LagiBerita
Sinar Harian | Malaysiakini | CariGold | Utusan | Mstar | BHarian | HMetro | Kosmo | Astro Awani | Harakahdaily | Bernama | Malaysian Digest | Keadilan | Mynewshub | SemasaPost (V) | Malaysiakini (Vid) | MediaRakyat (Vid) | Google | E-mail | Video | Blogger
eXTReMe Tracker

30 November 2007

30.11.07 - Penumpang belakang wajib pakai tali pinggang keledar

Admin | 9:29 PM | Be the first to comment!
PUTRAJAYA 30 Nov. - Pemakaian tali pinggang keledar untuk penumpang tempat duduk belakang kenderaan akan diwajibkan mulai tahun depan sebagai usaha meningkatkan keselamatan dalam kenderaan, kata Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Datuk Suret Singh.

Beliau berkata, berdasarkan kajian oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (Miros) baru-baru ini, pemakaian tali pinggang keledar bagi penumpang tempat duduk belakang dapat mengurangkan risiko kecederaan jika berlaku kemalangan.

Katanya, ia sejajar dengan usaha kerajaan yang mahu memastikan penurunan kadar kemalangan jalan raya dapat terus dilakukan pada tahun-tahun akan datang.

“Kajian Miros mengenai keperluan pemakaian tali pinggang keledar untuk penumpang tempat duduk belakang sudah siap dan akan dibentangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan Jalan Raya untuk kelulusan tidak lama lagi.

“Pelaksanaannya tidak menjadi masalah kerana ia hanya perlu pindaan kecil kepada Peraturan Tali Pinggang Keledar di bawah Akta Pengangkutan Jalan dan tidak perlu di bawa ke Parlimen kerana ia di bawah bidang kuasa Kementerian Pengangkutan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Pengarah Miros, Prof Dr Radin Umar Radin Sohadi dan Pengarah Penguat Kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Salim Parlan.

Sebelum ini, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Chan Kong Choy berkata, kementeriannya akan membentangkan kertas cadangan bagi mewajibkan pemakaian tali pinggang keledar untuk penumpang tempat duduk belakang bagi meningkatkan keselamatan dalam kenderaan.

Sehubungan itu, penumpang yang tidak mematuhi peraturan itu akan disaman seperti pemandu dan penumpang hadapan.

Di samping itu, Suret berkata, pihaknya akan mempertingkat lagi kempen pemakaian tali pinggang keledar untuk penumpang tempat duduk belakang.

“Kami mahu mewujudkan satu kesedaran di kalangan orang ramai bahawa pemakaian tali pinggang keledar untuk penumpang tempat duduk belakang adalah perlu untuk keselamatan diri,” katanya.

Menurut Dr Radin Umar, kajian Miros menunjukkan 95 peratus kenderaan di negara ini sudah mempunyai tali pinggang keledar untuk penumpang tempat duduk belakang.

- Bernama

30.11.07 - Kes rogol meningkat, lebih 70 peratus mangsa 18 tahun ke bawah

Admin | 9:29 PM | Be the first to comment!
PUTRAJAYA 30 Nov. - Kes rogol yang dilapor di negara ini meningkat sebanyak 31.5 peratus bagi tempoh Januari hingga September tahun ini berbanding tempoh yang sama tahun lepas, dengan lebih 70 peratus membabitkan mangsa berumur 18 tahun ke bawah.

Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Datuk Maximus J. Ongkili berkata, berdasarkan statistik yang diperolehi pihaknya, sebanyak 2,432 kes rogol dilapor dalam tempoh itu berbanding 1,849 kes tahun lepas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, kerajaan melahirkan rasa bimbang berhubung perkara itu apabila mendapati kebanyakan kes yang dilapor didakwa dilakukan oleh mereka yang dikenali termasuk bapa dan teman lelaki.

“Ini memberi gambaran yang menyedihkan dan menunjukkan peranan institusi keluarga dan masyarakat sekeliling amat penting untuk mengatasinya.

