mengenai penyelewengan yang membabitkan Menteri Besar Selangor ketika itu, Dato' Seri Mohd Khir Toyo.

Bahan-bahan tersebut sememangnya ada pada Lutfi, kerana sebelum ini beliau begitu giat mendedahkan apa yang disifatkan penyelewengan, salah laku dan rasuah yang membabitkan seorang bertaraf MB.

Pada saya, apa yang diminta Ezam barangkali ada relevannya dengan peranan beliau sebagai Pengerusi Gerak, yang digiat memperjuangan budaya bersih rasuah dalam negara.

Namun, sampai kesudah Lutfi enggan menyerahkan dokumen tersebut, setelah didesak beberapa kali oleh Ezam.

Saya bertanya kepada Lutfi, mengapa tidak diberikan sahaja dokumen itu kepada Ezam, barangkali boleh membantu kempen PAS di Selangor.

Namun Lutfi enggan memberikan, katanya, dia berasa hairan mengapa Ezam tiba-tiba meminta dokumen mengenai Khir dan merasakan ada sesuatu yang pelik berlaku.

Benarkah Ezam dibeli?

Sewaktu saya berbual-bual dengan rakan-rakan KeADILan di pejabat Anwar di seksyen 16 Petaling Jaya beberapa hari sebelum PRU, saya ada memaklumkan kepada mereka bahawa bekas sahabat baik mereka ada mengunjungi Harakah.

"Ah! Engkau pedulikan sahaja dia tu, dia dah kena beli dengan Khairy (Khairy Jamaluddin)," dakwa seorang bekas Setiausaha Anwar.

Belum pun saya bertanya lebih lanjut beliau mendakwa, "Kami dapat maklumat dari budak-budak Gerak, RM1 juta dah masuk dalam akaun dari Norza, budak Khairy."

Saya faham mereka mendakwa seolah-olahnya Ezam sudah memperolehi sesuatu dari Khairy, melalui Dato' Norza Zakaria, Ahli Majlis Tetinggi Umno, yang dikaitkan sebagai kroni rapat menantu PM itu.

Persoalan mengapa Ezam meminta dokumen mengenai Khir Toyo terjawab. Khairy dikatakan tidak menyukai bekas MB Selangor itu dan berusaha untuk menjatuhkannya dengan menggunakan Ezam.

Oleh kerana itu pada saya, kebimbangan Lutfi di atas gaya body language Ezam dalam pertemuan mereka barangkali juga ada asasnya.

Di kalangan KeADILan diberitahu, Ezam ada membuat beberapa kali pertemuan dengan Khairy, sebelum ini.

Kes tentang apa yang didakwa membabitkan 'perundingan' Ezam dengan pemimpin-pemimpin Umno bukannya baru.

Beberapa tahun lepas, didedahkan kes yang sama timbul sewaktu 'perundingan' diadakan dengan Dato' Seri Abdul Aziz Shamsuddin, bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar.

Kalangan yang masuk Umno ketika itu, membabitkan bekas Naib Ketua Pemudanya, Zahid Mat Arif dan bekas tahanan ISA, Lokman Nor Adam yang didakwa memperolehi sejumlah wang atau 'ghanimah politik' di atas penggadaian prinsip perjuangan mereka.

Zahid dan Lokman beserta beberapa yang lain, ditempelak hebat kerana meninggalkan perjuangan untuk memasuki Umno.

Ketika Lokman ditempelak, untuk menjawab segala tohmahan, Lokman mengatakan bukan inisiatif beliau pada asalnya pertemuan yang diadakan di sebuah hotel di Subang dibuat.

Katanya, beliau ada bukti dan gambar ada pimpinan tertinggi KeADILan yang mengetuai delegasi perundingan untuk memasuki Umno, ketika itu.

Ada yang mengatakan dakwaan mereka ada kaitannya dengan Ezam.

Jika ini benar, soal Ezam hendak masuk Umno, bukannya perkara baru. Maka Ezam tidak boleh mengelak untuk dikaitkan dengan persepsi bahawa, perundingan beliau masuk Umno barangkali membabitkan soal jawatan dan 'peruntukan'.

Soal banyak mana, apa yang diperolehi oleh Ezam dan rakan-rakan rapatnya, yang mendorong mereka memasuki Umno, tidak dapat dipastikan.

Apa yang Ezam mampu lakukan dalam Umno?

Sebelum ini, khususnya sewaktu Ezam 'bercerai' dengan KeADILan, beliau begitu rapat dengan pemimpin-pemimpin PAS, antaranya Dato' Husam Musa, Mohamad Sabu, Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub.

Ezam juga sering berjumpa dengan Tuan Guru Dato' Nik Aziz Nik Mat dan Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Ada banyak janji 'tidak akan masuk Umno' yang sering Ezam ulang-ulangkan di hadapan pemimpin PAS.

Ada banyak "Sumpah Keramat" Ezam dalam ceramah-ceramahnya yang menempelak, mengecam bekas PM Tun Dr Mahathir Mohamad, Abdullah Badawi, Najib dan banyak lagi yang masih ada dalam rekod berbentuk kaset dan VCD.

Semua rekod-rekod ini menjadi bukti bahawa Ezam sebenarnya sudah menggadaikan prinsip perjuangan yang beliau sendiri bersumpah acapkali.

Tanpa disedarinya sumpah-sumpah ini semua sedang memakan diri Ezam. Hanya masa dan waktu sahaja akan menentukan. Wallahu a'lam.

Apa pun yang berlaku, sama ada ungkapan Ezam berbentuk janji, sumpah dan sebagainya, hakikat yang dibuktikan sekarang di hati Ezam hanya ada Umno, bukan PAS, jauh sekali KeADILan.

Ezam barangkali berfikir, laluannya memasuki Umno, menerusi Khairy terus kepada Abdullah boleh menjadi suatu advantage baginya.

Semuanya belum tentu! Orang-orang Umno sedang mencongak, ada tiga kemungkinan yang boleh berlaku dengan kemasukan Ezam ke dalam parti yang hampir karam itu.

Pertama, seperti kata Dato' Seri Najib Tun Razak, 'Ezam ada banyak maklumat'. Mungkin maklumat-maklumat ini boleh digunakan untuk membelasah Anwar dan menghalang pembentukan Kerajaan Pakatan Rakyat.

Kemungkinan kedua; Tidak boleh dinafikan wujud persepsi bahawa Ezam masih agen Anwar Ibrahim. Dalam keadaan sekarang, ada kalangan ahli Umno yang bimbang, Ezam boleh digunakan Anwar untuk menambahkan kerosakan dalam Umno.

Kemungkinan ketiga; Tiada apa-apa pun perubahan yang boleh berlaku kepada Umno! Sewaktu berbondong-bondong ahli Umno diketuai bekas Presidennya, Dr Mahathir keluar Umno kerana kegagalan Abdullah Badawi, Ezam pula hendak masuk Umno atas alasan Abdullah sudah mengubah Umno dan kerajaan.

Apa yang Abdullah ubahkan pun tidak diketahui. Malah Abdullah, BN dan Umno ditolak rakyat dalam PRU Mac lepas kerana dasar-dasar yang lapuk yang tidak boleh diterima.

Malahan sebahagian besar orang-orang Umno berpendapat, parti itu hanya akan berubah hanya apabila Abdullah Badawi meletakkan jawatan.

Umno ibarat Titanic dan tongkang pecah yang sedang menanti untuk karam. Mudah-mudahan 'niat' baik Ezam dan suku sakatnya menyertai kapal, boleh menampung kerosakannya untuk terus berlayar.

Barangkali Umno/BN boleh terus berlayar, tetapi bukan sebagai kerajaan, tetapi sebagai pembangkang.

Ikutlah, mungkin juga nasib Ezam untuk terus menjadi pembangkang.

Cuma, pesanan bekas rakan-rakan seperjuangan kepada anda, jangan jadi seperti "Ayam jantan yang gah berkokok berderau-derau, tetapi ekornya bergelumang dengan najis."

Apa pun, well...good luck saudara Ezam!

Berakhirnya monarki Nepal 239 tahun

KATHMANDU 29 Mei – Bendera diraja diturunkan dari istana raja Nepal hari ini apabila negara Himalaya ini menyambut hari pertamanya sebagai sebuah republik berikutan pemansuhan monarki Hindu berusia 239 tahun.

Institusi raja yang dahulunya disanjung kini tinggal dalam lembaran sejarah selepas Dewan Perlembagaan dengan hampir sebulat suara menyokong usul untuk menghapuskan pemerintahan beraja pada pengundian malam tadi.

Pihak berkuasa berkata, bendera kebangsaan akan di naikkan sebagai pengganti bendera diraja itu.

Rakyat Nepal mengibarkan bendera parti, menari dan bernyanyi untuk meraikan kelahiran republik baru itu malam tadi.

Parti politik dan puak Mao berkata,lebih banyak sambutan dirancang hari ini. Namun cabaran besar masih menanti.

Puak Mao yang memenangi 220 daripada 601 kerusi di Dewan Perlembagaan berikutan pilihan raya bulan lepas dijangka mengetuai kerajaan baru.

Mereka bagaimanapun perlu memenuhi harapan menggunung rakyat di negara ini, antara negara paling miskin di dunia.

Beribu-ribu bekas gerila Mao masih terkurung di kem-kem mereka.

