LagiBerita
Sinar Harian | Malaysiakini | CariGold | Utusan | Mstar | BHarian | HMetro | Kosmo | Astro Awani | Harakahdaily | Bernama | Malaysian Digest | Keadilan | Mynewshub | SemasaPost (V) | Malaysiakini (Vid) | MediaRakyat (Vid) | Google | E-mail | Video | Blogger
eXTReMe Tracker

30 December 2007

Pakistan lumpuh - *Bantahan diteruskan *Hidup rakyat terjejas

ANGGOTA keluarga Benazir Bhutto berdoa di pusara arwah yang disemadikan di Garhi Khuda Bukhsh, dekat Naudero semalam. (Dari kiri) Sanam Bhutto (kakak), Bilawal (anak lelaki), Aseefa (anak perempuan), Bakhtawar (anak perempuan) dan Zulfikar Ali Bhutto (sepupu). – Reuters.

KARACHI 29 Dis. – Kehidupan harian berpuluh-puluh juta penduduk Pakistan hari ini terhenti apabila bandar-bandar besar hampir ditutup sepenuhnya ketika seluruh negara berkabung berikutan pembunuhan bekas Perdana Menteri, Benazir Bhutto.

Pada hari kedua perkabungan rasmi, kebanyakan penduduk tidak dapat membeli makanan atau petrol apabila semua kedai, stesen minyak, bank dan pejabat ditutup.

Kecuali di beberapa tempat seperti di Lahore, Rawalpindi dan Multan, kebanyakan jalan-jalan raya di bandar-bandar utama kelihatan lenggang dan kebanyakan memperlihatkan kesan keadaan huru-hara yang menyebabkan sekurang-kurangnya 38 orang terbunuh.

Di LAHORE, kira-kira 10,000 rakyat Pakistan berkumpul sambil melaungkan slogan antikerajaan ketika mengadakan sembahyang untuk arwah Benazir.

Sejumlah besar polis dilihat berkawal pada perhimpunan yang terbesar selepas kematian Benazir pada Khamis lalu.

Penunjuk perasaan yang menjeritkan laungan penentangan termasuk ‘pergi Pervez pergi’ kemudiannya bergerak ke kawasan utama di bandar untuk meneruskan bantahan.

Di RAWALPINDI, dekat Islamabad pula, polis telah menembak gas pemedih mata ke arah 3,000 penunjuk perasaan ketika cuba menyerbu rumah kediaman bekas menteri kereta api, Sheikh Rashid yang merupakan penyokong Presiden Pervez Musharraf.

Sementara, kenderaan-kenderaan yang musnah terbakar kelihatan di jalan-jalan raya di bandar Larka yang merupakan kubu kuat Benazir yang menyaksikan para penyokong bekas Perdana Menteri itu berkeliaran di jalan-jalan raya sambil melaungkan slogan anti-Pervez.

Keadaan dilaporkan tegang di Karachi, bandar raya terbesar Pakistan yang menjadi pusat ekonomi dengan anggota tentera dan separa tentera bersenjata berat kelihatan berkawal di jalan-jalan raya.

“Karachi tidak pernah sunyi, amat menyedihkan dan sangat menakutkan,” kata suri rumah, Shahana Rehmat.

“Kami seperti dikenakan tahanan dalam rumah dan hampir kehabisan makanan dan bekalan dapur. Saya tidak mendapat bekalan makanan sejak semalam,” jelas Janat Khan, seorang buruh kasar.

Seorang pakar teknologi maklumat, Aqib Khan yang melakukan perjalanan dengan kereta dari Islamabad ke Karachi selama 12 jam mendapati dia tiba di bandar raya dengan 12 juta penduduk yang terjerumus dalam kekacauan.

Keadaan kacau-bilau menyebabkan tidak ramai penduduk yang berani keluar ke jalan-jalan raya, manakala pertubuhan kebajikan terbesar, Yayasan Edhi menyatakan, ambulans-ambulans miliknya turut menjadi sasaran perusuh.

“Mereka memecah ambulans-ambulans kami,” kata pegawai yayasan itu.

“Kami juga tidak ada bekalan petrol,” tambahnya.

Perkhidmatan bas turut dilaporkan terhenti dengan sebahagian kecil pemandu teksi yang bertugas.

Selain itu terdapat berpuluh-puluh kereta ditinggalkan di jalan-jalan raya berikutan kehabisan petrol.

Setakat ini, penunjuk perasaan telah memusnahkan 176 bank, 72 gerabak keretapi dan 18 buah stesen keretapi.

– AFP

ISA: 4 dipercayai anggota JI dibebas

KUALA LUMPUR 29 Dis. – Kerajaan membebaskan empat lelaki yang dipercayai anggota militan Jemaah Islamiah (JI) selepas hampir lima tahun ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Difahamkan, keempat-empat mereka iaitu Bakkery Mahhamud, Mohamad Zamri Sukirman, Sabri Jaafar dan Zamzuri Sukirman telah dibebaskan pada 19 Disember lalu.

Turut difahamkan, mereka adalah antara anggota JI yang ditahan dalam tempoh Disember 2002 hingga Januari 2003 ketika kerajaan melancarkan gerakan besar-besaran terhadap kumpulan JI.

Kumpulan militan JI dikatakan bertanggungjawab dalam kejadian pengeboman di Bali pada 2002 termasuk mempunyai kaitan dengan rangkaian kumpulan pengganas antarabangsa, Al-Qaeda.

Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Johari Baharom yang mengesahkan pembebasan mereka itu berkata, kesemua mereka dibebaskan baru-baru ini dari Kem Tahanan ISA di Kamunting, Perak.

Bagaimanapun, jelas Johari, pembebasan mereka bukan bermakna mereka bebas sepenuhnya dengan pergerakan masih kekal di bawah pengawasan polis.

“Tempoh tahanan ISA mereka akan dilanjutkan lagi sekiranya siasatan mendapati mereka masih merupakan ancaman kepada keselamatan negara.

“Mereka tidak dibenarkan sama sekali keluar pada waktu malam dan perlu melaporkan diri kepada polis sekiranya perlu,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini.

(Utusan)

Ditembak atau terhentak? -- Punca kematian Benazir cetus pertikaian

MERUSUH...Penyokong Benazir Bhutto yang berang terus merusuh dan membakar harta benda awam di Multan, semalam. Gambar kecil atas yang dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri Pakistan menunjukkan penutup bahagian atas bumbung kenderaan yang dikatakan punca kematian pemimpin itu apabila kepalanya didakwa terhentak, manakala, gambar kecil bawah ialah tempat duduk kereta yang dinaiki Benazir berlumuran darah. - Reuters.


ISLAMABAD 29 Dis. – Persoalan mengenai punca kematian Benazir Bhutto sama ada akibat ditembak di kepala atau tengkorak retak kerana terhentak, telah menimbulkan pertikaian besar antara penyokong bekas Perdana Menteri itu dengan kerajaan.

Percanggahan laporan berkenaan dijangka menyemarakkan keganasan negara berkuasa nuklear itu, dua hari selepas pemimpin wanita itu dibunuh dalam serangan bom berani mati.

Parti Rakyat Pakistan (PPP) yang diterajui Benazir, hari ini menolak penjelasan kerajaan bahawa kematian pemimpinnya adalah disebabkan kepalanya terhentak pada penutup atas bumbung kereta yang dinaiki ketika cuba tunduk dari serangan bersenjata dan bom berani mati, Khamis lalu.

Malah, PPP menyifatkan kenyataan itu sebagai sesuatu yang tidak masuk akal dan menganggapnya helah kerajaan untuk mengaburi kejadian sebenar.

Para pembantu bekas Perdana Menteri itu juga meragui pemimpin militan Islam, Baitullah Mehsud menjadi dalang pembunuhan seperti yang dinyatakan oleh kerajaan Presiden Pervez Musharraf.

Kenyataan PPP itu diperkuatkan lagi oleh penjelasan pembantu peribadi Benazir, Sherry Rehman yang mendakwa beliau melihat luka akibat tembakan di kepala Benazir.

Peguam Benazir yang juga salah seorang pegawai tertinggi PPP, Farooq Naik turut mendakwa terdapat tembakan peluru kedua di bahagian perut Benazir.

Semalam, jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Brigedier Jeneral Javed Cheema berkata, punca kematian Benazir adalah disebabkan kepalanya terhentak pada penutup bahagian atas bumbung kereta ketika cuba tunduk dari serangan bom berani mati itu serta menafikan sebarang penemuan kesan luka akibat tembakan.

Beliau menambah, Benazir mungkin masih hidup jika beliau tidak mengeluarkan kepalanya dari bumbung kereta itu ketika kejadian.

Sherry yang juga jurucakap Benazir, mendakwa beliau turut terlibat memandikan mayat bekas Perdana Menteri itu.

“Saya adalah antara mereka yang terlibat memandikan mayat beliau sebelum pengebumian dan saya melihat ada kesan luka akibat tembakan di bahagian kiri, belakang kepalanya yang tembus ke bahagian depan, ia adalah satu kesan luka yang besar.

“Malah kami tidak boleh membasuh mayat secara terurus kerana luka tersebut masih mengalirkan darah, beliau kehilangan banyak darah,” kata Sherry yang turut menyatakan kereta miliknya telah digunakan untuk menghantar Benazir ke hospital.

“Saya berada di dalam kereta di belakang kenderaan yang dinaiki Benazir selepas tamat perarakan itu apabila tiba-tiba seorang lelaki melepaskan tembakan.

“Bagaimanapun saya tidak nampak penyerang tersebut kerana sedang memandang ke arah lain ketika kejadian itu,’’ kata beliau sambil menambah kawasan tersebut secara tiba-tiba dikelilingi oleh mereka yang tidak dikenali memakai lencana Benazir.

“Pihak hospital telah diarah supaya mengubah kenyataan sebenar dan helah ini ternyata sesuatu yang tidak masuk akal sebagai mengaburi kejadian sebenar,” tambah beliau.

Pada masa sama pergerakan Al-Qaeda yang kini menjadi suspek utama pembunuhan Benazir, tetap menafikan bahawa mereka terlibat dalam pembunuhan itu.

“Ini adalah konspirasi antara pihak kerajaan, tentera dan agensi perisikan selepas gagal memberi perlindungan kepada Benazir,” kata jurucakap Al-Qaeda dari Waziristan, Maulana Umar.

Khamis lalu, sejurus kejadian serangan bom, pihak berkuasa menyatakan Benazir mati akibat dua tembakan yang menembusi bahagian leher dan dadanya tetapi mengubahnya kepada mati akibat terhentak semalam.

Benazir dibunuh kelmarin selepas selesai menyampaikan ucapan pada satu perhimpunan sempena kempen pilihan raya di Rawalpindi dalam satu serangan berani mati oleh seorang lelaki yang melepaskan tembakan ke arah beliau sebelum meletupkan dirinya.

Keadaan huru-hara berterusan akibat pembunuhan Benazir yang kini semakin meruncing turut menimbulkan persoalan sama ada pilihan raya yang sepatutnya diadakan pada 8 Januari depan patut diteruskan.

– Agensi

29 December 2007

Bekas tahanan Guatanamo Australia bebas hari ini

ADELAIDE 28 Dis. – Bekas tahanan Teluk Guantanamo yang juga warga Australia, David Hicks bakal bebas esok tetapi pergerakannya dijangka akan tetap dikawal ketat oleh kerajaan Australia.

Para wartawan hari ini telah mula berkumpul di Penjara Yatala, Adelaide Selatan Australia bagi merakam pembebasan seorang yang mengaku penyokong dan berjuang untuk Taliban di Afghanistan.

Hicks merupakan individu pertama selepas Perang Dunia Ke II yang didakwa di bawah Jenayah Perang Amerika Syarikat dan mengaku bersalah membantu dari aspek material sebagai sokongan nya terhadap gerakan Al Qaeda.

Beliau ditahan pada Disember 2001 oleh askar Amerika di Afghanistan ketika bertempur bersama-sama pejuang Taliban.

Sebulan kemudian, Hicks mula ditahan tanpa bicara di penjara Teluk Guantanamo selama hampir lima tahun.

Beliau yang mengaku menyokong gerakan Al Qaeda kemudiannya dibenarkan untuk menghabiskan baki dua tahun penjara di Penjara Yatala sehinggalah akan dibebaskan esok setelah membuat rayuan.

Dalam syarat-syarat rayuan terhadapnya sebelum ini, Hicks mempunyai hak untuk merayu terhadap semua dakwaan dan hukuman yang dijatuhkan ke atasnya.

Namun Hick dikatakan dilarang dari membuat kenyataan media mengenai sepanjang tempoh beliau ditahan.

Dalam hal ini, kumpulan hak asasi undang-undang mempersoalkan tindakan larangan itu berikutan Hicks sebenarnya tidak pun didakwa bersalah atas sebarang tuduhan jenayah.

Keadaannya itu akan menyebabkan Hicks tidak akan menemui media tetapi menurut bapanya, Terry, peguam anaknya David McLeod akan membuat kenyataan akhbar terutama untuk meminta maaf atas masalah-masalah yang timbul.

“Anak saya itu benar-benar ingin menjalani kehidupan yang normal selepas dibebaskan kelak dan berhasrat untuk mendapatkan pekerjaan dan melanjutkan pelajaran di peringkat universiti,” katanya kepada Stesyen TV, Sky News.

Kehidupan di luar penjara bakal tidak banyak berubah buat Hicks.