“Apabila diteliti, ia banyak membabitkan mangsa berumur 18 tahun ke bawah dan ini merungsingkan kita,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Induk Kempen Pencegahan Jenayah Rogol anjuran MCPF di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Datuk Azman Amin Hassan dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Christopher Wan Soo Kee.

Maximus berkata, daripada jumlah keseluruhan kes yang dilapor itu, sebanyak 942 kes membabitkan mereka yang dikenali termasuk rogol berkumpulan.

Sebanyak 752 kes dilapor dilakukan oleh teman lelaki, bapa (75 kes), bapa tiri (45 kes), bapa saudara (61 kes) dan bapa angkat (sembilan kes), katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, MCPF akan mengadakan kempen kesedaran besar-besaran mulai tahun depan dengan kerjasama pelbagai agensi dan masyarakat awam dalam usaha mengurangkan kadar jenayah itu.

“Kempen itu akan melibatkan institusi keluarga, sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), jabatan-jabatan kerajaan yang berkaitan dan pertubuhan bukan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, masyarakat awam perlu diberi kesedaran agar dapat mengawasi pergerakan golongan remaja memandangkan kebanyakan kes membabitkan penjenayah yang dikenali termasuk selepas berkenalan setakat satu atau dua hari.

- Bernama

30.11.07 - ‘Barongan bukan milik kami’

Admin | 6:55 AM | Be the first to comment!
Daripada SOPHA SULAIMAN

JAKARTA 29 Nov. – Malaysia tidak pernah mendakwa tarian barongan atau reog yang berasal dari Ponorogo Jawa Timur adalah miliknya tetapi dikembangkan sebagai salah satu seni tarian tradisional oleh masyarakat etnik Jawa yang menjadi warganegara Malaysia sejak berkurun lamanya.

Duta Besar Malaysia di Indonesia, Datuk Zainal Abdin Mohamad Zain menjelaskan, tarian barongan itu dibawa oleh nenek moyang masyarakat Jawa yang tinggal di Johor dan Selangor.

Katanya, Malaysia mengembangkan dan melindungi seni tari itu sebagai salah satu kebudayaan Melayu kerana begitu ramai masyarakat Jawa di Malaysia yang sudah ditakrifkan sebagai orang Melayu.

Beliau menjelaskan tentang kontroversi tarian menggunakan kepala singa itu kepada kira-kira 1,000 orang aktivis kebudayaan yang mengadakan tunjuk perasaan di depan Kedutaan Malaysia di sini hari ini.

Tunjuk perasaan itu diadakan sebagai protes terhadap penggunaan tarian kepala singa oleh Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan sebagai salah satu tarian kebudayaan di Malaysia.

Ratusan anggota polis mengawal demonstrasi itu yang berlangsung kira-kira dua jam yang turut diwarnai dengan pentomin dan persembahan tarian reog.

Sementara itu, Menteri Kebudayaan dan Pelancongan Indonesia, Jero Wacik berkata, Indonesia dan Malaysia akan membentuk sebuah jawatankuasa yang pakar dalam selok-belok budaya dan warisan bagi menentukan asal usul kesenian antara dua negara.

– Utusan

30.11.07 - Lelaki maut diserang ketika sedang makan

Admin | 2:42 AM | Be the first to comment!
SHAH ALAM 29 Nov — Seorang lelaki maut setelah diserang sekumpulan lima lelaki bertopeng dan bersenjatakan parang ketika sedang makan bersama tiga rakannya di sebuah restoran di Taman Sri Muda, di Seksyen 25 di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 2 pagi itu, mangsa yang dikenali sebagai A. Balasubramaniam, 35, maut ditempat kejadian akibat cedera teruk setelah ditetak bertubi-tubi pada bahagian kepala, perut dan tangannya.

Jurucakap polis berkata, seorang rakan mangsa turut cedera di kedua-dua belah tangan ketika cuba membantu Balasubramaniam, manakala dua lagi rakannya sempat melarikan diri dan melaporkan kejadian terbabit di balai polis berhampiran.