Puak Mao mahu mereka digabungkan ke dalam angkatan bersenjata negara, tetapi tentera, yang dilihat bersimpati dengan raja setakat ini, enggan menerima kemasukan gerila itu.

Semasa kempen pilihan raya, puak Mao menjanjikan tanah kepada petani miskin dan pekerjaan untuk belia menganggur.

“Puak Mao kini menghadapi cabaran besar untuk membuktikan kemampuan mereka melaksanakan demokrasi dan memenuhi mandat perubahan,” kata ketua Kumpulan Krisis Antarabangsa (ICG) bagi Nepal, Rhoderick Chalmers. – Reuters

Raja Gyanendra tinggalkan istana hari ini

KATHMANDU 29 Mei – Raja Nepal yang digulingkan, Raja Gyanendra kini sedang berkemas dan merancang untuk meninggalkan istana esok sejajar dengan tempoh dua minggu yang diberikan kerajaan untuk beliau meninggalkan istana.

“Berdasarkan sumber kami, raja kini sedang mengemas barangan peribadinya dan akan meninggalkan istana,” kata pengarang akhbar mingguan Jana Aastha, Kishore Shrestha.

“Beliau dilaporkan akan meninggalkan istana esok dan akan menuju ke kawasan memburu diraja di daerah Nagarjun atau ke sebuah lagi rumah peribadi di ibu negara,“ ujar beliau.

Gyanendra juga dilaporkan tidak akan meninggalkan negara itu dan bercadang untuk menetap terus di sini.

Parti Komunis Mao dikatakan tidak akan menghalang niat Gyanendra itu selagi beliau bersetuju untuk menjalani hidup sebagai rakyat biasa dan mematuhi undang-undang negara. – AFP

UK tarik balik iklan gambarkan Melayu pengganas

Suruhanjaya Tinggi United Kingdom di Kuala Lumpur telah bersetuju untuk menarik balik penyiaran iklan milik Kementerian Pertahanan Britain yang menggambarkan orang Melayu sebagai pengganas semalam.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Abdul Rahim Bakri berkata, penarikan balik iklan di laman web kementerian itu dibuat setelah Malaysia membuat teguran.

"Kementerian juga telah mengarahkan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di United Kingdom untuk mendapatkan penjelasan lanjut berhubung isu itu daripada pihak berkuasa UK dan mengambil tindakan sewajarnya,” katanya ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Negara, di sini, hari ini.

Penyiaran iklan kira-kira 30 saat itu yang turut disiarkan di pawagam-pawagam di Britain didedahkan seorang pembaca sebuah akhbar tempatan yang berada di United Kingdom yang menyatakan terkejut melihat iklan itu.

Iklan kepunyaan Royal Marines Commando Britain itu antara lain bertujuan menarik rakyat Britain menyertai pasukan berkenaan. Ia adalah iklan rasmi Kementerian Pertahanan Britain.

Iklan itu berlatarbelakangkan suasana seperti baru selesai ’operasi keganasan’, ketua kumpulan pengganas berkenaan berbangsa Melayu, dirakam menembak ke udara sambil menyatakan dengan jelas dalam bahasa Melayu, “Akulah orang yang paling jahat dalam dunia ini. Mari lawan aku. Aku akan bunuh semua’. - Bernama

Ezam Nor Masuk UMNO , Mahathir Kata Bagus

MT Umno mencurigai kemasukan Ezam, MT belum meluluskan

MT kena luluskan keahlian Ezam

Kemasukan bekas ketua Angkatan Muda PKR Mohamad Ezam Mohd Noor mesti mendapat kelulusan Majlis Tertinggi (MT) Umno kerana beliau "ada rekod" politik, kata naib presiden Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin hari ini.

"Kalau tak ada rekod tak apa. Ini (kes yang ada rekod) mesti dibawa ke MT," katanya, lapor Bernama.

Muhyiddin berkata Mohamad Ezam tidak boleh diterima secara automatik kerana rekod politiknya.

"MT mempunyai kuasa untuk menerima atau menolak," katanya selepas menyampaikan taklimat mengenai tata etika parti kepada pemimpin Umno Perlis di Kangar hari ini.

Menurutnya, MT perlu mempertimbangkan rekod Mohamad Ezam kerana bekas setiausaha Datuk Seri Anwar Ibrahim itu pernah meninggalkan parti, menyertai pembangkang dan kini memohon menyertai semula Umno.

www.malaysiakini.com

Kesatuan Kaum Di Tembok Bandar Mahkota Cheras

Ezam seperti bercita-cita menjadi PM

Ezam tetap tentang ISA

Bekas ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Ezam Mohd Nor berkata beliau tetap menentang Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) walaupun kini sudah menyertai semula Umno.

Bekas setiausaha politik mantan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu berkata, beliau tidak akan mempertahankan akta tersebut.

"ISA adalah undang-undang yang tidak adil dan perlu ada kajian mengenai akta itu.

"Saya akan memainkan peranan mengenai perkara itu," katanya dalam satu sidang akhbar di Petaling Jaya hari ini.

Menurut Ezam, beliau juga tidak akan mempertahankan Akta Rahsia Rasmi (OSA). Beliau pernah dipenjarakan atas kesalahan di bawah OSA.

Ezam juga berkata, Anwar kini tidak tidak relevan dan tidak penting lagi kepada dirinya.

"Hubungan saya dengan Anwar dan pemimpin-pemimpin kanan PKR sudah tiada lagi sejak saya meninggalkan parti itu tahun lalu," katanya.

Tiada tawaran

Ezam mengambil keputusan kembali semula menyertai Umno kerana tertarik dengan agenda anti rasuah dan kebebasan badan kehakiman yang diumumkan oleh perdana menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Beliau juga menolak dakwaan umum bahawa beliau menyertai Umno kerana tawaran pangkat dan jawatan tetapi merasa yakin dengan dasar perubahan yang dilakukan oleh perdana menteri.

Bekas orang kuat Anwar itu menambah "ada cubaan untuk memujuk saya kembali ke pangkuan PKR tetapi saya menolak."

"Saya tidak mahu memberi sebab lagi mengapa saya meninggalkan PKR kerana saya telah menjawabnya dua tahun lalu."

Beliau menyerahkan borang keahlian menyertai semula Umno kepada perdana menteri di bangunan parlimen semalam.

Ezam berkata, meskipun Anwar menjadi perdana menteri, beliau akan terus menentang ketua umum PKR itu.

Katanya, sama ada Anwar relevan atau tidak bukan urusan beliau lagi kerana sudah tidak penting lagi.

‘Lenyap prinsip'

Ezam juga mendakwa perjuangan PKR sudah lari dari landasan asal iaitu menjadi parti yang memperjuangkan Melayu-Islam.

"Sebaik keluar penjara, Anwar telah melenyapkan prinsip tersebut," katanya lagi.

Selama ini, tegas Ezam, kaum lain dalam PKR menghormati hak orang Melayu tetapi konsep ini telah lenyap.

Dalam sidang media itu, Ezam juga mengulas mengenai Ketuanan Melayu yang diperjuangkan oleh Umno dan Ketuanan Rakyat oleh PKR.

"Saya tidak percaya kepada Ketuanan Melayu dan hal ini telah saya nyatakan kepada perdana menteri.

"Saya juga tidak percaya dengan Ketuanan Rakyat. Prinsip Malaysia ialah Melayu-Islam yang adil dan mengiktiraf kaum lain.

"Tetapi konsep Melayu ada dan ini yang diperjuangan oleh Umno," katanya.

Ezam bagaimanapun, berkata, beliau sanggup dipergunakan untuk membela kepentingan orang Melayu dan agama Islam.

www.malaysiakini.com

'Tentera' Keadilan berjaya menembusi benteng Umno

7 bekas pemimpin AMK ikut Ezam

Tujuh orang bekas pemimpin utama Angkatan Muda Keadilan (AMK), termasuk bekas setiausaha sulit Datuk Seri Anwar Ibrahim, akan menurut jejak langkah bekas ketua AMK, Ezam Mohd Nor untuk menyertai Umno.

Mereka ialah Anuar Shaari (foto), Abdul Ghani Haron, Khairul Anuar Ramli, Ahmad Daud Che Ghani, Azwandin Hamzah, Mohd Nazmi Rosli dan S D Johari Md Yassin.

Hasrat mereka itu diumumkan oleh Ezam dalam satu sidang akhbar di Petaling Jaya pagi tadi.

Azwandin dan Abdul Ghani adalah bekas exco AMK, manakala Anuar merupakan setiausaha sulit Anwar di Kementerian Kewangan dan juga bekas ketua PKR Permatang Pauh.

Nazmi pula adalah bekas setiausaha AMK Selangor dan Johari merupakan bekas setiausaha AMK pusat.

Khairul Anuar pula adalah bekas ketua AMK Kedah dan Ahmad Daud pula bekas ketua AMK Perlis.

Anuar dan Khairul Anuar telah menyerahkan borang keahlian mereka kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di bangunan Parlimen petang ini.

Manakala yang lainnya akan menyerahkan borang keahlian masing-masing dalam masa terdekat ini.

Majlis penerangan

"Saya dapat kira-kira 1,000 sistem pesanan ringkas (SMS) dengan majoriti positif apabila saya menyertai semula Umno.

"Reaksi itu termasuk dari pemimpin PKR di negeri yang diperintah oleh parti itu sendiri," kata Ezam.