Pakistan kacau-bilau -- 32 terbunuh apabila penyokong Benazir merusuh

SEDIH...Suami Allahyarham Benazir Bhutto, Asif Ali Zardari (berkopiah putih) dan anaknya, Bilawal (dua dari kiri) bersama penyokong Parti Rakyat Pakistan mengusung keranda Benazir untuk dikebumikan di kampung halamannya di wilayah Sindh, semalam. Bekas Perdana Menteri Pakistan itu ditembak mati oleh seorang penyerang yang kemudian meletupkan dirinya. – Gambar AFP.

KARACHI 28 Dis. – Kekacauan di Pakistan dikhuatiri bertambah buruk apabila para penyokong yang berang dengan pembunuhan pemimpin pembangkang, Benazir Bhutto merusuh di jalan-jalan raya menyebabkan sekurang-kurangnya 32 maut dan berpuluh-puluh lagi cedera.

Keadaan kacau-bilau yang berlaku merupakan salah satu krisis terburuk dalam sejarah negara ini bagi tempoh 60 tahun.

Perintah ‘menembak sebaik sahaja kelihatan’ juga dikeluarkan di wilayah Sindh yang merupakan kubu kuat dan tanah kelahiran Benazir selepas seorang penembak yang tidak dikenal pasti menembak mati seorang polis dan mencederakan tiga yang lain di bandar selatan Karachi.

“Ya, sesiapa sahaja yang cuba menjejaskan nyawa rakyat yang tidak berdosa dan juga harta benda awam akan ditembak sebaik sahaja kelihatan,’’ kata Menteri Dalam Negeri wilayah itu, Akhtar Zaman.

Pada masa yang sama, Presiden Pakistan, Pervez Musharraf merayu rakyat negara ini supaya bertenang ketika para perusuh menyerang bangunan-bangunan kerajaan.

Polis terus mencari petunjuk pembunuh Benazir, yang merupakan bekas Perdana Menteri Pakistan sebanyak dua kali.

Benazir dibunuh semalam ketika beredar meninggalkan perhimpunan sempena kempen pilihan rayanya di Rawalpindi yang merupakan bandar pusat ketenteraan.

Penyerang terbabit telah menembak leher dan dada beliau sebelum meletupkan dirinya dalam satu serangan berani mati yang turut mengorbankan 20 orang.

Jurucakap Kementerian Dalam Negeri, Javed Cheema berkata, sekurang-kurangnya empat orang mati di Sindh sementara empat lagi di bandar raya Karachi serta sekurang-kurangnya tiga orang terkorban di Lahore.

Bunyi tembakan turut kedengaran di sekitar Lahore yang menyaksikan kenderaan dan kedai-kedai dibakar.

Seorang pegawai polis tempatan memberitahu, pasar-pasar dan kedai telah ditutup serta-merta apabila pasukan separa tentera mengadakan rondaan di jalan-jalan raya bagi mengawal keganasan.

Di Karachi, sekurang-kurangnya 70 buah kenderaan dibakar oleh pembantah termasuk 35 buah trak sarat dengan muatan gandum.

Semua stesen minyak di bandar raya ini telah ditutup serta-merta apabila para penunjuk perasaan yang marah menyekat jalan-jalan raya.

Di barat laut Peshawar pula beberapa penunjuk perasaan bertindak merosakkan beberapa kenderaan cedera setelah polis melepaskan gas pemedih mata dan menggunakan kayu baton bagi meleraikan mereka.

Sekumpulan penyokong fanatik daripada parti Benazir (Parti Rakyat Pakistan) pula berarak di sekitar bandar berkenaan sambil memukul dada mereka dan melaungkan “Benazir masih hidup”.

Dalam pada itu, suasana di bandar kelahiran Benazir di Larkana tegang apabila dua buah bank dibakar oleh para perusuh.

Sepuluh buah bank di bandar Multan dirosakkan oleh para perusuh manakala remaja yang bersenjatakan kayu baton bertindak membakar poster parti dan gambar Musharraf.

Pihak keselamatan terpaksa bertindak menutup kawasan sekitar markas tentera dan para pengguna pengangkutan awam tersangkut di perhentian bas dan kereta api setelah perkhidmatan awam lumpuh akibat kejadian itu.

Penyokong Benazir yang marah akibat pembunuhan beliau kini bertindak mencari mereka untuk dipersalahkan dan penduduk di Jacobabad di bandar Sindh membakar kedai milik ahli keluarga Perdana Menteri sementara, Mohammedmian Soomro.

Gambar Mohammedmian turut dibakar manakala para penunjuk perasaan berarak di jalan raya serta menghalang lalu lintas dan laluan kereta api. Bangunan mahkamah utama, bank dan beberapa bangunan lain turut musnah akibat perlakuan perusuh.

Suasana di ibu negara, Islamabad, yang terkenal dengan kesibukan urus niaga dan kesesakan lalu lintas bertukar menjadi sunyi sepi dengan jumlah kenderaan semakin berkurangan, kedai-kedai ditutup serta perkhidmatan awam dihentikan.

Presiden Pervez turut merayu kepada rakyat Pakistan supaya bertenang “supaya pengganas (yang didakwa melakukan pembunuhan) boleh dikalahkan”.

“Presiden turut mengarahkan kesemua agensi keselamatan supaya mengambil semua langkah perlu bagi mengekalkan keamanan di negara ini,” menurut satu kenyataan Kementerian Penerangan hari ini.

– Agensi

UMNO Johor tetap mahu Sains dan Matematik dalam BM

MUAR 28 Dis. – UMNO Johor tetap dengan pendirian bahawa subjek Matematik dan Sains perlu diajar dalam Bahasa Malaysia walaupun terdapat peningkatan keputusan untuk kedua-dua mata pelajaran tersebut dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2007 yang diumumkan semalam.

Ketua Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, penggunaan bahasa Inggeris tidak boleh dikaitkan dengan peningkatan keputusan yang dicapai untuk kedua-dua subjek tersebut.

Beliau yang juga Menteri Besar berkata, pihaknya tetap yakin bahawa bahasa ibunda adalah cara terbaik bagi sesebuah bangsa mendalami ilmu pengetahuan.

Katanya, kenyataan tersebut telah pun dibuktikan oleh sejarah dan pakar-pakar pendidik di peringkat antarabangsa.

``Saya tetap lebih yakin Bahasa Malaysia paling berkesan untuk digunakan dalam mengajar subjek Matematik dan Sains,'' katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan Majlis Penyerahan Kad Keahlian UMNO Zon Kesang di Kampung Kenangan Tun Syed Nasir di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai Program Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris yang diperkenalkan sejak 2005 yang dikatakan tidak menjejaskan penguasaan pelajar dalam kedua-dua mata pelajaran itu pada peperiksaan PMR 2007.

Abdul Ghani mahu langkah memperkasakan bahasa Inggeris dilaksanakan dalam mata pelajaran bahasa tersebut iaitu melalui kaedah yang lebih baik dan tersusun.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai anggaran kerugian ekoran banjir yang melanda Segamat dan Muar baru-baru ini, Menteri Besar Johor itu berkata, kerosakan yang berlaku hanya kira-kira 10 peratus daripada kerosakan yang dialami pada banjir besar akhir tahun lalu.

Beliau berkata, kerajaan negeri belum mempunyai anggaran sebenar kerosakan tetapi yakin ia cuma membabitkan jumlah yang kecil kerana hanya dua daerah di negeri ini yang dilanda banjir.

Katanya, tumpuan akan diberikan untuk memperbaiki prasarana rosak yang dijangka memakan masa selama tiga bulan.- Utusan

27 December 2007

Pakistan's Bhutto killed in attack




Former Pakistani Prime Minister Benazir Bhutto adjusts her scarf at a campaign rally in Pabbi, 120 kilometers (75 miles) west of Islamabad, Pakistan, in this Dec. 12, 2007


Dead or injured supporters of Pakistan former Prime Minister Benazir Bhutto are seen after a suicide attack in Rawalpindi, Pakistan, Thursday, Dec. 27, 2007. Bhutto died Thursday as Party security adviser says she was shot in the neck and chest as she got into her vehicle, then gunman blew himself up. At least 20 others were also killed in a blast that took place as Bhutto left the rally

Dead or injured supporters of Pakistan former Prime Minister Benazir Bhutto are seen after a suicide attack in Rawalpindi, Pakistan, Thursday, Dec. 27, 2007. Bhutto died Thursday as Party security adviser says she was shot in the neck and chest as she got into her vehicle, then gunman blew himself up. At least 20 others were also killed in a blast that took place as Bhutto left the rally



RAWALPINDI, Pakistan - Pakistan opposition leader Benazir Bhutto was assassinated Thursday in a suicide attack that also killed at least 20 others at the end of a campaign rally, aides said.

"The surgeons confirmed that she has been martyred," Bhutto's lawyer Babar Awan said.

A party security adviser said Bhutto was shot in neck and chest as she got into her vehicle to leave the rally in Rawalpindi near the capital Islamabad. A gunman then blew himself up.

"At 6:16 p.m. she expired," said Wasif Ali Khan, a member of Bhutto's party who was at Rawalpindi General Hospital where she was taken after the attack.

Her supporters at the hospital began chanting "Dog, Musharraf, dog," referring to Pakistan's president Pervez Musharraf.

Some smashed the glass door at the main entrance of the emergency unit, others burst into tears. One man with a flag of Bhutto's Pakistan People's Party tied around his head was beating his chest.

In Washington, the State Department said it was seeking confirmation of Bhutto's condition.

"Certainly, we condemn the attack on this rally," deputy spokesman Tom Casey said. "It demonstrates that there are still those in Pakistan who want to subvert reconciliation and efforts to advance democracy."

The United States has for months been encouraging Musharraf to reach an accommodation with the opposition, particularly Bhutto, who was seen as having a wide base of support in Pakistan. Her party had been widely expected to do well in parliamentary elections set for next month.

At least 20 others were killed in the blast that took place as Bhutto left the rally where she addressed thousands of supporters in her campaign for Jan. 8 parliamentary elections.

Bhutto served twice as Pakistan's prime minister between 1988 and 1996. She had returned to Pakistan from an eight-year exile Oct. 18.

On the same day, her homecoming parade in Karachi was also targeted by a suicide attacker, killing more than 140 people. On that occasion she narrowly escaped injury.

(Yahoo News)

Dua beradik jadi piatu sekelip mata

JELI: Dua beradik yang menjadi yatim piatu akibat kematian ibu bapa dalam kemalangan ngeri di Kilometer 71.4 Jalanraya Timur-Barat malam kelmarin terpaksa menumpang kasih datuk dan nenek mereka.

Nadia Z Azhar, 12, dan adiknya, Nazira, 10, turut kebingungan kerana kehilangan insan tersayang secara serentak.

Dalam kemalangan itu, ibu bapa dan adik mereka yang berusia dua tahun antara enam bersaudara terbunuh dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dengan lori barang itu.

Mangsa Z Azhar Hamat, 39, isterinya, Nor Azilah Nawan, 31, dan anak mereka, Mohd Azri, 2. Turut terbunuh, Wan Asri Mohadi Wan Mohamed, 29, Suhaimi Shapiai, 32, dan Rupeah Mohd Zain, 40.

Mereka dalam perjalanan pulang selepas menghadiri majlis pertunangan adik ipar Rupeah, Mohd Saimi Mat Nawi, 30, di Taiping, Perak
Kereta Honda Vigor itu terbabas ke laluan bertentangan ketika mengambil selekoh selepas terowong berhampiran Jeli lalu bertembung dengan lori terbabit.

Menurut Nadia, ibunya menyiapkan makanan untuk dia dan Nazira sebelum ke Taiping dengan membawa adik bongsu, Mohd Azri, Sabtu lalu, untuk menghadiri majlis pertunangan saudara mereka.

Katanya, dia turut merayu kepada ibu supaya tidak membawa Mohd Azri kerana mereka berdua akan kesunyian di rumah.

“Saya sempat meminta ibu meninggalkan adik di rumah kerana boleh menjaganya, lagipun ibu pergi bukan lama.

“Datuk dan nenek saya tinggal berdekatan dan jika ada apa-apa masalah, mereka dapat membantu,” katanya ketika ditemui Harian Metro di rumahnya di Kampung Air Batu di sini, semalam.

Kata Nadia, pakaian sekolah Nazira sudah dibeli bapa tetapi untuknya akan dibeli kemudian kerana dia memasuki tingkatan satu, tahun depan.

Nenek dua beradik itu, Wan Rubiah Wan Abdul Kadir, 45, terkejut dengan kejadian yang menyebabkan cucunya menjadi yatim piatu.

Ketika ini, dua beradik itu akan tinggal bersamanya dan terpulang kepada anggota keluarga lain untuk membuat keputusan selepas ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Grik, Superintendan Mahad Nor Abdullah, berkata siasatan awal polis mendapati kejadian berpunca daripada kecuaian pemandu kereta, Wan Asri kerana memandu terlalu laju ketika mengambil selekoh.

Katanya, keadaan jalan tidak menunjukkan sebarang bahaya seperti lubang atau jalan basah dan licin.

Beliau berkata, pemandu mesti sentiasa berhati-hati dan mematuhi peraturan jalan raya kerana Jalanraya Timur-Barat sering berkabus.

“Jalan raya ini juga agak sibuk kebelakangan ini kerana menjadi jalan alternatif selepas Jalan Gua Musang-Jeli ditutup akibat tanah runtuh,” katanya ketika ditemui, semalam.