Kesemua suspek melarikan diri dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda ketika polis tiba ditempat kejadian.

Mayat mangsa di hantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah untuk bedah siasat.

Jurucakap polis itu berkata punca dan motif sebenar kejadian masih dalam siasatan.- Bernama

30.11.07 - Pasangan termahal bercerai talak satu

Admin | 2:42 AM | Be the first to comment!

KUANTAN 29 Nov. _ Pasangan Datuk Roslan Hashim dengan Puteri Shahanaz Hazlin Hamdan yang melangsungkan perkahwinan tahun lalu dengan wang hantaran berjumlah RM444,444.44, bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Kuantan di sini hari ini.

Lafaz cerai itu disahkan oleh Roslan, 50, yang juga kontraktor kelas A dan pemilik Merak Melaka Beach Resort setelah persetujuan bersama di antara kedua-dua pihak dibacakan di hadapan Hakim Syarie, Datuk Abdul Rahman Yunos.

Puteri Shahanaz, 25, yang juga bekas model sambilan dan penari kebudayaan negeri Pahang melalui peguamnya, Dzulkarnain Mohamad memfailkan permohonan cerai pada 4 Oktober lalu.

Sebelum melafazkan cerai, Abdul Rahman memberi kebenaran kepada pasangan tersebut untuk bersalam, namun Puteri Shahanaz dilihat menggelengkan kepala tanda tidak mahu berbuat demikian.

Pasangan itu juga kelihatan tenang sejurus lafaz cerai disebut.

Dalam persetujuan bersama itu, Roslan selaku defendan yang diwakili peguam Fakhrul Azman Abu Hassan, bersetuju menceraikan plaintif, Puteri Shahanaz dengan bayaran mutaah sebanyak RM100,000 termasuk nafkah idah yang akan dibayar secara ansuran sebanyak RM5,000 sebulan.

Selain bayaran itu, sebanyak RM1,500 juga akan dimasukkan ke dalam akaun plaintif sebagai nafkah anak mereka, Putera Airil Imran, 6 bulan.

``Kedua-dua bayaran itu akan dimasukkan serentak ke dalam akaun plaintif dalam minggu pertama setiap bulan bermula Disember ini dan Puteri Shahanaz juga berhak membuat semakan semula nafkah anak setelah dia mula bersekolah,'' katanya.

Selain itu, kata Dzulkarnain, anak guamnya turut menarik balik permohonan saman hadhanah yang difailkan semalam, sebaliknya atas persetujuan bersama, hak penjagaan anak akan diberikan kepada Puteri Shahanaz.

Pihaknya turut memohon mahkamah supaya membatalkan perintah interim hadhanah yang ditetapkan pada 14 November lalu.

Beliau memberitahu, Puteri Shahanaz turut membenarkan bekas suaminya menemui dan bermalam dengan anak mereka pada hari Sabtu dan Ahad bermula 22 Disember depan dengan syarat menghantar semula anak itu sebelum pukul 10 malam hari Ahad.

``Jika anak itu tidak dihantar pada waktu yang ditetapkan, hak bermalam itu akan ditarik balik. Roslan juga tidak dibenarkan membawa anak mereka bercuti ke luar negara tanpa persetujuan Puteri Shahanaz,” ujarnya.

Persetujuan bersama itu turut menuntut Roslan supaya datang sendiri mengambil anak tanpa mewakilkan kepada sesiapa pada hujung minggu, begitu juga ketika menghantarnya semula.

Pasangan itu diijabkabulkan pada 8 September tahun lalu dengan mas kahwin bernilai RM22.50 dengan tambahan sebanyak RM22,222.22 sementara wang hantaran pula berjumlah RM444,444.44.

Utusan Malaysia difahamkan, keluarga pihak lelaki memberikan 23 dulang hantaran termasuk sebuah kereta BMW 320i bernilai RM250,000, barang-barang kemas bernilai RM150,000, cincin berlian RM20,000 dan seutas jam jenama Rolex bernilai hampir RM25,000.