Ezam berkata, beliau akan membuat penerangan ke seluruh negara untuk memberitahu ahli PKR mengenai keputusannya menyertai semula Umno.

Bagaimanapun, katanya, beliau tidak akan memaksa mereka untuk mengikut jejaknya menyertai Umno.

"Saya membuat penerangan supaya mereka dapat membuat keputusan sendiri," katanya lagi.

Ketika ditanya sama ada beliau akan terus berada dalam Umno jika agendanya membawa perubahan di dalam Umno tidak berjaya, Ezam berkata, beliau tidak boleh meramalkan masa depan.


"Kita tidak tahu masa akan datang. Dalam politik ada keluar masuk. Tetapi saya bukan keluar Umno tetapi dipecat pada 1999 kerana mengkritik presiden parti ketika itu (Tun Dr Mahathir Mohamad)," katanya.

www.malaysiakini.com

Ahli Umno curigai niat Ezam, Ezam jambatan Anwar Masuk Umno?

Bekas - bekas ahli keadilan mula menyertai Umno

Lagi bekas SU Anwar sertai Umno

Dua lagi bekas pemimpin PKR memohon menyertai Umno, mengikut jejak bekas ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Mohamad Ezam Mohd Nor semalam.

Bekas ketua bahagian Permatang Pauh, Anuar Shaari dan bekas ketua AMK Kedah, Khairul Anuar Ramli menyerahkan borang keahlian kepada timbalan presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Razak di bangunan parlimen petang tadi.

Anuar bertugas sebagai setiausaha sulit Datuk Seri Anwar Ibrahim sewaktu beliau menteri kewangan.

Khairul Anuar pula calon bebas kerusi dewan undangan negeri Kulim, Kedah dalam pilihanraya umum 8 Mac.

Bercakap di sidang media, Najib berkata permohonan Anuar akan diserahkan kepada majlis tertinggi (MT) Umno kerana beliau pernah menjadi ahli parti.

Bagaimanapun permohonan Khairul Anuar tidak perlu kerana pemimpin pemuda tidak pernah menganggotai Umno.

"Kedua-dua mereka memohon menjadi ahli Umno seumur hidup," katanya.

Najib berkata, Anuar telah menemuinya untuk menyatakan kesediaan beliau menyertai semula Umno.

Semalam, Mohamad Ezam yang juga bekas setiausaha politik Anwar menyerahkan borang menyertai kembali Umno kepada perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Sementara itu, Anuar berkata, beliau kembali semula ke pangkuan Umno kerana percaya kepada kepimpinan BN menerajui negara dan parti.

Katanya, beliau meninggalkan PKR tahun lalu kerana hilang kepercayaan kepada kepemimpinan Anwar.

"Ramai lagi ahli dan bekas ahli PKR yang akan meninggalkan parti itu atas alasan yang sama.

"Ia bermula dengan jumlah yang kecil dan akhirnya menjadi gelombang yang besar," tambahnya lagi.

Sementara itu, Khairul Anuar pula berkata, beliau memohon menganggotai Umno kerana hilang keyakinan kepada PKR berdasarkan pengalamannya dalam parti itu sejak penubuhannya pada 1999.

Dalam AMK, Khairul Anuar pernah memegang jawatan ketua AMK Kedah antara 2003 hingga tahun lepas dan exco pusat AMK selama dua tahun hingga 2007.

www.malaysiakini.com

Pak Lah Tak Kenang Budi - Dr Mahathir


Lebih 500 orang berkumpul menyambut kepulangan Tun di perkarangan Lapangan Terbang Subang.

Mat Ezam Bukan Pengkianat - Hishamuddin Rais

Saya cukup hairan dan marah apabila ada yang menuduh Mat Ezam sebagai seorang pengkhianat. Ini bukan kerana saya hendak bodek Mat Ezam. Saya hanya cuba menerangkan hal duduk perkara. Malah saya cukup hairan kenapa akhbar tabloid Le Fou Total terperanjat gadang apabila Mat Ezam masuk menjadi anggota gerombolan United Malays National Organisation.

Sesiapa yang hairan atau terperanjat mereka adalah ahli-ahli politik poyo. Ngok tak tahu membaca politik macam le chef de fou Zainuddin Maidin.

Saya tahu siapa Mat Ezam ini. Dua tahun saya berkongsi satu sel dengan dia. Ezam bukan Mat Ezam poyo. Dia bukan pengkhianat garis perjuangan. Mat Ezam sampai hari kiamat pun tidak akan mengkhianati garis perjuangan yang menjadi akidah hidupnya.

Cuba ingat betul-betul dan ingatkan apa yang selalu di ceramahkan oleh Mat Ezam. Bukankah Mat Ezam selalu berkata - dia akan melawan penindasan dan berjuang untuk kumpulan yang tertindas. Dia akan tampil ke hadapan untuk membantu kumpulan minoriti yang tertindas. Malah dia pernah berceramah sampai terpancut-pancut suaranya hendak meniru-niru bunyi suara Kamarad Karl Marx dengan kata-kata – contre l’ oppresion de l’homme par l’homme.


Memasuki gerombolan United Malays National Organisation adalah garis politik Mat Ezam yang tepat. Gerombolan United Malays National Organisation sesudah PRU ke 12 adalah gerombolan yang sedang tertindas. Menyokong dan sama-sama sebaris berjuang dengan gerombolan minoriti yang tertindas dan sesak nafas adalah tugas dan garis politik Mat Ezam.

Ini bukan khianat namanya. Ini garis politik yang tepat. Kita semua wajib belajar dari Mat Ezam. Kita patut bangun untuk sama-sama menyokong gulungan minoriti yang tertindas. Berjuang sebaris dengan mereka yang tertindas adalah sebahagian dari iman. Yang sebahagian lagi iman kita ialah berdoa untuk dapat projek. Ini bukan cakap saya ini. Saya pungut hadis sahih ini dari Ibnu Iwana al- Kontoli dari kitab Al-Fikarabun yang sama-sama saya baca dengan Mat Ezam semasa di Kamunting.

Menyokong sesiapa yang hendak rebah adalah garis yang tepat yang telah diambil oleh Mat Ezam. Apakah masih ada warga yang tidak menyedari dan tidak percaya bahawa gerombolan United Malays National Organisation sedang tertindas? Ada sesiapa yang masih jurang jelas? Kalau masih ada yang tidak faham, maka mengikut kitab Al-Fikarabun , kumpulan yang tidak faham ini tergulung kepada pengikut mazhab sesat lagi menyesatkan.

Bayangkan - tidak lama lagi gerombolan United Malays National Organisation akan tegak berseorangan. MCA, MIC dan Gerakan sedang merancang hendak memasuki Pakatan Rakyat. Mereka semua ini telah sanggup murtad untuk mengikut Tuan Syeikh baru mereka. Rakyat Sabah dan Serawak sedang berduyun-duyun lari membuat IC baru dan bercadang untuk meninggalkan Malaysia.

Syabas Mat Ezam – saudara jujur dengan garis perjuangan membantu yang lemah dan melawan yang gagah. Saudara cukup sedar bahawa Mat Dolah sekarang adalah pemimpin yang paling lemah dalam sejarah politik tanah air. Saudaralah pembantu setianya. Tupang pembawa rebahnya.

Fakta politik sedang menunjukkan bahawa dalam gerombolan United Malays National Organisation Mat Dolah sedang dalam proses hendak disingkirkan. Kita semua tahu Mat Najib sedang menyusun baris mengepung Mat Dolah. Dalam masa yang sama Muhyiddin juga sedang berura-ura untuk menibai Mat Dolah dari belakang. Ini semua adalah bentuk-bentuk penindasan yang sedang dihadapi oleh Mat Dolah. Inilah tugas suci Mat Ezam dengan rela hati datang membantu Mat Dolah yang sedang ditindas.

Di luar gerombolan ini ada pula Mahafiraun yang tidak henti-henti menyalak dan menggigit punggung Mat Dolah. Maka di sini satu lagi peranan agung Mat Ezam. Membantu yang lemah dan menolong yang tersepit dan yang sedang di salak Mahafiraun.

Tentang Mahafiraun ini Mat Ezam cukup cemuh. Mat Ezam pernah menerangkan kepada saya – jika jumpa Mahafiraun dan jumpa Mat Dolah ketuk kepala Mukhriz dulu. Inilah kata-kata hikmat dari Mat Ezam yang sampai kiamat akan saya ingati.

Saya cukup marah apabila menerima sms yang cuba menghina Mat Ezam. Sms ini cuba menuduh Mat Ezam ini sama seperti Raja Katak. Ini tidak betul. Mat Ezam tidak melompat. Mat Ezam melutut. Ini juah bezanya. Melompat ke atas seperti katak. Melutut ke bawah seperti Mat Ezam. Jadi tolong jangan samakan Mat Ezam dengan Ibrahim Ali. Mat Ezam ada kelas.

Saya juga meminta semua fitnah dan tohmah tentang Mat Ezam di hentikan serta-merta. Cerita tentang Mat Ezam datang membantu Mat Dolah memang betul. Tetapi kini telah wujud analisa politik cekai yang berunsur fitnah tersebar. Rasa saya konco-konco Mat Najib yang bertanggungjawab menyebarkan fitnah ini. Konco-konco Mat Najib menganggap Mat Ezam datang kerana arahan bos lamanya untuk membantu Mat Dolah. Ini fitnah. Mereka kurang arif dengan tujuan suci Mat Ezam.