Hadir sama, Ketua Trafik Daerah Grik, Cif Inspektor Zamzuri Nawawi.

Zamzuri berkata, pemandu lori dan kelindan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, lori berkenaan membawa barang elektronik menuju Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang.

Pegawai Penjaga Balai Bomba dan Penyelamat Grik, Che Seman Che Soh berkata, pihaknya bekerjasama dengan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Jeli, Kelantan, untuk mengeluarkan mangsa.

Katanya, sebuah jentera bersama enam anggota dari Jeli membantu enam anggota bomba dari Grik.

“Empat mangsa tersepit dan anggota kami mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mengeluarkan mereka,” katanya.

Lima jenazah mangsa yang maut di tempat kejadian dihantar ke Hospital Grik untuk bedah siasat pagi semalam sebelum dituntut keluarga untuk dikebumikan di Kampung Panglima Bayu di Tanah Merah. Mohd Asri meninggal dunia di Hospital Jeli.

(Harian Metro)

Tiga lelaki Indonesia ditahan bersama 12kg ganja

KLANG 26 Dis. – Polis berjaya melumpuhkan satu lagi sindiket pengedaran dadah dengan tertangkapnya tiga lelaki bersama 12 kilogram (kg) ganja bernilai RM300,000 dalam dua serbuan di Rantau Panjang di sini, Ahad lalu.

Serbuan pertama yang diketuai Asisten Supritendan Sakri Yusof dari Jabatan Narkotik Klang dibuat di Jalan Telok Kapas manakala serbuan kedua oleh Jabatan Narkotik Kuala Lumpur di kawasan berhampiran.

Ketua Polis Daerah Klang, Asisten Komisioner Mohamad Md. Yusof berkata, serbuan pertama di sebuah rumah kira-kira pukul 11.30 malam adalah hasil risikan polis dan maklumat orang awam.

Beliau berkata, semasa serbuan itu, dua lelaki termasuk seorang pendatang tanpa izin Indonesia ditahan dan 11 ketulan mampat ganja seberat 11 kg ditemui disorok dalam kotak mee segera Indomie di dapur dan di dalam bilik di rumah tersebut.

“Dalam serbuan kedua, seorang lelaki ditahan manakala seketul ganja mampat seberat 1kg dirampas daripadanya,” kata beliau.

Bagaimanapun, menurut Mohamad, walaupun kedua-dua operasi itu adalah gerakan berasingan tetapi selepas tamat, polis mendapati kedua-duanya mempunyai kaitan.

Tambah beliau, siasatan ke atas kedua-dua suspek mendapati sindiket ini beroperasi agak lama dengan mendapat bekalan dadah dari negara jiran sebelum dipasarkan di sekitar Lembah Klang.

“Ini kejayaan terbesar Jabatan Narkotik Klang pada tahun ini dan akan diteruskan untuk membanteras jenayah itu di daerah ini,” ujar beliau.

Menurut Mohamad, dua suspek berusia 30 dan 38 tahun yang diberkas Jabatan Narkotik Klang itu sedang ditahan reman sehingga 28 Disember ini sementara seorang lagi ditahan reman di Kuala Lumpur.

(Utusan)

Kabul-PBB dilanda krisis -- Kerajaan usir diplomat kanan didakwa temui Taliban

KABUL 26 Dis. – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sedang berunding dengan kerajaan Afghan untuk mengelak pengusiran dua diplomat kanan yang didakwa mengancam keselamatan negara.

Diplomat berkenaan - seorang diplomat Britain yang berkhidmat untuk Kesatuan Eropah (EU) dan seorang pegawai PBB dari Ireland - telah diusir keluar dari negara ini dan rakan warga tempatan mereka turut ditahan, kata seorang jurucakap kerajaan Afghan di sini.

Katanya, pemangku ketua misi EU, Michael Semple dan pegawai kanan PBB, Mervyn Patterson telah mengadakan pertemuan secara haram dengan anggota Taliban dan mesti meninggalkan negara ini selewat-lewatnya esok.

“Kerajaan mengambil keputusan muktamad, mereka telah diisytiharkan sebagai persona non grata (orang tidak diingini),” kata pegawai itu.

Diplomat Barat di Kabul mempertahankan kedua-dua diplomat tersebut dan menegaskan perbalahan itu hanyalah satu “salah faham.”

Semple berkata, adalah tidak wajar untuk beliau membuat kenyataan mengenai perkara itu pada waktu ini.

Jurucakap PBB di sini, Aleem Siddique berkata, kes itu merupakan salah faham yang timbul selepas kedua-dua diplomat melawat pekan Musa Qala, wilayah Helmand, yang ditawan semula selepas 10 bulan dikuasai oleh Taliban.

Meninjau

Mereka melawat kawasan berkenaan untuk meninjau usaha “menstabilkan keadaan” berikutan operasi ketenteraan itu, katanya sambil menambah pihak PBB sedang berunding dengan kerajaan Afghan bagi menyelesaikan salah faham tersebut.

Kabul menuduh Semple dan Patterson, kedua-duanya berpengalaman luas tentang hal-ehwal Afghanistan selain mahir dalam bahasa dan adat resam tempatan, mengadakan rundingan dengan anggota Taliban di Helmand.

Wilayah itu dikenali sebagai pusat industri pengeluaran dadah negara ini dan merupakan sebahagian kubu kuat Taliban.

“Kedua-duanya bukan sahaja mengadakan rundingan dengan Taliban tetapi turut menghulurkan wang kepada gerila itu.

“Tidak jelas sama ada mereka menyokong pemberontak atau tidak,” kata pegawai Afghan itu.

Beliau juga tidak mengetahui sama ada pertemuan itu atas inisiatif peribadi atau urusan rasmi kedua-dua diplomat tetapi 50 warga Afghan turut ditahan dan disoal siasat berhubung perkara itu.

Semple dan Patterson tinggal dan bekerja di negara ini sejak lebih 10 tahun lalu termasuk semasa pemerintahan Taliban yang digulingkan oleh tentera Amerika Syarikat (AS) pada 2001.

Kedua-duanya dianggap sangat berpengalaman dan pakar mengenai Afghanistan.

Kemahiran mereka itu sangat berharga bagi puluhan pertubuhan antarabangsa dan pertubuhan bantuan bukan kerajaan yang cuba menjalankan projek pembinaan dan pembangunan semula di negara ini.

– Reuters

Keluarga Umi Azlim perlu RM300,000

TANAH MERAH 26 Dis. – Keluarga Umi Azlim Mohamad Lazim memerlukan sekurang-kurangnya RM300,000 bagi mengendalikan proses rayuan terhadap hukuman mati yang dijatuhkan terhadap gadis itu menggunakan khidmat sekumpulan peguam berkaliber di China.

Sehubungan itu, Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, satu dana guaman akan dibentuk oleh sebuah badan bukan kerajaan dengan restu kerajaan negeri bagi membela nasib gadis malang itu.

Katanya, beliau sendiri akan melancarkan dana itu.

Nik Abdul Aziz berharap semua pihak yang bersimpati dengan nasib Umi Azlim dan keluarganya akan membantu mengisi dana tersebut bagi membolehkan proses rayuan dilakukan segera.

Beliau yang yakin Umi Azlim diperdaya dan teraniaya dalam kes dadah itu berkata, selaku anak negeri, adalah menjadi kewajipan bagi kerajaan dan pemimpin untuk turut membantu gadis itu.

‘‘Kita menghormati undang-undang China. Sekiranya diberi peluang untuk kemukakan rayuan, maka kita boleh manfaatkan peluang itu untuk melakukannya. Saya setuju menjadi penaung dana itu,” ujar beliau kepada pemberita selepas menghadiri majlis Program Membina Masyarakat Cakna dan Penyayang 2007 di Dewan Majlis Daerah Tanah Merah di sini hari ini.

Menurut Nik Abdul Aziz, proses rayuan itu akan dibuat selepas Tahun Baru Cina pada awal tahun depan.

Sebelum ini, kerajaan negeri dan juga UMNO Pasir Puteh telah membantu membiayai pemergian Mohamad Lazim Jusoh dan isteri, Umi Slaila Ibrahim untuk menemui anak mereka di penjara Santou, China.

Mereka berdua yang berkunjung ke sana selama empat hari dan pulang Sabtu lalu telah memaklumkan kepada Nik Abdul Aziz hasil pertemuan dengan anaknya di samping usaha pihak Konsulat Malaysia di sana membantu mereka.

Umi Azlim, 24, didapati bersalah menyeludup 2.983 kilogram heroin di lapangan terbang Shantao dan telah dijatuhkan hukuman mati.

Namun di China dalam tempoh dua tahun selepas hukuman, rayuan boleh dikemukakan bagi mengurangkan hukuman kepada penjara seumur hidup.

Menteri Besar itu berkata, kes Umi Azlim boleh menjadi pengajaran untuk semua pihak agar tidak mudah terpedaya dan diperalatkan oleh sesiapa.

(Utusan)

Yang di-Pertuan Agong, Raja Permaisuri kembali dari tanah suci

SUBANG, 26 Dis. - Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah berangkat pulang ke tanah air hari ini selepas menunaikan fardu haji di Mekah.

Seri Paduka Baginda berdua dan anggota rombongan seramai 23 orang yang terdiri daripada kerabat diraja terdekat, pegawai istana dan pengiring tiba di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia di sini kira-kira pukul 7.45 pagi.

Antara anggota rombongan berkenaan ialah anakanda-anakanda baginda iaitu Tengku Nadhirah Zahrah, Tengku Muhammad Ismail, Tengku Muhammad Mua’az dan Tengku Fatimatuz Zahra’.

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Idris Jusoh turut menyambut kepulangan baginda berdua.

Sebaik sahaja tiba, doa selamat dibacakan oleh Imam Besar Masjid Negara, Datuk Syeikh Ismail Muhammad.

Rombongan diraja itu berangkat ke Mekah pada 13 Dis lepas. - BERNAMA

26 December 2007

26.12.07 - 2 pegawai tinggi Britain ditahan -- Hamid Karzai dakwa jadi ancaman keselamatan Afghanistan

KABUL 25 Dis. – Kerajaan Afghanistan hari ini menyatakan, dua orang pegawai tinggi Britain telah ditahan kerana menjadi ancaman kepada negara yang sedang bergolak itu.

Pegawai kerajaan Afghanistan itu menyatakan, kedua-dua pegawai Britain terbabit ditangkap lima hari lalu kerana mendatangkan masalah keselamatan kepada negara.

Kenyataan itu mengesahkan laporan sebelum ini yang menyatakan, dua orang pegawai tinggi Eropah telah ditangkap.

“Dua pegawai asing telah ditangkap baru-baru ini kerana mereka mendatangkan ancaman terhadap keselamatan Afghanistan,” kata Homayun Hamidzada, ketua jurucakap kepada Presiden Hamid Karzai.

Homayun bagaimanapun tidak menjelaskan kesalahan kedua-dua pegawai terbabit.

Seorang pegawai kanan kerajaan sebelum itu berkata, kedua-dua pegawai terbabit berasal dari Eropah tetapi enggan menyatakan negara asal mereka.

“Mereka merupakan pegawai tinggi Eropah. Mereka dengan sokongan rakan dari Afghanistan telah melakukan kerja yang bertentangan dengan tugas dan mendatangkan ancaman keselamatan terhadap keselamatan Afghanistan,” kata pegawai kerajaan yang enggan dikenali identiti.

Katanya, kedua-dua pegawai itu akan diusir sementara rakyat Afghanistan terbabit akan dibawa ke pengadilan.

Kementerian Luar Afghanistan mengesahkan adanya penangkapan tetapi enggan memberi penjelasan.

Terdapat beribu-ribu warga Eropah yang bertugas di Afghanistan sama ada dalam pasukan tentera Perjanjian Pakatan Atlantik Utara (NATO), sektor kerajaan dan badan bukan kerajaan.

– AFP

26.12.07 - Pegawai kerajaan, tentera antara ditahan lumba haram

KUALA LUMPUR, 25 Dis. - Seorang pegawai penguatkuasa Imigresen Putrajaya, seorang pegawai perhutanan dan seorang anggota tentera, adalah antara lima orang yang ditahan dalam satu operasi cegah lumba haram di Dataran Merdeka awal pagi ini.
Operasi yang bermula pukul 11 malam itu dijalankan oleh Skuad 42 Unit Trafik Kuala Lumpur, dan tamat pada pukul 6 pagi.
Ketua operasi, ASP Norhizam Bahaman berkata kedua-dua pegawai, yang berusia 25 tahun, ditahan kerana berlumba menggunakan kereta Proton Iswara dan Putra, dari Maju Juction, dekat Jalan Tunku Abdul Rahman menghala ke Dataran Merdeka.
``Mereka turut membawa tiga gadis berumur antara 17 dan 19 tahun. Polis juga menjumpai gari, kondom, keris dan telefon bimbit yang mengandungi rakaman aksi lucah pegawai imigresen itu bersama seorang gadis,'' katanya kepada Bernama di sini hari ini.
``Ketika disiasat, pegawai itu enggan memberikan kerjasama, dengan memberi alasan bahawa beliau adalah pegawai tinggi, dan kononnya sedang bertugas ketika itu,'' tambahnya.
Norhizam berkata anggota tentera itu pula ditahan bersama dua lagi lelaki, selepas mereka didapati melakukan aksi menunggang motosikal dengan cara yang amat berbahaya.
Beliau berkata semua mereka ditahan bagi kesalahan mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987, kerana memandu secara berbahaya. - BERNAMA

26.12.07 - Mana keadilan - pemuda Melayu dipenjara, Hindraf dilepaskan!