Kos keseluruhan perkahwinan itu dianggarkan sebanyak RM3.5 juta.- Utusan

29 November 2007

29.11.07 - Dr Jeffrey mahu undur diri

Admin | 10:43 PM | Be the first to comment!
KOTA BELUD: Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Dr Jeffrey Kitingan, memberi gambaran akan berundur daripada politik apabila membayangkan pilihan raya umum akan datang sebagai pembabitan terakhirnya.

Menyatakan hasratnya itu pada perhimpunan PKR di Kampung Kiau Teburi di sini, baru-baru ini, Jeffrey bagaimanapun menegaskan ingin melihat parti berkenaan terus `menghirup udara segar' di Sabah.

"Saya sudah tua tetapi sebelum berundur, saya mahu melihat dan pastikan suara kita didengar, masa depan kita cerah, hak rakyat terjamin dan kita dapat menikmati hasil perjuangan.



"Rakyat mungkin menyatakan saya kerap melompat parti selama ini tetapi ingin saya jelaskan bahawa tidak kira di mana berada, perjuangan saya adalah untuk memastikan Perkara 20 dan kedudukan kita dihormati," katanya.

Sebelum menyertai PKR, Jeffrey pernah menyertai Barisan Nasional (BN) menerusi Parti Akar Bersatu dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).

(Berita Harian)

29.11.07 - Menyanggah tanggapan keliru Mufti Perlis tentang politik, dakwah

Admin | 9:34 PM | Be the first to comment!
Dalam artikelnya di Mingguan Malaysia, 25 November lalu (Apabila berpolitik tanpa prinsip), Mufti Negeri Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin membidas golongan yang pada hematnya menggunakan agama bagi kepentingan politik.

Beliau antara lain menulis:"Hal ini berbeza dengan orang politik kepartian. Dia suka jika musuhnya buat salah, supaya ada isu yang boleh diperkatakan dan menguntungkan politiknya. Dia tidak gembira jika musuhnya berbuat positif. Dia akan tafsirkan kebaikan dengan wajah kejahatan atau sekurang-kurangnya akan kata 'ada udang di sebalik batu'. Jika hal yang sama dilakukannya atau puaknya, pentafsirannya berbeza. Niat musuh selalunya busuk, niatnya didakwa selalu jujur.

"Bagaimana dia berfikir, demikian dia menyangka orang lain juga. Semua parti politik yang goyah prinsipnya hampir semazhab dalam hal ini. Maka dalam politik, musuh sekelip mata boleh bertukar menjadi kawan dan kawan boleh bertukar menjadi musuh. Sekalipun kawan ataupun musuh tadi belum menukar prinsipnya. Maka yang anti-Islam boleh bergabung dengan yang kononnya hendakkan Islam. Apa yang penting, sesiapa yang menguntungkan cita-cita politik 'kerusi' maka dia dianggap kawan.

"Sesiapa yang dirasakan tidak menguntungkan hasrat politiknya, maka dia musuh. Orang dakwah yang berprinsip tidak demikianĂ¢€¦Hal inilah yang membezakan antara pendakwah dan ahli politik ala jahiliah. Maka orang dakwah mungkin berpolitik demi dakwah tetapi tidak berdakwah untuk kepentingan politik. Politik boleh bagi mereka jika mendekatkan diri kepada Islam. Bukan menampal Islam untuk politik."

Adalah agak menyedihkan apabila tulisan seorang yang dianggap sebagai terdidik bukan sahaja tidak disokong bukti ilmiah tetapi begitu terkeluar daripada konteks politik moden.

Sekiranya tulisan tersebut merupakan satu sindiran kepada PAS kerana PAS memperjuangkan Islam, maka apakah Umno terkecuali daripada tanggapan Sahibus Samahah sedangkan politik Umno juga bercirikan politik kepartian, bahkan Umno lebih awal didaftarkan berbanding PAS.