Saya juga di fahamkan bahawa Rafidah cukup gembira dengan kedatangan Mat Ezam. Saya dengar kenduri talkin akan diadakan di Kuala Kangsar, kawasan parlimen Rafidah untuk menyambut Mat Ezam. Dari apa yang saya difahamkan Mat Ezam telah menelefon Rafidah. Dengan manja sekali Mat Ezam telah bersedia untuk menghadiahkan sebuah kotak harta karun yang ada pada Mat Ezam. Saya dengar khabar kotak ini ada menyimpan kasut Rafidah yang patah ketika Rafidah berlari-lari untuk mencium punggung Mahathir ketika Mahathir menangis dahulu.

Satu kotak lagi akan dihadiahkan kepada Nazri Aziz. Saya dengar khabar kotak untuk Nazri ini bersisi lesen-lesen teksi. Sebuah lagi kotak untuk Noh Omar yang penuh dengan surat pajak. Lesen-lesen teksi dan surat-surat pajak ini telah dikumpulkan oleh Mat Ezam ketika dia menyamar sebagai pegawai pencegah rasuah pada satu ketika dahulu.

Saya sedar memang ramai orang tidak mengetahui bahawa ketika Mat Ezam menyamar macam Inspektor Jacques Clouseau dulu dia telah melakukan satu yang amat tragik. Biar saya nyatakan di sini satu rahsia yang begitu lama saya simpan. Menurut Mat Ezam tiga lagi kotak yang dicari-cari oleh pihak polis itu dipenuhi dengan gambar-gambar dan video rakaman Altantuya yang sedang bershopping dengan Dotty di Paris.

Dari mulut Mat Ezam sendiri saya telah di beritahu bahawa video ini telah di rakamkan oleh KGB. Bagaimana pita ini sampai ke tangan Mat Ezam saya juga kurang arif. Apa tujuan KGB memberikan pita rakaman dan gambar-gambar Altantuya di Paris wallah hu alam bisawwab - hanya Lingam sahaja yang maha mengetahui. Apa hubungan Mat Ezam dengan KGB ini saya pun tidak pasti. Tapi menurut Mat Ezam ada seorang pengendali laman web yang telah membuat salinan video ini untuk ‘safe keeping’.

Saya cukup bengang dengan Minah sepupu Mat Najib yang ingin bertanyakan tiga soalan untuk Mat Ezam. Siapa Minah ini? Apakah locus pocus Minah ini untuk menyoal Mat Ezam. Ini mesti atas arahan sepupunya. Saya yakin Mat Ezam pasti akan bertanya kembali kepada Minah ini nanti – wahai Minah, mana dia laporan kewangan Sukom yang sampai hari ini belum di audit? Pasti menggigil bra Minah ini nanti bila Mat Ezam mula menyoal. Jangan play play, ini Mat Ezam. Dia bukan Kancil dia Wira.

Saya paling menyampah melihat sikap Angkatan Muda Keadilan yang menjadikan Mat Ezam ini seperti selipar buruk. Sudah dipakai ditinggalkan. Ini betul-betul kurang hormat. Minah di Lorong Haji Taib pun kalau sudah pakai kena bayar. Angkatan Muda Keadilan telah murtad terhadap ketua mereka.

Sepatutnya Mat Ezam yang begitu gah dan berpengaruh pasti ada beratus-ratus ahli Angkatan Muda yang akan berduyun-duyun mengikut buntut Mat Ezam. Tetapi ini tidak berlaku. Angkatan Muda Keadilan telah menghina Mat Ezam sama seperti gerombolan United Malays National Organisation menghina Tun Dr. Mahathir bekas Presiden mereka yang keluar dari gerombolan. Mat Ezam terkonteng-konteng dengan empat lima Pak Pacak ketika membuat sidang akbar. Kenapa Mat Ezam seekor Wira dikulupkan. Apa punya turrr Angkatan Muda Keadilan ini.

Ada satu perkara yang amat-amat memilukan hati saya apabila Mat Ezam masuk ke dalam gerombolan United Malays National Organisation ini. Saya tertanya-tanya apakah yang akan terjadi kepada kawan baik saya si Lokman Adam yang bersama-sama di Kamunting dahulu. Lokman selalu ke hulu ke hilir berceramah dan buka cerita tentang strategi perjuangan Parti Keadilan Rakyat. Ini modal cari makan Lokman Adam.

Apabila Mat Ezam memasuki gerombolan United Malays National Organisation ke mana agaknya Lokman Adam nak cari makan kerana Mat Ezam juga akan ke hulu ke hilir dengan modal yang sama. Mat Ezam seharusnya bersimpati dengan sahabat lamanya Lokman Adam. Saya berharap mereka akan berkongsi kembali cari makan sama-sama agar sorro tidak miss.

Kelentong ke hulu kelentong ke hilir
Mat Ezam mencegah rasuah
Hujah dahulu hujah lendir
Kini Mat Ezam dah pandai rasuah.

Exco: Beras percuma untuk S'gor

Golongan miskin berpendapatan bawah RM1,500 sebulan di Selangor akan mendapat bantuan beras bagi menampung kenaikan harga makanan ruji itu, kata exco kebajikan negeri Dr A Xavier Jayakumar.

"Kita akan beli RM500,000 beras untuk diberikan kepada golongan miskin dalam negeri Selangor," katanya di sidang media bersama menteri besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim selepas mesyuarat exco negeri di Shah Alam petang ini.

"Dengan kenaikan harga-harga komoditi di Malaysia, (pemberian) ini memberi sedikit pertolongan pada penduduk Selangor (yang berada) dalam kemiskinan."

Bantuan tersebut akan disalurkan melalui wakil-wakil Pakatan Rakyat di kawasan masing-masing kecuali tempat yang dimenangi BN.

Beliau (foto, paling kiri) menambah, kawasan itu akan disalurkan melalui exco kerajaan negeri.

"Exco kita 10 orang ini telah dibahagikan (untuk menyalurkan bantuan) kepada 20 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi BN.

"Mereka (wakil rakyat BN) telah pun menggunakan (90 peratus) peruntukan untuk setahun, dihabiskan dalam masa dua bulan. Yang ini adalah tambahan yang akan digunakan oleh exco-exco tertentu," katanya.

Wakil-wakil rakyat BN dilaporkan membelanjakan lebih 90 peratus daripada peruntukan RM29.5 juta antara Januari hingga Februari sehingga ditegur oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah ketika merasmikan pembukaan persidangan penggal pertama DUN Selangor minggu lepas.

Sementera itu, mengulas peruntukan tambahan untuk kegunaan wakil rakyat selepas perbelanjaan boros BN dahulu, Khalid menjawab:

"Penggunaan Adun (ahli DUN) akan datang kita sudah bagi. Kita sudah bagi serupa macam dulu dan tiap-tiap DUN mendapat peruntukan sebanyak RM375,000," katanya.

www.malaysiakini.com

Ezam oh Ezam

Idris Jusoh letak jawatan Pengerusi Umno Terengganu

KUALA TERENGGANU: Bekas Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Idris Jusoh hari ini mengumumkan keputusannya untuk melepaskan jawatan Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri itu yang dipegangnya sejak empat tahun lepas.

Dalam satu kenyataan ringkas kepada Bernama melalui SMS, Anggota Dewan Undangan Terengganu kawasan Jertih itu, berkata perkara itu telah dimaklumkan semasa beliau mengadakan perjumpaan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang juga Presiden Umno, di ibu negara hari ini.

"Saya telah memberitahu Perdana Menteri bahawa saya setuju meletak jawatan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu dan beliau (Perdana Menteri) terima.

"Saya akan hantar surat peletakan jawatan itu esok," katanya.
Idris bagaimanapun tidak menyatakan sebabsebab beliau bersetuju untuk melepaskan jawatan itu.

Hanya empat hari lepas, Idris berkata beliau tidak akan meletak jawatan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, walaupun tindakan tersebut boleh menyebabkan kebuntuan politik di negeri itu.

Idris berkata beliau menerima hakikat bahawa Datuk Ahmad Said selaku Menteri Besar Terengganu mempunyai penyokongnya sendiri tetapi beliau juga mendapat sokongan besar ahli kerana berjaya memimpin Umno Terengganu memenangi pilihan raya umum 2004 dan 2008.

Setiausaha Badan Perhubungan Umno Terengganu Datuk Rosol Wahid ketika dihubungi, berkata beliau juga melepaskan jawatannya itu bagi mengikut jejak langkah Idris.

"Saya dilantik oleh Datuk Seri Idris dan saya merasakan bahawa saya perlu mengikut apa yang dilakukan oleh beliau. Semua ini adalah untuk memastikan Umno Terengganu lebih kukuh dan kuat," kata Rosol yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Ajil. BERNAMA

Tembok tutup jalan diroboh lagi

KAJANG - Biarpun telah tiga kali tembok dibina di persimpangan Jalan Bandar Mahkota Cheras, ia tidak kekal kerana tembok yang dibina awal pagi kelmarin dirobohkan lagi semalam.

Bermula pukul 5 petang semalam, penduduk yang tidak berpuas hati telah mengupah beberapa buah lori menarik konkrit-konkrit yang menghalang laluan tersebut.

Kerja-kerja merobohkan konkrit itu disaksikan kira-kira 3,000 penduduk dan suasana menjadi 'meriah' apabila mereka bersorak setiap kali ada konkrit yang dapat dialihkan.