KOTA BHARU, 25 Dis (Hrkh) - Di manakah keadilan? Cuba anda bayangkan mangsa yang cedera ditembak polis tidak dibenarkan ikat jamin oleh mahkamah, sedangkan 31 lelaki yang pernah dituduh cuba membunuh seorang penjawat awam dilepaskan.

Inilah nasib malang yang menimpa Suwandi Abdul Ghani dan Mohamad Azman Aziz yang kini ditahan di Penjara Terbuka Marang setelah Hakim Mahkamah Sesyen, Hassan Abdul Ghani pada 9 Disember lalu tidak membenarkan mereka diikat jamin.
Manakala anggota Hindu Action Right Force (Hindraf) yang ditahan polis semasa perhimpunan di Kuala Lumpur, 25 November dibebaskan Mahkamah Sesyen Shah Alam.

"Ini bukan soal perkauman, tetapi kita mahu menuntut di mana keadilannya. Dua anak muda Melayu yang ditembak polis sehingga cedera parah tidak dibenarkan ikat jamin.
"Manakala dalam kes lain di mana anggota Hindraf yang dikatakan mendatangkan kecederaan kepada angota polis pula dibebas. Mana keadilannya dalam isu ini," kata bekas anggota Majlis Tertinggi Umno, Dato' Ibrahim Ali.
Sebagaimana juga kata Penasihat KeADILan, Dato' Seri Anwar dua orang awam yang ditembak polis didakwa serta dipenjarakan tanpa ikat jamin, seolah-olah menggambarkan Malaysia menggunakan hukum 'rimba'.
Pada kejadian berdarah di Batu Burok 8 September lalu dua pemuda Melayu, Muhdmmad Azman Aziz, 21 dan Suwandi Abd Ghani, 38, ditembak seorang anggota polis pada satu perhimpunan.
Difahamkan tembakan secara rambang tersebut menebusi dada mereka, manakala Suwandi terpaksa dikejarkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia di Kota Bharu bagi mengeluarkan peluru yang terbenam dalam dadanya.
Ibrahim berkata, dua tragedi yang berlaku itu diselesaikan secara tidak adil kerana Barisan Nasional (BN) mahu menarik sokongan orang India pada pilihan raya umum akan datang.
"Jelas isu di antara Batu Burok dan Kuala Lumpur bermotif politik kerana ia diselesaikan secara tidak adil. Saya bukan mahu menghasut tetapi perkara seperti itu perlu diberitahu kepada rakyat," katanya pada ceramah di Dataran Stadium Sultan Mohammad Ke IV di sini, baru-baru ini.
Mengulas isu yang sama Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa berkata, dua isu yang berlaku di Kuala Lumpur dan Batu Burok memperlihatkan kerajaan telah mempengaruhi sistem perundangan di negara ini.
Ketika ditemui selepas Majlis Makan Malam sempena pungutan derma untuk Tabung pilihan Raya PAS Kota Bharu baru-baru ini katanya, sistem perundangan di negara ini boleh ditarik atau ditolak sesuka hati.
"Pada awalnya saya bayangkan peserta perhimpunan Hindraf akan mengalami nasib sama seperti dua pemuda Melayu di Batu Burok yang tidak dibenarkan ikat jamin.
"Lebih menghairankan lagi tuduhan yang dikenakan terhadap Suwandi dan Azman juga sudah agak lewat," ujarnya beliau.
Oleh itu, Nasharuddin berharap Perdana Menteri memastikan dua pemuda Melayu juga dibebaskan seperti yang berlaku terhadap peserta Hindraf.

"Saya bukan mahu membangkitkan soal perkauman, tetapi isu yang paling jelas di sini bagaimana keputusan pentadbiran perundangan itu berlainan antara kes di Batu Buruk dan Batu Caves," ujarnya.
Suwandi dan Azman kini didakwa di bawah seksyen 149 Kanun Keseksaan yang mana sabit kesalahan boleh dihukum penjara lima tahun atau denda.
Sementara itu dalam majlis yang sama, anggota jawatankuasa KeADILan Pusat, N Gobalakrishnan berkata, dalam tempoh sebulan beliau sudah empat kali ditahan polis sehingga terpaksa bermalam di lokap dan penjara.
Menurutnya sepanjang ditahan beliau ditempatkan di lokap Balai Polis di Shah Alam, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur , selain itu turut ditahan di penjara Sungai Buluh dan Pudu.
Kata beliau biarpun diugut kerajaan BN dengan menahan sesuka hati, namun beliau tidak pernah gentar untuk terus berjuang bagi menegakkan keadilan di negara ini.
Beliau juga menjelaskan perhimpunan Hindraf pada 25 November lalu sebenarnya bagi menuntut pampasan daripada kerajaan Britain selepas membawa masuk orang India ke ladang kira-kira 100 tahun lalu.
"Pada 1907 masyarakat India dibawa bekerja di ladang di Setiawan Perak sehingga menyebabkan ramai yang susah sehingga sekarang. Hindraf telah memfailkan kes itu di England dengan menuntut kerajaan Britain membayar sebanyak 1 juta paun Sterling kepada setiap orang India," katanya.
Beliau juga memberitahu Hindraf tidak pernah memusuhi orang Melayu sebaliknya bermusuh dengan pemimpin Umno yang menganiayai mereka.
Menurutnya pada zaman awal kemerdekaan di negara ini terdapat 1,000 sekolah Tamil, namun sekarang sudah tinggal 542 buah.
Kata beliau, perjuangan sebenar Hindraf telah diselewengkan media arus perdana sehingga menyebabkan masyarakat tidak faham perkara sebenar yang berlaku.
Hadir sama pada ceramah itu, Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Yang Dipertua PAS Kota Bharu, Dato' Wan Abdul Rahim Wan Abdullah.

(HarakahDaily)

26.12.07 - Polis mengganas: Pintu rumah dipecah, blogger ditahan

KUALA LUMPUR, 25 Dis (Hrkh) - Selepas siri penangkapan ke atas peserta-peserta demonstrasi, terkini pihak polis dilihat cuba meluaskannya pula terhadap bloggers.

Terbaru, seorang blogger yang dikenali sebagai Cucu Mat Kilau telah ditahan oleh pihak polis di rumahnya semalam sekitar jam 10 pagi.
Dalam posting yang disampaikan melalui blog peribadinya, beliau mengisahkan secara terperinci bagaimana rumahnya dipecah masuk oleh pihak polis seolah-olah beliau adalah seorang penjenayah besar yang menjadi buruan di seluruh negara.
Dalam kejadian tersebut, pihak polis telah merampas tiga telefon bimbit, sebuah laptop, dompet dan kad pengenalannya.
Walaupun dibebaskan kemudiannya, namun Cucu Mat Kilau mendakwa tindakan yang diambil oleh pihak polis itu sebagai usaha untuk menakut-nakutkannya selain mendapat arahan daripada pihak tertentu untuk menahannya.
Beliau dalam kenyataan postingnya, menjelaskan akan membuat satu laporan polis dalam masa terdekat di samping membuat kenyataan media berhubung kejadian yang berlaku.
Peristiwa dan kejadian terperinci boleh dikunjungi melalui blog beliau di http://cucumatkilau.blogdrive.com/

(HarakahDaily)

Baca Tulisan CucuMatKilauKlik Sini

25 December 2007

25.12.07 - Bekas tahanan Guantanamo takut kawasan lapang

SYDNEY 24 Dis. – Warga Australia yang merupakan bekas tahanan Teluk Guantanamo, David Hicks lebih suka berkurung di dalam bilik penjara berbanding keluar ke pekarangannya selepas bertahun-tahun ditahan di kem tentera Amerika Syarikat (AS) itu.

Menurut laporan akhbar Sydney Morning Herald hari ini, Hicks dijadual dibebaskan dari penjara di sini pada Sabtu ini tetapi dari segi psikologinya tidak bersedia untuk mengecapi kebebasan.

Hicks ditahan oleh tentera AS selama lima tahun di Teluk Guantanamo, Cuba dan kini menghidapi agorafobia iaitu perasaan takut apabila berada di kawasan lapang dan tempat yang tidak biasa.

Dia sebaliknya lebih selesa berada di dalam bilik tertutup yang diterangi cahaya lampu berbanding berada di kawasan terbuka di bawah sinaran matahari, menurut Herald.

Bekas militan yang pernah menggambarkan pemimpin Al-Qaeda, Osama bin Laden sebagai “saudara yang baik hati” itu hanya sekali menjejakkan kaki di pekarangan penjara sejak dia dibawa pulang ke Australia pada Mei lalu, menurut laporan itu.

“Dia cuba keluar tetapi merasakan dirinya tertekan,” kata bapanya, Terry kepada akhbar tersebut.

Hicks, 32, juga pernah dilanda perasaan panik dengan tiba-tiba ketika dipindahkan dari Penjara Yatala, Australia Selatan sebagai persiapan sebelum dibebaskan pada Sabtu ini.

Perjalanan ke balai polis Holden Hill itu terpaksa dibatalkan kerana Hicks tiba-tiba berasa cemas kerana mempercayai dia diserahkan balik ke tangan tentera AS.

Hicks yang ditangkap di Afghanistan pada akhir 2001 telah mengaku menjalani latihan bersama-sama pejuang Al-Qaeda dan Taliban.

Dia dihantar balik ke negara ini pada Mei lalu setelah mengaku bersalah menyokong keganasan dan dibenarkan menghabiskan baki hukuman penjaranya yang tinggal sembilan bulan lagi di Yatala, Adelaide.

Walaupun keadaan mentalnya mudah terganggu, Hicks masih dianggap sebagai ancaman keselamatan dan sebuah mahkamah Australia pada Jumaat lalu mengenakan sekatan ketat ke atas pergerakannya selepas dia dibebaskan nanti.

– AFP

(Utusan)

25.12.07 - Saya tidak menyesal – Paranjothy


KUALA LUMPUR 24 Dis. – Naib Ketua Pemuda Gerakan, S. Paranjothy sedia menerima apa jua bentuk hukuman berikutan kenyataannya bahawa kaum India di negara ini terus terpinggir.

Bagaimanapun, beliau tidak menyesal dengan tindakan itu kerana ia merupakan usahanya untuk meluahkan perasaan rakyat di peringkat akar umbi.

Sebagai seorang ahli politik, katanya, beliau harus menanggung risiko terhadap tindakannya itu termasuk dikenakan hukuman oleh Jawatankuasa Kerja Pusat (CCC) dan Jawatankuasa Disiplin Parti Gerakan.

‘‘Saya tertakluk kepada perlembagaan parti dan saya juga tertakluk kepada undang-undang negara. Jika parti mendapati saya telah melakukan satu kesalahan yang bertentangan dengan perlembagaan, saya sedia dikenakan tindakan.

“Saya tidak akan menyalahkan Pemangku Presiden (Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon) sekiranya saya dikenakan hukuman ini kerana beliau telah melakukan perkara yang sewajarnya,’’ kata Paranjothy kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, parti Gerakan telah memulakan tindakan tatatertib terhadap Paranjothy kerana mengeluarkan kenyataan yang boleh menyinggung perasaan masyarakat majmuk di negara ini.

Baru-baru ini, satu laporan dalam laman web Internet memetik Paranjothy sebagai mendakwa UMNO merupakan salah satu punca mengapa kaum India terpinggir di negara ini.

Dalam reaksinya, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein meminta Tsu Koon bertindak terhadap pemimpin muda Gerakan itu kerana mengeluarkan kenyataan yang tidak berasas dan boleh merosakkan hubungan dalam Barisan Nasional (BN).

Ketika ditanya kemungkinan beliau dipecat daripada parti akibat perbuatannya mengeluarkan kenyataan kontroversi tersebut, Paranjothy berkata, beliau tidak pernah terfikir hingga sejauh itu.

‘‘Saya yakin Pemangku Presiden, Jawatankuasa Disiplin Gerakan dan semua yang akan terlibat dalam mengadili saya akan membuat keputusan yang adil dan terbaik,’’ ujarnya.

Paranjothy memberitahu, beliau terdorong mengeluarkan kenyataan untuk memaklumkan bahawa masyarakat India di Malaysia memang memerlukan pembelaan sewajarnya.

Katanya: ‘‘Saya juga ingin tegaskan bahawa saya tidak pernah menyatakan UMNO menjadi punca kaum India terpinggir tetapi apa yang saya ingin beritahu ialah kedudukan kaum India yang kini berhadapan dengan banyak masalah.

‘‘Saya bukan sengaja mahu mengeruhkan keadaan tetapi keadaan ini adalah hakikat yang sedang berlaku. Siapa yang banyak menjadi ahli kumpulan samseng gengster – kaum India. Siapa yang banyak terlibat dalam gejala sosial yang memalukan – orang India.’’

Tegas beliau, isu orang India adalah isu nasional dan ia perlu diberi perhatian sepenuhnya.

‘‘Jangan nanti negara kita menjadi tidak selamat kerana kita gagal menyelesaikan masalah orang India,’’ ujarnya.

Menurut Paranjothy, beliau langsung tidak berniat untuk menjadi popular tetapi apa yang diperjuangkan itu adalah berteraskan kepada kepentingan orang ramai.

Katanya, setakat ini beliau masih belum dipanggil menghadap Jawatankuasa Disiplin Parti Gerakan.

‘‘Saya jangka mereka akan memanggil saya tidak lama lagi kerana ramai di kalangan anggota jawatankuasa itu sedang bercuti ketika ini,’’ tambahnya.