Mungkin beliau tidak memahami makna politik kepartian seperti yang diakuinya sendiri dalam tulisan tersebut. Justeru, beliau tidak memahami perspektif atau pandangan ahli politik sesuatu parti dengan perspektif dan pandangan rakyat terhadap kerajaan dan negara.

Kita semua tahu, matlamat parti politik untuk mendapatkan kerusi-kerusi dalam pilihan raya. Suka atau tidak, dan dalam keterbatasan tertentu, perebutan kerusi politik ini bercirikan politik Machiavelli di mana matlamat menghalalkan cara (sila rujuk Nicollo Machiavelli, The Prince dan Discourses on Livy yang membincangkan republikanisme).

Dalam kata lain, mereka yang menduduki kerusi kuasa akan sedaya upaya mendapatkan kembali kerusi tersebut dalam pilihan raya umum walaupun terpaksa menyogok pengundi, menggunakan jentera dan media kerajaan, menggunakan pengundi hantu dan pelbagai cara lain. Dan mereka yang belum mendapatkan kerusi kuasa pula berusaha menarik sokongan rakyat dengan berdakwah.

Kalaulah berdakwah boleh diibaratkan sebagai satu cara bagi mendapatkan kerusi (dalam sebutan Machiavelli) maka sudah tentulah ia jauh lebih mulia daripada mereka yang melakukan hal yang sama dengan menyogok pengundi, menggunakan jentera dan media kerajaan, menyebabkan berlakunya proses pengundian yang tidak adil dan berat sebelah, dan pelbagai lagi muslihat yang bukan sahaja bercanggah dengan undang-undang, bertentangan dengan moral kemasyarakatan tetapi juga tidak halal di sisi Islam.

Jika pemimpin yang dianggap menggunakan Islam dan berdakwah kerana 'ada udang di sebalik batu' ini akhirnya berkuasa dan menjadi kerajaan, dan sekiranya mereka tidak ikhlas dalam berdakwah, rakyat setidak-tidaknya lebih yakin bahawa mereka ini takut untuk berbuat dosa dengan sewenang-wenangnya menipu rakyat.

Mereka mungkin akan membuat kesilapan atau mempamerkan kesilapan, tetapi untuk sengaja melakukan pengkhianatan kepada negara dan rakyat, dengan membelakangkan undang-undang bersabit kewangan dan sebagainya atau menafikan hak keadilan seseorang dibicarakan, sebagaimana kehendak Islam dan juga seperti yang termaktub dalam konvesyen politik 'non-dictatorial', tentulah tak mungkin.

Pada perkiraan terakhir, politik adalah bagaimana keseluruhan rakyat dapat menerima sesuatu parti politik. Pernah berlaku beberapa ketika dulu apabila majoriti rakyat termasuk penyokong PAS sendiri dapat menerima Umno mengetuai kerajaan. Waktu itu peranan PAS dilihat hanya sebagai pembangkang yang bertindak dalam mekanisme 'semak-dan-imbang' untuk kerajaan.

Namun hari ini persepsi rakyat telah banyak berubah. Malah mereka yang tidak pernah seumur hidup pergi mendengar ceramah PAS juga mahukan perubahan. Dan ia bukan berlaku berpunca daripada apa yang dianggap sebagai so-called dakwah PAS tetapi kerana rakyat sudah semakin sedar betapa kuasa mutlak yang tidak dicabar untuk sekian lamanya hanya akan mengundang kepada kerosakan. Yang menjadi mangsa kelak bukan ahli politik, tetapi rakyat sendiri.

Politik bukanlah berkenaan parti politik, tetapi ia adalah berkenaan rakyat. Kita harus kembali melihat dunia sebagai satu kebun (Ibnu Khaldun). Bolehkah tukang kebun selamanya melihat buah-buahan dalam kebun tanpa diberikan habuannya sedangkan pemilik dan pentabdir kebun sentiasa dalam keadaan senang-lenang? - mks.

HarakahDaily