Kesemua konkrit itu berjaya dialihkan pukul 7 petang dan kenderaan dilihat terus menggunakan laluan tersebut.

Polis mengawasi kerja-kerja merobohkan tembok tersebut dan hingga lewat malam tadi polis masih berkawal.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar menasihatkan Grand Saga Sdn. Bhd. supaya menghentikan usaha pembinaan semula tembok bagi mengelakkan timbul kekecohan.

Menurutnya, tindakan Grand Saga yang membina tembok sebanyak tiga kali itu dilihat tidak memberi manfaat kerana ia terus dirobohkan.

"Kena cari jalan penyelesaian dan elakkan berlaku kekecohan lagi," kata beliau.

Dalam masa sama, beliau menasihatkan mana-mana pihak supaya tidak mengambil kesempatan bagi mengeruhkan keadaan seperti yang berlaku kelmarin.

Kelmarin, sekumpulan lelaki bersenjatakan tukul besi, kayu dan topi keledar tiba-tiba menyerang kumpulan penduduk yang berhimpun di kawasan tersebut.

Kejadian itu menyebabkan beberapa penduduk cedera termasuk seorang jurugambar Kosmo!

Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, pembukaan jalan masuk ke kawasan perumahan tersebut perlu mengikut beberapa prosedur termasuk mendapatkan keizinan Kementerian Kerja Raya.

Beliau berkata, kerajaan negeri perlu mendapatkan kebenaran kementerian berkenaan kerana kuasa kerajaan negeri terbatas disebabkan persempadanan lebuh raya itu turut membabitkan sebahagian jalan masuk yang terletak di bawah kuasa Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

www.kosmo.com.my

Ezam beri sebab sertai semula UMNO

KUALA LUMPUR - Pentadbiran kerajaan yang sejak akhir-akhir ini banyak melakukan perubahan merupakan faktor pendorong kepada bekas Ketua Angkatan Pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamad Ezam Mohd. Nor (gambar) menyertai semula UMNO.

Malah, beliau semalam menyifatkan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang giat memerangi rasuah cukup dekat dengan hatinya.

Katanya lagi, dalam pertemuan dengan Perdana Menteri semalam, Abdullah telah memberi reaksi yang positif kepadanya mengenai hasrat beliau untuk menyertai UMNO.

"Itu yang menjadi perangsang utama kepada saya untuk masuk semula UMNO kerana bagi saya ada ruang untuk bersama kepimpinan kerajaan dan parti untuk melakukan perubahan ke arah kebaikan," katanya.

Ditanya tentang kepimpinan Abdullah, Ezam memberitahu, Perdana Menteri telah melakukan banyak perubahan terutama kepada badan kehakiman dan segala perubahan itu katanya adalah signifikan dengan pentadbiran kerajaan kini.

"Kita mungkin tidak pernah mengimpikan perkara ini berlaku dalam pentadbiran kerajaan 10 atau 20 tahun dahulu, tapi hari ini yang pasti dasar ini telah dimulakan," katanya.

Sementara itu, Abdullah menerima penyertaan semula Ezam ke dalam UMNO sambil menyatakan ia telah memberi semangat baru serta kekuatan kepada parti tersebut.

"Kemasukan Ezam, tak ada syarat apa-apa. Boleh terima dah. Tak ada keistimewaan apa-apa. Dia pun tak minta jawatan apa-apa. Dia hanya mahu berkhidmat dan berjuang dalam parti," kata Perdana Menteri di pejabatnya di bangunan Parlimen semalam.

www.kosmo.com.my

28 May 2008

Ezam masuk Umno, apakah agaknya komen Tuan Guru Nik Aziz

Kemasukan Ezam dalam Umno tanpa syarat, keistimewaan: PM

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini menerima bekas Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mohamad Ezam Mohd Nor kembali ke dalam Umno.

"Kemasukan Ezam, tak ada syarat apa-apa. Boleh terima dah. Tak ada keistimewaan apa-apa. Dia pun tak minta jawatan apa-apa. Dia hanya mahu berkhidmat dan berjuang dalam parti,” kata Perdana Menteri kepada pemberita selepas Ezam menemui beliau di pejabatnya di bangunan Parlimen di sini.

Abdullah, yang juga Presiden Umno, berkata Majlis Tertinggi Umno tidak membantah kemasukan semula Ezam ke dalam Umno.

Ditanya sama ada langkah Ezam itu memberi satu semangat baru kepada Umno beliau berkata kemasukan orang menyertai Umno tentulah membantu kepada kekuatan Umno.

"Kalau tidak, buat apa nak masuk Umno. Tentulah ada niat untuk berjuang sama-sama dalam Umno.

"Umno adalah parti politik bukan sebuah syarikat. Kalau syarikat, nak (cari) untung,” katanya.

Ditanya sama ada sumbangan daripada Ezam mungkin berbeza berbanding jika anggota biasa menyertai Umno kerana sebelum ini beliau memegang jawatan kanan dalam PKR, Abdullah berkata: “Oh gitu ka? Kita tengoklah nanti apa akan berlaku.” - Bernama

Tonight in Cheras ...


Scuffles and injuries, marked a night of chaos and anger in the BMC saga ... Malaysiakini

Samseng diguna belasah penduduk hingga parah

KAJANG: Beberapa orang awam serta petugas media cedera selepas diserang sekumpulan lelaki bersenjata dalam satu kejadian di persimpangan Bandar Mahkota Cheras, dekat sini, malam tadi.

Difahamkan, kekecohan timbul apabila penduduk di kawasan itu berang berikutan tindakan sebuah syarikat konsesi lebuh raya menutup jalan yang didakwa menjadi laluan masuk ke kawasan perumahan mereka.

Perjuangan penduduk untuk terus menggunakan laluan itu berkecai apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, baru-baru ini, menolak permohonan injunksi dikemukakan penduduk bagi menghalang syarikat konsesi berkenaan membina penghadang itu.

Berikutan itu, malam tadi, ratusan penduduk berhimpun untuk merobohkan penghadang konkrit yang dibina syarikat terbabit sejak awal pagi kelmarin.

Dalam kejadian jam 7 malam itu, penduduk yang berkumpul mula meluru ke kawasan pembinaan dan merobohkan penghadang berkenaan.


Perhimpunan yang pada awalnya kelihatan aman, bagaimanapun bertukar ganas apabila sekumpulan 15 hingga 20 lelaki secara tiba-tiba datang mengamuk dan memberi amaran kepada penduduk supaya beredar.

Kerana terlalu marah, kumpulan berkenaan yang bersenjatakan besi, kayu serta topi keledar terus menyerang dan membelasah beberapa penduduk secara bertubi-tubi.

Tidak cukup dengan itu, mereka turut bertindak kejam tanpa menghiraukan golongan wanita dan kanak-kanak yang berada di lokasi kejadian.

Selain itu, beberapa kenderaan penduduk yang diletakkan di situ turut dirosakkan termasuk cermin kereta dipecahkan.

Mangsa, Lee Ah Seng, 48, berkata dia yang pada awalnya cuba menjadi orang tengah menyelesaikan pertelingkahan itu terkejut apabila beberapa lelaki bertindak memukul kepala dan tangannya menggunakan kayu.

Difahamkan, kejadian itu turut menyebabkan seorang penduduk cedera parah di kepala.

Penutupan jalan itu bermakna penduduk terpaksa menggunakan laluan lebih jauh untuk pulang ke kawasan perumahan selain terpaksa membayar tol.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar, ketika dihubungi malam tadi berkata: “Saya dimaklumkan ada empat kereta peronda polis berhampiran lokasi kejadian dan saya sudah mengarahkan Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Sakarudin Che Mood memberikan perhatian serius terutama mengenal pasti punca dan individu yang terbabit dalam insiden itu.”

www.hmetro.com.my

Sudah tidak peduli halal atau haram

AMPANG: Seorang suri rumah tidak menyangka deraian air mata dan tangisan seorang wanita bertudung yang mendakwa amat memerlukan wang untuk membayar kos perubatan kakaknya di hospital hanya sandiwara licik bagi melarikan barang kemasnya selepas menjaja sekeping tiket empat nombor ekor sebagai cagaran.

Suspek berusia 20-an berpura-pura menawarkan tiket pertaruhan empat nombor ekor yang memenangi hadiah pertama bernilai RM100,000 jika mangsa sudi meminjamkan gelang emas dan wang tunai bagi menjelaskan kos rawatan berkenaan.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Lin, 35, berkata dia tidak menyangka menjadi mangsa penipuan wanita terbabit yang turut berpakat dengan seorang lagi wanita bertudung di sebuah pusat beli-belah di Taman Muda Ampang di sini.

Menurutnya, dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, dia ke pusat beli-belah berkenaan untuk membeli hadiah dipesan anaknya untuk diberi kepada cikgu sempena sambutan Hari Guru.

“Ketika berjalan dalam pusat beli-belah itu, seorang wanita menghampiri saya sebelum memberitahu dia mempunyai sekeping tiket nombor ekor yang memenangi hadiah utama bernilai melebihi RM100,000.

“Bagaimanapun, wanita terbabit memberitahu dia tidak mempunyai MyKad sekali gus menyukarkannya menuntut hadiah itu,” katanya.