(Utusan)

25.12.07 - Pakaian seragam sekolah makin mahal

KUALA LUMPUR 24 Dis. – Ibu bapa yang membuat persiapan menjelang sesi persekolahan 2008 mengeluh kerana terpaksa menanggung kenaikan mendadak harga pakaian dan kelengkapan sekolah.

Harga pakaian seragam sekolah yang dijual di pusat-pusat beli-belah dilaporkan naik sehingga 100 peratus berbanding harga tahun lalu.

Mereka mendakwa kenaikan itu amat membebankan ibu bapa terutama yang berpendapatan rendah.

Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa kompleks beli-belah sekitar ibu kota mendapati pakaian seragam pelajar sekolah menengah mencecah sehingga RM33 sepasang manakala harga purata baju kurung pelajar perempuan sekitar RM25 sepasang.

Seorang eksekutif kewangan, Ahmad Johan Abd. Jamil, 39, memberitahu, beliau terpaksa membelanjakan sehingga RM300 untuk setiap seorang anaknya menjelang sesi baru persekolahan Januari ini.

“Pada tahun lalu saya hanya mengeluarkan belanja sekitar RM150 untuk seorang anak. Kini perbelanjaan saya telah naik sehingga sekali ganda,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Isterinya, Azidah Abdullah, 38, memberitahu, seluar pendek jasmani pelajar sekolah rendah yang berharga RM20 sudah cukup untuk membuktikan kenaikan kos kelengkapan persekolahan.

“Saya masih ingat tahun lepas seluar pendek ini hanya dijual pada harga RM15, tetapi sekarang seluar yang sama sudah naik kepada RM20 sehelai. Tapi apa nak buat, kami terpaksa juga membelinya demi pendidikan anak-anak,” ujarnya.

Pasangan dari Ampang itu mempunyai dua anak yang masih belajar di sekolah rendah manakala seorang lagi menuntut di sekolah menengah.

Seorang bapa, Foo Chee Chun, 35, yang menjalankan perniagaan kedai runcit di Kepong dekat sini turut memberikan pendapat yang sama.

“Paling kurang saya membelanjakan RM150 bagi seorang anak untuk sesi baru persekolahan nanti. Tahun lepas, setiap seorang hanya memerlukan sekitar RM90,” katanya yang mempunyai lima anak yang menuntut di peringkat rendah dan menengah.

Menurut Chee Chun, berikutan kenaikan harga kelengkapan sekolah yang agak tinggi, beliau tiada pilihan melainkan meminta anak-anaknya menggunakan pakaian dan peralatan sekolah yang digunakan oleh kakak dan abang mereka yang telah menamatkan persekolahan peringkat rendah.

Seorang kakitangan swasta, Mohd. Yusof Omar, 42, pula berkata, kenaikan harga kasut sekolah paling dirasainya kerana sepasang kasut kini mencapai harga RM30 sepasang.

Dahulu, kasut yang sama dijual hanya sekitar RM20.

“Walaupun saya boleh beli kasut yang berharga RM18, tetapi kualitinya rendah. Saya rasa ia mudah rosak.

“Sekalipun perbelanjaan persekolahan meningkat saban tahun, saya terpaksa membeli kelengkapan baru demi masa depan anak-anak,” jelasnya.

Sementara itu, seorang suri rumah S. Sandanasamy, 57, memberitahu, kenaikan harga barang memang tidak dapat dielakkan.

Beliau percaya ibu bapa yang sanggup berbelanja untuk anak-anak akan mendapat balasan setimpal dalam bentuk prestasi cemerlang anak-anak dalam peperiksaan.

Anaknya, William John, bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) manakala David John akan menghadapi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada tahun depan.

(Utusan)

24 December 2007

24.12.07 - Bapa yakin Umi Azlim boleh diselamatkan

KOTA BHARU 23 Dis. – Bapa kepada Umi Azlim, 24, Mohamad Lazim Jusoh yakin peluang masih cerah untuk menyelamatkan anak sulungnya itu daripada menjalani hukuman mati di China.

Beliau berkata, ini kerana sistem perundangan di negara itu membenarkan peguam yang dilantik Pejabat Konsulat Malaysia di sana untuk mengemukakan rayuan walaupun tertuduh telah dijatuhi hukuman mati oleh mahkamah.

Menurut beliau, undang-undang juga membenarkan mahkamah menyemak semula hukuman yang telah dijatuhkan itu dalam tempoh dua tahun tertuduh ditahan dipenjara.

“Sekiranya mahkamah berpuas hati dengan hujah pihak pembelaan, ia boleh menggugurkan hukuman mati dan diganti dengan penjara seumur hidup.

“Malah jika berkelakuan baik dalam tempoh dua tahun itu, mahkamah boleh mengurangkan hukuman penjara seumur hidup kepada tempoh tertentu sahaja, misalnya tiga tahun,” katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa di sini malam tadi sekembalinya dari China bersama isteri, Umi Slaia Ibrahim untuk melawat anak sulungnya itu Rabu lalu.

Umi Azlim kini menjalani hukuman di Penjara Santaou setelah didapati bersalah menyeludup 2.983 kilogram heroin di Lapangan Terbang Shantou, China pada 19 Januari tahun ini.

Mohamad Lazim menjelaskan, perasaan rindunya dan isteri terhadap Umi Azlim terubat setelah dibenarkan bertemu dengan anak gadisnya selama 20 minit.

“Sebaik bertemu kami semua tak dapat tahan daripada menangis dan isteri saya terus memeluk erat anak kesayangannya,” ujarnya.

Bagaimanapun, mereka tidak dibenarkan memberi makanan yang dibawa dari luar termasuk serunding daging yang menjadi kegemaran anaknya itu.

Beliau berkata, ketika bersama Umi Azlim, anaknya itu hanya menangis dan tidak henti-henti meminta maaf terhadap apa yang berlaku sehingga menyusahkan keluarga.

“Umi menceritakan dia menjadi mangsa penipuan sindiket antarabangsa sehingga terpaksa meringkuk dalam penjara,” ujarnya.

Beliau akan menemui beberapa pihak di sini yang telah bersetuju untuk menguruskan proses melantik peguam di China bagi mengemukakan rayuan secepat mungkin.

“Kami mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang membantu dan prihatin terhadap kes Umi Azlim terutama kerajaan negeri dan Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Guanzhou yang melicinkan proses sepanjang berada di sana,” katanya.

(Utusan)

24.12.07 - Klip video: BPR selesai ambil keterangan 20 saksi

KUALA LUMPUR 23 Dis. – Badan Pencegah Rasuah (BPR) mengesahkan ia telah selesai mengambil keterangan 20 saksi dengan sebahagiannya orang kenamaan dalam siasatan rakaman klip video mengandungi perbualan seorang peguam terkemuka mengatur pelantikan hakim.

Pengarah Siasatan BPR, Mohd. Shukri Abdull memberitahu, antara orang kenamaan itu ialah bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang diambil keterangannya Jumaat lalu.

Menurutnya, turut diambil keterangan mereka ialah dua bekas Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim dan Tun Dzaidin Abdullah.

Beliau menambah, keterangan juga diambil daripada Menteri Pelancongan, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor, bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan tokoh perniagaan, Tan Sri Vincent Tan, seorang bekas Ketua Setiausaha Negara serta beberapa peguam daripada Majlis Peguam.

“Kita telah selesai mengambil keterangan daripada 20 orang saksi terbabit dalam tempoh sebulan ini yang berakhir Jumaat lalu serta mendapat kerjasama baik daripada mereka.

“Sesetengahnya ditemui di pejabat mereka manakala selebihnya datang sendiri ke pejabat BPR,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Bagaimanapun, Mohd. Shukri enggan mengulas sama ada saksi-saksi terbabit akan dipanggil oleh Suruhanjaya Diraja yang dibentuk kerajaan untuk menyiasat kes klip video itu.

Sementara itu, Ketua Bahagian Pendakwaan BPR, Datuk Nordin Hassan yang turut dilantik menganggotai Suruhanjaya Diraja itu bagi membantu menjalankan siasatan memberitahu, senarai penuh saksi yang akan dipanggil oleh suruhanjaya tersebut belum diputuskan lagi.

Menurutnya, senarai itu telah pun diserahkannya kepada suruhanjaya berkenaan.

“Saya tidak boleh komen bagi pihak suruhanjaya, tetapi senarai itu sudah pun dikemukakan, terserahlah kepada suruhanjaya untuk menentukannya,” katanya.

Beliau juga enggan mengulas apabila ditanya sama ada saksi-saksi yang akan dipanggil suruhanjaya itu adalah senarai sama yang telah diambil keterangan oleh BPR sebelum ini.

(Utusan)

24.12.07 - Keanggotaan Naib Ketua Pemuda Gerakan boleh digantung – Tsu Koon

PULAU PINANG 23 Dis. – Parti Gerakan telah memulakan tindakan tatatertib terhadap Naib Ketua Pemudanya, S. Paranjothy kerana mengeluarkan kenyataan yang boleh menyinggung perasaan masyarakat majmuk di negara ini.

Pemangku Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon berkata, tindakan tersebut juga diambil kerana perbuatan Paranjothy didapati membelakangkan semangat Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata, kes tersebut telah dirujuk kepada Jawatankuasa Disiplin parti itu untuk siasatan sebelum dibawa kepada Jawatankuasa Kerja Pusat (CCC) bagi tindakan selanjutnya.

“Kami memandang serius perbuatannya mengkritik pelaksanaan dasar-dasar kerajaan dan mengeluarkan kata-kata keras untuk menyerang parti komponen BN secara terbuka.

“Ia perbuatan yang kasar dan amat tidak wajar,” kata Tsu Koon pada sidang akhbar di pejabat parti Gerakan di sini hari ini.

Turut hadir ialah Naib Presiden Gerakan, Datuk Dr. Teng Hock Nan.

Tsu Koon menjelaskan, pelbagai bentuk tindakan boleh dikenakan terhadap Naib Ketua Pemuda Gerakan itu termasuk menggantung keanggotaannya atau memecatnya daripada parti.

Baru-baru ini, Paranjothy mengeluarkan kenyataan yang telah disiarkan dalam Internet mendakwa UMNO merupakan salah satu punca mengapa kaum India terpinggir di negara ini.

Beliau menuduh pemimpin UMNO gemar menjadikan parti komponen BN sasaran serta menjadikannya batu loncatan untuk mengekalkan populariti UMNO dalam kalangan masyarakat Melayu.

Berikutan itu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mendesak Tsu Koon segera memberi penjelasan berhubung kenyataan Paranjothy itu.

Dalam nada keras, Hishammuddin berkata, kalau penjelasan tersebut gagal diberi atau tidak memuaskan, tidak mustahil Pemuda UMNO serta BN akan memutuskan hubungan dengan parti Gerakan.

Menurut Tsu Koon, Paranjothy sepatutnya berbincang terlebih dahulu dengan kepimpinan Gerakan sebelum mengeluarkan kenyataan yang boleh menyinggung atau menyakitkan hati kaum-kaum lain di negara ini.

“Tindakan beliau bertentangan dengan nasihat saya selama ini supaya Gerakan mengambil pendekatan positif dan membina dalam menyelesaikan masalah,” tegasnya.

Tsu Koon menambah, Paranjothy memang wajar dikenakan tindakan tatatertib kerana telah menggunakan hujah tidak wajar malah beliau sengaja memperbesarkan isu tanpa mengikut amalan BN.

Bagaimanapun, Ketua Menteri Pulau Pinang itu turut menyifatkan kenyataan Hishammuddin bahawa Pemuda UMNO akan memutuskan hubungan dengan Gerakan sekiranya tidak berpuas hati dengan penjelasan mengenai Paranjothy sebagai tidak tepat kerana Paranjothy hanya seorang pemimpin muda.

Beliau berkata, Hishammuddin boleh mengutuk serta mengkritik Paranjothy atau Pemuda Gerakan selain meminta penjelasan daripadanya selaku pemimpin Gerakan tetapi ugutan Ketua Pemuda UMNO itu untuk memutuskan hubungan dengan Gerakan memang tidak wajar.

(Utusan)

24.12.07 - Kes Batu Burok: Malaysia amal hukum rimba - Anwar

DUNGUN, 23 Dis (Hrkh) - Mantan Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Malaysia mengamalkan Undang-undang 'Rimba' ketika mengendalikan kes polis melepaskan peluru hidup pada kejadian 8 September lalu.
Ini kerana, katanya pihak yang bertanggungjawab melepaskan tembakan serta hampir meragut dua nyawa orang awam itu tidak didakwa oleh mahkamah.

Sebaliknya, kata Dato' Seri Anwar dua orang awam yang ditembak itu didakwa serta di penjarakan tanpa ikat jamin.

"Apa ni..ini hukum 'rimba' mana yang dipakai. Orang yang kena tembak di penjarakan dan yang melepaskan tembakan pula dilepaskan," ujarnya ketika berucap pada Ceramah Perdana Sempena Aidil Adha di Perkarangan Masjid Lama Sura, baru-baru ini.

Katanya, rakyat perlu membuat perubahan yang menyeluruh bagi menukar kepimpinan negara yang semakin lemah dan bercelaru ini.

Suwandi dan Azman kini ditahan di Penjara Terbuka Marang setelah Hakim Mahkamah Sesyen, Hassan Abdul Ghani pada 9 Disember lalu tidak membenarkan mereka diikat jamin.

Mereka menghadapi empat tuduhan, antaranya didakwa menunjukkan kekerasan jenayah untuk menakutkan pegawai polis yang menjalankan tugas yang sah di sisi undang-undang, seorang atau lebih daripada anggota perhimpunan telah dengan sengaja cuba menyebabkan cedera parah kepada Wan Aziz Wan Omar (RF143706), seorang penjawat awam.

Kesalahan itu di bawah seksyen 149 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen 333 dan seksyen 511 kanun yang sama di mana sabit kesalahan boleh dihukum penjara untuk tempoh lima tahun atau denda.

Semua tuduhan itu membabitkan mereka bersama-sama 18 orang yang lain pada 8 September lalu, lebih kurang jam 11.40 malam di tempat letak kereta Hotel Permai Inn, Jalan Sultan Mahmud kerana menyertai perhimpunan yang menyalahi undang-undang.

Perbicaraan kes tersebut akan diadakan pada 30 dan 31 Disember 2007 ini dan pendakwaannya diketuai sendiri oleh Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail. - mns
(HarakahDaily)

24.12.07 - Tahanan di bawah ISA kerana kritik Abdullah?

Ruhanie Ahmad

Khabar angin yang mengatakan segolongan bloggers sosio-politik Malaysia akan ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kini semakin bertiup kencang di Kuala Lumpur.

Mengikut spekulasinya, saya adalah antara bloggers yang diura-urakan akan ditahan tidak lama lagi. Spekulasi ini tersebar luas sehinggakan saya menerima beberapa e-mail dan sms meminta saya bertabah, bertenang dan hadapi kemungkinan itu dengan semangat jitu.

Kuasa melakukan sesuatu tahanan ISA berada di tangan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Maka, terserahlah kepada beliau membuat tindakan muktamadnya.

Buat diri saya, hanya Allah sahaja yang maha mengetahui mengapakah saya membabitkan diri sebagai blogger. Sesiapa yang mengikuti posting saya selama ini pun mungkin menyedari mengapa saya berbuat demikian.

Kedaulatan

Apa yang jadi tumpuan saya hanya Abdullah dan kelemahan kepimpinannya. Apa yang jadi fokus saya adalah kemerdekaan, kedaulatan dan maruah negara. Apa yang sering saya bicarakan adalah keterlanjuran kata dan tindakan Khairy Jamaluddin. Segala-galanya saya lakukan atas kasih dan sayang saya kepada agama, bangsa dan tanah air.

Bagaimanapun, saya akan tetap akur dengan tindakan yang mungkin dikenakan ke atas diri saya. Kalau itulah padah yang perlu saya terima, syukur Alhamdulillah! Inilah buktinya perjuangan saya menerusi alam maya selama ini memang ada kesannya. Kalau tidak, mana mungkin suara saya akan dilenyapkan begitu sahaja?

Saya jadi ahli UMNO sejak 1973. Nombor keahlian saya adalah 00001381. Sewaktu saya mula jadi Ahli Parlimen dalam tahun 1990, kampung saya belum menikmati bekalan letrik dan air bersih. Jalan tar hanya mimpi yang tidak bertepi.

Begitu jugalah keadaannya dengan hampir keseluruhan kawasan Parlimen Parit Sulong – dari Pekan Semerah di sempadan Muar, hinggalah ke Chaah di sempadan Segamat.

Kuasa Asing

Syukur Alhamdulillah, selama saya jadi wakil rakyat, transformasinya agak hebat. Rakyat di kampung-kampung dalam Parlimen Parit Sulong kini berada dalam suasana kehidupan bandar walaupun dengan setting desa. Segala-galanya mereka nikmati. Terima kasih kepada Barisan Nasional, Tun Dr Mahathir Mohamad, dan kepimpinan negeri Johor yang prihatin kepada rakyat jelata.

Bila Abdullah memimpin Malaysia, beliau mengketengahkan slogan cemerlang, gemilang dan terbilang. Semua rakyat jelata menyokongnya. Kini, apa sudah jadi? Adakah kepimpinan Abdullah berjuang ke arah itu?

Di zaman Mahathir tidak pernah kedengaran desas-desus mengatakan pejabat Perdana Menteri diresapi oleh sekumpulan elemen serta talibarut kuasa asing. Di zaman Abdullah bagaimana? Di zaman Mahathir, satu jiran tetangga kita yang tertentu langsung tidak berani angkat muka. Di zaman Abdullah apa kisahnya?

Bukankah Abdullah sendiri memberitahu dunia bahawa Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) di Johor, kepada Singapura adalah umpama Shenzen kepada Hongkong? Bukankah Abdullah pernah mengumumkan bahawa “free access” diberikan kepada sesiapa sahaja yang masuk dari Singapura ke WPI tanpa menggunakan passport? Bukankah hal ini hanya dibatalkan selepas mendapat tentangan hebat dari warga prihatin Malaysia?

Strategik

Inikah gaya dan cara seorang Perdana Menteri dalam membuat sesuatu perancangan mega tanpa memikirkan soal-soal strategik seperti kedaulatan negara dan keselamatan negara? Adakah kesilapan seperti ini kecil dan boleh dimaafkan begitu sahaja?

Adakah membicarakan kesilapan strategik seperti ini akan mengancam keselamatan negara? Tidakkah rancangan Abdullah sendiri yang sebenarnya hampir-hampir mengancam keselamatan serta kedaulatan negara?

Kini kita lihat UMNO. Pernahkah seorang Presiden UMNO mengeluarkan arahan supaya seorang individu tertentu dipastikan tidak akan memenangi pertandingan menjadi perwakilan bahagian ke Perhimpunan Agung UMNO (PAU) Malaysia? Hal ini berlaku di zaman Abdullah. Beberapa individu tertentu diberikan arahan dalam satu mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO supaya Mahathir disekat dengan apa cara sekalipun daripada menjadi perwakilan Bahagian Kubang Pasu ke PAU 2006.

Bukankah arahan ini tercatat dalam salah satu minit mesyuarat MT pada Ogos 2006? Bukankah tiga muka surat daripada minit tersebut yang mengandungi arahan itu kemudiannya dimansuhkan?

Silakan

Perkara ini diketahui oleh banyak pihak. Satu laporan polis mengenainnya pun sudah dibuat baru-baru ini. Tetapi, salinan tiga muka surat daripada minit mesyuarat MT berkenaan kini jadi satu bahan penting dan rahsia. Kakitangan Ibupejabat UMNO Malaysia amat ketakutan bila ada pihak cuba mengorek kemungkaran ini.

Soalnya, mengapakah UMNO sampai jadi begini di zaman Abdullah? Adakah membicarakan soal kepincangan seperti ini mengancam kesejahteraan UMNO? Tidakkah tindakan Abdullah sendiri yang sebenarnya sedang mengancam UMNO sehingga menjadikan UMNO disifatkan oleh banyak pihak sebagai tidak relevan lagi dengan zamannya? UMNO yang tidak relevan atau Abdullah sendiri yang tidak relevan?

Begitulah antara perkara yang pernah saya bangkitkan dalam blog ini. Saya juga pernah menulis sebuah buku bertajuk Mahathir Menyinga yang mengulas kedolak-dalikan Abdullah mengenai soal Jambatan Bengkok di Johor Bahru.

Kalau ini semua disifatkan oleh Abdullah sebagai ancaman kepada keselamatan negara, tunggu apa lagi? Silakanlah, tahanlah saya di bawah ISA dengan serta merta. Kalau tidak, nanti banyak lagi yang akan saya tulis kerana seperti sebilangan besar rakyat jelata, saya juga berpendapat bahawa Abdullah memang tidak lagi layak memimpin UMNO dan Malaysia!

(HarakahDaily)

24.12.07 - Anggota polis cedera, pistol dirampas penyamun

KUALA LUMPUR 23 Dis. – Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal dari Cawangan Jenayah Berat (D9) Kuala Lumpur cedera manakala pistol revolver .38 miliknya dilarikan sekumpulan enam penyamun bersenjatakan kayu di Jalan Kuching di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5 pagi itu, mangsa yang berusia 20-an dalam perjalanan ke pejabatnya menaiki motosikal sebelum diserang kumpulan lelaki itu yang menaiki sebuah kereta.

Selain pistolnya, wang dan kad kuasa polisnya dirampas malah mangsa turut dibelasah bertubi-tubi.

Ekoran itu, mangsa yang berasal dari Sarawak mengalami kecederaan di kepala, dada dan patah tangan.

Mangsa kemudian di bawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menerima rawatan dan kini dilaporkan stabil.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sofian Md. Yassin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Beliau memberitahu, polis masih menyiasat kes tersebut dan sedang mengesan kesemua suspek terbabit.

“Polis sedang memburu mereka, kita memandang serius kes ini terutama apabila penjenayah terbabit turut melarikan pistol milik mangsa,” ujarnya.

Difahamkan pasukan khas yang terdiri daripada Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, IPK Kuala Lumpur dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul dan IPD Dang Wangi ditubuhkan bagi menjalankan gerakan besar-besaran memburu kesemua suspek. - Utusan

24.12.07 - Honorarium ganti bonus dijangka bincang awal Januari

PUTRAJAYA, 23 Dis. — Permohonan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) untuk mendapatkan honorarium atau sagu hati bagi menggantikan bonus kepada setiap kakitangan awam dijangka dibincangkan dengan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan awal bulan depan.

Presidennya Omar Osman memberitahu Bernama hari ini, Cuepacs sedang menunggu kepulangan Mohd Sidek yang kini berada di Mekah kerana menunaikan fardu Haji.

Omar berkata Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebelum ini memberikan lampu hijau kepada Cuepacs untuk membincangkan perkara itu dengan Mohd Sidek.

Pada 10 Sept lepas, Cuepacs menghantar memorandum memohon agar kerajaan mempertimbangkan semula pemberian bonus ataupun sebagai gantinya honorarium RM2,000 kepada setiap kakitangan awam tanpa mengira gred.

Di samping itu, pemberian itu akan dapat meringankan beban kakitangan awam berikutan kenaikan harga barangan. Jumlah keseluruhan kakitangan awam ialah 1.2 juta dengan 850,000 orang daripadanya merupakan kakitangan sokongan yang berpendapatan rendah.

Omar berkata walaupun Cuepacs memohon RM2,000 bagi setiap kakitangan awam namun kesatuan itu akur kepada keputusan kerajaan mengikut kemampuannya.

Beliau berkata turut dibincangkan dalam pertemuan itu kelak ialah permohonan bagi melanjutkan tempoh perkhidmatan awam kepada 60 tahun berbanding 56 tahun sekarang.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata Cuepacs akan mengadakan mesyuarat khas pada 28 Dis ini bagi membincangkan cara untuk membantu kakitangan awam yang terlibat dengan banjir di negeri yang teruk terjejas, termasuk Pahang.

``Kita telah mendapat maklum balas daripada ahli dari Pahang yang mahukan badan ini memberi bantuan kepada kakitangan awam yang terlibat,'' katanya.

Sebelum ini, kesatuan telahpun menghulurkan bantuan kepada kakitangan awam yang terlibat dengan banjir di Johor.

Selain itu, Omar berkata Cuepacs juga berharap agar peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) ditangguhkan sehingga selesai masalah banjir.

``Setiap jabatan harus menangguh sementara PTK bagi membolehkan warga awam yang terlibat dengan banjir menumpukan perhatian terhadap keluarga mereka,'' katanya.- BERNAMA

23 December 2007

23.12.07 - ‘Lagu saya disalah erti’

Penyanyi kesal karya terbaru dijadikan latar video klip papar demonstrasi jalanan

KUALA LUMPUR: “Saya tidak bersekongkol dengan mereka,” kata penyanyi terkenal 80-an, Sohaimi Meor Hassan, 50, berhubung lagu barunya, Ini Bukan Demokrasi Kita, digunakan sebagai lagu latar video klip yang memaparkan demonstrasi pembangkang menentang kerajaan.

Sekian lama tidak menghasilkan album, kemunculan penyanyi terkenal 80-an itu bersama album terbarunya, Satu Hari Nanti, menjadi sasaran pesalah guna Internet, apabila satu lagu hasil ciptaannya dalam album itu disalahgunakan.

Video klip hampir empat minit itu, mula disebarkan secara berleluasa menerusi laman web popular ‘youtube.com’ Klik Sini Lihat Video dan hanya disedarinya pada 18 Disember lalu, selepas dimaklumkan seorang peminatnya dari Sarawak.

“Saya terkejut selepas menonton video klip itu yang tidak hanya memaparkan lagu saya (Ini Bukan Demokrasi Kita) bahkan berserta nama, judul lagu dan juga tajuk album, Satu Hari Nanti.

“Memandangkan tindakan pesalah laku Internet itu melampau, boleh mencemarkan nama baik saya sekali gus menjejaskan periuk nasi saya sebagai artis, saya membuat laporan di Balai Polis Shah Alam pada 19 Disember lalu.

“Ini kerana lagu, nama serta album saya dikaitkan dengan satu video klip antikerajaan dan lebih mengecewakan hasil karya saya itu diambil tanpa kebenaran saya atau syarikat saya yang menerbitkan album Satu Hari Nanti.

“Aduan ini bagi menyatakan saya tidak terbabit dengan sebarang agenda pembangkang atau penerbitan, pengeluaran mahupun pengarahan video klip berkenaan sama ada secara langsung atau tidak langsung,” katanya mengunjungi pejabat Harian Metro di sini, petang semalam.