Lin berkata, penipu terbabit kemudian meminta bantuan untuk menuntut hadiah berkenaan dan beberapa kali merayu walaupun dia cuba menolak permintaan itu kerana tidak tahu apa-apa mengenai pertaruhan empat nombor ekor.

“Pada masa sama muncul seorang lagi wanita memakai tudung berusia sekitar 30-an yang berpura-pura mahu membantu penipu terbabit.

“Saya yang mahu beredar dari situ, ditarik wanita berpakaian seperti kakitangan pejabat itu yang mengajak saya sama-sama membantu perempuan terbabit,” katanya.

Lin berkata, wanita kedua itu berjanji akan memberikan komisen RM1,000 kepadanya jika bersetuju mengikut mereka ke premis menjual nombor ramalan berhampiran.

“Ketika berjalan beriringan keluar dari pusat beli-belah itu, wanita kedua terbabit sempat membeli senaskhah akhbar dari kedai berhampiran sebelum menyelak ruangan keputusan nombor ekor.

“Dia menunjukkan persamaan nombor ramalan pada tiket dimiliki wanita itu dengan keputusan cabutan yang terpampang keputusan cabutan bagi meyakinkan saya dakwaan hadiah wang tunai itu benar,” katanya.

Menurutnya, dia kemudian diajak kedua-dua wanita terbabit menaiki Proton Iswara berwarna coklat kononnya untuk ke kedai menjual nombor ekor berhampiran.

“Ketika berada dalam kereta, wanita pertama itu menangis teresak-esak sambil memberitahu kakaknya kini terlantar sakit di hospital dan memerlukan wang bagi membayar kos rawatan.

“Dia menangis sambil merayu supaya saya dan seorang lagi wanita meminjamkannya wang bagi membolehkan kakaknya menjalani pembedahan segera,” katanya.

Lin berkata, wanita yang memandu kereta itu kemudian berpura-pura simpati dan menyerahkan wang tunai RM1,000 dan gelang tangan emas kepada gadis terbabit.

“Pada masa sama wanita itu memujuk saya turut sama membantu perempuan terbabit yang didakwa amat memerlukan bantuan. Wanita itu mendesak saya dengan kata-kata simpati manakala perempuan terbabit tidak berhenti-henti menangis tersedu-sedu sehingga menyebabkan saya serba salah.

“Mungkin akibat didesak berulang kali, saya bersetuju menyerahkan gelang emas dipakai berharga hampir RM1,000 kepada perempuan terbabit. Namun, perempuan itu mendakwa jumlah wang dan barang kemas diperoleh belum mencukupi dan meminta saya menyerahkan pula wang dibawa,” katanya.

Menurutnya, dia bersetuju menyerahkan wang simpanannya RM500 dan meminta wanita terbabit membawanya ke mesin juruwang automatik (ATM) di sebuah bank di Taman Muda.

“Sebaik tiba di hadapan bank berkenaan, perempuan terbabit menemani saya masuk ke bank sebelum wang pemberian suami saya itu diserahkan kepadanya.

“Pada masa sama, wanita yang berada dalam kereta itu memberikan tiket cabutan empat nombor ekor itu kepada saya dengan mengatakan ia sebagai cagaran hutang diberikan itu,” katanya.

Menurutnya, wanita itu mendakwa hadiah wang tunai yang bakal diterima melalui tiket empat nombor ekor itu ratusan kali ganda lebih menguntungkan daripada wang RM500 dan gelang emas yang diberikan kepada gadis terbabit.

“Saya yang percayakan pujukan wanita itu kemudian pulang ke rumah dengan membawa tiket cabutan empat nombor ekor berkenaan. Saya hanya menyedari ditipu apabila suami memberitahu apa yang berlaku ke atas saya adalah penipuan licik dua wanita yang pernah dilaporkan polis menerusi media sebelum ini.

“Malah, tiket cabutan nombor empat ekor terbabit palsu dan diubah suai untuk menipu saya,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Ampang.

www.hmetro.com.my

Peguam Negara lebih minat Batu Buruk daripada P. Batu Puteh

Apa yang disebutkan oleh Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu bahawa Peguam Negara (AG) lebih berminat kepada Batu Buruk berbanding Pulau Batu Puteh, mungkin terdapat kebenarannya.

Pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Badruzzaman Yusof berkata ia mempunyai cerminan kepada kesungguhan AG dalam memperjuangkan hak negara untuk mendapatkan hak milik Pulau Batu Puteh itu daripada negara Singapura.

"Berbanding Singapura, negara kita kelihatan kurang bersungguh jika dinilai daripada kehadiran pihak AG Malaysia yang tidak konsisten, kekadang ada, kekadang tidak semasa perbicaraan tersebut di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (CIJ)," katanya ketika dihubungi Harakah.

Jelasnya, hal ini menonjolkan kepentingan diri dan politik tertentu pihak AG yang ternyata lebih cepat menangani isu-isu dalam negara lantas tidak mengendahkan isu-isu antarabangsa.

"Umno-BN tidak mengutamakan usaha untuk mempertahankan kedaulatan negara sekali gus memperlihatkan kegagalan pihak kerajaan Umno-BN dalam menilai kepentingan negara dan politik parti mereka," ujarnya.

Katanya, antara punca kegagalan tersebut adalah sikap kerajaan yang tidak mahu mengiktiraf pakar-pakar tempatan dalam bidang hubungan antarabangsa.

"Buktinya terdapat sesetengah profesional yang terpaksa berusaha sendiri dalam memperjuangkan agenda negara tanpa perhatian sewajarnya daripada kerajaan ketika menghadiri program dan urusan yang mewakili kepentingan negara," katanya lagi.

Menghuraikan mengenai penghakiman kes Pulau Batu Puteh, Dr Kamaruzzaman menyatakan bahawa Singapura telah menggunakan surat yang dihantar oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Johor pada tahun 1953 yang menyatakan Pulau Batu Puteh sebagai bukan sebahagian daripada Johor.

"Walau bagaimanapun, keputusan yang dibuat pihak CIJ sedikit sebanyak memberikan kelebihan kepada Malaysia apabila dua lagi pulau terumbu karang yang mengarah kepada Pulau Batu Puteh diserahkan kepada Malaysia.

"Kebaikannya adalah pihak Singapura terpaksa melalui kedua-dua pulau tersebut sekiranya mereka ingin pergi ke Pulau Batu Puteh kerana kedudukannya yang terkepung, inilah keuntungannya," demikian katanya.

www.harakahdaily.net

Badrul Hisham Nafi Sertai Umno

Badrul nafi hasrat sertai Umno, seru kerja keras demi realisasikan agenda rakyat

KUALA LUMPUR, 28 Mei, (SK) - Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) KeADILan, Badrul Hisham Shaharin menafikan mempunyai hasrat untuk menyertai Umno dan menolak untuk dikaitan dengan kemasukan Pengerusi Gerak, Ezam Mohd Nor ke dalam Umno.

Mengenai laporan media yang melaporkan pertemuan dengan Ezam, Badrul berkata beliau memang kerap bertemu dengan Ezam walau bagaimanapun kebanyakan pertemuan hanyalah membincangkan secara serius mengenai masa depan Gerak, iaitu sebuah gerakan muda yang memfokuskan usaha pembenterasan rasuah dan pemerkasaan demokrasi.

“Gerak telah diserahkan kepada sekumpulan anak muda untuk mengekalkan sikap non partisan demi matlamat kelahiranya yang lebih besar,” katanya dalam kenyataan medianya.

Katanya lagi, sebelum ini beliau telah mengelak untuk memberikan komen kerana melihat perkembangan Ezam yang sememangnya sudah setahun lebih keluar parti tidak perlu diperbesarkan.

“Saya tidak mahu terperangkap untuk memberi komen dalam peristiwa yang kurang penting. Saya selaku MPT yang di pilih melalui pertandingan parti tidak akan sekali kali mengkhianati mandat yang diberikan kepada saya oleh perwakilan parti,” katanya.

Badrul juga percaya bahawa ahli-ahli MPT yang lain secara serius dan bersungguh-sungguh mempersiapkan KeADILan dan Pakatan yang berada di peringkat akhir untuk mengambil alih kerajaan pusat.

“Saya menyeru seluruh pimpinan, ahli parti dan aktivis reformasi terus bekerja keras demi merialisasikan agenda pemerkasaan kedaulatan rakyat” katanya lagi.

Sambil menyatakan bahawa Ezam masih lagi teman kepada beliau, beliau turut menasihati agar Ezam tidak ‘hayut’ dalam Umno serta menafikan beliau telah dipujuk untuk menyertai Umno.

“Saya juga menafikan bahawa Ezam ada memujuk saya memasuki Umno dan jauh lagi menawarkan habuan untuk saya memasuki Umno atau keluar keADILan,” menurutnya lagi.

www.suarakeadilan.com

Wajah sebenar Ezam

Ezam telah bertemu dengan Abdullah selama 45 minit di bangunan parlimen sebentar tadi. Menurut Abdullah yang juga presiden Umno, Ezam diterima semula kepangkuan Umno tanpa sebarang syarat. Abdullah memberitahu media dengan kembalinya Ezam ke pangkuan Umno akan menambah lagi kekuatan parti Melayu itu. Seramai 54 wartawan dalam dan luar negara membuat liputan di bangunan parlimen sebentar tadi. Menurut sumber KLpos.com juga mengatakan Ezam akan ditemubual secara langsung oleh TV3 malam ini untuk memberi penjelasan mengenai perkara tersebut.