Penyanyi popular dengan lagu Epilog Cinta Dari Bromley itu menambah, dia tidak tahu motif sebenar namanya dikaitkan dalam hal terbabit dan berharap perkara ini tidak akan menjejaskan imej, nama baik dan juga moral serta semangatnya untuk terus berkarya.

“Ini Bukan Demokrasi Kita adalah satu cemuhan terhadap kuasa besar yang menggunakan istilah ‘demokrasi’ bagi tujuan menjajah serta menindas negara lemah,” katanya.

serta menjadikan negara terbabit sebagai medan untuk menguji senjata pemusnah yang dihasilkan mereka.

“Biarlah saya paparkan maksud sebenar yang tersirat dalam lagu Ini Bukan Demokrasi Kita supaya lirik lagu itu tidak disalahertikan mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab dan ingin mengambil kesempatan serta keuntungan hasil jerit perih orang lain.

“Ini Bukan Demokrasi Kita adalah satu cemuhan terhadap kuasa besar yang menggunakan istilah ‘demokrasi’ bagi tujuan menjajah serta menindas negara lemah serta menjadikan negara terbabit sebagai medan untuk menguji senjata pemusnah yang dihasilkan mereka.

“Ia juga digunakan untuk membunuh umat Islam serta menghancurkan tamadun Islam yang banyak menyumbang pada keilmuan dunia. Kuasa besar itu menggunakan label demokrasi untuk menyerang negara Islam sebagaimana berlaku di negara Timur Tengah.

“Sebagai penyanyi saya hanya ingin berkongsi kebimbangan dan memberi kesedaran pada peminat bahawa satu hari nanti, tidak mustahil Malaysia juga mungkin menjadi sasaran mereka jika kita tidak bersatu padu.

“Lirik lagu itu tiada kaitan langsung atau cuba mempertikaikan kepimpinan kerajaan negara ini,” katanya.

(H/Metro)

23.12.07 - Layanan istimewa kepada Gibson, 3 sherif kena tindakan disiplin

LOS ANGELES 22 Dis. – Tiga kakitangan Jabatan Sherif Los Angeles dikenakan tindakan disiplin kerana memberi layanan istimewa ketika aktor Mel Gibson ditahan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol.

Siasatan oleh Panel Aduan Awam mendapati, ketiga-tiga mereka termasuk dua orang penyelia, tidak mengikut peraturan yang ditetapkan oleh agensi tersebut.

Pegawai berkenaan dikatakan tidak mengikut prosedur apabila mengarahkan Gibson meninggalkan pejabat Sherif di Malibu tanpa mengambil cap jari dan menandatangani surat yang mengarahkannya hadir ke mahkamah.

Selain itu, seorang pegawai didapati menghantar Gibson ke pusat simpanan kenderaan untuk mengambil keretanya yang ditahan di situ tanpa mendapat kebenaran pihak atasan.

“Tindakan-tindakan itu menunjukkan mereka telah memberi layanan istimewa kepada golongan tertentu dan dalam kes ini, kepada aktor Mel Gibson,” tegas Ketua Pejabat Tinjauan Bebas, Michael Gennaco.

Katanya, dua orang pegawai berpangkat sarjan diberikan amaran formal manakala seorang wadar lokap digantung kerja dua hari.

“Orang awam mahukan layanan sama rata di bawah undang-undang tetapi jika timbul persepsi bahawa ia tidak dilakukan maka ini pasti menimbulkan masalah,” tegas Gennaco lagi.

– Reuters

23.12.07 - Kumpulan Alaga Tumpas

KLANG 22 Dis. – Polis berjaya menumpaskan kumpulan Alaga yang terlibat dalam beberapa siri rompakan stesen minyak, rumah dan kereta di daerah ini dan Shah Alam dengan tertangkapnya lima ahli kumpulan itu semalam.

Ketua Polis Daerah Klang, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop berkata, kelima-lima anggota kumpulan itu ditangkap ketika dipercayai sedang dalam perjalanan melakukan satu lagi rompakan stesen minyak di sini.

Sebelum itu, jelasnya, mereka telah merompak stesen minyak Esso di Bandar Sultan Sulaimen di sini, kira-kira pukul 11 malam.

Dalam rompakan tersebut, katanya, mereka berjaya melarikan wang tunai bernilai RM7,000 dan pelbagai jenis rokok termasuk sebuah kenderaan Toyota Hilux milik pengusaha stesen minyak berkenaan.

“Mereka menggunakan kenderaan yang dicuri itu untuk melakukan rompakan kedua.

“Bagaimanapun, penjenayah ini berjaya dikesan oleh polis peronda setelah menerima laporan rompakan dan bertindak mengejar mereka bermula di Plaza Tol Bukit Raja sehingga Seksyen 17, Shah Alam,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Mohamad memberitahu, polis terpaksa melepaskan tiga hingga lima das tembakan ke arah kereta penjenayah kerana menghimpit kereta peronda polis sebelum kereta mereka memasuki longkang.

Katanya, seorang penjenayah berjaya ditangkap di situ manakala empat lagi melarikan diri di kawasan perumahan Seksyen 17.

Bagaimanapun, katanya, mereka berjaya ditangkap polis kira-kira pukul 5 pagi berdasarkan maklumat orang ramai.

“Kita merampas lima bilah parang dan sebatang cota termasuk sebuah kereta Proton Perdana yang dicuri pada 15 Disember lalu yang digunakan untuk rompakan pertama.

“Kesemua barang yang dicuri di stesen minyak Esso telah ditinggalkan di dalam kereta Proton Perdana itu di Padang Jawa,” ujarnya.

(Utusan)

23.12.07 - Pilihan raya: Kedah, Selangor, PP ‘negeri panas’

ALOR STAR 22 Dis. – Kerajaan akan memberi perhatian lebih kepada tiga negeri yang dilabel sebagai ‘kawasan panas’ dalam pilihan raya umum akan datang, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Perdana Menteri berkata, beliau akan mengambil kira pandangan bekas Bendahari UMNO, Tun Daim Zainudin yang menyarankan agar tiga negeri iaitu Kedah, Selangor dan Pulau Pinang diberikan perhatian khusus.

“Kita akan terus beri perhatian kepada negeri-negeri tersebut dan kepada mana-mana negeri yang perlu diberikan perhatian lebih, kita akan beri perhatian lebih,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada para pemberita selepas melawat mangsa banjir di pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Gunong di sini hari ini.

Abdullah mengulas kenyataan bekas Menteri Kewangan itu mengenai tiga negeri yang dilabelkan sebagai ‘kawasan panas’ yang perlu diberi perhatian lebih oleh kerajaan menjelang pilihan raya umum akan datang.

Dalam temu bual eksklusif dengan akhbar China Press, Daim dipetik sebagai berkata, berdasarkan maklum balas yang diterima daripada orang ramai, kerajaan perlu memberi keutamaan dalam menyelesaikan isu-isu yang wujud di tiga negeri terbabit sebelum pilihan raya umum akan datang.

Abdullah berkata, beliau akan mengambil kira pandangan Daim tersebut dan turut melahirkan penghargaan kepadanya kerana menyuarakan perkara berkenaan.

“Terima kasih atas pandangan Tun Daim. Saya akan ambil kira pandangannya itu,” ujar beliau.

Sementara itu, ketika berucap pada majlis tersebut, Perdana Menteri melahirkan rasa gembiranya apabila dimaklumkan lebih 87 peratus buku teks percuma telah diedarkan ke sekolah-sekolah di seluruh negara.

Katanya, menjelang tahun baru ini, murid-murid sekolah akan mendapat buku teks mereka itu.

(Utusan)

23.12.07 - Klip video: BPR ambil keterangan Dr. Mahathir

PUTRAJAYA 22 Dis. – Badan Pencegah Rasuah (BPR) telah mengambil keterangan daripada Tun Dr. Mahathir Mohamad semalam berhubung siasatan rakaman klip video yang dikatakan mengandungi perbualan seorang peguam terkemuka mengatur pelantikan hakim.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau telah menjawab soalan-soalan yang dikemukakan oleh tiga pegawai BPR yang datang ke pejabatnya di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan soalan-soalan yang telah dikemukakan oleh pegawai-pegawai BPR itu dalam pertemuan selama sejam itu, semalam.

“BPR telah menemu bual saya semalam dan bertanyakan pelbagai soalan dan saya telah menjawab soalan-soalan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas melancarkan buku The Third World and International Law yang ditulis oleh Dr. Tunku Sofiah Jewa di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.

Hadir sama isterinya, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali dan Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim.

Dr. Mahathir yang gembira dengan penubuhan Suruhanjaya diraja itu turut menyatakan kesediaan menjadi saksi sekiranya dipanggil berbuat demikian.

“Terpulanglah kepada Suruhanjaya di raja itu untuk menyiasat sama ada tuduhan yang dibuat berasas atau tidak. Jika saya diminta untuk memberikan keterangan nanti, saya tidak boleh kata tidak,” jelasnya.

Ditanya mengenai kriteria pelantikan Ketua Hakim Negara ketika menjadi Perdana Menteri, beliau menegaskan, seseorang hakim itu dinaikkan pangkat berasaskan kelayakannya.

“Bukan saja mengambil kira kelayakan akademik tetapi prestasi sepanjang dia menjawat jawatan majistret, itu semua kena tengok,” katanya.

Mengenai perhimpunan haram Hindu Rights Action Force (Hindraf), Dr. Mahathir berkata, kaum India perlu menjadikan saluran perbincangan dengan kerajaan sebagai pilihan pertama.

Beliau berkata, mereka boleh membangkitkan masalah yang dihadapi tetapi ada cara lain untuk menyuarakan perkara itu dan bukan dengan demonstrasi.

“Kalau mereka ada pemimpin dan mempunyai peluang untuk bertemu dengan kerajaan bagi menerangkan masalah mereka, ia perlu menjadi pilihan pertama, lainlah kalau tidak mempunyai jalan lain,” katanya.

Beliau juga menyangkal tuduhan berlakunya pembersihan kaum India di negara ini sebagaimana terkandung dalam dokumen Hindraf.

Mengenai tindakan kerajaan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ke atas beberapa pemimpin Hindraf, Dr. Mahathir berkata, beliau juga pernah menggunakan akta tersebut untuk menahan seseorang.

“Ini negara demokratik. Jika anda memilih orang yang sokong ISA, akta itu akan terus berada di situ dan jika tidak suka, kena pilihlah orang yang tidak suka ISA, pilihan di tangan anda.

“Saya dahulu dipilih oleh rakyat walaupun saya menyokong ISA, jadi saya anggap rakyat bersetuju dengannya, sebab itu saya melaksanakan akta tersebut, ia terpulang kepada kerajaan,” jelasnya.

Mengenai buku yang dilancarkannya hari ini, beliau berkata, penulis Asia digalakkan membuat kajian dan menulis tentang undang-undang antarabangsa yang selama ini dimonopoli oleh penulis berbangsa Eropah.

“Bagi saya buku ini sangat penting dan patut dicetak sejak dahulu lagi kerana selama ini banyak ilmu pengetahuan tentang undang-undang antarabangsa dan negara ketiga ditulis oleh orang Eropah yang secara semula jadi bersikap berat sebelah.

“Penulis dari Asia perlu menulis berdasarkan pandangan mereka sendiri dan dengan itu kita akan memperoleh maklumat yang lebih seimbang,” katanya.
(Utusan)

22 December 2007

22.12.07 - Iktibar kes Umi Azlim

SHANTOU (Guangdong) 21 Dis. – Dari luar, Pusat Tahanan Shantou kelihatan seperti penjara lain — tembok tinggi, tetapi tampak bersih dengan jubin berbentuk empat segi dan barisan kawat besi di atasnya.

Tiupan bayu dari laut berdekatan kadang-kala berbaur dengan bau hancing dari kebun sayur di sepanjang jalan sempit menuju ke pintu utama.

Dalam pusat tahanan itu, banduan akhir nombor 221, Umi Azlim Mohamad Lazim, dari Kelantan akan menyambut ulang tahun ke-24 pada 4 Januari depan.

Untuk tempoh hampir setahun kini, pusat itu menjadi tempat tinggal warga Malaysia itu yang menjadi tumpuan media kerana menyeludup dadah ke selatan China.

Empat bulan selepas menamatkan pengajian di Universiti Malaysia Sabah dengan menggenggam segulung ijazah sains biologi, dia meringkuk di penjara di China, ditahan bersama hampir 3 kilogram heroin dalam bagasinya sebaik tiba di lapangan terbang Shantou di selatan Guangdong pada 19 Januari lalu.

Dia bukan rakyat Malaysia pertama ditahan di luar negara kerana menyeludup dadah. Malah, di Guangdong dan wilayah Fujian yang berjiran, terdapat 37 kes dalam rekod Konsulat Malaysia di Guangzhou.

Namun kesnya menonjolkan kemelut wanita Malaysia yang diperguna sebagai “pembawa dadah” dengan lebih 30 orang ditahan di luar negara baru-baru ini.

Ironinya, Malaysia negara yang terkenal dengan hukuman paling berat termasuk hukuman mati bagi kesalahan menyeludup dadah.

Umi Azlim mengaku bersalah dan dikenakan hukuman mati dengan diberikan tempoh dua tahun untuk merayu oleh Mahkamah Shantou pada Mei.

Di China, semua hukuman mati, segera atau ditangguh, disemak semula oleh Mahkamah Agung Rakyat. Hukuman mati dengan diberikan tempoh dua tahun untuk merayu boleh dipinda kepada hukuman penjara seumur hidup dengan berkelakuan baik.

Ibu bapa Umi Azlim berasa lega apabila melihat anak mereka itu ceria dan sihat selepas pertemuan penuh pilu kira-kira 30 minit pada Aidiladha semalam, pertama kali mereka bercakap dengan anak perempuan mereka itu dalam masa setahun, setelah tidak tahu apa yang berlaku sehingga mereka dimaklumkan oleh Wisma Putra pada Julai lalu.

“Apa saya nak kata? Kena jaga dan berhati-hati dalam mencari pekerjaan, kerana ghairah kerja,” keluh Mohamad Lazim Jusoh yang diberitahu oleh anaknya bahawa dia tertarik dengan iklan di Internet yang menjanjikan gaji lumayan sebagai penghantar barang.

Katanya Umi Azlim pertama kali membuat pasport antarabangsa pada Disember dan pertama kali pergi ke luar negara ialah ke Macau sebelum ke Shantou dari New Delhi melalui Bangkok.

Dia memberitahu ibu bapanya yang dia bekerja di Kuala Lumpur dengan sebuah syarikat peralatan urut kaki milik “Datuk Anas” dan sering dihantar ke luar negara kerana dia fasih berbahasa Inggeris.

Syarikat itu tidak wujud, demikian dirumuskan oleh Mohamad Lazim selepas menyiasatnya.

Anggota tentera yang telah bersara itu yang kini menjadi mekanik dan isterinya, Umi Slaia Ibrahim, jelas tampak reda dengan nasib yang menimpa anak sulung mereka itu yang namanya disusun daripada perkataan namanya dan dipanggil Kak Lim oleh lima adiknya.

“Saya tidak pernah terlintas untuk pergi ke China. Tiada orang India di sini, saya tidak nampak orang asing di sini,” kata Mohamad Lazim yang bercakap dengan nada agak kuat sementara isterinya lebih banyak membisu dalam MPV sewa semasa dalam perjalanan untuk melawat anak mereka itu.

Ia kunjungan pertama mereka ke luar negara dan mereka turut membawa satu beg sukan berwarna biru yang diisi dengan sambal daging, keropok ikan, mini popiah goreng, pelbagai asam buatan Tumpat dan satu paket biskut untuk anak mereka.

“Nak bawak rendang, lemang dan tapai tak boleh sebab basah. Umi suka duduk dan makan macam ini,” kata Umi Slaia dengan menangkup sebelah tangan ke riba dan satu lagi menyuap ke mulut, mengajuk tabiat anaknya makan makanan ringan.

Tetapi makanan itu tidak dibenarkan mengikut peraturan penjara.

Umi Azlim turut bertanya kepada ibu bapanya mengenai “Teh”, kucing kesayangannya di kampung mereka, dan menyampaikan pesanan kepada dua adik kembar perempuannya untuk belajar rajin-rajin bagi peperiksaan SPM tahun depan.

“Dia pun ada banyak baca buku dan sekarang boleh cakap Cina, laju dia cakap Cina dengan pegawai di situ,” kata Mohamad Lazim dan menurutnya anaknya itu belajar bahasa Jepun semasa di universiti.

Umi Azlim memberitahu mereka yang dia menghabiskan masanya dengan mengajar bahasa Inggeris dan membungkus coklat di pusat itu.

– Bernama

21 December 2007

21.12.07 - Penduduk Bangladesh pulang berhari raya


DHAKA 20 Dis. – Jutaan penduduk Bangladesh hari ini berpusu-pusu pulang ke kampung halaman masing-masing bagi menyambut ketibaan Hari Raya Aidiladha yang akan disambut di negara ini esok.

Kebanyakan pekerja biasanya akan pulang ke kampung halaman mereka dengan menggunakan pengangkutan awam seperti bas, kereta api dan feri.

“Kereta api biasanya bergerak perlahan selama berjam-jam dan gerabak sesak dengan penumpang.

“Malah ada yang mengambil risiko dengan duduk di atas bumbung gerabak,” kata seorang penumpang, Profullah Roy.

Sementara itu, sekitar 1.5 hingga 2 juta penduduk meninggalkan Dhaka dengan bas, kata Pengerusi Syarikat Pengangkutan Jalan Bangladesh, Hedayet Ullah Al-Mamun.

Aidiladha dimeriahkan dengan upacara korban bagi memperingati kesediaan Nabi Ibrahim a.s mengorbankan anaknya Nabi Ismail a.s atas perintah Allah sebelum digantikan dengan seekor kibas.

Sambutan perayaan kedua terbesar dalam agama Islam ini merupakan satu perkara penting bagi Bangladesh yang merupakan negara Islam ketiga terbesar dengan populasi 140 juta penduduk.

– AFP

(Utusan)

21.12.07 - Umi Azlim mangsa iklan Internet – Ibu


GUANGZHOU 20 Dis. – Umi Azlim Mohamad Lazim yang dijatuhi hukuman mati kerana menyeludup dadah di selatan China, memberitahu ibu bapanya bahawa dia diumpan oleh iklan Internet yang menawarkan bayaran lumayan untuk menjadi penghantar barang.

Mohamad Lazim Jusoh dan isteri Umi Slaia Ibrahim menemui anak sulung mereka selama 30 minit di pusat tahanan di kota pelabuhan Shantou yang terletak kira-kira sejam penerbangan dari Guangzhou, iaitu ibu negara wilayah Guangdong.

“Lega dan suka saya kerana tahu anak sihat dan dia pun sudah pandai bercakap bahasa Cina dan mengajar bahasa Inggeris kepada yang lain.

“Dia kata dia sudah biasa dengan keadaan di situ,” kata Umi Slaia.

Kedua-dua ibu bapa Umi Azlim tiba di Guangzhou semalam dan meneruskan perjalanan dengan penerbangan ke Shantou hari ini, diiringi oleh naib konsul Haniah Mohd Adenan dari Pejabat Konsulat Malaysia di Guangzhou.

Dalam pada itu, Mohamad Lazim berkata anaknya tidak mengetahui tentang kedatangan mereka dan agak terkejut semasa bertemu sambil terus memeluk mereka serta memohon maaf.

“Saya kata sabar kerana benda dah berlaku, kalau menangis darah pun tak ada gunanya,” katanya.

Ibu bapa Umi Azlim membawa sebuah beg berisi makanan kegemarannya iaitu sambal daging, keropok ikan, mini popia goreng dan biskut tetapi makanan itu tidak dapat diberikan kerana peraturan penjara melarangnya.

Bagaimanapun, mereka memberi wang 300 yuan (RM150) kepada Umi Azlim dan mendapat resit daripada pihak penjara.

Mohamad Lazim berkata semasa pertemuan itu mereka tidak membincangkan tentang kes penyeludupan Umi Azlim, yang mengaku bersalah terhadap tuduhan menyeludup 2.983kg heroin di Lapangan Terbang Shantou pada 19 Januari tahun ini.

Pada Mei lepas, Umi Azlim, 24, telah dijatuhi hukuman mati dengan kebenaran membuat rayuan dalam tempoh dua tahun.

“Tujuan saya datang ini bukan untuk mencari penyelesaian tapi nak tengok anak. Sudah setahun kami tidak bertemu dengannya. Kami sedih juga tapi dapat bertemu pada Aidiladha ini mujur berkat doa dan sembahyang hajat.

“Tetapi Umi (Azlim) ada memberitahu bahawa seorang rakan merujuk beliau kepada iklan Internet yang menawarkan bayaran tinggi untuk menghantar barang,” katanya.

Umi Azlim, yang menamatkan pengajian ijazah sarjana muda di Universiti Malaysia Sabah dalam bidang Sains Biologi September tahun lepas, telah membuat pasport antarabangsa pada bulan berikutnya sebelum ke China.

Ditanya mengenai langkah seterusnya, Mohamad Lazim berkata mereka akan pulang ke Kelantan untuk berbincang mengenai cara mendapatkan khidmat peguam warga China bagi membantu membuat rayuan terhadap kes anaknya itu.

Mohamad Lazim ialah seorang bekas anggota tentera dan kini bekerja sebagai makanik di syarikat EON.

Beliau dan isteri dijadual pulang ke Malaysia Sabtu ini.

– Bernama

(Utusan)

21.12.07 - Kewujudan Milad mampu bebaskan Raja Munirah

KUALA LUMPUR 20 Dis. – Peguam Raja Munirah Raja Iskandar Shah, 22, dengan bantuan Jabatan Narkotik Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kedutaan Iran dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan cuba membuktikan kewujudan kenalan anak guamnya, Milad di Mahkamah Agung di Jepun pada April depan.

Menurut Rosal Azimin Ahmad, kewujudan lelaki warga Iran itu amat penting kerana ia merupakan bukti utama yang akan digunakan dalam rayuan untuk membebaskan gadis tersebut daripada hukuman penjara tujuh tahun empat bulan di Pusat Tahanan Kosuke, Tokyo.

Beliau percaya, Raja Munirah dianiaya Milad yang mempergunakan gadis tersebut untuk menyeludup dadah sintetik ke negara itu tanpa pengetahuannya.

Menurutnya, peluang untuk Raja Munirah bebas daripada hukuman penjara amat cerah sekiranya kewujudan pemuda Iran itu dapat dibuktikan selain disokong dengan bukti lain seperti rekod khidmat pesanan ringkas (SMS) antara Raja Munirah dan Milad sebelum gadis itu ditahan.

‘‘Semua bukti kewujudan Milad telah diserahkan kepada pihak polis ketika diadakan perbincangan yang turut disertai wakil Kedutaan Iran dan MCMC di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada Isnin lalu.

‘‘Polis akan cuba mengesan pemuda tersebut bagi menguatkan lagi proses pembelaan kami di Mahkamah Agung di Jepun pada April depan,’’ katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Rosal Azimin memberitahu, pihak Kedutaan Iran turut berharap agar Milad dapat dikesan dan ditangkap secepat mungkin sekali gus membebaskan Raja Munirah dan menumpaskan sindiket pengedaran dadah yang dianggotainya.

Perkenalan antara Raja Munirah dan Milad bermula kira-kira setahun lalu sebaik sahaja dia menamatkan pengajian Ijazah Komunikasi Massa di sebuah kolej swasta manakala Milad menuntut di sebuah kolej di Cyberjaya.

Selepas mengenalinya selama setahun melalui seorang rakan perempuannya, lelaki itu menawarkan jawatan pegawai perhubungan awam (PRO) di Jepun dengan gaji hampir RM10,000 sebulan.

Bagaimanapun, Raja Munirah dikehendaki ke Tokyo untuk menghadiri temu duga jawatan tersebut tanpa ditemani Milad.

Setibanya di Lapangan Terbang Narita, Tokyo pada 20 Disember tahun lalu, Raja Munirah ditahan apabila beberapa peket dadah jenis syabu seberat 690.80 gram dijumpai dalam begnya.

Beg itu dibeli oleh Milad untuk mengisi pakaian musim sejuk Raja Munirah dan ia hanya diserahkan kepadanya di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) sejurus sebelum pesawat berlepas.

Sebaik sahaja ditahan di Lapangan Terbang Narita, Tokyo, Raja Munirah cuba menghubungi telefon bimbit Milad tetapi gagal.

Lelaki Iran itu dipercayai sudah meninggalkan Malaysia akhir tahun lalu dan dipercayai berada di Indonesia.

Peguam Jepun yang disediakan oleh kerajaan negara itu menasihatkan Raja Munirah supaya mengaku salah bagi mendapatkan hukuman ringan iaitu penjara enam bulan saja.

Bagaimanapun, apabila dia membuat pengakuan bersalah, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan empat bulan.

Pada 4 Disember lalu, Mahkamah Tinggi Tokyo menolak rayuan Raja Munirah bagi mengetepikan sabitan kesalahan tetapi mengurangkan 100 hari hukuman penjara.

Notis rayuan mengetepikan sabitan kesalahan dan hukuman penjara itu turut difailkan di Mahkamah Agung Jepun pada 6 Disember lalu untuk membebaskan Raja Munirah daripada hukuman tersebut.

(Utusan)

21.12.07 - Imigresen ambil alih 14 depot tahanan PATI

KUALA LUMPUR 20 Dis. – Jabatan Imigresen akan mengambil alih pentadbiran kesemua 14 depot tahanan imigresen yang menempatkan pendatang asing tanpa izin (PATI) di seluruh negara berkuat kuasa 15 Januari depan.

Pengarah Penguat Kuasa Jabatan Imigresen, Datuk Ishak Mohamed berkata, pengambilalihan itu dibuat bagi menyusun semula segala urusan pentadbiran depot termasuk penyelenggaraan dan kewangan.

‘‘Ia perlu dilakukan kerana Jabatan Penjara kini di bawah Kementerian Keselamatan Dalam Negeri sedangkan Jabatan Imigresen di bawah Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri,’’ katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Baru-baru ini Pasukan Ikatan Relawan Malaysia (Rela) dilaporkan akan mengambil alih pentadbiran semua depot PATI buat sementara sebelum diserahkan kepada Jabatan Imigresen.

Menurut Ishak, selain 14 depot tahanan yang ditadbir oleh Jabatan Penjara, sebuah lagi depot PATI yang terletak di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) diuruskan sendiri oleh Jabatan Imigresen.

Mengenai masalah lambakan PATI di depot, beliau tidak menafikan ia berlaku khususnya di depot-depot yang terletak di Lembah Klang, Johor dan Pulau Pinang tetapi masih terkawal.

(Utusan)