2.45pm: Ezam disambut Ketua Pemuda Umno Datuk Seri Hishamuddin di Parlimen. Turut kelihatan ialah Datuk Azim Zabidi, Datuk Rezal Merican dan Datuk Alwi.

2.25pm: Pengerusi GERAK Mohamad Ezam Mohd Nor dilihat memasuki pagar Parlimen diiringi oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wan Farid. Ezam dijangka menemui Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi jam 3.00 petang ini. Pertemuan dijangka untuk mengumumkan penyertaan kembali Ezam kedalam Umno.

www.klpos.com

Pejuang atau Pengkianat

Ezam serah borang keahlian sertai UMNO

KUALA LUMPUR 28 Mei - Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan, Ezam Mohd. Noor menyerahkan borang keahlian menyertai UMNO kepada Presiden, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Penyerahan borang itu disampaikan sendiri oleh Ezam kepada Abdullah yang juga Perdana Menteri di bangunan Parlimen, hari ini. - Utusan

Idris Jusoh letak jawatan Pengerusi UMNO Negeri

KUALA TERENGGANU 28 Mei _ Bekas Menteri Besar Datuk Seri Idris Jusoh meletak jawatan sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri bagi mengukuhkan kekuatan UMNO di negeri ini.- Utusan

Grand Saga, Penduduk bergaduh dengan samseng

Pergaduhan di BMC: Reaksi Grand Saga

Grand Saga, syarikat konsesi lebuhraya yang mengendalikan Plaza Tol Batu 11 Lebuhraya Cheras-Kajang berkata, pihaknya tidak ada sebarang kaitan dengan pergaduhan yang berlaku di Bandar Mahkota Cheras (BMC) malam tadi.

Pengarah eksekutifnya Zainal Abidin Ali berkata, pihaknya menerima laporan daripada kontraktornya bahawa beberapa pekerjanya juga turut mengalami kecederaan ketika menjalankan tugas mereka di situ.

"Satu laporan polis telah dibuat berhubung perkara tersebut," katanya hari ini.

Sebelum itu, pekerja Grand Saga membina semula benteng konkrit, yang terus-menerus menimbulkan kontroversi, di jalan akses bebas tol di lebuhraya tersebut.

Mereka memulakan kerja tersebut pada kira-kira jam 1 pagi semalam dan mengambil masa kira-kira 14 jam untuk menyiapkannya.

Bagaimanapun, keadaan menjadi tegang apabila penduduk BMC - yang cuba meruntuhkan benteng tersebut - bergelut dengan sekumpulan lelaki yang dipercayai ditugaskan untuk mengawal benteng tersebut.

Menurut penduduk, sekurang-kurangnya 12 orang cedera selepas dibelasah oleh kira-kira 30 lelaki yang dipercayai "samseng".

Dalam kenyataannya, Zainal Abibin berkata, Grand Saga menolak sebarang bentuk keganasan.

Laporan polis

"Grand Saga juga ingin menyampaikan rasa simpatinya terhadap beberapa individu yang mengalami kecederaan dalam kejadian malang tersebut," katanya.

Zainal berkata, Grand Saga difahamkan bahawa kejadian itu berpunca daripada hasutan oleh beberapa pihak.

Beliau berkata, pihaknya akan membuat laporan polis dan berharap pihak berkuasa menjalankan siastan segera terhadap kejadian tersebut.

Pertikaian berhubung pembinaan benteng di jalan tersebut yang membolehkan penggunanya mengelak bayaran tol, berlarutan sejak tiga tahun lalu tetapi ia sampai ke kemuncaknya pada 21 April lalu apabila penduduk di situ - dengan sokongan beberapa ahli exco kerajaan negeri Pakatan Rakyat - bertindak memusnahkan benteng yang dibina pada 2005.

Grand Saga kemudiannya membina semula benteng di situ, tetapi penduduknya bertindak memusnahkannya semula.

Bagaimanapun, percubaan Grand Saga untuk membina benteng konkrit setinggi tiga kaki - bagi kali ketiga - pada malam 8 Mei lalu terganggu, apabila polis melepaskan tembakan gas pemedih mata untuk menyuraikan penduduk yang berhimpun di situ.

Empat hari kemudiannya, penduduk gagal mendapatkan perintah dari Mahkamah Tinggi untuk menghalang syarikat konsesi lebuhraya itu mendirikan semula benteng konkrit di jalan tersebut.

Selepas mahkamah membuat keputusan yang memihak kepada Grand Saga, Zainal Abidin mengeluarkan notis kelmarin bahawa benteng konkrit akan dibina semula di situ dan berharap orang ramai tidak
mengengkari penghakiman mahkamah.

Syarikat konsesi lebuhraya itu telah membina benteng di jalan akses tersebut tiga tahun lalu dan tindakan itu dibantah oleh penduduk di situ yang menggunakan laluan tersebut tanpa perlu membayar tol di Plaza Batu 11, Cheras.

Ekoran pembinaan benteng tersebut, penduduk terpaksa memandu sejauh enam kilometer dan membayar tol 90 sen kepada Grand Saga.

www.malaysiakini.com

Ezam temui PM 3.00 petang ini

Umno: Ezam temui PM petang ini

Bekas ketua Angkatan Muda (AMK) PKR) Ezam Mohd Noor akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi petang ini.

Pertemuan tersebut dipercayai berhubung soal kemasukan semula bekas orang kuat Datuk Seri Anwar Ibrahim itu ke dalam Umno.

Difahamkan beliau akan menemui Abdullah jam 3 petang ini.

Difahamkan, pertemuan tersebut dijangka diadakan di Parlimen.

Sejak dua minggu lalu, timbul desus-desas yang mengadakan Ezam akan menyertai semula Umno.

Bagaimanapun, sehingga ini, Ezam belum mengesahkan perkara itu.

Ezam dijadual mengadakan sidang esok dipercayai berhubung hasil pertemuan dengan perdana menteri hari ini.

www.malaysiakini.com

Album pertama Mufti Perlis bakal muncul!

INDUSTRI hiburan akan diwarnai dengan sebuah album unik yang akan berada di pasaran tidak lama lagi hasil nukilan pena dan lirik-lirik puitis Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Ketika ditemui di Dewan Bahasa dan Pustaka di majlis 'Baca Puisi Kuala Lumpur' (BPKL) 2008 yang bertajuk 'Didaktisme & Kebenaran' minggu lepas, tokoh
Dr Asri ketika menyampaikan puisinya di majlis 'Baca Pusi Kuala Lumpur' di Dewan Bahasa dan Pustaka baru-baru ini

agama yang sering melontarkan pemikiran positif dan bernas tentang isu semasa berkata, "langkah ini diambil sebagai pembuka jalan atau perintis ruang yang lebih untuk berdakwah."

Penulisan lirik puisi berkisar agama dan kemanusiaan adalah satu cara berdakwah juga, kata Mufti muda itu lagi.

"Sebenarnya saya sudah lama berjinak di dalam penulisan puisi. Puisi-puisi ini akan diberi melodi oleh komposer Nasir dan disampaikan oleh penyanyi Aishah.

Tengoklah kalau semuanya berjalan lancar, album yang mengandungi lapan puisi ini akan diterbitkan dalam masa terdekat," jelas Dr Asri yang menyampaikan dua buah puisi dari koleksinya petang itu - Yang Benar Tetap Benar dan Aku Rela.

Turut sama hadir pada acara majlis BPKL itu adalah Prof Rahman Shaari yang bertindak sebagai hos, A.Rahman Amiruddin @ Farouk, Setiausaha Politik Menteri Pelancongan, Datuk Abdul Rahim Abu; Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Datuk Salleh Yusup; Timbalan Ketua Pengarah DBP, Kamarul Zaman Shaharudin dan Ketua 1 Persatuan Penulis Kuala Lumpur (Kalam), Mohamad Daud Mohamad.

Selain Aishah, penyanyi lain yang telah dikenal pasti ialah Nash Lefthanded, Dayangku Intan dan kumpulan Damascus. Album ini akan memperkenalkan 'Dr Maza & The Algebra.'

"Kami memilih nama Algebra kerana ia dikenali oleh semua kaum. Diharapkan album ini juga akan dapat diterima ramai," jelasnya lagi.

Menurut Mufti yang berusia 36 tahun itu, dakwah mempunyai banyak cabang dan kita tidak seharusnya menyempitkan ruang dakwah itu. Album seperti yang akan diusahakan nanti merupakan salah satu usaha memperluaskan ruang dakwah kerana penyampaian mesej yang berteraskan agama dan kemanusiaan.

Dr Asri berkata, album itu akan diterbitkan bersama oleh komposer Xifu Abdul Naser Abdul Rahman bersama komposer/penggubah lagu Dakmie. Kesemua lapan buah lirik puisi itu telahpun siap dan separuh darinya telahpun diberi melodi.

Antara puisi-puisi itu ialah Aku Rela, Yang Benar Tetap Benar, Biarlah Aku Di Daerah Ini, Derita Bonda Yang Sepi, Islam Di China dan Aku Bukan Musuh Harta.

“Selain dari Aishah, beberapa penyanyi lain akan dipilih oleh pencipta lagu. Konsep album itu tidak semestinya berbentuk nasyid kerana yang penting adalah mesej yang hendak disampaikan," kata Dr Asri yang juga lebih dikenali sebagai Dr MAZA.

Katanya lagi, usaha menerbitkan album ini juga adalah sebagai satu langkah beliau untuk menyediakan hiburan alternatif kepada ornag ramai.

“Selama ini orang selalu cakap saya hanya pandai mengkritik artis saja. Peluang ini sebagai mendekatkan diri dan memberi pilihan alternatif hiburan yang baik," katanya lagi.

Prof Rahman Shaari bertindak sebagai hos majlis

Selain pembikinan album, Dr Asri juga sudah mendapat tawaran untuk membuat skrip agama bagi filem dan drama. Namun sehingga kini, beliau masih mempertimbangkan samada ingin menceburkan diri ke arah itu.

Malah, khabarnya sudah ada dua tiga produser filem yang membuat tawaran pada beliau.

"Saya mungkin bergiat dalam filem juga. Mungkin dalam penulisan atau penyeliaan skrip. Saya tidak mahu orang bercakap Mufti hanya pandai bercakap dan membuat larangan tetapi tidak menunjukkan alternatif yang baik sebagai galakan,” kata Dr Asri lagi.

Dr Asri sering mendapat liputan media. Yang terbaru ketika beliau mengajukan surat bantahan kepada Pejabat Menteri Besar Perlis, menghalang penyanyi Faizal Tahir dari membuat persembahan dalam Jom Heboh 2008.

Ketika ditanya samada beliau sanggup memberi peluang kedua pada Faizal di Perlis.

"Saya tak ada masalah kalau dia nak buat persembahan di negeri lain. Tapi di Perlis, dia kena berubahlah....Masalahnya dia hendak berubah tak?," jelas Dr Asri.

Dr Asri yang terkenal dengan sikap liberalnya tentang banyak perkara, walau bagaimanapun tidak dapat 'menerima' aksi Faizal yang disifatkan sebagai 'childish' dan kebudak-budakkan itu.

"Saya tidak menghukum dia pasal persembahannya yang membuka baju tu. Itu cerita lama. Ini yang aksi menjerit-jerit, tunjuk tangan dan buka mulut cara macam tu. Itu tidak manis. Semua itu boleh mendatangkan pengaruh buruk," katanya lagi.

Bagaimana pula dengan baju Superman yang sinonim dengan imej Faizal Tahir, sementelah pula Faizal adalah jurucakap pada jenama tersebut?

"Biarlah...dah dia suka cara macam tu. Nak buat macam mana..." kata Mufti Perlis ketika mengakhiri bicara petang itu.

Mungkinkah Dr Asri akan memberi peluang untuk Faizal Tahir menyanyikan satu lagu di dalam albumnya nanti?

"Tengoklah....," kata Dr Asri.

www.mstar.com.my

PM digesa kaji semula perlantikan Zaid Ibrahim

Kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dato' Zaid Ibrahim yang mahu Umno dan Barisan Nasional (BN) mengenakan tindakan kepada ahli parlimen Umno yang mengkritik dasar kerajaan dan kepimpinan Dato; Seri Abdullah Ahmad Badawi dikecam hebat di Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen Dato' Tajuddin Abdul Rahman (BN-Pasir Salak) sewaktu membahaskan peruntukan tambahan dalam belanjawan menyatakan rasa kesal dengan kenyataan Zaid yang tidak mahu menerima sebarang pandangan dan membuat tuduhan tanpa usul periksa.

Tugas ahli parlimen kata Tajuddin ialah memberi pandangan, menegur dan berbahas pelbagai isu malah bukan sahaja ahli parlimen pembangkang yang hanya mengkritik kerajaan malah 'backbenchers' juga boleh melakukan tindakan yang sama.

Tajuddin merujuk kepada laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris bahawa Zaid seolah-olah mendakwa beliau dan Dato' Mukhriz Mahathir (BN-Jerlun) mengkritik kerajaan dan mencadangkan supaya Umno dan BN mengambil tindakan ke atas mereka.

"Saya mahu nafikan bahawa ucapan yang dibuat itu menghina Perdana Menteri atau mengkritik dasar kerajaan. Saya tidak bersetuju dengannya dan saya harap dia bertanggungjawab.

"Tetapi jika begini sikapnya, saya gesa Perdana Mneteru kaji semula perlantikannnya," katanya yang disambut sorakan ahli parlimen pembangkang.

Tajuddin kemudiannya turut mempertikaikan kesetiaan Zaid kepada Umno dan BN berbanding jangkamasa beliau yanh sudah lama menjadi ahli.

"Saya sudah bersama Umno 36 tahun. Saya sentiasa memepertahankan Perdana Menteri tetapi menteri ini, berapa lama dia ada dalam BN dan Umno. Saya tahu dia tidak ada di kawasan dia sewaktu pilihanraya malah pergi bercuti ke luar negara," katanya.

www.harakahdaily.net

Pentingkah isu Mahathir-Ezam terhadap negara

"'UMNO bukan tempat untuk orang yang ikhlas berjuang' teringat saya akan kata-kata yang pernah dilontarkan oleh Ezam pandangannya terhadap UMNO pada satu ketika.
Kini sudah heboh desas-desus mengatakan bahawa Ezam akan menyertai parti yang pernah menyusahkannya dulu.

Apapun Ezam masih belum membuat keputusan terhadap dakwaan beliau akan menyertai UMNO.E zam adalah bekas pemimpin agnkatan muda Keadilan dan antara orang yang berperanan besar dalam mengasaskan parti Keadilan.
Akibat pergeseran beliau dengan Azmin akhirnya membuat keputusan untuk meninggalkan parti.

Beliau seterusnya memberi tumpuan terhadap NGO yang ditubuhkan iaitu GERAK yang begitu serius dalam membasmi dan mendedahkan rasuah dalam kerajaan.
Setelah bergiat cergas dalam NGO nama beliau dalam arena politik terus senyap .Menjelang pilihan raya pun nama beliau tidak timbul-timbul.
Mungkin merasakan peranannya semakin terpencil dalam politik akhirnya pada pertengahan Mei cerita mengenai beliau akan menyertai UMNO terus gembar.berbagai-bagai pandangan pro dan kontra dari pihak kerajaan dan pembangkang mengenai akan ke kembali ke pangkuan UMNO.

Ezam bekas setiausaha politik Anwar serta pengikut setia Dato Seri Anwar yang meninggalkan UMNO akibat krisis 1998 berikuatan pemecatan Anwar.
Beliau juga pernah ditahan dibawah akta OSA.
Beliau boleh dianggap pemimpin muda yang berani dan berwibawa dalam perjuangan.Beliau antara suara yang lantang dalam mengkritik dasar-dasar kerajaan dan berkenaan isu-isu rasuah.

Apabila Tun Dr Mahathir membuat kejutan meningglkan UMNO kerana keenganan Pak Lah meletak jawatan sebagai bertanggungjswab atas kekalahan teruk kerajaan BN.
Dalam masa yang sama heboh pula tentang berita kemasukan Ezam dalam UMNO.
Berita kontoversi mengenai Ezam mendapat liputan yang hebat walaupun Ezam masih berada di luar negara.

Sehingga kini beliau masih belum membuat sebarang keputusan dan kenyataan.
Semacam kebetulan atau sebaliknya mengenai berita kontroversi dua individu ini.
Apakah tujuan dan matlamat kedua-dua mereka ini inginkan sebenarnya Waullahualam. Hakikatnya inilah ditakrifkan politik yang sentiasa berubah-ubah keadaannya.

Politik orang Melayu ini sentiasa menarik perhatian umum walaupun ia lebih banyak merugikan daripada mendatangkan keuntungan.Apapun dalam politik ada dua golongan iaitu golongan yang betul-betul ikhlas berjuang demi kepentingan agama dan bangsa dan satu lagi golongan berjuang hanya semata-mata kerana kepentingan peribadi dan ahli keluarga.

Mengenai kedua-dua individu ini apa yang perlu difikirkan ialah masa depan dan hala tuju negara.
Pilihan raya baru sahaja selesai maka kembalilah kepada tugas masing-masing yang bergelar pemimpin dan menjalankan tanggungungjawab terhadap masyarakat setempat yang diwakilinya.
Kita ada lebih kurang 4 atau 5 tahun lagi untuk menghadapi pilihan raya umum.
Jadi apakah kepentingan dan faedahnya untuk semua parti politik memberi tumpuan kepada kedua-dua individu ini sedangkan mereka tidak memegang sebarang jawatan penting dalam parti mahupun kerajaan.

Sekarang kerajaan perlu memberikan fokus utama terhadap isu-isu yang lebih penting seperti krisis kenaikan harga global bahan makanan yang begitu meruncing dari memikirkan isu-isu yang tidak penting.

Rakyat Malaysia kini sudah matang dan bijak dalam membuat penilaian terhadap seseorang individu bergelar ahli politik jika dibandingkan 10 tahun dulu.
Kerenah dan tindakan pemimpin sudah dapat dibaca oleh rakyat. Tsunami politik pada pilihan raya umum pada Mac lepas telah membutikan kematangnya rakyat Malaysia dalam memilih pemimpin.
Oleh itu diharapkan ahli-ahli dan pemimpin politik sentiasa bertindak profesional dalam mengumumkan sesuatu perkara yang boleh dianggap kontroversi.
Anda berhadapan dengan sejumlah rakyat yang semakin meningkat kesedarannya terhadap politik."

www.detikdaily.net